• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Jumaat : Gempa Bumi DiInsafi Amal Soleh DiGandai


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 13-16 surah al-Haqqah :

فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ نَفْخَةٌ وَاحِدَةٌ ﴿١٣﴾ وَحُمِلَتِ الْأَرْضُ وَالْجِبَالُ فَدُكَّتَا دَكَّةً وَاحِدَةً ﴿١٤﴾ فَيَوْمَئِذٍ وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ ﴿١٥﴾ وَانشَقَّتِ السَّمَاءُ فَهِيَ يَوْمَئِذٍ وَاهِيَةٌ ﴿١٦

Maksudnya : Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup, – Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, – Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat, – Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh)

Bumi semakin tua dan sudah hampir ke saat kehancurannya iaitu qiamat. Pelbagai bencana alam yang berlaku silih berganti samada berbentuk banjir besar, gunung berapi, tsunami, penyakit berjangkit dan sebagainya. Tragedi terbaru ialah gempa bumi berskala 7.8 magnitud yang berlaku pada Isnin lalu di Tenggara Turkiye dan Syria yang mengorbankan lebih 16 000 orang  dapat dilihat sebagai salah satu bentuk teguran Allah SWT buat para hambaNya yang masih lalai. Masih tidak sedarkah kita terlalu banyak teguran yang Allah SWT berikan melalui pelbagai bencana alam yang terjadi?

Orang yang beriman adalah orang yang sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan menginsafinya. Oleh yang demikian, marilah kita sebagai umat beriman kepada Allah SWT dan RasulNya agar kembali mentaati Allah dengan sebenar-benar ketaatan. Tidak ada yang berkuasa melainkan Allah. Tidak ada yang lebih hebat dan kuat melainkan Allah. Hanya manusia yang kufur atau orang yang mati hatinya sahaja yang tidak mampu membaca segala peringatan daripada Allah

Saudara kita yang sedang ditimpa bencana ini kita doakan agar mereka tabah dan bersabar kerana disebalik musibah adanya hikmat. Hulurkan bantuan kepada saudara kita setakat kemampuan yang ada dengan pelbagai cara

قال النبي : مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ – رواه البخاري مسلم

Maksudnya : “Tidaklah suatu kelelahan, sakit, kesedihan, kegundahan, bahkan tusukan duri sekali pun, kecuali akan menjadi penghapus dosa baginya.”

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Haj :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ ‎﴿١﴾‏ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ‎﴿٢﴾

Maksudnya : Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.  Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan

Ketika kita menyaksikan bagaimana dahsyatnya kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria yang menyaksikan bangunan runtuh satu demi satu maka kita cuba bayangkan kedahsyatan hari Qiamat yang jauh lebih dahsyat lagi. Tanyalah diri kita masing-masing berkaitan persiapan kita untuk menghadapi saat kehancuran dunia dan kematian yang pasti boleh berlaku bila-bila masa.

Gempa bumi dan tsunami silih berganti turut mengingatkan kita semua bahawa dunia ini sudah terlalu tua dan hampir kepada saat kehancurannya iaitu qiamat sebagaimana peringatan nabi s.a.w antaranya.

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ  – رواه البخاري

“Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali setelah hilangnya ilmu, banyak terjadi gempa bumi, waktu berjalan dengan cepat, timbul berbagai macam fitnah, banyaknya Al haraj -iaitu pembunuhan- dan harta melimpah ruah kepada kalian

قال النبي : يَكُونُ فِي آخِرِ الأُمَّةِ خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ قَالَتْ: قُلْتُ، يَا رَسُولَ اللهِ! أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ: نَعَمْ، إِذَا ظَهَرَ الْخُبْثُ.  – رواه الترمذي

Maksudnya : Akan ada pada akhir umatku (orang-orang) yang ditenggelamkan ke dalam bumi, dirubah raut wajahnya dan dilempari (batu).” ‘Aisyah berkata, “Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah kami akan dibinasakan sementara masih ada orang-orang soleh di tengah-tengah kami?’ Baginda s.a.w menjawab, ‘Betul, ketika kemaksiatan telah bermaharajalela.

قال النبي : فِي هَذِهِ اْلأُمَّةِ خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ: يَا رَسُولَ اللهِ! وَمَتَى ذَاكَ؟ قَالَ: إِذَا ظَهَرَتِ الْقَيَانِ وَالْمَعَازِفُ وَشُرِبَتِ الْخُمُورُ. – رواه الترمذي

Maksudnya : Di akhir zaman nanti akan ada (peristiwa) di mana orang-orang ditenggelamkan (ke dalam bumi), dilempari batu dan dirubah rupanya,” lalu seorang lelaki dari kalangan kaum muslimin bertanya, “Bilakah hal itu terjadi.” Baginda s.a.w menjawab, “Ketika para penyanyi dan alat-alat muzik telah zahir secara terang-terangan dan telah diminum arak.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 33 surah al-Anfal :

وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ ﴿٣٣﴾

Maksudnya : Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang engkau (Wahai Muhammad) berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengadab mereka, sedang mereka meminta ampun

Antara amalan yang sepatutnya dilakukan ketikan diuji dengan musibah termasuk gempa bumi ialah mendirikan [1] solat sunat disamping menjaga solat Fardhu. Tindakan ini juga pernah dilakukan oleh Saidina Ali bin Abi Talib ketika berlaku kejadian gempa bumi.  Seterusnya pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika terjadinya bencana gempa bumi di mana beliau memerintahkan rakyatnya untuk keluar ke kawasan lapang pada masa yang ditetapkan bagi melakukan solat.

[2] Banyakkan berdoa terutama semasa menghadapi bencana supaya sentiasa berada di dalam perlindungan dan rahmat Allah s.w.t.

[3] Bertaubat dan banyakkan istighfar  hendaklah dilazimkan di dalam setiap diri individu muslim. Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.  Justeru, ketika berlakunya kejadian bencana kita hendaklah sentiasa memohon keampunan serta bertaubat kepada Allah s.w.t. Ini kerana lazimnya apabila berlaku bencana berbentuk musibah adalah akibat tindakan manusia yang lalai menjalankan amanah Allah dan melakukan kesalahan serta kesilapan dengan melanggar perintah Allah s.w.t.

Sejarah Islam pernah mencatatkan bagaimana ketika Madinah sebagai pusat pemerintahan kembali bergoncang lalu Sayyidina Umar al-Khattob meletakkan tangannya ke tanah dan berkata kepada bumi, “Ada apa denganmu?” seterusnya beliau menyeru :“Wahai masyarakat, tidaklah gempa ini terjadi kecuali kerana ada sesuatu yang kalian lakukan. Alangkah cepatnya kalian melakukan dosa. Demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya, jika terjadi gempa susulan, aku tidak lagi mahu tinggal bersama kalian selamanya!”

Khalifah Umar bin Abdul Aziz sewaktu berlakunya kejadian gempa bumi telah bertindak mengutus surat kepada pegawai di seluruh daerah supaya memerintahkan kaum muslimin memohon keampuan dan bertaubat kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  30  surah as-Syura:

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ ﴿٣٠

Maksudnya : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

  Amalan soleh yang ke [4] Berzikir maka saat terjadi gempa atau peristiwa lain, seperti gerhana, angin ribut atau banjir, wajib segera bertaubat kepada Allah dengan merendahkan diri kepada-Nya dan memohon kesihatan serta kesejahteraan kepada-Nya, memperbanyakkan zikir dan istighfar. Imam Syafi’e mengatakan,: “Ubat yang paling mujarab untuk mengubati bencana adalah memperbanyak tasbih”. Imam as-Sayuti menjelaskan, “Hal itu kerana zikir dapat mengangkat bencana dan azab”.

[5] Melakukan kebajikan  merupakan antara amalan yang amat dituntut oleh ajaran Islam. Pelbagai bentuk amal kebajikan boleh dilakukan. Antara amal kebajikan tersebut ialah dengan bersedekah. Amalan bersedekah dapat menghapuskan sebahagian kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh manusia. Lantaran itu, bencana dan malapetaka dapat dihindarkan kerana kesalahan tersebut telah mengundang kepada berlakunya pelbagai bencana.

Amalan ini hendaklah dilazimkan di dalam kehidupan seharian seorang insan tanpa mengira tempat dan masa. Umat Islam digalakkan supaya banyak bersedekah sebagai tanda bersyukur di atas nikmat Allah s.w.t dan untuk menghindar bala menimpa. Justeru, ketika berlaku bencana gempa disarankan melakukan kebajikan dengan bersedekah. Amalan tersebut adalah berdasarkan amalan ketika berlaku kejadian gerhana. Khalifah Umar bin Abdul Aziz turut menyarankan kepada rakyatnya supaya bersedekah ketika berlakunya bencana gempa bumi.

[6] Berpuasa sunat apabila berhadapan dengan sesuatu bencana. Amalan berpuasa akan dapat membersihkan rohani seseorang individu daripada sifat-sifat keji seperti sifat tamak, sombong, hasad dengki dan mementingkan diri sendiri. Seterusnya akan menyemai sifat-sifat terpuji di dalam diri seperti sabar, ikhlas, kasih sayang dan pemurah.

Semoga musibah berlaku menginsafkan kita untuk lebih dekat dengan Allah dengan menambah bekalan akhirat serta menjauhi maksiat yang boleh mendatangkan bala bencana dan azab

Firman Allah dalam ayat  78   surah an-Nisaa’ :

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ ۗ وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا هَـٰذِهِ مِنْ عِندِ اللَّـهِ ۖ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَـٰذِهِ مِنْ عِندِكَ ۚ قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ اللَّـهِ ۖفَمَالِ هَـٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا ﴿٧٨﴾ ‌

Maksudnya : Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan komen