• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Jumaat : Islam DiSanjung, Penghinanya DiHukum


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  8   surah  :

 وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ ‎﴿٦﴾‏

Maksudnya : Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan

Agama hanya memiliki kemuliaan dan ketinggian kerana ia benar. Kalau ia bohong dan dianggap suatu pembohongan apakah lagi yang tinggal padanya? Siapa yang akan mengikuti ajarannya? Mempertahankan institusi-institusinya? Memuliakan tokoh-tokohnya? Jawabnya hanya orang-orang yang bodoh dan tertipu sahaja. Akan tetapi itulah tanggapan ramai manusia pada hari ini: agama adalah khayalan manusia semata-mata, dan para pengikutnya adalah golongan yang bodoh, yang terpedaya. Dalam kalangan mereka yang berpendirian sedemikian ada yang percaya bahawa walaupun agama itu kepalsuan, akan tetapi ia adalah alat yang berguna untuk kesejahteraan negara kerana dengan agama masyarakat dapat diatur dan dikawal dengan lebih mudah. Seorang ahli falsafah Peranchis dikhabarkan berkata, “Tuhan sebenarnya tidak wujud, akan tetapi jangan katakan itu kepada khadammu, takut dia akan membunuhmu semasa engkau tidur dan mencuri wangmu.” Perkataannya ini membayangkan sikapnya terhadap agama sebagai kepalsuan yang berguna sebagai alat semata-mata. Pandangan yang lain pula mengatakan bahawa agama itu adalah kepalsuan yang merbahaya; oleh itu ia mesti diperangi dan dihapuskan. Menurut pandangan ini manusia hanya mencapai kesejahteraan apabila mereka meninggalkan agama.

Kedua-dua pandangan di atas menolak kebenaran agama, dan sikap inilah yang dominan dalam masyarakat Barat hari ini. Walau bagaimanapun, sikap ini tidak lagi terhad kepada orang Barat. Ramai yang turut berfikiran begitu, termasuklah sebahagian daripada kaum Muslimin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat  140  surah an-Nisaa’:

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا ‎﴿١٤٠﴾

Maksudnya : Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam 

Tidak mungkin sah pengakuan seseorang bahawa dia seorang Muslim kalau di dalam hatinya dia meragui kebenaran agama. Sebagai contohnya adalah seseorang yang mendakwa bahawa agama adalah diasaskan kepada mitos-mitos kejadian. Sekiranya yang dia maksudkan dengan kenyataan itu ialah semua agama, termasuk Islam, maka dia telah secara langsung menafikan kebenaran agama Islam. Inilah bahananya apabila ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi, sosiologi, dan antropologi diambil dan diajarkan secara melulu tanpa menilai dengan teliti kesahihan kesimpulan-kesimpulan umumnya. Untuk membolehkan penilaian itu dibuat pula seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu yang mencukupi dalam perkara-perkara fardu ain. Namun apa yang berlaku selama ini adalah pengabaian terhadap ilmu-ilmu fardu ain, dan pengabaian ini pula berpunca daripada salah faham yang mendalam terhadap konsep ilmu fardu ain itu. Maka apa yang dipelajari oleh umat Islam pada hari ini hanya terhad kepada hukum-hakam yang berkaitan dengan amal ibadat yang asas, dan sedikit-sebanyak tentang akidah, dan itulah yang mereka sangka fardu ain sedangkan apa yang dipelajari itu hanya memadai untuk kanak-kanak kecil dan tidak memadai untuk dijadikan panduan dalam menilai ilmu-ilmu lain yang bakal dipelajari pada peringkat pengajian tinggi, sedangkan pada peringkat pengajian tinggilah segala macam falsafah dan ideologi dibawa masuk dan dipelajari dengan sangkaan semua itu adalah ilmu-ilmu yang terkini. Dengan cara itulah bibit-bibit keraguan terhadap kebenaran agama mula tumbuh.

Dalam masyarakat Barat, keraguan terhadap agama bukanlah masalah baharu. Penyakit ini sudah lama timbul bersama-sama dengan kebangkitan sains dan zaman moden. Dalam pengalaman hidup mereka, ilmu sains telah menyebabkan mereka hilang, meragui kebenaran agama akibat daripada penemuan-penemuan baharu yang didapati bercanggah dengan ajaran agama mereka. Lama-kelamaan para saintis dan orang ramai langsung merasa ragu terhadap kebenaran agama dan kitab suci. Keraguan mereka ini telah berjangkit dan merebak ke seluruh dunia melalui sistem pendidikan Barat, dan di antara penerima keraguan ini adalah sebahagian daripada umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 19 surah Ali Imran :

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ ‎﴿١٩﴾

Maksudnya : Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. 

