• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,990,083 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,757 other followers

  • Advertisements

99. BAHAYA NEGARA ISLAM CETAK ROMPAK

 

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُفَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam  ayat 49-50  surah al-Maidah :

وأن احكم بينهم بما أنزل الله ولاتتبع أهواءهم واحذرهم أن يفتنوك عن بعض ما أنزل الله إليك فإن تولوا فاعلم أنما يريد الله أن يصيبهم ببعض ذنوبهم وإن كثيرا من الناس لفــسقون . أفحكم الجــهلية  يبغون ومن أحسن من الله حكما لقوم يوقنون

Maksudnya : Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah. Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kamu.  Jika mereka berpaling maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mengkehendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin

            Kita sentiasa berdepan dengan dua keadaan yang berlawanan dan bertentangan untuk diperhati dan difikirkan secara mendalam mengikut neraca wahyu untuk membezakannya dan seterusnya mengambilnya untuk di guna pakai atau dijadikan sempadan. Ada yang hak dan ada yang batil, ada yang benar dan ada yang palsu, ada yang asli dan yang cetak rompak. Sebagaimana masyarakat dihebohkan dengan ulama’ benar dan ulama’ palsu begitulah juga kita di hantui dengan isu negara Islam benar dan cetak rompak. Sejak awal tahun ini, negara menyaksikan bagaimana suatu tindakan yang begitu tegas dan menyeluruh daripada pihak bertanggungjawab dalam memerangi kegiatan cetak rompak vcd dan perisian komputer yang dianggap bahaya kepada perkembangan ekonomi negara. Jika vcd dan perisian komputer cetak rompak begitu merbahaya begitulah juga dengan pengisytiharan negara Islam cetak rompak yang seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya oleh umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya agar tidak terpesong dengan negara Islam cetak rompak yang dijaja setelah begitu lama pemimpin sendiri mengatakan adalah suatu yang agak mustahil serta akan diperangi habis-habisan daripada tertegaknya sebuah negara Islam dalam negara ini. Ilmu berdasarkan wahyu yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam akan menjamin mereka untuk membezakan antara negara Islam sebenar dengan yang cetak rompak.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di sini suka dibawa beberapa ciri yang perlu ada kepada sebuah negara Islam untuk pengetahuan kita bersama. Ciri pertama : Syariat Islam mestilah menjadi aqidah negara dan dari aqidah itulah ditegakkan perlembagaan, perundangan dan segala sistem hidup. Firman Allah dalam ayat 65 surah az-Zumar :

ولقد أوحى إليك وإلى الذين من قبلك لئن أشركت ليحبطن عملك ولتكونن من الخـــسرين

Maksudnya : Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi sebelum kamu. Jika kamu syirik nescaya akan terhapuslah amalan dan tentulah kamu termasuk golongan mereka yang rugi

                Setelah diteliti tentang aqidah negara ini maka memang jelas tentang dasar sekulerismenya sebagai contohnya masih terpisah antara mahkamah sivil dan syariah malah banyak keadaan kuasa di mahkamah sivil lebih tinggi berbanding syariah ditambah lagi dengan perundangan di mahkamah syariah bukan kesemuanya selaras dengan hukuman Islam. Malah perundangan negara boleh dijadikan hujah oleh ribuan umat Islam untuk murtad daripada Islam dengan begitu mudah. Ditambah lagi dengan tekanan terhadap dakwah Islam begitu kuat berbanding agama lain terutama Kristian sehingga banyak masjid dan surau lebih suka dimatikan daripada dihidupkan dengan majlis ilmu malah bertambah malang ada surau yang diroboh. Ilmu Islam bukan sahaja tidak dibenarkan untuk disampaikan secara menyeluruh malah pusat pengajian Islam diperangi habis-habisan kerana terlalu bimbang lebih ramai ulama’ dilahirkan. Lebih banyak perundangan yang dipinda hanya mengikut nafsu bukannya berdasarkan wahyu. Antara yang terbaru tentang penyeragaman doa di sekolah kebangsaan di mana menurut Mufti Perak boleh membawa kepada syirik seterusnya murtad terutama jika di sekolah itu ada pelajar atau guru yang pelbagai agama di mana jika kalimah Allah dalam doa hanya disebut Tuhan Kami sahaja kerana biasanya kalimah Tuhan Kami dikembalikan kepada tuhan mengikut kepercayaan agama masing-masing bukannya Allah. Jika negara ini adalah negara Islam maka perkara ini mesti dirujuk kepada ulama’ terlebih dahulu kerana ia melibatkan aqidah.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Ciri kedua : Syariat Islam mestilah diletakkan di tempat yang paling tinggi. Firman Allah dalam ayat 1 surah al-Hujurat :

يأيهاالذين ءامنوا لاتقدموا بين يدي الله ورسوله واتقوا الله إن الله سميع عليم

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan rasulNya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

            Setelah dikaji kita dapati bagaimana agama Islam sebagai agama rasmi negara dalam perlembagaan bukan bermakna Islam mampu dilaksanakan dalam semua keadaan sebaliknya jika perundangan Islam bertentangan dengan perlembagaan negara yang berasaskan Lord Reid maka ia sendirinya terbatal dan boleh diambil tindakan tegas jika dilaksanakan sebagaimana kegagalan enakmen syariah Kelantan untuk dilaksanakan walau pun telah lama diluluskan akibat bertentangan dengan perlembagaan negara. Sebaliknya undang-undang yang jelas bertentangan dengan Islam selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan negara boleh dilaksanakan seperti lesen judi atas alasan untuk memenuhi kehendak bukan Islam terutama bangsa Cina sedangkan di negara China, Taiwan malah Singapura yang majoriti rakyatnya  berbangsa Cina di mana masyarakat dan kerajaannya sentiasa berusaha dalam mengurangkan tempat judi yang merosakkan masyarakat. Pemimpin turut memberi ruang yang begitu luas dalam membiakkan kelab malam yang melahirkan ribuan pelacur di mana 60% peratus daripadanya berbangsa Melayu yang biasanya beragama Islam. Malah hiburan yang merosakkan akhlak muda mudi semakin hari semakin teruk sehingga masalah sosial bukan semakin menurun malah bertambah naik. Undang-undang rogol  terbaru yang dianggap lebih tegas bagaikan tiada yang takut kerana saban hari perkara terkutuk ini terus berlaku malah lebih kejam. Mengapakah hukuman Islam yang jelas dalam masalah ini tidak mahu dilaksanakan walau pun sudah terbukti kegagalan perundangan manusia

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Ciri ketiga : Perlaksanaan Islam yang menyeluruh meliputi aqidah, syariah, akhlak, system, kebendaaan, kemanusiaan dan sebagainya. Penerimaan Islam secara menyeluruh sebagai dasar dan hukum negara adalah wajib walau pun ia menerima pelaksanaannya secara berperingkat. Tetapi apa yang kita lihat bagaimana dari asas lagi kebanyakan pemimpin menolak sistem Islam yang menyeluruh apatah lagi untuk melaksanakannya. Jika ada sedikit dilaksanakan bukan atas rasa tanggungjawab yang mesti ditunaikan sebaliknya atas rasa terdesak dengan desakan rakyat yang boleh menggugat kedudukan mereka.

            Kita melihat pelaksanaan kepada perundangan dalam negara hanya mengikut nafsu di mana jika ada keuntungan dunia maka diambil bukannya mengikut neraca wahyu. Inilah yang menyebabkan pembukaan kilang arak yang begitu banyak dalam negara yang bukan sahaja melebihi permintaan orang bukan Islam malah boleh dieksport ke luar negara. Begitu juga dengan sistem riba yang banyak menindas terus diamalkan sedangkan sistem ekonomi Islam bukan sahaja berlaku adil dan menguntungkan orang Islam malah turut merangkumi orang bukan Islam telah ada untuk dilaksanakan secara menyeluruh tetapi tidak pula dilaksanakan.

