• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

37. KEMBALILAH KEPADA AJARAN AL-QURAN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    81-82    سورةالإسراء :

وقل جاء الحق وزهق الباطل إن البطل كان زهوقا وننزل من القرءان ما هو شفاء ورحمة للمؤمنين ولايزيد الظـلمين إلا خسارا

Maksudnya : Dan katakanlah : “ Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”. Sesungguhnya kebatilan itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. Dan Kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi ubat penawar bagi orang-orang beriman. Dan a-Quran itu tidaklah menambah kepada mereka yang zalim selain daripada kerugian.

 

            Kini kita berada di dalam sepuluh terakhir Ramadhan di mana melalui beberapa hadis nabi s.a.w telah memberitahu kita bagaimana pada salah satu malamnya akan dianugerahkan malam al-Qadar yang mempunyai keistimewaan besar yang melebihi seribu bulan yang lain. Peluang dan tawaran yang terbuka luas ini hendaklah direbut bagi menunjukkan bahawa kita merupakan hamba Allah yang sentiasa berlumba-lumba dalam menambah bekalan akhirat. Marilah kita sama-sama menghidupkan malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan ini dengan melipat-gandakan segala amalan soleh seperti berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, iktikaf, qiamullail dan sebagainya disamping meninggalkan sebarang perbuatan maksiat. Gunakanlah peluang yang masih ada dalam memperbaiki kadar dan mutu ibadat sehingga kita mampu lahir sebagai hamba yang bertaqwa yang sentiasa berlumba-lumba menambahkan bekalan akhirat. Jangan biarkan masjid dan surau bertambah kurang bilangan ahli jemaahnya apabila masuknya sepuluh terakhir Ramadhan kerana masing-masing terlalu sibuk dengan aktiviti membeli-belah dan persiapan menyambut hari raya. Sepatutnya kita mesti semakin memperbanyakkan lagi amalan sunat setelah masuknya sepuluh malam terakhir Ramadhan agar kita tergolong dalam golongan yang dicintai oleh Allah kerana sentiasa mencari-cari Lailatul qadar yang merupakan suatu malam yang berlipat ganda pahala di mana ia tidak pernah dianugerahkan kepada umat yang lain.

            Siti ‘Aisyah telah berkata : Adalah nabi S.A.W apabila telah masuk sepuluh malam terakhir akan bertambah kerap baginda S.A.W menjauhi isteri, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Sesuai dengan kedatangan Ramadhan yang mengingatkan kita bagaimana pada bulan inilah wahyu pertama daripada Allah telah diturunkan kepada Rasulullah s.a.w melalui malaikat Jibril ketika baginda sedang bermunajat di gua Hira’. Oleh itu gunakanlah hari-hari terakhir Ramadhan ini untuk lebih memperbanyakkan lagi bacaan al-Quran. Disamping kita membaca al-Quran untuk mendapatkan fadhilat dan pahala yang dijanjikan oleh Allah maka kita juga mesti  cuba memahami isi kandungan ayat al-Quran bagi sama-sama diamalkan dalam kehidupan seharian. Al-Quran yang disifatkan sebagai ubat penawar yang mampu mengubati kekosongan jiwa disamping ia mampu mengubati segala masalah manusia apabila kita mampu menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup yang diamalkan segala sistem yang telah diberitahu oleh al-Quran. Penurunan al-Quran bukanlah semata-mata untuk dibaca tetapi menuntut kepada pengamalan terhadap segala isi kandungannya sehingga dunia ini mampu ditadbir dengan sebaiknya berasaskan wahyu bukannya mengikut hawa nafsu yang sudah pastinya akan menggugat keamanan dunia.

            Wahyu pertama yang diturunkan melalui surah al-‘Alaq menekankan kepada kita bagaimana pentingnya ilmu pengetahuan. Al-Quran turut menekankan bagaimana ilmu yang diperolehi mestilah diamalkan bagi menjamin proses ibadat khusus dan pengurusan pentadbiran kepada kehidupan seharian dapat berjalan dengan baik. Umat Islam pernah mencapai zaman kegemilangannya apabila seluruh pergerakan dan pengamalan mereka berdasarkan ilmu yang disuluhi dengan cahaya wahyu sedangkan pada waktu itu dunia barat masih berada dalam kegelapan ilmu pengetahuan. Kemasukan Islam ke barat terutama dengan penawanan Sepanyol di bawah tentera Islam yang diketuai oleh Toriq bin Ziyad telah membolehkan dunia barat turut berkembang maju berasaskan ilmu. Cuma setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniah 1924 yang berpusat di Turki disebabkan perpecahan di kalangan umat Islam sendiri yang termakan racun yang ditaburkan oleh musuh Islam telah menyebabkan dunia Islam semakin ketinggalan dari segi kemajuan material dan kadang-kadang pembangunan insan turut tergugat disebabkan umat Islam meninggalkan ajaran al-Quran yang menyeluruh.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Jika pada zaman kegemilangan Islam kita dapat lihat bagaimana Islam menjadi tempat bergantung dan rujukan kepada perkembangan tamadun lain tetapi kini umat Islam sendiri terpaksa memohon belas ihsan daripada barat untuk turut membangunan tamadun mereka yang kebanyakannya mengikut hampir seratus peratus cara barat yang menyebabkan kita terus ketinggalan malah terpaksa menjadi kuli kepada teknologi mereka. Akhirnya negara umat Islam tidak mampu berdikari dan terpaksa tunduk kepada barat. Ini semua membawa kepada kerugian yang begitu besar kerana barat mampu menguasai seluruh negara umat Islam yang tidak mempunyai pakar yang mampu menggerakkan kemajuan teknologi yang mereka cedok dari barat. Malah negara umat Islam turut menghadapi masalah sosial yang begitu berat kerana turut terikut dengan gaya hidup bebas yang diamalkan di barat sehingga pembangunan insan yang sepatutnya ditekankan mula terabai. Akhirnya umat Islam menjadi umat yang ketinggalan dari sudut kemajuan material dan turut gagal dari segi pembangunan insan.

            Kita lihat bagaimana barat telah mengambil hampir kesemua ilmu pengetahuan yang asalnya telah dihidupkan oleh umat Islam silam untuk membangunkan tamadun mereka. Tetapi sayangnya ilmu pengetahuan yang diambil telah dibuang roh Islamnya sehingga kemajuan material yang dibina oleh barat tidak dapat membantu mereka untuk turut membina pembangunan insan yang bersepadu. Akhirnya kemajuan tekonologi barat digunakan sewenang-wenangnya untuk pengekalan kuasa dan mencari harta kekayaan daripada negara-negara yang lemah. Ini menyebabkan dunia hari ini dapat melihat penindasanan kezaliman berleluasa di mana-mana. Perasaan kemanusiaan telah lama hilang ditelan oleh nafsu buas yang tidak pernah puas menghisap darah dan keringat manusia yang lemah. Oleh itu di dalam mengembalikan semula keamanan dunia serta mengembalikan tamadun yang selari antara material dan kemanusiaan maka umat Islam mesti kembali kepada al-Quran. Kita mesti memastikan keseluruhan ajaran al-Quran dapat dilaksanakan dibumi yang nyata sehingga kita mampu kembali menjadi umat yang mulia dan maju.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Umat Islam bagaikan anak ayam kehilangan ibu apabila hilangnya sistem khilafah. Umat Islam bagaikan kehilangan tempat bergantung untuk mengadu segala masalah yang dihadapi. Kita merayu kepada kuffar musuh yang sentiasa berusaha membaham kita sedangkan dalam masa yang sama kita gagal untuk mendapat bantuan daripada negara-negara umat Islam sendiri yang berpecah dan lemah kerana meninggalkan ajaran al-Quran yang menyeluruh. Kita dapat lihat pada hari ini bagaimana penderitaan umat Islam di Palestin terus berlaku malah tekanan yahudi pada akhir-akhir ini semakin jelas dan nyata. Dunia barat sentiasa membisu malah membantu usaha yahudi untuk menakluki bumi Palestin untuk dijadikan pusat pentadbiran Zionis Dunia. Masjid al-Aqsa terus menjadi sasaran utama untuk dirobohkan bagi diganti dengan Haikal Sulaiman yang didakwa milik yahudi sedangkan itu semua merupakan milik umat Islam yang mesti dipertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir. Perjanjian damai yang dibuat tidak lebih daripada usaha untuk memudahkan penyerahan bumi Palestin kepada yahudi dan juga untuk memberi kebenaran kepada yahudi untuk menyembelih umat Islam sesuka hati. Begitu juga penderitaan umat Islam di Afghanistan yang terus berlaku di mana barat menggunakan kemajuan teknologi yang ada untuk meratah tubuh umat yang tidak bersalah. Malah perjanjian di dalam membentuk kerajaan sementara di Afghanistan yang telah dibuat di Bonn, Jerman akan menambahkan lagi penghinaan terhadap umat Islam. Barat akan cuba menyedut sebanyak mungkin hasil minyak dan galian lain di Afghanistan untuk kepentingan mereka terutama dalam membayar kos bom dan senjata yang dijatuhkan di Afghanistan dalam serangan yang tidak bermaruah. Di sini kita dapat saksikan bagaimana umat Islam dihina begitu rupa di mana tanahair mereka dicerobohi, rakyat dibunuh kini mereka terpaksa pula membayar balik kos kekejaman itu dengan hasil dari negara mereka sendiri. Oleh itu kembalikan semula kemuliaan umat Islam dengan sama-sama kita kembali kepada seluruh ajaran al-Quran. Islamlah nescaya kita akan selamat dan mulia di dunia dan akhirat.

Renungilah Firman Allah dalam surah al-Qadar:

إنا أنزلنـه في ليلة القدر وما أدرئك ما ليلة القدر ليلة القدر خير من ألف شهر تنزل الملئكة والروح فيها بإذن ربهم من كل أمر سلم هي حتى مطلع الفجر

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah lailatul Qadar itu? . Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbitnya fajar

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