Penghinaan terhadap Islam, secara khusus, bukanlah perkara baharu. Ia bermula dengan ketibaan Islam. Sebaik sahaja Rasululah SAW mengisytiharkan dakwahnya kepada kaumnya, semasa itu jugalah segala kata-kata pujian dan sanjungan terhadap baginda SAW berubah menjadi kejian dan nista. Namun, di sebalik penghinaan, penentangan dan ugutan yang diterima, Rasulullah SAW tetap memohon kepada Allah, “Ya Allah! Kurniakanlah hidayat kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak tahu!” Maksudnya, tindakan mereka itu adalah berpunca daripada kejahilan semata-mata yang disebabkan oleh ketaksuban terhadap puak dan pengaruh propaganda palsu yang diulang-ulang. Kalau sekiranya mereka tahu hakikat sebenar, mereka takkan menentang Islam, apatah lagi menghinanya kerana yang mereka tentang dan hina itulah yang mereka perlukan demi kesejahteraan abadi. Apa yang mereka perlukan adalah kesedaran itu, dan bukan mudah untuk menyedarkan manusia daripada lena yang panjang!

Masalah penghinaan terhadap agama membayangkan krisis dalaman yang menimpa manusia hari ini kesan daripada pembaratan dan pensekularan. Ia tidak boleh diatasi semata-mata dengan cara undang-undang tanpa memahami akar umbi masalah.

Antara punca utama berlakunya penghinaan terhadap agama ialah : [1] Kurang Kefahaman Tentang Agama Islam Secara keseluruhannya [2] Kekurangan dalam didikan ibu bapa dan keluarga tentang agama kepada anak-anak ataupun golongan yang terlibat dalam penghinaan agama ini [3] Pengalaman individu yang berhadapan atau berurusan dengan orang Islam yang tidak membawa imej Islam yang betul merupakan punca kepada penghinaan agama [4] aliran pemikiran seperti sekularisme, liberalisme dan ekstremisme adalah adalah aspek yang membentuk kefahaman dan tindaakan untuk menghina agama [5] Undang-undang berkenaan penghinaan agama ini tidak jelas, tegas dan tidak dilaksanakan secara menyeluruh dalam negara

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam  ayat 85 surah Ali Imran :

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ‎﴿٨٥﴾

Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Umat Islam yang tidak terpengaruh dengan fahaman sekuler atau liberal pasti akan mengakui bahawa tiada system politik, ekonomi, social yang lebih baik dan adil daripada Islam. Agama dalam Islam ialah panduan hidup berdasarkan wahyu Allah. Kebenaran membabitkan kewujudan rohani dan ukhrawi yang disampaikan oleh Rasul. Islam juga menawarkan sistem kehidupan dan hukum-hakam yang sesuai untuk individu serta awam. Dengan kata lain, agama dalam Islam bukan sekadar masalah peribadi seperti dipegang sebahagian tradisi agama lain, tetapi merangkumi soal kemasyarakatan.

Dalam soal ini kaum Muslimin mempunyai tugas yang amat besar, bukan sekadar dengan menunjukkan bantahan dan kemarahan terhadap penghinaan yang dilemparkan terhadap Islam, tetapi yang lebih utama adalah dengan menunjukkan jalan keluar daripada krisis itu. Umat manusia pada hari ini sedang menderita akibat daripada keraguan terhadap makna diri dan nasib akhir. Apa yang mereka tidak miliki itu ialah keimanan yang memberikan keamanan kepada diri, dan keamanan itu tidak mungkin tercapai oleh jiwa yang ragu-ragu dan keluh-kesah mengenangkan nasib yang tidak pasti. Yang mereka perlukan adalah ilmu yang berpunca daripada petunjuk dan hidayat Allah SWT. Ilmu itulah yang telah mereka nafikan kerana terpedaya dengan falsafah ilmu sekular, dan akibatnya mereka turut menderita kekosongan jiwa kerana tiada keyakinan.

Maka perjuangan sebenar bagi membela Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada manusia adalah perjuangan yang diasaskan kepada ilmu dan keyakinan. Manusia yang selama ini sudah hilang keyakinan terhadap agama kerana dakyah kebudayaan Barat, mesti diyakinkan semula bahawa ilmu dan keyakinan dapat dicapai olehnya, dan hanya dengan itu kesejahteraan dapat dicapai.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: