• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

5. KHUTBAH EIDIL FITRI 1424H


KHUTBAH PERTAMA

 

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 3  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 2  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا  . الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ . وَجَعَلَ هذَا اليَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الُمتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ  .وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  . أَمَّا بَعْدُ …. فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَفرمان الله دالم آية  55  سورة النور :

وعد الله الذين ءامنوا منكم وعملوا الصــلحــت ليستخلفنهم فى الأرض كما استخلف الذين من قبلهم وليمكنن لهم دينهم الذي ارتضى لهم وليبدلنهم من بعد خوفهم أمنا يعبدونني لايشركون بي شيئا  ومن كفر بعد ذلك فأولئك هم الفـسقون

Maksudnya : Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka sebagai khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di muka bumi ini sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka sebagai khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan meneguhkan bagi mereka agama  Islam yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia juga akan menukar keadaan mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka terus menyembahKu tanpa mempersekutukanKu dengan sesuatu pun. Dan sesiapa yang kufur engkar sesudah itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

 

Muslimin/mat yang diberkati Allah,

            Eidil Fitri merupakan suatu anugerah istimewa daripada Allah kepada umat Islam setelah sebulan berpuasa Ramadhan. Umat Islam yang dapat menunaikan ibadat puasa dengan sempurna bukan sahaja dapat merasai kegembiraan ketika berbuka malah semasa menyambut hari raya serta dijanjikan satu lagi kegembiraan yang begitu diharapkan iaitu apabila bertemu dengan Allah nanti. Oleh itu sambutlah ketibaan 1 Syawal dalam keadaan antara perasaan al-Raja’ iaitu begitu berharap agar segala amalan diterima oleh Allah S.W.T serta perasaan al-Khauf iaitu begitu gerun jika amalan kita ditolak oleh Allah S.W.T sehingga kedua-dua perasaan tadi dapat melahirkan diri kita sebagai hamba yang bertaqwa. Ketika bergembira menyambut hari raya maka kita turut merenung tentang adakah kita akan berjumpa lagi dengan tarbiah Ramadhan pada tahun depan atau sebaliknya. Jangan pula terlalu  gembira dengan berlalunya Ramadhan sehingga kedatangan hari raya diisikan dengan maksiat seumpama banduan yang baru terlepas daripada menjalani hukuman yang menyiksakan. Kita perlu ingat bahawa iblis dan syaitan pun turut bergembira dengan berlalunya Ramadhan kerana mereka boleh bebas daripada ikatan Allah S.W.T dan akan membalas dendam untuk meneruskan kerja jahat mereka dalam merosak dan menyesatkan anak Adam.

Gunakanlah segala hasil tarbiah Ramadhan untuk menyemarakkan lagi semangat jihad dalam beribadat khusus dan bekerja sehingga kemuliaan dan kegemilangan umat Islam kembali diraih. Jangan sama sekali meninggal terus proses tarbiah Ramadhan sehingga kita termasuk dalam golongan yang hanya berpuasa dari segi tidak makan minum sahaja tetapi tidak berpuasa pada segala anggota yang sepatutnya sehingga ia merugikan kita bukan sahaja di dunia malah di akhirat nanti. Jangan biarkan masjid dan surau kosong, al-Quran tidak dibaca serta tidak pula diamalkan dalam kehidupan dengan berlalunya Ramadhan. Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi di mana sabda nabi yang bermaksud : Akan datang suatu zaman di mana tidak tersisa Islam kecualitinggal namanya sahaja, tidak tersisa daripada al-Quran kecuali tulisannya sahaja dan masjid-masjid mereka berdiri megah dan cantik tetapi jauh daripada petunjuk Allah S.W.T……..

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

            Taqwa itulah antara yang diperolehi oleh umat yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah. Maksud taqwa sebagaimana yang diberitahu oleh Abu Hurairah iaitu seumpama seseorang yang terpaksa melalui sebatang jalan yang dipenuhi duri maka semestinya dia akan berusaha menjauhi, berundur atau cermat semasa melangkah agar tidak terpijak duri itu. Oleh itu, hamba Allah yang bertaqwa sentiasa cermat dalam tindak tanduknya agar tidak terkena duri kemaksiatan atau kekufuran yang boleh merobek keimanannya. Umat bertaqwa adalah suatu umat yang mesti dilahirkan dalam sesebuah negara agar terhindarnya banyak masalah maksiat yang menempah bala dan kemurkaan Allah. Ingatlah kita kepada suatu pesanan Sayyidina Umar kepada para pemimpin yang dilantik : Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertaqwa kerana tanpa taqwa maka kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat. Aku juga sangat kecewa kepada orang taqwa tetapi dungu kerana itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna. Sehubungan dengan ini maka ilmu dan amal mesti selari, ilmu dan akhlak mesti sentiasa bersama, ilmu dan taqwa mesti bersatu dalam melahirkan manusia yang bijak dalam bertindak serta berhati dalam bergerak agar sentiasa bertepatan dengan kehendak syarak.

            Masalah sosial dengan keruntuhan akhlak dan jenayah semakin banyak berlaku dalam masyarakat akibat memisahkan antara ilmu, amal, akhlak dan taqwa. Oleh itu sistem pendidikan yang ada mesti menekankan perkara ini dalam memastikan lahirnya umat yang berilmu tinggi dan berakhlak murni yang tertanam kukuh sifat taqwa dalam diri. Jangan terlalu mementingkan kejayaan akademik tanpa mengambil berat dengan ketinggian akhlak. Jangan terlalu menekankan kejayaan dalam mencari kekayaan dunia hasil pengajian tanpa memikirkan tentang bekalan akhirat yang sepatutnya lebih utama untuk ditingkatkan. Ingatlah kepada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Yang dikatakan kaya itu bukanlah kerana banyak harta benda sebaliknya kekayaan yang sebenar ialah kaya jiwa (hati).

 

Muslimin/mat yang dihormati sekalian,

            Pendidikan merupakan suatu tugas yang bukan sahaja dilakukan oleh guru di sekolah malah ia mesti bermula dengan didikan ibubapa di rumah ditambah dengan sokongan seluruh masyarakat dalam memastikan suasana sekitar sentiasa selaras dengan kehendak agama sehingga anak-anak dapat menjalani proses tarbiah dengan baik dan jaya. Amat malangnya jika proses tarbiah diganggu seperti tekanan yang begitu teruk bagi sekolah agama rakyat manakala di sekolah kebangsaan pula bukan sahaja dikurangkan mata pelajaran agama malah adanya cadangan untuk menghapuskan terus pengajian agama pada sesi pagi untuk dijadikan pengajian agama secara asing pada waktu petang. Sepatutnya kerajaan berusaha bersungguh dalam melahirkan ulama’ profesional di sekolah agama rakyat dengan mengekalkan bantuan serta melahirkan golongan profesional ulama’ di sekolah asrama penuh terutama MRSM disamping menambahkan lagi mata pelajaran agama di sekolah kebangsaan serta melaksanakan setiap program selaras dengan Islam bukan mengenepikannya. Kita juga menyeru kepada pemimpin agar tidak mengganggu pengajian agama dengan mengikut telunjuk Amerika kerana umat Islam pernah kemerosotan dalam perkembangan ilmu semasa peperangan Salib sebelum ini di mana pihak penjajah mengembangkan ilmu mereka di Sepanyol sedangkan pusat ilmu Islam di Baghdad dan Syria dilanda peperangan. Oleh itu semua pihak bertanggungjawab untuk mengembangkan ilmu bukannya berusaha menyekatnya.

Jika dulu orang takut kepada rotan dalam hukum hudud tetapi sekarang ramai yang takut kepada hukum rotan di sekolah sedangkan hukuman rotan inilah yang telah berjaya melahirkan masyarakat berguna yang ada pada hari ini. Jangan disebabkan hasutan kebendaan sebagaimana berlaku dalam masyarakat barat yang mendedahkan guru kepada tindakan mahkamah oleh ibubapa yang menyebabkan usaha pendidikan terbantut. Bebaskan guru daripada sebarang tekanan serta bantulah mereka sehingga golongan ini mampu melahirkan masyarakat berilmu dan berakhlak tinggi. Sudah cukup dengan masalah yang sedia ada apabila pemimpin menghina ulama’ maka pelajar menderhaka guru, apabila pemimpin melabelkan sekolah agama rakyat sebagai sarang pengganas maka sekolah asrama penuh pilihan jadi pusat jenayah pelajar. Sedarlah kita bahawa apabila rakyat kaya akhlak maka kekayaan hasil negara akan dapat digunakan untuk kebaikan rakyat sebaliknya jika rakyat miskin akhlak menyebabkan kekayaan negara banyak dihabiskan untuk mengubati penyakit rakyat. Lihatlah bagaimana masalah dadah sahaja menyebabkan negara terpaksa mengeluarkan belanja 300 juta setahun bagi membiayai 28 buah pusat pemulihan seluruh negara setakat ini. Kita juga mengharapkan program Khidmat Negara yang baru diperkenalkan dapat digunakan sebaik mungkin dalam melahirkan warganegara soleh yang mempunyai jati diri tinggi dan faham agama bukannya ia bakal meneruskan kegagalan program Rakan Muda sebelum ini yang banyak melahirkan warganegara serba boleh dalam melakukan maksiat sehingga membazirkan lebih 14 juta wang rakyat setahun.

 

Muslimin/mat yang diberkati Allah,

            Umat Islam mesti menghidupkan budaya ilmu dalam kehidupan seharian sejajar dengan perintah Allah dan rasulNya agar keimanan kita bertambah mantap serta mampu bersaing dalam mencapai ketinggian tamadun. Kita perlu sedar bagaimana terlalu kuatnya pengaruh dalam merosakkan umat Islam dari pelbagai sudut ditambah dengan tindakan pemimpin yang lebih suka melihat masyarakat rosak serta tidak mempedulikan masalah negara dengan hanyut dalam hiburan yang melalaikan. Kita dapat melihat bagaimana pelbagai program maksiat begitu mudah diluluskan sedangkan program dalam meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab agama terlalu ketat dijaga ditambah dengan tindakan merampas masjid dan ada pula surau yang dirobohkan. Pemimpin lebih suka melihat lahirnya lebih ramai golongan yang tidak begitu berpegang kepada agama malah ragu-ragu terhadap agama sendiri seperti yang disifatkan oleh Allah melalui firmanNya dalam ayat 143 surah an-Nisa’ :

مذبذبين بين ذلك لآ إلى هــؤلاء ولآ إلى هــؤلاء  ومن يضلل الله فلن تجد له سبيلا

Maksudnya : Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman) dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.

            Akhirnya timbul orang yang mempertikaikan masalah arahan bertudung sebagai suatu paksaan sedangkan pengharaman bertudung semasa bertugas kepada anggota wanita Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta arahan larangan memakai tudung labuh kepada pelajar MRSM dan Kolej MARA tidak dikatakan paksaan. Begitu juga larangan berjubah dan serban ke pejabat tidak dikira paksaan. Tafsiran paksaan hanya untuk arahan supaya pakai tidak pada larangan daripada pakai. Golongan ini akan melihat setiap arahan wahyu adalah paksaan manakala arahan nafsu adalah suatu yang patut diterima atas nama kebebasan.

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

            Gema takbir membesarkan Allah dan tahmid memuji Allah yang dilaungkan bersama meyakinkan lagi kepada kita semua bahawa umat Islam mampu kembali bersatu di bawah panji Islam sebagaimana kita diasuh menyembah Allah yang satu, mengadap ke arah qiblat yang satu, membaca dan mengamalkan al-Quran yang satu dan kini kita semua berusaha untuk melaksanakan seluruh sistem Islam yang satu dengan menolak sebarang sistem ciptaan manusia yang sesat dan buntu. Bukan suatu yang salah jika umat Islam negara ini mahu mengembalikan semula pelaksanaan seluruh sistem Islam dalam negara memandangkan negara ini asalnya adalah negara Islam tetapi telah dimurtadkan perlembagaannya oleh penjajah dan diteruskan oleh anak didik mereka. Kesan besar dengan murtadnya perlembagaan negara telah menyebabkan sebarang usaha untuk melaksanakan sistem Islam yang bercanggah dengan perlembagaan negara dianggap salah walau pun negara ini didakwa sebagai negara Islam contoh. Sebab itulah kita begitu kecewa apabila adanya umat Islam sanggup mencemar kesucian Ramadhan lalu dengan mencabar enakmen Hudud dan Qisas Terengganu atas alasan bercanggah dengan perlembagaan negara bukannya disebabkan ia bercanggah dengan hukuman Allah. Orang bukan Islam pun tidak berani melakukannya tetapi ia sanggup dilakukan oleh umat Islam yang mendakwa mahu menjaga hak awam sedangkan banyak pencabulan terhadap sistem kehakiman negara selama ini tidak pula dicabar. Sebenarnya orang ini telah ketinggalan zaman di mana kini perundangan Islam turut diiktiraf  keunggulannya oleh Badan Undang-undang Dunia yang dianggotai oleh orang bukan Islam. Malah dari segi keadilannya dapat kita lihat contoh pelaksanaannya di Arab Saudi  yang telah membawa kepada peratus jenayah di negara itu paling rendah di dunia. Dalam tempoh 25 tahun pemerintahan Malik Abdul Aziz hanya 16 orang dipotong tangan dan dari tahun 1967 hingga 1987 iaitu 20 tahun hanya seorang wanita yang telah kahwin dihukum rejam kerana berzina. Jika dilihat kepada angka pesalah yang dijatuhkan hukuman maka ia jauh lebih kecil berbanding jenayah dalam negara kita.

            Kita turut dikejutkan dengan tindakan beberapa orang yang terlibat dengan jaran sesat cuba menggunakan peruntukan kebebasan agama yang dijamin oleh Perlembagaan Negara untuk mereka mendakwa bahawa mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa dalam mendakwa tindakan seseorang untuk murtad daripada Islam. Betapa hinanya kedudukan Islam di bawah perlembagaan yang telah dimurtadkan oleh penjajah ini. Ingatlah bahawa Allah S.W.T memuliakan kita apabila melaksanakan Islam dalam kehidupan dan kita terus menjadi umat yang hina selagi meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh.

 

Muslimin/mat yang dihormati sekalian,

Laungan kalimah وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab di mana kalimah ini sentiasa dilaung setiap kali menyambut hari raya. Ia bagaikan suatu arahan agar terus mengingati bagaimana kemenangan tentera Islam ke atas tentera bersekutu kuffar pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah. Semoga dengan laungan kalimah ini yang  sentiasa diulang dapat menyemarakkan semangat jihad dan menambah keyakinan bahawa Islam pasti menang walau pun diserang dan dimusuhi serta yakinlah bahawa tiada suatu pun kuasa besar yang kekal berkuasa di atas muka bumi ini melainkan kuasa Allah.

Firman Allah dalam ayat  10-11 surah Muhammad :

أفلم يسيروا فى الأرض فينظروا كيف كان عــقبة الذين من قبلهم دمر الله عليهم وللكــفرين أمثــلها ذلك بأن الله مولى الذين ءامنوا وأن الكــفرين لامولى لهم

Maksudnya : Adakah mereka tidak melakukan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat perhatikan bagaimana akibat yang menimpa orang-orang sebelum mereka di mana Allah telah membinasakan mereka dan bagi orang-orang kafir itu akan menerima akibat seperti itu. Demikian itu dengan sebab Allah menjadi pelindung orang-orang yang beriman sedangkan orang-orang kafir tidak mempunyai pelindung bagi mereka.

