• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Jumaat : Sifat Buruk DiBuang Kemenangan DiJulang


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 14-15 surah al-A’ala :

قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ ‎﴿١٤﴾‏ وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّىٰ ‎﴿١٥﴾

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), (14) Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk).

Kini telah 2 minggu kita berada di bulan Syawal di mana kehangatan sambutan hari raya masih terasa. Kenikmatan sebenar berhari raya tidak mampu dirasai kecuali oleh golongan yang benar-benar berjaya menunaikan kewajipan yang diperintah oleh Allah disamping berjaya mengawal diri daripada segala laranganNya bukan sahaja pada bulan Ramadhan yang baru lalu malah pada 11 bulan selepasnya.  Betapa beruntungnya orang-orang yang telah menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal, begitu juga yang sedang menunaikannya. Bagi yang belum memulakannya atau tak pernah menunaikannya sebelum ini maka marilah kita sama-sama membuktikan bahawa tarbiah Ramadhan lepas telah berjaya mengubah kita ke arah menjadi hamba Allah bukan setakat hamba Ramadhan yang hanya baik pada bulan Ramadhan sahaja manakala pada bulan lain kembali menjadi pengikut setia kepada hawa nafsu. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ – رواه مسلم

Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ ‎﴿١٤٦﴾

Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.

            Ketika berada pada bulan Syawal ini maka marilah kita mengambil iktibar daripada 2 peperangan besar yang pernah berlaku pada masa nab s.a;w iaitu Perang Uhud dan Perang Hunain. Peperangan Uhud telah berlaku pada tahun 3 Hijrah di mana pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan  tetapi pada peringkat kedua  tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Antara sebab yang jelas kepada berlakunya kekalahan peringkat kedua ini ialah keengkaran sebahagian besar daripada kumpulan pemanah yang turut turun mengutip harta rampasan perang dengan alasan tentera Islam telah pun menang dan juga ada yang bimbang jika habuan untuk mereka akan dinafikan. Peperangan Uhud telah menjelaskan sikap di kalangan tentera Islam sendiri di mana ada yang berjuang kerana mahu habuan dunia antaranya berbentuk harta rampasan perang dan ramai yang berjuang benar-benar ikhlas kerana Allah. Sebab itulah adanya ahli tafsir daripada kalangan para sahabat ketika menafsirkan beberapa ayat  dari surah Ali ‘Imran berkenaan Peperangan Uhud menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyangka bahawa ada juga di kalangan tentera Islam yang telah ditarbiah oleh Rasulullah s.a.w sendiri masih lagi tamak kepada habuan dunia. Sekiranya Allah tidak membongkarkan perkara ini dalam al-Quran maka ia tidak diketahui oleh sesiapa. Perkara ini boleh kita dapati melalui firman Allah antaranya dalam ayat  145 surah Ali ‘Imran :

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتَابًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الْآخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ ‎﴿١٤٥﴾

Maksudnya : Tiada suatu jiwa pun akan mati melainkan dengan izin Allah melalui suatu suratan yang telah ditetapkan. Sesiapa yang mahu habuan dunia maka Kami akan berikan kepadanya. Dan sesiapa yang inginkan pahala akhirat maka Kami juga akan anugerahkan kepadanya. Kami akan berikan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

            Menyedari tentang bahayanya pengaruh kebendaan dalam diri pejuang Islam yang boleh menyebabkan kita bakal ditimpa dengan kekalahan dan kehinaan maka umat Islam mesti berusaha menghindari penyakit merbahaya ini daripada terus subur apatah lagi menjadi budaya hidup. Selagi masih ramai pemimpin dan rakyat yang beragama Islam yang mengamalkan budaya rasuah atau mudah dijual beli dengan wang maka perjuangan dalam menegakkan Islam masih jauh lagi untuk dicapai.

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 25  surah al-Taubah :

 لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ ‎﴿٢٥﴾

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.

Peperangan yang turut berlaku pada bulan Syawal ialah peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Peperangan ini merupakan peperangan terakhir antara umat Islam dengan musyrikin arab kerana selepas itu kebanyakan musyrikin Mekah memeluk Islam sehingga api permusuhan selama ini dapat dipadamkan. Peperangan Hunain berlaku apabila bani Hawazin dan Thaqif  pimpinan Malik bin Auf yang tinggal di Taif merancang untuk menyerang umat Islam. Bagi mengetahui secara lanjut tentang persiapan mereka lalu Rasulullah s.a.w menghantar Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy ke Taif untuk tinggal di tengah-tengah kaum tersebut bagi mengumpul maklumat. Setelah itu dia pulang ke Mekah dan memberitahu tentang persiapan bani Hawazin dan Thaqif dari segi kelengkapan senjata dan juga dengan bilangan tentera antara 20 hingga 30 ribu orang bagi menyerang umat Islam. Rasulullah s.a.w  bersama 12 ribu orang tentera muslimin iaitu 10 ribu dari Madinah dan 2 ribu dari Mekah telah keluar menuju ke lembah Hunain.

Ketika tentera Islam di barisan hadapan pimpinan Khalid bin Walid sedang bergerak mara, mereka diserbu dari arah kiri dan kanan disamping anak panah yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang. Serangan mengejut ini menyebabkan kuda-kuda lari ketakutan begitu juga ramai tentera Islam yang berundur ke belakang terutama dalam peperangan kali ini walau pun jumlah tentera Islam agak ramai berbanding beberapa peperangan sebelum ini tetapi kebanyakan mereka baru memeluk Islam dan tidak begitu tahan dengan ujian. Ini memberi suatu pengajaran yang besar di mana jumlah yang ramai belum tentu dapat mengalahkan musuh jika perjuangan tidak disertakan dengan keikhlasan kepada Allah dan juga tidak tahan dengan ujian yang mendatang. Kebanyakan tentera Islam merasakan mereka akan mendapat kemenangan dengan mudah kerana jumlahnya yang ramai disamping ramai juga begitu terlalu memikirkan harta rampasan yang bakal diperolehi sehingga melalaikan mereka daripada mengingati bahawa peperangan yang disertai itu ialah untuk Islam bukannya untuk meraih harta dunia. Jumlah umat Islam pada hari ini bukan sedikit tetapi kita diuji dengan kekalahan kerana tidak  kembali bersatu di bawah payung Islam. Contohnya jumlah yahudi di Palestin hanya beberapa juta sedangkan umat Islam di negara arab sekelilingnya berjumlah ratusan juta tetapi yahudi boleh terus mengganas kerana umat Islam tidak bersatu memerangi mereka.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Antara penyakit hati yang merbahaya yang bukan sahaja merosakkan amalan soleh kita malah menyebabkan kita ditimpa dengan kekalahan dan kehinaan iaitu Ujub. bnul Mubarak  berkata, perasaan ‘ujub adalah ketika seseorang merasa bahwa dirinya mempunyai suatu kelebihan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Imam Al Ghozali pula menyebut bahwa perasaan ‘ujub adalah kecintaan seseorang akan suatu kurniaan yang ada pada dirinya dan merasa memilikinya sendiri serta tidak menyedari bahwa kurniaan tersebut adalah pemberian Allah SWT. Orang yang memiliki sifat ujub tidak akan mengembalikan keutamaan yang dimiliki tersebut kepada Allah SWT

Begitu juga penyakit Wahn adalah suatu ungkapan yang bermaksud cinta dunia dan takut mati.

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-  يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا  فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِى قُلُوبِكُمُ الْوَهَنَ . فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهَنُ قَالَ  حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Maksudnya: “Hampir saja bangsa-bangsa memangsa kalian sebagaimana orang lapar menghadapi meja penuh hidangan.” Seseorang bertanya “apa saat itu kita sedikit?” jawab beliau “bahkan saat itu kalian banyak, akan tetapi kalian seperti buih di laut. Allah akan cabut rasa takut dari dada musuh kalian, dan Allah sungguh akan mencampakkan penyakit wahn dalam hatimu.” Seseorang bertanya “Ya Rasulullah ap aitu wahn?” beliau menjawab “cinta dunia dan takut mati” (HR. Abu Daud no. 4297 dan Ahmad 5: 278, ]

Di kala umat Islam meninggalkan agama dan tiada lagi goncangan takut serta gerun di hati kaum kafir terhadap umat Islam. Ketika zaman sahabat dan orang-orang soleh terdahulu, segalanya berlaku atas kekuatan iman umat Islam yang jauh berbeza dengan Umat Islam hari ini. Setelah kejatuhan Empayar Uthmaniyah, saban hari dapat dilihat siri rentetan kesakitan demi kesakitan umat Islam. Negara-negara Arab mula dipecah satu persatu oleh penjajahan barat sehingga lewat ke daerah nusantara yang tidak ketinggalan dalam siri jajahan mereka. Tidak terhenti di situ, kekejaman dan penindasan terhadap umat Islam berlarutan sehingga ke hari ini.

Lihatlah dunia ini dengan pandangan yang betul. Jika diteliti, penyakit al-wahn semakin membarah dalam umat hari ini. Ciri-ciri al-wahn semakin jelas terlihat saat mereka semakin kasihkan dunia seolah-olah ingin menongkat dunia tanpa mahu meninggalkannnya. Leka dan lupa bahawa akan ada satu alam lain nanti yang lebih lama dan kekal abadi. Atas dasar itu, mereka rakus melakukan kemungkaran dan kerosakan walau peringatan melalui penderitaan-penderitaan yang di alami oleh umat Islam di setiap penjuru dunia telah dipamerkan.

Walau umat Islam semakin hari semakin bertambah jumlahnya, namun ia hanya sekadar kuantiti sedang kualitinya semakin rapuh berbanding umat-umat terdahulu yang teguh dan kukuh kualiti imannya kerana mereka percaya Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat yang menangguhkan kenikmatan untuk akhirat kelak dan bukannya mengagung-agungkan dunia umpama tiada pengakhirnya. Sesungguhnya dunia adalah sementara, tanah untuk bermusafir yang secara adatnya, pemusafir tidak akan tinggal lama pada satu-satu tempat. Sampai masa akan beralih ke tempat lain dengan bekalan secukupnya dan pastinya tidak banyak bagi memudahkan perjalanan. Oleh itu bersunggunlah kita dalam merawati hati kita daripada sifat mazmumah atau tercela untuk Berjaya dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 8-10 surah al-Syamsu :

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَ‌هَا وَتَقْوَاهَا ﴿٨﴾ قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا

Maksudnya : Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; –  Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