• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Jumaat : Berqiblatkan Islam Julang Kehebatan Umat


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  144 surah al-Baqarah :

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ‎﴿١٤٤﴾‏ 

Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Ayat 144 surah al-Baqarah yang dibaca tadi mengingatkan kita bagaimana peristiwa perubahan arah qiblat daripada mengadap ke arah Masjid Aqsa di Palestin kepada Ka’abah di Mekah Mukarramah. Jika pada bulan Rejab lepas kita dingatkan dengan peristiwa Isra’ Mikraj di mana disebut secara jelas bagaimana perjalanan nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjdi al-Aqsa di Palestin maka dalam peristiwa perubahan qiblat daripada mengadap Baitul Maqdis kepada Ka’abah di Masjidil Haram yang berlaku pada bulan Sya’aban yang menunjukkan kepada kita bagaimana kuatnya ikatan antara kedua-dua masjid tersebut.

Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda diarahkan agar menghadap ke arah Baitul Maqdis dan ramai di kalangan penduduk Madinah waktu itu daripada golongan Yahudi di mana sememangnya qiblat mereka adalah Baitul Maqdis. Oleh itu kaum yahudi sentiasa mengejek dan mencerca nabi Muhammad s.a.w dan muslimin kerana mereka menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Cercaan dan ejekan yahudi ini agak memberi kesan mendalam terhadap umat Islam pada masa itu sehingga nabi berdoa dan memandang ke langit mengharapkan turunnya wahyu yang mengizinkannya dan para sahabat berpaling ke Baitullah di Mekah. Akhirnya selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w menghadap ke Baitul Maqdis, barulah Allah memerintahkan agar baginda menghadap ke Ka’abah.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah antaranya dalam ayat  145 surah al-Baqarah :

وَلَئِنْ أَتَيْتَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ بِكُلِّ آيَةٍ مَّا تَبِعُوا قِبْلَتَكَ ۚ وَمَا أَنتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ ۚ وَمَا بَعْضُهُم بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ ۚ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم مِّن بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ إِنَّكَ إِذًا لَّمِنَ الظَّالِمِينَ ‎﴿١٤٥﴾‏

Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim. 

            Peristiwa pertukaran Qiblat ini memberi isyarat yang jelas kepada umat Islam agar kita mesti berusaha menjauhi amalan dan budaya hidup yang bercanggah daripada Islam yang sentiasa disogokkan oleh musuh Islam dengan pelbagai cara. Umat Islam mesti mempunyai jatidiri berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi sehingga kita mampu menjadi contoh teladan yang baik kepada orang bukan Islam bukannya kita menjadi penghalang atau tembok yang mendinding orang bukan Islam daripada melihat keindahan yang ada dalam Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan.

Sejarah mencatatkan bagaimana Islam telah berjaya mengubah dan merevolusi diri dan jiwa orang Melayu sehingga orang Melayu seolah menemukan identiti diri mereka yang serasi dan sesuai dengan jiwa mereka. Walaupun umum mengetahui bahwa Kepulauan Melayu sebelum kedatangan Islam, rata-rata umat Melayu dikatakan menganuti samada ajaran Hindu atau  Buddha dan budaya atau kepercayaan anak negeri sendiri. Namun, sepertimana yang dijelaskan oleh seorang tokoh sejarawan Barat Van Leur, ajaran-ajaran itu sebenarnya tidak benar-benar dihayati oleh masyarakat tetapi sekadar oleh golongan raja-raja dan bangsawan. Para sami dari tanah besar India didatangkan ke Nusantara ini untuk mempengaruhi masyarakat agar mendewa-dewakan raja-raja kononnya keturunan dewa atau wakil Tuhan. Ajaran ini sekadar nipis dan tidak benar-benar bertapak dalam jiwa masyarakat umum pada masa itu. Begitu juga dengan ajaran Buddha walaupun kesan Candi Borobudur  wujud di Pulau Jawa, namun dari segi pemikiran dan pegangan tiada ditemukan karya-karya Buddha mahupun Hindu yang dikarang oleh bangsa Melayu. Tiada ahli fikir Melayu-Hindu atau Melayu-Buddha yang pernah dicatatkan wujud dalam sejarah Nusantara ini. Tetapi berbeza dengan Islam apabila ramai ulama Melayu-Islam yang lahir dengan karya-karya yang berkualiti tinggi sepeti Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Nuruddin al-Raniri, Sheikh Shamsuddin al-Sumara’I dan ramai lagi. Ini jelas, betapa ajaran Islam telah berjaya membentuk jatidiri bangsa Melayu dari dulu hingga kini dan tanpa Islam, bangsa Melayu seolah-olahnya tidak memiliki identiti yang jelas dan kukuh. Kalimat bahasa Arab juga ditemui begitu banyak dalam bahasa Melayu sehingga dianggarkan sekitar 3,000 kalimat Arab diterimapakai dalam bahasa Melayu, iaitu sekitar 15 peratus daripada perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Kekuatan Islam terhadap bangsa Melayu ini diperkukuhkan lagi apabila Perlembagaan Persekutuan turut memasukkan takrif bagi “orang Melayu” sepertimana yang dirakamkan dalam Perkara 160 (2) yang menyebut  orang Melayu “sebagai seorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat Istiadat Melayu…”

Kedudukan Islam-Melayu itu adalah hubungan yang berkait rapat yang tidak dapat dipisahkan sepertimana ikan dan air atau irama dan lagu. Adat budaya dan sopan santun yang bangsa Melayu miliki hari ini adalah kerana pengaruh daripada ajaran Islam yang dianuti mereka khususnya daripada aspek tasawuf melalui pendekatan Imam al-Ghazali misalnya

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

            Firman Allah dalam ayat  110 surah Ali Imran :

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah SWT (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”

Hasan al-Banna berkata: “Bangsa yang membangun perlu merasa bangga dengan bangsa mereka dan merasakan bangsa mereka adalah bangsa yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan. Mereka perlu merasakan bangsa mereka mempunyai keistimewaan dan sejarah silam yang agung. Rasa bangga ini perlu wujud dalam jiwa anak bangsa ini.

Dengan ini, mereka akan bersedia mengorbankan darah dan jiwa raga demi mempertahahankan kegemilangan dan maruah mereka. Dengan ini juga mereka akan berusaha demi kepentingan, kemuliaan dan kesejahteraan negara ini. Nilai ini tidak akan dapat kita lihat dilaksanakan secara adil, bermaruah dan berperikemanusiaan oleh mana-mana sistem yang lain tidak seperti yang dilaksanakan oleh Islam yang suci ini.

Sebuah bangsa yang mengetahuinya harga diri dan maruahnya pasti dimuliakan oleh Allah SWT. Sebagaimaan ungkapan Saidina Umar ibn Al-Khattab : “Kita adalah bangsa yang dimuliakan Allah dengan Islam, dan sekiranya kita mencari kemuliaan melalui selain daripada Islam, nescaya Allah akan menghina kita”.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  56 surah al-Zariyat:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Banyak manfaat yang dapat diperolehi daripada ibadah khusus yang disyariatkan Islam. Kesannya bukan hanya dapat membentuk baik jati diri seorang Muslim, ia juga berkesan dalam memupuk sebuah masyarakat yang harmonis. Sebagai contoh, solat fardu dapat memupuk disiplin dan kepekaan tentang masa dalam seseorang, dan jika dilakukan secara berjamaah ia dapat mengeratkan silaturahim sesama Muslim dan mengajar tentang kesamarataan antara manusia dalam urusan kerohanian. Memberi zakat pula dapat membersihkan jiwa dari sifat tamak dan kedekut, dan mengajar manusia untuk mengambil peduli tentang keadaan sekelilingnya.

Ibadah juga bukan hanya terhad pada amalan-amalan kerohanian yang berlaku di atas tikar sembahyang atau di persekitaran masjid. Bahkan setiap perbuatan dan percakapan yang dilakukan seorang Muslim atas tujuan mencari reda Tuhan dan rahmat-Nya serta membawa kebaikan pada semua dapat dikira sebagai ibadah.

Mencari rezeki buat keluarga, melaksanakan tanggungjawab pekerjaan, membantu meringankan beban dan menjaminkan keamanan adalah antara perbuatan lazim manusia yang boleh dilihat sebagai ibadah yang umum. Seharusnya identiti Islam seseorang tidak dilucutkan apabila ia melakukan perbuatan luar daripada ibadat khusus kerana ajaran Islam merangkumi semua aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi, sosial dan lainnya. Hanya dengan cara ini kesan ibadah khusus itu dapat diterapkan dalam jati diri seorang yang bergelar Muslim.

Oleh itu bersungguhlah kita dalam membentuk jati diri sehingga kita sahaja akan memberi manfaat pada diri sendiri malah dapat memberi manfaat untuk oran lain

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya : Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.

(Riwayat Ibn Hibban)

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: