• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

2. KHUTBAH EIDIL FITRI 1422H


 

 

KHUTBAH PERTAMA

الله أكبر  ( 9 كالي ) الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا  . الحمد لله الذي وفقنا لعبادته . وجعل هذا اليوم فرحا لعباده المتقين الذين فازوا بصيام رمضان وقيامه . وأشهد أن لاإله إلا الله وحده لاشريك له  . وأشهد أن محمدا عبده ورسوله اللهم صل وسلم وبارك على نبينا محمد وعلى آله ومن سار على نهجه إلى يوم الدين . أما بعد …. فيا أيها المسلمون اتقوا الله حق تقاته ولاتموتن إلا وأنتم مسلمون …. ….فرمان الله دالم آية  33     سورة لقمان :

ياأيهاالناس اتقوا ربكم واخشوا يومالايجزى والد عن ولده ولامولود هو جاز عن والده شيئا إن وعد الله حق فلاتغرنكم الحيـوة الدنيا ولايغرنكم بالله الغرور

Maksudnya : Wahai manusia! Takutlah kepada Tuhanmu dan takutlah suatu hari di mana seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar maka jangan sekali-kali kehidupan dunia memperdayakanmu dan jangan pula tipuan (syaitan) memesongkanmu dalam mentaati Allah

 

Muslimin/mat yang diberkati Allah,

            1 Syawal tiba lagi menandakan bermulanya sambutan eidil fitri di mana ia disambut penuh kesyukuran dengan laungan takbir membesarkan Allah dan laungan tahmid memuji Allah oleh seluruh umat Islam sedunia tanpa mengira batas usia, harta, takhta atau pun bangsa. Masing-masing bergembira menyambut kedatangan hari yang berbahagia ini setelah sebulan mereka bertarung dengan godaan nafsu semasa menunaikan ibadat puasa. Keindahan Islam semakin terserlah apabila ia telah menggariskan adab dan ibadat yang teratur apabila menyambut hari raya. Malahan umat Islam dijanjikan pahala apabila mengadakan sambutan hari raya mengikut kehendak Islam dengan mengenepikan segala keinginan nafsu yang cuba menodai kesucian hari raya. Kedatangan Syawal turut mengingatkan kita bagaimana telah berlalunya Ramadhan yang merupakan bulan yang penuh dengan proses tarbiah dalam melahirkan umat yang bertaqwa. Pemergian Ramadhan bersama dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaannya termasuk Lailatul Qadar bukanlah cukup sekadar ditangisi pemergiannya tetapi sebaliknya perkara yang sepatutnya kita lakukan ialah meneruskan proses tarbiah yang diterima sepanjang Ramadhan lalu di dalam bulan-bulan seterusnya. Tarbiah Ramadhan yang mendidik kita untuk lahir sebagai hamba Allah yang taat dalam beribadat, sabar daripada maksiat, kasih kepada masyarakat mesti terus subur dalam diri sehingga lahir sebagai hamba yang bertaqwa yang mempunyai bekalan akhirat yang mencukupi sebelum bertemu Allah nanti.  Jangan biarkan diri kita terus hanyut dengan godaan nafsu setelah berlalunya tarbiah Ramadhan.

            Pemergian Ramadhan bukanlah bermakna terhentinya proses tarbiah malah kita akan meneruskan segala tarbiah tersebut terutama dalam menghidupkan masjid dan surau untuk sama-sama datang berjemaah dan menambah ilmu bagi menunjukkan umat Islam mampu bersatu dan cintakan kemajuan yang berasaskan ilmu yang disuluhi cahaya wahyu. Kita mesti menggunakan nikmat sihat dan lapang untuk menambahkan bekalan akhirat sebelum ia ditarik oleh Allah jika terlalu ramai umat manusia gagal melaksanakan amanah yang telah ditetapkan oleh Allah termasuk amanah menegakkan seluruh sistem Islam dalam setiap aspek kehidupan. Kita disini banyak diuji dengan godaan nafsu dan syaitan sahaja dalam mendirikan kewajipan agama sedangkan betapa ramai saudara seagama kita yang lain tidak mampu ke masjid kerana berdepan dengan senjata musuh dan ramai yang ditembak ketika sedang solat. Apakah kita masih lalai dengan godaan dunia dan hanya mahu insaf setelah datangnya ujian yang berat daripada Allah sebagaimana yang telah diuji ke atas saudara kita yang lain.

 

الله أكبر! الله أكبر ! الله أكبر ولله الحمد

            Gema takbir membesarkan Allah dan tahmid memuji Allah yang dilaungkan secara bersama memberi isyarat bahawa umat Islam mampu bersatu untuk mengembalikan semula kegemilangan mereka. Al-Quran yang banyak kali dibaca malah dikhatamkan sepanjang Ramadhan bulan turunnya wahyu pertama mestilah terus dibaca bukan sahaja untuk merebut fadhilat dan pahala tetapi yang lebih penting ialah untuk memahami  dan melaksanakan segala isi kandungannya demi mencapai keredhaan Allah. Umat Islam mesti kembali kepada ilmu pengetahuan yang banyak tercicir sehingga ia diambil oleh kuffar dalam membina tamadun kebendaan mereka. Tanpa ilmu pengetahuan maka umat Islam akan terus ketinggalan serta menjadi umat yang tertindas. Kembalinya umat Islam kepada ilmu pengetahuan yang disuluhi cahaya wahyu disamping pelaksanaan semula seluruh sistem Islam memungkinkan kita untuk meluaskan medan dakwah yang boleh menarik lebih ramai umat manusia memeluk Islam dan sekurang-kurangnya mereka tidak memusuhi Islam. Tanpa ilmu pengetahuan menyebabkan kita gagal menggerakkan usaha dakwah malah turut gagal menjawab segala tohmahan musuh Islam terhadap kesucian Islam. Kini kuffar memainkan peranan yang besar dalam memburukkan imej Islam melalui media massa yang dikuasai terutama selepas serangan terhadap 2 bangunan utama di Amerika Syarikat pada 11 September lepas di mana Islam dituduh sebagai agama yang menghalalkan keganasan. Kuffar telah mengkaji ayat al-Quran dan Hadis serta kitab-kitab karangan ulama’ terutama mengenai jihad yang membolehkan mereka mengeluarkan kesimpulan bahawa Islam menggalakkan keganasan. Ramai di kalangan umat Islam sendiri yang terpedaya dengan dakyah kuffar terutama banyak pemimpin negara umat Islam terus bersama dengan kuffar dalam memerangi umat Islam sendiri sehingga suara ulama’ yang menjawab balik tuduhan tersebut tenggelam dan tersekat. Media yang ada lebih banyak mengambil berita yang telah ditapis oleh kuffar sehingga semangat juang umat Islam semakin layu. Berita-berita bohong yang merupakan serangan saraf kuffar lebih mendapat tempat di media sedangkan maklumat yang tepat dan benar terus disekat.

           

Muslimin/mat yang dihormati sekalian,

Umat Islam walau pun jumlahnya begitu ramai tetapi umpama buih yang tidak mempunyai kekuatan terutama umat Islam kehilangan tempat bergantung setelah hilangnya sistem khalifah. Kita tidak sebagaimana umat Islam ketika menghadapi kepungan tentera Ahzab yang berbilang puak yang cuba memerangi nabi dan para muslimin tetapi disebabkan umat Islam bersatu di bawah satu kepimpinan maka mereka berjaya mengalahkan tentera Ahzab apabila datangnya pertolongan Allah dengan ribut padang pasir yang menyebabkan mereka terpaksa berundur. Kemenangan dalam peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal ini sentiasa dilaung-laungkan apabila tibanya hari raya iaitu kalimah

وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab. Tetapi keadaan umat Islam kini berbeza apabila mereka berpecah mengikut bangsa dan negara atas acuan yang dikehendaki oleh kuffar sehingga kuffar tanpa rasa takut dan gerun terus menyerang negara umat Islam secara silih berganti tanpa pembelaan sewajarnya. Umat Islam dikepung oleh tentera musuh tanpa ada lagi tempat bergantung di mana jika mereka merayu kepada kuffar maka seolah mereka menyerah diri untuk disembelih dan jika meminta bantuan daripada negara umat Islam maka hanya bantuan ubatan dan makanan yang mampu disalurkan. Masalah Iraq yang belum diselesai ditambah lagi dengan masalah Cechnya, Kashmir, Selatan Filiphina dan yang hangat sekarang ini ialah di Afghanistan. Kehebatan umat Islam sebelum ini telah lama hilang sehingga musuh tanpa segan silu terus membaham umat Islam disebabkan umat Islam yang ramai tidak mampu bersatu kerana mengikut perangai kebanyakan pemimpin mereka yang cintakan dunia dan takutkan kematian. Masing-masing lebih suka membilang harta kekayaan dunia daripada berfikir masalah penderitaan saudara seagama dan mereka juga takut mati sehingga sanggup membiarkan musuh meratah tubuh saudara seagama yang lain asalkan mereka tidak mengganggu kita. Kita terus berasa hina apabila melihat umat Islam dibunuh sesuka hati di Afghanistan malah umat Islam sendiri dijadikan alat untuk memburu saudara seagama atas alasan bahawa mereka adalah pengganas. Selepas itu barat dengan tipu daya maka mereka berjaya menubuhkan kerajaan boneka di Afghanistan untuk mengaut hasil minyak dan bahan galian yang ada di Afghanistan bagi kepentingan mereka terutama dalam membayar balik kos senjata yang digunakan untuk membunuh umat Islam.

