• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

84. IKTIBAR PEPERANGAN BANI QURAIZAH 5H

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 53-55 surah an-Nisa’

أم لهم نصيب من الملك فإذا لايؤتون الناس نقيرا . أم يحسدون الناس على ما ءاتئهم الله من فضله فقد ءاتينا ءال إبرهيم الكتــب والحكمة وءاتينــهم  ملكا عظيما.فمنهم من ءامن به ومنهم من صد عنه وكفى بجهنم سعيرا

Maksudnya : Patutkah ada bagi mereka (kaum yahudi itu) sesuatu bahagian dalam kekuasaan memerintah?. (Tidak! Bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberi sedikit pun kebaikan kepada manusia. Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat kenabian dan agama Islam) yang Allah S.W.T telah berikan kepada mereka daripada limpah kurniaNya. Kerana sesungguhnya Kami telah pun memberi kepada keluarga nabi Ibrahim akan Kitab dan hikmah dan Kami telah kurniakan kepada mereka kerajaan yang besar. Maka di antara mereka (yahudi) yang beriman dengannya dan ada pula di antara mereka yang berpaling daripadanya. Dan cukuplah dengan neraka jahannam yang sentiasa menyala-nyala itu

Kedatangan bulan Zulkaedah mengingatkan kita semua kepada beberapa peristiwa besar dan bersejarah yang telah berlangsung pada bulan ini antaranya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy dan juga Peperangan Bani Quraizah yang berlaku sebaiksahaja selesai Peperangan Ahzab tahun 5 Hijrah di mana peristiwa ini banyak meninggalkan pengajaran kepada umat Islam. Bermulanya gerakan untuk memerangi yahudi Bani Quraizah berlaku apabila Rasulullah s.a.w yang sedang membersihkan dirinya selepas pulang dariPeperangan Ahzab di mana tiba-tiba datangnya malaikat Jibril dan berkata : “ Adakah kamu telah meletakkan senjata? Sedangkan para malaikat belum meletakkan senjata mereka. Oleh itu bangkitlah dengan mereka yang bersamamu untuk menyerang Bani Quraizah. Aku akan pergi dahulu untuk mencampakkan rasa takut ke dalam hati musuh”. Selesai sahaja memberitahu Rasulullah s.a.w lalu Jibril mengetuai rombongan malaikat menuju ke perkampungan Bani Quraizah.

Selepas itu Rasulullah s.a.w pula bersama dengan 3 ribu orang tentera menuju ke tempat tersebut di mana  yahudi Bani Quraizah tidak menentang lalu tentera Islam mengepung musuh itu selama 25 malam. Walau pun yahudi Bani Quraizah boleh bertahan beberapa lama lagi di dalam kota mereka disebabkan bekalan makanan dan air yang banyak disamping di kelilingi oleh kota yang kukuh sedangkan tentera Islam masih keletihan kerana baru pulang daripada Peperangan Ahzab ditambah pula dengan musim sejuk dan kekurangan makanan. Namun tentera Islam mempunyai semangat jihad yang tinggi sedangkan yahudi berada dalam ketakutan dan lemah semangat. Ketakutan yahudi bertambah kuat apabila Sayyidina Ali dan Zubair bin al-Awwam mula mara di mana Sayyidina Ali bertempik menyatakan : “ Wahai tentera Iman! Aku merasa seperti yang telah dirasai oleh Sayyidina Hamzah iaitu gugur syahid atau aku berjaya membuka kota yahudi ini”.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Akhirnya yahudi Bani Quraizah membuat keputusan untuk menyerah diri. Setelah berlaku sedikit rundingan lalu Rasulullah s.a.w menyerahkan hukuman terhadap yahudi pengkhianat ini kepada Sa’ad bin Mu’adz untuk menghakiminya. Sa’ad yang masih uzur akibat luka parah yang dialaminya semasa Peperangan Ahzab telah menjatuhkan hukuman agar kaum lelaki yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh manakala kaum perempuan dan kanak-kanak dijadikan tawanan. Mendengar hukuman itu lalu Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesungguhnya engkau telah berhukum dengan hukum Allah s.w.t yang datang dari 7 petala langit”. Sa’ad mendapat keredhaan yang nyata daripada Allah S.W.T di mana doanya agardilanjutkan usianya sehingga dia dapat menghukum Bani Quraizah dimakbulkan. Selepas peristiwa tersebut, keadaan Sa’ad semakin tenat sehingga nabi mengarahkan agar didirikan khemah di dalam masjid bagi membolehkan Sa’ad sentiasa berhampiran dengannya. Rasulullah s.a.w bersabda :

