السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِاللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَاللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Kini kita sedang menyambut kehadiran bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Rahmat daripada kelahiran Rasulullah SAW merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk aqidah, syariah dan akhlak. Dalam soal membersihkan aqidah, Baginda s.a.w membimbing umat manusia kepada mentauhidkan Allah setelah masyarakat kehilangan arah sehingga meluasnya penyembahan berhala dan selainnya. Kemudian dalam soal syariat atau hukum-hakam agama maka ia diajar dan diperlihatkan oleh Baginda s.a.w sama ada melalui teori dan amali. Begitu juga dengan akhlak ditunjukkan melalui kehidupan seharian dan nasihat yang berkesan sehingga keindahan akhlak nabi Muhammad s.a.w berjaya menarik ramai manusia yang selama ini tenggelam dalam arus kerakusan hawa nafsu kepada adab Islam yang murni. Kejayaan sesuatu kepimpinan keluarga, masyarakat, negeri dan seterusnya negara bergantung kepada sejauh mana kita mencontohi cara hidup nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Kita wajib menghayati kisah hidup para sahabat nabi yang bukan sahaja bersungguh-sungguh mengikut cara hidup nabi dari segi pemakaian, pemakanan, membina keluarga bahagia, mengurus masyarakat dan Negara malah sanggup diseksa dan mati demi mempertahankan nabi Muhammad s.a.w. Pengorbanan suci ini lahir daripada rasa kasih dan cinta kepada nabi Muhammad s.a.w yang tidak berbelah bahagi. Tak kenal maka tak cinta serta tidak melahirkan rasa bertanggungjawab dan peka terhadap isu yang berkaitan dengan nabi Muhammad
قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه
Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ketika menyoroti kemenangan Nabi Muhammad s.a.w sehingga Islam itu menguasai alam ini maka kita dapat saksikan bagaimana Allah s.w.t tidak memberi kemenangan dengan begitu mudah sekali, Allah s.w.t tidak menjadikannya seperti ‘mukjizat’ tanpa memerlukan mujahadah serta jalan yang perlu diikuti oleh manusia. Kita lihat di dalam sirah nabi bagaimana Allah s.w.t menjadikan kemenangan itu sebagai hasil tabii dari Jihad Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda, serta natijah yang selayaknya dari pengorbanan mereka.
Sesiapa yang ingin mengetahui bagaimana Rasulullah s.a.w mencapai kemenangan, serta bagaimana Islam berjaya, maka hendaklah ia mempelajari serta meneliti akan keperibadian Rasulullah s.a.w, tindakannya, perjalanan sirah kehidupannya serta jihadnya semoga kita dapat memahami bahawa jalan kemenangan dan kejayaan itu sudah tersedia dan terbentang serta faktor-faktornya telah sedia wujud. Sesiapa juga inginkan kemenangan walau di zaman mana dan di mana tempat dia berada maka hendaklah dia mengikut contoh-contoh yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w.
Terdapat 3 nilai asasi kejayaan nabi Muhammad s.a.w iaitu :
[1] Kejayaan Peribadi Baginda Rasulullah s.a.w sendiri di mana ketika orang-orang kafir Quraisy meminta bapa saudaranya Abu Talib supaya menahan baginda daripada bercakap mengenai tuhan-tuhan mereka, mereka telah membuat berbagai tawaran kepadanya, sekiranya baginda mahukan hartabenda maka mereka akan berikannya, jika baginda inginkan pangkat maka mereka akan mengangkatnya menjadi raja dan apa sahaja yang dikehendaki olehnya maka mereka akan berikan semuanya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berjaya mengetuk pendengaran mereka dan pendengaran dunia umumnya di sepanjang zaman dengan sumpahnya yang abadi yang terbit dari keimanan dan keyakinannya,
«يا عمي، والله لو وضعوا الشمس في يميني، والقمر في يساري، على أن أترك هذا الأمر حتى يُظهِرَه الله، أو أَهلِكَ فيه، ماتركته!»،
Maksudnya : “Demi Allah! sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan urusan ini (perintah Allah), maka sekali-kali aku tidak akan tinggalkan sehingga Allah buktikan kejayaannya ataupun aku mati”
Sungguh hebat. Inilah gambaran tindakan yang dicetuskan oleh Iman sejati, bukan terbit dari khayalan manusia semata.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 128-129 surah at-Taubah :
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ ﴿١٢٩﴾
Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang agong.”
Kejayaan Rasulullah s.a.w yang ke [2] ialah Membentuk para Sahabat RH; yang menjadi pengikut setia yang merealisasikan iman mereka dalam gerak kehidupan mereka. Baginda berjaya membentuk dan mencorak mereka mengikut corak al Quran sehingga jadilah mereka itu ibarat al Quran yang bergerak di atas muka bumi ini. Baginda berjaya menjadikan mereka sebagai model berjisim bagi Islam, jika manusia melihat mereka, bermakna melihat Islam itu sendiri.
Sebenarnya nas ayat-ayat al Quran sahaja tidak bermakna sekiranya tidak dijelmakan dalam amalan seseorang, prinsip-prinsip sahaja tidak hidup melainkan dijelmakan dalam tingkahlaku dan amalan hidup ini. Kita dapati Rasulullah s.a.w meletakkan haluan utamanya ialah: membentuk rijal atau pendokong-pendokong Islam, tidak semata-mata menyampaikan peringatan-peringatan sahaja. Baginda mendidik jiwa mereka, tidak semata-mata berkhutbah sahaja. Baginda membina Ummah bukan membangunkan manusia yang berteori tanpa amali.
Adapun fikrah pemikira) Islam itu telah terkandung di dalam al Quran al Karim, maka peranan Rasulullah s.a.w ialah membentuk Rijal yang mendokong fikrah tersebut sehingga dapat disaksikannya dengan mata kasar. Apabila rijal yang sudah terbentuk keperibadian mereka itu bergerak menjalankan aktiviti mereka di atas muka bumi ini, maka manusia lain melihat suatu keperibadian yang unik yang tidak pernah dilihat sebelum itu kerana keperibadian mereka itu adalah terjemahan atau jelmaan dari fikrah Islam yang unik, yang tidak pernah dikenali dalam sejarah manusia sebelum itu. Ketika itu barulah manusia lain yakin dengan fikrah Islam kerana mereka telah yakin kepada rijal atau pendokong-pendokong fikrah itu yang telah menghayati Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka, juga barulah mereka mahu mengambil contoh tauladan serta menuruti jalan yang telah dilalui oleh rijal tersebut.
Fikrah Islam sahaja tidak akan hidup melainkan apabila fikrah itu dijelmakan di dalam kehidupan manusia seluruhnya. Dalam hal ini kita dapati Rasulullah s.a.w telah berjaya membentuk atau mendidik sehingga fikrah Islam itu menjadi manusia yang berfikrah. Baginda berjaya dalam tarbiyyahnya sehingga keimanan mereka itu lahir dalam bentuk amalan praktik hidup, seolah-olah baginda berjaya mencetak berpuluh-puluh, beratus-beratus bahkan beribu-ribu naskah al Quran, tetapi bukanlah dicetak dengan dakwat atas lembaran-lembaran kertas, hanya sanya baginda mencetak beribu-ribu naskah al Quran itu dengan Nur Iman di ats lembaran-lembaran hati dan jiwa manusia. Generasi al Quran itulah yang dikeluarkan ke tengah-tengah masyarakat manusia, menjelas dan menghuraikan dengan perbuatan serta amalan mengenai apakah Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi utusan Allah s.w.t itu.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :
وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖوَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾
Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar
Kejayaan Rasulullah s.a.w ke [3] ketika mana Baginda Menjadikan Islam Sebagai Peraturan Yang Sempurna Yang Mentadbir Hidup Manusia – menyusun masyarakat, mengatur perhubungan di antara manusia dan menentukan nilai-nilai manusia dan benda. Sesungguhnya Islam itu adalah suatu ‘aqidah yang melahirkan syariat dan terbina di atas syariat itu suatu sistem atau peraturan. Himpunan ‘aqidah dan syariat serta sistem itu maka terbentuklah pokok Islam, tiap-tiap pokok ada akarnya, batangnya dan buahnya (hasilnya), tidak tegak batang dan tidak lahir buahnya tanpa akarnya yang menjunam ke dalam bumi, tidak bernilai bagi akar yang tidak tumbuh batang pokoknya dan tidak bernilai atau berfaedah pokok yang tidak mengeluarkan hasilnya.
Kesimpulannya, bagi melahirkan natijah-natijah amali Islam tersebut maka perlu kepada satu keyakinan (keImanan) yang mendalam terhadap Rasulullah s.a.w dan apa yang dibawa oleh baginda disamping keImanan kepada Allah s.w.t. Ucapan dua kalimah syahadah itu tidak semata-mata pengakuan dibibir sahaja. Bahkan mesti lahir daripada hati yang yakin dan sedar. Sebenarnya ucapan dua kalimah syahadah itu adalah Bai’ah janji setia kita bahawa Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah pesuruh Allah s.w.t.
Perlu ada keyakinan bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta alam, Penggubal undang-undang, peraturan-peraturan, syar’iat. SistemNya sahaja yang perlu dipatuhi dan kepadaNya sahaja perlu diperhambakan. Perlu meyakini bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah diutuskan oleh Allah s.w.t bagi melaksanakan perintah-perintah Nya, memimpin seluruh manusia ini menurut arahan-arahan Allah s.w.t. Perjalanan hidup Rasulullah s.a.w itu menjadi contoh yang baik serta model utama bagi seluruh alam ini, pimpinan dan sistem yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu bukan rekaan menurut hawa nafsu tetapi mendapat pertunjuk Allah
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Filed under: Bulan & Peristiwa, Hijrah & Maulidurrasul, Kepimpinan Islam, Khutbah Terbaru |
Tinggalkan Jawapan