• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,677,510 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

Ramadhan DiRai Keistimewaannya DiNikmati


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 14-17 surah al- A’la :

قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ ﴿١٤﴾ وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّىٰ ﴿١٥﴾بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا ﴿١٦﴾ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ ﴿١٧

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), (Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk).  (Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal

Kini kita berada di penghujung bulan Sya’aban di mana kita bakal menyambut kedatangan Ramadhan 2 hari lagi. Kita mesti menyatakan rasa seronok dan syukur kepada Allah dengan nikmat Ramadhan yang dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan. Kedatangan bulan yang dijanjikan dengan penggandaan pahala dan penghapusan dosa wajib disambut sebaik mungkin agar segala janji kebaikan daripada Allah dapat kita capai. Keistimewaan Ramadhan yang terbuka luas pintu-pintu Syurga dan tertutup rapat pintu-pintu Neraka serta dirantai Syaitan penggoda mesti diambil peluang peluang dalam menambah bekalan akhirat. Peluang dengan adanya suatu malam istimewa antara malam-malam Ramadhan yang dinamakan lailatul Qadar jangan dilepaskan agar kita dapat menjadi umat yang beruntung yang berlumba merebut janji Allah yang benar.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Sesuai dengan matlamat kepada ibadat puasa itu sendiri untuk melahirkan umat yang bertaqwa yang sepastinya menjadi umat pilihan untuk berjaya dunia dan akhirat maka kita mesti menggunakan peluang kehadiran Ramadhan dengan bersungguh-sungguh agar kita menjadi hamba Allah yang berjaya mencapai tingkatan umat bertaqwa dalam segenap aspek kehidupan. Kesungguhan ini bermula daripada diri kita sendiri dengan mendalami ilmu agama terutama yang berkaitan dengan ibadat puasa itu sendiri agar ia menjadi ibadat bukan setakat adat sahaja. Ilmu bukan sahaja dapat menunjuk kepada kita bagaimana mahu menjalani ibadat puasa yang sempurna malah memberi jalan untuk kita memperelokkan lagi ibadat wajib dengan amalan sunat yang menambahkan pahala. Suasana seronok dalam menyambut Ramadhan mesti disuburkan dalam diri kita sendiri seterusnya ahli keluarga dan masyarakat dengan setiap lapisan bermula daripada pemimpin sehingga rakyat jelata mengambil berat berkenaan Ramadhan bukan setakat melepas batuk di tangga sahaja. Banyakkan kempen dalam memperkasakan amalan soleh melalui tv, akhbar, radio, media massa dalam menghidupkan suasana menyambut Ramadhan. Jangan hanya sibuk kempen nak sambut hari raya sahaja nampak hebat tapi bila nak sambut puasa Ramadhan dibuat sambil lewa. Akhirnya umat berpuasa mengurangkan pahala puasanya dengan cara melihat tv, mendengar radio, membaca perkara melalaikan di akhbar atau internet. Masa yang sepatutnya dihabiskan dengan amalan yang membuahkan pahala dihabiskan dengan perbuatan yang bukan sahaja sia-sia malah maksiat yang menambahkan dosa. Jika umat Islam sendiri boleh ditarik untuk membicarakan tentang Piala Dunia berbulan-bulan sebelum pertandingan bermula sehingga kemeriahannya dirasa di mana-mana maka mengapa kempen untuk sambut Ramadhan kita tidak mampu lakukannya sebagaimana para salafussoleh yang mengingati Ramadhan setiap masa sehingga begitu semangat dengan kedatangannya dan begitu bersedih dengan pemergiannya. Kita tidak mahu demam Piala Dunia menghilangkan tumpuan kepada sambutan Ramadhan sebagaimana asyiknya kebanyakan manusia dengan godaan dunia menyebabkan tumpuan kepada bekalan akhirat dilupa. Imam Abu Sulaiman Ad-Darani pernah berwasiat :Telah datang dunia dalam hati nescaya akan hilang akhirat daripadanya. Apabila telah ada dunia dalam hati maka tidak akan datang akhirat untuk menyelamatkan hati kerana dunia itu keji sedangkan akhirat itu murni

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun :

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ  ﴿٧١

Maksudnya : Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

Antara keistimewaan ibadat puasa ialah [1] Menguatkan Jiwa  di mana Islam memerintah supaya memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk menguasainya. Bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu bersifat duniawi. Sekiranya dalam memerangi hawa nafsu, manusia mengalami kekalahan maka malapetaka besar akan berlaku. Perkara ini kerana manusia yang kalah itu akan mengalihkan pengabdiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia kepada kesesatan dan kerosakan. Bukan sahaja umat Islam diajar bagaimana pentingnya agama dalam mengawal kehidupan malah kita melihat di China sejak pemerintahan Jiang Je Ming telah memulihkan pengajaran agama dengan harapan negaranya bukan sahaja dapat menjadi Naga Besar Ekonomi dunia tetapi turut unggul dari segi adat dan budaya setelah kesan menjauhi agama menyebabkan banyak jenayah dan kerosakan berlaku yang turut menggugat ekonomi Negara China itu sendiri. Kita bimbang akibat menjauhi agama daripada kehidupan di Negara kita sendiri menyebabkan keruntuhan aqidah dan akhlak serta kes jenayah terus meningkat. Tindakan kerajaan yang ingin meluluskan lesen judi yang kedua terbesar selepas Genting dan lebih parah bersetuju menjadi tuan rumah kepada pertandingan ratu cantik dunia Miss Universe pada akhir Ogos nanti bakal mengundang lebih banyak bala daripada Allah.

Keistimewaan [2] ialah Puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan kepada kebaikan, meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik. Puasa akan menjadikan rohani seorang Muslim semakin ampuh yang membuatkan seseorang itu tidak akan melupakan diri, meskipun sudah mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi. Kekuatan rohani juga akan membuat seorang Muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit. Kita begitu bimbang bila nafsu dipuja sehingga walau pun TV swasta banyak dikuasai oleh orang Islam tetapi program maksiat lebih subur berbanding program berguna seperti program melahirkan penyanyi kecil hingga penyanyi tua begitu mendapat sambutan daripada orang Melayu sendiri sehingga ada yang bergaduh berebut borang yang terhad. Sedangkan dalam masa yang sama program ilmiah seperti Akademi al-Quran walau pun berjaya melahirkan Qari dan qariah yang berjaya bukan setakat peringkat kebangsaan malah antarabangsa hanya bertahan 3 musim sahaja.

Firman Allah dalam ayat 9-10 surah as-Shamsu :

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا﴿١٠

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (9) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

Keistimewaan [3] ialah Puasa Menyihatkan Badan di mana selain kesihatan dan kekuatan rohani, puasa memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani tubuh dan anggota badan. Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w, malah dibuktikan oleh doktor atau ahli perubatan. Malah FIFA menjawab bahawa Piala Dunia dianjurkan juga walau pun pada bulan Ramadhan kerana mendapat penjelasan bahawa jika puasa di bulan Ramadhan dijalani dengan betul, tidak akan ada penurunan pada prestasi fizikal para pemain. Oleh itu umat Islam yang meninggalkan solat kerana seronok tengok Piala Dunia sepatutnya malu kepada pemain beragama Islam yang bertaraf dunia yang menjaga solat. Umat Islam yang meninggal puasa kerana demam Piala Dunia sepatutnya malu kepada pemain antarabangsa yang tetap berpuasa walau pun penat bermain dalam Piala Dunia.

Keistimewaan [4] ialah Puasa ialah Mengenal Nilai Kenikmatan Dan Bersyukur. Maka, dengan puasa manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi kenikmatan yang diperolehi, malah diminta merenungi nikmat Allah kepada kita. Di sini, pentingnya puasa bagi mendidik untuk menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang Allah berikan supaya kita menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah. Rasa syukur memang akan membuat nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya. Sebaliknya manusia yang tidak bersyukur suka melakukan kerosakan

Firman Allah dalam ayat 7 surah Ibrahim :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ ﴿٧

Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Keistimewaan [5] ialah Puasa Mengingati Dan Merasakan Penderitaan Orang Lain. Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaiman beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam lebih kurang 12 atau 13 jam, sementara penderitaan orang lain entah bila berakhir. Dari sini puasa akan melahirkan dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum Muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan menderita. Tarbiah Ramadhan menyemarakkan rasa kasih sayang kepada saudara seagama yang lain yang sedang menderita bukan sahaja di Negara kita tetapi seluruh dunia termasuk di Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Selatan Thailand, Myanmar, Sri Langka dan lain-lain

Sebagai simbol daripada rasa simpati itu juga, sebelum Ramadhan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat fitrah. Hal ini supaya dengan itu setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan umat yang menderita. Bahkan, zakat tidak hanya untuki kepentingan orang miskin dan menderita, malah menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir daripada diri kita.

Semoga Allah memanjangkan umur kita untuk sama-sama dapat menemui Ramadhan dan diberikan oleh Allah kekuatan dan semangat dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti amalan soleh kita sepanjang Ramadhan sehingga melahirkan kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Jadikan masjid tempat tumpuan, al-Quran sebagai bacaan, sedekah jadi amalan sepanjang Ramadhan sehingga kita lahir sebagai umat berjaya di dunia dan akhirat

Firman Allah dalam ayat 103  surah at-Taubah:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ﴿١٠٣

Maksudnya : Ambillah zakat daripada sebahagian harta merekan dengan zakat itu, kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: