• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Ramadhan DiHayati al-Quran DiJulang Tinggi


السلام عليكم

الحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى
الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا
اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
…أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai
hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar
taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya
menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar
kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita
kepada  Allah  dengan  melakukan  segala
suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang
ditegahNya.

Sidang
Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu :

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ
شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai
Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan
berita gembira bagi orang-orang beriman.

Kini hampir 2 minggu kita menunaikan ibadat puasa
Ramadhan di mana begitu banyak faedah daripada kewajipan ini samada untuk
maslahat dunia apatah lagi kelebihannya bagi sesiapa yang menunaikan ibadat
puasa penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah termasuk keampunan daripada
segala dosa dan anugerah nikmat Syurga. Antara perkara yang dirasai ketika
menunaikan ibadat puasa ialah perasaan lapar di mana antara matlamat lapar
ialah sebagaimana yang kita fahami daripada suatu doa nabi Muhammad s.a.w
ketika malaikat Jibril datang membawa tawaran daripada Allah untuk menukarkan
semua bukit batu di sekitar Mekah menjadi bukit emas lalu baginda berdoa yang
bermaksud : Tidak Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku lebih suka dalam hidupku
berkeadaan lapar sehari dan kenyang sehari kerana ketika waktu lapar dapatlah
aku bertadharruk (merintih merayu) terhadapMu ya Tuhanku. Dan apabila aku dalam
keadaan kenyang maka dapatlah aku memujiMu dan mensyukuri nikmatMu ya Allah!

Lapar melahirkan rasa tadharruk iaitu hati yang sentiasa
merintih kepada Allah di mana ia akan menyuburkan jiwa kita dengan sentiasa
berhubung dengan Allah. Nikmat Allah akan lebih dirasai bila kita terlalu
berhajat kepadanya sebagaimana orang lapar begitu gembira bila dapat makanan walau
pun sedikit. Tanpa melalui tarbiah puasa termasuk rasa lapar ini maka ramai
yang tidak ingat tentang betapa berharganya nikmat Allah walau pun sedikit dan tidak
merasa bagaimana kesusahan golongan yang memerlukan kerana sentiasa berada
dalam kekenyangan

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali ‘Imran :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا
الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ

Maksudnya : Wahai
orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya
mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu
orang-orang yang rugi

Beradanya kita pada bulan Ramadhan
turut mengingatkan kita bahawa telah masuk waktu untuk menunaikan zakat fitrah
yang merupakan rukun Islam ke-4. Bila sebut tentang zakat maka isu ini
tiba-tiba menjadi hangat pada Ramadhan kali ini apabila timbulnya masalah umat
Islam yang terpaksa meminta simpati gereja dan kuil atas alasan susah untuk
mendapat bantuan kebajikan. Perkara ini sebenarnya telah lama berlaku cuma tidak
dibesar-besarkan sebagaimana hari ini. Ia mesti dipandang serius oleh semua
pihak bermula daripada pemimpin, jabatan berkenaan hinggalah rakyat jelata bagi
memastikan kebajikan mereka yang memerlukan tidak terabai. Bila umat Islam
terpaksa memohon simpati daripada pihak bukan Islam maka kesannya agak bahaya
terhadap aqidah mereka jika tidak ditangani dengan baik dan segera sebagaimana
kita pernah dengar tentang sikap pengasas Kristianisasi yang mengatakan : “Kerja-kerja
kebajikan sewajarnya digunakan dengan penuh bijaksana, setiap wang yang
dibelanjakan hendaklah dihitung pulangannya nanti, malah sewajarnya diagihkan
wang-wang tersebut kepada mereka yang jauh dari agama Kristian. Kemudian
pengagihan tersebut hendaklah dikurangkan sedikit demi sedikit setiap kali
mereka mndekati gereja. Apabila mereka telah memeluk Kristian maka bantuan
kebajikan tadi hendaklah dihentikan dan tidak lagi memberikan tumpuan serius
kepada kerja kebajikan tersebut”.

Sidang
Jumaat yang diberkati Allah,

Pemimpin wajib memastikan bantuan
kebajikan disalur pada yang layak bukan setakat kroni disamping mengawal
masalah kenaikan harga barangan yang menyebabkan ramai rakyat yang papa semakin
papa sedangkan yang kaya semakin kaya. Tarbiah Ramadhan sepatutnya mengubah
pemimpin untuk membasmi pecah amanah, pembaziran dan rasuah yang menyebabkan
penderitaan rakyat bawahan semakin bertambah. Kita begitu rindu untuk melihat
pemimpin mencontohi Khalifah Umar Al-Khattab yang sanggup memikul gandum untuk
diagihkan kepada orang miskin kerana mengambil berat tanggungjawabnya menjaga
kebajikan umat Islam. Begitu juga kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz  sehingga wang zakat tidak dapat diagihkan
kepada umat Islam kerana kemiskinan sifar, yakni tiada orang memerlukan wang
zakat lalu ia digunakan untuk memerdekakan hamba abdi di Eropah. Kita tidak
mahu lagi melihat kebajikan rakyat terus terabai apatah lagi usaha dakwah Islam
yang tidak bersungguh sehingga kita mendengar rungutan pihak yang terlibat
dengan dakwah orang asli contohnya yang menghadapi kesukaran apabila pemimpin
lebih rela memberi alat muzik supaya orang asli berhibur sepanjang hari
sehingga menyusahkan pendakwah untuk mendekati mereka. Kita juga mahu rasuah
politik yang diasuh begitu lama sehingga rakyat sanggup mengenepikan kebenaran
Islam asalkan dapat habuan di mana perbuatan terkutuk ini bukan sahaja mengajar
rakyat untuk menggadai negara malah agama dengan harga yang murah. Ingatlah amaran
nabi melalui suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim :

بَادِرُوا
بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ
مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ
دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا

Maksudnya
: Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat
terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang beriman pada
waktu pagi kemudian pada waktu petang dia telah menjadi kafir. Kemudian seseorang
yang beriman pada waktu petang kemudian pada esok paginya dia telah menjadi
kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit dari habuan dunia

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Isra’ :

إِنَّ هَـٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ
أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ
لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya Al-Quran ini memberi
petunjuk ke jalan yang amat betul (Islam), dan memberikan berita yang
mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa
mereka beroleh pahala yang besar

Sempena berada pada bulan Ramadhan
yang merupakan bulan diturunkan al-Quran maka marilah kita sama-sama
memperbanyakkan untuk membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya seterusnya
melaksanakannya dalam kehidupan kita. Terlalu banyak pengajaran dan panduan berharga
yang wajib diambil daripada al-Quran bagi memastikan segala gerak-geri kita
sentiasa dikira sebagai ibadat disamping jauh daripada maksiat derhaka terhadap
Allah. Rebutlah ganjaran besar yang dijanjikan kepada orang yang suka membaca
al-Quran terutama pada bulan Ramadhan ini sebagaimana suatu hadis yang
diriwayatkan oleh imam Muslim Dari Abi Umamah Al-Bahili r.a. berkata : Aku
dengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

اِقْرَأُوْا الْقُرْآنَ ، فَإِنَّهُ يَأتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
شَفِيعاً لأَصْحَابِهِ

Maksudnya : “Bacalah Al-Quran, maka sesungguhnya ia datang pada pada
hari kami menjadi syafaat(penolong) kepada tuan yang membacanya…..”

Kegagalan dalam melaksanakan sistem
al-Quran menyebabkan banyak masalah jenayah, sosial yang berlaku. Kita jangan
menjadi golongan yang hanya setakat membaca al-Quran tetapi tidak memahami
apatah lagi menghayati sistem al-Quran dalam kehidupan seharian. Ingatlah kita
kepada suatu amaran nabi yang bermaksud : “ Akan zahir di kalangan umatku di akhir zaman, orang yang membaca al-Quran
tetapi al-Quran hanya sampai ke halkumnya sahaja tetapi tidak sampai ke dalam hati.”

Sempena berada pada bulan Ramadhan
bulan turunnya al-Quran marilah kita sama-sama menghidupkan al-Quran dalam diri
kita, keluarga kita seterusnya masyarakat sekeliling, negeri dan negara. Beruntunglah
bagi orang yang menjadikan al-Quran sebagai teman hidup sehingga al-Quran mampu
memberi ketenangan dalam kehidupan di dunia, membantunya ketika berada dalam
alam kubur seterusnya padang mahsyar nanti. Betapa ruginya manusia yang
menjauhi al-Quran sehingga hidupnya penuh kekosongan jiwa, dalam kubur melolong
seorang diri mencari penolong dan di akhirat tercari-cari sesuatu yang mampu
membantunya untuk lari daripada azab yang dahsyat

Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ
لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari
Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang
yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang
yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua

بَارَكَ اللهُ
لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ
مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ
وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ
وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ
التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan komen