7. PERJANJIAN HUDAIBIAH

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  Janganlah  kita  hanya  tahu  mendengar  sahaja  perkataan  taqwa  serta  menyebutnya  sedangkan  ia  tidak  menyerap  ke dalam  sanubari  kita . Hitunglah  diri kita  setiap  masa  samada  semakin  hampir  kepada  Allah atau  sebaliknya.  Adakah  amalan  soleh  kita  semakin  meningkat  atau pun  menurun….

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 18 surah al-Fathu

لقد رضي الله عن المؤمنين إذ يبايعونك تحت الشجرة فعلم ما في قلوبهم فأنزل الله السكينة عليهم وأثبهم فتحا قريبا

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang mukmin ketika mereka berbai’ah (janji setia) kepada engkau di bawah pohon. Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balas kepada mereka kemenangan yang dekat waktunya.

Kini kita sudah berada di permulaan bulan Zulhijjah yang merupakan bulan terakhir mengikut kalendar hijrah. Disamping kita semakin dekat dengan kedatangan 10 Zulhijjah untuk sama-sama merayakan eidul Adha, kita juga semakin hampir meninggalkan tahun 1420 hijrah yang sudah pasti meninggalkan pelbagai kenangan indah dan pahit. Inilah dia kehidupan dunia di mana masa sentiasa berlalu tanpa menghiraukan penghuninya samada bertambah ketaatan kepada Allah atau pun sebaliknya. Beruntunglah bagi mereka yang sentiasa beramal soleh dan bertaubat atas dosa yang dilakukan dan rugilah bagi mereka yang terus hanyut dengan godaan dunia.

Sempena kedatangan bulan Zulhijjah yang mempunyai kelebihannya tersendiri seperti kelebihan apabila melakukan puasa sunat hari Arafah iaitu hari kesembilan Zulhijjah di mana akan dikaffarahkan(ampun) segala dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang, maka marilah kita sama-sama mengimbas kembali satu peristiwa penting yang telah terjadi kepada diri Rasulullah s.a.w dalam perjanjian Hudaibiah tahun keenam Hijrah. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w telah bermimpi memasuki kota Mekah bersama para sahabat yang lain, mengambil kunci Ka’abah, bertawaf dan berumrah. Rasulullah s.a.w telah memberitahu para sahabat mengenai mimpinya itu maka mereka begitu gembira kerana sudah lama menunggu saat untuk pergi ke Mekah bagi menunaikan haji dan umrah. Rasulullah s.a.w bersama dengan 1400 orang dan setengah ulama’ mengatakan 1500 orang telah keluar menuju ke Mekah . Mereka keluar dengan tidak membawa senjata perang sebaliknya membawa senjata biasa  yang diletakkan dalam sarungnya untuk tujuan keselamatan. Mereka berihram untuk mengerjakan umrah dan mengistiharkan tujuannya bukan untuk berperang. Apabila tiba di ‘Asfan, mereka  diberitahu bahawa orang musyrikin Mekah berusaha untuk menghalang mereka daripada menunaikan ibadat di Tanah Haram Mekah walau pun dengan menggunakan jalan kekerasan. Mereka juga mendapat tahu melalui daripada pengintip yang dilantik bahawa pemimpjn kafir Quraisy telah pun mengatur beberapa cara bagi menghalang Rasulullah s.a.w dan para muslimin yang lain daripada memasuki Mekah termasuklah memerintah 200 orang tentera berkuda bawah pimpin Khalid ibnu Walid yang ditugaskan menghalang perjalanan para muslimin. Walau bagaimana pun cubaan itu gagal kerana terlebih dahulu diketahui oleh rombongan muslimin. Tentera berkuda musuh cuba menyerang rombongan muslimin apabila mereka rukuk dan sujud dalam solat Asar tetapi pada ketika itu juga telah turun ayat mengenai hukum dan cara-cara solat khauf iaiatu sembahyang ketika perang atau kecemasan. Selepas itu rombongan muslimin telah menggunakan jalan lain untuk menuju ke Mekah sehinggalah mereka tiba di suatu tempat yang bernama Hudaibiah di mana di kawasan itu hanya terdapat takungan air yang sedikit yang menyebabkan bekalan air kehabisan. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini lalu baginda mencabut sebilah anak panahnya dan diberikan kepada mereka agar dipanahkan ke dalam tempat air itu. Tiba-tiba air pun bertambah dan mereka dapat sama-sama menggunakannya.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Dalam perjalanan itu rombongan itu telah didatangi oleh seorang di mana dia ingin mengetahui tujuan sebenar kedatangan rombongan muslimin. Lalu Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa kedatangan mereka bertujuan untuk beribadat bukannya untuk berperang. Mendengar penjelasan itu lalu dia menuju ke Mekah untuk memberitahu tentang tujuan sebenar rombongan muslimin keopada pemimpin kafir Quraisy. Ada di kalangan pemimpj Quraisy yang tidak mengendah apa yang diberitahu dan ada yang mengambil tahu tentang perkara itu lalu diutuskan seorang wakil mereka bernama Mikraz bin Hafs. Ketika melihat kedatangan Mikraz bin hafs lalu Rasulullah s.a.w bersabda : Ini ialah seorang yang tidak boleh dipercayai”. Sebagaimana pertanyaan yang diajukan sebelum ini begitulah juga yang ditanya dan dijawab oleh Rasulullah s.a.w mengenai kedatangan rombongan muslimin ke Mekah. Lalu Mikraz pulang dan memberitahu tentang perkara itu kepada pemimpin quraisy, Selepas itu mereka menghantar pula ‘Urwah bin Ath-Thaqafi yang dianggap lebih pintar dan mampu berunding untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Setelah mendengar jawapan yang sama daripada Rasulullah s.a.w lalu ‘Urwah mengatakan : Hai Muhammad! Apakah katamu kalaulah berlaku kamu membinasakan kaummu sendiri? Adakah kamu mendengar pernah berlaku di kalangan bangsa Arab ini orang yang membinasakan keluarganya sendiri? Kalau inilah yang berlaku nescaya orang ramai akan lari daripadamu”. Melihat dan mendengar kebiadapan ‘Urwah itu lalu Abu Bakar mengeluarkan kata-kata yang agak kasar antaranya : أمصص بظر اللات !  أنحن نفر منه ؟ .   yang bermaksud : Jilatlah kemaluan tuhan engkau al-Lata, Adakah kami juga akan lari daripadanya?. Kemudian ‘Urwah menyambung lagi percakapannya sambil memegang janggut Rasulullah s.a.w. Al-Mughirah bin Syu’bah yang berada berdekatan dengan Rasulullah s.a.w terus memukul tangan ‘Urwah dengan sarung pedangnya setiap kali ‘Urwah cuba memegang janggut Rasululullah s.a.w. Selepas itu ‘Urwah pulang dalam keadaan kecewa dan memberitahu pemimpin Quraisy : Demi Allah! Aku pernah menemui raja-raja Rom, Farsi dan Habsyah. Demi Allah! Aku tidak pernah melihat raja itu disanjung dengan membesarkannya seperti para sahabat Muhammad melakukannya kepada Muhammad. Demi Allah! Jika dia mengeluarkan kahak nescaya ia akan jatuh ke atas tangan salah seorang daripada mereka lalu disapukan dikulit dan mukanya. Apabila dia menyuruh sesuatu maka mereka akan berlumba-lumba untuk menunaikan suruhannya. Apabila dia berwudhu’, mereka seperti mahu berperang kerana berebut-rebut untuk mengambil air wudhu’nya. Kalau dia bercakap maka semuanya diam dan jika mereka bercakap akan direndahkan suara kerana menghormatinya. Mereka tidak merenung tajam kepadanya kerana menghormatinya. Dia telah mengemukakan suatu rancangan yang baik untuk kamu maka terimalah”. Tetapi pemimpin musyrikin terus berkeras. Seterusnya sepasukan pemuda Quraisy membuat perancangan untuk menyerang di waktu malam bagi menghalang sebarang usaha damai. Malangnya apabila mereka hampir ke tempat perkemahan rombongan muslimin 70 hingga 80 orang daripada mereka telah ditawan oleh pasukan yang ditugaskan untuk berkawal. Mereka akhirnya dibebaskan atas perintah daripada Rasululullah s.a.w.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

            Selepas itu Rasulullah s.a.w telah melantik Sayyidina Uthman bin ‘Affan sebagai utusan yang akan menemui pemimpin musyrikin Quraisy bagi menjelaskan tujuan sebenar kedatangan rombongan muslimin ke Kota Mekah iaitu untuk mengerjakan ibadat bukannya berperang. Kedatangan Sayyidina Uthman disambut oleh Abban bin Sa’id bin al-‘As dengan mempersilakan Sayyidina Uthman untuk menaiki kudanya dan seterusnya mengiringinya sehingga tiba di Mekah. Dia terus menemyui pimpinan musyrikin Quraisy dan memberitahu tujuaannya. Pemimpin musyrikin mempersilakan Sayyidina Uthman untuk mengerjakan tawaf tetapi dengan tegas dia memberitahu : “ Aku tidak akan tawaf sehingga Rasulullah s.a.w tawaf terlebih dahulu”.

            Sayyidina Uthman berada agak lama di Mekah kerana perbincangan antara kedua pihak belum mendapat apa-apa keputusan yang diharapkan. Lewatnya kepulangan Sayyidina Uthman begitu merisaukan rombongan muslimin sehingga tersebar berita bahawa Sayyidina Uthman telah dibunuh. Apabila mendengar berita itu lalu Rasulullah s.a.w bersabda : Kita tidak akan pulang ke Madinah sehingga kita menentang mereka.Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabat agar membuat janji taat setia untuk tidak berundur di medan perang dan ada pula beberapa orang sahabat yang berbai’ah untuk mati. Rassulullah s.a.w memegang tangannya sendiri dan bersabda inilah dia tangan Uthman. Setelah selesai berbai’ah tiba-tiba Sayyidina Uthman datang dan dia turut serta untuk sama-sama berbai’ah sehingga kesemua rombongan muslimin berbai’ah di bawah sepohon kayu kecuali seorang munafik yang bernama Jad bin Qis. Inilah yang dikenali sebagai Bai’ah Ridhwan.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Para kafir Quraisy begitu bimbang apabila mendengar mengenai bai’ah tersebut sehingga mereka mengambil keputusan untuk menghantar Suhail bin ‘Amru bagi membuat satu perjanjian dengan pihak muslimin. Perjanjian itu adalah bagi menghalang rombongan muslimin daripada memasuki Mekah pada tahun itu. Apabila melihat kedatangan Suhail bin ‘Amru lalu Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya dimudahkan kepada kamu perkara yang menjadi masalah kepada kamu”. Selepas itu terjadilah perjanjian Hudaibiah yang terkenal itu dengan mengemukakan perkara-perkara berikut :

  1. Rasulullah s.a.w dan para muslimin tidak boleh masuk ke Mekah tahun ini dan dibenarkan untuk dating ke Mekah pada tahun depan dengan syarat membawa senjata untuk tujuan musafir sahaja.
  2. Gencatan senjata daripada sebarang peperangan antara kedua belah pihak selama 10 tahun.
  3. Mana-mana pihak yang mahu membuat perjanjian dengan antara salah satu daripada 2 puak itu sama muslimin atau kuffar boleh berbuat demikian dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
  4. Sesiapa dikalangan Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa izin walinya hendaklah dihantar pulang dan sesiapa sahaja dari pihak Muhammad yang melarikan diri kepada pihak Quraisy tidak akan dikembalikan semula.

