• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

4. KHUTBAH EIDILFITRI 1425H


 

KHUTBAH PERTAMA

 

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 3  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 2  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا  . الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ . وَجَعَلَ هذَا اليَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الُمتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ  .وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  . أَمَّا بَعْدُ …. فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :

إن يمسسكم قرح فقد مس القوم قرح مثله وتلك الأيام نداولها بين الناس وليعلم الله الذين ءامنوا ويتخذ منكم شهداء والله لايحب الظــلمين

Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum kafir itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa kejayaan dan kekalahan itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran). Dan agar Allah membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya gugur sebagai syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim

 

Muslimin/mat yang diberkati Allah,

Kedatangan 1 Syawal disambut dengan laungan tasbih, tahmid serta takbir oleh seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa dan bahasa, adat dan tempat sebagai tanda syukur dan kemenangan dalam menunaikan kewajipan puasa selama sebulan Ramadhan. Apabila kita memerhati nama Eidil Fitri itu sendiri maka ia mempunyai pengertian yang mendalam untuk sama-sama dihayati di mana makna Eid ialah kembali, perayaan atau ulang tahun. Manakala Fitr pula bermaksud berbuka atau makan minum di mana pada 1 Syawal maka seluruh umat Islam dikehendaki berbuka dan kita diharamkan berpuasa. Fitr juga membawa maksud fitrah atau tabiat semulajadi di mana apabila umat Islam menunaikan ibadat puasa sebulan Ramadhan ditambah pula dengan ibadat yang lain seperti solat terawih, membaca al-Quran, qiamullail, berdoa, bersedekah dan selainnya dengan penuh keinsafan dan keikhlasan kepada Allah S.W.T maka ini semua akan melebur dan membersihkan segala dosanya. Sehubungan dengan itu maka pada 1 Syawal, umat Islam akan kembali kepada fitrah sehingga keadaan diri mereka seolah-olah bersih seumpama bayi yang baru dilahirkan sesuai dengan matlamat ibadat puasa itu sendiri adalah untuk melahirkan umat bertaqwa. Laungan takbir kemenangan akan bermakna apabila hari raya dihidupkan dengan menjulang wahyu tetapi ia menjadi sia-sia apabila kita mencemarkan kembali diri kita yang suci bersih dengan maksiat akibat menjadi hamba tunggangan nafsu.

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

            Ketika bergembira dalam menyambut Eidil Fitri, kita jangan sama sekali lupa dan mengenepikan tentang proses tarbiah yang begitu berharga yang diterima sepanjang Ramadhan di mana kita mengharapkan agar Allah menganugerahkan kepada kita penggandaan pahala dan pengampunan dosa yang dijanjikan bagi umat yang berjaya menunai dan menghidupkan Ramadhan dengan penuh keikhlasan. Anugerah yang berharga itu sepatutnya mendekatkan diri kita kepada Allah jika tidak dicemari dengan maksiat selepas berlalunya Ramadhan. Ketaqwaan dan kekuatan iman yang diraih hasil tarbiah Ramadhan turut melahirkan diri kita sebagai umat yang dijanjikan kemenangan oleh Allah yang berusaha mencari ketenangan hakiki bukannya hiburan melalaikan serta tidak mencampur-adukkan antara ibadat dan maksiat, dosa dan pahala, iman dan kufur, Islam dan jahiliah dalam system perjalanan hidup mereka.

Kekuatan iman terutama yang disuburkan melalui tarbiah Ramadhan akan memberi kesan yang begitu besar kepada sikap umat Islam sehingga kita tidak gentar dan takut kepada musuh yang berganda kerana kita hanya takut kepada dosa dan kemurkaan Allah sebagaimana pesanan Sayyidina Umar al-Khottab : “Kamu hendaklah takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Jika kamu mati di tangan musuh maka hanya jasad bercerai daripada roh sedangkan jika kamu mati dengan dosa maka ia akan kamu bawa ke akhirat. Orang kafir itu dikalahkan disebabkan kederhakaan mereka terhadap Allah. Sekiranya kamu umat Islam pun turut derhaka maka kamu tidak akan dibantu oleh Allah”.

 

Muslimin/mat yang dihormati sekalian,

Kita yang mampu mengecap nikmat berpuasa dan berhariraya dalam keadaan aman daripada pencerobohan dan peperangan sepatutnya menggunakan 2 nikmat yang sentiasa dilupakan iaitu sihat dan lapang dengan menyuburkan ikatan kita dengan Allah dan sesama manusia. Kita terlalu bimbang apabila nikmat keamanan yang dianugerahkan oleh Allah disalahgunakan dengan mengenepikan syariat sehingga Islam dipandang hina dan akhlak rakyat runtuh sebagaimana di barat. Akibat umat Islam sendiri mengenepikan ajaran agama menyebabkan orang bukan Islam berani menghina Islam seperti kes menghina laungan azan yang dikatakan lebih hina daripada suara anjing, mencampurkan antara ayam dan babi serta arak menggunakan tin yang hampir sama dengan minuman ringan biasa. Fahaman kapitalis yang menguasai pemikiran turut menambahkan masalah yang ada apabila tv, radio lebih mengutamakan rancangan hiburan yang menguntungkan walau pun terpaksa mengorbankan akhlak rakyat sedangkan kuasa ini terletak pada kerajaan dengan kerjasama pihak terbabit bukannya membebankan ibubapa yang dipaksa untuk memantau rancangan yang ditonton oleh anak mereka. Akibat sudah diajar dengan hiburan yang melampau menyebabkan wujudnya golongan yang berani menyanggah pendapat mufti dalam kes tertentu. Disamping lahirnya masyarakat yang sanggup membazir kerana hiburan tetapi agak bakhil dalam perkara kebajikan. Fahaman kapitalis pada ekonomi dan sekuler pada politik turut menambah masalah sedia ada termasuk cadangan penambahan kilang arak di Johor dan membiaknya pusat  judi serta kelab malam kerana keuntungan menjadi matlamat utama sedangkan  akhlak rakyat diketepikan. Jangan biarkan musuh Islam bersorak di atas kehancuran generasi muda kita yang bakal memimpin negara. Kita wajib mencegah dengan kemampuan yang ada terhadap sebarang maksiat dan kesesatan yang melata agar kita tidak ditimpa bala dan laknat Allah sebagaimana sabda nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud :

وَاللهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ المُنْكَرِ وَلَتَأْخُذُنَّ عَلَى يَدَيْ الظَّالِمِ وَلَتَأْطُرُنَّهُ عَلَى الحَقِّ أَطْرًا وَلَتَقْصُرُنَّهُ عَلَى الحَقِّ قَصْرًا أَوْ لَيَضْرِبَنَّ اللهُ بِقُلُوْبِ بَعْضِكُمْ عَلَى بَعْضٍ ثُمَّ لَيَلْعَنَنَّكُمْ كَمَا لَعَنَهُمْ

Maksudnya : Demi Allah, kamu mesti menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, memimpin tangan orang zalim, menunjukkan mereka kebenaran dan tetapkan mereka dalam kebenaran. (Jika tidak) Allah akan melaga-lagakan hati kamu kemudian Dia melaknat kamu sebagaimana Dia telah melaknat orang-orang terdahulu.

 

Muslimin/mat yang diberkati Allah,

Keruntuhan akhlak yang begitu parah menyaksikan bagaimana kes dadah yang tidak terkawal sehingga ramai penagih terlibat  dalam jenayah yang merbahaya termasuk pecah rumah, rogol dan curi besi yang bukan sahaja menyebabkan pelbagai pihak termasuk Tenaga Nasional Berhad(TNB) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad(KTMB) kerugian malah mengancam nyawa orang ramai. Negara turut menyaksikan bagaimana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mendaftarkan 70,430 anak luar nikah bagi tempoh lima tahun iaitu daripada 1999 hingga 2003 di mana anak luar nikah orang Islam paling ramai didaftarkan iaitu 30,978 orang. Manakala laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, sepanjang tahun 2002 dan 2003 seramai 13,734 kes pengidap HIV dan 2 269 pesakit AIDS telah direkodkan di negara ini di mana orang Melayu paling tinggi mengidapnya berbanding bangsa lain. Ini belum dikira kes rogol, samun, ragut, bunuh, pecah amanah dan jenayah-jenayah lain yang tidak mampu dibendung oleh perundangan negara yang telah lapuk dan ketinggalan zaman. Akhirnya rakyat nampak mewah tetapi takut dengan suasana sekeliling yang telah rosak. Kita tidak mahu melihat Islam Hadhari hanya tinggal slogan sedangkan kerajaan terus memberi racun yang merosakkan rakyat kemudian menghabiskan pula wang rakyat untuk mengubatinya. Kita mendesak agar kerajaan menambahkan mata pelajaran agama dan aktiviti tarbiah di semua peringkat pengajian serta menggunakan beberapa program tertentu seperti Kursus Biro Tatanegara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk melahirkan warganegara yang faham dan taat pada agama bukan setakat setia pada pemimpin dan negara. Rakyat yang kosong jiwanya daripada ruh Islam bakal merosakkan kemajuan yang dibina dan menggugat keamanan negara.  Firman Allah dalam ayat 112 surah al-Nahlu :

وضرب الله مثلا قرية كانت ءامنة مطمئنة يأتيها رزقها رغدا من كل مكان فكفرت بأنعم الله فأذقها الله لباس الجوع والخوف بما كانوا يصنعون

Maksudnya : Dan Allah memberikan suatu perbandingan sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang dilimpahkan rezeki yang mewah dari setiap tempat lalu penduduknya itu mengkufuri nikmat Allah itu. Maka Allah menimpakan mereka dengan kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan.

 
اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

            Laungan kalimah وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab di mana kalimah ini sentiasa dilaung setiap kali menyambut hari raya bagaikan suatu isyarat  dalam menyemarakkan semangat jihad dan menambah keyakinan bahawa Islam pasti menang walau pun diserang dan dimusuhi sebagaimana kemenangan yang dicapai oleh tentera Islam dalam peperangan Ahzab atau Khandak. Ketika menyambut Syawal maka kita tidak lupa kepada 3 peperangan besar yang pernah berlaku di dalamnya. Pertamanya Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah di mana pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan. Malangnya pada peringkat kedua akibat keingkaran kumpulan pemanah terhadap arahan nabi menyebabkan tentera Islam menerima ujian kekalahan. Namun pada peringkat ketiga tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang merancang menyerang Madinah membatalkan hasrat itu setelah mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas.

            Peperangan kedua ialah Peperangan Ahzab atau Khandak yang berlaku pada bulan Syawal yang berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah di mana Allah datangkan kemenangan kepada tentera Islam dengan ribut pasir yang menyebabkan tentera musuh berundur disamping berlakunya kacau-bilau di antara mereka apabila pengintip yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w  berjaya memecah belahkan kepercayaan antara tentera Ahzab.

Peperangan ketiga pula ialah Peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah di mana tentera Islam hampir kalah pada peringkat pertama kerana sikap terlalu yakin akan menang dengan jumlah tentera yang ramai berbanding peperangan sebelum ini, pertautan hati dengan Allah begitu kurang kerana terlalu memikirkan harta rampasan perang yang bakal diperolehi disamping ramai di kalangan tentera ialah daripada golongan yang baru memeluk Islam di mana keimanan dan semangat jihad mereka masih lemah. Namun Allah tetap datangkan kemenangan pada peringkat kedua apabila masih ada tentera Islam yang tinggi semangat jihad serta pertautan hati mereka dengan Allah. Ketiga-tiga peperangan ini membawa pengajaran yang besar antaranya perlu kepada ilmu terutama dalam masalah jihad peperangan, kebijaksanaan dan ketaatan dalam kepimpinan serta ikatan kukuh dengan Allah. Usaha dalam menghentikan pengajian tentang jihad peperangan perlu ditentang memandang ia merupakan antara sumber pertahanan agar jihad tidak disalahgunakan sehingga memburukkan imej Islam serta jihad yang ditanam boleh menggerunkan musuh daripada terus menindas umat Islam sesuka hati sebagaimana seseorang yang belajar ilmu mempertahankan diri bukan bererti untuk memukul musuh tetapi untuk pesiapan jika berlaku sebarang kemungkinan buruk.

 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

            Kemeriahan sambutan Eidil Fitri tidak melupakan kita kepada saudara seagama yang sedang menderita ditindas dan dihina oleh musuh Islam. Kita mengecam dan mengutuk tindakan tidak bertamadun kerajaan Thailand yang membunuh 87 orang Islam dengan menembak dan melonggok para penunjuk perasaan dalam lori sehingga mereka mati kesesakan nafas pada 25 Oktober lalu di Tak Bai. Ia menambah luka umat Islam yang masih bersedih dengan pembunuhan lebih 100 orang umat Islam termasuk yang sedang beriktikaf di Masjid Kerisik, Fatani pada 28 April lepas. Kita mendesak agar pemimpin Malaysia selaku pengerusi OIC bertindak segera dalam menangani kekejaman anak buah zionis tersebut. Disamping itu kita turut mendesak agar dibebas atau dibicarakan tahanan ISA dengan segera sebagaimana kerajaan memberi pelepasan kepada pendatang tanpa izin.

