• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Audio 216 – Hijrah Membina Negara Merdeka

Khutbah Pdf : Hijrah Membina Negara Merdeka

Hijrah Membina Negara Merdeka

Hijrah Membina Negara Merdeka

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  su  ruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  77-78 surah Thoha :

وَلَقَدْ أَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي فَاضْرِبْ لَهُمْ طَرِيقًا فِي الْبَحْرِ يَبَسًا لَّا تَخَافُ دَرَكًا وَلَا تَخْشَىٰ ﴿٧٧﴾ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ بِجُنُودِهِ فَغَشِيَهُم مِّنَ الْيَمِّ مَا غَشِيَهُمْ ﴿٧٨

Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam”. Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu dia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.

Kini lebih seminggu kita berada di bulan Muharram tahun baru 1442H di mana bulan Muharram merupakan salah satu dari 4 bulan haram yang dimuliakan oleh Allah. Salah suatu amal soleh yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w untuk dikerjakan pada bulan Muharram ini ialah memperbanyakkan puasa sunat.

قَالَ الرسول e: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ – رواه مسلم

Maksudnya : Puasa yang paling utama sesudah puasa Ramadlan adalah puasa pada Syahrullah (bulan Allah) Muharram. Sedangkan solat malam merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.”

Begitu juga galakan khusus untuk berpuasa sunat hari ke-10 Muharram

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ e: .. وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ”  – رواه مسلم

Maksudnya : … Adapun puasa hari Asyura (iaitu hari ke-10 Muharram), pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat  92 surah Yunus :

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ ﴿٩٢

Maksudnya : “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.

Bulan Muharram turut mencatatkan beberapa peristiwa besar termasuk pada 10 Muharram yang merupakan hari diselamatkan nabi Musa as dan pengikutnya daripada dikejar oleh Firaun. Pada hari tersebut juga Firaun dan bala tenteranya ditenggelamkan apabila Laut Merah kembali bercantum. Apa yang lebih hebat bila kita dapat melihat bagaimana mukjizat al-Quran yang menceritakan secara jelas tentang tubuh Firaun yang tidak lenyap hancur ditelan air laut sebaliknya diselamatkan mayatnya sehingga diawet menjadi mumia untuk simpanan di Muzium Mesir. Sejarah moden menyaksikan adanya pengkaji termasuk dari Perancis yang mengakui bahawa tubuh Firaun ini kekal hingga hari ini. Ini suatu  pengajaran besar kepada kita semua

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat  21 surah al-Maidah :

يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ ﴿٢١

Maksudnya: (Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.

Perintah Nabi Musa a.s kepada pengikutnya untuk masuk ke Tanah Suci Palestin merupakan perintah Allah Taala. Justeru, Nabi Musa a.s tidak melakukan tindakan dengan semberono malah melakukan perancangan rapi bagi memastikan kaumnya tidak merasakan dukacita di atas setiap arahan Allah. Melihat kepada tindakan nabi Musa as adalah  hampir sama dengan Hijrah Rasulullah s.a.w apabila Nabi Muhammad saw telah menyusun strategi dan perancangan yang rapi bagi memastikan perjalanan ke Madinah selamat dan mencapai matlamat. Hijrah nabi sa.w bukan pelarian kerana ia adalah Perintah Allah yang dijanjikan kemuliaan dunia akhirat. Jika hanya untuk lari daripada kejahatan kafir Quraisy sudah pasti nabi s.a.w terus berhijrah ke Habsyah bersama sebahagian umat Islam.  Hijrah nabi merupakan Strategi dakwah dan politik Islam bukan melarikan diri apabila didahulukan dengan Baiah Aqabah Pertama dan Baiah Aqabah Kedua dengan wakil penduduk Madinah sebelum berlangsungnya peristiwa hijrah yang bersejarah. Baiah atau janji taat setia ini bukan sahaja terkandung akuan beriman semata-mata malah Baiah Aqabah kedua turut menekankan rasa tanggungjawab dan kesediaan untuk melantik nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin serta sanggup gugur syahid dalam menjaga nabi s.a.w. Perkara ini sudah pasti tidak didapati oleh seorang pelarian. Malah hijrah nabi s.a.w mendapat jemputan dan disambut oleh kaum Ansar secara rela dan penuh kegembiraan. Oleh itu sesuatu gelaran yang tidak layak kepada nabi s.a.w termasuk pelarian wajib dijauhi agar tidak merosakkan pahala amalan dan agama itu sendiri

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

قال الرسول e  : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya

Hijrah nabi Musa as dan nabi Muhammad s.a.w bukan hanya untuk merdekakan umatnya daripada penindasan kerajaan yang sesat dan zalim malah Berjaya membina Daulah yang merdeka daripada kesesatan dan kezaliman. Gerunnya Firaun kepada kelahiran nabi Musa as sehingga sanggup membunuh anak lelaki dari bani Israil kerana bimbang kerajaannya akan tumbang. Allah mengatur segala perancangan dengan begitu hebat apabila nabi Musa as bukan sahaja diselamatkan daripada dibunuh ketika kecil malah dibesarkan dalam istana Firaun. Akhirnya kerajaan Firaun jatuh menyembam tanah akibat kekufuran dan kezaliman.

Begitulah kejayaan nabi Muhammad s.a.w membina Daulah Islamiah di Madinah bukan setakat terhenti di situ malah akhirnya nabi s.a.w bersama umat Islam Berjaya kembali ke Mekah beberapa tahun selepas itu bukan setakat untuk menunai ibadat malah diberikan kemenangan yang gemilang dengan pembukaan kota Mekah sehingga mekah dimerdekakan daripada kesesatan dan kezaliman.

Oleh itu antara pengajaran besar daripada hijrah ialah melaksanakan hijrah dalam diri kita seterusnya ahli keluarga, masyarakat sekitar, negeri, negara dan alam sejagat kepada tunduk patuh kepada perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Malah dalam suasana kita masih belum bebas daripada musibah covid 19 maka antara perkara yang wajib kita buat ialah memperbanyakkan ibadat dan doa kepada Allah disamping berusaha bersungguh-sungguh menjauhi maksiat serta memperbanyakkan istighfar dan taubat

Firman Allah dalam ayat  115 surah Huud :

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ ﴿١١٤﴾ وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللَّـهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ ﴿١١٥

Maksudnya : Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 215 – Khutbah Aidil Adha 1441H