Ini mengingatkan kita kepada suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad dalam musnadnya:

قال رسول الله : يوشك الأمم ان تداعى عليكم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها  فقال قائل : ومن قلة نحن يومئذ؟ قال : بل أنتم يومئذ كثير , ولكنكم غثاء كغثاء السيل , ولينزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم وليقذفن الله فى قلوبكم الوهن  فقال قائل : يارسول الله وما الوهن ؟ قال : حب الدنيا وكراهية الموت

Maksudnya : Akan hampir seluruh umat manusia menyeru kamu sebagaimana diseru makanan ke bekasnya. Maka seorang berkata : Dan adakah disebabkan jumlah kami pada waktu itu menjadi sedikit?. Jawab baginda : Bahkan jumlah kamu pada hari itu begitu ramai tetapi kami seperti buih seumpama buih air banjir. Dan akan dicabut daripada sanubari musuh kamu perasaan kagum terhadap kehebatanmu disamping Allah akan mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu. Maka seorang berkata : Wahai Rasulullah! Apakah penyakit wahan itu. Lalu sabda baginda : Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.

           

الله أكبر ! ألله أكبر ! الله أكبر ولله الحمد

            Ketika kita di sini menitis air mata kegembiraan pada hari raya kerana dapat bertemu sanak saudara sedangkan saudara kita terutama di Palestin terus mengalir air mata kesedihan meratapi kematian ahli keluarga yang menjadi mangsa kekejaman rejim yahudi. Kekejaman yahudi tidak pernah padam bermula dengan kemasukan mereka ke Palestin sehingga kini terutama setelah kegagalan yahudi untuk membina pusat Zionis Raya untuk menguasai dunia yang diramalkan mampu terbina pada 1997 yang lalu namun ia masih gagal. Barat dan sekutu kuffarnya bukan sahaja membisu malah turut membantu keganasan yahudi yang sedang berusaha menghalau seluruh umat Islam dari Palestin serta berusaha merobohkan Masjid Al-Aqsa bagi dibina Haikal Nabi Sulaiman yang didakwa milik yahudi sedangkan itu semua adalah milik umat Islam. Yahudi kini sedangkan dihimpunkan di satu tempat iaitu di Palestin untuk menunggu masa bagi dihancurkan oleh Allah melalui tenteranya yang cintakan syahid dan bermatian mempertahankan bumi yang berkat itu bagi sama-sama melaksanakan janji Allah melalui sebuah hadis :

عن أبي هريرة أن رسول الله قال : لاتقوم الساعة حتى يقاتل المسلمون اليهود فيقتلهم المسلمون حتى يختبيء اليهودي من وراء الحجر والشجر  فيقول الحجر أو الشجر : يا مسلم ياعبدالله هذا يهودي خلفي فتعال فاقتله إلا الغرقد فإنه من شجر اليهود.

Maksudnya : Tidak berlaku qiamat sehingga orang Islam memerangi kaum yahudi maka mereka akan diperangi oleh orang Islam sehingga yahudi akan bersembunyi di sebalik batu dan pokok lalu berkatalah batu atau pokok :Wahai orang Islam hamba Allah! ini dia yahudi dibelakangku maka datanglah dan bunuhlah dia melainkan pokok gharqad maka sesungguhnya ia merupakan pokok yahudi.

            Oleh itu umat Islam mesti bersatu dan kembali kepada ajaran Islam menyeluruh bukan semata-mata sekadar cukup mendakwa bahawa negaranya adalah negara Islam sedangkan banyak lagi tuntutan Islam masih gagal dilaksana. Ingatlah kita bahawa kita umat Islam hanya mampu maju dan mulia apabila melaksanakan Islam yang menyeluruh dan kita terus mundur dan hina kerana meninggalkan ajaran Islam dengan mencari ideologi lain sebagai cara hidup.

