• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 2,069,809 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,273 other followers

Khutbah Jumaat : Israk Mikraj DiHayati, Riba dan LGBT DiTangani

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah :

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦

Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa

HARI ini kita sudah 14 hari berada dalam bulan Rejab yang merupakan antara 4 bulan haram selain bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Sesungguhnya ketibaan bulan Rejab sebagai petanda betapa kita semakin menghampiri bulan yang paling mulia iaitu Ramadan al-Mubarak. Rejab ialah bulan yang mulia dan suci. Selain itu, terdapat juga maksud lain bagi Rejab iaitu kebesaran, rahmat, pemurah, kebajikan dan kerohanian. Seorang Ulama iaitu Abu Bakar al-Warraq RH berkata : “Rejab ialah bulan untuk bercucuk tanam, Syaaban pula bulan untuk menyiram tanaman dan Ramadan pula bulan untuk memungut hasil.”  

Bulan haram bermaksud bulan yang mulia lagi dihormati. Pada bulan ini, mereka akan menangguhkan peperangan, perjalanan dan perniagaan lantaran bulan ini perlu diberi fokus untuk membanyakkan amalan yang mulia.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan dalam kitab Fathul Bari bahawa pengharaman atau kemuliaan bulan Rejab berlaku disebabkan perselisihan masyarakat Arab dalam penentuan waktu peperangan. Apabila mereka ingin menangguhkan peperangan maka mereka akan mengharamkan bulan berkenaan sebagai tanda penghormatan. 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui

Bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun.  Sayyidina Ali pernah mengingatkan kita : “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 50 surah at-Taubah :

 وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ ائْذَن لِّي وَلَا تَفْتِنِّي ۚ أَلَا فِي الْفِتْنَةِ سَقَطُوا ۗ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيطَةٌ بِالْكَافِرِينَ ﴿٤٩﴾ إِن تُصِبْكَ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ ۖ وَإِن تُصِبْكَ مُصِيبَةٌ يَقُولُوا قَدْ أَخَذْنَا أَمْرَنَا مِن قَبْلُ وَيَتَوَلَّوا وَّهُمْ فَرِحُونَ ﴿٥٠

Maksudnya : Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: “Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah “. Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir.  Jika engkau (wahai Muhammad) beroleh sesuatu kebaikan, (maka) kebaikan itu menyebabkan mereka sakit hati; dan jika engkau ditimpa sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telahpun mengambil keputusan (tidak turut berperang) sebelum itu”, dan mereka berpaling (meninggalkanmu) sambil mereka bergembira

Antara iktibar daripada Perang Tabuk di mana sebelum keluar ke Tabuk Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu [1] golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Manakala golongan ke-[2]  ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Alasan-alasan ini mengingatkan kita tentang apa yang pernah digariskan oleh Imam Ghazali tentang 4 perkara besar yang selalu menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat dan berjuang pada jalan Allah SWT iaitu dunia, makhluk, hawa nafsu dan syaitan.

Ketika Perang Tabuk juga Rasulullah s.a.w terpaksa berdepan dengan golongan yang ke-[3]  yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan munafik ini terus ada pada setiap zaman di mana mereka lebih bahaya daripada kafir yang jelas menentang Islam kerana  bergerak atas nama Islam tetapi memesongkan ajaran Islam.  

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

قَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : رَأَيْتُ اللَّيْلَةَ رَجُلَيْنِ أَتَيَانِى ، فَأَخْرَجَانِى إِلَى أَرْضٍ مُقَدَّسَةٍ ، فَانْطَلَقْنَا حَتَّى أَتَيْنَا عَلَى نَهَرٍ مِنْ دَمٍ فِيهِ رَجُلٌ قَائِمٌ ، وَعَلَى وَسَطِ النَّهْرِ رَجُلٌ بَيْنَ يَدَيْهِ حِجَارَةٌ ، فَأَقْبَلَ الرَّجُلُ الَّذِى فِى النَّهَرِ فَإِذَا أَرَادَ الرَّجُلُ أَنْ يَخْرُجَ رَمَى الرَّجُلُ بِحَجَرٍ فِى فِيهِ فَرَدَّهُ حَيْثُ كَانَ ، فَجَعَلَ كُلَّمَا جَاءَ لِيَخْرُجَ رَمَى فِى فِيهِ بِحَجَرٍ ، فَيَرْجِعُ كَمَا كَانَ ، فَقُلْتُ مَا هَذَا فَقَالَ الَّذِى رَأَيْتَهُ فِى النَّهَرِ آكِلُ الرِّبَا – رواه البخاري

Maksudnya :  “Malam tadi aku telah melihat ada 2 orang lelaki yang mendatangiku, keduanya membawaku ke kota yang disucikan. Kami berangkat sehingga kami mendatangi sungai darah. Di dalam sungai itu ada seorang laki-laki yang berdiri. Dan di pinggir sungai ada seorang lelaki yang di depannya terdapat batu-batu. Lelaki yang berada dalam sungai itu cuba mendekati, jika dia hendak keluar, lelaki yang di pinggir sungai itu melemparkan batu ke dalam mulutnya sehingga dia kembali ke tempat asalnya semula. Setiap kali lelaki yang di sungai itu datang hendak keluar, lelaki yang di pinggir sungai itu melemparkan batu ke dalam mulutnya sehingga dia kembali ke tempatnya semula. Aku bertanya, “Apa ini?” Dia menjawab, “Orang yang engkau lihat di dalam sungai itu adalah pemakan riba’”
Ketika menyentuh tentang antara pengajaran peristwa Israk Mikraj pula ialah antaranya tentang seksaan kepada pemakan riba yang berenang dalam sungai darah dan dilempar dengan batu sehingga dia tidak mampu untuk sampai ke tepian. Al-Quran dan hadis nabi banyak menyebut tentang seksaan dan balasan dahsyat yang menimpa pemakan riba di dunia dan akhirat antaranya dilaknat dan disisytihar perang oleh Allah, bangkit daripada kubur dalam keadaan dirasuk serta berdepan seksaan api Neraka yang dahsyat. Oleh itu jauhilah amalan riba terutama ketika berdepan dengan pendamik Covid 19 perlu ada usaha yang bersungguh dalam menghapuskan sistem riba dalam negara yang sememangnya zalim dan menindas. Hanya dengan garis panduan dan nilai Islam, masyarakat akan dapat dilindungi daripada tipu daya industri riba perbankan yang sentiasa akan cuba membuat mereka berbelanja di luar kemampuan. Wawasan masyarakat juga perlu diubah supaya mereka mempunyai kesedaran sebenar tentang tujuan kehidupan mereka di dunia serta peranan mereka sebagai Khalifah yang mempunyai kaedah pengukuran kejayaan yang sebenar iaitu ‘ketaqwaan’ kepada Allah dan bukannya berdasarkan ukuran material dan ekonomi semata-mata.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 10 surah as-Syuura :

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِن شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمُ اللَّـهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ ﴿١٠

Maksudnya : Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara ugama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku  kembali

RAMAI yang sedih dengan keputusan terbaru Mahkamah Persekutuan yang menetapkan bahawa peruntukan undang-undang berkaitan seks luar tabii dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor sebagai tidak sah. Alasannya adalah kerana undang-undang berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan. Rasa dukacita ini adalah, antaranya kerana skop Mahkamah Syari’ah dan bidang kuasa perundangan Islam seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan ditafsirkan secara sempit dan terhad. Ia mengecilkan skop kuasa Mahkamah Syariah. Apa yang berlaku ini sebagai satu cabaran yang menggugat Mahkamah Syariah, tetapi dalam masa yang sama ia juga boleh dianggap sebagai pembuka peluang ke arah usaha pelaksanaan Undang-undang Islam dalam perspektif lebih menyeluruh. Selama ini apabila bercakap soal pelaksanaan Undang-undang Islam, kita terlalu terikat kepada Undang-undang Islam di bawah bidang kuasa negeri, khususnya berkaitan Mahkamah Syari’ah. Hakikatnya Undang-undang Islam adalah undang-undang yang perlu dilaksanakan oleh negeri, bahkan juga oleh Persekutuan. Islam bukan sahaja perlu didukung oleh Mahkamah Syariah, bahkan juga perlu didukung oleh mahkamah arus perdana dalam negara ini.

Misalnya dalam menangani kesalahan liwat, Undang-undang Persekutuan melalui Kanun Keseksaan memang memperuntukkan kesalahan liwat sebagai satu jenayah. Kewujudan peruntukan ini menunjukkan bahawa telah terlaksana kehendak Syariah. Cuma aspek yang mungkin perlu ditambahbaik ialah dari sudut hukuman dan prosedurnya. Begitu juga aspek perundangan lain seperti kewangan, kontrak, rasuah, peraturan tanah dan sebagainya sudah mempunyai unsur Islamik, cuma memerlukan kepada penambahbaikan agar ia benar-benar menepati kehendak Islam atau dalam istilah popular hari ini, ia perlu ‘patuh Syariah’.

Oleh yang demikian, ketika bidang kuasa Mahkamah Syariah ditafsirkan secara sempit begini, para pencinta undang-undang Islam tidak perlu rasa tersisih atau lemah semangat. Bahkan inilah masanya untuk membuka dimensi yang lebih luas dalam usaha memartabatkan Undang-undang Islam. Kerajaan Persekutuan wajib bersungguh untuk melaksanakan Undang-undang Islam dengan lebih menyeluruh dalam semua aspek termasuklah dalam aspek jenayah. Tanggungjawab untuk mendukung Islam yang merupakan ‘agama Persekutuan’ sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan adalah sebahagian dari tanggungjawab penting Kerajaan Persekutuan. Islam adalah agama yang syumul atau menyeluruh iaitu meliputi aspek ekonomi, politik, keselamatan, pendidikan, jenayah, urusniaga dan lain-lain. Semoga usaha dan dokongan kita bersama dapat memudahkan lagi kedaulatan Islam dalam sistem negara. Islamlah nescaya kita selamat dan maju jaya dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