81. IMAN KUAT KEMENANGAN DEKAT

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُفَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :

إنا أنزلنــه فى ليلة القدر . وما أدرئك ما ليلة القدر . ليلة القدر خير من ألف شهر . تنزل الملــئكة والروح فيها بإذن ربهم من كل أمر . سلــم هي حتى مطلع الفجر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan tahukah engkau apakah itu Lailatul-Qadar?. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan.  Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

                Sempena berada dalam bulan Ramadhan yang dijanjikan oleh Allah dengan penggandaan pahala dan pengampunan dosa maka kita wajib menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi umat Islam mula memasuki 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang dijanjikan Allah bahawa ada di antara malamnya suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Jadikanlah diri kita sebagai umat yang sentiasa berlumba dalam menambah amalan soleh bukannya sebagai umat yang berkarat hatinya dicemari maksiat sehingga tidak lagi merasai keinginan yang mendalam untuk merebut peluang yang datang dalam menambah amalan kebaikan sebagai bekalan hari akhirat yang bakal menjelang. Betapa ruginya manusia yang menolak peluang dan tawaran yang datang di hadapan mata. Inilah antara sifat manusia yang tidak bersyukur kepada Allah di mana dia sentiasa mengeluh tentang suatu yang tiada dalam miliknya sedangkan dalam masa yang sama dia jarang menggunakan sebaiknya peluang atau rezeki yang telah berada dalam genggamannya

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Adalah Rasulullah S.A.W telah beriktikaf pada malam-malam sepuluh terakhir daripada Ramadhan dan baginda S.A.W bersabda yang bermaksud : Carilah malam lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan

Antara sebab disembunyikan Lailatul Qadar menurut Imam al-Razi seorang ahli tafsir terkenal  ialah yang Pertama  : Agar umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja. Kedua    :  Bimbang umat Islam tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat walau pun telah ditetapkan malam tertentu atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah kerana berbuat maksiat dalam keadaan tahu lebih besar dosanya. Ketiga  :  Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu. Keempat  :  Melahirkan umat yang menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Lailatul Qadar sehingga meningkat amal solehnya.

            Amat malang jika orang lain menggunakan masa yang begitu istimewa ini untuk beriktikaf di masjid sedangkan kita asyik sibuk di Super Market. Amat rugi jika orang lain sibuk menggandakan amalan pada hari-hari terakhir Ramadhan sedangkan kita terlalu sibuk dengan persiapan hari raya. Oleh itu ubahkanlah diri ke arah menjadi umat bertaqwa hasil daripada tarbiah Ramadhan bukannya terus berada di takuk yang lama malah semakin teruk akibat tidak mampu melawan nafsu walau pun iblis dan syaitan telah pun dirantai pada bulan mulia ini.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Sebagaimana kita begitu yakin bahawa memang adanya Lailatul Qadar antara malam-malam Ramadhan ini sehingga kita begitu bersungguh dalam mengejarnya agar segala janji Allah dapat diraih maka begitulah juga kita mesti yakin tentang janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah kepada hambaNya yang soleh sehingga kita semakin bersemangat dan istiqamah dalam memperjuangkan Islam walau pun ditentang dan dihalang oleh musuh dari pelbagai sudut. Jika Lailatul qadar disembunyikan agar kita dapat menambahkan amalan serta berusaha mencarinya maka begitulah juga dengan janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah turut disembunyikan agar kita terus berjuang sehingga datangnya ketentuan daripada Allah samada dianugerahkan kemenangan bersama keredhaanNya atau pun ditimpa dengan ujian kekalahan. Ingatlah bahawa Allah akan bertanya apakah usaha kita dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini bukannya ditanya apakah hasil perjuangan kita selama ini. Kita juga perlu ingat bahawa bukan dengan semata-mata kita berada dalam agama Islam maka kita mesti menang dengan mudah ke atas musuh. Lihatlah perjuangan para nabi dan rasul termasuk nabi Muhammad s.a.w dan para pejuang Islam yang terdahulu di mana mereka diuji dengan begitu teruk sehingga nyawa bagaikan berada dihalkum yang membuatkan hubungan mereka dengan Allah semakin rapat barulah datangnya kemenangan gemilang yang dijanjikan oleh Allah. Oleh itu marilah kita muhasabah diri samada sudah cukupkah syarat sebagai umat yang dijanjikan kemenangan termasuk hubungan kita dengan Allah adakah semakin rapat atau jauh.

Kita terlalu bimbang jika umat Islam terus ketinggalan dalam semua perkara berbanding musuh termasuk hubungan kita dengan Allah yang begitu jauh serta bergelumangnya kita dengan dosa sebagaimana musuh maka usah ditanya lagi mengapakah Allah belum datangkan kemenangan kepada umat Islam pada hari ini. Sebaliknya tanyalah diri kita sendiri bilakah lagi masa yang paling sesuai untuk merapatkan diri kepada Allah dan bilakah lagi masa yang terbaik untuk menjauhi sebarang dosa jika bukan pada bulan Ramadhan ini sehingga diri kita mampu lahir antara umat yang dijanjikan kemenangan oleh Allah. Ujian kekalahan ke atas umat Islam yang tidak mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar adalah lebih baik daripada anugerah kemenangan kerana ditakuti mereka lebih berani melawan Allah selepas itu atas alasan bahawa jika mereka tidak melaksanakan ajaran Islam pun boleh menang, jadi buat apa lagi perlunya mereka untuk kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh. Alangkah malangnya jika berlalunya Ramadhan sedangkan ketaqwaan dalam diri kita terus lemah. Sepatutnya kedatangan bulan Ramadhan bukan bererti melemahkan umat Islam kerana terpaksa berpuasa sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad dalam melawan musuh dalam diri iaitu nafsu dan musuh zahir dari kalangan munafik dan kuffar. Ramadhan bukan menjanjikan kemenangan dalam melawan nafsu sahaja sebaliknya apabila nafsu dapat dikalahkan maka keadaan diri umat Islam lebih dekat kepada Allah sehingga kita mampu untuk menghadapi musuh zahir dengan lebih yakin.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sudah menjadi sunnah ketetapan Allah bahawa bagi setiap tugas pejuang Islam dalam mememelihara kesucian agama Allah mesti adanya musuh yang sentiasa menghalangnya dengan pelbagai cara sehingga ada yang gugur dan ada yang meneruskan perjuangan dan tidak kurang mereka yang lari daripada perjuangan akibat tidak tahan dengan ujian.

Firman Allah dalam  ayat 123 surah al-An’am:

وكذلك جعلنا فى كل قرية أكــبر مجرميها ليمكروا فيها وما يمكرون إلا بأنفسهم وما يشعرون

Maksudnya : Dan demikianlah Kami jadikan dalam setiap negeri ketua penjenayah yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri  sedangkan mereka tidak menyedarinya

            Ingatlah kita bahawa dalam setiap umat adanya golongan yang soleh dan ada pula golongan jahat yang melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi ini. Ini semuanya berada di bawah perancangan dan pengetahuan Allah bagi menguji keimanan golongan yang mempertahankan iman mereka. Umat Islam hari ini turut berhadapan dengan penyangak dan penjahat besar dunia iaitu zionis yahudi yang berjaya memperkudakan Amerika dalam melakukan kezaliman dan penindasan. Umat Islam mesti berhadapan dengan musuh Allah ini bukan dengan kekuatan kebendaan semata-mata sebagaimana blok demokrasi melawan blok komunis sebelum ini tetapi apa yang paling penting ialah umat Islam mesti bersedia dalam semua bidang dan sistem berasaskan Islam serta melahirkan lebih ramai umat bertaqwa yang begitu hampir hubungan mereka dengan Allah barulah janji kemenangan akan menjelma. Malah kuasa komunis Soviet Union tidak tumbang disebabkan kekuatan blok demokrasi sebaliknya mereka jatuh menyembah bumi hasil perjuangan mujahidin Afghanistan yang sentiasa berkobar semangat jihad mereka. Dunia Islam turut menyaksikan bagaimana peperangan antara negara-negara Arab ke atas yahudi Israel tahun 1967 di mana walau pun mempunyai kekuatan senjata dan tentera sehingga Presiden Mesir pada waktu itu, Jamal Abdul Nasser menyatakan dengan penuh yakin bahawa serangan itu bakal menyaksikan sebelum Subuh lagi Israel akan jadi padang jarak padang tekukur. Apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila negara arab kalah teruk sehingga Sinai, Mesir dan Golan, Syria jatuh ke tangan musuh. Ini adalah kerana kekuatan senjata tidak mencukupi jika bergerak bukan atas dasar iman. Ini berbeza dengan hasil kepada suatu lagi peperangan antara tentera Mesir dan Syria dibantu oleh negara arab lain dalam melawan yahudi Israel dengan slogan Allahu Akbar ketika umat Islam sedang berpuasa Ramadan tahun 1393 Hijrah bersamaan Oktober 1973 Masihi di mana yahudi Israel tidak menyangka sekali mereka akan tewas teruk dalam masa sekejap sehingga ratusan pesawat hancur sebelum terbang dan kenderaan ranap sebelum sempat bergerak malah kubu yang dianggap terkuat di dunia berdekatan Terusan Suez turut hancur. Pada hari pertama sahaja yahudi Israel terpaksa meminta bantuan daripada barat dan jika tidak disebabkan bantuan Amerika maka sudah tentu yahudi telah terkubur pada waktu itu. Kemenangan ini boleh berulang jika umat Islam kembali bersatu atas dasar Islam dengan membuang ideologi sesat ciptaan manusia yang selama ini menjadikan kita umat yang tidak mampu berdikari.

Namun apa yang malangnya apabila umat Islam hari ini terus berpecah ketika berhadapan dengan yahudi dan Amerika sehingga kita mudah dikalahkan dan dijajah ditambah dengan tindakan pemimpin negara umat Islam sendiri yang lebih ganas dalam memusuhi rakyat demi menjaga hati Amerika daripada melihat musuh yang sebenar sebagai penjenayah yang sepatutnya dimusuhi. Peralihan pemimpin baru di negara kita serta kedatangan Ramadhan bagaikan tidak mengubah keadaan serta tidak mengetuk hati mereka yang sepatutnya lebih ke hadapan dalam membela rakyat apabila 13 orang pelajar negara ini dalam usia muda yang belajar di Pakistan ditangkap di bawah ISA atas alasan mereka adalah pelapis pengganas disaat umat Islam hampir menyambut hari raya. Jika kita melihat kepada perjalanan sejarah maka kita dapati bagaimana kebanyakan peralihan kuasa jika tidak atas dasar Islam maka ia biasanya akan melahirkan pemimpin yang lebih bersikap kuku besi akibat penerusan kepada sistem ciptaan manusia demi mempertahankan takhta yang dipegang. Oleh itu kembalilah kita kepada dasar Islam agar keadilan dan kebenaran dapat dirasai serta kita diredhai oleh Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat  35 surah al-Maidah :

يــأيها الذين ءامنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجــهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya  dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

56. PENUHI SYARAT KEMENANGAN ISLAM

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 123-124 surah Ali ‘Imran :

ولقد نصركم الله ببدر وأنتم أذلة فاتقوا الله لعلكم تشكرون . إذ تقول للمؤمنين ألن يكفيكم أن يمدكم ربكم بثلــثة ءالــف من الملئكة مسومين

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu dalam keadaan lemah, Oleh itu bertaqwalah kepada Allah agar kamu mensyukuriNya. Ingatlah ketika kamu mengatakan kepada orang mukmin :” Apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantumu dengan 3 ribu para malaikat yang diturunkan dari langit?”.

            Kini kita telah berada di sepuluh hari dan malam-malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan pengampunan serta penggadaan pahala. Hari-hari dan malam-malam terakhir inilah yang akan menampakkkan sifat ketaatan dan istiqamah seseorang itu samada dalam menunaikan ibadat khusus kepada Allah atau usaha dalam mendekatkan diri kepada Allah sehingga lahir sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Ini boleh mengukur sejauh manakah seseorang itu berjuang untuk Islam dan berapa tinggikah pergantungan dan ikatan hatinya kepada Allah dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini. Ramai yang berjuang tetapi hanya sekerat jalan akibat tidak tahan dengan ujian yang datang dan ramai juga yang berjuang tetapi rasa keikhlasan dan pertautan hatinya dengan Allah agak kurang sehingga tidak datangnya kemenangan. Begitulah apa yang kita lihat dalam masalah menghidupkan bulan Ramadhan bulan tarbiah di mana pada awal Ramadhan didapati masjid dan surau begitu penuh melimpah tetapi pada hari-hari terakhirnya tempat ibadat itu semakin sepi dan lengang kerana ramai yang lebih seronok memenuhi pasaraya untuk persiapan hari raya sedangkan pada malam 10 terkahir inilah akan berlakunya lailatul Qadar yang disifatkan oleh Allah bahawa ia merupakan suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan yang lain sebagaimana  firman Allah dalam ayat 3 surah al-Qadar :

ليلة القدر خير من ألف شهر

Maksudnya : Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

            Tidak salah bersiap untuk hari raya tetapi janganlah sehingga kurang masanya untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Tuhan yang menganugerahkan hari raya itu untuk kita semua. Jadilah umat Islam yang berjaya di mana dia mampu membahagi masa dengan baik di mana ada waktu untuk bermunajat kepada Allah dan ada waktu pula untuk menguruskan kerja dunia tetapi tidak terkeluar daripada apa yang dikehendaki oleh agama. Godaan nafsu pada hari terakhir Ramadhan begitu kuat kerana nafsu bagaikan tidak mahu melihat kita mendapat kelebihan lailatul Qadar. Tetapi itulah budaya yang ditunjukkan oleh media di mana bulan Ramadhan lebih banyak ditunjukkan suasana orang makan daripada ditayangkan orang yang sedang kelaparan dan apabila hampir berakhirnya Ramadhan pula lebih banyak ditunjukkan orang yang sedang berhari raya daripada menayangkan orang yang sedang berpuasa.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Ramadhan bulan meningkatkan ketaqwaan dan menambahkan amalan dalam mendekatkan diri kepada Allah. Ini adalah penting  kepada kita yang mengaku sebagai pejuang Islam. Ramadhan telah membuktikan bahawa Islam mampu beroleh kemenangan gemilang dengan pertolongan daripada Allah sebagaimana kemenangan dalam peperangan Badar al-Kubra, Pembukaan Kota Mekah, pembukaan Baitul Maqdis oleh Solehudin al-Ayyubi. Ini menunjukkan kepada kita bahawa semakin lemahnya nafsu dunia maka semakin maraknya cinta kepada Allah yang membolehkan kita berhadapan dengan musuh tanpa rasa takut dan gentar dengan hilangnya perasaan terlalu cintakan dunia. Semakin hampirnya kita kepada Allah dan semakin kuatnya pertautan hati kita kepada Allah maka semakin dekatlah pertolongan dan kemenangan daripada Allah. Oleh itu gunakanlah sepenuhnya kedatangan Ramadhan kali ini untuk lebih menjinakkan nafsu kita sehingga membolehkan kita mendekatkan diri kepada Allah. Hilangkan dua penyakit merbahaya dalam diri iaitu terlalu cintakan dunia dan takutkan kematian sehingga umat Islam kembali mulia dan seterusnya dianugerahkan kemenangan oleh Allah.

            Jika dalam peperangan Badar al-Kubra ketika Rasulullah s.a.w dan tentera Islam berada dalam kepungan musuh yang tiga kali ganda lebih ramai dan kuat sedangkan nabi dan tentera Islam sebejnarnya bukanlah keluar dengan niat berperang maka Allah datangkan kemenangan kerana pertautan hati mereka dengan Allah begitu kuat. Oleh itu kita umat Islam hari ini dengan jumlah yang ramai mestilah lebih yakin kepada janji kemenangan daripada Allah dengan syarat kita kembali bersatu di bawah panji Islam bukannya terus berpecah mengikut bangsa dan negara sebagaimana yang dilakukan oleh penjajah. Umat Islam mesti mendalami ilmu agama sehingga benar-benar mantap dan menerokai ilmu baru yang bermanfaat sehingga kukuh aqidahnya di mana dengan kekuatan aqidahlah maka seluruh ujian yang mendatang dapat dilalui dengan baik.

Kata seorang barat (Uskup) dalam bukunya Gereja dan Islam : “ Sesungguhnya rahsia kekuatan luar biasa yang berjaya dizahirkan oleh Islam berpandu kepada kejayaan agama ini mengesani kewujudan Allah dan kehendak iradatNya yang Maha Tinggi. Kekuasaan Allah yang mutlak ke atas alam ini yang tersembunyi dalam WahdaniyyahNya. Keimanan jenis inilah yang menyerapkan kepada orang-orang Islam roh ketundukan dan kecintaan kepada mati yang tidak pernah kami ketahui terdapat pada mana-mana sistem selain Islam. Ini ditambah lagi aqidah Islam bersih daripada sebarang kekusutan dan kecelaruan. Malah aqidah Islam berada dalam lingkungan yang mudah difahami oleh orang awam. Sesungguhnya aqidah Islam adalah suatu kekuatan yang menakjubkan yang berjaya meresap ke dalam hati-hati manusia dengan mudah”

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Umat Islam hari ini begitu di hina dan diperlakukan sesuka hati oleh musuh Islam bukanlah kerana tiada kekuatan ekonomi tetapi akibat tidak menghidupkan budaya ilmu dalam kehidupan. Umat Islam sendiri jahil tentang Islam sehingga kadang-kadang membawa kepada mempertikaikan kebanyakan sistem yang ada dalam Islam. Apabila umat Islam ditimpa dengan kejahilan maka aqidahnya pun menjadi lemah sehingga membawa kepada kurang keyakinan terhadap Islam dan mereka berpecah mengikut apa yang dikehendaki oleh penjajah. Inilah yang menyebabkan negara-negara umat Islam yang dianugerahkan pelbagai hasil mahsul negara yang tidak dapat dimanfaatkan untuk keseluruhan rakyat jelata kerana kurangnya kepakaran daripada kalangan umat Islam sendiri akibat budaya malas dan lebih suka tunduk kepada penjajah. Akhirnya banyak hasil bumi negara umat Islam disedut dan diambil untuk manfaat kuffar. Kuffar begitu gerun jika umat Islam kembali bersatu atas dasar iman. Oleh itu kuffar terus berusaha agar umat Islam dan negara masing-masing terus berpecah yang menyebabkan umat Islam terus menjadi lemah. Umat Islam mesti menyedari hakikat bahawa ilmu dan aqidah mesti kuat sebelum boleh bergerak dengan kekuatan ekonomi kerana jika ekonomi sahaja yang kuat sedangkan aqidah umat Islam lemah maka kekuatan ekonomi itu tidak akan digunakan untuk Islam sebaliknya lebih banyak digunakan untuk kepentingan diri sehingga hilangnya semangat jihad dan semakin lemahnya aqidah kerana dihanyutkan dengan cinta dunia.

            Ingatlah sabda Rasulullah sa.w :

فَوَاللهِ  مَا الفَقْرَ  أَخْشَى  عَلَيْكُمْ  وَلَكِنِّي  أَخْشَى    أَنْ  تُبْسَطَ  عَلَيْكُمُ  الدُّنْيَا  كَمَا  بُسِطَتْ  عَلَى  مَنْ  كَانَ  قَبْلَكُمْ  فَتَنَافَسُوْهَا  كَمَا  تَنَافَسُوْهَا فَتُهْلِكَكُمْ  كَمَا  أَهْلَكَتْهُمْ  .

Maksudnya  :  Demi  Allah!  Aku tidak bimbang  kefakiran yang menimpa kamu tetapi  apa yang aku bimbang  ialah  apabila dibentangkan kemewahan  dunia  sebagaimana  yang  telah  dibentangkan  kepada umat sebelum kamu lalu mereka merebut kemewahan dunia itu  maka kamu juga akan berebut sebagaimana mereka maka kamu  akan dibinasakan  sebagaimana  binasanya umat sebelum kamu

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Musuh Islam terus menekan dan menyerang umat Islam seluruh dunia kerana Islam yang bergerak atas asas wahyu dan menawan hati manusia merupakan suatu kuasa yang paling merbahaya kepada kuffar yang bergerak atas dasar kejahilan dan paksaan ke atas tubuh manusia. Islam diperangi secara fizikal dan mental. Umat Islam di Palestin terus dibunuh dan disiksa setiap hari. Begitu juga umat Islam di beberapa tempat yang lain di mana kuffar yang telah memulakan perang Salib terbaru terhadap Islam tidak akan merasa tenang selagi adanya umat Islam di atas muka bumi Allah ini. Selain serangan fizikal kuffar turut menghina Islam agar dibenci oleh seluruh umat dunia bagi menyekat kemasukan rakyat negara-negara barat terutama Amerika ke dalam Islam yang kini peratusnya begitu tinggi sejak serangan 11 September. Apa yang terbaru ialah penghinaan seorang wartawan yang menuduh jika Nabi Muhammad s.a.w masih hidup maka sudah pasti baginda akan memilih salah seorang ratu cantik yang datang bertanding di Nigeria yang menyebabkan lebih 200 orang mati akibat pertempuran antara umat Islam dan Kristian di Nigeria. Umat Islam di Nigeria sanggup mati apabila nabi Muhammad dihina sedangkan di negara kita pemimpin yang menghina hukum Allah dan mencaci nabi terus dapat memimpin apatah lagi penulis murahan yang berbuat demikian.

            Negara kita tidak terkecuali daripada ditekan oleh barat dan kuffar walau pun pemimpin yang jahil dan mengkhianati umat Islam telah banyak membodek dan mengampu kuffar. Semakin ramai rakyat yang tidak bersalah di tahan di bawah ISA maka semakin kuat tuduhan barat bahawa pemimpin dan negara ini juga merupakan pengganas. Negara ini didakwa oleh kebanyakan negara barat tidak selamat untuk dilawati serta membayangkan akan berlakunya letupan bom sebagai yang telah berlaku di Bali, Indonesia. Malah Perdana Menteri Singapura turut menjelaskan bahawa politik Islam merupakan suatu yang bakal memberi cabaran yang begitu besar kepada kuffar termasuk di rantau Asia Tenggara. Pertembungan ini akan mewujudkan keganasan kerana masing-masing tidak akan tunduk kepada salah satu daripadanya.

            Apa yang pasti Islam akan dimenangkan oleh Allah. Cuma waktu dan saat kemenangan itu adalah terletak kepada persediaan dan usaha umat Islam untuk melaksanakannya. Islam tidak diberi kemenangan mudah sebaliknya perlu mengalami keperitan dan kesusahan sebelum datangnya kemenangan dan kemanisan. Jangan lupa tunaikanlah zakat fitrah antara jihad kita dalam membantu saudara Islam yang lain.

Firman Allah dalam  ayat 139 surah Ali ‘Imran:

ولاتهنوا ولاتحزنوا وأنتم الأعلون إن كنتم مؤمنين

Maksudnya : Janganlah kamu berputus asa dan janganlah pula kamu bersedih hati sedangkan kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 َ

37. KEMBALILAH KEPADA AJARAN AL-QURAN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    81-82    سورةالإسراء :

وقل جاء الحق وزهق الباطل إن البطل كان زهوقا وننزل من القرءان ما هو شفاء ورحمة للمؤمنين ولايزيد الظـلمين إلا خسارا

Maksudnya : Dan katakanlah : “ Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”. Sesungguhnya kebatilan itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. Dan Kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi ubat penawar bagi orang-orang beriman. Dan a-Quran itu tidaklah menambah kepada mereka yang zalim selain daripada kerugian.

