• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Jumaat : Isra’ Mikraj Pertahan Aqidah Julang Maruah


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Isra’ Mikraj ini merupakan mukjizat kedua terbesar selepas mukjizat al-Quran di mana kita sebagai umat beriman kepada Allah dan rasulnya wajib menerima berita  dan mengimani tentang kebenaran tanpa rasa ragu dan was-was walau sedikit pun. Contohilah iman Saidina Abu Bakar  tidak mempertikaikan apatah lagi meragui peristiwa luar biasa yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW pada saat ada penduduk Makkah ketika itu yang ragu tentang peristiwa tersebut.

Hari ini banyak pandangan ilmiah daripada ahli sains yang membuktikan peristiwa Israk Mikraj bukan perkara mustahil berlaku. Misalannya mengambil teori kelajuan cahaya iaitu kaitan perjalanan dan kelajuan perjalanan Israk dan Mikraj ini melalui teori kecepatan kelajuan cahaya. Bagaimanapun, sebagai umat Islam yang beriman, tidak perlu kita untuk mencari bahan bukti bagi mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini. Marilah sama-sama kita menuruti apa yang dilakukan oleh Abu Bakar yang menerima peristiwa tersebut tanpa ragu kerana keimanan yang tinggi kepada Allah

Peristiwa Israk Mikraj adalah suatu perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa ketakwaan terhadap Allah SWT menerusi sebahagian tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 94 surah al-Hijr:

فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ ﴿٩٤

Maksudnya : Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu

Oleh itu kita meliahat bagaimana isu aqidah adalah isu paling penting dalam kehidupan umat Islam. Ketika seminggu dua ini ketika dunia sedang menyaksikan India sedang berlaku penindasan agama oleh pemerintah India. Pelajar Muslim bertudung dilarang masuk ke sekolah. Ia merupakan provokasi dan penindasan hak asasi manusia tiba-tiba di Malaysia dihangatkan dengan isu 3 anak muallaf yang telah memeluk Islam melalui bapanya telah diambil hak penjagaan oleh ibunya yang belum Islam atas keputusan Mahkamah. Kita sebagai rakyat di negara berdaulat memamahi bahawa bagi seseorang bukan Islam yang ingin menukar agama kepada agama Islam, mereka perlu melalui beberapa proses yang telah ditetapkan mengikut negeri-negeri di Malaysia. Begitu juga dalam soal pemelukan agama anak. Mengikut peruntukan undang-undang negeri berhubung dengan pemelukan agama anak, wujud perbezaan syarat, di mana ada negeri yang mensyaratkan persetujuan salah seorang ibu bapa, dan ada negeri yang mensyaratkan persetujuan kedua-duanya.  

Dalam hal ini, kita menghormati syarat-syarat yang diputuskan oleh negeri-negeri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa negeri, dan syarat-syarat yang diputuskan juga adalah berasaskan kepada pandangan ulama dan fatwa yang sah. Merujuk kepada isu di Perlis, tindakan pengislaman tiga kanak-kanak oleh bapanya yang telah memeluk Islam adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Perlis pada masa tersebut seperti yang termaktub dalam Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Negeri Perlis yang membenarkan pengislaman anak-anak dibuat dengan persetujuan salah seorang ibu atau bapa.  

Oleh itu, hal ini tidak sepatutnya menjadi pertikaian apabila pihak yang telah menukar agamanya kepada Islam telah menukar agama anaknya mengikut prosedur dan undang-undang negeri yang telah ditetapkan secara sah. Apatah lagi sehingga menuduh pihak berkuasa agama Perlis ‘menculik dan menukar agama’ anak-anak tersebut. Tidak sepatutnya kita meniup api perselisihan sehingga mengancam keharmonian hidup berbilang kaum di negara ini. Dalam hal ini, kita menyeru kepada semua pihak agar jangan sesekali cuba memainkan api perkauman apabila undang-undang negeri yang membenarkan pemelukan agama anak-anak itu adalah sah dan terpakai. Kita doakan semoga aqidah 3 anak muallaf terus terjaga walau pun hak penjagaan mereka diserah kepada ibu mereka yang belum Islam

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 50 surah al-Maidah:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ‎﴿٥٠﴾‏

Maksudnya :Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.

Sebagai sebuah negara yang telah merdeka lebih dari 64 tahun dan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sewajarnya tidak perlu lagi melalui detik-detik pertikaian yang akan mencetuskan perbalahan di antara kaum dan agama. Sudah tiba masanya usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera. Adakah kita perlu menunggu kes yang sama berulang pada masa hadapan untuk kita mengulangi semula skrip dan tindakan yang sama。 Semua pihak perlu menghormati undang-undang tersebut kerana ia digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu badan yang kompeten dan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang di bawah bidang kuasanya.

Kita menyeru kepada semua pemimpin politik Melayu dan Islam, merentasi semua latar politik, agar sama-sama berganding bahu untuk memulakan langkah yang besar untuk bergerak ke arah meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengekang kesan yang terhasil dari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang tersebut. Kita juga menyeru kerajaan-kerajaan negeri dan Pihak-Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk menjadikan Agenda Menyelamatkan Aqidah Ummah sebagai Agenda Kerajaan, dimana fokus yang konsisten, bersepadu dan berterusan perlu disegerakan bagi mempertahankan kuasa-kuasa Ketua Agama Islam di Negeri-Negeri, kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri dalam menggubal kesalahan-kesalahan jenayah syariah terhadap Perintah-Perintah Agama, dan mempertahankan bidang kuasa dan peranan Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 219 surah  al-Baqarah :

 يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١٩

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir

Ketika menghayati Israk Mikraj dan juga masih berdepan musibah covid 19 maka kita mendesak agar kerajaan membatalkan lesen pusat judi dan hadkan lesen jualan arak. Perjudian secara asasnya tidak diterima oleh mana-mana kaum dan penganut agama sekalipun kalangan non-Muslim jika difikirkan secara pertimbangan rasional kerana terbukti perjudian bukan hanya merosakkan ekonomi malah memberi kesan terhadap sosial kekeluargaan dengan berlakunya pergaduhan, persengketaan dan lebih teruk lagi “menggadai” anak keluarga bagi mereka yang terdesak dan mengalami kekalahan dalam pertaruhan. Walau pun hasil cukai judi begitu tinggi dapat dikutip oleh kerajaan seperti 2019  sebanyak RM2.72 billion namun ia tidak berbaloi berbanding kerosakan dan laknat Allah. Hentikan maksiat supaya kita mendapat rahmat bukan laknat, disirami kasih sayang Allah bukan dihujani bala bencana. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: