• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Keberkatan Ramadhan DiCari Kemenangan Islam DiRai


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 3-6 surah ad-Dukhan :

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ ﴿٣﴾ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ ﴿٤﴾ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا ۚ إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ ﴿٥﴾ رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya).

Alhamdulillah kini telah 2 minggu kita sama-sama berada di bulan Ramadhan 1438H yang begitu banyak mempunyai kelebihan. Semoga Allah menganugerahkan kepada kita keberkatan Ramadhan sehingga mampu memperbanyakkan amalan soleh sebagai bekalan akhirat. Sesuai dengan makna Keberkatan iaitu tetapnya kebaikan Ilahi di dalam sesuatu seperti keberkatan ilmu di mana walau sedikit yang dipelajari ditambahkan lagi ilmu-ilmu lain yang membuahkan amal seterusnya iman. Begitu juga keberkatan rezeki  dengan dijauhkan daripada sumber yang haram dan syubhat sehingga walau pun sedikit tetapi mencukupi keperluan. Manakala keberkatan umur pula apabila mampu dimanfaatkan untuk diisikan dengan amalan soleh , walau pun umur pendek namun mendatangkan manfaat yang besar kepada diri sendiri dan orang lain.

Kita wajib bersyukur kepada Allah atas nikmat Ramadhan yang memberi peluang seluas mungkin dalam menambah pahala akhirat. Kita juga sewajarnya mengambil iktibar daripada  keadaan saudara seagama yang berdepan dengan musibah kebuluran dan peperangan di mana mereka berpuasa tanpa tahu adakah makanan untuk berbuka atau tidak. Di Syria ada yang terpaksa berbuka puasa dengan makan kucing kerana tiada makanan lain. Malah ada berjuta umat Islam di Uyghur, Xinjiang China setiap tahun berdepan dengan sekatan menjalankan ibadah puasa oleh pemerintah di mana mereka telah diarahkan untuk membuka restoran sepanjang bulan Ramadan, kelas di sekolah sentiasa dipantau bagi memastikan pelajar Islam tidak berpuasa.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 2-3 surah at-Talak :

….وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّـهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا ﴿٣

Maksudnya : ….dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),  Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Matlamat utama kepada ibadat puasa Ramadhan ialah untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Sesiapa yang memiliki sifat taqwa ini akan diberikan begitu banyak kelebihan samada di dunia apatah lagi di akhirat nanti. Antaranya mampu meraih keberkatan Ramadhan termasuk mampu membaca al-Quran, tadabbur maknanya seterusnya menghayati kehendak al-Quran dalam kehidupan seharian.  Kita mampu memelihara lidah daripada mengumpat, mencaci, mengadu domba dan segala dosa lidah yang lain. Mampu menjaga mata, telinga, kaki, tangan daripada perkara yang haram. Keberkatan Ramadhan mampu dimiliki bila kita mampu menghidupkan malam dengan ibadah terutama solat Jemaah, solat terawih dan tahajjud lebih-lebih pada 10 malam terakhir Ramadhan yang dijanjikan dengan lailatul Qadar. Keberkatan Ramadhan dapat diraih bila kita mampu mengawal nafsu makan ketika berbuka puasa.  Jika saat berbuka puasa menjadi saat melahap semua keinginan nafsunya yang tertahan sejak pagi hingga petang dan dijadikan kesempatan balas dendam dari upaya menahan lapar dan haus selama siang hari, maka nilai tarbiah puasa akan hilang.

Keberkatan Ramadhan dapat dirasa bila kita mampu memperbanyakkan sedekah termasuk menjamu orang yang berpuasa sesuai dengan dilipatgandakan suatu amal kebajikan pada bulan Ramadhan dengan puluhan bahkan ratusan kali ganda dibandingkan bulan-bulan lainnya. Momentum seperti ini sangat berharga dan tidak boleh disia-siakan. Keberkatan Ramadhan juga dapat diraih bila kita mampu menjauhi dosa maksiat bukan sahaja pada bulan Ramadhan malah pada bulan-bulan yang lain terutama ketika menyambut hari raya nanti ketika ramai yang kembali menjadi hamba kepada nafsu dan syaitan. Keberkatan Ramadhan mampu dimiliki bila kita mampu memelihara kesinambungan ibadah setelah Ramadhan kerana amal ibadah satu bulan Ramadhan merupakan bekal tambahan agar ruhani dan keimanan seseorang meningkat untuk menghadapi 11 bulan selepasnya. Oleh itu marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah agar kita mampu meraih keberkatan Ramadhan dengan diberi pahala atas segala amalan soleh, diampuni segala dosa dan dipertingkatkan lagi rasa taqwa dalam jiwa

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 57-58 surah an-Namlu :

فَأَنجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ قَدَّرْنَاهَا مِنَ الْغَابِرِينَ ﴿٥٧﴾ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَسَاءَ مَطَرُ الْمُنذَرِينَ ﴿٥٨

Maksudnya : Lalu Kami selamatkan Nabi Luth dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya, kecuali isterinya, Kami takdirkan dia menjadi dari golongan yang tertinggal dalam azab. Dan Kami hujani mereka dengan hujan yang membinasakan, maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa orang-orang yang telah diberi amaran

Tarbiah Ramadhan mampu menangkis segala tabiat buruk yang bercanggah dengan agama sehingga kita mampu mengawal hawa nafsu bukannya menjadi kuda tunggangan kepada nafsu serakah. Antaranya kita terus mendesak syarikat penerbangan termasuk MAS untuk menghentikan pemberian arak percuma dan menghentikan mengenakan caj arak kepada pembeli tiket bagi mengelak peristiwa penumpang mabuk yang menyebabkan pesawat terpaksa berpatah balik berulang kembali. Malah ada satu kes di mahkamah London dalam proses mendakwa seorang penumpang MAS mabuk yang mengeluarkan kata kesat dan cuba menyerang anak kapal. Kita berharap dengan pengharaman arak boleh mendatangkan keberkatan dan menyelamatkan kakitangan beragama Islam daripada terpalit dosa besar itu.

Kita juga begitu bimbang bila wujudnya umat Islam sendiri terutama yang terpengaruh dengan cara berfikir dan gaya hidup Liberal cuba mempromosikan budaya hidup songsang melalui ucapan mahupun tulisan termasuk menganggap ia sesuatu yang normal dengan alasan Allah ada menciptakan binatang yang suka melakukan seks sejenis. Benarlah firman Allah apabila manusia terlalu degil dan keras kepala dalam meraikan fitrah manusia yang merupakan sebaik-baik ciptaan akan meletakkan mereka setaraf dengan binatang bahkan lebih dahsyat lagi. Malah usaha sebuah university swasta untuk menganjurkan kempen LGBT cara hidup songsang pada 6-8 Jun 2017 yang baru lalu tetapi terpaksa dibatalkan atas bantahan banyak pihak di mana ia merupakan suatu usaha yang bersungguh dalam menyuburkan budaya songsang yang tidak bermoral di negara ini. Oleh itu perlu usaha bersungguh daripada semua pihak untuk menyantuni dengan usaha-usaha pemulihan kepada golongan yang keliru jantina ini supaya kembali kepada fitrah. Jangan tunggu bala Allah baru kita mahu menyesal di mana dalam laporan statistik pada tahun 2015, 80% iaitu (2752 orang pengidap HIV) berpunca dari pelaku hubungan seks dengan (30%) dikalangan mereka pula pelaku seks sumbang homoseks.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Ramadhan tahun ini juga dikejutkan dengan usaha Kristian Zionis dalam menyambut Jubli Emas atas nama agama di Melaka dan Sarawak tetapi terpaksa dibatalkan atas bantahan. Sambutan ini dikhuatiri mempunyai agenda Zionis kerana tarikh yang disambut merupakan tarikh rampasan Masjid Aqsa iaitu 7 Jun 1967 di mana genap 50 tahun lampau dalam Perang 6 Hari yang menyaksikan Masjidil Aqsa berada dalam genggaman rejim Zionis Israel. Ia terakam dalam tragedi Perang 6 Hari antara Israel menentang ketenteraan gabungan Arab terdiri daripada Mesir, Jordan dan Syria yang memiliki kekuatan yang berpotensi melenyapkan Israel dari peta dunia dalam masa hanya 2 jam. Malangnya, Israel yang mempunyai angkatan kurang seperlima daripada 3 negara Arab itu, berjaya memenangi peperangan yang menyaksikan 20,000 nyawa terkorban, tanah umat Islam di Gaza, Tebing Barat, Semenanjung Sinai dan Bukit Golan juga jatuh dalam taklukan Israel. Kejayaan itu bukan sahaja melonjak kemegahan Zinois Israel, tetapi mengubah geopolitik dan ekonomi di Timur Tengah khususnya melibatkan hubungan sesama negara umat Islam, termasuk pengaruh Amerika Syarikat dan British. Kini, penguasaan dan kejayaan itu dirayakan di seluruh dunia dan khususnya rantau ini yang berada dalam jalur ‘Gerbang Emas’ iaitu salah satu dari 12 gerbang, menjadikan Malaysia sebagai pilihan. Malah melalui ucapan tokoh Kristian Zionis seolah-olah cuba memprovokasi, mencabar, mengancam mengejek dan membangkitkan emosi umat Islam ibarat meletakkan garam di atas luka yang dialami umat Islam. Semoga perkara ini dapat disekat daripada menular dalam negara kita dengan kita sama-sama bersatu atas dasar Islam dan memperjuangkan agar seluruh system Islam dapat dilaksana dalam negara. Mulianya kita kerana melaksana Islam, hinanya kita akibat meninggal cara hidup Islam

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 10 surah al-Hujurat :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚوَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠

Maksudnya : Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Peringkat antarabangsa pula Ramadhan tahun ini dicemari dengan tindakan Arab Saudi dan beberapa negara yang lain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar atas alasan membantu pengganas. Qatar merupakan negara kaya yang stabil di mana ia pasti dicemburui oleh rakan dan musuh terutama tindakan merugikan umat Islam ini dilakukan selepas Presiden baru AS melawat Israel. Jadi kita boleh baca bahawa sebarang negara Islam yang boleh menggugat kedudukan zionis Yahudi Israel mesti diperangi dan dilemahkan. Oleh itu kita berdoa pada bulan Ramadhan yang mulia, pada hari Jumaat yang mulia, di masjid yang mulia agar tindakan yang merugikan umat Islam ini dapat dihentikan. Gunalah semangat Ramadhan dalam mengembalikan kemuliaan dan kekuatan umat Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Satu Respons

  1. Terima kasih Al Fadhil Ustaz. Semoga menambahkan saham pahala dengan perkongsian teks khutbah terbaru ini. Jazakallahu khoiron kasiro’.InsyaAllah menunggu teks khutbah hariraya nanti. Semoga Allah memberi kesihatan pd Ustaz sekeluarga. Amin.

Tinggalkan komen