Kita juga bersimpati dengan penderitaan saudara seagama di Afghanistan, Iraq yang terus bergolak selepas penjajahan kuffar durjana. Malah kemenangan Bush untuk penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat memberi isyarat bahawa yahudi terus menaruh harapan kepadanya untuk melakukan kezaliman terutama terhadap penduduk Palestin. Kelemahan dari sudut kelengkapan senjata bukan bermakna Islam akan hancur malah mengikut perjalanan sejarah menunjukkan bagaimana Islam semakin dekat dengan kemenangan apabila tekanan terhadapnya semakin kuat. Begitulah yang berlaku di Palestin walau pun tanpa kekuatan senjata tetapi kebangkitan rakyat termasuk serangan berani mati hampir melumpuhkan ekonomi Israel serta membatalkan hasrat penghijrahan yahudi dari negara lain ke Israel. Yakinlah kita bahawa Allah mendatangkan kemenangan kepada umat Islam bukan dengan menang perang semata-mata tetapi ada juga musuh yang memeluk Islam sebagaimana tentera Tartar yang menakluk Baghdad. Malah tidak mustahil jika Amerika pun boleh jatuh melalui kebangkitan rakyat yang semakin ramai memeluk Islam terutama selepas peristiwa 11 September. Cuma yang menjadi kewajipan kepada kita ialah kembali hidup berlandaskan al-Quran sehingga keindahan Islam mampu menarik orang bukan Islam untuk memeluk atau tunduk kepada Islam. Jika kita sendiri jauh daripada Islam maka kita bukan sahaja tidak akan dianugerahkan dengan kemenangan malah semakin dekat kepada kehancuran.

Firman Allah dalam ayat  65 surah al-Anfal :

يـأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صــبرون يغلبوا مائتين وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لايفقهون

Maksudnya : Wahai nabi! Rangsangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu 20 yang sabar nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang kafir. Dan jika ada di antara kamu seratus orang nescaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir disebabkan mereka yang kafir itu kaum yang tidak mengerti

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 3  كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ . أَمَّا بَعْدُ…….فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ .فرمان الله تعالى دالم أية   188      سورة البقرة :  ولا تأكلوا أمولكم بينكم بالبـطل وتدلوا بها إلى الحكام لتأكلوا فريقا من أمول الناس بالإثم وأنتم تعلمون

Maksudnya :  Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sesamamu secara tidak sebenar dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim bertujuan kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain secara dosa (rasuah) sedangkan kamu mengetahui.

 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah

            Allah S.W.T mendidik kita melalui puasa agar turut merasai penderitaan saudara kita yang lain ditambah dengan tarbiah melalui zakat selain menyucikan harta maka ia bertujuan menghilangkan sikap terlalu cintakan harta dan menanam sifat suka membantu saudara yang lain. Apabila harta sendiri turut diagihkan kepada orang lain menyebabkan perasaan mahu mengambil harta orang lain tanpa hak dapat dihindar. Ini dapat mengurangkan umat yang rosak yang mengambil peluang atas kelemahan orang lain dengan cara rasuah atau riba. Kita mendesak agar pemimpin berusaha bersungguh dalam memerangi rasuah memandangkan negara ini berada ditangga  kelima pengamal rasuah di kalangan negara Asia dan tempat ke-39 daripada 146 negara di dunia. Kita juga begitu bimbang apabila rasuah cuba dihalalkan dengan menukar nama kepada politik wang bagaikan suatu usaha dalam menyatakan ia bukan suatu dosa dari segi syariat dan tidak salah dari sudut perundangan apabila ia hanya ditangani sesama sendiri dalam suatu pergerakan tanpa membabitkan pihak berwajib terutama Badan Pencegah Rasuah (BPR). Ingatlah sabda nabi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Abdullah ibnu Umar :

لَعَنَ اللهُ الرَّاشِيْ وَالمُرْتَشِيْ فِى الحُكْمِ ( رواه الترمذي وأحمد وابن حبان )

Maksudnya : Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan penerimanya dalam memutuskan hukum

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

            Selamat hari raya eidil fitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat.Banyakkan bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira dan selamat menziarahi sanak saudara pada hari yang mulia ini bagi merapatkan lagi tali persaudaraan.Rebutlah peluang untuk menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ          ( رواه مسلم )

Maksudnya  : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيَ الحَاجَاتِ  وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ  وَلا يَرْحَمُنَا, اللّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا المُسْلِمِيْنَ فِى عِرَاق وَفِى فَلَسْطِين وَفِى كَشْمِيْر وَفِى الهِنْد وفى أفغانستانِ وَفِى شِيْشَان وَفِى جَنُوْبِ بِلِيِبين وَفِى إينْدُوْنِيْسِيَا وَفِى تَايْلَنْدِ وَفِى بَلَدِنَا ماليزيا اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِي سَبِيْلِكَ فِي كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ. اللّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِاليَهُوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالنَّصَارَى وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالهُنَوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالأمِيرِكَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالِبرِيطَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَحْزَابِ المُشْرِكِيْنَ الطَّاغِيْنَ الظَّالِمِيْنَ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ دَمِّرْهُمْ تَدْمِيْرًا وَ تَبِّرْهُمْ تَتْبِيْرًا وَاجْعَلْهُمْ هَبَاءً مَنْثُوْرًا  اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ . اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَزَكَاتَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Tinggalkan komen