• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 2,069,812 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,273 other followers

Khutbah Jumaat : Israk Mikraj DiHayati, Riba dan LGBT DiTangani

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah :

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦

Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa

HARI ini kita sudah 14 hari berada dalam bulan Rejab yang merupakan antara 4 bulan haram selain bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Sesungguhnya ketibaan bulan Rejab sebagai petanda betapa kita semakin menghampiri bulan yang paling mulia iaitu Ramadan al-Mubarak. Rejab ialah bulan yang mulia dan suci. Selain itu, terdapat juga maksud lain bagi Rejab iaitu kebesaran, rahmat, pemurah, kebajikan dan kerohanian. Seorang Ulama iaitu Abu Bakar al-Warraq RH berkata : “Rejab ialah bulan untuk bercucuk tanam, Syaaban pula bulan untuk menyiram tanaman dan Ramadan pula bulan untuk memungut hasil.”  

Bulan haram bermaksud bulan yang mulia lagi dihormati. Pada bulan ini, mereka akan menangguhkan peperangan, perjalanan dan perniagaan lantaran bulan ini perlu diberi fokus untuk membanyakkan amalan yang mulia.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan dalam kitab Fathul Bari bahawa pengharaman atau kemuliaan bulan Rejab berlaku disebabkan perselisihan masyarakat Arab dalam penentuan waktu peperangan. Apabila mereka ingin menangguhkan peperangan maka mereka akan mengharamkan bulan berkenaan sebagai tanda penghormatan. 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui

Bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun.  Sayyidina Ali pernah mengingatkan kita : “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 50 surah at-Taubah :

 وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ ائْذَن لِّي وَلَا تَفْتِنِّي ۚ أَلَا فِي الْفِتْنَةِ سَقَطُوا ۗ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيطَةٌ بِالْكَافِرِينَ ﴿٤٩﴾ إِن تُصِبْكَ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ ۖ وَإِن تُصِبْكَ مُصِيبَةٌ يَقُولُوا قَدْ أَخَذْنَا أَمْرَنَا مِن قَبْلُ وَيَتَوَلَّوا وَّهُمْ فَرِحُونَ ﴿٥٠

Maksudnya : Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: “Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah “. Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir.  Jika engkau (wahai Muhammad) beroleh sesuatu kebaikan, (maka) kebaikan itu menyebabkan mereka sakit hati; dan jika engkau ditimpa sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telahpun mengambil keputusan (tidak turut berperang) sebelum itu”, dan mereka berpaling (meninggalkanmu) sambil mereka bergembira

Antara iktibar daripada Perang Tabuk di mana sebelum keluar ke Tabuk Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu [1] golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Manakala golongan ke-[2]  ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Alasan-alasan ini mengingatkan kita tentang apa yang pernah digariskan oleh Imam Ghazali tentang 4 perkara besar yang selalu menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat dan berjuang pada jalan Allah SWT iaitu dunia, makhluk, hawa nafsu dan syaitan.

Ketika Perang Tabuk juga Rasulullah s.a.w terpaksa berdepan dengan golongan yang ke-[3]  yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan munafik ini terus ada pada setiap zaman di mana mereka lebih bahaya daripada kafir yang jelas menentang Islam kerana  bergerak atas nama Islam tetapi memesongkan ajaran Islam.  

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

قَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : رَأَيْتُ اللَّيْلَةَ رَجُلَيْنِ أَتَيَانِى ، فَأَخْرَجَانِى إِلَى أَرْضٍ مُقَدَّسَةٍ ، فَانْطَلَقْنَا حَتَّى أَتَيْنَا عَلَى نَهَرٍ مِنْ دَمٍ فِيهِ رَجُلٌ قَائِمٌ ، وَعَلَى وَسَطِ النَّهْرِ رَجُلٌ بَيْنَ يَدَيْهِ حِجَارَةٌ ، فَأَقْبَلَ الرَّجُلُ الَّذِى فِى النَّهَرِ فَإِذَا أَرَادَ الرَّجُلُ أَنْ يَخْرُجَ رَمَى الرَّجُلُ بِحَجَرٍ فِى فِيهِ فَرَدَّهُ حَيْثُ كَانَ ، فَجَعَلَ كُلَّمَا جَاءَ لِيَخْرُجَ رَمَى فِى فِيهِ بِحَجَرٍ ، فَيَرْجِعُ كَمَا كَانَ ، فَقُلْتُ مَا هَذَا فَقَالَ الَّذِى رَأَيْتَهُ فِى النَّهَرِ آكِلُ الرِّبَا – رواه البخاري

Maksudnya :  “Malam tadi aku telah melihat ada 2 orang lelaki yang mendatangiku, keduanya membawaku ke kota yang disucikan. Kami berangkat sehingga kami mendatangi sungai darah. Di dalam sungai itu ada seorang laki-laki yang berdiri. Dan di pinggir sungai ada seorang lelaki yang di depannya terdapat batu-batu. Lelaki yang berada dalam sungai itu cuba mendekati, jika dia hendak keluar, lelaki yang di pinggir sungai itu melemparkan batu ke dalam mulutnya sehingga dia kembali ke tempat asalnya semula. Setiap kali lelaki yang di sungai itu datang hendak keluar, lelaki yang di pinggir sungai itu melemparkan batu ke dalam mulutnya sehingga dia kembali ke tempatnya semula. Aku bertanya, “Apa ini?” Dia menjawab, “Orang yang engkau lihat di dalam sungai itu adalah pemakan riba’”
Ketika menyentuh tentang antara pengajaran peristwa Israk Mikraj pula ialah antaranya tentang seksaan kepada pemakan riba yang berenang dalam sungai darah dan dilempar dengan batu sehingga dia tidak mampu untuk sampai ke tepian. Al-Quran dan hadis nabi banyak menyebut tentang seksaan dan balasan dahsyat yang menimpa pemakan riba di dunia dan akhirat antaranya dilaknat dan disisytihar perang oleh Allah, bangkit daripada kubur dalam keadaan dirasuk serta berdepan seksaan api Neraka yang dahsyat. Oleh itu jauhilah amalan riba terutama ketika berdepan dengan pendamik Covid 19 perlu ada usaha yang bersungguh dalam menghapuskan sistem riba dalam negara yang sememangnya zalim dan menindas. Hanya dengan garis panduan dan nilai Islam, masyarakat akan dapat dilindungi daripada tipu daya industri riba perbankan yang sentiasa akan cuba membuat mereka berbelanja di luar kemampuan. Wawasan masyarakat juga perlu diubah supaya mereka mempunyai kesedaran sebenar tentang tujuan kehidupan mereka di dunia serta peranan mereka sebagai Khalifah yang mempunyai kaedah pengukuran kejayaan yang sebenar iaitu ‘ketaqwaan’ kepada Allah dan bukannya berdasarkan ukuran material dan ekonomi semata-mata.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 10 surah as-Syuura :

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِن شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمُ اللَّـهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ ﴿١٠

Maksudnya : Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara ugama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku  kembali

RAMAI yang sedih dengan keputusan terbaru Mahkamah Persekutuan yang menetapkan bahawa peruntukan undang-undang berkaitan seks luar tabii dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor sebagai tidak sah. Alasannya adalah kerana undang-undang berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan. Rasa dukacita ini adalah, antaranya kerana skop Mahkamah Syari’ah dan bidang kuasa perundangan Islam seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan ditafsirkan secara sempit dan terhad. Ia mengecilkan skop kuasa Mahkamah Syariah. Apa yang berlaku ini sebagai satu cabaran yang menggugat Mahkamah Syariah, tetapi dalam masa yang sama ia juga boleh dianggap sebagai pembuka peluang ke arah usaha pelaksanaan Undang-undang Islam dalam perspektif lebih menyeluruh. Selama ini apabila bercakap soal pelaksanaan Undang-undang Islam, kita terlalu terikat kepada Undang-undang Islam di bawah bidang kuasa negeri, khususnya berkaitan Mahkamah Syari’ah. Hakikatnya Undang-undang Islam adalah undang-undang yang perlu dilaksanakan oleh negeri, bahkan juga oleh Persekutuan. Islam bukan sahaja perlu didukung oleh Mahkamah Syariah, bahkan juga perlu didukung oleh mahkamah arus perdana dalam negara ini.

Misalnya dalam menangani kesalahan liwat, Undang-undang Persekutuan melalui Kanun Keseksaan memang memperuntukkan kesalahan liwat sebagai satu jenayah. Kewujudan peruntukan ini menunjukkan bahawa telah terlaksana kehendak Syariah. Cuma aspek yang mungkin perlu ditambahbaik ialah dari sudut hukuman dan prosedurnya. Begitu juga aspek perundangan lain seperti kewangan, kontrak, rasuah, peraturan tanah dan sebagainya sudah mempunyai unsur Islamik, cuma memerlukan kepada penambahbaikan agar ia benar-benar menepati kehendak Islam atau dalam istilah popular hari ini, ia perlu ‘patuh Syariah’.

Oleh yang demikian, ketika bidang kuasa Mahkamah Syariah ditafsirkan secara sempit begini, para pencinta undang-undang Islam tidak perlu rasa tersisih atau lemah semangat. Bahkan inilah masanya untuk membuka dimensi yang lebih luas dalam usaha memartabatkan Undang-undang Islam. Kerajaan Persekutuan wajib bersungguh untuk melaksanakan Undang-undang Islam dengan lebih menyeluruh dalam semua aspek termasuklah dalam aspek jenayah. Tanggungjawab untuk mendukung Islam yang merupakan ‘agama Persekutuan’ sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan adalah sebahagian dari tanggungjawab penting Kerajaan Persekutuan. Islam adalah agama yang syumul atau menyeluruh iaitu meliputi aspek ekonomi, politik, keselamatan, pendidikan, jenayah, urusniaga dan lain-lain. Semoga usaha dan dokongan kita bersama dapat memudahkan lagi kedaulatan Islam dalam sistem negara. Islamlah nescaya kita selamat dan maju jaya dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Israk Mikraj DiHayati, Sugarbook dan Judi DiPerangi

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Isra’ Mikraj ini merupakan mukjizat kedua terbesar selepas mukjizat al-Quran di mana kita sebagai umat beriman kepada Allah dan rasulnya wajib menerima berita  dan mengimani tentang kebenaran serta tidak menolak peristiwa Isra’ Mikraj. Kita dilarang mengikut rentak golongan Liberal yang secara asas pun meletakkan nabi setaraf dengan manusia biasa yang tidak mempunyai apa kelebihan sedangkan nabi adalah insan pilihan Allah yang dikurniakan mukjizat dalam menguatkan hujah dakwah.

Apa yang terbaru apabila golongan liberal cuba menolak amalan khitan anak perempuan atas alasan bercanggah dengan  peraturan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyamakan khitan dengan  Potong Kemaluan Perempuan (Female Genital Mutilation) yang dilakukan di sesetengah benua. Ulama’ telah meletakkan garis panduan khitan iaitu wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khitan anak perempuan itu sebagai suatu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 94 surah al-Hijr:

فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ ﴿٩٤

Maksudnya : Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu

Sebelum berlaku Isra’ Mikraj yang hebat ini maka nabi Muhammad s.a.w telah melalui pelbagai cabaran dan ujian dalam tugas dakwah samada berbentuk kasar seperti dicaci maki, dituduh tukang sihir dan orang gila, diboikot sehingga hampir kebuluran. Begitu juga dengan cara halus termasuk ditawar dengan takhta, harta dan wanita tetapi dengan syarat meninggal dakwah Islam. Malah penentangan terhadap kerja dakwah semakin memuncak dengan kewafatan 2 sosok insan istimewa iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Ulama menukilkan bagaimana antara hikmat diwafatkan keduanya supaya umat Islam tidak menjadikan alasan bahawa nabi s.a.w sentiasa  menjalani kerja dakwah dengan jalan yang mudah dan senang kerana tidak pernah dikasari oleh musuh kerana dijaga oleh orang yang disegani oleh kafir Quraisy

Kita juga wajib mencontohi kesungguhan nabi s.a.w dalam kerja dakwah sehingga sanggup meninggal Mekah untuk mencuba nasib di Taif. Walau pun penentangan penduduk Taif hampir sama dengan suasana di Mekah sehingga nabi s.a.w dilontar batu sampai berdarah. Ini semua mengajar kita bagaimana perjuangan Islam bukan dihampar dengan permaidani merah malah menuntut tumpahnya darah, bukan dijanji kemenangan mudah malah pelbagai ujian yang wajib diredah

Kita pada hari ini sedang diuji dengan covid 19 maka bukan sahaja kerja dakwah seolah terbantut malah pusat pengajian anak-anak turut terbatas. Maka ini semua menuntut supaya kita mencari cara lain termasuk menguasai teknologi maklumat agar kerja dakwah dan mengajar tidak terhenti. Ibubapa walau bukan guru terpaksa bertugas sebagai guru pada musim covid agar pelajaran anak tidak terabai

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 186 surah al-Baqarah:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ ﴿ ١٨٦

Maksudnya : Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Nabi Muhammad s.a.w juga mendidik kita agar banyak bersabar dan banyak berdoa dalam berdepan dengan ujian. Doa bukan bererti kita mudah putus asa dan malas berusaha sebaliknya doa adalah suatu tuntutan bagi memastikan kita sentiasa ingat dan dekat serta yakin dengan bantuan Allah. Terutama kita yang masih berada dalam suasana wabak covid yang masih belum  pulih maka doa adalah suatu tuntutan yang mesti diamalkan tanpa mengira masa dan tempat disamping memperbanyakkan amal ibadat dan menghindari maksiat

Ketika  Isra’ telah dipersembahkan kepada Nabi s.a.w susu dan arak, namun Baginda s.a.w memilih susu, maka disebutkan kepada Baginda s.a.w: Engkau telah menunjukkan kepada fitrah atau telah menepati fitrah, tapi sekiranya engkau mengambil khamar nescaya sesatlah seluruh umatmu.

Kita berasa gembira bila hampir 70 % pusat hiburan gulung tikar sepanjang PKP hampir setahun. Malah telah ada usaha dalam mengurangkan lesen premis arak di ibu kota disamping undang-undang lebih keras kepada pemandu mabuk

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 32 surah  al-Isra’ :

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴿٣٢

Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

Dalam peristiwa Isra’ Mikraj juga nabi Muhammad s.a.w diperlihatkan bagaimana penzina-penzina diletakkan di hadapan mereka daging-daging elok dan segar di samping daging buruk dan busuk, namun mereka memilih dan memakan yang busuk, ditinggalkannya yang segar. Kita pada hari ini mendesak agar pihak kerajaan membuat pelbagai usaha samada berbentuk maklumat mahu pun penguatkuasaan agar sebarang pintu zina dapat ditutup. Apa yang hangat dibicarakan ialah tentang suatu program mempromosi atau mendorong kepada pelacuran yang sudah semestinya bukan sahaja salah dari segi agama, bahkan undang-undang iaitu Sugarbook yang turut melibatkan pelajar universiti. Walau apa alasan diberikan namun ia  suatu perkara yang tidak berakhlak dan merosakkan. Tindakan pengharaman laman web ini disamping tindakan tegas kepada pemiliknya wajib dibuat segera.  Contohi Perancis bila seorang lelaki yang mempromosikan satu laman web yang mempromosikan kerja sebagai Sugar Baby kepada para pelajar universiti  ditahan oleh polis dan didakwa kerana mempromosikan pelacuran. Begitu juga Belgium, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara  dan didenda  manakala syarikatnya turut didenda

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 219 surah  al-Baqarah :

 يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١٩

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir

Ketika menghayati Israk Mikraj dan juga berdepan musibah covid 19 maka kita mendesak agar kerajaan membatalkan kebenaran dibuka semula pusat judi. Perjudian secara asasnya tidak diterima oleh mana-mana kaum dan penganut agama sekalipun kalangan non-Muslim jika difikirkan secara pertimbangan rasional kerana terbukti perjudian bukan hanya merosakkan ekonomi malah memberi kesan terhadap sosial kekeluargaan dengan berlakunya pergaduhan, persengketaan dan lebih teruk lagi “menggadai” anak keluarga bagi mereka yang terdesak dan mengalami kekalahan dalam pertaruhan. Walau pun hasil cukai judi begitu tinggi dapat dikutip oleh kerajaan seperti 2019  sebanyak RM2.72 billion namun ia tidak berbaloi berbanding kerosakan dan laknat Allah. Hentikan maksiat supaya kita mendapat rahmat bukan laknat, disirami kasih sayang Allah bukan dihujani bala bencana. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Amalan DiGanda Syurga DiDamba

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 12 surah as-Sajadah :

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ ﴿١٢

Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Kehidupan dunia ini penuh ujian dalam menentukan siapa antara kita yang berjaya lahir sebagai hamba Allah yang bertaqwa yang merasai kelazatan dalam ibadat dan gerun pada maksiat atau menjadi manusia derhaka yang benci beramal soleh dan tenggelam dalam najis maksiat. Pilihan berada dalam tangan kita samada memilih jalan bahagia atau derita, kebenaran atau kebatilan. Allah masih panjangkan umur kita bagi memberi peluang untuk kita beramal soleh dan bertaubat atas dosa maksiat. Guna peluang ini sebelum terlepas, ambil kesempatan sebelum ditutup

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Meyakini bahawa kehidupan dunia hanya sebagai tempat untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala amalan soleh bagi maka antara amalan terbaik ialah banyakkan selawat kepada nabi Muhammad s.a.w terutama pada hari Jumaat yang mulia ini. Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً – رواه البيهقي

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 1-3  surah al-Maa’un:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ ﴿١﴾ فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ ﴿٢﴾ وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ ﴿٣

Maksudnya : Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?  Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,  Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin

Amalan yang membolehkan kita berada hampir dengan nabi Muhammad s.a.w pada hari Qiamat kelak ialah memelihara dan mengasihi anak yatim dengan melakukan kebaikan serta pertolongan memenuhi keperluan mereka yang merangkumi aspek jiwa, soal hati, kasih sayang juga masa depan mereka.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ   – رواه مسلم

Maksudnya: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jari baginda SAW) di Syurga”. 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 1-3  surah al-Maa’un:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ ﴿١١٤

Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Amalan mulia yang boleh membawa kita ke Syurga ialah sentiasa berakhlak dengan akhlak mulia dan menjauhi sifat yang keji. Akhlak mulia ini bukan sahaja akan bermanfaat kepada diri kita sahaja malah akan dirasai oleh orang lain yang berada di sekeliling kita. Malah amal kebajikan yang kita lakukan boleh menghapuskan dosa yang bukan sahaja mendekatkan lagi hubungan kita dengan Allah malah merapatkan hubungan kita sesama manusia

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّـيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ-  رواه الترمذي 

Maksudnya : “Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 58 Surah an-Nisa’:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Antara perkara penting lagi dalam meraih Syurga Allah ialah menjadi pemimpin yang amanah, benar serta bijaksana. Perlu kita sedari bahawa setiap kita adalah pemimpin kepada diri, keluarga, masyarakat, organisasi, negeri ataupun negara. Sehubungan itu, kita perlu melaksanakan tugas sebagai pemimpin dengan kaedah yang terbaik mengikut sunah Rasulullah SAW. Ketika Khalifah Umar Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah, beliau menjemput beberapa ulama bertemu dengannya untuk mendapatkan nasihat. Salah seorang ulama yang datang adalah Hassan al-Basri di mana beliau memberikan nasihat: “Anggaplah rakyat seperti ayahmu, saudaramu, dan anak-anakmu. Berbaktilah kepada mereka seperti engkau berbakti pada ayahmu, peliharalah hubungan baik dengan mereka seperti dengan saudaramu, dan sayangilah mereka seperti engkau menyayangi anak-anakmu.”

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْه –  رواه أبو دأود

Maksudnya : Apabila Allah berkehendakkan kebaikan buat seorang pemimpin, maka dijadikan buatnya menteri atau penasihat yang benar. Sekiranya dia lupa, maka penasihatnya akan mengingatkannya, sekiranya dia ingat, penasihatnya akan membantunya. Namun sekiranya Allah berkehendakkan yang selainnya (yang tidak baik) maka dijadikan pemimpin itu mempunyai penasihat yang jahat. Apabila dia leka, penasihatnya membiarkan sahaja, apabila dia ingat (untuk melakukan kebaikan), penasihatnya tidak membantunya.”

Sama-samalah kita berusaha dan sentiasalah berdoa agar kita menjadi pemimpin dan dipimpin oleh pemimpin yang soleh yang sentiasa berusaha membawa kepada Syurga dan menjauhi daripada Neraka

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