            Kita ingat bagaimana sekuat-kuat Namrud hanya dihancur dengan nyamuk. Begitu juga sehebat-hebat Firaun ditenggelamkan di tengah laut Merah. Segagah-gagah kerajaan musyrikin Mekah akhirnya jatuh dengan mudah dalam peristiwa Pembukaan Kota Mekah. Semegah-megah kerajaan Kristian Rom dan Majusi Parsi akhirnya tunduk kepada tentera Islam yang dianggap kecil. Malah sejarah turut merakamkan bagaimana tentera Tartar Monggol yang terkenal dengan ganas dan zalim sehingga menawan hampir keseluruhan wilayah umat Islam serta berakhirnya kerajaan Abbasiyah Baghdad di mana dunia Islam pada masa itu merasakan sudah tiada peluang lagi untuk menang. Sebaliknya Allah tetap mendatangkan kemenangan kepada Islam apabila Kerajaan Mamalik Mesir yang diketuai Sultan Saifudin Qutuz bukan sahaja tidak gentar dengan ugutan tentera Tartar Monggol malah mara sehingga meletusnya peperangan di ‘Ain Jalut, Palestin pada 25 Ramadhan 658 Hijrah yang telah menyaksikan bagaimana tentera musuh kalah teruk. Apa yang lebih menarik ialah tentera Tartar Monggol selepas itu telah memeluk Islam dan menjadi sebuah kerajaan Islam yang hebat.

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

            Melihat kepada perjalanan sejarah yang diperkukuhkan lagi dengan amaran Allah maka tidak mustahil kuasa besar dunia hari ini iaitu Amerika serta zionis yahudi akan hancur. Dunia menyaksikan bagaimana tentera Amerika sedang dikuburkan di Afghanistan dan Iraq di mana serangan meningkat pada Ramadhan yang baru lalu. Ini ditambah dengan masalah kebakaran lebih 3000 km persegi di California, Amerika yang menyebabkan lebih 100 ribu penduduknya terpaksa lari mencari perlindungan. Amerika tidak mustahil akan menerima nasib sebagaimana kuasa komunis Soviet Union sebelum ini yang jatuh menyembah bumi di tangan mujahidin Afghanistan. Malah dari segi moral juga zionis yahudi yang merupakan dalang keganasan serta Amerika sebagai pelaksana keganasan dilihat oleh dunia termasuk penduduk Eropah sebagai ancaman utama kepada keamanan dunia. Walau pun menguasai media massa dunia sehingga ia digunakan semaksima mungkin dalam menuduh Islam sebagai pengganas namun zionis yahudi tidak mampu menutup kezaliman dan kebiadapan mereka. Dunia bagaikan bergerak secara serentak dalam membenci zionis yahudi sehingga bangsa yang terkenal dengan sikap suka memperkudakan orang lain untuk melakukan keganasan demi mencapai takhta dan harta telah merasai bahang bahawa dunia sudah bersedia memerangi zionis yahudi walau pun mereka menguasai ekonomi dunia.

Akibat kebencian disebabkan keganasan mereka turut menyaksikan bagaimana yahudi, Amerika, Britain dan sekutu mereka menjadi sasaran umat yang tertindas sehingga sanggup melakukan apa sahaja sehingga berlakunya serangan berani mati di Riyadh, Arab Saudi dan dua serangan di Turki ke atas tempat kepentingan mereka. Oleh itu zionis yahudi, Amerika dan sekutu mereka mesti menghentikan segera sebarang bentuk keganasan demi mengembalikan semula keamanan dunia.

Firman Allah dalam ayat  26 surah Ali ‘Imran :

قل اللهم مــلك الملك تؤتى الملك من تشاء وتنزع الملك ممن تشاء وتعز من تشاء وتذل من تشاء بيدك الخير  إنك على كل شيء قدير

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

 

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 3  كالي )

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ . أَمَّا بَعْدُ…….فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ .فرمان الله تعالى دالم أية   38      سورة محمد :

هــأنتم هؤلاء تدعون لتنفقوا فى سبيل الله فمنكم من يبخل ومن يبخل فإنما يبخل عن نفسه والله الغني وأنتم الفقراء وإن تتولوا يستبدل قوما غيركم ثم لايكونوا أمـثلكم

Maksudnya :  Ingatlah bahawa kamu ini merupakan orang-orang yang diseru agar menafkahkan hartamu pada jalan Allah. Maka ada di antara kamu orang yang bakhil dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanya bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allah lah yang Maha Kaya sedangkan kamu merupakan orang fakir yang memerlukan pertolonganNya dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantimu dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan bersikap seperti kamu ini.

 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah

            Tarbiah melalui zakat selain menyucikan harta maka ia bertujuan menghilangkan sikap terlalu cintakan harta dan menanam sifat suka membantu saudara yang lain. Apabila harta sendiri turut diagihkan kepada orang lain menyebbakan perasaan mahu mengambil harta orang lain tanpa hak dapat dihindar. Ini dapat mengurangkan umat yang boleh dijual beli seperti binatang ternakan melalui amalan rasuah yang membawa kepada kehancuran negara. Kita mengharapkan kepimpinan negara yang baru dapat membersihkan nama negara yang didakwa negara Islam contoh yang kini berada ditangga ke-33 dalam senarai negara paling teruk mengamalkan rasuah. Negara juga mesti dibersihkan daripada terus mengaut keuntungan mudah hasil perniagaan judi dan arak yang merupakan perniagaan yang cepat untung tetapi tidak bermoral. Amalan judi sahaja menyaksikan bagaimana 8 bilion ringgit dihabiskan di meja judi manakala penggguna arak di negara ini berada ditangga ke-10 yang terbesar didunia. Perniagaan ini hanya menjanjikan keuntungan tetapi tidak memberi manfaat terutama kepada umat Islam dan rakyat malah menambahkan masalah sosial. Kita terlalu bimbang jika kapitalis yahudi boleh menguasai kepimpinan Amerika dengan kekuatan ekonomi mereka maka pimpinan negara ini boleh menjadi hamba suruhan kepada tauke arak dan judi sehingga banyak hak rakyat apatah lagi agama diketepikan jika terus menyuburkan perniagaan yang tidak bermoral itu.

            Selain itu seluruh negara umat Islam perlu memperkasakan kekuatan ekonomi memandangkan dari 57 negara di bawah OIC kebanyakannya kaya dengan hasil bumi. Dunia Islam sentiasa berharap agar OIC dapat menjadi badan yang bertindak cekap bukannya badan setakat melihat terutama ketua-ketua negara OIC baru selesai bersidang di Putrajaya baru-baru ini yang menelan belanja lebih 500 juta ringgit. OIC perlu sedar bagaimana tekanan musuh terutama yahudi begitu kuat antaranya mereka bertindak membekukan aset umat Islam yang dituduh pengganas, kezaliman yang terus berlangsung di Palestin, Iraq dan selainnya serta tekanan terhadap Iran, Syria dan Lubnan. Oleh itu kembalikan semua negara OIC kepada dasar Islam sehingga wujudnya semula kekuatan umat dalam menghadapi sebarang cabaran musuh. Jangan terus menjadikan kuffar sebagai pasaraya umat Islam sehingga kita bukan sahaja tidak mampu berdikari malah terus menjadi mangsa penindasan. Islamlah nescaya kita selamat di dunia dan akhirat.

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُُ

            Semoga kedatangan eidil fitri kali ini menambahkan kebahagian kepada seluruh umat Islam. Dalam berhari raya jangan cuba cemarinya dengan maksiat. Cuba jaga adab Islam dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan serta elakkan daripada membazir. Disamping itu rebutlah juga peluang untuk menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda Rasulullah s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ          ( رواه مسلم )

Maksudnya  : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

Selamat hari raya eidil fitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Banyakkan bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira dan selamat menziarahi sanak saudara pada hari yang mulia ini bagi merapatkan lagi tali persaudaraan.

اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيَ الحَاجَاتِ  وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ  وَلا يَرْحَمُنَا, اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِيْ سَبِيْلِكَ فِيْ كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ ,  اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ . اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَزَكَاتَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Tinggalkan komen