            Oleh itu sedarlah kita betapa bahayanya negara Islam cetak rompak kerana ia boleh mengelirukan umat Islam dan bukan Islam sehingga rakyat berpuas hati dengan apa yang ada dan tidak lagi berjuang untuk menegakkan ajaran Islam yang menyeluruh. Ia juga menyebabkan masalah kemurtadan akan semakin bertambah yang menyebabkan umat Islam tidak sedar bahawa jumlah umat Islam semakin sedikit. Malah aqidah umat Islam semakin rosak apabila mengiktiraf negara Islam cetak rompak sebagai negara Islam contoh sedangkan ia bertentangan dengan apa yang telah dibina oleh Rasulullah s.a.w dan khulafa’ ar-Rasyidin dan khalifah selepas mereka. Oleh itu jangan hanyut dengan nikmat yang melimpah ruah kerana ia adalah ujian yang kadang-kadang untuk menghancurkan umat yang lalai dan melawan Allah.

Ingatlah Firman Allah dalam ayat 44 surah al-An’am :

فلما نسوا ما ذكروا به فتحنا عليهم أبوب كل شيء حتى إذا فرحوا بما أوتوا أخذنــهم بغتة فإذاهم مبلسون

Maksudnya : Maka apabila mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka lalu Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami siksa mereka dengan tiba-tiba.Maka ketika itu mereka terdiam putus asa

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

97. HENTIKAN PENJAJAHAN BARU KUFFAR DURJANA

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُفَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  4 surah Muhammad :

فإذا لقيتم الذين كفروا فضرب الرقاب حتى إذا أثخنتموهم فشدوا الوثاق فإما منا بعد وإما فداء حتى تضع الحرب أوزارها ذلك ولو يشاء الله لانتصر منهم ولكن ليبلوا بعضكم ببعض والذين قتلوا فى سبيل الله فلن يضل أعمــلهم

Maksudnya : Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir di medan perang maka pancunglah batang tengkok mereka. Setelah kamu mampu mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sehingga perang berhenti. Demikian apabila Allah mengkehendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang gugur pada jalan Allah maka Allah tidak sekali-kali mensia-siakan segala amalan mereka.

            Dunia umat Islam yang baru merasai kehangatan menyambut kedatangan tahun baru 1424 Hijrah telah dihiris dengan rasa sedih dan resah apabila Iblis Amerika dan Syaitan Britain dibantu oleh beberapa sekutu kuffar setelah dihasut oleh Dajjal zionis yahudi tanpa menghiraukan bantahan dunia dan rakyat mereka sendiri telah melakukan serangan kejam tidak bertamadun terhadap bumi Iraq. Hari ini masuk hari yang kesembilan pencerobohan yang tidak berperi kemanusiaan itu yang telah mengorbankan hampir 400 rakyat awam daripada kalangan orang tua, wanita dan kanak-kanak dan mencederakan lebih 3000 orang yang lain. Penjajahan baru 2 kuasa besar dunia itu ke atas Iraq secara jelas mencabuli perundangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) walau pun kita umat Islam sendiri dari dulu lagi tidak begitu yakin terhadap fungsi pertubuhan ini yang lebih banyak  tunduk kepada kehendak kuffar. Walau pun PBB telah banyak membantu kuffar tetapi Amerika masih tidak berpuas hati kerana badan ini dikhuatiri akan bergerak menentang mereka buat masa terdekat setelah beberapa negara yang memiliki kuasa veto yang lain seperti Perancis, Jerman dan China semakin kuat. Sebab itulah Amerika tanpa restu kuasa besar yang lain bertindak sewenangnya menghancurkan bumi Iraq bagi menunjukkan kepada dunia bahawa dialah sebagai kuasa besar yang terkuat. Malah Amerika mahu tenteranya mentadbir Iraq selepas ini walau pun sekutunya Britain meminta agar menyerahkannya kepada PBB.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita melihat serangan yang kejam dilakukan ke atas Iraq disebabkan perkara yang utama ialah Islam. Ini diperakui oleh seorang ahli parlimen Britain dalam kenyataan terbaru bahawa Iraq dan negara Asia barat akan dibahagikan kepada beberapa negara kecil selepas penjajahan baru sehingga kekuatan Islam berjaya dipadamkan dan al-Quran terus ditinggalkan. Kita tidak menafikan bagaimana Iraq merupakan antara negara umat Islam yang mempunyai kekuatan senjata tetapi telah banyak dimusnahkan dalam peperangan Teluk 1991. Namun dunia terkejut dengan kekuatan Iraq yang terus membina kekuatan setakat yang mampu di tengah-tengah sekatan ekonomi lebih 10 tahun termasuk mendapat nasihat daripada bekas penasihat perang negara-negara Arab yang pernah mengalahkan yahudi Israel sebelum ini sehingga penjajahan baru ke atas Iraq yang dijangka hanya memakan masa 48 jam melarat masuk hari ke-9 yang lebih banyak merosakkan harta benda dan nyawa orang awam daripada tentera yang berperang. Amerika turut menambah bilangan tentera ke Teluk seramai 120 ribu orang disamping tambahan bantuan kewangan. Malah ramai yang meramalkan Iraq tidak mampu dijajah selagi kota Baghdad gagal ditawan disamping jika perang ini berlanjutan lebih daripada 2 minggu maka kemungkinan besar tentera penceroboh bersekutu kuffar itu akan kalah. Lebih 600 peluru berpandu termasuk bom berantai telah digugurkan ke atas bumi Iraq setakat ini sehingga meranapkan banyak bangunan termasuk hospital dan rumah anak yatim. Kita lihat bagaimana serangan udara yang hampir menghancurkan Iraq telah banyak kali dilepaskan tetapi Iraq belum menggunakan senjata pemusnah yang didakwa dimiliki oleh Iraq yang dijadikan antara alasan kepada serangan bacul ini. Jika hanya setakat senjata pemusnah yang melebihi had 180 kilometer dijadikan alasan sedangkan jarak itu belum membolehkan Iraq menyerang Israel apatah lagi Amerika dan Britain maka sepatutnya Iraq tidak diserang kerana Korea Utara masih diberi peluang walau pun jelas membina kembali senjata nuklear. Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa serangan ini merupakan antara agenda dalam menghancurkan semua negara umat Islam yang kini  didapati kebanyakannya telah mula kembali kepada Islam. Amerika cuba mendapatkan sokongan rakyat Iraq atas alasan mahu mengguling Saddam Hussein tetapi apa yang mereka lakukan adalah sebaliknya. Malah Amerika dan Britain perlu sedar bahawa keperluan mereka kepada sokongan puak Kurdis yang didakwa dizalimi oleh kerajaan Iraq sebenarnya akibat perbuatan Britain sendiri yang mana ketika dipecahkan tanah jajahan Khilafah Othmaniah lalu puak Kurdi yang dikatakan berbahaya kerana banyak melahirkan pahlawan Islam termasuk Salahuddin al-Ayyubi tidak diberi sebuah negara berdaulat sebaliknya dipecahkan sehingga antara mereka menjadi rakyat Iraq, Turki dan Syria.

             

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Pemimpin negara umat Islam Islam perlu sedar bagaimana perancangan jahat Kuffar yang diketuai oleh yahudi kini memulakan penjajahan baru ke atas negara umat Islam di dalam memastikan Islam tidak bangkit sebagai kuasa yang memerintah. Kita hampir kehilangan negara Palestin dan betapa tergugatnya Masjid al-Aqsa diikuti dengan penjajahan terhadap Afghanistan dan kini bumi Iraq yang diminati oleh yahudi kerana adanya kota Babylon yang didakwa milik mereka, mula menjadi mangsa penjajahan terbaru. Jika umat Islam terutama pemimpin masih alpa maka satu demi satu negara umat Islam yang sememangnya kaya dengan hasil bumi akan kembali dijajah. Kuffar berani datang menjajah kerana umat Islam berpecah dalam membina kesatuan Islam tetapi boleh bersatu untuk menyerang negara umat Islam sendiri. Kita perlu sedar bagaimana amaran Amerika untuk menyerang Iran selepas Iraq ada asasnya terutama dua kali peluru berpandu tersasar ke sempadan Iran disamping Amerika meneruskan pemburuan terhadap saki baki mujahidin di Afghanistan dan berusaha menghancurkan beberapa kumpulan Islam yang lain bagi memastikan apabila berlakunya serangan seterusnya ke atas Iran selepas ini maka tiada lagi mana-mana kumpulan mujahidin yang datang membantu. Menyedari betapa jahat dan terancangnya perancangan musuh maka seluruh umat Islam didahului oleh pemimpinnya wajib kembali kepada Islam. Kita menyeru agar semua pihak dapat terus berusaha secepat mungkin dengan bersungguh-sungguh dalam menghentikan peperangan ini dengan segera. Rakyat Iraq bukan binatang sembelihan di mana musuh boleh menghulurkan satu tangan untuk memberi makanan atas alasan bantuan kemanusiaan sedangkan satu tangan yang lain bersiap sedia untuk membunuhnya. Oleh itu seluruh negara umat Islam mesti lebihkan usaha dalam menguatkan kekuatan negara umat Islam tanpa terlalu bergantung kepada kuasa besar kuffar memandangkan 57 buah negara dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) adalah negara yang kaya dengan hasil bumi terutama petroleum. Kita tidak mahu pemimpin negara umat Islam bersikap talam dua muka iaitu apabila bercakap dengan rakyatnya maka mereka begitu bersemangat menentang musuh tetapi apabila duduk bersama Syaitan Amerika maka mereka berjanji untuk bersama memerangi umat Islam. Jika pemimpin negara umat Islam terus bersikap begini maka negara umat Islam akan dijajah satu demi satu dan pemimpin sendiri akan menerima akibatnya bukan sahaja di dunia malah di akhirat nanti.

Ingatlah firman Allah dalam ayat 14 surah al-Baqarah :

وإذا لقوا الذين ءامنوا  قالوا آمنا وإذا خلوا إلى شيــطينهم قالوا إنا معكم إنما نحن مستهزءون

Maksudnya : Dan ketika mereka bertemu dengan orang-orang beriman maka mereka mengatakan bahawa kami telah beriman. Sedangkan ketika mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka lalu mereka mengatakan bahawa kami sependapat dengan kamu di mana kami hanya berolok-olok.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

             Sabda nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:

يا أيهاالناس لاتتمنوا لقاء العدو واسألوا الله العافية فإذا لقيتموهم فاصبروا واعلموا أن الجنة تحت ظلال السيوف ثم قام النبي صلى الله عليه  وسلم  وقال اللهم منزل الكتاب ومجري السحاب وهازم الأحزاب اهزمهم وانصرنا عليهم

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Janganlah kamu mengharapkan untuk bertemu dengan musuh dan pohonlah kesejahteraan. Namun apabila kamu bertemu dengan mereka maka bersabarlah dan ketahuilah kamu sesungguhnya Syurga itu berada di bawah libasan mata pedangmu. Selanjutnya nabi bangkit dan berdoa : Ya Allah! Engkaulah yang menurunkan kitab dan yang menggerakkan awan dan yang mengalahkan tentera bersekutu maka hancurkanlah mereka dan berikanlah kemenangan kepada kami.

            Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah melembutkan hati pemimpin kuffar sebagaimana Allah melembutkan besi kepada nabi Daud atau menghancurkan mereka sebagaimana kaum ‘Aad dan Thamud. Semoga Allah merubahkan pendirian kuffar sebagaimana diubahkan agama tentera Tartar yang kejam kepada Islam setelah menghancurkan Baghdad atau ditenggelamkan mereka ke dasar bumi sebagaimana Qarun. Semoga Allah menenggelamkan kapal perang dan seluruh tentera kuffar yang berada di laut keliling Iraq sebagaimana ditenggelamkan Firaun dan bala tenteranya di Laut Merah.  Semoga Allah menghantarkan tenteranya sebagaimana dihantarkan burung Ababil dalam menghancurkan tentera bergajah Abrahah. Semoga Allah menghantarkan lebih banyak ribut pasir yang menyebabkan tentera kuffar kembali ke negara mereka dalam kekalahan yang memalukan  sebagaimana tentera Ahzab. Semoga Allah menurunkan pertolongan daripada kalangan para Malaikat dalam menghancurkan pengganas Amerika dan sekutunya yang ganas.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