اَهْتَزَّ عَرْشُ الرَّحْمنِ لِمَوْتِ سَعْدٍ  ( رواه الصحيحان )

Maksudnya : ‘Arasy Allah S.W.T yang Maha Pemurah telah bergoncang kerana kematian Sa’ad

إِنَّ المَلائِكَةَ كَانَتْ تَحْمِلُهُ  ( رواه الترمذي )

Maksudnya : Sesungguhnya para malaikat menanggung jenazahnya (Sa’ad bin Muazd.

            Walau pun hukuman yang dijatuhkan ke atas yahudi Bani Quraizah ini pada zahirnya begitu keras bagaikan berbentuk paksaan sedangkan musuh telah menyerah diri tetapi hakikatnya ia begitu adil dan tepat sekali apalagi dengan terdedahnya bagaimana yahudi Bani Quraizah itu bukan sahaja mengkhianati janji tetapi turut merancang untuk membunuh seluruh umat Islam dengan menyimpan begitu banyak senjata untuk tujuan itu. Pelaksanaan kepada hukuman bunuh ini dijalankan dengan yahudi Bani Quraizah itu ditahan di kampung Bani Najjar lalu di gali parit-parit di kawasan pasir di Madinah dan kemudiannya dibawa sekumpulan demi kumpulan yahudi itu untuk dipancung leher mereka yang menyaksikan antara 6 hingga 7 ratus yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh. Terdapat juga dikalangan yahudi itu yang memeluk Islam

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

            Peristiwa yang bersejarah ini telah meninggalkan kesan dan pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam terutama dalam berhadapan dengan keganasan zionis yahudi pada hari ini. Sikap yahudi bagaikan tidak pernah berubah sebagai suatu bangsa yang mudah mengkhianati janji dan begitu benci terhadap Islam. Tindakan yahudi Bani Quraizah yang memberi bantuan kepada tentera Ahzab bagi memerangi umat Islam sedangkan mereka telah berjanji untuk taat setia sebagai rakyat Daulah Islamiah Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w ditambah pula dengan persiapan untuk memerangikeseluruhan umat Islam pada masa itu merupakan suatu peringatan kepada kita pada hari ini agar sentiasa berhati-hati ketika berdepan dengan musuh Islam terutama yahudi. Jika pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w yang mempunyai kuasa dan daulah pun yahudi sanggup mengkhianati janji dengan umat Islam apatah lagi pada zaman kita yang tiada lagi Khilafah Islamiah yang mampu menjaga kebajikan dan hak umat Islam sejagat daripada dicerobohi sesuka hati oleh musuh Islam. Api permusuhan yang dinyalakan oleh musuh Islam yang diketuai oleh yahudi tidak pernah padam walau pun ramai di kalangan umat Islam terutama pemimpin negara umat Islam tunduk kepada kebanyakan desakan dan arahan musuh dengan mengenepikan Islam itu sendiri.

            Kita memperingatkan buat sekian kalinya kepada pemimpin negara umat Islam yang lebih sanggup menjadi boneka dan khadam suruhan musuh Islam daripada menjadi pemimpin yang tunduk kepada perintah Allah S.W.T dan rasulNya di mana adakah mereka tidak mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku kepada rakan sejawat mereka seperti Yaser Arafat yang telah memberi kesemua yang dikehendaki oleh yahudi tetapi kini dia menjadi bahan mainan yahudi serta kedaulatan Palestin terus menjadi impian yang belum dapat lagi dibuktikan sedangkan sudah berapa ramai umat Islam menjadi mangsa kekejaman yahudi, berapa luas tanah yang tergadai dan dirampas serta begitu terdedahnya Masjid al-Aqsa untuk dirobohkan oleh yahudi. Adakah pemimpin ini tidak mengambil iktibar dengan apa yang baru berlaku terhadap Saddam Husein yang dulunya dijadikan ayam laga musuh Islam bagi berhadapan dengan saudara seagama tetapi kini dari istana mewah berakhir dalam lubang tikus di bawah tanah sebagai tahanan yang menunggu masa untuk dijatuhkan hukuman. Begitu juga dengan tekanan terhadap Libya dan Iran agar menghentikan pembinaan senjata tidak ketinggalan Syria yang dianggap antara paksi keganasan oleh musuh Islam terus berlangsung. Tujuan kuffar durjana yang sebenar ialah bagi memastikan yahudi terus berkuasa serta memastikan tiada lagi negara umat Islam yang boleh menggugat kedudukan yahudi Israel yang merupakan negara pengganas utama dunia.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Tekanan dan penghinaan musuh Islam tidak akan terhenti sekali pun adanya umat Islam yang mengikut telunjuk mereka. Tidak terlepas dengan apa yang berlaku terhadap negara kita sendiri di mana tekanan terhadap agama Islam begitu teruk seperti ramai umat Islam termasuk pelajar yang masih muda usianya ditahan di bawah ISA atas tuduhan pengganas tetapi Amerika tetap menyatakan bahawa negara ini sebagai antara pusat keganasan. Tekanan terhadap pengajian agama sehingga sudah banyak sekolah agama rakyat yang terpaksa ditutup pada awal tahun ini, pengharaman bertudung labuh, serban dan jubah di sesetengah tempat kerja dan pengajian, tindakan merobohkan surau serta usaha yang bersungguh dalam memastikan sistem perundangan Islam agar tidak dapat dilaksanakan dalam negara malah tindakan dalam persempadanan pilihanraya turut menyaksikan usaha untuk memastikan umat Islam menguasai Parlimen semakin lama semakin kurang tetapi Amerika tetap menyatakan bahawa negara ini tiada toleransi agama. Musuh Islam tidak akan berpuas hati sehinggalah umat Islam tunduk dan mengikut jejak langkah mereka sampai ke dalam lubang biawak. Oleh itu kita berpesan kepada pemimpinagar jangan terus menjadi barua musuh Islam sebaliknya marilah kita bersatu menjulang seluruh sistem Islam sekali pun dibenci musuh asalkan dikasihi oleh Allah S.W.T.

                Sempena dengan kedatangan tahun baru 2004 Masihi ini marilah sama-sama kita merenungi nasib yang menimpa dunia umat Islam pada tahun 2003 baru lalu yang telah meninggalkan banyak peristiwa pedih dan sedih termasuk penjajahan terhadap bumi Iraq dan ditutup tirai dengan gempa bumi yang mengorbankan lebih kurang 40 ribu orang di Iran. Kita turut dikejutkan dengan pembakaran sekolah dan beberapa serangan terhadap pihak keselamatan di Selatan Thailand yang merupakan negeriyang mempunyai majoriti umat Islam. Kita harapkan agar ia tidak dijadikan alasan untuk menekan umat Islam yang sememangnya sentiasa menjadi mangsa keganasan. Kedatangan tahun baru ini tidak mampu mengubah keadaan umat Islam jika kita turut bergelumang dengan dosa sebagaimana orang kafir. Selagi umat Islam masih mengagungkan dunia dengan mengenepikan akhirat, mencampur-adukkan antara dosa dan pahala, tidak memisahkan antara iman dan kufur serta menghidupkan Islam bersama jahiliah maka selagi itulah kini menjadi umat yang hina di dunia dan akhirat. Kembalilah kita kepada seluruh ajaran Islam tanpa menghiraukan suara musuh Islam yang sememangnyasentiasa membenci dan cuba menyesatkan kita daripada jalan kebenaran. Islam mesti dijulang walau pun ditentang. Islam mesti dipertahan sekali pun terus diserang. Islam mesti dibela meski pun terpaksa gadaikan seluruh jiwa dan raga demi meraih keredhaan Allah S.W.T.

Firman Allah dalam ayat  35 surah al-Maidah :

يــأيها الذين ءامنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجــهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya  dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

42 peratus Cina yakin hudud adil untuk semua

Ketika masyarakat Cina dikatakan fobia dengan cadangan pelaksanaan hudud oleh PAS, tinjauan Universiti Malaya (UM) mendapati sebanyak 42 peratus etnik itu percaya undang-undang Islam itu mampu menjanjikan keadilan kepada semua.

Hasil tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (UMCEDEL) itu juga mendapati sebanyak 26 peratus masyarakat India dan 62 peratus Melayu berkongsi pandangan sama.

“Terdapat keyakinan terhadap pelaksanaan hukum hudud dalam kalangan orang Melayu, namun masih terdapat keraguan terhadap cadangan pelaksanaannya dalam kalangan orang bukan Melayu,” ringkasan kajian itu dipetik.

Dapatan mengejutkan itu dijalankan baru-baru ini melibatkan 25 peratus (385 orang) responden Melayu, sebanyak 68 peratus (1,041) Melayu dan 7 peratus (110) India.

Sebanyak 41 peratus masyarakat Cina pula menjawab “ya” apabila ditanya adakah perlaksanaan hudud mampu menghalang jenayah daripada berleluasa.

Bagaimanapun, sebanyak 51 peratus masyarakat Cina merasakan hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana masyarakatnya yang berbilang bangsa dan agama.

Tangan zionis dalam kempen hina Rasulullah s.a.w

Mohd Azmi Abdul Hamid,

Analisis yang belum diketahui ramai dalam isu penerbitan video menghina Rasulullah s.a.w. ialah ia ada kaitan dengan rancangan zionis dan kuasa imperialis Amerika dan kuasa Eropah Barat.

Sebenarnya orang bernama Sam Bacille (nama sebenar Nakaola Basseley Nakaola) yang dikata menjadi pengarah kepada pembikinan filem itu hanya alat.

Beliau sebenarnya hanya seorang yang terlibat dalam kes menipu bank. Dengan latar belakang yang sama sekali sifar dalam pengetahuan mahupun kemahiran pembikinan filem, zionis telah mengguna beliau sebagai alat untuk melindungi pihak sebenar yang terlibat dalam menghasilkan filem tersebut. Beliau sendiri menafikan menjadi pengarah malah hanya menguruskan aspek “logistik” semata.

Jadi siapa pendalang filem tersebut?

Rekod awam mendapati satu permit filem telah diberi kepada Media for Christ sebuah agensi yang dikendali oleh seorang bernama Joseph Nasrallah Abdelmasih. Kumpulan beliau menaja program Kristian dalam Bahasa Arab termasuk The Way sebuah filem yang menampilkan dua orang penggerak kempen Islamofobia iaitu Pamela Geller dan Robert Spencer. Kedua mereka ini adalah penentang cadangan membina masjid di New York di tapak “Ground Zero” . Idea filem Innocence dicatat dalam blog Geller pada Februari 2012 dalam tajuk A Movie About Muhammad: An Idea Whose Time Has Come.

Sesungguhnya filem dokumentari penghinaan ke atas Nabi bukan satu insiden yang terpisah dan tersendiri, malah ia adalah suatu konspirasi melakar perang ke atas Islam dan umat Islam oleh Amerika, Israel dan kuasa imperialis Eropah Barat.

Tindakan dan rancangan provokasi dalam tempoh dua tahun sempena mengingati peristiwa September 11 bermula dengan kempen membakar Quran oleh Terry Jones dan kali ini video.

Fakta bahawa filem ini adalah kerja dari operasi ekstremis fanatik Zionis yang berpusat di Amerika dan Israel serta Eropah tidak dapat dinafikan, khususnya oleh CIA Dan Mossad.

Apabila reaksi yang sepatutnya berlaku tidak berhasil, mereka cuba menghubungkan kemarahan umat Islam terhadap filem itu kepada pembunuhan duta Amerika di Benghazi, Libya.

Pada hal pihak perisikan Amerika sudah menerima maklumat awal bahawa serangan ke atas kedutaan akan berlaku tetapi pihak Amerika tidak berbuat apa-apa. Pembunuhan itu tidak ada mengena dengan filem dokumentari tersebut. Ia adalah serangan yang disebabkan oleh pembunuhan seorang ketua militan Libya yang pernah disokong oleh CIA sendiri ketika revolusi menjatuhkan Muammar Gadafi.

Analisa ini didedahkan sendiri oleh seorang pakar operasi CIA-Mossad , Thierry Mayssan bahawa pembunuhan duta mungkin diarah oleh Mossad sendiri.

Sebab itu kami percaya kebangkitan ini bukan hanya kerana marah kepada penghinaan terhadap Nabi tetapi adalah kebangkitan menentang kuasa imperialis Barat yang cuba mendominasi kehidupan umat Islam.

Protes yang tercetus mesti dianalisa secara lebih menyeluruh untuk melanjutkan Revolusi Tahrir yang berlaku di dunia Arab.

Kebangkitan ini adalah seruan kepada pembebasan, kemerdekaan dan kedaulatan serta harga diri yang menuntut kepada seluruh rantau dan dunia dibebaskan dari hegemoni kuasa Barat. Dengan itu tanda berakhirnya dominasi Amerika dan Barat ke atas dunia ini telah tiba.

Kutuk dan Kecam Majalah Perancis hina nabi Muhammad s.aw

PARIS 19 Sept. – Selepas filem yang menghina Nabi Muhammad SAW diterbitkan di Amerika Syarikat, kini sebuah majalah satira di Perancis, pula menerbitkan kartun yang memaparkan Nabi Muhammad dalam keadaan bogel.

Penerbitan karikatur itu dijangka memburukkan lagi ketegangan selepas tercetus demonstrasi ganas di seluruh dunia ekoran penyiaran filem anti-Islam, Innocence of Muslims, yang dihasilkan di Amerika Syarikat (AS).

Muka depan majalah Charlie Hebdo itu menggambarkan seorang penganut Islam berkerusi roda ditolak oleh seorang Yahudi Ortodok di bawah tajuk ‘Intouchables 2’.

Ia merujuk kepada filem Perancis yang berkisar tentang seorang lelaki kulit hitam yang menolong seorang golongan bangsawan yang lumpuh.

Satu lagi kartun yang dipaparkan pada muka belakang majalah mingguan itu pula menunjukkan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad dalam keadaan bogel yang hanya berserban.

Ia mendedahkan bahagian punggung Nabi Muhammad kepada seorang pengarah filem, adegan yang diilhamkan daripada sebuah filem pada 1963 yang dibintangi aktres terkenal Perancis, Brigitte Bardot.

Laman web Charlie Hebdo hari ini tidak boleh dilayari selepas dihujani dengan komen-komen kemarahan terhadap penyiaran gambar itu.

Majalah itu sebelum ini terkenal dalam menerbitkan isu-isu kontroversi berkaitan Islam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Perancis, Jean-Marc Ayrault berkata, orang ramai yang tersinggung dengan penyiaran kartun berkenaan boleh membawa perkara itu ke mahkamah selepas beliau menyatakan ‘rasa tidak setuju terhadap perbuatan berlebih-lebihan tersebut’.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Perancis tetap mengamalkan kebebasan bersuara.

”Kita berada di sebuah negara yang mana kebebasan bersuara adalah dijamin termasuk kebebasan untuk membuat karikatur.

”Kalau ada rakyat yang tersinggung dengan kepercayaan mereka dan berfikir terdapat pelanggaran undang-undang, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah,” katanya kepada radio RTL.

Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius pula berkata, negara ini telah meningkatkan keselamatan di kedutaannya di negara-negara yang mungkin mencetuskan kemarahan dengan penerbitan karikatur itu. – AFP

Khutbah Audio 45 – Islam Disanjung nabi Muhammad s.a.w DiPertahankan

Islam DiJulang Nabi Muhammad s.a.w DiPertahankan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 42 surah at-Taubah :

لَوْ كَانَ عَرَ‌ضًا قَرِ‌يبًا وَسَفَرً‌ا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّـهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَ‌جْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

Maksudnya : Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai nabi Muhammad) sesuatu yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)

Kebenaran Islam adalah suatu pengiktirafan daripada Allah yang tidak boleh dipertikaikan. Kemenangan Islam adalah suatu janji benar daripada Allah yang tidak boleh disangkal lagi. Cuma dalam membuktikan tentang kebenaran Islam dan juga untuk mencapai kemenangan Islam di alam nyata maka perlu kepada usaha dan pengorbanan yang bersungguh daripada umat Islam bukan hanya setakat menjadi penonton dan pemerhati yang tidak melakukan apa-apa tindakan positif ke arah itu. Kebenaran Islam dapat kita buktikan melalui ilmu dan pengamalan kepada semua sistem Islam dalam kehidupan samada ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Runtuhnya kesesatan jahiliah apabila ilmu Islam berjaya menembusi hati-hati manusia yang selama ini menentang kebenaran akibat mereka jahil tentang Islam. Oleh itu menjadi suatu kewajipan bersama bermula daripada rumah hingga ke peringkat negara untuk memperkasakan ilmu Islam agar dapat melahirkan masyarakat yang aqidahnya kukuh dan amalan soleh serta akhlaknya utuh. Kita dapat lihat daripada dulu hingga kini di mana sebarang penjajahan akan menumpukan kepada sistem pendidikan agar pelajar yang keluar daripada sebarang institusi pengajian mestilah berqiblat kepada cara hidup penjajah. Kita begitu bimbang dengan keadaan aqidah umat Islam sendiri yang begitu goyah dan mudah menerima sebarang pemikiran sesat sehingga ada yang mempertikaikan tentang kewujudan Allah atas alasan tidak logik percaya kepada suatu yang tidak nampak. Itu belum lagi dikira kepada umat Islam yang banyak memberi alasan bila diminta agar menutup aurat yang dianggap merimaskan, disuruh solat dan puasa yang dianggap menyusahkan dan sebagainya. Akhirnya lahir ramai umat Islam yang ingin berseronok dan berehat daripada ibadat di dunia namun berangan-angan besar untuk menikmati keseronokan dan kerehatan dalam Syurga Allah di akhirat kelak. Inilah antara kejayaan besar penjajah sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang barat (Zwimmer) dengan katanya :

“Anda telah berjaya menyediakan di negara Islam satu generasi belia yang tidak mengetahui hubungannya dengan Allah malah tidak ingin mengetahuinya. Anda juga telah berjaya mengeluarkan umat Islam daripada agamanya walau pun anda tidak memasukkannya ke dalam Kristian. Seterusnya akan lahirlah satu generasi Islam bertepatan dengan kehendak penjajah di mana generasi ini tidak lagi mempedulikan perkara besar yang berlaku di sekitarnya sebaliknya lebih suka menghabiskan masa untuk berehat dan malas berusaha, cita-citanya dalam dunia tidak lain selain memenuhi keperluan nafsu syahwat sahaja…….”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 70 surah al-An’am :

وَذَرِ‌ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّ‌تْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ‌ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّـهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا ۗ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا ۖ لَهُمْ شَرَ‌ابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُ‌ونَ

Maksudnya : Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)

Apabila umat Islam mempunyai ilmu agama yang mendalam serta beramal dengan segala yang disuruh oleh Allah dan rasulNya disamping menjauhi segala tegahan Allah dan rasulNya dalam setiap aspek kehidupan maka ini semua dapat mengelakkan daripada lahirnya golongan yang mempermain dan memandang hina terhadap system Islam. Sebagai contohnya masalah hukum Hudud di mana sentiasa ada golongan yang mempertikaikannya dan memberi pelbagai alasan supaya ia tidak dilaksanakan termasuk alasan terbaru supaya Kelantan lebih baik menyelesaikan 24 ribu masalah kes di Mahkamah Syariah terlebih dahulu sebelum melaksanakan hukum Hudud sedangkan jumlah kes yang tertangguh sebenar hanya 5 ribu sahaja bukan sebagaimana dakwaan yang berniat jahat itu. Sepatutnya setelah 55 tahun menyambut kemerdekaan Negara maka usaha dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam Negara semakin rancak dan maju termasuk hukum Hudud namun apa yang berlaku adalah sebaliknya sehingga rakyat diperbodohkan dengan alasan-alasan yang tidak munasabah. Oleh itu jadilah kita sebagai rakyat yang bijak dan cerdik yang tidak mudah ditipu oleh golongan yang mempermain dan merendahkan agama supaya kita sentosa di dunia dan bahagia di akhirat sana.

Kita yakin bahawa hukum Allah adalah adil dan mampu menyelesaikan semua masalah manusia. Tanpa menjadikan Islam sebagai teras pemerintahan Negara menyebabkan rompakan cara keras yang mengancam nyawa dan harta rakyat semakin bertambah manakala rompakan cara halus melalui pecah amanah dan rasuah terus bercambah. Kita bimbang jika selama ini hanya rakyat yang bangkit menyatakan penyelewengan dalam mengurus harta Negara tapi kini bila Sultan Johor sendiri yang menegur tentang pembelian sejenis kenderaan untuk pasukan angkatan tentera yang berbeza sehingga 500 ribu ringgit sebuah disamping mutunya dipertikaikan. Bila Allah tidak ditakuti maka lebih banyak kerosakan akan berlaku

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat  36 surah al-Anfal :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَ‌ةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُ‌وا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُ‌ونَ

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.

Cahaya kebenaran Islam sentiasa cuba dipadamkan oleh musuh Islam di mana mereka tidak pernah rehat dan berhenti dalam memesongkan manusia daripada menerima kebenaran Islam. Kekuatan hujah Islam dalam membongkar kesesatan dan kezaliman agama dan system selain Islam sehingga semuanya tersungkur menyembam tanah namun akibat kedegilan maka musuh terus mempertahankan kebatilan. Hujah nabi Ibrahim a.s telah mengalahkan dakwaan sesat Raja Namrud yang akhirnya menggunakan hujah berbentuk kekerasan dengan membakar nabi Ibrahim a.s. Begitu juga hujah nabi Musa a.s berjaya mengalahkan Firaun namun raja zalim itu bukan sahaja tidak menerima kebenaran malah bertindak memburu nabi Musa a.s untuk dibunuh. Pertentangan ini terus berlangsung sehingga nabi kita sendiri Muhammad s.a.w Berjaya mematahkan sebarang hujah sesat Abu Jahal, Abu Lahab dan pemuka kafir Quraisy namun kebenaran bukan sahaja ditolak mentah-mentah malah musuh berusaha dalam membunuh nabi.

Maka pada hari ini kita dapat lihat bagaimana Yahudi dan Kristian terutamanya cuba menghasut dunia agar membenci dan memusuhi Islam dan umatnya. Mereka sanggup lakukan segalanya termasuk penipuan dan keganasan termasuk dalam serangan 11 September yang didalangi oleh yahudi tetapi umat Islam dijadikan ‘kambing hitam’. Oleh itu sambutan 11 September tahun ini dicemari dengan penyiaran suatu filem pendek yang menghina nabi Muhammad s.a.w yang digambarkan sebagai seorang penipu, gila seks dan menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai. Tindakan biadap ini membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia sehingga ada duta dan pegawai Amerika Syarikat terbunuh dalam tunjuk perasaan di Libya. Mimbar Jumaat pada hari ini mengutuk dan mengecam pihak yang bertanggungjawab dalam menerbitkan filem yang biadap ini. Jangan cuba bermain api dengan umat Islam yang sememangnya cinta kepada nabi. Kami sanggup mati daripada membiarkan nabi dicaci. Biar darah mengalir ke bumi namun kami tidak akan membenarkan nabi dimaki. Biar nyawa melayang namun kami tidak reda kemuliaan nabi dipermainkan.

Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Sof :

يُرِ‌يدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ‌ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِ‌هِ وَلَوْ كَرِ‌هَ الْكَافِرُ‌ونَ

Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedangkan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Rakyat Mesir protes filem hina Nabi Muhammad

Mohamad Yahya ,

Penunjuk perasaan Mesir, memanjat dinding kedutaan Amerika Syarikat  di Kaherah Selasa lalu, menuju ke halaman kedutaan dan menurunkan bendera Amerika Syarikat, menggantikan ia dengan bendera hitam dengan inskripsi Islam untuk membantah sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad.

Ratusan penunjuk perasaan berarak ke kedutaan Amerika Syarikat di tengah bandar Kaherah, berhimpun di luar kedutaan dan melaung-laung membantah filem tersebut, yang menurut laporan diterbitkan Amerika Syarikat.

“Katakan, jangan takut: Duta mereka mesti beredar,” laung penunjuk perasaan.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan kemudian memanjat dinding kedutaan, menurunkan bendera dari tiang di halamannya dan membawa bendera tersebut kepada penunjuk perasaan di luar kedutaan.

Penunjuk perasaan mengoyakkan bendera tersebut selepas gagal dalam cubaan awal untuk membakarnya.

Penunjuk perasaan di atas dinding kedutaan kemudiannya menaikkan bendera hitam yang tertulis dua kalimah syahadah: “Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.”

Di Washington, jurucakap Jabatan Negera, Victoria Nuland berkata AS sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Mesir untuk memulihkan ketenteraman.

Hampir semua kakitangan telah meninggalkan kedutaan sebelum ia diceroboh, lapor seorang pegawai AS.

Hanya beberapa kakitangan masih berada di dalam kedutaan, kerana pihak keselamatan kedutaan telah menghantar pulang kakitangan ke rumah mereka lebih awal selepas mendapat maklumat tentang protes yang bakal berlangsung.

Keadaan masih tidak stabil, lapor pegawai yang enggan namanya didedahkan kerana tidak mendapat kebenaran untuk bercakap secara terbuka mengenai perkara itu.

Seorang pegawai di kedutaan AS di Kaherah berkata Duta AS tiada di kedutaan pada hari tersebut.

Media Mesir mengatakan filem itu diterbitkan di Amerika Syarikat oleh kumpulan anti-Islam.

Filem tersebut, yang  kini terdapat di YouTube, menggambarkan Muhammad sebagai penipu, menunjukkan Muhammad melakukan hubungan seks dan menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai.

Protes meletus selepas media Mesir membuat liputan berkenaan filem itu untuk beberapa hari, dengan ulama-ulama turut muncul di kaca televisyen untuk membantah filem tersebut

Khutbah Audio 44 – Syarat DiPenuhi Kemenangan Dunia Akhirat DiRai