• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 2,008,488 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 42,867 other followers

Khutbah Jumaat : Jaga Masa Perkasa Pendidikan Julang Kegemilangan


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1-3  surah al-Asr :

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣

Maksudnya :  Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Kini kita telah melangkah pada tahun baru 2020 Masihi dengan meninggal seribu kenangan pahit dan manis, suka dan duka, menangis dan ketawa sepanjang tahun 2019 yang baru lalu. Berlalunya masa bererti semakin pendek umur kita untuk mendekati saat kematian. Islam begitu menitikberatkan umatnya untuk menjaga dan menghargai masa kerana ia lebih mahal dan bernilai daripada harta benda sehingga Allah bersumpah dengan masa. Yakinlah kita bahawa kita diciptakan bagi menunaikan tugas penting dan nikmat waktu itu merupakan modal yang penting untuk dapat menunaikan tugas itu sebaiknya. Keberkatan waktu dan rezeki bergantung kepada kekuatan iman dalam tunduk dan patuh kepada setiap arahan dan larangan Allah dalam kehidupan. Imam Abu Bakar bin ‘Ayash pernah mengungkapkan : “ Betapa ramai manusia yang mengeluh, menyesal dan mengingati hartanya yang hilang tetapi jarang berlaku orang yang mengeluh kerana kehilangan masa yang tidak digunakan pada jalan kebaikan”.

Malah kita pada hari Jumaat yang mulia ini diminta supaya berlumba dalam mengejar fadhilat waktunya termasuk datang paling awal ke masjid.

قال الرسول  : مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ– رواه  البخاري ومسلم

Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)”

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  102-104 surah Toha :

يَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ ۚ وَنَحْشُرُ الْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍ زُرْقًا ﴿١٠٢﴾ يَتَخَافَتُونَ بَيْنَهُمْ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا عَشْرًا ﴿١٠٣﴾ نَّحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ إِذْ يَقُولُ أَمْثَلُهُمْ طَرِيقَةً إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا يَوْمًا ﴿١٠٤

Maksudnya :  (Iaitu) hari ditiup Sangkakala, dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan kelabu matanya.  Mereka berbisik-bisik sesama sendiri: “Kamu telah tinggal hanya sepuluh sahaja”.  (Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: “Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat”.

Al-Quran menggambarkan bagaimana keadaan manusia  yang gagal memanfaatkan nikmat waktu yang Allah anugerahkan di dunia ini dengan amalan soleh malah digunakan untuk melakukan kekufuran terhadap Allah dan pelbagai bentuk perderhakaan sehingga menyesal di akhirat dengan merasakan bagaimana kehidupan dunia yang diberikan begitu singkat sehingga gagal dimanfaatkan. Oleh itu kita wajib menghargai masa dengan mengisinya dengan perkara-perkara yang bermanfaat yang memberi keuntungan untuk kehidupan dunia dan akhirat kita. Apa yang kerap berlaku ialah kita menyalahkan masa, tidak cukup masa sedangkan sebenarnya masa itu cukup dan banyak sekiranya kita atur dan susun mengikut keutamaan dan menyusunnya  dan tidak membuang masa, nescaya dia akan memberi barakah kepada hidup kita. Ibarat kata pujangga : “masalahnya bukan kerana kita diberi masa yang pendek, tetapi kita membuang masa yang banyak. Hidup ini cukup panjang  untuk kita mencapai kejayaan sekiranya setiap saat kita gunakan sepenuhnya”.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

قال الرسول  : لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ ، وَتَكْثُرَ الزَّلازِلُ ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ ، وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ ، وحَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ– رواه  البخاري

Maksudnya : “Tidak berlakunya kiamat sehingga ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan yang melimpah ruah”.”

Para ulama tidak mentafsirkan “singkatnya waktu” dengan bertambahnya kecepatan putaran bumi sehingga misalnya, jumlah masa dalam satu hari berkurang menjadi 23 jam. Qadi ‘Iyad, an-Nawawi dan Ibn Abi Jamrah mentafsirkan singkatnya waktu ini dengan hilangnya keberkatan. Mereka berkata, “Maksud singkat waktu ialah hilangnya keberkatan waktu tersebut sehingga pada satu hari misalnya, tidak dapat dimanfaatkan seluruhnya melainkan Cuma beberapa jam sahaja. Begitu juga ungkapan Ibn Hajar dalam Fath al Bari bahawa Allah mencabut semua keberkatan daripada segala sesuatu, termasuk keberkatan waktu dan ini merupakan salah satu tanda dekatnya Kiamat.

Antara punca kegagalan dalam memanfatkan nikmat masa akibat daripada kejahilan dan iman yang lemah. Sesuai dengan suasana sambutan tahun baru yang dibuka tirai dengan bermulanya alam persekolahan di mana kita sebagai ibubapa sepastinya mempunyai pilihan tersendiri dalam memastikan anak kita mendapat pendidikan yang terbaik untuk lahir sebagai anak soleh dan solehah. Pendidikan memain peranan penting untuk mencapai hidup yang berkualiti kerana pendidikan merupakan antara petunjuk terpenting dalam kualiti hidup manusia. Pendidikan mempunyai hubungan rapat dengan ilmu, dan ilmu dikenalpasti sebagai faktor ‘hasil’. Pendidikan membantu individu membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunianya, menikmati kemudahan yang ada dipersekitarannya, serta memahami diri sendiri untuk menjadi hamba Allah yang taqwa untuk berusaha mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Pendidikan juga bertindak sebagai pemangkin kesejahteraan hidup dengan cara memimpin individu ke arah sumber-sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri, dan kestabilan hubungan sosial. Individu yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi cenderung untuk mengalami gangguan emosi dan tekanan fizikal yang rendah. Taraf pendidikan yang baik memberikan seseorang individu itu laluan ke arah pembangunan diri, bergantung bagaimana ilmu tersebut dibina dan dilaburkan dalam pendidikan. Justeru itu, untuk mencapai kecemerlangan kualiti hidup melalui pendidikan, perhatian awal harus tertumpu pada peringkat kanak-kanak lagi. Islam begitu menitikberatkan pendidikan dari awal terutama dalam mengenal Allah, cinta nabi Muhammad s.a.w, pandai membaca al-Quran, mampu jaga solat, menutup aurat dan bersungguh serta istiqamah dengan amalan soleh yang lain.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 13-14 surah al-Kahfi :

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤

Ertinya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.  Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Memahami betapa pentingnya pendidikan maka kita wajib memastikan hala tuju pendidikan Negara mesti berteraskan kepada Islam. Generasi akan datang bergantung kepada garapan kepada falsafah Negara pada hari ini samada ke arah Islam, Yahudi, Kristian, Liberal, Sekuler, Kapitalis, Sosialis, Komunis atau ideology yang lain. Oleh itu jagalah dasar pendidikan Negara agar selamat dari tangan jahat yang anti Islam. Jagalah golongan muda yang masih teguh fizikalnya, segar fikirannya, sihat tubuh badannya, kental jiwa dan semangatnya. Pemuda adalah tonggak negara kerana kekuatan fizikal mereka boleh menjadi benteng pertahanan teguh sesebuah Negara sebagaimana Imam Al-Ghazali pernah berkata: “Jika kita ingin tahu corak dan rupa bentuk masa hadapan, lihatlah kepada generasi muda hari ini”. Begitu juga ungkapan Imam Hassan al-Banna, “Asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara dan semua sifat ini tidak wujud kecuali pada diri seorang pemuda.”

Antara garis panduan bagi seseorang pemuda untuk menjadi golongan yang ideal dengan mengambil teladan daripada kisah ashabul kahfi. Iaitu bertaqwa kepada Allah, menjalankan peranan dakwah kepada sesiapa sahaja supaya ajaran agama Islam terus berkembang kepada seluruh umat manusia, malah Islam terus utuh serta kukuh diamalkan setiap penganutnya. Pemuda Muslim ideal haruslah mempunyai sifat akidah yang benar kerana ia inti pati tertinggi dalam memusatkan ketauhidan iaitu mengesakan Allah SWT. Pemuda ideal juga memiliki ilmu dan pengetahuan agama yang tinggi serta memahaminya secara mendalam, pemuda tidak tersasar daripada landasan ajaran agama yang berpandukan kepada al-Quran dan hadis. Pemuda ideal juga mesti mempunyai keterampilan dalam pelbagai sudut kehidupan untuk dimanfaatkan demi meningkatkan kemajuan diri serta mereka yang ada di sekelilingnya. Mereka juga bijak mengambil peluang mengembangkan potensi dan mempertajamkan kemahiran diri. Pemuda hendaklah menjauhkan diri daripada segala perkara yang membawa kemungkaran dan kejahatan. Kehadiran teknologi yang tiada sempadan maka pemuda hendaklah bijak memilih maklumat yang membawa kebaikan dan begitu juga sebaliknya. Kita tidak boleh menjadi alat kepada kemajuan teknologi dengan menerima bulat-bulat apa juga berita atau maklumat diperoleh. Begitu juga kehadiran laman sosial dan permainan gajet yang mengasyikkan membuat kita selalu leka dengan matlamat asal kehidupan. Kelekaan terhadap perkara sia-sia inilah akan merugikan kita dunia akhirat. Berwaspada sebelum datangnya saat kematian, beringat sebelum hilangnya peluang

Pesanan Imam Hassan al-Banna, “Wahai manusia, selepas kehidupan yang pendek ini. Kamu akan menjalani kehidupan abadi. Bila kamu memahami rahsia tugasmu dalam kehidupan ini dan mengikhlaskan amal untuk Tuhanmu, ada kenikmatan menanti.”

Firman Allah dalam ayat 57 surah al-Ankabut :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ ﴿٥٧

Maksudnya : Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: