• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 2,086,296 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 42,548 other followers

Gerhana Bulan Penuh Perigee 26 Mei 2021!


Pada awal Maghrib, 26 Mei 2021 nanti, kita di Malaysia dan rakan-rakan lain di Asia Tenggara berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh.

Kali terakhir kita menyaksikan gerhana bulan (gerhana penumbra tidak dambil kira) ialah pada 16 Julai 2019, di mana ketika itu jenis gerhananya ialah gerhana bulan separa.

Waktu kejadian.

Gerhana Bulan Penuh kali ini akan berlaku ketika Bulan baru sahaja terbit di ufuk sebelah timur selepas waktu Maghrib (sunset). Ini bermakna kedudukan Bulan berada sangat rendah di ufuk.

Menyukarkan lagi keadaan ialah, kita (terutama di Semenanjung) hanya akan dapat lihat separuh sahaja daripada keseluruhan fasa gerhana.

Fasa gerhana yang saya maksudkan di sini ialah apabila Bulan mula memasuki bayang-bayang umbra, kemudian keseluruhan piring bulan masuk sepenuhnya ke dalam bayang-bayang umbra, dan seterusnya keluar kembali daripada sempadan bayang-bayang umbra.

Berbalik kepada apa yang kita akan dapat lihat dari Semenanjung, pada waktu Maghrib ketika Bulan terbit, Bulan sedang berada di kemuncak gerhana penuh iaitu keseluruhan piring Bulan sudah pun berada di dalam kawasan gelap bayang-bayang umbra.

Kita hanya dapat tengok separuh masa kedua sahaja, yakni bermula dari kemuncak gerhana penuh dan ia kembali keluar dari bayang-bayang umbra.

Namun begitu, bagi pencerap di Sarawak dan Sabah, anda lebih bernasib baik kerana apabila Bulan sedang terbit pada waktu Maghrib, ia masih belum masuk sepenuhnya ke dalam kawasan bayang-bayang gelap umbra.

Hanya selang 30-40 minit selepas itu barulah keseluruhan Bulan memasuki bayang-bayang umbra, yakni ia berada di dalam fasa gerhana penuh!

Nak mudah cerita, Gerhana Bulan Penuh kali ini akan dapat dilihat SELEPAS MAGHRIB DI LOKASI MASING-MASING hinggalah jam 8:52 malam (SELURUH MALAYSIA).

Berapa lamakah jangka waktu gerhana kali ini?

Keseluruhan fasa gerhana bulan (dari awal masuk umbra hingga akhir keluar dari umbra) mengambil masa 3 jam 7 minit.

Keseluruhan fasa gerhana penuh (iaitu Bulan berada keseluruhan di dalam kawasan gelap umbra) mengambil masa hanya 15 minit sahaja.

Harus diingat, ketika Bulan baru sahaja memasuki kawasan umbra, Bulan masih berada di bawah ufuk dan tidak kelihatan di langit kita.

Kenapa 15 minit?

Ini adalah disebabkan Bulan begerak di dalam bayang-bayang umbra di bahagian sisi sempadan umbra sahaja, dan bukan di tengah-tengah. Maka, jangka waktu ia berada di dalam kawasan gelap adalah singkat.

Diagram laluan Bulan merentasi kawasan bayang-bayang Umbra. Kredit Fred Espenak.

Apakah yang kita akan dapat lihat nanti?

Berdasarkan maklumat oleh Fred Espenak, nilai umbral magnitude gerhana kali ini ialah 1.009. Nilai ini memberi maksud pecahan diameter Bulan yang berada di dalam bayang-bayang umbra.

Gerhana Bulan Penuh akan memberi nilai lebih besar dari 1

Gerhana Bulan Separa memberi nilai kurang dari 1

Gerhana Bulan Penumbra memberi nilai negatif!

Lebih besar nilai 1 itu, bermaksud lebih gelap dan lebih banyak kawasan bayang-bayang umbra yang terpaksa ditempuhi oleh Bulan.

Gerhana kali ini, nilai umbral magnitude hanya 1.009, sedikit besar dari 1. Ini bermaksud Bulan hanya bergerak sedikit sahaja di dalam kawasan bayang-bayang umbra, dan lebih hampir ke sempadan luar umbra.

Maka, dijangkakan gerhana penuh kali ini, Bulan tidak akan lihat begitu gelap atau merah pekat. Ia mungkin akan kelihatan ‘agak cerah’, atau merah terang.

Mungkin beginikah suasana Bulan ketika ia terbit dalam fasa Gerhana Penuh nanti?

Sempadan di sebelah utara Bulan (atau sebelah kiri dari pandangan mata kita) akan kelihatan lebih cerah/terang bebanding sisi selatan/kanan Bulan.

Gerhana Bulan Penuh Perigee!

Bulan kali ini mungkin akan kelihatan sedikit besar berbanding biasa kerana kebetulan waktu Gerhana Bulan Penuh ini berlaku, Bulan berada di dalam kedudukan paling hampir dengan Bumi, iaitu perigee.

Oleh itu kita boleh la kot nak panggil fenomena kali ini Gerhana Bulan Penuh Perigee!

