• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Jumaat : Perpaduan Kuat Pemacu Umat Berkat


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam surah al-Ana’am, ayat 153 :

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menuruti jalan-jalan yang lain daripada Islam, kerana jalan-jalan yang lain itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertakwa.

Kini kita telah berada pada minggu-minggu  yang terakhir daripada bulan Sya’ban di mana dalam sejarah Islam pernah tercatat suatu peperangan iaitu Perang Bani Mustaliq pada tahun 6H. Dalam peristiwa ini, Rasulullah ﷺ melancarkan serangan kepada Bani Mustaliq setelah agen perisikan kaum muslimin Buraidah al-Aslami mengesahkan bahawa al-Harith ibn Dirar iaitu pemimpin Bani Mustaliq) merancang untuk menyerang Rasulullah ﷺ dan Madinah. Dalam peperangan ini, berlaku beberapa insiden yang menarik untuk diteladani. Pertama, tercetusnya perselisihan antara Jahjah ibn Masu’d dari Muhajirin dan Sinan ibn Wabr al-Juhani dari kaum Ansar. Perselisihan yang berlaku di telaga al-Muraysi’ itu hampir mencetuskan peperangan di antara kaum Muslimin. Jahjah telah meminta bantuan kaum Muhajirn untuk berlawan dengan Sinan, begitu juga dengan Sinan. Sinan menyeru kaum Ansar untuk menyokong pergaduhan ini. Sifat asabiyyah ini iaitu membantu kaum sendiri atas dasar kezaliman adalah perkara yang dikeji dalam Islam sehingga Rasulullah ﷺ menyifatkan perkara ini sebagai sikap Jahiliyyah.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah.

Ketika insiden ini terjadi, Abdullah ibn Ubai iaitu ketua Munafik merasa geram apabila melihat pergaduhan sesama Muslim tidak berlaku. Bahkan beliau merungut atas sikap Ansar yang selama ini banyak memberi bantuan kepada kaum Muhajirin. Lihatlah sikap si munafiq yang suka melihat perpecahan berlaku dan mengambil kesempatan atas emosi dan perselisihan kaum Muslimin. Bahkan munafiq ini juga dilihat tidak suka kebajikan yang dilakukan oleh kaum Ansar terhadap Muhajirin.

Abdullah bin Ubaj berkata : “ Adakah munasabah dia melakukan demikian, apabila mereka (Muhajirin) sudah ramai dalam negeri kita maka mereka hendak menunjukkan kekuatan samalah seperti kata pepatah gemukkan anjingmu kemudian ia akan menggigitmu. Tengoklah nanti apabila pulang ke Madinah tahulah dia bagaimana orang mulia (Ansor) akan mengeluarkan orang yang hina ( Nabi dan Muhajirin)”.

Mendengar kata-kata biadap yang keluar daripada mulut Abdullah bin Ubai  itu lalu Sayyidina Umar meminta izin daripada nabi untuk membunuhnya tetapi nabi menegahnya bagi mengelakkan fitnah yang mengatakan nabi membunuh sahabatnya sendiri. Hasil daripada kesabaran ini juga menyebabkan lebih ramai  orang membenci Abdullah bin Ubai sehingga dia semakin terpinggir. Allah turut merakamkan  peristiwa bagi menjawab tuduhan Abdullah bin Ubai terhadap nabi dan golongan Muhajirin melalui ayat 8 surah al-Munafiqun :

يَقُولُونَ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنْهَا الأَذَلَّ ۚ وَِللهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لاَ  يَعْلَمُونَ 

Maksudnya : Mereka (golongan munafik) berkata : “ Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah maka benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah daripadanya”. Sedangkan kekuatan itu hanyalah bagi Allah S.W.T, bagi rasulNya dan bagi orang-orang mukmin tetapi orang munafik itu tidak mengetahui.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

            Firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat 14 :

وَمِنَ الَّذِينَ قَالُواْ إِنَّا نَصَارَى أَخَذْنَا مِيثَاقَهُمْ فَنَسُواْ حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُواْ بِهِ فَأَغْرَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَسَوْفَ يُنَبِّئُهُمُ اللَّهُ بِمَا كَانُواْ يَصْنَعُونَ

Maksudnya : Dan di antara orang-orang yang berkata bahawa kami ini orang-orang Nasrani, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka melupakan sebahagian daripada apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka sampai ke hari kiamat dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan.

            Isu perpaduan dan perpecahan umat Islam terutama selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki tahun 1924 sering dibangkitkan sehingga umat Islam bagaikan anak ayam yang kehilangan ibu. Penelitian al-Quran dan Sunnah telah mendedahkan beberapa sebab perselisihan atau perpecahan ini. Sebab-sebab perselisihan terebut telah disusun oleh al-Ustaz Said Hawwa di dalam kitab “Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan”. Antaranya [1] Tidak Mengikuti Jalan Allah sehingga setengah keadaan umat Islam sendiri lebih mendewakan system dan cara hidup penjajah yang bercanggah dengan Islam [2] Melupai Satu Juzu’ Daripada Agama Allah dengan mengambil Islam pada sudut ibadat khusus, nikah kahwin sahaja sedangkan ekonomi, politik berqiblatkan penjajah. [3] Hasad Dengki dan Marah Memarahi

Firman Allah Taala dalam surah al-Syura, ayat 14 :

وَمَا تَفَرَّقُوا إِلاَّ مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ

Maksudnya : Dan umat setiap Rasul tidak akan berpecah-belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka pengetahuan (apa yang disuruh dan apa yang dilarang) berlakunya (perselisihan itu) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.

Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam telah mentafsirkan (البغي) dengan sabdanya;

دَبَّ إِلَيْكُمْ دَاءُ الْأُمَمِ قَبْلَكُمُ الْحَسَدُ، وَالْبَغْضَاءُ هِيَ الْحَالِقَةُ لَا أَقُولُ تَحْلِقُ الشَّعَرَ وَلَكِنْ تَحْلِقُ الدِّينَ

Maksudnya : Telah merebak di kalangan kamu penyakit umat-umat sebelum kamu iaitu hasad-dengki dan marah-memarahi. Ia adalah pencukur. Aku tidak berkata pencukur yang mencukur rambut. Sesungguhnya ia adalah pencukur yang mencukur agama. (riwayat al-Tirmizi)

Demikianlah kalau sudah tidak ada lagi sikap saling percaya di kalangan umat. Bagaimana mungkin kita mengharapkan berlakunya pertemuan, perundingan dan perdamaian yang tulen kalau dilubuk hati masing-masing tersimpan rasa tidak percaya kepada pihak lain. Kerana itu langkah ke arah mewujudkan perpaduan harus juga bermula dengan usaha menumbuhkan sikap saling percaya di kalangan sesama umat. Tetapi ini juga tidak mudah kerana percaya kepada seseorang atau sesuatu pihak harus berlaku secara tabi‘ie, tidak dapat dipaksa-paksakan.

Sidang Jumaat yang dirberkati Allah S.W.T,

Firman Allah Taala (surah al-Hasyr, ayat 14);

لا يُقَاتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلاَّ فِي قُرًى مُّحَصَّنَةٍ أَوْ مِن وَرَاء جُدُرٍ بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لّا يَعْقِلُونَ

Maksudnya : (Orang-orang Yahudi dan munafiq) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbentang kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya) permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras, engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka.

[4] Mementingkan Nafsu Melebihi Kitab Allah di mana Sifat nafsu itu cenderung kepada kejahatan lebih-lebih lagi ia pula didorong oleh peranan syaitan yang sentiasa melaga-lagakan kita supaya berpecah dan bermusuh-musuhan di antara satu sama lain. Di antara kejahatan nafsu ialah bersifat tamak dan mementingkan diri. Umat yang hidupnya mengikut dorongan hawa nafsu semata dan angkuh, mereka  itulah umat yang  berada dalam suasana jahiliyyah. Kerana keangkuhan, seorang manusia itu menolak nilai-nilai kebenaran dan keadilan atas sentimen kepentingan peribadi dan kelompok tertentu sahaja sehinga mengenepikan agama dan maslahat umum.

[5] Tidak Bersatu Hati Untuk Akhirat. Sabda Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam;

لَا تُفْتَحُ الدُّنْيَا عَلَى أَحَدٍ إِلَّا أَلْقَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بَيْنَهُمْ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ  – رواه أحمد وبَزَّار

Maksudnya : Tidak akan dibuka dunia kepada seseorang melainkan Allah akan melontarkan perasaan permusuhan dan marah-memarahi sesama mereka sehingga hari kiamat. 

Formula asasnya memang sudah jelas, tetapi realitinya tidak semua orang rela dan bersedia untuk kembali kepada hukum Allah. Sikap tersebut akan mengundang laknat oleh Allah, bererti ia mendapat kemurkaan Allah di mana hidupnya akan menjadi susah, tidak tenang, tidak bahagia, tidak mendapat rahmah Allah, tidak mendapat keberkatan dari Allah dan saling bermusuhan. Akibat mendapat laknat Allah itu, hatinya akan menjadi keras dan dia dengan mudah sahaja akan menjadi marah dan gelisah.

[6] Tiada Rahmat di mana Allah telah menyebut sifat-sifat mereka yang layak mendapat rahmat Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Taubah, ayat 71 :

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya : Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagiannya menjadi penolong kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada kemungkaran dan mereka mendirikan solat dan memberikan zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha kuasa lagi Maha Bijaksana.

Kecuaian pada salah satu daripada sifat ini bererti kecuaian kepada kesatuan umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

 Firman Allah dari surah al-Maidah, ayat 105;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ لاَ يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah diri kamu. Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudharat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayat petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya) Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu balasan apa yang kamu telah lakukan.

Abu Tha’labah menjawab, “Demi Allah aku pernah bertanya Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam tentang ayat ini, jelas Baginda Nabi” ;

بَلِ ائْتَمِرُوا بِالْمَعْرُوفِ، وَتَنَاهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ، حَتَّى إِذَا رَأَيْتَ شُحًّا مُطَاعًا، وَهَوًى مُتَّبَعًا، وَدُنْيَا مُؤْثَرَةً، وَإِعْجَابَ كُلِّ ذِي رَأْيٍ بِرَأْيِهِ فَعَلَيْكَ بِخَاصَّةِ نَفْسِكَ وَدَعِ الْعَوَامَّ ، فَإِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامًا الصَّبْرُ فِيهِنَّ مِثْلُ الْقَبْضِ عَلَى الْجَمْرِ، لِلْعَامِلِ فِيهِنَّ مِثْلُ أَجْرِ خَمْسِينَ رَجُلًا يَعْمَلُونَ مِثْلَ عَمَلِكُمْ – رواه الترمذي

Maksudnya : Bahkan kamu suruhlah amal kebaikan dan cegahlah kemungkaran sehingga apabila engkau melihat kebakhilan ditaati, nafsu diikuti, dunia dilebihi dan para pengkagum berbangga dengan pandangannya sendiri. Wajib ke atas engkau menjaga diri dan usah pedulikan orang awam. Sesungguhnya di belakangmu adanya hari-hari, seorang yang sabar padanya seperti seorang yang menggenggam besi panas. Pekerja Islam pada hari itu dianugerahkan ganjaran seperti lima puluh orang yang beramal dengan amalan kamu. 

[7] Menghidap 4 Jenis Penyakit yang menyebabkan perselisihan yang parah kepada umat Islam, iaitu; Kebakhilan yang ditaati, Hawa nafsu yang diikuti, Dunia yang dilebihi dan Kagum dengan pandangan sendiri

            Menyedari betapa pentingnya perpaduan dan bahayanya perpecahan yang menyebabkan kita menjadi hina di negara sendiri. Ayuh marilah kita sama-sama merawat penyakit yang membawa kepada perpecahan seterusnya memperkasakan perpaduan atas asas Islam untuk selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan komen