Berlangsunglah perjanjian ini walau pun ada beberapa orang sahabat  tidak begitu bersetuju dengan syarat-syarat ini memandangkan kepada apa yang tersurat di mana memberi keuntungan kepada pihak musyrikin. Tetapi akhirnya perkara yang tersirat telah memberi keuntungan dan kejayaan yang besar kepada perjuangan Islam iaitu apabila perjanjian  ini telah menjadi pintu kepada kemenangan yang gemilang dalam peristiwa Pembukaan Kota Mekah selepas itu.

Selepas itu Rasulullah s.a.w bersabda : “ Bangunlah  kamu semua dan sembelihlah binatang yang disediakan itu”. Seorang pun daripada para sahabat tidak bangun walau pun nabi telah bersabda sebanyak tiga kali. Mereka bukan engkar dengan perintah nabi tetapi mereka terlalu kasih dan merasakan perjanjian itu telah menghina Allah dan rasulNya. Akhirnya Rasulullah s.a.w telah masuk ke khemah isterinya ummul mukminin Salamah dan memberitahu tentang perkara itu lalu Ummu Salamah meminta agar nabi sendiri yang melakukannya tanpa berucap apa-apa. Rasulullah s.a.w terus keluar daripada khemah lalu bertahallul. Melihat perkara itu lalu para sahabat terus bertahallul dengan bercukur kepala dan menyembelih dam.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  24 dan 25 surah al-Fathu

وهو الذى كف أيديهم عنكم وأيديكم عنهم ببطن مكة من بعد أن أظفركم عليهم وكان الله بما تعملون بصيرا هم الذين كفروا وصدوكم عن المسجد الحرام والهدى معكوفا أن يبلغ محله

Maksudnya : Dan Dialah yang menahan tangan mereka daripada membinasakan kamu dan menahan tangan kamu daripada membinasakan mereka di tengah Kota Mekah sesudah Allah memenangkan kamu ke atas mereka. Dan adalah Allah itu amat Melihat apa yang kamu kerjakan. Merekalah orang-orang kafir yang menghalangi kamu daripada memasuki Masjidil Haram dan menghalangi binatang korban sampai ke tempat penyembelihan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

140. HIKMAT PERJANJIAN HUDAIBIAH

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 27 surah al-Fathu

لقد صدق الله رسوله الرءيا بالحق لتدخلن المسجد الحرام إن شاء الله ءامنين محلقين رءوسكم ومقصرين لاتخافون فعلم ما لم تعلموا فجعل من دون ذلك فتحا قريبا

Maksudnya : Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada rasulNya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya iaitu sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram insya Allah, dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui dan Dia memberikan selain itu kemenangan yang dekat.

Kini kita sudah berada di awal bulan Zulkaedah yang mengingatkan kita semua tentang suatu peristiwa besar dan bersejarah iaitu telah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy. Peristiwa ini berlaku apabila umat Islam yang ingin menunaikan ibadat haji telah dihalang oleh kafir Quraisy. Mereka merasa begitu gerun melihat betapa ramainya jumlah umat Islam walau pun kedatangan mereka ke Mekah bertujuan untuk menunaikan ibadat haji bukannya untuk berperang. Akhirnya Rasulullah s.a.w telah menghantar Sayyidina Uthman bin ‘Affan ke Mekah untuk berbincang dengan pihak Quraisy bagi membolehkan umat Islam mengerjakan haji pada tahun itu. Pemergian Sayyidina Uthman yang agak lama tanpa sebarang berita menyebabkan timbulnya cerita bahawa beliau telah dibunuh. Ini menyebabkan Rasulullah s.a.w dan para sahabat melakukan Bai’ah ar-Ridhuan di bawah sebatang pokok di Hudaibiah bagi menyatakan kesanggupan mereka untuk membela Islam walau pun terpaksa menumpahkan darah. Ketika mereka sedang berbai’ah, tiba-tiba munculnya Sayyidina Uthman di mana beliau turut sama dalam berbai’ah. Kuffar Quraisy yang mendengar tentang bai’ah yang dilakukan ini mula merasa gerun dan takut lalu mereka segera menghantar wakil bagi mengadakan perdamaian antara mereka dengan umat Islam. Di sini kita dapat lihat bagaimana kesatuan umat Islam berdasarkan aqidah yang satu tanpa mengira bangsa dan warna kulit telah menyebabkan mereka yang dahulunya disiksa dan dihina oleh kuffar Quraisy, kini mula digeruni dan ditakuti oleh musuh Islam.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Kaum musyrikin telah menghantar Suhail bin ‘Amru untuk mengadakan perjanjian damai dengan Rasulullah s.a.w. Selepas menulis beberapa perkara utama dalam perjanjian damai ini maka disebut kepada Sayyidina Ali  بسم الله الرحمن الرحيم    lalu wakil musyrikin tadi menyahut :   “Adapun perkataan ar-Rahman kami tidak tahu apakah ia. Oleh itu tulislah kalimah بسمك اللهم  “. Mendengar arahan itu lalu Rasulullah s.a.w meminta agar Sayyidina Ali menulis sebagaimana yang dikehendaki. Kemudian Rasulullah s.a.w meminta agar ditulis : Inilah perkara yang telah dipersetujui untuk perdamaian oleh Muhammad Rasulullah. Wakil musyrikin sekali lagi membantah : “ Jika kami tahu bahawa engkau adalah Rasulullah nescaya kami tidak menghalangmu untuk mengunjungi  Baitullah dan tidak pula memerangimu. Oleh itu tulislah Muhammad bin Abdullah “. Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesungguhnya aku sebenarnya adalah Rasulullah walau pun kamu mendustakanku “. Selepas itu Rasulullah s.a.w menyuruh Sayyidina Ali memadamkan perkataan Rasulullah dengan hanya menulis Muhammad bin Abdullah tetapi beliau enggan berbuat demikian sehinggalah nabi sendiri memadamkannya dengan tangannya.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

            Sesiapa yang membaca perkara yang tersurat dalam perjanjian ini akan merasa begitu hina kerana ia nampak begitu menguntungkan pihak musyrikin. Para sahabat sendiri melahirkan rasa tidak puas hati dengan isi perjanjian ini sehingga Sayyidina Umar al-Khottab menemui Sayyidina Abu Bakar lalu bertanya : “ Wahai Abu Bakar ! Bukankah dia adalah Rasulullah ?”. Kata Abu Bakar Ya!. Umar bertanya lagi :” Bukankah kita ini  orang-orang Islam ?”. Jawab Abu Bakar Ya!. Umar berkata :” Jika begitu mengapa kita menerima cara yang hina ini ?”. Lalu Abu Bakar menegaskan : “ Wahai Umar! Ikut sahajalah perintahnya dan aku tetap percaya bahawa dia adalah Rasulullah! “.

            Selepas itu Sayyidina Umar menemui Rasulullah s.a.w lalu bertanya  : “ Wahai Rasulullah! Bukankah engkau adalah Rasulullah ?”. Sabda nabi Ya!. Umar bertanya lagi :” Bukankah kita ini  orang-orang Islam ?”. Sabda nabi Ya!. Umar berkata :” Jika begitu mengapa kita memberi peluang untuk menghina agama kita ?”. Lalu nabi menegaskan : “ Aku adalah hamba Allah dan rasulNya. Aku tidak sekali-kali menyalahi perintahNya dan aku tidak akan disia-siakan! “. Inilah ia antara perasaan tidak puas hati terhadap perjanjian ini tetapi umat Islam akur dan patuh kepada setiap apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w kerana ia merupakan sesuatu yang hanya diketahui oleh Alah dan rasulNya tentang perkara yang tersembunyi disebaliknya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Antara perkara yang tertulis dalam perjanjian damai ini ialah yang pertama : Rasulullah s.a.w hendaklah pulang dan tidak memasuki Mekah pada tahun ini. Apabila tiba tahun hadapan mereka dibenarkan memasuki Mekah dengan syarat  hanya membawa senjata musafir iaitu pedang bersama sarung sahaja. Perkara ini amat berat diterima oleh umat Islam memandangkan kedatangan mereka pada tahun itu untuk menunaikan haji. Akhirnya mereka akur dan bertahallul setelah melihat nabi sendiri melakukannya. Kegagalan untuk menunaikan haji pada tahun tersebut akhirnya memberi kemenangan yang lebih gemilang apabila berlakunya pembukaan Kota Mekah beberapa tahun selepas itu.

            Perkara kedua pula berbunyi : Gencatan senjata iaitu tidak boleh berperang antara kedua belah pihak selama 10 tahun. Perkara ini telah memberi peluang kepada umat Islam untuk berdakwah dan berbincang mengenai Islam secara lebih meluas tanpa sekatan menggunakan kekerasan sehingga lebih ramai yang memeluk Islam termasuk Khalid ibnu Walid dan ‘Amru bin al-‘As. Genjatan senjata ini juga telah memberi peluang kepada Rasulullah s.a.w untuk berdakwah melalui pengutusan surat kepada Raja Rom, Parsi, Damsyik dan beberapa kerajaan yang lain yang menyebabkan penguasaan Islam semakin luas.

            Perkara ketiga : Sesiapa yang ingin mengadakan ikatan perjanjian dengan Muhammad maka bolehlah melakukannya, begitu juga bagi mereka yang ingin mengadakan perjanjian dengan pihak Quraisy. Mana-mana pihak yang bergabung dengan salah satu daripada pihak tersebut maka ia dianggap suatu juzu’ daripadanya. Sebarang pencerobohan yang dihadapi oleh mereka dianggap menceroboh ke atas salah satu daripada pihak tadi. Perkara ini membolehkan Islam mudah tersebar dan juga menjadi salah satu sebab kepada berlakunya pembukaan Kota Mekah apabila berlakunya pencerobohan terhadap qabilah Khuza’ah yang berada bersama kaum muslimin oleh pihak musyrikin.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Perkara keempat berbunyi : Sesiapa di kalangan Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa izin walinya maka hendaklah dihantar pulang ke Mekah dan sesiapa daripada pihak Muhammad yang melarikan diri kepada pihak Quraisy maka dia tidak akan dikembalikan ke Madinah.

            Perkara inilah yang telah menyebabkan para sahabat merasa terhina terutama apabila melihat Abu Jandal iaitu anak Suhail bin ‘Amru yang merupakan wakil musyrikin dalam perjanjian telah lari meminta perlindungan daripada nabi tetapi disebabkan mematuhi perjanjian ini maka Abu Jandal terpaksa dihantar pulang ke Mekah. Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada Abu Basyir yang turut mendapatkan perlinbungan nabi di Madinah tetapi terpaksa diserahkan kepada perisik musyrikin untuk dibawa pulang ke Mekah kerana mematuhi perjanjian ini. Namun nasib Abu Basyir agak berbeza apabila dia berjaya melepaskan diri selepas membunuh salah seorang daripada perisik musyrikin. Dia lari buat kali kedua ke Madinah tetapi disebabkan tidak mahu Rasulullah s.a.w merasa bersalah lalu dia meminta izin untuk membawa diri dan tinggal di Fata iaitu suatu tempat strategik antara  Mekah dan Madinah. Selepas itu Abu Jandal yang berjaya melarikan diri buat kali kedua turut tinggal di Fata. Begitu juga mereka yang telah memeluk Islam di mana kebanyakan mereka melarikan diri dan berkumpul di Fata. Mereka telah melakukan sekatan terhadap perdagangan Quraisy yang melalui laluan utama di Fata. Gerakan yang diketuai oleh Abu Basyir ini telah menjejaskan perdagangan dan ekonomi Quraisy yang menyebabkan mereka membatalkan perkara yang telah dipersetujui sebelum ini dengan membenarkan orang Islam mendapatkan perlindungan di Madinah. Bagi orang Islam yang terus menetap di Mekah pula, mereka telah memainkan peranan dakwah yang penting sehingga ramai yang telah memeluk Islam.

            Inilah ia antara hikmat kepada perjanjian damai Hudaibiah di mana jika dilihat secara zahirnya ia begitu merugikan umat Islam tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Firman Allah dalam ayat 18 surah al-Fathu

لقد رضي الله عن المؤمنين إذ يبايعونك تحت الشجرة فعلم ما في قلوبهم فأنزل الله السكينة عليهم وأثبهم فتحا قريبا

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang mukmin ketika mereka berbai’ah (janji setia) kepada engkau di bawah pohon. Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi ganjaran kepada mereka kemenangan yang dekat waktunya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

84. IKTIBAR PEPERANGAN BANI QURAIZAH 5H

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 53-55 surah an-Nisa’

أم لهم نصيب من الملك فإذا لايؤتون الناس نقيرا . أم يحسدون الناس على ما ءاتئهم الله من فضله فقد ءاتينا ءال إبرهيم الكتــب والحكمة وءاتينــهم  ملكا عظيما.فمنهم من ءامن به ومنهم من صد عنه وكفى بجهنم سعيرا

Maksudnya : Patutkah ada bagi mereka (kaum yahudi itu) sesuatu bahagian dalam kekuasaan memerintah?. (Tidak! Bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberi sedikit pun kebaikan kepada manusia. Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat kenabian dan agama Islam) yang Allah S.W.T telah berikan kepada mereka daripada limpah kurniaNya. Kerana sesungguhnya Kami telah pun memberi kepada keluarga nabi Ibrahim akan Kitab dan hikmah dan Kami telah kurniakan kepada mereka kerajaan yang besar. Maka di antara mereka (yahudi) yang beriman dengannya dan ada pula di antara mereka yang berpaling daripadanya. Dan cukuplah dengan neraka jahannam yang sentiasa menyala-nyala itu

Kedatangan bulan Zulkaedah mengingatkan kita semua kepada beberapa peristiwa besar dan bersejarah yang telah berlangsung pada bulan ini antaranya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy dan juga Peperangan Bani Quraizah yang berlaku sebaik sahaja selesai Peperangan Ahzab tahun 5 Hijrah di mana peristiwa ini banyak meninggalkan pengajaran kepada umat Islam. Bermulanya gerakan untuk memerangi yahudi Bani Quraizah berlaku apabila Rasulullah s.a.w yang sedang membersihkan dirinya selepas pulang dari Peperangan Ahzab di mana tiba-tiba datangnya malaikat Jibril dan berkata : “ Adakah kamu telah meletakkan senjata? Sedangkan para malaikat belum meletakkan senjata mereka. Oleh itu bangkitlah dengan mereka yang bersamamu untuk menyerang Bani Quraizah. Aku akan pergi dahulu untuk mencampakkan rasa takut ke dalam hati musuh”. Selesai sahaja memberitahu Rasulullah s.a.w lalu Jibril mengetuai rombongan malaikat menuju ke perkampungan Bani Quraizah.

Selepas itu Rasulullah s.a.w pula bersama dengan 3 ribu orang tentera menuju ke tempat tersebut di mana  yahudi Bani Quraizah tidak menentang lalu tentera Islam mengepung musuh itu selama 25 malam. Walau pun yahudi Bani Quraizah boleh bertahan beberapa lama lagi di dalam kota mereka disebabkan bekalan makanan dan air yang banyak disamping di kelilingi oleh kota yang kukuh sedangkan tentera Islam masih keletihan kerana baru pulang daripada Peperangan Ahzab ditambah pula dengan musim sejuk dan kekurangan makanan. Namun tentera Islam mempunyai semangat jihad yang tinggi sedangkan yahudi berada dalam ketakutan dan lemah semangat. Ketakutan yahudi bertambah kuat apabila Sayyidina Ali dan Zubair bin al-Awwam mula mara di mana Sayyidina Ali bertempik menyatakan : “ Wahai tentera Iman! Aku merasa seperti yang telah dirasai oleh Sayyidina Hamzah iaitu gugur syahid atau aku berjaya membuka kota yahudi ini”.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Akhirnya yahudi Bani Quraizah membuat keputusan untuk menyerah diri. Setelah berlaku sedikit rundingan lalu Rasulullah s.a.w menyerahkan hukuman terhadap yahudi pengkhianat ini kepada Sa’ad bin Mu’adz untuk menghakiminya. Sa’ad yang masih uzur akibat luka parah yang dialaminya semasa Peperangan Ahzab telah menjatuhkan hukuman agar kaum lelaki yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh manakala kaum perempuan dan kanak-kanak dijadikan tawanan. Mendengar hukuman itu lalu Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesungguhnya engkau telah berhukum dengan hukum Allah s.w.t yang datang dari 7 petala langit”. Sa’ad mendapat keredhaan yang nyata daripada Allah S.W.T di mana doanya agar dilanjutkan usianya sehingga dia dapat menghukum Bani Quraizah dimakbulkan. Selepas peristiwa tersebut, keadaan Sa’ad semakin tenat sehingga nabi mengarahkan agar didirikan khemah di dalam masjid bagi membolehkan Sa’ad sentiasa berhampiran dengannya. Rasulullah s.a.w bersabda :

اَهْتَزَّ عَرْشُ الرَّحْمنِ لِمَوْتِ سَعْدٍ  ( رواه الصحيحان )

Maksudnya : ‘Arasy Allah S.W.T yang Maha Pemurah telah bergoncang kerana kematian Sa’ad

إِنَّ المَلائِكَةَ كَانَتْ تَحْمِلُهُ  ( رواه الترمذي )

Maksudnya : Sesungguhnya para malaikat menanggung jenazahnya (Sa’ad bin Muazd.

            Walau pun hukuman yang dijatuhkan ke atas yahudi Bani Quraizah ini pada zahirnya begitu keras bagaikan berbentuk paksaan sedangkan musuh telah menyerah diri tetapi hakikatnya ia begitu adil dan tepat sekali apalagi dengan terdedahnya bagaimana yahudi Bani Quraizah itu bukan sahaja mengkhianati janji tetapi turut merancang untuk membunuh seluruh umat Islam dengan menyimpan begitu banyak senjata untuk tujuan itu. Pelaksanaan kepada hukuman bunuh ini dijalankan dengan yahudi Bani Quraizah itu ditahan di kampung Bani Najjar lalu di gali parit-parit di kawasan pasir di Madinah dan kemudiannya dibawa sekumpulan demi kumpulan yahudi itu untuk dipancung leher mereka yang menyaksikan antara 6 hingga 7 ratus yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh. Terdapat juga dikalangan yahudi itu yang memeluk Islam

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

            Peristiwa yang bersejarah ini telah meninggalkan kesan dan pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam terutama dalam berhadapan dengan keganasan zionis yahudi pada hari ini. Sikap yahudi bagaikan tidak pernah berubah sebagai suatu bangsa yang mudah mengkhianati janji dan begitu benci terhadap Islam. Tindakan yahudi Bani Quraizah yang memberi bantuan kepada tentera Ahzab bagi memerangi umat Islam sedangkan mereka telah berjanji untuk taat setia sebagai rakyat Daulah Islamiah Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w ditambah pula dengan persiapan untuk memerangi keseluruhan umat Islam pada masa itu merupakan suatu peringatan kepada kita pada hari ini agar sentiasa berhati-hati ketika berdepan dengan musuh Islam terutama yahudi. Jika pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w yang mempunyai kuasa dan daulah pun yahudi sanggup mengkhianati janji dengan umat Islam apatah lagi pada zaman kita yang tiada lagi Khilafah Islamiah yang mampu menjaga kebajikan dan hak umat Islam sejagat daripada dicerobohi sesuka hati oleh musuh Islam. Api permusuhan yang dinyalakan oleh musuh Islam yang diketuai oleh yahudi tidak pernah padam walau pun ramai di kalangan umat Islam terutama pemimpin negara umat Islam tunduk kepada kebanyakan desakan dan arahan musuh dengan mengenepikan Islam itu sendiri.

            Kita memperingatkan buat sekian kalinya kepada pemimpin negara umat Islam yang lebih sanggup menjadi boneka dan khadam suruhan musuh Islam daripada menjadi pemimpin yang tunduk kepada perintah Allah S.W.T dan rasulNya di mana adakah mereka tidak mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku kepada rakan sejawat mereka seperti Yaser Arafat yang telah memberi kesemua yang dikehendaki oleh yahudi tetapi kini dia menjadi bahan mainan yahudi serta kedaulatan Palestin terus menjadi impian yang belum dapat lagi dibuktikan sedangkan sudah berapa ramai umat Islam menjadi mangsa kekejaman yahudi, berapa luas tanah yang tergadai dan dirampas serta begitu terdedahnya Masjid al-Aqsa untuk dirobohkan oleh yahudi. Adakah pemimpin ini tidak mengambil iktibar dengan apa yang baru berlaku terhadap Saddam Husein yang dulunya dijadikan ayam laga musuh Islam bagi berhadapan dengan saudara seagama tetapi kini dari istana mewah berakhir dalam lubang tikus di bawah tanah sebagai tahanan yang menunggu masa untuk dijatuhkan hukuman. Begitu juga dengan tekanan terhadap Libya dan Iran agar menghentikan pembinaan senjata tidak ketinggalan Syria yang dianggap antara paksi keganasan oleh musuh Islam terus berlangsung. Tujuan kuffar durjana yang sebenar ialah bagi memastikan yahudi terus berkuasa serta memastikan tiada lagi negara umat Islam yang boleh menggugat kedudukan yahudi Israel yang merupakan negara pengganas utama dunia.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Tekanan dan penghinaan musuh Islam tidak akan terhenti sekali pun adanya umat Islam yang mengikut telunjuk mereka. Tidak terlepas dengan apa yang berlaku terhadap negara kita sendiri di mana tekanan terhadap agama Islam begitu teruk seperti ramai umat Islam termasuk pelajar yang masih muda usianya ditahan di bawah ISA atas tuduhan pengganas tetapi Amerika tetap menyatakan bahawa negara ini sebagai antara pusat keganasan. Tekanan terhadap pengajian agama sehingga sudah banyak sekolah agama rakyat yang terpaksa ditutup pada awal tahun ini, pengharaman bertudung labuh, serban dan jubah di sesetengah tempat kerja dan pengajian, tindakan merobohkan surau serta usaha yang bersungguh dalam memastikan sistem perundangan Islam agar tidak dapat dilaksanakan dalam negara malah tindakan dalam persempadanan pilihanraya turut menyaksikan usaha untuk memastikan umat Islam menguasai Parlimen semakin lama semakin kurang tetapi Amerika tetap menyatakan bahawa negara ini tiada toleransi agama. Musuh Islam tidak akan berpuas hati sehinggalah umat Islam tunduk dan mengikut jejak langkah mereka sampai ke dalam lubang biawak. Oleh itu kita berpesan kepada pemimpin agar jangan terus menjadi barua musuh Islam sebaliknya marilah kita bersatu menjulang seluruh sistem Islam sekali pun dibenci musuh asalkan dikasihi oleh Allah S.W.T.

                Sempena dengan kedatangan tahun baru 2004 Masihi ini marilah sama-sama kita merenungi nasib yang menimpa dunia umat Islam pada tahun 2003 baru lalu yang telah meninggalkan banyak peristiwa pedih dan sedih termasuk penjajahan terhadap bumi Iraq dan ditutup tirai dengan gempa bumi yang mengorbankan lebih kurang 40 ribu orang di Iran. Kita turut dikejutkan dengan pembakaran sekolah dan beberapa serangan terhadap pihak keselamatan di Selatan Thailand yang merupakan negeri yang mempunyai majoriti umat Islam. Kita harapkan agar ia tidak dijadikan alasan untuk menekan umat Islam yang sememangnya sentiasa menjadi mangsa keganasan. Kedatangan tahun baru ini tidak mampu mengubah keadaan umat Islam jika kita turut bergelumang dengan dosa sebagaimana orang kafir. Selagi umat Islam masih mengagungkan dunia dengan mengenepikan akhirat, mencampur-adukkan antara dosa dan pahala, tidak memisahkan antara iman dan kufur serta menghidupkan Islam bersama jahiliah maka selagi itulah kini menjadi umat yang hina di dunia dan akhirat. Kembalilah kita kepada seluruh ajaran Islam tanpa menghiraukan suara musuh Islam yang sememangnya sentiasa membenci dan cuba menyesatkan kita daripada jalan kebenaran. Islam mesti dijulang walau pun ditentang. Islam mesti dipertahan sekali pun terus diserang. Islam mesti dibela meski pun terpaksa gadaikan seluruh jiwa dan raga demi meraih keredhaan Allah S.W.T.

Firman Allah dalam ayat  35 surah al-Maidah :

يــأيها الذين ءامنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجــهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya  dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

142. SYAHID SAYYIDINA UTHMAN BIN ‘AFFAN

 

 

السلام عليكم ورحمة الله

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ……..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam  ayat 8 surah as-Sof:

يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم نوره ولو كره الكــفرون

Maksudnya : Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membenci.
 
 

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Sayyidina Uthman merupakan khalifah yang ketiga di mana beliau memerintah selama kurang 12 hari untuk mencukupi 12 tahun. Pemerintahannya berlangsung dengan aman sehinggalah apabila memasuki tahun ketujuh iaitu tahun 30 Hijrah maka bermulanya zaman fitnah. Kebanyakan fitnah ini dimainkan oleh golongan Khawarij dan pengikut Abdullah bin Saba’ iaitu seorang yahudi dari Yaman yang memeluk Islam tetapi berperanan dalam melawan Islam dari dalam di mana dia telah memainkan peranan dalam mencari pengaruh dengan cuba menguasai dan menghasut penduduk di 3 negeri utama iaitu Basrah dan Kufah di Iraq serta penduduk Mesir. Banyak fitnah dan pengkhianatan yang dilakukan dengan matlamat yang besar iaitu menghancurkan Islam itu sendiri daripada terus berkuasa walau pun mereka bergerak atas alasan untuk memastikan gabenor yang dilantik oleh Sayyidina Uthman mesti berlaku adil. Beberapa pertukaran gabenor selari dengan kehendak penduduk terpaksa dilakukan oleh Sayyidina Uthman hasil desakan penduduk tempatan yang termakan dengan racun fitnah yang dilakukan oleh Ibnu Saba’ itu. Sayyidina Uthman melakukannya bukanlah kerana beliau takut atau terlalu berlembut dengan permintaan pemberontak itu tetapi bertujuan untuk memastikan keamanan negara tidak terjejas dan cubaan untuk membunuhnya dapat dilambatkan. Ini adalah kerana Sayyidina Uthman begitu yakin dengan 2 hadis Rasulullah s.a.w di mana yang pertama menyatakan bahawa beliau antara dua sahabat yang paling hampir dengan nabi akan mati syahid dan hadis kedua nabi meminta agar beliau menjaga amanah pemerintahan dengan baik dan jangan sekali-kali mematuhi tuntutan munafik yang cuba melucutkan amanah tersebut.

Kemuncak kepada fitnah itu berlaku apabila masuknya tahun 35 Hijrah sehingga Sayyidina Uthman sendiri memberitahu kepada para muslimin tentang perancangan jahat golongan Khawarij dan pengikut Abdullah bin Saba’. Para sahabat meminta agar mereka dibunuh kerana memberontak terhadap khalifah tetapi Sayyidina Uthman melarangnya kerana mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w yang menegah daripada membunuh golongan munafik di mana dibimbangi musuh Islam akan menuduh orang Islam membunuh sahabatnya sendiri. Fitnah terbesar ialah apabila serombongan penduduk Mesir sekitar seribu orang disamping rombongan dari Kufah dan Basrah yang datang ke Madinah bertujuan meminta Sayyidina Uthman supaya menukar gabenor Mesir lalu beliau bersetuju untuk melantik Muhammad bin Abu Bakar. Ketika pulang kira-kira tiga hari perjalanan dari Madinah maka rombongan dari Mesir terlihat seorang budak suruhan berkulit hitam melintasi mereka dalam keadaan tergesa-gesa lalu mereka meminta agar budak itu berhenti untuk disoal. Budak itu menjelaskan segala tujuannya untuk ke Mesir bagi menyampaikan surat yang didakwa daripada khalifah Sayyidina Uthman. Apabila surat yang mempunyai cop mohor Sayyidina Uthman itu dibaca oleh Muhammad bin Abu Bakar lalu rombongan ini terkejut besar apabila melihat isi surat itu di mana antara lainnya meminta agar gabenor Mesir sebelum ini mesti terus menjadi gabenor serta mesti membunuh Muhammad bin Abu Bakar dan rombongan bersamanya serta membatalkan surat perlantikan Muhammad bin Abu Bakar sebagai gabenor yang baru.

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

            Selepas itu rombongan dari Mesir ini dengan perasaan yang begitu marah terhadap Sayyidina  Uthman berdasarkan kepada isi kandungan surat tersebut lalu mereka kembali semula ke Madinah. Setelah menerangkan tentang surat tersebut maka Sayyidina Ali dan beberapa orang sahabat terus menemui Sayyidina Uthman di mana beliau bersumpah serta menafikan penulisan surat tersebut dan ia merupakan antara usaha jahat pihak Ibnu Saba’ dan Khawarij dengan menggunakan khadam dan cop mohornya. Sayyidina Ali dan para sahabat mengakui kebenaran Sayyidina Uthman ditambah lagi kedatangan rombongan dari Mesir disusuli pula oleh ketibaan Khawarij dari Kufah dan Basrah sedangkan mereka telah berpisah dan sudah pasti tidak akan mengetahui isi surat tersebut melainkan perkara ini telah dirancang terlebih dahulu sebelum mereka pulang dari Madinah sebelum ini. Surat layang ini digunakan sepenuhnya dalam menjatuhkan Sayyidina Uthman terutama keadaan Madinah yang sememangnya pada waktu itu begitu kurang penduduknya terutama golongan lelaki kerana ramai di kalangan mereka sedang keluar berperang, ada juga pergi berdakwah dan tidak kurang yang ke Mekah menunaikan haji. Jumlah yang ada begitu sedikit berbanding puak Khawarij seramai 3 ribu orang.

            Setelah melihat keadaan Madinah yang begitu tegang maka Sayyidina Uthman telah mengutuskan surat bagi meminta bantuan para muslimin terutama di Mesir, Kufah dan Basrah untuk datang ke Madinah bagi mengusir puak Khawarij. Para muslimin begitu bersemangat dan bersedia untuk membantu Sayyidina Uthman yang kini dikepung di Madinah bermula 8 Zulkaedah tahun 35 Hijrah. Pada hari Jumaat pertama selepas pengepungan Madinah oleh Khawarij maka Sayyidina Uthman bangun membaca khutbah di masjid yang turut dihadiri oleh puak pemberontak Khawarij di mana dalamnya beliau telah melaknat puak yang memberontak itu. Puak Khawarij begitu marah lalu mereka menghalau para muslimin dari masjid dengan melontar batu sehingga Sayyidina Uthman sendiri terpaksa dipapah ke rumahnya kerana terkena lontaran batu itu. Sayyidina Uthman yang tahu tentang muslimin bersedia berperang dengan pemberontak lalu mengutuskan utusan untuk menegah para muslimin daripada berperang. Malah semasa dikepung Sayyidina Uthman yang ditemani oleh hampir 700 orang sahabat tetap menegah para sahabat daripada berperang dengan pemberontak.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

       Pertemuan terakhir Sayyidina Uthman dengan para muslimin ialah seminggu selepas bermulanya kepungan di mana beliau menyeru agar mereka bersabar. Selepas itu Sayyidina Uthman terus terkepung di dalam rumahnya sehingga keputusan air. Ketika Sayyidina Ali  dan isteri nabi Ummu Habibah meminta kebenaran daripada pemberontak untuk memberi air kepada Sayyidina Uthman maka ia ditolak mentah-mentah oleh pemberontak

            Pemberontak Khawarij memulakan tindakan seterusnya selepas 30 hari membuat kepungan terhadap Sayyidina Uthman terutama mereka bimbang tibanya bantuan tentera muslimin. Serangan awal mereka ialah dengan membakar pintu dan atap rumah Sayyidina Uthman di mana beberapa orang yang berada dalam rumah itu berusaha memadamkan api sedangkan Sayyidina Uthman sedang sembahyang. Para muslimin yang bertindak mengawal rumah Sayyidina Uthman mula bertempur dengan pemberontak di mana 2 orang muslimin gugur syahid iaitu Mughirah dan Aslami. Melihat perkara itu lalu Sayyidina Uthman memerintahkan semua yang bertindak mengawalnya agar pulang ke rumah masing-masing. Para muslimin akur dengar perintah khalifah tersebut. Akhirnya tibalah hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah yang merupakan hari terakhir bagi kehidupan dunia Sayyidina Uthman iaitu hari ke 40 daripada kepungan itu. Beliau yakin telah tibanya hari ajalnya lalu berpuasa dan banyak membaca al-Quran agar beliau mati syahid dalam keadaan berpuasa dan membaca al-Quran. Pemberontak meminta agar 3 orang daripada kalangan mereka untuk masuk membunuh Sayyidina Uthman secara bergilir tetapi ketiga-tiganya keluar dari rumah khalifah tanpa membunuhnya apabila mendengar nasihat Sayyidina Uthman antaranya bahawa mereka bertiga merupakan antara orang yang pernah didoakan oleh Rasulullah s.a.w dan mereka bukanlah pembunuhnya.

            Selepas itu 3 pimpinan Khawarij masuk di mana Ghafiqi telah memukul Sayyidina Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya. Al-Quran itu terus terbuka dan tetap berada di tangan Sayyidina Uthman sehingga darah yang mengalir dari muka Sayyidina Uthman terkena ayat 137 surah al-Baqarah yang berbunyi:

………….فسيكفيكهم الله وهو السميع العليم

Maksudnya : Maka cukuplah Allah bagi kamu daripada kejahatan mereka dan Dialah Tuhan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Kemudian datang pula Sudan lalu dilibas pedangnya ke arah Sayyidina Uthman tetapi isterinya Nailah menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jari isteri Sayyidina Uthman itu. Sudan yang hilang peri kemanusian terus menetak Sayyidina Uthman beberapa kali sehingga beliau gugur syahid. 2 anak Sayyidina Uthman iaitu Najih dan Sobih turut gugur syahid dibunuh ketika membunuh pembunuh ayah mereka. Kewafatan Sayyidina Uthman sebelum Maghrib hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah dalam usia 83 tahun. Jasad enam orang termasuk jenazah Sayyidina Uthman dituntut daripada pemberontak pada malam tersebut manakala 3 mayat pemberontak pula dibuang di dalam kebun sehingga dimakan oleh anjing. Para muslimin begitu sedih dengan kewafatan Sayyidina Uthman dan para sahabat melaknat para pemberontak yang melakukan kekacauan dan pembunuhan kejam itu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Terbaru Terbit Pagi Esok

Makluman buat para pengunjung budiman bahawa khutbah terbaru bagi minggu ini dalam proses penyuntingan. Insya Allah ia bakal diterbitkan selewatnya jam 10 pagi esok Jumaat 13 November

Khutbah minggu ini bakal menekankan agar kita sama-sama menghayati dan mengambil pengajaran berharga dengan apa yang berlaku sekeliling kita. Peringatan tentang tanda qiamat sebagai amaran kearas supaya kembali kepada Islam. Ingatlah amaran Allah apabila sesuatu bangsa tidak bersungguh dalam melaksanakan Islam maka sepastinya mereka bakal dihancurkan dan akan diganti dengan bangsa lain yang lebih bersungguh dalam mendaulatkan Islam

Khutbah turut menyelit tentang iktibar perjanjian Hudaibiah terutama dalam bekerjasama dengan orang bukan Islam

Jauhi Maksiat Perolehi Berkat

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu :
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ
Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman
Kita masih berada dalam bulan Syawal di mana suasana sambutan hari raya masih terasa bagi sesetengah tempat. Bulan Syawal sewajarnya dijadikan bulan muhasabah dalam menghitung diri kita dari segi kualiti dan kuantiti amal ibadat kita samada semakin bertambah serta cemerlang atau sebaliknya. Kehadiran Syawal yang datang selepas tarbiah Ramadhan biasanya menzahirkan pembahagian manusia samada hanya setakat menjadi hamba Ramadhan iaitu golongan yang hanya rajin beribadat dan berakhlak mulia pada bulan Ramadhan sedangkan setelah berlalunya Ramadhan kembali menjadi manusia yang derhaka kepada Allah. Golongan yang benar-benar berjaya hasil tarbiah Ramadhan ialah yang berjaya menjadi hamba Allah yang meneruskan tarbiah tersebut pada 11 bulan yang lain. Tanyalah diri kita sekiranya pada bulan Ramadhan yang lepas mampu berjemaah di masjid atau surau bagaimana sesudah Ramadhan. Jika Ramadhan yang lepas kita mampu solat sunat berpuluh malah beratus rakaat bagaimana sekarang. Jika Ramadhan yang lepas mampu khatam al-Quran bagaimana hari ini di mana berapa juzu’ atau helai yang telah dibaca. Jika Ramadhan yang lepas kita mampu berpuasa sebulan bagaimana hari ini adakah mampu mengerjakan puasa sunat sekurangya pusat sunat Syawal. Berubahlah ke arah yang terbaik terutama dalam menambah bekalan akhirat

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-A’araf :
وَأَطِيعُوا اللهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar
Syawal juga merupakan bulan kemenangan yang mesti kita hayati syarat kemenangan sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terutama ketika mencapai kemenangan gemilang dalam peperangan Ahzab yang bermaksud tentera bersekutu kuffar atau Khandak yang bererti parit yang digali dalam menyekat kemaraan musuh Islam. Begitu juga kemenangan dalam peperangan Hunain walaupun menerima kejutan serangan musuh pada peringkat pertama. Perjuangan Islam tidak dijanjikan dengan kemenangan yang senang sebaliknya menuntut kepada pengorbanan dalam berdepan dengan pelbagai halangan. Perjuangan Islam tidak dihampar dengan permaidani merah sebaliknya menuntut kepada tumpahnya darah merah dalam berdepan dengan musuh yang bernafsu serakah. Oleh itu dalam menghadapi musuh maka kita kena kenal siapa musuh kita yang sebenar melalui ilmu yang bertunjangkan al-Quran dan hadis nabi bukannya berdasarkan hawa nafsu
Kita berasa sedih dan marah apabila ada golongan yang mengaku Islam tetapi bergerak menjadi lidah kepada musuh Islam seperti Isu sebat Kartika Sari Sukarno yang kembali bergolak dan menjadi tumpuan masyarakat selepas Kumpulan Bertindak Bersama Bagi Persamaan Gender (JAG) yang turut disertai Sisters in Islam (SIS) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu, mendesak Kerajaan Persekutuan dan negeri memansuhkan undang-undang jenayah Syariah yang sekian lama berkuatkuasa di negara kita. Tindakan JAG itu mencemarkan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang Islam bukan baru diadakan dan ia wujud sejak empayar Kesultanan Melayu Melaka. Melaka bukan saja berperanan sebagai pusat penyebaran Islam, malah sistem pentadbirannya juga berteraskan Islam dengan melaksanakan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang berpaksikan Islam. Sekiranya umat Islam menerima cadangan pemansuhan JAG ini bermakna kita bakal kembali ke zaman sebelum kedatangan Islam. Ia juga akan menjadikan Malaysia seperti negara yang walaupun majoriti rakyatnya Islam, tetapi tidak mempunyai undang-undang yang boleh membendung kesalahan syariah, perilaku moral dan akhlak, sehingga masalah sosial semakin berleluasa dan meruncing. Golongan ini mesti dibanteras samada memanggil mereka untuk berbincang atau diambil tindakan sebagaimana ajaran sesat lain dengan dipaksa untuk ditarbiah dan diberi kefahaman tentang Islam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1 dan 2 surah al-Hajj:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُمْ بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ
Maksudnya : Wahai umat manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu. Sesungguhnya goncangan hari qiamat itu adalah suatu yang dahsyat. Hari itu kamu dapati goncangan itu menyebabkan lalai semua perempuan yang menyusui anak daripada anak yang disusuinya, gugurlah perempuan yang hamil dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk sedangkan mereka sebenarnya bukan mabuk akan tetapi azab Allah itu sangat keras
Ketika berseronok menyambut kedatangan Syawal maka kita dapat saksikan bagaimana ribut beserta banjir besar yang melanda Filiphina yang turut dirasai di negeri kita bila banyak kampung yang terkena ribut yang memusnahkan harta benda. Kemudian berlaku pula gempa bumi di Indonesia di mana bila kita mendengar dan membaca pengalaman mangsa maka ini semua mengingatkan kita bagaimana usia dunia semakin uzur dan semakin dekat dengan berlakunya qiamat. Jika peristiwa yang meragut betapa banyak nyawa dan meranap harta benda inipun sudah dirasai dahsyat maka bayangkanlah bila bumi dan langit ini akan digulung dan dihancurkan bila berlakunya qiamat yang sebenar nanti. Ambillah pengajaran yang berguna daripada apa yang berlaku di hadapan mata. Akuilah bahawa ia adalah tanda kekuasaan Allah bukannya berselindung atas nama bencana alam sahaja. Insaflah diri, banyakkan bertaubat dan istighfar, jauhilah maksiat. Jangan tunggu bala ini berlaku atas batang tubuh kita baru mahu insaf maka semuanya sudah terlewat dan tiada guna lagi
Ingatlah bahawa bala Allah bila datang tanpa pengecualian kepada sesiapa pun sama ada yang kufur dan melakukan kemungkaran ataupun golongan beriman dan melaksana suruhan Allah. Manusia ini terbahagi kepada dua iaitu satu yang kufur dan satu lagi beriman. Bagi yang kufur, memang apa yang berlaku merupakan azab Allah SWT di dunia ini dan mereka tidak akan terlepas daripada azab yang lebih dahsyat di akhirat nanti sebagaimana keadaan Firaun yang ditenggelamkan Allah SWT di tengah Laut Merah adalah azab yang Allah SWT turunkan atas kekufuran pemerintah zalim itu dan untuk menghapuskannya dari dunia ini. Bagi golongan beriman pula, ini adalah musibah yang mereka terima di dunia tetapi dijanjikan dengan pelepasan daripada azab di akhirat nanti dimana bagi umat yang beriman serta sabar dengan ujian maka musibah yang didatangkan sebagai kaffarah iaitu penghapusan dosa atas kesalahan yang dilakukan atau untuk menambahkan lagi keimanan kepada Allah. Jauhi maksiat untuk raih berkat, jauhi dosa untuk hindari bala

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 25 surah al-Anfal :
وَاتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan takutlah kamu kepada siksaan yang tidak diturunkan khusus terhadap orang-orang yang zalim di antara kamu sahaja. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya
Tiga kategori manusia yang akan dibangkitkan di akhirat iaitu Pertama mereka yang melakukan maksiat, degil serta ingkar perintah Allah SWT yang mendapat dua kali pembalasan azab iaitu di dunia dan di akhirat.
Kedua, orang baik dan membiarkan kejahatan berlaku yang akan dibalas di dunia serta akhirat kerana tidak menjalankan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan, melarang perbuatan mungkar.
Ketiga ialah orang soleh yang melakukan amal ibadat dengan tekun tetapi berdepan musibah di dunia dan mereka ini akan mendapat pelepasan di akhirat atas kesabaran ketika menerima ujian Allah SWT di dunia
Jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang bersyukur atas nikmat yang diberi dan bersabar atas bala musibah yang dihadapi
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وما كان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

131. UMPAN MUSUH DITELAN UMAT KETINGGALAN

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فليقـتل فى سبيل الله الذين يشرون الحيـوة الدنيا بالآخرة ومن يقـتل فى سبيل الله فيقتل أو يغلب فسوف نؤتيه أجرا  عظيما

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

            Perjuangan Islam bukannya dilalui dengan cara senang sebaliknya memerlukan kepada pengorbanan, ia tidak menjanjikan kemewahan sebaliknya menuntut kepada mengenepikan kepentingan diri sendiri, ia bukannya dihampar dengan permaidani merah sebaliknya menagih kepada tumpahnya darah. Ketika merenung kembali kepada perjuangan dan kejayaan serta kegemilangan yang pernah dicapai oleh nabi Muhammad s.a.w dan para pejuang Islam sebelum ini adalah disebabkan mereka yakin dengan Islam sebagai system pemerintahan dan manhaj kehidupan. Generasi kemenangan begitu yakin bahawa mereka adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan kepada manusia dengan tunduk patuh kepada Allah. Generasi kemenangan telah memainkan peranan dalam membebaskan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah dalam setiap aspek kehidupan. Generasi kemenangan telah memberikan tamadun berasaskan Islam kepada dunia di mana tanpa tamadun Islam maka dunia akan kekal dalam keadaan terumbang-ambing di dalam kegelapan tanpa system hidup yang teratur, kemunduran, kejahilan dan keruntuhan. Generasi kemenangan bila menempuh sebarang pertempuran, pembebasan dan penawanan maka mereka meletakkan di hadapan mata mereka samada menang untuk mereka hidup dalam kemuliaan atau pun gugur syahid menemui Allah sebagai pejuang Islam.  Jasa generasi kemenangan ini telah memberi faedah yang begitu berharga kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama sehingga seorang penulis barat pernah menukilkan: “ Eropah pada masa dahulu adalah buta huruf dan terkenal dengan kejahilan sedangkan Andalusia atau Sepanyol yang diperintah oleh kerajaan Islam telah mempunyai perkembangan ilmu dan membawa bendera pengetahuan di dunia”. Seorang penulis barat yang lain menyatakan :” Umat Islam pada kurun-kurun pertengahan adalah unggul dalam bidang ilmu, falsafah dan seni. Mereka telah mengembangkannya di mana sahaja mereka berada. Ia telah meresap masuk ke Eropah di mana umat Islam adalah sebab kepada berlangsungnya kemajuan dan perkembangan di Eropah”.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Firman Allah dalam ayat 11 surah Al-Ra’du :

……  إن الله لايغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم ……..

