• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 2,048,424 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 37,925 other followers

Toleransi Islam DiJunjung Umat Bertamadun


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  8-9  surah al-Mumtahanah:

لاَ يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿٩

Maksudnya : Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.  Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim

Islam adalah agama yang sangat menjunjung tinggi keadilan. Keadilan bagi siapa sahaja, iaitu menempatkan sesuatu sesuai tempatnya dan memberikan hak sesuai dengan haknya. Begitu juga dengan toleransi dalam beragama. Islam melarang keras berbuat zalim dengan agama selain Islam dengan merampas hak-hak mereka. As-Sa’diy RH menafsirkan, “Allah tidak melarang kalian untuk berbuat baik, menyambung silaturrahim, membalas kebaikan , berbuat adil kepada orang bukan Islam samada dari kalangan keluarga sendiri atau orang lain. Selama orang bukan Islam tidak memerangi kalian kerana agama dan selama mereka tidak mengusir kalian dari negeri kalian, maka tidak mengapa kalian menjalin hubungan dengan mereka kerana menjalin hubungan dengan mereka dalam keadaan seperti ini tidak ada larangan dan tidak ada kerosakan.”

Namun toleransi ada batasnya terutama dalam menjaga 2 perkara utama iaitu:  [1] Tidak melampaui batas aqidah sehingga terjerumus dalam kekufuran, seperti ikut ritual agama lain dengan tujuan mensyi’arkan kekufuran. [2] Tidak melampaui batas syariat sehingga terjerumus dalam keharaman, seperti memakai simbol-simbol yang melambang identiti bagi agama lain dengan tujuan meraikan upacara keagamaan

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  15  surah Luqman:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٥

Maksudnya : Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

Islam menggariskan hak terhadap orang bukan Islam antaranya :

[1] Sentiasa berbuat baik terhadap jiran tetangga meskipun bukan Islam

[2] Bermuamalah yang baik dan tidak boleh zalim terhadap keluarga dan kerabat meskipun bukan Islam asalkan tidak melanggar batas iman dan halal haram

[3] Islam melarang keras membunuh bukan Islam kecuali jika mereka memerangi kaum muslimin. Orang kafir yang boleh dibunuh adalah orang kafir harbi iaitu kafir yang memerangi kaum muslimin. Selain itu seperti orang kafir yang mendapat suaka politik atau ada perjanjian dengan kaum muslimin seumpama kafir zimmi, kafir musta’man dan kafir mu’ahad, maka dilarang keras untuk dibunuh. Jika dilanggar larangan tersebut maka ancaman daripada Rasulullah s.a.w sangat keras.

وَعَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عمر رضي الله عنهما، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرَحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَد مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا- رواه الْبُخَارِيُّ.

Maksudnya : Barangsiapa membunuh seorang kafir yang ada perjanjian dengan umat Islam, maka dia tidak akan mencium bau Syurga sedangkan bau Syurga itu tercium dari perjalanan 40 tahun

Memahami perkara ini maka kita melihat konsep kafir harbi-zimmi sebagai suatu yang releven sepanjang zaman. Dalam konteks negara kita maka seluruh individu dalam masyarakat majmuk di negara ini perlu mengiktiraf kedaulatan Islam, sesiapa yang mempertikai atau menolak perkara ini perlulah ditegur dan diperbetulkan kerana telah hilangnya kesetiaan pada negara dalam jiwa mereka.  Kita bimbang menukar kepada istilah kewarganegaraan sehingga bukan Islam tidak lagi perlu mengiktiraf Islam, boleh sesuka hati mempertikai Islam maka ia telah jauh tersasar daripada siyasah shar’iyyah. Konsep kafir harbi-zimmi mempunyai asas hak dan tanggungjawab, begitu jugalah sepatutnya dalam konsep kewarganegaraan. Tanggungjawab itu hendaklah selamanya berdiri atas asas mengiktiraf kedaulatan Islam. Jika menolak Islam maka ia dikira melanggar perlembagaan dan menderhaka yang boleh diambil tindakan tegas

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  29 surah at-Taubah:

قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّـهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّىٰ يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَن يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ ﴿٢٩

Maksudnya : Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri.

Hak terhadap orang bukan Islam yang ke-[4] berlaku adil dalam menjatuhkan hukum dan memberi keadilan terhadap orang bukan Islam. Contohnya ketika Sayyidina Umar bin Khottab RA membebaskan Baitul Maqdis Palestin telah menjamin warganya agar tetap bebas memeluk agama dan membawa salib mereka. Beliau tidak memaksa mereka memeluk Islam dan tidak menghalangi mereka untuk beribadah, asalkan mereka tetap membayar jizyah kepada pemerintah Muslim. Situasi ini agak berbeza ketika bangsa dan agama lain menguasai Palestin di mana mereka melakukan pembantaian, penindasan dan pelbagai bentuk kezaliman.

Namun toleransi melampaui batas iman dan syariat tetap dilarang oleh Islam sebagaimana beberapa orang kafir Quraisy iaitu Al Walid bin Mughirah dan Umayyah bin Khalaf menemui Nabi s.a.w lalu mereka menawarkan toleransi dalam beragama :

“Wahai Muhammad, bagaimana jika kami beribadah kepada Tuhanmu dan orang Islam juga beribadah kepada Tuhan kami. Kita bertoleransi dalam segala permasalahan agama kita. Apabila ada sebahagian dari ajaran agamamu yang lebih baik menurut kepercayaan kami dari tuntunan agama kami, maka kami akan amalkan hal itu. Sebaliknya, apabila ada dari ajaran kami yang lebih baik dari tuntunan agamamu, engkau juga harus mengamalkannya.”

Kemudian turunlah surah al-Kafirun yang menolak keras toleransi yang bercanggah dengan Islam

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ. لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ. وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ. وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ. وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ. لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang kafir), “Hai orang-orang yang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku”.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  208 surah al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٢٠٨

Maksudnya :Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Menyedari bahawa toleransi dalam Islam tidaklah membuka ruang untuk mempertikai syariat dan perkara yang jelas dalam Islam. Tidak ada atas alasan toleransi atau kebebasan bersuara membolehkan penghinaan terhadap Islam dihalalkan. Oleh itu kita menyeru kepada Kementerian Pendidikan dan kementerian yang berkaitan untuk mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dengan kadar segera sebagai satu bentuk pengajaran kerana tidak menjaga sensitiviti beragama di Malaysia. Tindakan biadap penganjur menyediakan salah satu tajuk perdebatan yang menjadi isu hangat adalah pandangan yang menyatakan bahawa perlakuan homoseksual bukanlah satu dosa bahkan terdapat kenyataan yang menegaskan bahawa tiada larangan dari Allah berhubung perkara terkutuk ini. Malah apa yang lebih menyedihkan lagi, terdapat juga tajuk yang membuka persoalan atau cadangan menulis semula al-Quran yang dikatakan menyebabkan pemahaman yang radikal dalam kalangan muslim. Idea sebegini tidak lari dari corak pemikiran liberal yang berjuang ke arah membenarkan perlakuan terkutuk homoseksual. Malah pemikiran yang menyatakan al-Quran mengandungi elemen radikal adalah racun pemikiran barat yang cuba disuntik ke dalam pemikiran anak-anak pelajar kita. Ia mesti dibanteras sebelum merebak

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لا يَظْلِمُهُ وَلا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. –  رواه البخاري

Maksudnya : Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari qiamat

Islam adalah agama yang mementingkan ikatan persaudaraan. Walaupun tiada pertalian darah, hubungan persaudaraan itu amat kuat apabila diikat dengan ikatan agama.  Oleh itu, Islam melarang keras perbuatan menzalimi atau menganiayai Muslim yang lain dan membiarkan Muslim yang lain dizalimi. Menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap Muslim membantu dan meringankan beban apabila ada di antara  Muslim yang ditimpa musibah serta kesulitan. Orang yang berbuat demikian,  Allah SWT akan memperkenankan hajatnya. Betapa besarnya nilai persaudaraan dalam Islam sehingga ia telah menjadi tanggungjawab setiap  Muslim agar menutup aib atau keburukan saudara Muslim yang lain.

Oleh menjadi tanggungjawab bersama untuk membantu saudara seagama yang berdepan dengan musibah peperangan termasuk di bumi Palestin, Kashmir, Syria, Yaman, Myanmar dan lain-lain. Memperjuangkan nasib saudara seagama bukannya rasis dan melanggar hak asasi manusia malah ia merupakan suatu kewajipan bersama yang akan disoal oleh Allah. Ini adalah isu agama yang melampaui isu kemanusiaan kerana yang sedang membunuh dan menzalimi umat Islam ialah pelampau agama masing-masing. Jangan biarkan umat Islam terus berada dikandang pesalah yang dituduh pengganas sedangkan kita adalah mangsa penindasan. Bangkitlah atas nama Islam untuk Berjaya dunia akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: