• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

AidilFitri DiRai, Syariat DiHayati, Kasih Sayang Bersemi


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 57-58 surah Yunus :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّ‌بِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ‌ وَهُدًى وَرَ‌حْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ﴿٥٧﴾ قُلْ بِفَضْلِ اللَّـهِ وَبِرَ‌حْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَ‌حُوا هُوَ خَيْرٌ‌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ ﴿٥٨﴾
Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal
Alhamdulillah pujian syukur kita panjatkan ke hadrat Allah yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat berhari raya. Jika pada tadi kita sama-sama berkumpul untuk menunaikan solat sunat Aidil Fitri serta mendengar khutbah raya yang datang setahun sekali maka pada tengahari ini kita berkumpul sekali lagi untuk perhimpunan seminggu sekali bagi sama-sama mendengar khutbah seterusnya menunaikan solat Jumaat. Ini memberi isyarat bagaimana Islam mementingkan hidup berjemaah dan umatnya sentiasa berada dalam majlis ilmu agar setiap tindakannya menjadi ibadat dan jauh daripada dosa maksiat. Bila hilangnya sikap mementingkan diri sendiri akan mewujudkan masyarakat yang saling bantu membantu atas kebaikan dan menolak sebarang kejahatan. Begitu juga bila suburnya budaya suka menimba, mengembang dan mengamal ilmu dalam kehidupan akan membawa diri, keluarga, masyarakat seterusnya Negara ke arah kecemerlangan dari segi kebendaan dan kerohanian. Kejahilan meletakkan manusia bersikap lebih dahsyat daripada binatang sehingga melanggar batas syarak tanpa rasa malu dan bersalah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kesedihan dengan berlalunya Ramadhan tidak akan dapat dirasai kecuali oleh mereka yang benar-benar dapat menghayati tarbiah Ramadhan. Ini ibarat seorang tuan rumah yang menerima kunjungan daripada tetamu istimewa yang membawa pelbagai perkara yang diidamkan di mana tuan rumah akan berasa sedih dengan pemergian tetamu yang istimewa itu serta merasa risau sekiranya tetamunya itu tidak mendapat layanan yang terbaik sepanjang kunjungannya walau pun tuan rumah dengan sedaya upaya telah melakukan apa yang terbaik. Begitulah kita dengan Ramadhan di mana kita perlu merasa bimbang sekiranya penghayatan kepada tarbiah Ramadhan lepas tidak digunakan sebaik mungkin sehingga matlamat dalam melahirkan hamba Allah yang taqwa gagal dicapai.
Renungilah kata pujangga :
لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ لَبِسَ الجَدِيْد، إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ طَاعَتُهُ تَزِيْد. لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ تَجَمَّل بِاللِّبَاسِ وَالمَرْكُوْب، إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ غُفِرَتْ لَهُ الذُّنُوْب. لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ حَازَ الدِّرْهَم وَالدِّيْنَار إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ أَطَاعَ العَزِيْزَ الغَفَّار
Maksudnya : Bukanlah hari raya itu bagi orang yang hanya berpakaian baru nan indah sebaliknya hari raya itu bagi orang yang ketaatannya terus bertambah. Bukanlah hari raya itu bagi yang berhias dengan pakaian anggun dan kenderaan bersusun sebaliknya hari raya itu bagi orang yang dosa-dosanya diampun. Bukanlah hari raya itu bagi yang memperolehi wang dinar juga dirham yang bertimbun sebaliknya raya itu bagi orang yang mentaati Allah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Hujuraat:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ‌ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَ‌فُوا ۚ إِنَّ أَكْرَ‌مَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ‌ ﴿١٣﴾
Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)
Kedatangan 1 Syawal pada hari ini disambut dengan penuh kegembiraan dan keceriaan. Sambutan hari raya kita lebih bermakna bila diisi dengan adab Islam serta menjauhi sebarang unsur maksiat terutama mendedah aurat, pergaulan bebas, pembaziran, hiburan melampu dan sebagainya. Jadikan hari raya sebagai hari menambah pahala bukan hari menambah dosa maksiat. Antara perkara utama yang mesti disuburkan sempena menyambut hari raya ialah Idkhal as-surur bermaksud memasukkan rasa senang hati atau gembira kepada orang lain merupakan suatu amalan nabi s.a.w. Kita tidak mahu akibat pengaruh teknologi termasuk telefon pintar antara menghanyutkan manusia dalam dunia maya sehingga hubungan bersosial secara berdepan termasuk saling menziarahi semakin renggang. Antara golongan yang kita perlu berikan rasa gembira ialah :
[1] Kedua ibubapa iaitu dengan menunjukkan sikap hormat serta kasih terhadap mereka berdua, bukan kerana dengan kedatangan Syawal, malah sepanjang masa, kerana dengan sikap positif itu akan menggembirakan hati mereka dan tidak jadi masalah bagi mereka merestui setiap tindakan yang terbit dari diri anak-anak.
[2] Adik-beradik di mana sikap saling hormat-menghormati antara adik-beradik akan melahirkan rasa suka, mesra, kasih, dengan erti kata yang tua mengasihi yang muda dan yang muda menghormati dan mengasihi yang lebih tua.
[3 Sanak saudara dan kaum kerabat dengan menziarahi bapa serta ibu saudara, sepupu dan sebagainya dengan penuh erat khususnya pada hari raya, akan menambahkan keutuhan kekeluargaan, kerana apabila seseorang itu menziarahi bapa saudaranya pada hari raya sebagai contoh, dia tidak akan ditanya kenapa dia datang, berbanding dengan hari biasa. Kesempatan bertemu perlu dimanfaatkan dengan memohon kemaafan
[4] Jiran tetangga dan sahabat handai di mana ia boleh dibuktikan dengan saling bermaafan, bertukar-tukar juadah hari raya untuk sama-sama rasa masakan masing-masing, menyahut undangan untuk ke rumah mereka dan mengundang mereka ke rumah kita. Kerana menyahut undangan mereka walaupun kesibukan dengan kunjungan dan sebagainya, akan membahagiakan tuan rumah yang rasa bangga dengan kehadiran, maka akan tercapailah maksud kegembiraan pada hari raya, ia tidak perlu menunggu apabila ada anjuran rumah terbuka sahaja.
[5] Golongan kanak-kanak di mana mereka adalah golongan yang sentiasa berterima kasih terhadap apa yang mereka terima dari tuan rumah, apatah lagi mereka digembirakan dengan pemberian duit raya yang menjadi budaya. Semoga budaya memberi duit raya membawa kepada budaya positif iaitu sifat suka memberi bukannya melahirkan umat material yang memikirkan setiap perkara hanya berdasar kepentingan kebendaan termasuk ziarah menziarahi untuk mendapat benda bukan menyebar kasih sayang dan peluang mempertautkan lagi silaturrahim.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Suatu kajian menyatakan bahawa sesuatu perbuatan yang sentiasa dibuat berulangkali boleh menimbulkan perasaan untuk terus melakukannya bila berjaya dihayati. Oleh itu marilah sama-sama kita berdoa agar segala amalan soleh yang dibuat sepanjang Ramadhan lalu terus dapat dikekalkan pada 11 bulan yang lain. Kita tidak mahu melihat masjid atau surau kembali kosong daripada jemaah, al-Quran kembali tersusun kemas sebagai perhiasan tidak dibaca, tangan kedekut untuk menghulur derma, solat dan puasa sunat jarang dibuat lagi. Antara cara untuk melatih diri kita untuk terus istiqamah dengan amal soleh ialah dengan menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal sebagai menyahut kelebihannya seperti sabda nabi s.a.w :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ – رواه مسلم
Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا – رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tarbiah puasa Ramadhan dan kewajipan berzakat antara tujuannya ialah untuk melahirkan umat yang mempunyai rasa kasih sayang yang tinggi sesame manusia dan juga makhluk Allah yang lain. Tanpa rasa kasihan belas menyebabkan banyak berlakunya kezaliman, penderaan, khianat dan pelbagai penyakit jenayah yang lain. 2 bulan lepas kita dikejutkan dengan penemuan ratusan kubur kebanyakannya pelarian Rohinya di sempadan Malaysia-Thailand akibat pemerdagangan manusia. Kes seorang ibu yang sanggup membunuh bayinya yang dikerat 15 diikuti dengan penderaan terhadap anak sendiri pada awal Ramadhan lepas. Akibat hilangnya sifat kemanusian juga menyaksikan berlakunya pembunuhan terhadap rakyat sendiri sebagaimana di Mesir, Syria, Iraq dan sebagainya. Begitu juga Negara Islam menyerang Negara Islam yang lain sebagaimana di Yaman sedangkan dalam masa yang sama mereka boleh berbaik dengan zionis yahudi untuk terus membunuh umat Islam di Palestin. Ingatlah beberapa peringatan nabi s.a.w terhadap mereka yang hilang sifat kasihan belas terutama sesama saudara seagama.
Dari Jarir bin Abdullah radhiallahu anhuma dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda
لَا يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ – رواه البخاري.
Maksudnya : Allah tidak akan menyayangi siapa saja yang tidak menyayangi manusia.”
Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,
لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ – رواه أبو دأود والترمذي
Maksudnya : Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali dari orang yang celaka.
Semoga ruh AidilFitri dapat menyemarakkann semula kasih sayang sesama kita dalam membentuk kesatuan yang hebat sebagaimana yang digambarkan oleh al-Quran dan hadis nabi iaitu kukuh sebagaimana batu bata yang tersusun, ibarat sebatang tubuh yang saling merasai penderitaan anggota yang lain. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan komen