• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

7. KHUTBAH EIDILFITRI 1427H


 

 

KHUTBAH PERTAMA

 

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 3  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 2  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا  . الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ . وَجَعَلَ هذَا اليَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الُمتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ  .وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  . أَمَّا بَعْدُ ….

 فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :

يـأيها الذين ءامنوا مالكم إذا قيل لكم انفروا فى سبيل الله اثاقلتم إلى الأرض أرضيتم بالحيـوة الدنيا من الأخرة فما متـع الحيـوة الدنيا فى الأخرة إلا قليل

Maksudnya : Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu apabila diseru :” pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah) maka kamu rasa keberatan dan (lebih suka duduk menikmati kesenangan ) di tempat masing-masing. Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat?. (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit berbanding dengan nikmat  kesenangan di akhirat nanti.

 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Selamat hari raya Eidilfitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Semoga ketibaan hari kemenangan ini dapat disambut dengan sebaiknya mengikut apa yang telah diajar oleh agama Islam. Jangan kita cemari laungan takbir membesarkan Allah dengan mendewa-dewakan hawa nafsu sehingga mengenepikan panduan wahyu. Jangan kita kotori laungan tasbih menyucikan Allah dengan perkara yang memuja ideologi dan sistem yang bercanggah dengan Islam dalam kehidupan seharian. Jangan kita rosakkan laungan tahmid memuji Allah dengan amalan maksiat derhaka kepada Allah pada hari raya yang sepatutnya dijadikan hari ibadat.  Jangan biarkan laungan kemenangan yang diucapkan hanya setakat diucap dimulut sedangkan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian adalah jauh berbeza kerana kita terus dijajah dan dikongkong oleh pemikiran dan cara hidup yang bercanggah daripada Islam. Ingatlah bahawa hari raya yang dianugerahkan kepada umat Islam bukan berbentuk adat dan budaya sebaliknya ia adalah suatu anugerah berharga yang wajib kita hidupkannya dengan amal ibadat bagi merapatkan diri kepada Allah. Hari raya bukan hari untuk menderhakai Allah dengan maksiat seperti hiburan melampau, pergaulan bebas, membazir, mendedah aurat dan sebagainya. Jadikanlah hari raya di dunia sebagai permulaan kepada kegembiraan di atas kejayaan melawan nafsu sepanjang bulan Ramadhan yang baru lalu sebelum kita meraih anugerah hari raya yang lebih berharga di akhirat. Janganlah kita hanya sekadar menjadi umat yang menyuburkan hari raya di dunia dengan maksiat sehingga tidak mampu lagi mengecapi nikmat syurga di akhirat nanti.

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Ingatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :

قال الرسول e  : بَادِرُوْا بالأعْمالِ فِتَنًا كَقَطَعِ اللَّيْلِ المُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيَمْسِى كَافِرًا أَوْ يَمْسِى مُؤْمِنًا  وَ يُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيْعُ دِيْنَهُ بِعَرَضِ مِّنَ الدُّنْيَا

Maksudnya: Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat kelam. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi kemudian di waktu petang dia sudah menjadi kafir atau seseorang yang masih beriman di waktu petang kemudian pada esok paginya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit daripada mata benda dunia.

            Kegembiraan menyambut Eidil Fitri, jangan melupakan kita kepada proses tarbiah yang begitu berharga yang diterima sepanjang Ramadhan lalu sehingga menjadi orang yang rugi akibat tidak berubah diri menjadi umat terbaik walau pun telah ditarbiah. Sepatutnya didikan Ramadhan dapat melahirkan kita sebagai umat yang sentiasa jinak dan sayang kepada masjid dengan terus menghidupkannya tanpa mengira waktu dan ketika. Jangan biarkan masjid semakin kosong dan anak muda semakin liar daripada masjid sedangkan dalam masa yang sama pihak Kristian terus berusaha menarik anak muda kita untuk dimurtadkan sebagaimana sebuah gereja di ibu negara yang menjamu secara percuma anak muda kaki lepak setiap hari Jumaat.  Agama lain terus bersungguh dalam menghidupkan gereja dan kuil mereka maka adakah kita umat Islam hanya mengambil sikap tunggu dan lihat sahaja.  Adakah kita masih boleh duduk senang bila  mendengar kenyataan mufti Perak bahawa lebih kurang 100 ribu masyarakat India Muslim telah murtad. Laporan pihak polis pula menyatakan bagaimana 13-14 ribu belia terlibat dengan hiburan memuja syaitan terutama black metal manakala 13-14 ribu lagi menjadi pengikut ajaran sesat ayah Pin. Umat Islam di negara ini turut diasak oleh pihak yang cuba menggugat kedudukan Islam sebagai agama perlembagaan dengan mempertikaikan hak keistimewaan agama Islam. Malah golongan anti Islam itu cuba menggunakan kes murtad seorang Melayu iaitu Lina Joy untuk  mencabut keistimewaan Islam daripada perlembagaan negara. Adakah kita rela melihat Islam dihina dan dipijak-pijak oleh musuh Islam. Jika kita umat Islam yang bermaruah maka bangkitlah dalam menentang kebiadapan musuh Islam ini. Kita beri amaran keras kepada golongan anti Islam ini agar jangan cuba bermain api dengan umat Islam. Sarang tebuan jangan dijolok nanti buruk padahnya. Kami sanggup bermandi darah daripada membiarkan Islam disanggah. Biar bercerai  nyawa daripada badan namun kesucian Islam tetap kami pertahankan.

 

Muslimin/mat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 26 surah al-Fussilat :

وقال الذين كفروا لا تسمعوا لهذا القرءان والغوا فيه لعلكم تغلبون

Maksudnya : Dan berkatalah orang-orang kafir itu : “ Janganlah kamu mendengar al-Quran itu dengan bersungguh-sungguh. Buatlah hiruk pikuk terhadapnya agar kalian dapat mengalahkan orang-orang yang beriman”

Didikan Ramadhan juga mengasuh diri kita untuk rapat dengan al-Quran serta menyemarakkan lagi jihad dalam melaksanakan seluruh sistem al-Quran. Jauhi sikap golongan yang menjauhi al-Quran sebagaimana seorang ulama’ mengatakan bahawa 5 jenis manusia yang dianggap berhijrah atau menjauhi al-Quran ialah apabila :  [1] dia tidak mahu mendengar dan beriman kepada al-Quran  [2] dia hanya beriman dan membaca al-Quran sahaja tetapi tidak mengamalkan isi kandungannya [3] dia tidak mahu mendalami dan memahami maksud al-Quran [4] dia tidak menjadikan al-Quran sebagi ubat penyembuh terhadap pelbagai penyakit hati [5] dia tidak mahu menggunakan hukum al-Quran dalam kehidupan seharian

            Kita mesti ingat bahawa musuh Islam sentiasa berusaha siang dan malam dalam menjauhkan umat Islam daripada al-Quran. Lihatlah apa yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini di mana betapa ramai umat Islam yang buta al-Quran dan agama sehingga pihak Kristian mengambil peluang dengan menyebar terjemahan Bible dalam Bahasa Melayu dan Al-kitab dalam Bahasa Arab  bukan sahaja melalui internet malah secara luaran. Sebelum ini, Kristian telah lama meletakkan Bible di bilik-bilik hotel dalam menyebar ajaran mereka. Begitu juga dengan penyebaran secara percuma komik bertajuk ‘Kisah Paling Menarik Yang Pernah Diceritakan’ yang memuatkan kisah yang bertentangan dengan Islam di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Malah ada juga maklumat tentang wujudnya usaha untuk menubuhkan persatuan agama lain di sekolah-sekolah menengah yang berperanan seperti Persatuan Agama Islam di mana ia akan dijadikan suatu cara penyebaran Kristian  dan agama lain kepada pelajar Islam diperingkat sekolah lagi sebagaimana yang telah pun berlaku di kampus-kampus. Apabila orang bukan Islam sedang giat bergerak adakah kita hanya mampu melihat. Bangunlah wahai umat Islam! Cegah sebelum parah, sekat sebelum merebak, bangkit sebelum tersepit.

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Firman Allah dalam  ayat 71 surah al-Mukminun:

ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السموت والأرض ومن فيهن بل أتينـهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون

Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.

Tiada ubat yang paling mujarab dalam mengubati hati dan anggota zahir melainkan al-Quran. Umat Islam punah aqidahnya dan musnah akhlaknya bila jauh daripada ajaran al-Quran. Musuh Islam telah lama sedar dan tahu bahawa bila umat Islam menjauhi al-Quran maka penjajahan terhadap pemikiran dan system kehidupan umat Islam akan terus berlangsung dengan mudah. Bila hati jauh daripada cahaya al-Quran menyebabkan ramai umat Islam mencari perkara yang bercanggah daripada Islam bagi menenangkan hati yang menyebabkan mereka terlibat dengan najis dadah, arak dan hiburan melampau yang merupakan antara senjata musuh Islam dalam merosakkan umat Islam. Kita berasa terhina dan malu jika benarnya dakwaan bahawa masyarakat Melayu membelanjakan RM1 bilion setahun untuk minum arak dan RM3 bilion lagi untuk berjudi  iaitu 75 peratus yang tikam ekor sekarang ini merupakan orang-orang Melayu sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah majalah.

 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Kita mesti ingat kepada amaran Rasulullah s.a.w melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Huzaifah :

قال الرسول e : لَتَأْمُرَنَّ بِالمَعْرُوْفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ المُنْكَرِ أَوْ لَيُوْشِكَنَّ اللهُ  أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُوْنَهُ فَلا يُسْتَجَابُ لَكُمْ

Maksudnya: Suruhlah berbuat kebaikan dan cegahlah daripada kemungkaran atau jika tidak nescaya siksaan Allah boleh jadi akan menimpa kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah agar siksaan itu dihentikan maka permohonan kamu tidak diterima lagi.

Kegagalan dan tiada kesungguhan dalam tugas amar makruf nahi mungkar telah menyebabkan aqidah umat Islam semakin punah dan akhlak semakin parah. Kita dapat rasakan bagaimana masalah jenayah di kalangan pelajar sekolah dan mat rempit semakin teruk sehingga membabitkan keganasan dan pembunuhan.  Semua pihak wajib bersatu bermula daripada ibubapa yang mesti memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan aktiviti tidak sihat ini, pihak masyarakat mesti bekerjasama untuk membendungnya dan yang paling penting pihak kerajaan wajib menutup lubang yang mendorong golongan muda ini daripada dirosakkan melalui ketegasan undang-undang disamping menapis siaran tv, akhbar, majalah serta menghentikan aktiviti hiburan melampau dan program yang bercanggah dengan Islam. Banyakkan program tarbiah ke arah mengisi ilmu agama dan kemahiran kepada golongan ini agar mereka menjadi anggota masyarakat yang berguna bukannya memberi masalah kepada negara. Gunakanlah program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebagainya dengan memperbanyakkan modul agama dalam memulihkan akhlak golongan muda ini. Begitu juga dengan sistem pendidikan negara mesti diberi penekanan yang lebih kepada sukatan pengajian agama sehingga pelajar tidak lagi memandang agama adalah suatu yang boleh diketepikan. Kita bimbang jika semakin ramai pelajar yang bukan sahaja tidak pandai sembahyang malah tidak mampu mengucap 2 kalimah syahadah. Golongan yang kosong asas agama inilah yang kebanyakannya bermasalah berbanding yang faham dan amal agama. Yang rosak wajib dibaiki, yang elok wajib dijaga

 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Kegagalan umat Islam dalam menghasil, menyebar dan memanfaatkan ilmu menyebabkan kita gagal menguasai pendidikan sedangkan al-Quran menyuruh kita agar menguasai ilmu. Menurut suatu data kajian menunjukkan perbezaan yang jelas berkenaan kadar celik huruf antara umat Islam dengan Kristian. Kadar celik huruf dalam dunia Kristian berada hampir 90 peratus dengan 15 buah negara yang majority penduduknya Kristian memiliki kadar celik huruf sebanyak 100 peratus. Sedangkan negara yang majoriti Islam hanya memiliki kadar celik huruf sebanyak 40 peratus sahaja dengan tiada langsung data yang mencatatkan kadar celik huruf 100 peratus. Mundurnya umat Islam bila masyarakatnya ditimpa penyakit jahil serta malas yang merbahaya. Pesan Sayyidina Ali bahawa punca utama kejahilan itu ialah malas dan penyelak yang menghalang daripada mendapat nikmat juga ialah malas. Jika orang barat yang celik huruf mengkaji Islam sehingga ramai yang peluk Islam sedangkan masyarakat kita yang buta agama pula mudah sahaja murtad daripada Islam. Oleh itu ubahlah diri kita agar menjadi umat berilmu yang bersungguh dalam melaksanakannya sehingga kita berjaya serta bahagia di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 11 surah Al-Ra’du :

……  إن الله لايغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم ……..

Maksudnya : …. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan mereka…….

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

 

 

 

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3  كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .أَمَّا بَعْدُ..فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ

Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali Imran :

إن ينصركم الله فلا غالب لكم وان يخذلكم فمن ذا الذى ينصركم من بعده وعلى الله فليتوكل المؤمنون

Maksudnya : Jika Allah menolong kamu maka tiada lagi orang yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu (dengan tidak memberi pertolongan) maka siapa lagi yang dapat menolong kamu selain daripada Allah sesudah itu.  Oleh itu hanya kepada Allah sahajalah orang beriman berserah diri

 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah

            Laungan kalimah وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab di mana kalimah ini menyemarakkan semangat jihad dan keyakinan bahawa Islam pasti menang walau pun diserang dan dimusuhi. Kita dapat lihat bagaimana kekejaman zionis yahudi yang membunuh ribuan rakyat Lubnan dalam masa 34 hari di mana akhirnya pengganas dunia yang dianggap mempunyai tentera dan senjata yang paling canggih di dunia terpaksa berundur dengan penuh kehinaan. Bila musuh Islam yang takut mati berdepan dengan pejuang Islam yang cintakan mati syahid maka biasanya musuh akan kalah dengan penuh kehinaan. Musuh Islam memang boleh dikalahkan walau sehebat mana pun persenjataan mereka dengan syarat hati umat Islam mesti bersatu atas wadah Islam dan melaksanakan segala syarat kemenangan. Sekiranya umat Islam sendiri tidak yakin dengan Islam, takut pada mati, terlalu mengejar dunia sehingga lupa akhirat, takut kepada musuh Islam lebih daripada takut kepada Allah ditambah dengan perbalahan sesama sendiri maka bagaimana kemenangan yang dijanjikan oleh Allah S.W.T dapat dicapai. Kalahnya musuh Islam kerana mereka berada dalam kesesatan tetapi sekiranya umat Islam sendiri hidup dalam dosa maksiat maka bagaimana kita mahu mencapai kemenangan di dunia dan akhirat. Sekiranya musuh Islam gila kuasa dan harta hanya berdepan dengan pemimpin umat Islam yang hanya tahu berseronok membilang harta dan menjaga kuasa maka selagi itulah rakyat akan ditindas tanpa pembelaan  sewajarnya. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat.

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Sempena berada pada hari kemenangan juga marilah kita sama-sama mengutuk dan mengecam kebiadapan Ketua Gereja Kristian Katolik Sedunia kerana menghina nabi Muhammad s.a.w yang dituduh pengganas, tidak berperikemanusiaan dan menyebar Islam melalui mata pedang. Begitu juga tindakan bacul sebuah parti di Denmark yang menganjurkan pertandingan melukis gambar yang menghina nabi Muhammad s.a.w dan Islam selepas rakyat negara yang sama pernah melakukan terkutuk yang sama sebelum ini. Kita memberi amaran keras kepada golongan biadap ini bahawa kita sanggup mati daripada membiarkan nabi dan Islam dimaki. Biar nyawa melayang asalkan kemuliaan nabi dan Islam terus dipertahankan.

 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah

Selamat hari raya eidil fitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat.Banyakkan bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira dan selamat menziarahi sanak saudara pada hari yang mulia ini bagi merapatkan lagi tali persaudaraan.Rebutlah peluang untuk menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ          ( رواه مسلم )

Maksudnya  : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيَ الحَاجَاتِ  وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ  وَلا يَرْحَمُنَا, اللّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا المُسْلِمِيْنَ فِى عِرَاق وَفِى فَلَسْطِين وَفِى كَشْمِيْر وَفِى الهِنْد وفى أفغانستانِ وَفِى شِيْشَان وَفِى جَنُوْبِ بِلِيِبين وَفِى إينْدُوْنِيْسِيَا وَفِى تَايْلَنْدِ وَفِى بَلَدِنَا ماليزيا اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِي سَبِيْلِكَ فِي كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ. اللّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِاليَهُوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالنَّصَارَى وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالهُنَوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالأمِيرِكَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالِبرِيطَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَحْزَابِ المُشْرِكِيْنَ الطَّاغِيْنَ الظَّالِمِيْنَ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ دَمِّرْهُمْ تَدْمِيْرًا وَ تَبِّرْهُمْ تَتْبِيْرًا وَاجْعَلْهُمْ هَبَاءً مَنْثُوْرًا  اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ . اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَزَكَاتَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Tinggalkan komen