 

            Kini kita berada di dalam sepuluh terakhir Ramadhan di mana melalui beberapa hadis nabi s.a.w telah memberitahu kita bagaimana pada salah satu malamnya akan dianugerahkan malam al-Qadar yang mempunyai keistimewaan besar yang melebihi seribu bulan yang lain. Peluang dan tawaran yang terbuka luas ini hendaklah direbut bagi menunjukkan bahawa kita merupakan hamba Allah yang sentiasa berlumba-lumba dalam menambah bekalan akhirat. Marilah kita sama-sama menghidupkan malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan ini dengan melipat-gandakan segala amalan soleh seperti berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, iktikaf, qiamullail dan sebagainya disamping meninggalkan sebarang perbuatan maksiat. Gunakanlah peluang yang masih ada dalam memperbaiki kadar dan mutu ibadat sehingga kita mampu lahir sebagai hamba yang bertaqwa yang sentiasa berlumba-lumba menambahkan bekalan akhirat. Jangan biarkan masjid dan surau bertambah kurang bilangan ahli jemaahnya apabila masuknya sepuluh terakhir Ramadhan kerana masing-masing terlalu sibuk dengan aktiviti membeli-belah dan persiapan menyambut hari raya. Sepatutnya kita mesti semakin memperbanyakkan lagi amalan sunat setelah masuknya sepuluh malam terakhir Ramadhan agar kita tergolong dalam golongan yang dicintai oleh Allah kerana sentiasa mencari-cari Lailatul qadar yang merupakan suatu malam yang berlipat ganda pahala di mana ia tidak pernah dianugerahkan kepada umat yang lain.

            Siti ‘Aisyah telah berkata : Adalah nabi S.A.W apabila telah masuk sepuluh malam terakhir akan bertambah kerap baginda S.A.W menjauhi isteri, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Sesuai dengan kedatangan Ramadhan yang mengingatkan kita bagaimana pada bulan inilah wahyu pertama daripada Allah telah diturunkan kepada Rasulullah s.a.w melalui malaikat Jibril ketika baginda sedang bermunajat di gua Hira’. Oleh itu gunakanlah hari-hari terakhir Ramadhan ini untuk lebih memperbanyakkan lagi bacaan al-Quran. Disamping kita membaca al-Quran untuk mendapatkan fadhilat dan pahala yang dijanjikan oleh Allah maka kita juga mesti  cuba memahami isi kandungan ayat al-Quran bagi sama-sama diamalkan dalam kehidupan seharian. Al-Quran yang disifatkan sebagai ubat penawar yang mampu mengubati kekosongan jiwa disamping ia mampu mengubati segala masalah manusia apabila kita mampu menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup yang diamalkan segala sistem yang telah diberitahu oleh al-Quran. Penurunan al-Quran bukanlah semata-mata untuk dibaca tetapi menuntut kepada pengamalan terhadap segala isi kandungannya sehingga dunia ini mampu ditadbir dengan sebaiknya berasaskan wahyu bukannya mengikut hawa nafsu yang sudah pastinya akan menggugat keamanan dunia.

            Wahyu pertama yang diturunkan melalui surah al-‘Alaq menekankan kepada kita bagaimana pentingnya ilmu pengetahuan. Al-Quran turut menekankan bagaimana ilmu yang diperolehi mestilah diamalkan bagi menjamin proses ibadat khusus dan pengurusan pentadbiran kepada kehidupan seharian dapat berjalan dengan baik. Umat Islam pernah mencapai zaman kegemilangannya apabila seluruh pergerakan dan pengamalan mereka berdasarkan ilmu yang disuluhi dengan cahaya wahyu sedangkan pada waktu itu dunia barat masih berada dalam kegelapan ilmu pengetahuan. Kemasukan Islam ke barat terutama dengan penawanan Sepanyol di bawah tentera Islam yang diketuai oleh Toriq bin Ziyad telah membolehkan dunia barat turut berkembang maju berasaskan ilmu. Cuma setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniah 1924 yang berpusat di Turki disebabkan perpecahan di kalangan umat Islam sendiri yang termakan racun yang ditaburkan oleh musuh Islam telah menyebabkan dunia Islam semakin ketinggalan dari segi kemajuan material dan kadang-kadang pembangunan insan turut tergugat disebabkan umat Islam meninggalkan ajaran al-Quran yang menyeluruh.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Jika pada zaman kegemilangan Islam kita dapat lihat bagaimana Islam menjadi tempat bergantung dan rujukan kepada perkembangan tamadun lain tetapi kini umat Islam sendiri terpaksa memohon belas ihsan daripada barat untuk turut membangunan tamadun mereka yang kebanyakannya mengikut hampir seratus peratus cara barat yang menyebabkan kita terus ketinggalan malah terpaksa menjadi kuli kepada teknologi mereka. Akhirnya negara umat Islam tidak mampu berdikari dan terpaksa tunduk kepada barat. Ini semua membawa kepada kerugian yang begitu besar kerana barat mampu menguasai seluruh negara umat Islam yang tidak mempunyai pakar yang mampu menggerakkan kemajuan teknologi yang mereka cedok dari barat. Malah negara umat Islam turut menghadapi masalah sosial yang begitu berat kerana turut terikut dengan gaya hidup bebas yang diamalkan di barat sehingga pembangunan insan yang sepatutnya ditekankan mula terabai. Akhirnya umat Islam menjadi umat yang ketinggalan dari sudut kemajuan material dan turut gagal dari segi pembangunan insan.

            Kita lihat bagaimana barat telah mengambil hampir kesemua ilmu pengetahuan yang asalnya telah dihidupkan oleh umat Islam silam untuk membangunkan tamadun mereka. Tetapi sayangnya ilmu pengetahuan yang diambil telah dibuang roh Islamnya sehingga kemajuan material yang dibina oleh barat tidak dapat membantu mereka untuk turut membina pembangunan insan yang bersepadu. Akhirnya kemajuan tekonologi barat digunakan sewenang-wenangnya untuk pengekalan kuasa dan mencari harta kekayaan daripada negara-negara yang lemah. Ini menyebabkan dunia hari ini dapat melihat penindasanan kezaliman berleluasa di mana-mana. Perasaan kemanusiaan telah lama hilang ditelan oleh nafsu buas yang tidak pernah puas menghisap darah dan keringat manusia yang lemah. Oleh itu di dalam mengembalikan semula keamanan dunia serta mengembalikan tamadun yang selari antara material dan kemanusiaan maka umat Islam mesti kembali kepada al-Quran. Kita mesti memastikan keseluruhan ajaran al-Quran dapat dilaksanakan dibumi yang nyata sehingga kita mampu kembali menjadi umat yang mulia dan maju.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Umat Islam bagaikan anak ayam kehilangan ibu apabila hilangnya sistem khilafah. Umat Islam bagaikan kehilangan tempat bergantung untuk mengadu segala masalah yang dihadapi. Kita merayu kepada kuffar musuh yang sentiasa berusaha membaham kita sedangkan dalam masa yang sama kita gagal untuk mendapat bantuan daripada negara-negara umat Islam sendiri yang berpecah dan lemah kerana meninggalkan ajaran al-Quran yang menyeluruh. Kita dapat lihat pada hari ini bagaimana penderitaan umat Islam di Palestin terus berlaku malah tekanan yahudi pada akhir-akhir ini semakin jelas dan nyata. Dunia barat sentiasa membisu malah membantu usaha yahudi untuk menakluki bumi Palestin untuk dijadikan pusat pentadbiran Zionis Dunia. Masjid al-Aqsa terus menjadi sasaran utama untuk dirobohkan bagi diganti dengan Haikal Sulaiman yang didakwa milik yahudi sedangkan itu semua merupakan milik umat Islam yang mesti dipertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir. Perjanjian damai yang dibuat tidak lebih daripada usaha untuk memudahkan penyerahan bumi Palestin kepada yahudi dan juga untuk memberi kebenaran kepada yahudi untuk menyembelih umat Islam sesuka hati. Begitu juga penderitaan umat Islam di Afghanistan yang terus berlaku di mana barat menggunakan kemajuan teknologi yang ada untuk meratah tubuh umat yang tidak bersalah. Malah perjanjian di dalam membentuk kerajaan sementara di Afghanistan yang telah dibuat di Bonn, Jerman akan menambahkan lagi penghinaan terhadap umat Islam. Barat akan cuba menyedut sebanyak mungkin hasil minyak dan galian lain di Afghanistan untuk kepentingan mereka terutama dalam membayar kos bom dan senjata yang dijatuhkan di Afghanistan dalam serangan yang tidak bermaruah. Di sini kita dapat saksikan bagaimana umat Islam dihina begitu rupa di mana tanahair mereka dicerobohi, rakyat dibunuh kini mereka terpaksa pula membayar balik kos kekejaman itu dengan hasil dari negara mereka sendiri. Oleh itu kembalikan semula kemuliaan umat Islam dengan sama-sama kita kembali kepada seluruh ajaran al-Quran. Islamlah nescaya kita akan selamat dan mulia di dunia dan akhirat.

Renungilah Firman Allah dalam surah al-Qadar:

إنا أنزلنـه في ليلة القدر وما أدرئك ما ليلة القدر ليلة القدر خير من ألف شهر تنزل الملئكة والروح فيها بإذن ربهم من كل أمر سلم هي حتى مطلع الفجر

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah lailatul Qadar itu? . Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbitnya fajar

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ

Lailatul Qadar DiGapai Kebahagiaan DiCapai

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan tahukah engkau apakah itu Lailatul-Qadar?. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Kini kita telah berada pada  hari yang ke-21 daripada bulan Ramadhan 1433H yang mengingatkan kita bahawa Ramadhan tahun ini telah memasuki fasa ketiga iaitu dijanjikan dengan kebebasan daripada api neraka bagi hamba Allah yang berjaya menghidupkan Ramadhan dengan amal soleh penuh keikhlasan kepada Allah. Beradanya kita pada 10 hari dan malam terakhir bulan Ramadhan ini juga memberi isyarat yang jelas supaya kita semakin bersemangat dalam menambahkan bekalan akhirat pada saat yang begitu berharga ini terutama salah suatu malamnya akan ada Lailatul Qadar yang beribadat padanya lebih baik daripada 1000 bulan atau 83 tahun 3 bulan. Sebahagian ulama berpendapat al-Qadar bermaksud pengagungan. Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya malaikat termasuk Jibril, melimpah rahmat dan keampunan serta pada malam itu Allah SWT menganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah kepadaNya. Banyak hadis nabi yang menyebut tentang kelebihan dan malam berlakunya Lailatul Qadar antaranya

قال الرسول : مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِإِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ -– رواه البخاري ومسلم.

Maksudnya : Sesiapa yang bangun beribadat pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka diampunkan baginya  dosa-dosanya yang telah lalu

قال الرسول : ”تحََرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فيِ العَْشِر الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ” – رواه البخاري ومسلم.

Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir daripada  Ramadhan
قال الرسول : “تحََرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فيِ الوِتْرِ مِنَ العَْشِر الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ” – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar pada bilangan ganjil pada 10 malam terakhir daripada  Ramadhan

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 133 surah Ali ‘Imran :

وَسَارِ‌عُوا إِلَىٰ مَغْفِرَ‌ةٍ مِّن رَّ‌بِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْ‌ضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْ‌ضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya : Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Antara amalan terbaik dalam menghidupkan 10 malam terkahir Ramadhan terutama dalammengejar Lailatul Qadar ialah mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruma. Para sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi’en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Memperbanyakkan solat sunat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Nabi s.a.w sendiri tidak akan melalui bacaan ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui bacaan ayat azab kecuali memohon perlindungan Allah daripada azab itu. Menjaga Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Banyak beriktikaf di masjid kerana nabi s.a.w beriktikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah di mana sunnah iktikaf diteruskan oleh para isterinya.  Kita turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa di mana doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Tidak ketinggalan dengan amalan mulia iaitu banyak bersedekah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Kita tidak mempunyai alasan untuk mensia-siakan kehadiran Ramadhan terutama untuk merebut kelebihan Lailatul Qadar. Gunakanlah Ramadhan sebagai saat keemasan dalam menambah kekuatan jiwa yang mampu mengawal hawa nafsu dalam diri. Renungilah keadaan saudara kita yang berada dalam kangcah peperangan seperti di bumi Palestin, Syria, bangsa Ronghiya di Myanmar dan beberapa negara lagi yang berdepan dengan senjata musuh yang menunggu masa untuk merobek dan memamah tubuh mereka ketika mahu menyempurnakan ibadat puasa apatah lagi untuk ke masjid. Begitu juga tekanan terhadap amalan berpuasa seperti kes pemecatan empat orang Muslim Perancis daripada pekerjaannya sebagai pengajar kem musim panas kerana melaksanakan ibadah puasa telah mencetuskan kemarahan umat Islam di Perancis. Hakim memutuskan amalan puasa menyebabkan tumpuan terhadap penjagaan pelajar terabai. Begitu juga penerusan kepada penderitaan umat Islam di sebuah negeri di China apabila para pegawai Islam dan pelajar di wilayah barat laut Xinjiang telah dilarang berpuasa selama bulan Ramadhan ini malah adanya larangan pelajar daripada memasuki masjid sepanjang Ramadhan. Itu belum dikira dengan beberapa sikap anti Islam yang lain seperti penentangan terhadap pembangunan masjid dan penerapan Syariah Islam di mahkamah menjadi bahan kempen untuk memenangi pilihan raya parlimen di sebuah negara di Amerika Syarikat. Apa yang lebih teruk apabila Jawatankuasa Kebangsaan Bahagian Urusan Agama Republik Azarbaijan memerintahkan kepada para khatib masjid di seluruh negara itu untuk melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu. Arahan itu dikeluarkan pada 30 Jun yang lalu. Alasan pemindahan tersebut kerana dinilai mengganggu jam kerja, di mana hari Jumaat di Azarbaijan adalah hari kerja rasmi negara itu di mana pemindahan solat Jumaat ke hari Sabtu diharapkan dapat mengurangkan beban para pegawai dan pekerja pemerintah. Republik Azarbaijan adalah negara kecil yang majoriti penduduknya beragama Islam. Dilaporkan, jumlah penduduk muslim di sana mencapai 90% dari jumlah keseluruhan penduduknya. Hubungan rapat regim yang berkuasa dengan Israel, menyebabkan dasar-dasar pemerintah cenderung anti Islam. Sehingga kini, warga muslim Azarbaijan masih memperjuangkan hak-hak kaum muslimah untuk memakai tudung di negara itu. Malangnya apa yang berlaku di Negara kita adalah sebaliknya apabila umat Islam bebas berpuasa tetapi ramai yang tidak berpuasa akibat tewas kepada hawa nafsu. Umat Islam bebas untuk solat Jumaat tetapi ramai mengabaikannya. Umat Islam bebas memakai tudung tetapi ramai yang memilih untuk mendedah aurat. Ingatlah amaran keras daripada Allah dan rasulNya kepada golongan yang tidak bersyukur atas nikmat Allah di mana Allah akan memberi nikmat yang banyak sehingga mereka lalai lalu didatangkan azab yang dahsyat dalam keadaan mengejut sehingga tidak guna lagi penyesalan

Firman Allah dalam ayat 44 surah al-An’am :

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُ‌وا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِ‌حُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

Maksudnya : Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Sempena berada pada bulan Ramadhan yang merupakan bulan diturunkan al-Quran maka marilah kita sama-sama memperbanyakkan untuk membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan kita. Kegagalan dalam melaksanakan sistem al-Quran menyebabkan banyak masalah jenayah, sosial yang berlaku. Kita jangan menjadi golongan yang hanya setakat membaca al-Quran tetapi tidak memahami apatah lagi menghayati sistem al-Quran dalam kehidupan seharian. Ingatlah kita kepada suatu amaran nabi yang bermaksud : “ Akan zahir di kalangan umatku di akhir zaman, orang yang membaca al-Quran tetapi al-Quran hanya sampai ke halkumnya sahaja tetapi tidak sampai ke dalam hati.”

Sempena berada pada bulan Ramadhan bulan turunnya al-Quran marilah kita sama-sama menghidupkan al-Quran dalam diri kita, keluarga kita seterusnya masyarakat sekeliling, negeri dan negara. Beruntunglah bagi orang yang menjadikan al-Quran sebagai teman hidup sehingga al-Quran mampu memberi ketenangan dalam kehidupan di dunia, membantunya ketika berada dalam alam kubur seterusnya padang mahsyar nanti. Betapa ruginya manusia yang menjauhi al-Quran sehingga hidupnya penuh kekosongan jiwa, dalam kubur melolong seorang diri mencari penolong dan di akhirat tercari-cari sesuatu yang mampu membantunya untuk lari daripada azab yang dahsyat

Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Lailatul Qadar DiHayati Kemenangan DiRai

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan tahukah engkau apakah itu Lailatul-Qadar?. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Kini kita telah berada pada 10 hari dan malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang dijanjikan Allah bahawa ada di antara malamnya suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Anugerah yang amat berharga ini telah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Qadr di mana antara sebab turunnya surah ini ialah sebagaimana disebut oleh Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya: Adalah pada umat bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat nabi Muhammad s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda bani Israel tadi
Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Adalah Rasulullah S.A.W telah beriktikaf pada malam-malam sepuluh terakhir daripada Ramadhan dan baginda S.A.W bersabda yang bermaksud : Carilah malam lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan
Antara hikmat disembunyikan Lailatul Qadar menurut Imam al-Razi seorang ahli tafsir terkenal ialah yang Pertama : Agar umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja. Kedua : Bimbang umat Islam tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat walau pun telah ditetapkan malam tertentu atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah kerana berbuat maksiat dalam keadaan tahu lebih besar dosanya. Ketiga : Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu. Keempat : Melahirkan umat yang menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Lailatul Qadar sehingga meningkat amal solehnya.
Amat malang jika orang lain menggunakan masa yang begitu istimewa ini untuk beriktikaf di masjid sedangkan kita asyik sibuk di Super Market. Amat rugi jika orang lain sibuk menggandakan amal soleh pada hari-hari terakhir Ramadhan sedangkan kita terlalu sibuk dengan persiapan hari raya. Amat kurang cerdik bila orang lain lebih mengejar tawaran istimewa daripada Allah sedangkan kita lebih seronok menyahut jualan murah di pasaraya. Amat kurang bijak bila orang lain berlumba menambah bekalan akhirat sedangkan kita terus asyik dengan dunia

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 123 surah Ali Imran :
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah
Ramadhan pernah menyaksikan kemenangan besar tentera Islam dalam peperangan Badar al-Kubra pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah dan pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 Hijrah menunjukkan kepada kita bagaimana lemahnya nafsu membolehkan semangat juang semakin kuat. Puasa bukan penghalang yang memadamkan semangat juang sebaliknya ia sebagai suatu tarbiah yang berharga dalam melahirkan umat yang hanya takut kepada Allah sehingga tidak akan tunduk kepada musuh walau apa pun yang berlaku.
Antara faktor utama kemenangan tentera Islam dalam mengalahkan musuh ialah [1] Teguh hati di mana tanpa keteguhan hati pasukan muslimin dan peneguhan Allah dengan malaikat-Nya, maka tidak akan wujud kemenangan untuk mereka. Keteguhan hati ini sangat penting kerana perjalanan dakwah adalah jalan sangat panjang dan banyak rintangannya. Dengan keteguhan hati inilah yang menyebabkan mereka mendapat kemenangan, kemuliaan dan pahala yang besar. Keteguhan dalam menyatakan kebenaran, tidak tergoda dengan takhta, harta dan wanita serta habuan dunia yang membolehkan kan pasukan muslimin mencapai kemenangan.
[2] Zikrullah iaitu dengan mengingati Allah sebanyak mungkin secara lisan dan hati. Ternyata syarat kemenangan berpihak kepada orang yang sentiasa ingat Allah dengan selalu berzikir, berdoa dan qiamulail. Mengingati Allah ketika berperang akan menyebabkan seseorang akan mencapai ketinggian ubudiah kehambaaan dan keimanan kepada Allah serta tawakkal kepada Allah. Keteguhan hati dan zikrullah adalah cara untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :
وَأَطِيعُوا اللهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar
Faktor yang seterusnya dalam meraih kemenangan ialah [3] Taat kepada Allah dan RasulNya di mana pertolongan dan bantuan daripada Allah hanya akan muncul bersama dengan ketaatan kepada Allah dan RasulNya. [4] Tiada perselisihan di mana keteguhan hati, zikrullah, dan taat kepada Allah dan RasulNya, apabila diikuti dengan berbantah-bantahan maka yang akan terjadi adalah kegagalan dan hilangnya kekuatan. Dalam perang Badar misalnya, Allah menjaga pasukan Muslimin daripada perselisihan dan berbantah-bantahan. [5] Sabar dalam menghadapi ujian dan kesusahan kerana sabar adalah senjata kekuatan sesuatu pasukan. Sabar dalam menghadapi pertempuran dan sabar dalam menghadapi musibah adalah jaminan bagi sempurnanya pertolongan yang akan diberikan Allah. Sabar bukan bererti pasif. Oleh hal yang demikian, sabar harus sentiasa diiringi dengan ikhtiar dan mujahadah.
[6] Ikhlas di mana kemenangan tidak boleh diraih dengan kesombongan dan riak. Allah pasti akan menolong orang-orang yang berperang di jalanNya dengan niat yang ikhlas. Dalam Islam, bilangan bukanlah faktor yang menentukan segala-galanya tetapi faktor kualiti adalah sesuatu yang perlu diutamakan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sempena berada dalam bulan Ramadhan yang merupakan bukan perjuangan dalam menewaskan musuh yang tersembunyi iaitu nafsu dan musuh daripada golongan kuffar yang sentiasa memerangi umat Islam maka ini semua menuntut agar kita memenuhi segala syarat kemenangan barulah Allah akan datangkan kemenangan yang dijanjikan. Renungilah nasib yang menimpa saudara seagama kita yang sedang ditindas di tanahair sendiri seperti di Selatan Thailand, Mindanao Filiphina, Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Chechnya dan lainnya di mana atas nama memerangi keganasan maka negara umat Islam yang menjadi mangsa keganasan. Begitu juga nasib yang menimpa saudara kita apabila Kerajaan Xinjiang, China kembali mengeluarkan peraturan yang tidak adil dan ‘tidak menghormati hak asasi manusia’ terhadap muslim Uighur yang diancam akan diberhentikan dari pekerjaannya jika diketahui tidak makan pada waktu makan siang. Kempen makan siang, teh, dan kopi diberi percuma sebagai taktik untuk mengetahui siapa yang berpuasa. Para pemilik restoran Muslim dipaksa menandatangani sebuah dokumen yang menyatakan bahawa restoran akan tetap dibuka dan menjual minuman beralkohol dibulan Ramadhan, jika tidak lesennya akan ditarik. Para imam masjid dipaksa untuk berceramah kepada yang lain bahawa puasa adalah aktiviti yang berbahaya bagi kesihatan. Jika tidak, kewarganegaraan mereka akan ditarik balik. Tiada guna merayu pada musuh, tiada manfaat mengadu kepada lawan. Apa yang diharapkan ialah bantuan daripada saudara seagama yang lebih takut kepada Allah daripada musuh durjana, saudara yang lebih pentingkan akhirat daripada dunia. Berubahlah hasil tarbiah Ramadhan agar kita berjaya dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Maidah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

31. PERISTIWA PEMBUKAAN KOTA MEKAH

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    1-3   سورة الفتح :

إنا فتحنا لك فتحا مبينا ليغفر لك الله ماتقدم من ذنبك وما تأخر ويتم نعمته عليك ويهديك صرطا مستقيما وينصرك الله نصرا عزيزا

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Supaya Allah memberi pengampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmatNya atasmu dan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus. Dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat

            Masa berlalu begitu pantas di mana kita semua kini sedang berada di pertengahan bulan Ramadhan al-Mubarak yang merupakan bulan tarbiah dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Tarbiah Ramadhan yang datang sebulan dalam setahun merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai dan mesti digunakan peluang yang terbuka ini dengan sebaiknya agar diri kita termasuk golongan mereka yang bertaqwa kepada Allah. Pastikan diri kita bukan sahaja berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi kita juga mesti pastikan anggota kita yang lain turut berpuasa daripada melakukan perkara yang dilarang oleh agama. Pastikan anugerah penggandaan pahala dan pengampunan dosa yang ditawarkan oleh Allah sempena kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini dapat kita sama-sama capai dengan ditingkatkan kadar dan mutu segala amalan soleh kita. Adalah menjadi suatu kerugian yang besar jika peluang dan tawaran yang dianugerahkan oleh Allah ini disia-siakan tanpa ada di sana perasaan ingin merebutnya.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Kedatangan Ramadhan turut mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang berlaku di dalamnya terutama pada masa Rasulullah s.a.w. Ramadhan telah mencatatkan peristiwa turunnya wahyu yang pertama kepada nabi s.a.w ketika baginda sedang bermunajat di gua Hira’. Ramadhan turut menukilkan bagaimana tentera Islam yang kecil bilangannya dengan pertolongan Allah telah berjaya mengalahkan tentera Quraisy yang berganda jumlahnya dalam peperangan badar al-Kubra. Tidak ketinggalan pada hari ini kita cuba mengimbas kembali berkenaan dengan pembukaan Kota Mekah yang turut berlaku pada bulan Ramadhan di mana daripada semua peristiwa yang berlaku menunjukkan kepada kita bagaimana Ramadhan bukanlah bulan yang melemahkan semangat dan meletihkan tubuh badan sebaliknya ia sebagai bulan yang meniupkan lagi semangat jihad yang sedia ada dalam melawan musuh dalaman yang dipanggil nafsu dan musuh luaran yang merupakan ancaman daripada musuh Islam yang sentiasa menyalakan api permusuhan terhadap umat Islam dengan pelbagai cara mengikut keadaan. Apabila umat Islam berjaya melawan nafsu yang bergelora dalam diri maka insya Alla mereka juga akan berjaya melawan musuh yang sentiasa mengancam diri. Apabila umat Islam sentiasa memusuhi nafsu jahat yang cuba menguasai diri maka mereka akan sentiasa melawan musuh Islam yang sentiasa berusaha memadamkan cahaya Allah. Sebaliknya jika umat Islam tidak mempunyai pertahanan diri yang kukuh dalam melawan nafsu jahat dalam diri maka kebanyakan mereka turut tumbang apabila berhadapan dengan serangan kuffar. Inilah pentingnya tarbiah Ramadhan yang mampu melahirkan umat yang bukan sahaja dapat menahan diri daripada godaan hawa nafsu tetapi turut melatih diri untuk berhadapan dengan musuh di alam nyata hasil daripada kesedaran yang tinggi tentang siapakah musuh kita yang sebenar. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Peristiwa Pembukaan Kota Mekah ini berlaku pada tahun ke 8 Hijrah apabila Bani Bakar yang berada di bawah jagaan Quraisy telah bertindak menyerang Bani Khuza’ah yang berada di bawah pembelaan nabi s.a.w. Bani Bakar dengan bantuan pelindung mereka iaitu kafir Quraisy telah melakukan serangan sehingga 20 orang daripada Bani Khuza’ah telah terkorban. Melihat kezaliman ini maka ‘Amru bin Salim bersama 40 orang berkuda daripada Bani Khuza’ah telah bergegas ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah s.a.w. Kuffar Quraisy  yang mendapat berita bahawa Rasulullah s.a.w telah diberitahu tentang tindakan mereka memerangi Bani Khuza’ah ini merasa begitu menyesal kerana serangan ini merupakan perlanggaran terhadap perjanjian Hudaibiah yang telah dibuat sebelum ini antara Quraisy dengan nabi s.a.w. Puak Quraisy terus menghantar Abu Sufian in Harb untuk bertemu nabi bagi meminta maaf terhadap kejadian yang berlaku tetapi nabi s.a.w dan para sahabat yang lain tidak menghirau terhadap rayuan yang dibuat sehingga Abu Sufian pulang dalam keadaan kecewa tanpa sebarang keputusan. Selepas itu Rasulullah s.a.w  telah menyiapkan para muslimin secara rahsia untuk keluar ke Mekah tetapi salah seorang muslimin iaitu Hatob telah menulis surat bertujuan memberitahu keluarganya di Mekah tentang perancangan nabi itu. Rasulullah s.a.w telah mengutus Sayyidina Ali, Zubair dan Miqdad untuk merampas surat tersebut yang dibawa oleh seorang wanita di mana mereka dapat mengambil surat tersebut dan kemudiannya menyerahkan kepada nabi di mana apabila disoal siasat maka Hatob penulisnya telah memberitahu bahawa dia bukannya mahu murtad atau berpaling tadah sebaliknya mahu menyelamatkan satu-satunya keluarganya di Mekah kerana dia berhijrah sebatang kara sedangkan sahabat yang lain mempunyai keluarga bersama mereka. Rasulullah s.a.w menerima alasan ini dan tidak membenarkan Sayyidina Umar al-Khottab memancungnya kerana Hatob merupakan salah seorang yang pernah menyertai peperangan Badar sebelum ini di mana Allah telah menjanjikan keampunan kepada ahli Badar.

            Di sini kita dapat perhatikan bagaimana kehebatan Islam yang dulunya dipandang hina tetapi kini mula digeruni sehingga Quraisy berasa begitu bersalah apabila mereka melanggar perjanjian Hudaibiah. Quraisy begitu takut terhadap sebarang tindakan yang tegas daripada Rasulullah s.a.w dan para muslimin sehingga mereka mengutus Abu Sufian untuk memohon maaf. Keadaan ini adalah jauh bezanya dengan perjanjian yang dilakukan oleh umat Islam hari ini dengan musuh Islam di mana kebanyakan perjanjian yang dibuat banyak menguntungkan kuffar di mana hanya umat Islam yang wajib mematuhi syarat perjanjian sedangkan kuffar boleh melanggar syarat itu bila-bila masa tanpa tindakan sewajarnya. Sebagai contohnya kita lihat kepada beberapa perjanjian damai antara Palestin dan Negara haram yahudi di mana perjanjian ini bukannya menghentikan keganasan sebaliknya lebih banyak tanah umat Islam di Palestin jatuh ke tangan yahudi dan lebih banyak nyawa menjadi korban keganasan zionis dunia itu. Kuffar hanya akan mengambil tindakan tegas terhadap umat Islam jika melanggar perjanjian yang dibuat sebaliknya yahudi dibiarkan mengganas sesukat hati melanggar perjanjian yang dibuat tanpa ada pembelaan termasuk daripada negara-negara umat Islam yang lain. Perjanjian yang dibuat bukannya menyelesaikan masalah yang berlaku sebaliknya menambahkan lagi penderitaan dan penghinaan terhadap umat Islam. Begitu juga dengan perjanjian yang terbaru bagi menubuhkan kerajaan Afghanistan yang dibuat di Jerman. Kita dapat lihat bagaimana ini semua adalah di bawah pengawasan kuffar yang mahu kerajaan yang dibina selepas ini akan memberi keuntungan kepada Amerika dan sekutu kuffarnya untuk mengaut hasil minyak dan galian yang ada di Afghanistan.

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

            Quraisy sememangnya telah menjangkakan kemaraan nabi dan para muslimin ke Mekah apabila permohonan utusan mereka sebelum ini tidak dihiraukan oleh nabi. Rasulullah s.a.w bersama 10 ribu para muslimin telah memasuki Mekah dalam keadaan tenang walau pun sebelum itu ada beberapa orang Quraisy cuba menentang tetapi berjaya ditangani oleh Khalid ibnu Walid dan beberapa orang tentera bersamanya. Rasulullah s.a.w telah bertindak menghancurkan 360 berhala yang berada di sekeliling Ka’abah sebagai simbol berakhirnya penyembahan berhala di sekitar Ka’abah serta melayan kesemua rakyat yang berada di Mekah dengan sebaiknya. Walau pun mereka sebelum ini telah menyiksa nabi dan umat Islam tetapi Rasulullah s.a.w telah memaafkan mereka serta memberi kebebasan kepada mereka. Ini menunjukkan bahawa Islam begitu menjaga keamanan dan tidak memperlakukan musuh berdasarkan dendam tetapi segala tindakan yang dibuat mestilah mengikut lunas yang telah digariskan oleh syarak. Islam bukan agama yang menyebarkan risalahnya melalui keganasan sebaliknya Islam merupakan agama yang cintakan keamanan dan kasih sayang. Malah umat Islam dilarang mencaci tuhan-tuhan yang dipercayai oleh orang bukan Islam apatah lagi menyerang mereka sesuka hati. Islam hanya membenarkan peperangan apabila kita diancam atau pun musuh tidak mahu tunduk kepada Islam yang adil lagi saksama. Islamlah nescaya kamu selamat.

Renungilah Firman Allah dalam ayat 4 surah al-Fathu  :

هو الذي أنزل السكينة في قلوب المؤمنين ليزدادوا إيمانا مع إيمــنهم  ولله جنود السمـوت والأرض وكان الله عليما حكيما

Maksudnya : Dialah (Allah) yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin suopaya keimanan mereka bertambah disamping keimanan yang telah ada. Dan kepunyaan Allah lah segala tentera langit dan bumi dan Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

15. PEPERANGAN BADAR AL-KUBRA

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 123 surah Ali Imran : ولقد نصركم الله ببدر وأنتم أذلة فاتقوا الله لعلكم تشكرون Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukuriNya. Sidang Jumaat yang berkati Allah, Kedatangan bulan Ramadhan untuk sekian kalinya disambut dengan penuh kesyukuran dengan berpuasa disiang harinya dan mendirikan malamnya dengan solat terawih dan sebagainya disamping membaca al-Quran serta berzikir bagi mendekatkan diri kepada Allah. Kedatangan Ramadhan bersama rahmat Allah dan keampunanNya disamping berlipat gandanya pahala dan juga anugerah lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Kedatangan Ramadhan juga mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang berlaku pada bulan ini yang boleh kita sama-sama renungi. Pada bulan ini telah menyaksikan berlakunya pembukaan Kota Mekah yang gemilang oleh Rasulullah s.a.w pada tahun 8 Hijrah, pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Aqsa daripada cengkaman Kerajaan Rom oleh pahlawan Islam Salehudin al-Ayyubi. Pada 17 Ramadhan sahaja kita dapat menyaksikan beberapa lagi peristiwa yang bersejarah iaitu pada tarikh ini telah turunnya wahyu yang pertama kepada Rasulullah s.a.w yang sewaktu itu berumur 40 tahun melalui malaikat Jibril ketika nabi sedang bermunajat di Gua Hira’. Pada Subuh pagi Jumaat 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah pula Sayyidina Ali bin Abi Talib telah ditikam oleh Ibnu Maljam ketika menuju ke masjid dimana tikaman itu telah terkena dibahagian kepala Sayyidina Ali. Tikaman dengan menggunakan senjata yang beracun ini telah menyebabkan Sayyidina Ali menghembus nafas yang terakhir pada malam Ahad 19 Ramadhan tahun 40 Hijrah ketika berumur 63 tahun. Sidang Jumaat yang dikasihi, Apa yang mahu ditekan pada hari ini ialah mengenai peristiwa peperangan Badar al-Kubra yang merupakan tapak kemenangan Islam dalam melebarkan penguasaan seterusnya. Peperangan Badar al-Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah di mana pada tahun ini juga Allah mewajibkan berpuasa sebulan Ramadhan. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang telah menuju ke Badar bertujuan untuk menyekat qafilah perniagaan Quraisy pimpinan Abu Sufian bin Harb yang baru pulang dari Syam menuju ke Mekah. Jumlah tentera Islam tidak begitu ramai kerana ia pada asalnya merupakan suatu operasi dalam menyekat qabilah tersebut dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak meramalkan akan berlakunya suatu peperangan terbuka yang besar dan bersejarah. Oleh itu ramai di kalangan sahabat tidak menyertai gerakan ini. Malangnya kemaraan tentera Islam telah diketahui oleh Abu Sufian melalui pengintip yang telah ditugaskannya lalu dia memerintahkan agar wakil qafilah untuk meminta bantuan daripada Kafir Quraisy di Mekah. Disamping itu Abu Sufian telah melalui jalan lain iaitu melalui pantai sehingga mereka berjaya menyelamatkan diri daripada bertembung dengan tentera Islam. Setelah itu dia menghantar utusan untuk bertemu Abu Jahal bagi menyatakan bahawa mereka telah selamat dan tidak memerlukan bantuan tentera lagi tetapi Abu Jahal dengan sombongnya menyatakan : “ Demi Allah! Kita tidak mahu pulang sekarang sehingga kita sampai di Badar. Kita berpesta di sana selama 3 hari, kita sembelih unta. Minum arak dan menyanyi sehingga seluruh bangsa arab mengetahui perhimpunan dan kedatangan kita. Maka kehebatan kita terus menerus dapat dilihat oleh mereka “. Rasulullah s.a.w ini telah mengetahui tentang qafilah Abu Sufian telah berjaya menyelamatkan diri disamping bala tentera kafir Quraisy yang besar iaitu seramai 1300 orang dan lengkap bersenjata telah tiba di Badar. Oleh itu tentera Islam tidak boleh mengelak lagi daripada bertempur kerana jika mereka berundur bererti kafir Quraisy akan mendapat kemenangan moral dari segi politik dan tentera serta mendapat kedudukan yang kuat di Semenanjung Arab dan memungkinkan mereka bermaharajalela sesuka hati. Walau pun dengan jumlah yang sedikit dan kelengkapan yang tidak mencukupi namun semangat jihad demi mempertahankan Islam terus membara dalam diri tentera Islam. Sidang Jumaat yang dikasihi, Selepas itu Rasulullah s.a.w telah membentuk 2 pasukan pengintip dalam meninjau kekuatan musuh. Pada malam itu Allah menurunkan hujan sebagai pertolongan kepada tentera Islam dan bencana kepada tentera musuh. Kemudian tentera Islam telah membina markaz disebuah tempat yang terletaknya mata air paling dekat dengan musuh di mana di situ mereka telah membina kolam disamping menimbus tempat-tempat air yang lain. Dengan cara ini musuh akan keputusan bekalan air. Kemudian Sa’ad bin Mu’adz telah mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w : “ Wahai Rasulullah! Saya cadangkan agar dibina tempat perlindungan untuk menjamin keselalamatan Rasulullah. Biar kami bertempur dengan musuh. Jika Allah mengurniakan kemenangan kepada kita dan kita dapat mengatasi musuh maka itulah yang sangat kami kehendaki. Sekiranya Allah mengkehendaki berlaku sebaliknya maka engkau tetap berada dalam keadaan selamat di tempat itu. Engkau boleh terus bersama dengan orang-orang yang masih ada dan mereka juga kasih kepadamu seperti kami juga. Jikalau engkau mahu meneruskan lagi peperangan, mereka sekali-kali tidak akan meninggalkanmu dan terus mempertahankanmu dengan sama-sama berjihad bersamamu”. Lalu para sahabat membina tempat untuk Rasulullah s.a.w di satu tempat yang tinggi yang membolehkan baginda memerhati ke arah medan pertempuran. Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak kerana keesokan harinya mereka akan bertempur dengan musuh Allah itu. Pada pagi Jumaat 17 Ramadhan, kedua-dua belah pihak bersedia untuk berperang di mana Rasulullah s.a.w sendiri telah menyusun sof tentera dengan susunan yang kemas dan rapi. Selepas itu Rasulullah s.a.w telah mengangkat tangan memohon pertolongan Allah. Antara doa baginda ialah : اللهم أنجزني ما وعدتني , اللهم آت ما وعدتني اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد “ Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini “ Pertempuran bermula dengan Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith, Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Ali mara untuk menentang tiga pemimpin Quraisy yang telah mencabar tentera Islam. Ketiga-tiga pahlawan Islam telah berjaya membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad. Selepas itulah berlakunya pertempuran di mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil tindakan bertahan di mana tentera musuh berjaya dilumpuhkan dengan kehilangan banyak jiwa. Dalam saat yang genting ini Rasulullah terus bermunajat kepada Allah sehingga kain yang disangkut dibahunya terjatuh di mana Sayyidina Abu Bakar yang melihat perkara ini terasa begitu sedih dan berkata kepada Rasulullah : “ Cukuplah wahai nabi Allah! “. Allah mengabulkan doa baginda dengan menghantar tentera malaikat. Pada peringkat kedua tentera Islam mula mengambil tindakan menyerang di mana serangan ini turut dibantu oleh tentera daripada kalangan malaikat di mana antara yang dapat disaksikan ialah bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Seorang tentera Islam yang sedang mengejar musuh tiba-tiba terdengar pukulan cemeti dari atas dan terdengar suara pahlawan berkuda. Seorang sahabat lagi dapat melihat bagaimana kepala musuh terputus sebelum pedangnya mengenai batang tengkuk musuh itu. Iblis yang menyerupai dirinya sebagai Suraqah bin Malik merasa gementar apabila melihat penyertaan malaikat. Dia terus lari dan terlanggar Al-Harith bin Hisyam sehingga rebah. Apabila ditanya mengapa dia cuba lari lalu dia menyatakan bahawa dia nampak apa tidak mampu dilihat oleh tentera kafir dan dia begitu takut kepada Allah yang amat pedih siksaanNya. Kemudian dia lari sekuat hatinya dan mencampakkan dirinya ke laut. Abu Jahal sendiri berjaya dibunuh apabila Mu’adz bin Amru telah merempuh lapisan lembing dan tombak yang mengelilingi Abu Jahal sehingga dia berjaya menetak di tengah betisnya. Tiba-tiba Ikramah anak Abu Jahal menetak ke leher pemuda itu lalu terkena tangannya sehingga hampir putus dan hanya tergantung dikulitnya sahaja. Dia meneruskan serangan terhadap Abu Jahal dengan mengheret tangannya yang terkulai di mana ketika terasa sakit lalu dia memijak tangan itu dengan kakinya supaya putus. Kemudian Mu’adz berjaya menetak Abu Jahal sehingga hampir maut. Abdullah bin Mas’ud yang mencari-cari Abu Jahal telah menjumpainya lalu terus memancung lehernya di mana kepalanya telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menyatakan bahawa inilah dia Firaun umat ini. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Peperangan yang bersejarah ini berakhir dengan kemenangan yang nyata kepada tentera Islam di mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala 14 orang tentera Islam telah gugur syahid. Kemenangan ini terus diberitahu kepada penduduk Madinah melalui 2 orang utusan yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w bagi menafikan berita bohong yang disampaikan oleh puak munafik dan yahudi yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Berita kemenangan ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan yang menjadi lambang kepada keagungan Islam yang bakal menguasai dunia. Mereka bertakbir dan bertahlil menyambut berita ini dan ada para sahabat yang terkemuka yang tinggal di Madinah telah menuju ke Badar bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Rasulullah s.a.w. Manakala Sayyidina Othman pula mendapat berita gembira ini ketika sedang mengkebumikan jenazah anak Rasulullah s.a.w Ruqayyah yang baru meninggal dunia. Kemenangan ini telah meletakkan Islam agama yang tertinggi dan umat Islam menjadi bangsa yang kuat bukan lagi sebagai mangsa penindasan para kuffar. Semoga semangat jihad Badar ini akan membakar semangat kita dalam memastikan Islam menjadi agama yang memerintah bukannya agama yang diperintah. Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Anfal : إذ تستغيثون ربكم فاستجاب لكم أني ممدكم بألف من الملائكة مردفين Maksudnya : Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankannya bagimu. Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

29. RAMADHAN PENYEMARAK SEMANGAT JUANG

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    183   سورة البقرة :

يأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

            Ketibaan Ramadhan buat sekian kalinya mestilah disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Kedatangan Ramadhan dengan pelbagai kelebihan bersama dengan keampunan dan penggandaan pahala yang akan dianugerahlan kepada hamba Allah yang beramal soleh dan bertaqwa memang sentiasa ditunggu-tunggu. Ketibaan Ramadhan bersama dengan terbuka luasnya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka disamping dirantainya para syaitan yang banyak melakukan godaan dalam menyeret manusia ke lembah kehinaan mestilah disambut dengan penuh kegembiraan dengan kita sama-sama meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah ke arah melahirkan diri sebagai orang yang bertaqwa kepada Allah. Kita tidak mahu menjadi golongan yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w di mana betapa ramai umat yang membaca al-Quran tetapi al-Quran melaknatnya dan betapa ramai umat yang berpuasa tetapi tidak mendapat sesuatu ganjaran daripada Allah melainkan lapar dan dahaga. Oleh itu kita mestilah mempunyai persiapan yang cukup dengan ilmunya dan juga semangat di dalam melawan pujukan hawa nafsu agar ibadat kita bertambah baik dari hari ke hari. Jadikanlah Ramadhan yang tiba ini sebagai medan mujahadah diri ke arah mendekatkan lagi diri kita kepada Allah dengan mengusir segala penghalang yang selama ini menghalang kita dalam mencapai tujuan tersebut.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Tunaikanlah kewajipan puasa dengan sebaiknya agar matlamat untuk lahir sebagai insan yang bertaqwa dapat diperolehi demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w:

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akn diampuni segala dosanya yang telah lalu

            Sebagai seorang hamba yang sentiasa melakukan ibadat kerana Allah serta sentiasa berusaha bagi mendekatkan diri kepada Allah maka pengampunan dosa merupakan salah suatu anugerah yang besar disamping pengggandaan pahala kerana dosalah yang menyebabkan diri kita terhalang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan dosa juga sebagai suatu perkara yang menyebabkan kita terpesona dengan pujukan dunia sehingga melalaikan hati kita daripada mengingati Allah. Semoga kedatangan Ramadhan kali ini mampu memberi perubahan yang besar kepada diri kita dalam menambahkan amal soleh dan juga meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah sehingga diri kita mampu lahir sebagai pejuang yang mampu berjuang melawan nafsu dan segala halangan dunia demi mencapai keredhaan Allah.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Kita di negara ini masih diberi peluang oleh Allah untuk hidup dalam keadaan aman dan mudah untuk melakukan amal ibadat. Kita di sini banyak diuji dengan serangan nafsu di mana ada yang berjaya melepasinya sehingga lahir sebagai insan mulia yang sentiasa mengingati Allah sepanjang masa dan tidak kurang yang kecundang sehingga menjadi hamba nafsu yang hina. Oleh itu kita hendaklah menggunakan masa yang senang ini untuk memperbanyakkan lagi amal ibadat kita dan janganlah kita mensia-siakannya yang akan menyebabkan kita akan menyesal kemudian hari. Kita tidak lupa kepada nasib saudara kita di beberapa negara yang lain seperti Palestin, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Selatan Filiphina dan lainnya di mana buat sekian kalinya mereka menyambut kedatangan Ramadhan buka sahaja untuk berhadapan dengan serangan nafsu yang bergelora tetapi terpaksa juga untuk berhadapan dengan keganasan musuh Islam yang sentiasa memburu mereka setiap masa. Kita di sini setelah menunaikan ibadat puasa selama beberapa jam yang tertentu maka kita dapat bergembira apabila berbuka di mana kita dapat menjamah hidangan yang lazat bersama keluarga tercinta mengikut kemampuan yang ada sedangkan saudara kita seagama yang sedang diperangi maka mereka bukan sahaja tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi untuk berbuka malah kadang-kadang mereka berbuka di tengah-tengah tembakan dan bedilan musuh. Saudara kita seagama bagaikan hidangan makanan yang sedang sedia dimamah oleh kuffar yang kelaparan. Pada malam hari pula kita di sini dapat keluar ramai-rami memenuhi masjid dan surau bagi solat terawikh berjemaah sedangkan saudara kita itu diterus diburu kebimbangan di mana senjata musuh sentiasa mencari sasaran untuk membunuh mereka.

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

            Ramadhan juga adalah lambang kemenangan dan kegemilangan umat Islam. Kita sentiasa ingat bahawa umat Islam silam pernah berperang pada bulan Ramadhan di mana kebanyakan peperangan yang berlaku pada bulan Ramadhan dimenangi oleh umat Islam sebagaimana peperangan Badar al-Kubra, Pembukaan Baitul Maqdis, Pengusiran kekuatan yahudi dari Sinai, Mesir dan sebagainya. Berpuasa bukanlah bermakna melemahkan semangat umat Islam tetapi ia lebih menyemarakkan lagi semangat jihad yang sedia ada bagi memastikan agama Islam terus disanjung tinggi. Ramadhan bukan sahaja bulan di dalam mengalahkan nafsu yang bergelora tetapi ialah bulan kemenangan dalam melawan musuh Allah yang sentiasa melawan kita. Semoga sinar Ramadhan kali ini membawa sinar kemenangan kepada seluruh umat Islam dengan syarat mereka kembali bersatu di bawah payung Islam. Semoga air mata yang mengalir selepas ini bukan lagi air mata simpati terhadap pembunuhan yang berlaku terhadap umat Islam secara silih berganti tetapi biarlah air mata yang mengalir selepas ini merupakan air mata kegembiraan bagi menyambut kemenangan gemilang yang bakal dianugerahkan oleh Allah kepada pejuang yang ikhlas berjuang. Cukuplah penderitaan di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Filiphina dan sebagainya. Jadikanlah kedatangan Ramadhan kali ini sebagai medan yang akan menjanakan kemenangan dalam melawan nafsu dan mengalahkan kuffar yang sentiasa memerangi kita tanpa jemu. Gunakanlah peluang yang ada ini untuk meluaskan lagi usaha dakwah sehingga kita mampu melahirkan lebih ramai kawan daripada lawan. Sesungguhnya manusia itu akan memusuhi apa yang dia jahil tentang perkara itu.

Renungilah Firman Allah dalam ayat 26 surah an-Nahlu  :

قد مكر الذين من قبلهم فأتى الله بنيــنهم من القواعد فخر عليهم السقف من فوقهم وأتئهم العذاب من حيث لايشعرون

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orag sebelum mereka telah melakukan perancangan maka Allah menghancurkan bangunan-bangunan mereka dari asas-asas binaaannya lalu bumbung bangunan itu jatuh menimpa mereka dari atas dan datanglah azab itu kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

83. KAYA AGAMA DAN HARTA CIRI MUKMIN JAYA

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله دالم آية  1 – 5     المؤمنون :

قد أفلح المؤمنون الذين هم فى صلاتهم خـــشعون والذين هم عن اللغو معرضون والذين هم للزكـــوة فـــعلون  والذين هم لفروجهم حـــفظون .

Maksudnya : Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang memelihara  kemaluannya.

            Kita kini berada di hari-hari dan malam-malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan berkat ini. Oleh itu kita jangan sama sekali melepaskan peluang yang masih ada ini untuk terus meningkatkan lagi amal ibadah kita disamping menjauhi segala maksiat. Terutama malam ini kita berada pada malam ke 27 daripada malam Ramadhan yang kebiasaannya jika kita lihat di beberapa negara terutama negara arab di mana mereka menjadikan malam 27 sebagai malam pesta ibadat dengan harapan berkebetulan dengan Lailatul Qadar. Sewajarnya kita turut menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan ini terutama pada malam-malam ganjil agar kelebihan Lailatul Qadar dapat dicapai serta ia tidak berlalu begitu sahaja sedangkan kita tidak cuba untuk merebutnya akibat terleka dengan persiapan hari raya.

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Carilah malam lailatul qadar pada malam ganjil daripada malam-malam sepuluh akhir daripada Ramadhan.

            Kelebihan Lailatul Qadar memang telah jelas kepada kita dan ia datang dalam suasana umat Islam berada diambang  menyambut ketibaan hari raya. Bagi umat Islam yang kuat iman serta istiqamah dalam ibadat maka persiapan hari raya tidak mengganggu amal ibadatnya dalam menghidupkan seluruh malam Ramadhan terutama Lailatul Qadar. Tetapi bagi umat Islam yang tidak mempunyai ketahanan diri dalam melawan nafsu maka peluang yang ada lebih banyak disia-siakan sehingga kelebihan Lailatul Qadar tidak memberi makna kepada dirinya.  Inilah antara ujian Allah terhadap umatnya di mana Dia datangkan Lailatul Qadar ketika umat Islam sibuk membuat persiapan hari raya bukan pada awal Ramadhan sehingga ada yang berjaya menghadapinya dan tidak kurang mereka yang kecundang sehingga hari-hari dan malam-malam terakhir Ramadhan banyak dihabiskan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada menambahkan ibadat. Ini ditambah lagi dengan tindakan media massa yang lebih banyak menceritakan tentang kemeriahan hari raya daripada memperingatkan tentang Ramadhan dan Lailatul Qadar.

Ingatlah sabda nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Jabir :

قَالَ الرَّسُوْلُ : إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَتَخَوَّفُ عَلَى أُمَّتِي الَهَوى وَطُوْلُ الأمَلِ فَأَمَّا الَهَوى فَيَصُدُّ عَنِ الحَقِّ وَأَمَّا طُوْلُ الأمَلِ فَيُنْسِئُ الآخِرَةَ وَهذِهِ الدُّنْيَا مُرْتَحِلَةٌ ذَاهِبَةٌ وَهذِهِ الآخِرَةُ مُرْتَحِلَةٌ قَادِمَةٌ وَلِكُلِّ وَاحِدَةٍ مِّنْهُمَا بَنُوْنَ فَإِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ لاتَكُوْنُوْا مِنْ بَنِي الدُّنْيَا فَافْعَلُوْا فَإِنَّكُمُ اليَوْمَ فِى دَارِ العَمَلِ وَلاحِسَابَ وَأَنْتُمْ غَدًا فِى دَارِ الآخِرَةِ وَلاعَمَلََ

Maksudnya : Sesungguhnya perkara yang sangat aku bimbang terrhadap umatku ialah hawa nafsu dan panjang cita-cita. Ini adalah kerana hawa nafsu itu menghalang daripada menerima kebenaran dan panjang cita-cita pula akan melupakan hari akhirat. Ingatlah bahawa dunia ini pada setiap saatnya berlalu pergi dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang sedangkan setiap satu-satunya ada orang yang kasih dan setia kepadanya. Jika kamu mampu agar tidak menjadi hamba dunia maka lakukanlah kerana kamu pada hari ini berada di kampung dunia yang ada padanya peluang untuk kamu beramal dan belum ada sebarang hisab sedangkan kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tiada lagi peluang bagi berbuat sebarang amal.

 

 

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Ketika umat Islam  sedang bertarung dengan nafsu semasa menunaikan ibadat puasa maka Allah datangkan suatu lagi kewajipan yang memperlihatkan bagaimana sempurnanya ajaran Islam yang bukan sahaja melibatkan ibadat badan seperti solat, puasa malah Islam turut memberi tumpuan kepada ibadat harta antaranya kewajipan zakat. Ini menunjukkan secara jelas bagaimana Islam bukan agama pertapaan dan ibadat khusus semata-mata tetapi ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk ekonomi. Sistem zakat merupakan antara latihan jihad bagi melatih diri untuk berkorban apa sahaja demi menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumiddin menyatakan bagaimana harta merupakan sesuatu yang dicintai oleh manusia yang menyebabkan kurang cintanya kepada Allah. Oleh itu bagi menambahkan kembali cintanya kepada Allah maka seseorang itu mesti mengorbankan harta dunia termasuk melalui zakat dan sedekah. Sistem zakat begitu jauh bezanya dengan sistem cukai memandangkan ia mempunyai syarat tertentu dan diagihkan pula kepada golongan tertentu. Sistem zakat jika ditunaikan oleh seluruh umat Islam yang layak serta diurus dengan baik maka ia banyak membantu perkembangan ekonomi umat Islam. Sebagai contohnya jika seluruh umat Islam di negara ini menunaikan zakat fitrah disamping sesiapa yang terlibat zakat yang lain begitu juga dengan syarikat perniagaan seperti Petronas jika ia mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya membayar zakat bagi keuntungan daripada aktiviti perniagaan dan carigali minyak dan gas syarikat itu maka semakin ramai umat yang layak menerima zakat dapat dibantu. Sepatutnya melalui zakat maka umat Islam lebih terkehadapan kerana banyak masalah dapat diselesaikan termasuk menangani masalah pergantungan umat Islam yang berhutang melalui sistem riba termasuk ceti haram atau along. Kita dapat lihat bagaimana agama lain seperti Hindu, Budha dan Kristian dapat menggunakan dana mereka untuk menyebarkan agama mereka sedangkan umat Islam yang mempunyai kekuatan ekonomi melalui kewajipan agama termasuk zakat tidak dapat bergerak seligat mereka. Apa yang salah adalah sikap umat Islam dalam menguruskan zakat bukannya salah ajaran Islam yang mewajibkan zakat.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Kemiskinan sering dikaitkan dengan kekufuran akibat terlalu berhajatnya golongan ini kepada bantuan telah menyebabkan mereka terlibat dengan perkara yang merosakkan aqidah seperti murtad setelah menerima rasuah daripada pihak Kristian. Malah pihak Kristian sejak dahulu lagi berusaha membeli umat Islam terutama daripada keluarga miskin atau anak luar nikah yang dibuang dan kemudiannya diasuh di pusat pengajian mereka dengan asuhan Kristian sehingga anak itu dikeluarkan sama bangsa dengan umat Islam tetapi berlainan agama yang menyebabkan gerakan Kristian lebih lancar dan mengelirukan. Akibat miskin harta dan miskin iman maka umat Islam sanggup terlibat dengan perkara yang ditegah oleh agama termasuk rasuah. Kita melihat bagaimana kes rasuah melibatkan seludup kereta sahaja sudah begitu parah apatah lagi dalam perkara lain. Cuma apa yang kita harapkan dalam membasmi amalan jenayah rasuah maka bukan setakat anak bilis yang ditangkap berkas sedangkan jerung yang menjadi dalang terus lepas bebas.

Namun kita juga perlu ingat bahawa kekayaan juga boleh membawa kepada kekufuran akibat miskin iman. Jika kita perhatikan dalam negara kita sendiri maka kita dapati lebih ramai di kalangan pemimpin kaya yang menentang Islam daripada golongan rakyat miskin . Malah golongan kaya ini juga terus mahu melihat rakyat miskin ini terus bergantung kepada mereka bagi memastikan takhta dan harta mereka terjamin. Kita ingat bagaimana suatu ketika semasa tentera Islam berjaya menawan Parsi dan merampas Istana Putih dengan jumlah harta rampasan perang yang begitu banyak lalu dibawa pulang ke Madinah dan dilonggokkan di hadapan Khalifah Sayyidina Umar al-Khottab.  Melihat timbunan harta itu lalu Sayyidina Umar menangis kerana terlalu bimbang umat Islam selepas ini akan hancur disebabkan harta bukannya disebabkan musuh dari golongan kuffar yang nyata.

Kita lihat bagaimana golongan pemimpin kaya sentiasa memburukkan Islam. Akibat merasakan bahawa harta adalah segalanya maka banyak suruhan serta tegahan agama diketepikan. Perundangan Islam seringkali dikaitkan dengan kezaliman yang boleh menyebabkan pelabur akan takut sedangkan dalam laporan Parlimen negara menunjukkan bahawa negeri Terengganu yang begitu bertegas mahu melaksanakan Hudud dan Qisas menjadi negeri yang paling tinggi kadar kemasukan kepada pelaburan. Sebenarnya orang kaya harta tapi miskin agama begitu bimbang kepada perundangan Islam yang boleh menggugatkan kedudukan takhta dan harta terutama jika ia diperolehi dengan cara yang bercanggah dengan Islam. Oleh itu tingkatkan usaha kita dalam memastikan kita menjadi umat yang kaya harta dan agama ke arah meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini. Semoga tarbiah puasa Ramadhan dan zakat fitrah dapat meletakkan kita antara 7 golongan yang bakal diteduhkan di bawah bayangan ‘arasy Allah di hari akhirat nanti terutama sebagai golongan yang sentiasa terikat hatinya dengan masjid, golongan yang sentiasa suka bersedekah sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya dan golongan yang sentiasa ingat kepada Allah dalam keadaan sunyi lalu menitislah air mata dari kedua matanya

Ingatlah Firman Allah dalam ayat 44 surah al-An’am :

فلما نسوا ما ذكروا به فتحنا عليهم أبوب كل شيء حتى إذا فرحوا بما أوتوا أخذنــهم بغتة فإذاهم مبلسون

Maksudnya : Maka apabila mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka lalu Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami siksa mereka dengan tiba-tiba.Maka ketika itu mereka terdiam putus asa

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Nuzul al-Quran DiHayati Tamadun Islam Diraih Kembali

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1 -5 surah al-‘Alaq :
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Maksudnya : Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Hari ini kita berada pada tanggal 17 Ramadhan yang merupakan tarikh keramat yang pernah menyaksikan turunnya wahyu pertama kepada nabi Muhammad s.a.w ketika sedang berkhalwat munajat kepada Allah di gua Hira’. Penurunan wahyu ini sebagai tanda pengiktirafan nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul yang akan mengermbangkan dakwah Islam ke seluruh alam. Al-Quran merupakan mukjizat terbesar untuk nabi Muhammad s.a.w yang kekal hingga hari qiamat di mana ia memperlihatkan bagaimana kehebatan dan kebijaksanaan nabi Muhammad s.a.w yang terkenal sebagai seorang ummi tidak tahu membaca dan menulis tetapi mampu mengingati al-Quran setiap kali ia diturunkan dengan baik. Sifat tidak tahu membaca dan menulis yang ada pada nabi Muhammad s.a.w bukan untuk melemah dan merendahkan martabat nabi sebaliknya sebagai bukti jelas bahawa al-Quran bukannya kitab rekaan dan hasil penulisan nabi sendiri sebagaimana yang didakwa oleh penentangnya. Malah pada zaman jahiliah setiap penyair hebat akan menyembunyikan tentang status pembelajarannya bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa kehebatannya menulis syair adalah kerana kepintarannya sendiri bukan disebabkan dia belajar dari mana-mana guru sebelum ini. Mukjizat al-Quran akan lebih terserlah kehebatannya apabila umat Islam kembali membacanya serta menjadikannya sebagai rujukan utama dalam kehidupan seharian.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
Umat Islam hari ini kian ketinggalan dalam serba-serbi khususnya aspek ilmu pengetahuan sedangkan umat Islam dulu yang menjadi pelopor dan peneroka menggali pelbagai ilmu sehingga mencetuskan era keemasan dunia Islam. Seruan iqra sudah longgar daripada penghayatan sanubari Mukmin. Yang tinggal hanya semangat mengejar ilmu ketika di bangku sekolah atau di universiti. Penekanan pula berlegar kepada hendak lulus peperiksaan dan mendapat segulung ijazah sahaja. Jika melihat kembali sejarah tamadun Islam peringkat awal, aktiviti mencari ilmu sama ada melalui pembacaan buku atau penyelidikan menjadi sebati dan satu kemestian. Masa banyak dijuruskan kepada bagaimana merungkai sesuatu permasalahan hidup sehingga menemui ilmu pengetahuan baru sekali gus menerbitkan semangat mengkaji yang tinggi. Keupayaan daya kreativiti dan amalan budaya inovasi juga adalah senario umat Islam terdahulu. Kini, minda umat Islam seakan-akan lumpuh. Mereka tidak berupaya bangun menggilap kembali semangat mencari ilmu pengetahuan. Generasi muda Islam hari ini lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti tidak bermanfaat. Ramai hanyut dengan anasir hiburan melampau, aktiviti merempit sehingga merimaskan masyarakat awam, penyalahgunaan dadah terlarang dan pelbagai gejala buruk lain. Keadaan ini akan merencatkan pembangunan minda umat Islam. Tidak mustahil kita akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan moden dunia. Kadar pembacaan yang rendah akan membeku tahap pemikiran untuk membina suatu umat perkasa daripada segi kehebatan tamadun. Malah statistik kadar celik huruf dan buta huruf di negara umat Islam masih begitu menyedihkan tidak setanding dengan negara bukan Islam. Kelemahan ini kadang-kadang membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk menuduh negara Islam adalah lambang kemunduran, tempat membiak masalah sosial yang banyak dan pelbagai tuduhan liar yang lain. Sempena berada pada bulan Ramadhan bulan turunnya al-Quran maka marilah kita sama-sama kembali memperkasakan budaya ilmu di dalam mengembalikan semula tamadun rohani dan kebendaan yang pernah diraih oleh generasi emas sebelum ini. Ingatlah pesan Saidina Ali bin Abi Talib: “Bukanlah suatu kebaikan jika milikmu hanyalah anak dan harta saja, tetapi kebaikan yang sebenarnya ialah banyak ilmu pengetahuan.”Pesan beliau lagi: “Orang berilmu lebih utama daripada orang selalu berpuasa, bersolat dan berjihad. Apabila mati orang berilmu maka terjadi suatu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain oleh penggantinya (yang berilmu juga).” Tidak lupa pesanan Imam Syafie : “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan nabi, rasul dan orang soleh.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”
Selagi sistem al-Quran disisih daripada menjadi ubat mujarab yang menyembuh masalah kronik dalam masyarakat maka selama itulah masalah semakin bertambah parah. Masalah pembuangan bayi misalnya yang terus meningkat akibat pintu zina yang terbuka luas terutama mendapat lesen dan kebenaran daripada kerajaan sendiri seperti kelab malam, program hiburan melampau, majalah dan rancangan tv perosak akhlak. Malah banyak hari sambutan peristiwa besar seperti malam merdeka, tahun baru, hari kekasih seolah-olah menjadi ‘malam mengawan’ untuk melahirkan anak luar nikah 9 bulan selepas itu. Malah program Latihan Khidmat Negara yang dikatakan mula menerapkan cara menjauhi masalah sosial belum tentu akan berjaya sekiranya masalah pergaulan bebas antara peserta terus berlaku malah digalakkan lagi. Akhirnya anak-anak remaja yang selama ini terjaga akhlaknya dirosakkan pemikiran dan cara pergaulan dalam masa 3 bulan sahaja. Kita bimbang sekiranya sebelum ini tumbuhnya universiti sama naik dengan terpaksa dibina pusat serenti akibat dadah. Selepas ini dibina sekolah pelajar hamil sama banyak dengan kelab malam yang berlesen sekiranya ia digubal berdasarkan fahaman sekuler yang memisahkan antara agama dan kehidupan. Bila punca masalah dibiar berlaku, hanya penyakit yang telah parah sahaja yang cuba dirawat maka ia tidak menyelesaikan masalah. Bila jenayah zina dianggap tidak salah sebaliknya mengandung hasil zina barulah dikira salah maka masalah semakin bertambah. Sebelum ini telah wujud pusat penjagaan perempuan yang bermasalah ini di mana jumlahnya semakin bertambah bukan berkurang. Kita tidak mahu menjadi sebagaimana negara barat di mana anak-anak zina ini dijaga oleh kerajaan kemudian kebanyakan mereka diserapkan sebagai tentera bila dewasa. Akhirnya masalah zina bertambah, anak luar nikah bercambah, kewangan negara terpaksa dihabiskan untuk merawat penyakit yang tidak kebah-kebah. Mengapa wang negara lebih banyak dihabiskan untuk merawat penyakit yang telah parah berbanding digunakan untuk membina nilai kemanusiaan dan menutup pintu zina. Oleh itu kembalilah kepada panduan al-Quran di mana jika orang bukan Islam tidak faham malah menentang hukum al-Quran bukan suatu yang pelik. Apa yang pelik dan menyedihkan ialah apabila umat Islam sendiri jahil tentang hukum Islam dan bangkit menentang pelaksanaannya. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Jahiliah bukan ubat sebaliknya racun berbisa yang merbahaya

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Tarbiah Ramadhan yang sedang kita lalui sepatutnya melahirkan kita sebagai umat yang begitu yakin dengan sistem al-Quran. Tarbiah Ramadhan sepatutnya menyuburkan lagi perasaan mengambil berat tentang penderitaan saudara segama yang lain terutama di Palestin, Iraq, Afghanistan, Selatan Thailand yang dilanda peperangan dan Pakistan yang dilanda banjir besar di samping negara-negara yang lain. Ketika berdepan dengan kekejaman musuh terutama Yahudi maka umat Islam mesti bergerak bersama dalam setiap sudut termasuk ekonomi. Kita wajib menyokong usaha murni Kerajaan Negeri Kelantan yang melangkah yakin memperkenalkan mata wang syariah dinar dan dirham yang sepastinya suatu yang disuruh oleh al-Quran. Yahudi terus dapat menjajah dan memperbodohkan kita sekiranya kita terus yakin dan menggunakan wang kertas ciptaan mereka. Ramai pakar ekonomi dunia berhujah sistem kewangan dunia berasaskan wang kertas berlandaskan riba telah membawa kepada banyak kerosakan termasuk kemiskinan, kerosakan alam sekitar, monopoli pengeluaran, pengangguran, jenayah, maksiat dan kejatuhan moral. Kapitalis begitu bimbang sekiranya dunia kembali kepada Dinar Emas yang stabil berbanding duit kertas yang kita simpan akan menyusut dengan teruk pada suatu ketika nanti sehingga nilai seribu ringgit selepas ini mungkin tidak dapat membeli apa-apa lagi. Inilah kehebatan sistem al-Quran yang bertujuan untuk kebaikan manusia sedangkan sistem Yahudi dari dulu lagi diperkenalkan untuk memeras dan menindas manusia. Pilihlah sama ada cara hidup Islam yang hendak diguna atau terus berseronok untuk menjadi hamba abdi Yahudi seumur hidup. Islam membawa kebahagiaan dunia akhirat manakala cara lain tidak mampu memberi sesuatu kepada kita melainkan kerugian dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ
Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,093 other followers