Maksudnya : …. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan mereka…….

Kejayaan generasi kemenangan tidak akan bermakna jika kita tidak bersungguh dalam mengikuti jejak langkah mereka. Kegemilangan generasi kemenangan tidak mampu berulang sekiranya kita hanya menyebutnya di mulut tanpa mengikutnya dengan segenap kekuatan yang ada. Oleh itu kalah dan menang, maju dan mundur, hina dan mulia, merdeka dan dijajah terletak di atas keyakinan dan pelaksanaan kita terhadap system Islam dalam kehidupan. Pilihan terletak di atas kemahuan kita samada mahu menjadi hina sebagai hamba abdi kepada system kuffar atau mahu menjadi umat mulia yang tunduk kepada system Islam.

Musuh Islam sentiasa berusaha siang dan malam dalam memastikan umat Islam terus dijajah dari pelbagai sudut termasuk pemikiran dan system. Kita mesti ingat bagaimana antara perancangan jahat perang Salib yang terus berlangsung ialah [1] Menghapuskan perlaksanaan system Islam di kalangan umat Islam [2] Menjauhkan al-Quran dan sistemnya daripada umat Islam [3] Menghancurkan pemikiran umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar  [4] Menghapuskan kesatuan antara umat Islam  [5] Merosakkan kaum wanita Islam.

 

 Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Kejayaan kuffar dalam melakukan penjajahan terhadap pemikiran dan system hidup umat Islam hasil daripada perancangan awal mereka di mana penjajah hanya memberi kemerdekaan kepada pemimpin umat Islam yang telah dirosakkan pemikiran mereka. Akhirnya umat Islam dirosakkan melalui beberapa cara dengan bantuan pemimpin yang beragama Islam sendiri secara sedar atau tidak antaranya melalui penggunaan system kuffar dalam perundangan, ekonomi, sosial dan sebagainya sehingga umat Islam sendiri lebih serasi dengan system kuffar daripada Islam. Akhirnya umat Islam lebih yakin kepada system kuffar daripada Islam sedangkan sudah ramai masyarakat barat sendiri mengakui kehebatan system Islam antaranya seorang ahli falsafah Inggeris dengan katanya : “ Agama Muhammad mempunyai kedudukan dan nilai yang tinggi kerana ia mempunyai kandungan yang hebat dan ia merupakan satu-satunya agama yang mempunyai keupayaan bagi perkembangan hidup. Saya berpendapat adalah semestinya Muhammad itu dipanggil “Penyelamat manusia”. Dan juga saya merasakan bahawa lelaki yang seumpamanya mengambil alih pimpinan dunia masa kini nescaya dia akan berjaya di dalam menyelesaikan permasalahan yang melanda dunia sekarang ini”.

Firman Allah dalam ayat  41 surah al-Ankabut :

مثل الذين اتخذوا من دون الله أولياء  كمثل العنكبوت اتخذت بيتا  وإن أوهن البيوت لبيت العنكبوت لو كانو يعلمون

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka  mengetahui

 

 Sidang Jumaat yang berkati Allah,

                Antara cara lain yang digunakan oleh musuh Islam dalam merosakkan pemikiran umat Islam ialah melalui system pendidikan dengan sukatan pelajaran yang berkiblatkan barat serta pengurangan pengajian agama disamping cara pergaulan antara pelajar yang bebas. Musuh Islam juga menggunakan media massa terutama tv, radio, majalah, internet dan sebagainya dalam memastikan aqidah dan akhlak umat Islam dapat dipesongkan. Akhirnya timbulnya umat Islam yang berani mempertikaikan ajaran Islam termasuk masalah pergaulan bebas, aurat, zina, poligami, murtad dan sebagainya. Bila umat Islam sendiri sudah tidak yakin kepada Islam serta berani mempertikaikannya disamping pemimpin sendiri lebih seronok mengumpul harta dan menjaga takhta daripada menjaga kesucian agama maka kesempatan ini diambil oleh orang bukan Islam dalam menghina umat Islam. Antara yang terbaru ialah apabila ada sebuah parti yang sebelum ini telah menghina umat Islam dengan cadangan agar dibuang pengajian pendidikan Islam di sekolah atas alasan bahawa ia hanya sesuai belajar di rumah dan masjid sahaja. Kini mereka sekali lagi cuba bermain api dengan umat Islam apabila salah satu bahagian parti tersebut mencadangkan agar Mufti Perak dipecat dengan alasan menjadi dalang utama kepada tersebarnya sms palsu yang mengatakan Dato’ Azhar Mansor telah murtad dan cuba memurtadkan ratusan umat Islam yang lain di sebuah gereja di Ipoh sedangkan kes ini telah lama diselesaikan oleh pihak keselamatan. Akhirnya setelah hampir seminggu kenyataan biadap ini dikeluarkan dan beberapa demontrasi serta laporan polis dibuat oleh umat Islam yang cintakan agama barulah ia ditarik balik bersama permohonan maaf. Sekiranya umat Islam masih berdiam diri dan hanya membiarkan musuh Islam menghina Islam maka mereka akan melangkah lebih jauh sebagaimana tujuan asal mereka iaitu membuang Islam daripada menjadi agama rasmi negara. Begitu juga masalah murtad yang bukan sahaja menjadikan orang awam, pelajar universiti malah Kristian telah lama masuk ke sekolah rendah di mana antara kes terbaru adanya seorang remaja perempuan di Pulau Pinang berumur 14 tahun mengaku mengamalkan ajaran Kristian sejak darjah satu lagi serta memberitahu bahawa dia akan diberi upah sebanyak RM 50 jika berjaya menarik rakan yang lain untuk murtad. Dia juga akan diupah antara RM 10 – RM 50 jika berjaya membawa masuk rakan ke gereja hanya sekadar untuk mendengar syarahan paderi atau nyanyian Kristian. Bangkitlah wahai umat Islam! Kita rela mati daripada membiarkan Islam dimaki. Bangunlah wahai pejuang Islam! Kita rela bermandi darah daripada terus membiarkan Islam disanggah. Biar nyawa melayang asalkan Islam dipertahankan

فرمان الله تعالى دالم أية    51    سورة النور :

إنما كان قول المؤمنين إذا دعوا إلى الله ورسوله ليحكم بينهم أن يقولوا سمعنا وأطعنا  وأولئك هم المفلحون

Maksudnya : Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah agar mereka berhukum dengannya di kalangan mereka lalu mereka berkata : “ Kami dengar dan kami patuh”.  Dan mereka itulah golongan yang beroleh kejayaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

115. AQIDAH GOYAH AKHLAK MUSNAH

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    110    سورة   آل عمران :

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله ولو ءامن أهل الكتـب لكان خيرا لهم منهم المؤمنون وأكثرهم الفـسقون

Maksudnya : Kamu adalah sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan antara manusia kerana kamu menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran serta beriman kepada Allah S.W.T. Dan sekiranya ahli Kitab itu beriman nescaya itulah yang lebih baik bagi mereka tetapi ada di antara mereka yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik

                Umat Islam sentiasa diperingatkan oleh oleh Allah dan rasulNya bahawa kehidupan dunia ini penuh dengan pelbagai ujian dan cabaran dalam menguji tahap keimanan dan ketaatan kita kepada Allah dan rasulNya. Betapa ramai umat Islam sendiri yang hanya tahu bercakap tentang kekuatan iman yang ada dalam diri sedangkan bila diuji oleh Allah maka jelaslah bagaimana keadaan diri mereka yang sebenar. Ramai umat Islam yang merasa cukup taat kepada Allah tetapi bila ditinjau mengenai perjalanan hidup mereka maka masih terdapat banyak lagi perkara yang dilakukan bercanggah daripada apa yang telah digariskan oleh Islam. Menyedari bahawa antara sifat kekurangan yang ada pada diri kita sebagai makhluk yang bergelar manusia iaitu lupa maka wajiblah kita memperingati antara satu sama lain dengan menghidupkan budaya nasihat dalam masyarakat sehingga yang salah dapat diperbetulkan, yang silap dapat perbaiki, yang sesat dapat dihindari. Kita tidak mahu arahan Allah agar kita sentiasa menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran hanya terhenti setakat atas mimbar khutbah Jumaat sahaja tanpa dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Kejayaan sesuatu umat bergantung kepada kesungguhan dalam melaksanakan amar makruf nahi munkar dalam kehidupan seharian. Kita wajib melaksanakan tugas suci ini tanpa perlu merasa takut kepada sebarang ugutan, cacian dan tindakan manusia. Ingatlah kita kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad :

قال الرسول e  : لايَمْنَعَنَّ أَحَدَكُمْ رُهْبَةُ النَّاسِ أَنْ يَقُوْلَ بِحَقٍّ إِذَا رَآهُ أَوْ شَهِدَهُ فَإِنَّهُ لايُقَرِّبُ مِنْ أَجْلِ وَلايَنْقُصُ عَنْ رِزْقٍ أَنْ يَقُوْلَ بِحَقٍّ أَوْ يَذْكَرُ بِعَظِيْمٍ

Maksudnya: Janganlah kerana takut kepada manusia menyebabkan engkau takut bercakap perkara yang benar apabila engkau tahu dan melihatnya. Maka sesungguhnya bercakap benar itu tidak memendekkan umur dan mengurangkan rezeki bila bercakap benar atau menyebut perkara yang besar

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat  36  surah al-Anfal :

إن الذين كفروا ينفقون أموالهم ليصدوا عن سبيل الله , فسينفقونها ثم تكون عليهم حسرة ثم يغلبون والذين كفروا إلى جهنم يحشرون

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan.

            Kita juga sedar bagaimana musuh Islam sentiasa mencari jalan samada secara keras atau lembut dalam menyesat dan menjauhkan umat Islam daripada ajaran dan system Islam yang sebenar. Hidup di zaman di mana hati-hati umat Islam sendiri lebih mencintai dunia daripada akhirat maka suatu usaha yang lebih bersungguh mestilah dibuat agar kesedaran ke arah mengembalikan system Islam dalam setiap aspek kehidupan dapat dicapai. Kekuatan umat Islam bertunjang daripada aqidah maka jika aqidah umat Islam runtuh menyebabkan pelbagai masalah lain terutama keruntuhan akhlak akan berlaku dengan lebih meluas tanpa kawalan. Oleh itu suatu kajian yang lebih mendalam bersama tindakan yang tegas berdasarkan Islam perlu dibuat oleh kerajaan terutama berkenaan kenyataan Mufti Perak yang mendakwa kira-kira 100,000 orang Islam di negara termasuk seorang yang bergelar ‘ustazah’ telah murtad hasil daripada suatu  kajian sekumpulan  profesional dan intelektual Melayu yang menjalankan kajian mengenai masalah itu pada tahun lepas. Malah umat Islam bermula daripada pemimpin mesti serius dalam menghadapi tekanan dan perancangan jahat musuh Islam yang semakin berani menentang Islam termasuk dalam kes terbaru menukar agama (murtad) yang dituntut Azlina Jailani atau lebih dikenali dengan nama Lina Joy bagi memadamkan perkataan Islam pada kad pengenalannya. Ini semua adalah antara perancangan jahat musuh Islam di mana jika kita masih berlembut maka usaha musuh Islam untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalan akan berjaya tidak lama lagi dikuti dengan kuasa Mahkamah Syariah terhakis dan apa yang paling bahaya ialah keistimewaan Islam akan dibuang daripada perlembagaan.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

            Tidak cukup dengan masalah murtad maka masalah penyebaran luas Islam Liberal juga mesti diambil perhatian yang serius. Suara-suara sesat daripada puak Islam Liberal ini semakin jelas berlaku seperti mempertikaikan talak yang hanya diberikan kepada kaum lelaki, pembahagian pesaka yang melebihkan kaum lelaki, amalan poligami yang dipandang menzalimi wanita, menuduh ulama’ feqah sebagai pereka agama dan antara yang terbaru ialah mempertikaikan pandangan mufti agar dihentikan amalan kongsi raya yang boleh menjejaskan aqidah umat Islam. Jika kita lihat kepada kesan kongsi raya memang begitu merbahaya apabila aqidah umat Islam yang telah rapuh akan bertambah rapuh sehingga menganggap semua agama adalah sama. Mula-mula umat Islam hanya mengikut upacara yang tidak bercanggah dengan Islam tapi lama-kelamaan mereka turut terheret dengan budaya dan adat agama lain yang bercanggah dengan Islam dalam keadaan sedar atau pun tidak. Inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh musuh Islam di mana umat Islam tidak payah masuk kristian, budha, hindu tetapi cukuplah bahawa umat Islam yang gila raya ini mengiktiraf bahawa agama-agama itu semuanya betul

            Bila aqidah telah rosak maka keadaan akhlak semakin parah terutama kita berasa terhina dan malu jika benarnya dakwaan bahawa masyarakat Melayu membelanjakan RM1 bilion setahun untuk minum arak dan RM3 bilion lagi untuk berjudi  iaitu 75 peratus yang tikam ekor sekarang ini merupakan orang-orang Melayu sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah majalah. Kenyataan ini ditambah dengan cadangan kementerian pelancongan supaya kelab malam dibuka sehingga jam 5 pagi sempena tahun melawat Malaysia 2007 nanti. Ke manakah sebenarnya arah tuju Islam Hadhari yang dicanangkan selama ini samada Islam yang dipertahan atau jahiliah yang dijulang. Adakah kita sebagai umat Islam yang bermaruah rela melihat keruntuhan aqidah dan akhlak terus berlangsung dalam negara tanpa sebarang usaha untuk menanganinya. Muliakah kita jika memandang semua bahaya tersebut hanya masalah orang lain bukannya melibatkan anak dan cucu kita. Adakah kita boleh mati dengan tenang ketika keruntuhan aqidah dan akhlak ini semakin mengancam anak cucu kita. Apakah bekalan yang kita bekalkan kepada anak cucu kita samada harta atau pun agama yang berharga.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Kita turut merasa sedih dan marah apabila musuh Islam dengan kejam terus meratah tubuh umat Islam tanpa rasa kasihan. Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan bacul yahudi Israel yang terus mengebom bangunan dan membunuh umat Islam di Palestin disamping menahan puluhan menteri dan ahli parlimen Palestin. Setelah gagal menjatuhkan kerajaan HAMAS Palestin dengan sekatan kewangan maka zionis yahudi kini atas alasan mahu membebaskan seorang pegawai tenteranya yang diculik sedang berusaha menggulingkan sebuah kerajaan pilihan rakyat disamping meruntuhkan masjid Aqsa. Kita turut mengutuk tindakan tidak bertamadun yahudi yang mengebom lapangan terbang Beirut, Lubnan serta membunuh puluhan rakyat yang tidak berdosa. Zionis yahudi tidak mengenal erti perdamaian tetapi mereka hanya tahu membunuh dan menghancurkan sesiapa sahaja yang dianggap sebagai musuh mereka. Oleh itu marilah kita sama-sama membantu saudara seagama dengan kemampuan yang ada terutama melalui doa-doa kita bersama.

Firman Allah dalam ayat 17  surah Luqman :

يبني أقم الصلـوة  وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ما أصابك إن ذلك من عزم الأمور

Maksudnya : Wahai anakku! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan dan tegahlah daripada kemungkaran serta sabarlah di atas cubaan yang menimpa engkau. Sesungguhnya demikian itu merupakan perkara yang dikehendaki ambil berat mengenainya

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

102. RUH ISLAM SUBUR TAMADUN MAKMUR

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 9 surah ar-Ruum :

أولم يسيروا فى الأرض فينظروا كيف كان عاقبة الذين من قبلهم كانوا أشد منهم قوة واثاروا الأرض وعمروها أكثر مما عمروها وجاءتهم رسلهم بالبينات فما كان الله ليظلمهم ولكن كانوا أنفسهم يظلمون

Maksudnya:  Dan adakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memerhatikan bagaimana penderitaan azab orang-orang sebelum mereka?. Orang-orang itu adalah lebih kuat daripada mereka sendiri dan telah mengolah bumi serta memakmurkannya lebih banyak daripada apa yang telah mereka sendiri makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul dari kalangan mereka dengan membawa bukti-bukti nyata namun didustakannya. Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim terhadap mereka tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri

            Kekayaan dan kemewahan sering dikaitkan dengan kejayaan yang sentiasa diidamkan oleh umat manusia.  Pelbagai cara dan usaha dilakukan oleh umat manusia dalam mencapai kekayaan dan kemewahan hidup. Islam sendiri sentiasa menganjurkan agar umatnya rajin berusaha dan tekun bekerja dalam membina kekayaan harta namun Islam telah meletakkan garis panduan tertentu bagi memastikan usaha itu adalah halal dan dibelanjakan pula pada jalan yang dibenarkan oleh syarak. Islam sentiasa memberi peringatan kepada umatnya bahawa kekayaan harta dunia mestilah dicari dan digunakan sebaik mungkin dengan penuh kesederhanaan sehingga ia mampu menambahkan lagi bekalan akhirat bukannya kekayaan itu digunakan penuh dengan pembaziran dan rasa takabbur sehingga ia bakal menghumbankan pemiliknya ke dalam api neraka di akhirat nanti. Dunia ini ialah tempat mencari sebanyak mungkin bekalan akhirat bukannya tempat untuk berseronok sehingga melupakan kita semua tentang akhirat. Kita mesti menjadikan setiap kerja kita sebagai suatu ibadat yang menambah pahala bukan menjadikannya sebagai suatu maksiat yang mencambahkan lagi dosa.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

                Kekayaan dan kemewahan jika tidak digunakan dengan cara yang betul maka ia bakal menjerumuskan pemiliknya kepada kehancuran. Betapa banyak kaum dan umat sebelum ini yang dihancurkan sehingga segala kemewahan dan kekayaan yang dibina sebelum ini menjadi bahan peninggalan dan pewarisan kepada generasi selepas mereka. Kemewahan Namrud tidak kekal lama dan hancur akibat daripada perderhakaan terhadap Allah S.W.T dan nabi Ibrahim. Kekayaan Qarun tidak bertahan lama apabila dia ditenggelamkan oleh Allah S.W.T bersama kekayaannya itu ke dasar bumi akibat melawan nabi Musa. Begitu juga hancurnya Firaun dan segala kekuatan kerajaannya akibat takabbur menentang Allah. Runtuhnya kekuatan empayar Rom dan Parsi ditangan umat Islam apabila kemewahan yang dicapai telah menyebabkan mereka melakukan penindasan dan kezaliman terhadap rakyat jelata sehingga kerajaan mereka jatuh menyembah bumi. Malah jatuhnya Khilafah Islam Baghdad akibat pemimpin dan rakyat dihanyutkan oleh kemewahan yang disalahgunakan sehingga dengan mudah jatuh di tangan tentera Tartar Monggol. Begitu juga jatuhnya Khilafah Islamiah Turki akibat umat Islam hanyut dengan kemewahan sehingga sanggup menjual agama dan pemerintahan kepada Kristian. Betapa ramai umat yang ingatkan Allah S.W.T apabila ditimpa kesusahan dan penderitaan tetapi ramai lagi umat yang lupa malah melawan Allah S.W.T apabila berada dalam kemewahan dan kesenangan dunia.

            Oleh itu bukan semua ajakan dan laungan kemajuan mesti disambut dan diterima oleh umat Islam. Laungan kemajuan yang berlandaskan Islam wajib diterima manakala laungan kemajuan yang dipisahkan daripada Islam mesti ditolak. Jangan kita terpengaruh dengan ajakan golongan yang begitu mengagungkan tamadun kebendaan barat sehingga sanggup menafsirkan Islam berdasarkan pemikiran barat serta golongan ini tidak senang apabila melihat adanya pertentangan antara Islam dan pemikiran barat. Apa yang lebih merbahaya apabila golongan ini berusaha dalam membawa Islam sedekat-dekatnya dengan pemikiran barat sedangkan kita sudah maklum bahawa Islam dan jahiliah tidak boleh bersatu, iman dan kufur tidak boleh bergabung. Islam bukan suatu agama yang bersifat peribadi dan pertapaan malah ia merupakan agama yang lengkap termasuk dalam masalah membina kemajuan tamadun. Islam tidak menolak kemajuan tetapi meletakkan garis yang tertentu agar tamadun yang dibina dapat membawa manusia kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Tamadun yang dibina mesti mempunyai ruh Islam sehingga kemajuan yang dicapai dapat melahirkan umat yang tunduk kepada Allah S.W.T bukannya umat yang melawan Allah S.W.T. Tamadun tanpa ruh Islam seumpama tubuh tanpa nyawa yang tidak memberi makna lagi kepada manusia. Tamadun sebahagian daripada Islam di mana jika dipisahkan tamadun daripada Islam maka ia tidak berguna lagi seumpama kaki yang dipotong daripada tubuh maka ia tidak mampu berfungsi lagi sebagaimana sebelumnya.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

            Jika umat Islam benar-benar mahu mengembalikan kegemilangan dan keagungan Islam maka kita mesti kembali membina tamadun kebendaan dan rohani berasaskan Islam dengan ditiupkan ruh Islam di dalamnya. Suatu usaha dan pengorbanan yang bersungguh-sungguh wajib dijalankan dalam melahirkan para tentera Allah S.W.T yang mampu bergading bahu dalam melaksana dan mempertahankan seluruh system Islam. Tamadun Islam yang bakal dijelmakan kembali hanya mampu ditunaikan oleh umat Islam yang benar-benar menjiwai Islam dan rapat hubungannya dengan Allah S.W.T sepanjang waktu tanpa terhad ketika mendirikan ibadat khusus sahaja. Antara sifat yang mesti ada pada pejuang Islam dalam menjulang semula system Islam dan mendirikan kegemilangan tamadun Islam ialah sebagaimana firman Allah S.W.T dalam ayat 37 surah an-Nur :

رجال لاتلهيهم تجارة ولا بيع عن ذكر الله  واقام الصلوة وايتاء الزكوة يخافون يوما تتقلب فيه القلوب والابصار

Maksudnya : Golongan lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli daripada mengingati Allah S.W.T dan daripada mendirikan sembahyang dan membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari di mana bergoncangnya hati dan pendengaran

Umat Islam terus berada dalam kehinaan apabila terlalu mengagungkan tamadun kebendaan barat sehingga kita terpaksa menjadi hamba kepada harta bukannya hamba yang tunduk patuh kepada setiap suruhan Allah Maha Mencipta. Tamadun kebendaan tanpa ruh Islam hanya melahirkan golongan mewah yang hidup bergelumang dengan maksiat yang menjadikan nafsu sebagai kayu ukur bukannya wahyu. Akhirnya berleluasanya golongan kaya yang sanggup memeras keringat si miskin demi mengaut keuntungan yang sebanyak mungkin sehingga meluaskan lagi jurang antara golongan kaya dengan miskin. Golongan kaya yang sudah mabuk dengan kemewahan bukan sahaja tidak mampu lagi diajak untuk berjuang Islam malah kebanyakan daripada mereka bangun menentang system dan ajaran Islam yang bertentangan dengan nafsu serakah mereka. Apabila perkara yang merosakkan ini subur dalam masyarakat Islam maka tiada lagi pertolongan dan bantuan daripada Allah melainkan kehinaan yang menimpa kita.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Setiap apa yang kita semai itulah yang bakal ditunai. Jika kita menanam benih rambutan maka hasil rambutanlah yang bakal kita kecapi. Begitulah juga apabila menyemai benih Islam dalam masyarakat maka suasana kehidupan berlandaskan Islam bakal kita lihat nanti. Sedangkan jika kita tanam benih jahiliah dan kufur dalam diri rakyat maka masyarakat yang rosaklah yang bakal dituai nanti. Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila benih jahiliah yang disemai sedangkan hasil yang ditunai adalah Islam. Rosaknya golongan umara’ atau pemimpin dan hanyutnya ulama’ dengan dunia akan menyebabkan hancurnya rakyat dan negara. Islam bukan cukup setakat laungan slogan tetapi mesti disusuli dengan tindakan dan pengamalannya dalam setiap aspek kehidupan. Usaha dalam merosakkan akhlak dan aqidah rakyat semakin subur terutama selepas laungan Islam Hadhari antaranya dalam menghalalkan buka aurat, memperkecilkan dosa, hiburan yang tidak terbatas, program khidmat negara yang banyak melahirkan remaja yang kosong jiwanya daripada ruh Islam. Berhatilah kita agar tidak terpedaya dengan tipuan golongan yang cuba mereka-reka agama dan memaksa Islam mengikut tafsiran nafsu.

Firman Allah dalam ayat 25 surah al-Anfal :

واتقوا فتنة لا تصيبن الذين ظلموا منكم خاصة واعلموا أن الله شديد العقاب

Maksudnya : Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah S.W.T amat keras siksaanNya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

90. MAKSIAT BERCAMBAH BALA BERTAMBAH

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah S.W.T dalam ayat 27-28  surah as-Syura :

ولو بسط الله الرزق لعباده لبغوا فى الأرض ولكن ينزل بقدر ما يشاء انه بعباده خبير بصير . وهو الذي ينزل الغيث من بعد ماقنطوا وينشر رحمته وهو الولي الحميد

Maksudnya:  Dan jika Allah S.W.T memewahkan rezeki kepada sekalian hambaNya nescaya mereka akan melampaui batas di muka bumi (dengan perbuatan liar). Tetapi Allah S.W.T menurunkan rezeki itu mengikut kadar tertentu sebagaimana yang dikehendakinya. Sesungguhnya Dia mengetahui secara mendalam tentang keadaan hambaNya lagi Maha Melihat dengan nyata. Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan ingatlah bahawa Dialah Pengawal yang melimpahkan ihsanNya lagi Amat Terpuji.

            Nikmat anugerah Allah S.W.T kepada umat manusia amat banyak sehingga tidak terhitung jumlahnya. Anugerah nikmat ini mestilah disambut dengan penuh kesyukuran serta digunakannya dalam memperbanyakkan lagi ibadat kepada Allah S.W.T paada setiap masa dan tempat. Kita juga mesti ingat bahawa segala kebaikan yang diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas hambaNya bergantung kepada baiknya amalan kita terhadap Allah S.W.T. Begitu juga dengan curahan keberkatan dan kebaikan dari langit disebabkan umat manusia berusaha menjauhkan diri daripada jalan-jalan kesesatan yang memesongkan mereka daripada landasan Islam yang sebenar. Kita sentiasa berdoa agar rezeki yang diperolehi adalah suatu nikmat yang datang bersama dengan keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T sehingga kita mampu meraih kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Disamping itu, kita juga sentiasa memohon perlindungan daripada Allah S.W.T agar jangan jadikan rezeki yang diterima sebagai suatu pemberian yang tiada bersamanya keberkatan apatah lagi ia bertujuan untuk melalaikan kita daripada mendapatkan keredhaan Allah S.W.T sehingga menjadikan kita umat yang rugi di dunia dan akhirat.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

            Ketika kita mendapat rezeki yang bermacam-macam maka ada masanya di mana Allah S.W.T menahan nikmatNya sebagai suatu ujian untuk menguji tahap kesabaran dan kerelaan manusia dalam menghadapi bala’ atau pun ia merupakan suatu peringatan dan pengajaran kepada mereka yang melakukan kezaliman dan lalai daripada mematuhi perintah Allah S.W.T. Antara bala’ daripada Allah S.W.T ialah Dia tidak menurunkan hujan dengan cuaca panas yang begitu terik sebagaimana yang sedang kita hadapi sekarang ini. Ia menyebabkan manusia dan binatang menghadapi kesukaran, pokok dan tanaman turut kekeringan dan sebagainya. Islam sentiasa memberi tunjuk ajar yang sempurna kepada umatnya agar mencari jalan dalam menghadapi sebarang ujian yang datang. Kita mesti memperbanyakkan istighfar bagi memohon keampunan daripada Allah S.W.T di atas segala dosa dan kesilapan yang dilakukan.  Jangan campur adukkan antara ibadat dan maksiat sehingga lebih banyak bala’ Allah S.W.T yang turun seumpama pesta air yang dicemari dengan persembahan artis dan program maksiat yang melambangkan sebahagian daripada kita tidak bersungguh untuk bertaubat kepada Allah S.W.T.

            Ingatlah kita kepada suatu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Wahai kaum Muhajirin! Ada 5 perkara di mana jika telah menimpa kamu maka tiada lagi kebaikan bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah S.W.T agar kamu tidak menemui zaman itu. 5 perkara itu ialah : [1] Tidak bermaharajalela perbuatan zina pada suatu kaum sehingga mereka berani secara terang-terang melakukannya melainkan akan berjangkit yang merebak dengan cepat dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang lain. [2] Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka. [3] Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T. [4] Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah S.W.T dan rasulNya melainkan Allah S.W.T akan menurunkan kepada mereka musuh yang akan merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka. [5] Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah S.W.T  yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan utama maka Allah S.W.T akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 10-12  surah Nuh :

استغفروا ربكم انه كان غفارا يرسل السماء عليكم مدرارا ويمددكم بأموال وبنين ويجعل لكم جنات ويجعل لكم أنهارا

Maksudnya:  Pohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Akan dikirimkan oleh Allah kepada kamu awan yang menurunkan hujan lebat. Diberikan oleh Allah S.W.T kepada kamu kekayaan harta dan anak-anak serta diadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Melihat kepada arahan dan amaran daripada Allah S.W.T dan rasulNya agar kita sentiasa bertaubat dengan segala dosa serta mematuhi segala perintah dan menjauhi segala apa yang ditegah maka sepatutnya kita lebih sedar tentang kesalahan kita yang menyebabkan turunnya sesuatu bala’ daripada Allah S.W.T. Kita juga mesti sentiasa istiqamah dan berada di atas landasan Islam yang sebenar dengan menghindarkan segala jalan yang membawa kepada kesesatan.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 16  surah al-Jin :

وأن لو استقاموا على الطريقة لاسقيناهم ماء غدقا

Maksudnya:  Dan sesungguhnya jika mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas landasan Islam maka sudah tentu Kami menurunkan hujan lebat kepada mereka  

            Kita mesti tegas dalam melawan kebatilan dan maksiat sehingga datangnya kemenangan dan keredhaan daripada Allah S.W.T. Kita jangan takut untuk menegur kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita kerana sebarang dosa bakal mengundang bala’ dan bala’ apabila telah turun maka ia menyeluruh bukan tertentu kepada pembuatnya sahaja. Oleh itu melalui mimbar yang mulia ini kita menegur tentang kegagalan program Khidmat Negara yang menelan wang rakyat sebanyak 500 juta ringgit dalam melahirkan rakyat yang soleh kerana terlalu menekankan latihan fizikal dan keduniaan tanpa menitikberatkan pembinaan rohani. Ini menyebabkan berlakunya banyak pergaduhan, pengabaian kepada kewajipan agama di kalangan peserta Islam terutama solat, aktiviti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga ada peserta yang dirogol dan beberapa orang lagi didapati mengandung. Melihat kepada kegagalan dan bahayanya program ini terhadap keselamatan akhlak anak-anak maka kita seru agar program Khidmat Negara digantung atau dihentikan buat sementara bagi membolehkan suatu siasatan dan pembaikian terhadap aktiviti dan pengisian yang dijalankan di dalamnya sehingga ia benar-benar selamat dan berkesan untuk melahirkan warganegara yang soleh.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

             Kita mesti ingat tentang ujian Allah S.W.T berbentuk hujan peluru musuh yang menimpa saudara kita. Palestin menyaksikan bagaimana dalam masa tidak sampai sebulan selepas pengasas dan pemimpin HAMAS iaitu Syeikh Ahmad Yasin dibunuh maka pemimpinnya yang baru iaitu Abdul Aziz Rantisi pula dibunuh dengan peluru berpandu helikopter Israel. Iraq terus bermandi darah selepas kebangkitan pejuang Iraq dalam menentang penjajah. Malah Arab Saudi turut digegarkan dengan letupan bom kereta yang dipandu penyerang berani mati memusnahkan bangunan pasukan keselamatan di Riyadh. Malah keganasan di Selatan Thailand yang didakwa dirancang rapi oleh Amerika terus menekan kebebasan umat Islam di sana. Jika saudara kita di tempat lain mampu bersabar dan tetap meneruskan perjuangan dalam melawan musuh maka kita di negara ini yang ditipu secara terang dalam pilihanraya mesti lebih bersabar dengan meningkatkan usaha dakwah Islam serta menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran sehingga datangnya pertolongan dan kemenangan besar daripada Allah.

Firman Allah dalam ayat 55-56 surah al-A’raf :

ادعو ربكم تضرعا وخفية إنه لايحب المعتدين  . ولاتفسدوا فى الأرض بعد اصلــحها وادعوه خوفا وطمعا إن رحمت  الله  قريب من المحسنين

Maksudnya : Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah S.W.T tidak menyukai mereka yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah S.W.T memperbaikinya dan berdoalah kepadaNya dengan penuh perasaan takut dan mengharap. Sesungguhnya rahmat Allah S.W.T amat dekat kepada mereka yang berbuat baik.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