• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 2,069,811 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,273 other followers

Khutbah Jumaat : Israk Mikraj DiHayati, Sugarbook dan Judi DiPerangi

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Isra’ Mikraj ini merupakan mukjizat kedua terbesar selepas mukjizat al-Quran di mana kita sebagai umat beriman kepada Allah dan rasulnya wajib menerima berita  dan mengimani tentang kebenaran serta tidak menolak peristiwa Isra’ Mikraj. Kita dilarang mengikut rentak golongan Liberal yang secara asas pun meletakkan nabi setaraf dengan manusia biasa yang tidak mempunyai apa kelebihan sedangkan nabi adalah insan pilihan Allah yang dikurniakan mukjizat dalam menguatkan hujah dakwah.

Apa yang terbaru apabila golongan liberal cuba menolak amalan khitan anak perempuan atas alasan bercanggah dengan  peraturan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyamakan khitan dengan  Potong Kemaluan Perempuan (Female Genital Mutilation) yang dilakukan di sesetengah benua. Ulama’ telah meletakkan garis panduan khitan iaitu wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khitan anak perempuan itu sebagai suatu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 94 surah al-Hijr:

فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ ﴿٩٤

Maksudnya : Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu

Sebelum berlaku Isra’ Mikraj yang hebat ini maka nabi Muhammad s.a.w telah melalui pelbagai cabaran dan ujian dalam tugas dakwah samada berbentuk kasar seperti dicaci maki, dituduh tukang sihir dan orang gila, diboikot sehingga hampir kebuluran. Begitu juga dengan cara halus termasuk ditawar dengan takhta, harta dan wanita tetapi dengan syarat meninggal dakwah Islam. Malah penentangan terhadap kerja dakwah semakin memuncak dengan kewafatan 2 sosok insan istimewa iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Ulama menukilkan bagaimana antara hikmat diwafatkan keduanya supaya umat Islam tidak menjadikan alasan bahawa nabi s.a.w sentiasa  menjalani kerja dakwah dengan jalan yang mudah dan senang kerana tidak pernah dikasari oleh musuh kerana dijaga oleh orang yang disegani oleh kafir Quraisy

Kita juga wajib mencontohi kesungguhan nabi s.a.w dalam kerja dakwah sehingga sanggup meninggal Mekah untuk mencuba nasib di Taif. Walau pun penentangan penduduk Taif hampir sama dengan suasana di Mekah sehingga nabi s.a.w dilontar batu sampai berdarah. Ini semua mengajar kita bagaimana perjuangan Islam bukan dihampar dengan permaidani merah malah menuntut tumpahnya darah, bukan dijanji kemenangan mudah malah pelbagai ujian yang wajib diredah

Kita pada hari ini sedang diuji dengan covid 19 maka bukan sahaja kerja dakwah seolah terbantut malah pusat pengajian anak-anak turut terbatas. Maka ini semua menuntut supaya kita mencari cara lain termasuk menguasai teknologi maklumat agar kerja dakwah dan mengajar tidak terhenti. Ibubapa walau bukan guru terpaksa bertugas sebagai guru pada musim covid agar pelajaran anak tidak terabai

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 186 surah al-Baqarah:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ ﴿ ١٨٦

Maksudnya : Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Nabi Muhammad s.a.w juga mendidik kita agar banyak bersabar dan banyak berdoa dalam berdepan dengan ujian. Doa bukan bererti kita mudah putus asa dan malas berusaha sebaliknya doa adalah suatu tuntutan bagi memastikan kita sentiasa ingat dan dekat serta yakin dengan bantuan Allah. Terutama kita yang masih berada dalam suasana wabak covid yang masih belum  pulih maka doa adalah suatu tuntutan yang mesti diamalkan tanpa mengira masa dan tempat disamping memperbanyakkan amal ibadat dan menghindari maksiat

Ketika  Isra’ telah dipersembahkan kepada Nabi s.a.w susu dan arak, namun Baginda s.a.w memilih susu, maka disebutkan kepada Baginda s.a.w: Engkau telah menunjukkan kepada fitrah atau telah menepati fitrah, tapi sekiranya engkau mengambil khamar nescaya sesatlah seluruh umatmu.

Kita berasa gembira bila hampir 70 % pusat hiburan gulung tikar sepanjang PKP hampir setahun. Malah telah ada usaha dalam mengurangkan lesen premis arak di ibu kota disamping undang-undang lebih keras kepada pemandu mabuk

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 32 surah  al-Isra’ :

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴿٣٢

Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

Dalam peristiwa Isra’ Mikraj juga nabi Muhammad s.a.w diperlihatkan bagaimana penzina-penzina diletakkan di hadapan mereka daging-daging elok dan segar di samping daging buruk dan busuk, namun mereka memilih dan memakan yang busuk, ditinggalkannya yang segar. Kita pada hari ini mendesak agar pihak kerajaan membuat pelbagai usaha samada berbentuk maklumat mahu pun penguatkuasaan agar sebarang pintu zina dapat ditutup. Apa yang hangat dibicarakan ialah tentang suatu program mempromosi atau mendorong kepada pelacuran yang sudah semestinya bukan sahaja salah dari segi agama, bahkan undang-undang iaitu Sugarbook yang turut melibatkan pelajar universiti. Walau apa alasan diberikan namun ia  suatu perkara yang tidak berakhlak dan merosakkan. Tindakan pengharaman laman web ini disamping tindakan tegas kepada pemiliknya wajib dibuat segera.  Contohi Perancis bila seorang lelaki yang mempromosikan satu laman web yang mempromosikan kerja sebagai Sugar Baby kepada para pelajar universiti  ditahan oleh polis dan didakwa kerana mempromosikan pelacuran. Begitu juga Belgium, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara  dan didenda  manakala syarikatnya turut didenda

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 219 surah  al-Baqarah :

 يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١٩

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir

Ketika menghayati Israk Mikraj dan juga berdepan musibah covid 19 maka kita mendesak agar kerajaan membatalkan kebenaran dibuka semula pusat judi. Perjudian secara asasnya tidak diterima oleh mana-mana kaum dan penganut agama sekalipun kalangan non-Muslim jika difikirkan secara pertimbangan rasional kerana terbukti perjudian bukan hanya merosakkan ekonomi malah memberi kesan terhadap sosial kekeluargaan dengan berlakunya pergaduhan, persengketaan dan lebih teruk lagi “menggadai” anak keluarga bagi mereka yang terdesak dan mengalami kekalahan dalam pertaruhan. Walau pun hasil cukai judi begitu tinggi dapat dikutip oleh kerajaan seperti 2019  sebanyak RM2.72 billion namun ia tidak berbaloi berbanding kerosakan dan laknat Allah. Hentikan maksiat supaya kita mendapat rahmat bukan laknat, disirami kasih sayang Allah bukan dihujani bala bencana. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