• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Jumaat : Syariah DiJulang, Umat Gemilang, Palestin DiMerdekakan


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ayat  58-59:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا

Maksudnya : “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai, orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah, taatilah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulu al-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian, jika kamu saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Amanah yang dimaksudkan ialah melaksanakan syariat Allah Yang Maha Adil kepada makhluk-Nya, termasuk kalangan manusia yang telah ditetapkan kewajipan agar beribadat dan berkhilafah (mentadbir urusan dunia dengan Islam) mengikut ketetapan Allah Pencipta alam Yang Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Suci ilmu-Nya daripada segala kekurangan.
Amanah terbesar ialah kewajipan terbesar melaksanakan syariat Allah yang diwahyukan kepada Rasul-Nya dan perkara yang dinyatakan oleh al-Hikmah (Sunnah) Rasul yang dilantik, serta Ulu al-Amri (mereka yang ditugaskan mengendalikan urusannya). Mereka terdiri daripada kalangan para ulama’ yang diamanahkan menjaga ilmu dan para pemimpin yang diberikan kuasa diamanahkan untuk melaksanakan syariat yang dinamakan sebagai khalifah, raja-raja atau para pemimpin dan mereka yang berada di bawahnya.
Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak. Adapun ketaatan kepada Ulu al-Amri dengan syarat mereka mentaati Allah dan Rasul, sehingga aspek tersebut dikaitkan dengan konsep beriman kepada balasan pada Hari Akhirat.

Khalifah Abu Bakar RA menegaskan dalam ucapan pertama selepas diberi baiah taat setia menjadi khalifah:

أَطِيْعُوْنِيْ ماَ أَطَعْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَلاَ طاَعَةَ لِيْ عَلَيْكُمْ.

Maksudnya : “Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul, maka apabila aku menderhakai Allah dan rasul-Nya, maka kamu tidak wajib mentaatiku.” 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Rasulullah SAW bersabda secara langsung kepada para hakim yang mengendalikan badan kehakiman:

‌القُضَاةُ ‌ثَلَاثَةٌ: قَاضِيَانِ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ فِي الجَنَّةِ، رَجُلٌ قَضَى بِغَيْرِ الحَقِّ فَعَلِمَ ذَاكَ فَذَاكَ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ لَا يَعْلَمُ فَأَهْلَكَ حُقُوقَ النَّاسِ فَهُوَ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ قَضَى بِالحَقِّ ‌فَذَلِكَ ‌فِي ‌الجَنَّةِ. – رواه الترمذي

Maksudnya : “Para hakim itu ada tiga jenis: Dua jenis yang pertama ke neraka dan satu lagi jenis ke syurga. (Dua jenis ke neraka itu) ialah seorang hakim yang membuat keputusan salah (padahal dia berilmu) dan membuat keputusan yang mengetahui akan kesalahannya, balasannya dia dimasukkan ke dalam neraka. Begitu juga, hakim yang menjatuhkan hukuman dengan menjadi hakim dalam kejahilannya, balasannya dia juga dimasukkan ke dalam neraka kerana membinasakan hak manusia (mengikut ketetapan Allah). Adapun hakim yang menjatuhkan hukuman yang benar (mengikut ketetapan Allah), maka balasannya dia dimasukkan ke dalam syurga.” 
Rasulullah SAW mendahulukan sebutan dua jenis hakim ke neraka kerana jumlahnya yang ramai daripada kalangan para hakim yang mengejar pangkat dan kedudukan. Hanya segelintir sahaja yang berani menegakkan kebenaran.
Dalam pada itu, Rasulullah SAW juga telah menetapkan hukum syariat itu menjadi rujukan paling tinggi dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang menjadi perjanjian berperlembagaan ketika Baginda memerintah sebuah negara masyarakat majmuk.

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوْ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، فَإِنَّ مَرَدَّهُ إلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى أَتْقَى مَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ وَأَبَرِّهِ.

Maksudnya : “Maka, sesungguhnya apa-apa jua yang berlaku dalam kalangan mereka yang terlibat dalam perjanjian ini, adanya pertikaian atau perbalahan yang ditakuti merosakkan (hubungan), maka hendaklah dikembalikan (penyelesaiannya) kepada Allah SWT dan kepada Rasulullah SAW (Sunnah), dan Allah sentiasa menyaksikan kebaikan apa yang terkandung dalam sahifah ini dan perkara yang membawa kebajikan.” 

Ini bermaksud bahawa syariat Islam adalah keputusan paling tinggi sehingga membatalkan semua perkara yang bercanggah dengannya. Allah memberi peringatan yang banyak dan berulang kali dalam al-Quran supaya umat Islam tidak terpengaruh dengan penyelewengan kalangan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) yang merendahkan Kitab Allah yang diwahyukan kepada para rasul terdahulu,

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 8 surah Al-Maidah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan

Kita dapat lihat perbezaan yang ketara antara undang-undang sivil dan syariah di mana Mahkamah jenayah sivil tidak menghukum dengan kaedah hukuman takzir kerana mempunyai perbezaan dalam pembuktian, keterangan dan sabitan. Oleh itu, banyak beza antara sivil dan takzir antaranya 3 perbezaan sebagaimana disebut peguam-peguam syarie.

[1] hakim-hakim Mahkamah Sivil atau Persekutuan tidak dilatih dalam bidang penghukuman takzir kerana terikat dengan penafsiran sendiri dalam undang-undang konvensional. Jika mahu dilihat sebagai takzir maka perlunya kepada pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, kerana maksud jenayah dalam hukum syarak dan sivil mempunyai pengertian yang sangat berbeza. Sebagai contoh di Mahkamah Sivil, satu perbuatan akan jadi jenayah jika ia menyalahi undang-undang yang dibuat oleh pemerintah. Namun,  ia berbeza bagi pengertian jenayah bagi hukum syarak di mana undang-undang syariah adalah berdasarkan perbuatan yang dilarang Allah di mana rujukan utama ialah al-Quran, Hadis nabi dan ijtihad Ulama’

[2] Pertimbangan hukuman bagi mahkamah sivil juga akan jadi berbeza berbanding hukum syarak. Contohnya, undang-undang sivil meletakkan kesalahan judi itu apabila didapati seseorang itu berjudi di tempat yang tak dilesenkan.  Namun, bagi hukum syarak, judi dilarang sama sekali tidak kiralah kesalahan itu dibuat di tempat yang berlesen atau tidak

Begitu juga dengan kesalahan zina di mana mengikut undang-undang sivil, bagi individu berumur 16 tahun dan ke atas ia tidak dikira sebagai kesalahan jika ia dibuat atas kerelaan hati, jika terpaksa baru dikira salah. Sedangkan dalam syariah, zina sama ada rela atau tidak, tetap menjadi satu kesalahan

[3] Prinsip hukuman dalam Islam atau takzir, ia dibuat bukanlah untuk mendera, sebaliknya mendidik di samping beri amaran kepada umat Islam agar jauhkan diri perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Sebab itu ada perbezaan dalam melaksanakan hukum sebatan syariah jauh berbeza dengan sebatan sivil. Syarat sebatan syariah tidak boleh mencederakan pesalah. Perbezaan jelas ketara dari segi kaedah hayunannya agak perlahan seolah-olah buku yang diletakkan di bawah ketiak tidak boleh jatuh semasa hayunan dibuat.  Dari segi saiz rotan yang digunakan juga agak berbeza bagi sebatan syariah ukur lilit rotan yang digunakan agak kecil berbanding ukur lilit rotan sebatan sivil. Oleh sebab itu, 100 kali sebatan syariah masih belum menyamai dengan 1 kali sebatan Sivil.  Pelaksanaan sebatan berbeza, yang mana pesalah takzir dikenakan pakaian yang menutupi anggota badan termasuklah anggota badan yang akan disebat, manakala sebatan sivil anggota badan yang akan disebat dibiarkan terdedah dan ini jelas lebih mengaibkan pesalah.

Sejajar dengan falsafah hukuman dalam Islam yang mahu mendidik, maka pindaan bagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 perlu diperkasakan. Pemerkasaan Mahkamah Syariah ini penting bagi mengelakkan berulangnya kes jenayah syariah seperti pertuduhan terhadap Iki Putra yang sehingga kini bebas daripada pertuduhan liwat. Kes Iki Putra yang sebelum ini mencabar kesahihan enakmen jenayah syariah dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat, namun ia tidak dibawa pula ke Mahkamah Sivil dan akhirnya lelaki itu terlepas daripada kedua-dua Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah .

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 104 surah an-Nisaa’:

 وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا ‎﴿١٠٤﴾

Maksudnya : Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana

Pada hari Jumaat yang mulia ini juga kita terus memberi perhatian dan mengambil sikap membantu mengikut kadar yang termampu dalam isu keganasan zionis Yahudi dan sekutu penjenayah mereka yang terus membunuh umat Islam yang kini hampir 28 000 terkorban. kebanyakan negara Islam dan Arab pula mengecewakan. Mereka hanya menjadi penonton atau ada yang menjadi buah catur yang diatur oleh Zionis dan negara sekutunya, supaya melakukan normalisasi terhadap Zionis yang nyata kekejamannya. Zionis juga memaksa Palestin menjadi mangsa kekejaman yang paling dahsyat itu untuk mengikuti arahan, supaya Palestin menyerah kalah, rakyat asalnya berpindah mengikut tempat yang ditentukan oleh Zionis, atau mewujudkan negara boneka kepada Zionis.

Perlu diketahui bahawa Zionis telah berjaya meletakkan ahlinya ke dalam parti-parti yang berkuasa memerintah negara tersebut atau sesiapa sahaja yang boleh digunakan oleh Zionis menjadi alatnya. Maka, calon-calon tersebut dimenangkan melalui pilihan raya demokrasi secara rasuah dan menipu bagi memenangkan sesiapa sahaja yang paling kuat bersama Zionis.

Sehinggakan, semua negara tersebut dapat mempengaruhi semua pertubuhan antarabangsa; bermula daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sehinggalah agensi media yang paling besar dan berpengaruh. Oleh itu kembalilah kepada Islam yang dijanjikan kemenangan dan kemuliaan dunia akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan komen