Renungilah firman Allah dalam  ayat 8 surah as-Sof:

يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم نوره ولو كره الكــفرون

Maksudnya : Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membenci

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

 

 

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

الله أكبر ( 3 كالي )       الله أكبر ( 3  كالي )   الله أكبر

الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا . الحمد لله وحده صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله, اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين . أما بعد…….فيا أيها المسلمون! اتقو الله وأطيعوه واعلموا أن الله يحب المتقين .

فرمان الله تعالى دالم أية   134   سورة آل عمران

الذين ينفقون فى السراء والضراء والكـــظمين الغيظ والعافين عن الناس  والله يحب المحسنين

Maksudnya :  Orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di masa senang mahu pun ketika susah, dan orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.

 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah

            Ketika kita menunaikan ibadat puasa sepanjang Ramadhan lalu maka kita diajar agar sentiasa menjauhi perkara membatalkan puasa walau pun ia halal ketika kita tidak berpuasa seperti makan dan minum. Jika perkara halal pun kita dilarang makan apatah lagi perkara haram seperti arak, riba, rasuah dan sebagainya. Begitu juga dengan kewajipan menunaikan zakat fitrah menambahkan lagi tarbiah diri agar kita tidak merasa sayang kepada harta yang dipinjam oleh Allah malah sentiasa menggunakan harta yang halal itu untuk membantu mereka yang susah. Jika harta yang halal pun kita boleh salurkan kepada orang lain apatah lagi harta yang haram maka kita sentiasa menjauhinya. Sistem zakat menunjukkan kepada kita bagaimana hebatnya sistem Islam jika dilaksanakan mengikut lunas Islam. Sistem zakat dapat membantu mengurangkan kadar kemiskinan apabila si kaya sentiasa membantu si miskin sedangkan dalam masa yang sama si kaya begitu memerlukan sumbangan tenaga kerja daripada si miskin malah si miskin turut membelanjakan harta yang diterima untuk membeli barangan yang dikeluarkan daripada kilang milik si kaya. Akhirnya harta itu terus berpusing dengan baik sehingga masing-masing merasakan saling memerlukan antara satu sama lain yang membolehkan suasana dalam masyarakat begitu aman di mana si miskin sentiasa merasakan nasib mereka terbela dan si kaya sentiasa merasakan bahawa harta mereka terjaga. Zakat dapat mengelakkan daripada harta itu hanya berkisar di kalangan si kaya sahaja kerana Islam telah menetapkan asnaf penerima zakat sehingga mampu menangani masalah tingginya jurang perbezaan antara si kaya dan miskin di mana ini semua dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti rompakan dan sebagainya akibat daripada dendam dan rasa tidak puas hati. Cuma pada hari ini dalam memastikan kadar kemiskinan dapat dikurangkan bukan cukup sekadar mahu membentuk pengurusan yang cekap tetapi mestilah lebih ditekankan masalah amanah. Disebabkan kurangnya sifat amanah membawa kepada banyaknya berlaku pecah amanah yang melibatkan bukan sahaja harta rakyat tetapi juga harta zakat. Tanpa sifat amanah menyebabkan tabung untuk rakyat miskin turut digunakan sesuka hati dalam menambahkan lagi kekayaan orang yang sudah kaya. Disebabkan kurang amanah maka orang lain menanggung susah seperti hilangnya wang untuk orang mahu menunaikan haji. Begitu juga masalah zakat jika diurus tanpa amanah maka ia bukan sahaja gagal menangani masalah kemiskinan tetapi masalah yang lebih besar akan berlaku.

 

Muslimin/mat yang diberkati Allah,

            Semoga kedatangan eidil fitri kali ini menambahkan kebahagian kepada seluruh umat Islam. Dalam berhari raya jangan cuba cemarinya dengan maksiat. Cuba jaga adab Islam dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan serta elakkan daripada membazir. Disamping itu rebutlah juga peluang untuk menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda Rasulullah s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ          ( رواه مسلم )

Maksudnya  : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

Selamat hari raya eidil fitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Banyakkan bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira dan selamat menziarahi sanak saudara pada hari yang mulia ini bagi merapatkan lagi tali persaudaraan.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيَ الحَاجَاتِ  وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ وَلايرحمنا, اللّهُمَّ انصر المجاهدين الذين يجاهدون في سبيلك في كل زمان ومكان ,  اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ .اللهم تقبل منا صلاتنا وصيامنا وقيامنا وزكاتنا وجميع حسناتنا واجعلها خالصة لوجهك الكريم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبحانك اللهم وتحيتهم فيها سلام وآخر دعواهم أن الحمد لله رب العالمين

Tinggalkan komen