Adakah kedudukan Bulan yang rendah akan memberi kesan?

Mungkin juga. Faktor altitud atau ketinggian Bulan yang rendah (terutama di Semenanjung) akan memberi sedikit kesan terhadap ‘kecerahan’ gerhana ini. Bulan mungkin akan kelihatan agak malap ketika ia baru sahaja terbit.

Namun, apabila Bulan semakin tinggi, kesan atmosfera ini akan berkurangan.

Contoh kesan atmosfera apabila Bulan berada rendah di langit. Foto oleh Antonín Hušek dari Czech Republic.

Walaupun begitu kita kena ingat, apabila Bulan semakin tinggi, ia sudah pun tamat fasa gerhana penuhnya! Ketika itu Bulan sudah mula keluar daripada sempadan bayang-bayang umbra dan berada di dalam fasa separa.

Perbezaan pemandangan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Bulan akan memasuki fasa gerhana penuh bermula jam 7:11 pm hingga 7:25 pm.

Bagi anda di Sabah dan Sarawak, Bulan akan terbit lebih awal di sana, iaitu lebih kurang antara jam 6:11 pm ( di Tawau, Sabah) hinggalah 6:37 pm ( di Kuching, Sarawak).

Maka, ketika Bulan terbit, ia masih dalam fasa gerhana separa, dan semasa Bulan baru masuk ke dalam fasa gerhana penuh, ia sudah pun berada agak tinggi di ufuk timur.

Keadaan Gerhana Bulan Penuh sedang terbit di ufuk. Pemandangan ini mirip dengan apa yang dapat dilihat oleh pencerap di Sabah dan Sarawak. Foto oleh Matt Dahl.

Selesa dan mudah untuk dicerap! Best!

Bagi anda di Semenanjung pula, Bulan terbit sekitar jam 7:18 pm (di Kuala Lumpur), campur tolak beberapa minit di bandar-bandar lain.

Maka, ketika Bulan terbit, Bulan sudah pun berada di dalam fasa gerhana penuh! Anda akan terlepas dan tidak dapat menyaksikan momen ia mula-mula menjadi gelap sepenuhnya, kerana pada ketika itu Bulan masih berada di bawah ufuk.

Di manakah lokasi sesuai untuk melihat gerhana kali ini?

Di sebabkan faktor kedudukan Bulan yang rendah, anda perlu mencari kawasan ufuk langit timur yang luas dan tiada halangan, seperti bangunan, pokok atau bukit.

Cabaran paling getir bagi pencerap di Semenanjung ialah Bulan sangat rendah ketika gerhana, dan kita perlu mencari kawasan yang tidak ada halangan seperti gambar di atas.

Tiada keperluan untuk berada di tempat yang gelap kerana Bulan boleh dilihat dengan mudah walaupun dari kawasan bandar yang terang. Anda hanya perlu mengelak daripada melihat ke kawasan yang silau dengan lampu jalan.

Jika langit timur anda ialah laut, seperti di pantai timur, anda lebih bernasib baik kerana pemandangan Bulan dalam keadaan gerhana penuh sedang terbit di atas garisan laut bakal menjadi momen yang sungguh indah!

Tepi pantai adalah lokasi terbaik untuk menyaksikan gerhana bulan penuh kali ini. Foto oleh Stefano De Rosa.

Harus diingat juga, disebabkan sekarang musim Covid, dan PKP sedang dilaksanakan, janganlah merayau ke tempat yang jauh-jauh atau lakukan cerapan di dalam kumpulan yang besar.

Patuhi SOP!!!

Lebih baik lakukan cerapan dari rumah sahaja. Gerhana ini tak kemana pun, InsyaAllah panjang umur tahun depan ada lagi peluang nak tengok.

Bilakah gerhana bulan seterusnya?

Gerhana Bulan seterusnya akan berlaku pada 19 Nov 2021 ini. Ia merupakan Gerhana Bulan Separa, namun nilai umbral magnitude -nya ialah 0.974 !! Hampir-hampir nak gerhana penuh!

Sekali lagi ia akan berlaku ketika Bulan terbit.

Dan sekali lagi, rakan-rakan di Sabah dan Sarawak berpeluang menyaksikan Bulan terbit dalam keadaan ia sedang berada di dalam fasa gerhana separa, yakni Bulan sedang mula keluar daripada bayang-bayang umbra.

Dan sekali lagi, anda di Semenanjungtidak akan dapat lihat langsung Bulan yang berada di dalam keadaan gerhana! Ketika Bulan terbit, ia sudah pun keluar daripada bayang-bayang umbra!

Sabor je la! 🙂

Bilakan waktu untuk melakukan solat sunat khusuf ( الخُ لخُ فِو )?

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”

Gerhana Bulan kali ini akan tamat pada jam 8:52 malam (seluruh Malaysia). Maka, anda boleh lakukan solat sunat khusuf ( الخُ لخُ فِو ) bermula waktu Maghrib di lokasi masing-masing, hinggalah 8:52 malam

Boleh rujuk KAIFIYAT SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI DAN BULAN terbitan Jabatan Mufti Negeri Perak ini.

Selamat mencerap semua!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: