• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

1. KHUTBAH EIDIL FITRI 1421H


 

 

KHUTBAH PERTAMA

الله أكبر  ( 9 كالي ) الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا  . الحمد لله الذي وفقنا لعبادته . وجعل هذا اليوم فرحا لعباده المتقين الذين فازوا بصيام رمضان وقيامه . وأشهد أن لاإله إلا الله وحده لاشريك له  . وأشهد أن محمدا عبده ورسوله اللهم صل وسلم وبارك على نبينا محمد وعلى آله ومن سار على نهجه إلى يوم الدين . أما بعد …. فيا أيها المسلمون اتقوا الله حق تقاته ولاتموتن إلا وأنتم مسلمون ….فرمان الله دالم آية  1 – 5     المؤمنون :

قد أفلح المؤمنون الذين هم فى صلاتهم خـــشعون والذين هم عن اللغو معرضون والذين هم للزكـــوة فـــعلون  والذين هم لفروجهم حـــفظون .

Maksudnya : Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang memelihara  kemaluannya.

 

Muslimin/mat yang diberkati Allah,

            Kedatangan eidil fitri untuk sekian kalinya disambut dengan gema takbir dan tahmid membesar dan memuji Allah oleh seluruh umat Islam sedunia tidak kira pangkat atau pun harta, tidak kira darjat atau pun usia, tidak kira bangsa atau negara. Ucapan kalimah ini dilaungkan penuh semangat sebagai tanda kemenangan gemilang sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat selepas berjaya menewaskan musuh dalam peperangan Ahzab, peperangan Badar, Pembukaan Kota Mekah dan beberapa siri peperangan yang lain dalam memastikan Islam menjadi agama yang memerintah bukannya agama yang diperintah. Laungan yang penuh semangat itu mesti diteruskan oleh kita sebagai tanda syukur kepada Allah di atas nikmat berhari raya dan anugerah nikmat Islam yang dapat dikecapi hasil daripada perjuangan umat dahulu yang sanggup mengorbankan masa, harta malah nyawa mereka semata-mata untuk memastikan Islam tersebar serata dunia. Kalimah kemenangan ini juga dilaungkan sempena kemenangan melawan nafsu dengan berpuasa sebulan Ramadhan dan juga melawan kasih kita terhadap harta dengan mengeluarkan zakat.

            Kedatangan Syawal menandakan berlalunya Ramadhan bulan yang penuh rahmat dan pengampunan dosa. Entah kita dapat menyambut lagi kedatangan Ramadhan akan datang atau pun tidak hanya Allah yang Maha Mengetahui. Perasaan sedih dan sayu yang menyelubungi diri dengan pemergian Ramadhan bersama lailatul qadar tidak dapat mengubah segalanya melainkan diri kita dapat berubah ke arah yang terbaik dari segi ibadat dan akhlak. Janganlah pula proses tarbiah akan terhenti dengan berlalunya Ramadhan kerana kita tidak mahu menjadi umat yang paling celaka ialah umat di mana hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esok bertambah buruk daripada hari ini. Pastikan kita menjadi umat terbaik iaitu umat yang hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini dari segi ibadat, akhlak dan sebagainya.

 

الله أكبر! الله أكبر ! الله أكبر ولله الحمد

            Gema takbir dan tahmid bagi menandakan kemenangan tidak akan cukup sekadar kita hanya berjaya mendirikan ibadat fardhu sahaja seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain sedangkan kita tidak pernah diberi peluang untuk merasai betapa nikmatnya keadilan perundangan Islam, untungnya menggunakan sistem ekonomi Islam dan terjaminnya hak orang Islam dan bukan Islam dibawah naungan perlembagaan negara Islam. Kehebatan sistem Islam di akui oleh kuasa besar barat apabila selepas berlakunya peperangan dunia kedua mereka menggunakan al-Quran dalam mencari jalan penyelesaian ke arah mentadbir negara tetapi dalam masa yang sama mereka juga berusaha untuk menjauhkan al-Quran daripada dilaksanakan hukumnya oleh umat Islam.

            Bermula daripada penjajahan sehinggi kini, kita hanya mampu melihat sistem Islam di dalam kitab-kitab feqah sahaja tanpa mampu dilihat ia terlaksana di atas bumi yang nyata Walau pun kegagalan demi kegagalan perundangan berdasarkan ideologi dan sistem ciptaan manusia dalam menyelesaikan pelbagai masalah sosial terutama yang semakin berat seperti penagihan dadah, kecurian, penzinaan, perkosaan, rasuah, pecah amanah namun para pemimpin lebih rela mencari sistem yang rapuh dan reput seperti sarang labah-labah daripada memberi peluang kepada Islam untuk dilaksana Benarlah firman Allah dalam ayat  41 surah al-Ankabut :

مثل الذين اتخذوا من دون الله أولياء  كمثل العنكبوت اتخذت بيتا  وإن أوهن البيوت لبيت العنكبوت لو كانو يعلمون

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka  mengetahui.

 

Muslimin/mat yang dihormati sekalian,

            Gema takbir dan tahmid yang berkumandang ini juga menunjukkan bahawa kita begitu menginginkan agar kebajikan, kepentingan serta kekayaan hasil pendapatan negara dapat diagihkan secara menyeluruh bukannya berkisar di kalangan sesetengah golongan sahaja. Ingatlah kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz bahawa jika pemimpin kaya maka rakyat akan miskin tetapi jika pemimpin miskin maka rakyat akan kaya.

            Suatu peristiwa untuk renungan bersama di mana ketika Damsyik, Syria diancam serangan tentera Tatar maka pemerintah memutuskan untuk mengenakan cukai tambahan ke atas rakyat bagi membiayai peperangan. Di tengah keresahan rakyat yang tidak mampu membayar cukai itu maka tampillah Izzuddin Abdul Salam yang terkenal dengan gelaran Sultan al-Ulama’ menentang perkara itu dan meminta agar dijual terlebih dahulu kesemua barangan mewah milik pemerintah dan milik peribadi kakitangan pemerintah sehingga tidak ada lagi perbezaan antara pemerintah dan rakyat. Sesudah itu barulah boleh dikutip cukai jika kewangan masih tidak mencukupi untuk membiayai peperangan itu. Inilah ia keindahan dan keadilan Islam yang menekankan susah dan senangnya sesebuah negara merupakan tanggungjawab bersama antara pemimpin dan rakyat bukannya ketika negara senang hanya sesetengah golongan yang menikmatinya tetapi apabila ditimpa kesusahan maka hanya rakyat yang menanggungnya.

            Dalam memastikan keharmonian dan kemajuan yang stabil antara kebendaan dan kerohanian maka kerjasama antara pemimpin dan ulama’ amatlah penting kerana mereka menjadi tunjang utama keutuhan negara. Jika rosak pemimpin maka akan binasalah negara, begitu juga apabila rosaknya ulama’ maka akan huru haralah negara. Oleh itu pemimpin mesti berrsifat terbuka apabila ditegur kerana tersalah dan ulama’ pula mesti berani dalam memberi nasihat. Jangan pula pemimpin terpedaya dengan kata-kata ulama’ dunia yang mengampu di mana peringatan mengenainya pernah dicatat dalam Qanun Acheh Darul Salam oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam seorang pemerintah Kesultanan Melayu Islam Acheh di mana antara katanya

“ Dan hendaklah raja-raja itu menjauhkan diri daripada bersahabat dengan ulama’ jahat dan ulama’ jahil dan ulama’ tamak iaitu ulama’ yang suka memuji raja dan perbuatannya mengharap keredhaan raja. Maka ulama’ itu tamak, yakni tamak kepada dunia. Maka ulama’ itulah yang membuat negeri huru-hara dan memecah-belahkan rakyat seperti dajjal….”

           

الله أكبر ! ألله أكبر ! الله أكبر ولله الحمد

            Kita begitu mengharapkan agar laungan Tahmid tanda kesyukuran dan Takbir tanda membesarkan Allah ini bukan hanya disebut dibibir sahaja tetapi insya Allah ia turut memberi kesan kepada hati dan kelakuan kita dalam menyatakan kesungguhan dan keyakinan  kepada seluruh ajaran Islam dari segi  ibadat, perundangan, perlembagaan dan cara hidup Islam. Kalimah suci yang dilaungkan secara satu suara dan satu nada ini melambangkan erti perpaduan di mana kita umat Islam mesti berdiri dan bergerak seiring sekata sehati sejiwa dalam memastikan keharmonian sejagat. Kejayaan Rasulullah s.a.w menyatukan umat arab dan bukan arab seperti Bilal bin Rabah dari Afrika, Suhaib dari Rom, Salman dari Parsi dan lain-lain dengan Islam membuktikan Islamlah jalan terbaik untuk menyatukan seluruh umat manusia. Keadilan dan kehebatan perlembagaan serta perundangan Islam pernah dirasai oleh masyarakat China, India dan Melayu ketika Islam menguasai negara-negara ini selama beratus tahun. Oleh itu jika kita satukan semua bangsa di negara ini dengan semangat kebangsaan maka ia adalah merbahaya kerana setiap bangsa akan menjaga kepentingan dan menuntut hak masing-masing sebagai warganegara. Setiap bangsa samada Melayu, Cina, India akan bersaing sesama mereka dalam mencari kuasa politik, ekonomi di mana bangsa yang berjaya menguasai perkara tersebut akan berjaya menguasai bangsa lain. Jumlah kita orang Melayu semakin sedikit ditambah lagi ramai yang telah murtad maka kedudukan kita berdasarkan bangsa semakin lemah. Sebelum terlambat maka yakinlah kita bahawa dengan menjadikan Islam sebagai asas perpaduan maka kita akan aman di mana Islam boleh dianuti oleh semua bangsa. Manakala orang bukan Islam yang tidak mahu memeluk Islam turut dapat merasai keadilan dan keindahan Islam di mana perkara ini tidak terdapat dalam agama mereka. Dengan ini lama kelamaan mereka juga akan tertarik kepada Islam samada mereka memeluk Islam atau pun sekurang-kurangnya mereka tidak melawan Islam setelah merasai keindahan Islam sebenar. Ingatlah bahawa kita bangsa Melayu dimuliakan oleh Allah dengan Islam dan bangsa Melayu akan hina kerana meninggalkan cara hidup Islam.

Firman Allah dalam ayat 103 surah Ali Imran :

واعتصموا بحبل الله جميعا ولاتفرقوا واذكروا نعمة الله عليكم إذ كنتم أعداء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا  وكنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها كذلك يبين الله لكم ءايته لعلكم تهتدون

Maksudnya : Dan berpegang teguhlah sekalian kamu dengan tali (agama)Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan maka Allah menyatukan hatimu lalu menjadilah kamu bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

KHUTBAH KEDUA

 

الله أكبر ( 3 كالي )       الله أكبر ( 3  كالي )   الله أكبر

الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا . الحمد لله وحده صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله, اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين . أما بعد…….فيا أيها المسلمون! اتقو الله وأطيعوه واعلموا أن الله يحب المتقين .

فرمان الله تعالى دالم أية   134   سورة آل عمران

الذين ينفقون فى السراء والضراء والكـــظمين الغيظ والعافين عن الناس  والله يحب المحسنين

Maksudnya :  Orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di masa senang mahu pun ketika susah, dan orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.

 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah

            Dalam kegembiraan dan keseronokan menyambut hari raya janganlah melupakan kita kepada mereka yang memerlukan bantuan. Ingatlah kepada kebajikan anak-anak yatim, fakir miskin yang berada disekeliling kita. Juga tidak lupa kepada saudara seislam kita yang terpaksa menyambut hari raya dicelah-celah kezaliman dan penindasan musuh Allah seperti umat Islam Selatan Filipina, Kashmir, Palestin dan sebagainya. Ingatlah kita bagaimana kasih sayang yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terhadap seorang anak kecil di mana ketika baginda s.a.w keluar dari rumah untuk menunaikan solat sunat hari raya maka baginda terpandang seorang kanak-kanak sedang menangis kesedihan sedangkan kawan-kawannya yang lain begitu gembira bermain sesama mereka. Rasulullah s.a.w menghampiri budak itu dan apabila ditanya lalu dia menjawab : “ Wahai tuan, ayahku telah meninggal dunia di hadapan Rasulullah s.a.w dalam peperangan ini. Lalu ibuku berkahwin lain dan makan harta-hartaku sedangkan suaminya (ayah tiriku) mengusirku dari rumahku sendiri. Maka saya tidak punya makanan, minuman, pakaian dan rumah. Dan ketika saya melihat kawan-kawan yang lain pada hari ini yang mempunyai ayah maka teringatlah musibah yang menimpa diriku ini yang menyebabkan saya menangis kesedihan”. Lalu Rasulullah s.a.w memegang tangan budak itu dan bertanya kepadanya : “ Wahai anak kecil! Mahukah engkau terima aku sebagai ayahmu dan ‘Aisyah sebagai ibumu, Ali sebagai bapa saudaramu, Hasan dan Husin sebagai saudara lelakimu  dan Fatimah sebagai saudara perempuanmu?”. Kini anak kecil itu sedar bahawa baginda adalah Rasulullah maka dia terus menjawab : “ Mengapa saya tidak mahu wahai Rasulullah?”. Maka dia dibawa oleh Rasulullah s.a.w ke rumah baginda lalu dipakaikan pakaian cantik, diberi makan sehingga kenyang, dihiasi, dipakaikan minyak wangi dan sebagainya. Budak itu begitu gembira dengan layanan yang diberikan itu. Inilah dia kasih sayang yang ditunjukkan oleh pemimpin dan nabi yang agung untuk sama-sama kita teladani.

            Tanpa kasih sayang maka seorang ayah sanggup melupakan tanggungjawabnya terhadap ahli keluarga, seseorang sanggup mencari jalan untuk menjatuhkan kawannya sendiri demi menjaga kedudukannya dan seorang pemimpin sanggup memerah seluruh keringat rakyatnya demi mencapai kesenangan peribadi serta mengkhianati amanah Allah terhadap rakyat jelata.

            Dalam kemeriahan hari raya janganlah melupakan kita kepada batas-batas agama yang wajib dijaga seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, hiburan yang melalaikan. Jangan kita samakan hari raya kita dengan sambutan Krismas oleh penganut Kristian yang baru lalu dan jangan kita cemarkan kemulian hari raya dengan majlis maksiat sebagaimana yang biasa dilakukan oleh mereka yang menyambut sambutan tahun baru yang dipenuhi dengan maksiat bagaikan berseronok menyambut pembebasan iblis dan syaitan daripada dibelenggu sepanjang Ramadhan yang baru lalu.

            Disamping itu rebutlah juga peluang untuk menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda Rasulullah s.a.w :

من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر          ( رواه مسلم )

Maksudnya  : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

اللهم صل على سيدتا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين .اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات وألف بين قلوبهم وأصلح ذات بينهم وانصرهم على عدوك وعدوهم , اللهم لا تسلط علينا من لايخافك ولا يرحمنا , اللهم انصر من نصر دينك واخذل من خذل دينك , اللهم أعز الإسلام والمسلمين وأذل الشرك والمشركين ودمر أعداء الدين وانصر عبادك المؤمنين .اللهم تقبل منا صلاتنا وصيامنا وقيامنا وزكاتنا وجميع حسناتنا واجعلها خالصة لوجهك الكريم. ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار. سبحانك اللهم وتحيتهم فيها سلام وآخر دعواهم أن الحمد لله رب العالمين

Tinggalkan komen