• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Jumaat : Ramadhan DiRai Aqidah DiJulang Tinggi

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Kini kita berada pada hari-hari terakhir bulan Sya’aban 1443H di mana kita bakal menyambut kedatangan Ramadhan 2 hari lagi. Terdapat 2 sikap orang dalam menyambut Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan ini iaitu  [1] orang yang bergembira dan suka cita dalam menyambut bulan Ramadhan kerana ia bulan yang anugerahkan oleh Allah untuk menambah pahala dan bertaubat dari semua dosa. Ramadhan adalah bulan bonus dimana Allah melipatgandakan pahala amal kebaikan. Maka segala sesuatu persiapan terutama ilmu, fizikal, rohani, harta dipersiapkan untuk menyambut dan mengisi Ramadhan. Gembira di bulan ini terdapat janji Allah dengan membuka luas pintu Syurga dan dijauhkannya seseorang dari api neraka. Dan itu merupakan kemenangan yang membahagiakan.

قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ الله عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ فِيْهِ يُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَيُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتَغُلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ، فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ, مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.- رواه أحمد

Maksudnya: ” Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, berert telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

مَا ملأَ آدمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطنٍ، بِحَسْبِ ابنِ آدمَ أُكُلاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فإِنْ كَانَ لا مَحالَةَ فَثلُثٌ لطَعَامِهِ، وثُلُثٌ لِشرابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ رواه الترمذي وقال: حديثٌ حسنٌ.

Maksudnya: Tidaklah memenuhi bekas bagi Anak Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan yang dapat  menegakkan tulang belakangnya. Jika ingin lebih dari itu, maka bahagilah satu pertiga  perutnya untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, dan satu pertiga untuk  pernafasan.

Manakala golongan ke-[2]  menyambut Ramadhan dengan sikap yang dingin. Baginya, Ramadhan tidak ada beza dengan bulan-bulan lain. Orang seperti ini tidak mampu memanfaatkan Ramadhan untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Dosa dan kesalahan tidak membuatnya risau dan gelisah hingga tak ada upaya maksima untuk menghapusnya dan menjadikan Ramadhan sebagai momentum untuk kembali kepada Allah. Bahkan, dia menyambut Ramadhan dengan kebencian kerana pada perasaannya Ramadhan menyekatnya daripada melakukan dosa dan kemaksiatan, sebagaimana yang dilakukannya di bulan-bulan lain. Hatinya tertutup dan penuh benci kepada kebaikan. Menyaksikan kaum Muslimin berlumba-lumba dalam kebaikan, mengisi hari-hari mereka dengan ibadah adalah pemandangan yang tidak disukainya. Syaitan telah menghembuskan kebencian dalam hatinya hingga Ramadhan bagai neraka baginya. Semoga kita dijauhkan dari sikap dan sifat ini.

Sepatutnya Ramadhan dijadikan bulan menjaga kesihatan dengan mengurangkan makan tetapi dijadikan bulan pesta makanan. Sepatutnya Ramadhan dijadikan bulan berjimat cermat tetapi dijadikan bulan membazir sehingga sisa makanan yang dibuang pada Ramadhan meningkat berkali ganda

Luqman Al-Hakim menasihati  anaknya: “Wahai anakku! Apabila  perutmu kekenyangan, akalmu akan tidur, hikmah akan bisu, anggota tidak  mampu melakukan ibadah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat  185 surah al-Baqarah :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ …..

Maksudnya : Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah

  Allah menyebut secara khusus dalam al-Quran tentang kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan. Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa kepada umat Islam kerana waktu malam dan siang ia menyajikan pelbagai keberkatan. Oleh itu, Ramadhan merupakan satu bulan mulia yang sentiasa ditunggu dengan penuh kegembiraan. Jangan sia-siakan kehadiran Ramadhan agar kelebihan yang dijanjikan oleh Allah dapat kita capai. Antaranya dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran serta tadabbur maknanya seterusnya menghayati dalam kehidupan seharian. Al-Quran dan puasa akan memberi syafaat kepada orang berpuasa dan membaca al-Quran pada hari akhirat kelak

الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ ، قَالَ: «فَيُشَفَّعَانِ».

Maksudnya: Puasa dan Al-Quran itu memberi syafaat bagi hamba pada Hari Kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhan! Aku telah mencegahnya daripada makan dan  kelazatan pada siang hari, maka syafaatkan aku baginya.” Al-Quran berkata:  “Wahai Tuhan! Aku telah menegahnya tidur pada waktu malam, maka  syafaatkan aku baginya.” Tuhan berkata: “Kedua-duanya disyafaatkan.”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

Sebagaimana kita berpuasa dari makanan dan minuman yang halal, kita  juga wajib berpuasa dengan meninggalkan perkara yang haram. Kita bukan sahaja wajib meningggalkan makan minum bermula dari Subuh hingga Maghrib malah wajib juga menjauhi pancaindera kita  iaitu tangan, kaki, mata, telinga, lidah daripada maksiat. Kerana inilah  disyariatkan puasa. Sabda Rasulullah SAW:

مَن لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ والعَمَلَ به، فليسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وشَرَابَهُ. – رواه البخاري

Maksudnya: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 256 surah al-Baqarah :

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ‎﴿٢٥٦﴾‏

Maksudnya: Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. 

Ketika kita umat Islam sedang bersiap sedia untuk menyambut Ramadhan maka timbul isu panas apabila adanya usaha melalui mahkamah untuk memurtadkan 3 anak Loh Siew Hong yang sebelum ini telah memeluk Islam melalui bekas suaminya. Oleh itu mimbar Jumaat pada hari ini menyeru kepada semua ahli politik, cendekiawan, mufti, pendakwah, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk bersatu dan senada dalam isu keselamatan aqidah anak-anak Loh Siew Hong.
Keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyerahkan tiga kanak-kanak itu kepada ibu kandungannya hanyalah melibatkan isu penjagaan dan tidak menyentuh isu agama apatah lagi memerintahkan atau membenarkan anak-anak tersebut untuk meninggalkan agama Islam. Keislaman mereka adalah atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan mereka sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam yang mereka lalui.

Justeru,Kita sebagai umat yang beriman dan bermaruah pada hari ini ingin memberikan amaran tegas bahawa jangan ada mana-mana pihak yang ingin atau berhasrat menukar agama anak-anak ini. Seluruh umat Islam di negara ini wajib bersatu demi keselamatan aqidah mereka. Agama adalah nikmat paling bernilai yang wajib dijaga dan dipertahankan. Biar bermandi darah namun usaha murtadkan umat tetap disanggah. Biar nyawa melayang namun aqidah tetap dipertahankan. Jangan bermain api dengan umat Islam nanti buruk padahnya

Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah :

وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ‎﴿١٠٩﴾

Maksudnya: Ramai di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Himpunan Khutbah Ambang Ramadhan

Ramadhan DiRindu Taqwa DiBuru

Rai Kedatangan Ramadhan Raih Kemenangan Islam

Ramadhan DiRai Keistimewaannya DiNikmati

Ramadhan DiSambut Taqwa DiRebut

Ramadhan Dirai Kemuliaan DiRasai

Taqwa DiTagih Kemuliaan Diraih