• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Himpunan Khutbah Pilihanraya

Gelombang Islam Bina Negara Sejahtera

164. UNDI BIJAK ADIL DITEGAK

Jihad Ubah Kepimpinan Zalim Kepada Adil

Kepimpinan Islam DiPilih Kezaliman Jahiliah DiSisih

163. SOKONG BAWA BAHAGIA ATAU DERITA

 

Khutbah Audio 173 – Gelombang Islam Bina Negara Sejahtera

Gelombang Islam Bina Negara Sejahtera

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 58 Surah an-Nisa’:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Islam begitu menitikberatkan tentang kepemimpinan kerana beberapa sebab antaranya [1] Manusia diciptakan oleh Allah dengan sifat kelebihan dan kekurangan dalam mengawal akal, hati dan nafsu di mana tiap diri kita saling membantu antara sama lain dalam tunduk kepada agama serta tidak menjadi hamba nafsu. [2] Pemimpin pada dasarnya merupakan pengganti dan penerus risalah Nabi Muhammad SAW. Tanpa adanya pemimpin, maka bentuk negara dan sistem pemerintahan Islam yang telah dibuat dan diteladankan oleh Nabi Muhammad saw akan terhenti. Untuk itu, pemimpin juga dituntut agar mengetahui segala yang berkaitan tentang pola pemerintahan yang dijalankan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan menjalankannya sesuai dengan konteks masyarakat pada saat ini [3] Islam memandang, tanpa adanya pemimpin, maka umat Islam tidak akan dapat mewujudkan penegakan nilai-nilai syariat secara baik dalam konteks negara serta tidak dapat mendatangkan kebaikan bagi umat Islam dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara. Tanpa adanya kepemimpinan yang menegakkan syari’at, manusia akan hidup dalam kezaliman system dan hidup bertuhankan nafsu serakah

Al-Mawardi dalam kitab Al-Ahkamus Sulthaniyah berkata, : “Kepemimpinan adalah pengganti tugas kenabian dalam menjaga agama dan mengatur urusan dunia dengannya”. Ibnul Khaldun pula mentakrifkan imamah atau kepimpinan adalah mengatur seluruh rakyat agar sesuai dengan aturan syariat demi merealisasikan kemaslahatan mereka dalam urusan akhirat mahu pun urusan dunia yang membawa maslahat bagi akhirat.  Al-Baidhawi juga menyebutkan bahwa kepemimpinan adalah sebagai proses seseorang di antara umat Islam dalam menggantikan tugas Rasulullah s.a.w untuk menegakkan syariat dan nilai agama, di mana ada kewajiban bagi seluruh umat Islam untuk mengikuti tunduk kepada-nya.  Dengan demikian Imamah atau kepemimpinan bukanlah tujuan atau matlamat, akan tetapi ia hanya wasilah atau cara untuk menjalankan ketaaan kapada Allah. Ketika pemimpin tidak mampu mewujudkan atau memudahkan rakyatnya untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka kepemimpinannya mesti disingkirkan

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 26 Surah Ali ‘Imran:

قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ‌ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ‌

Maksudnya :Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

Islam mengajar kita bagaimana hanya Kerajaan Allah sahaja merupakan kerajaan yang sebenar dan berkekalan. Manakala kerajaan lain merupakan suatu amanah yang sementara sahaja yang bakal disoal tentang corak pemerintahannya di akhirat nanti. Semua kerajaan lain berada di bawah genggaman kekuasaan Allah di mana Allah boleh menaik dan menjatuhkan sesebuah kerajaan mengikut kehendakNya. Ia mengingatkan kita semua bahawa tidak ada kerajaan yang terus kekal memerintah selama-lamanya agar pemimpin sentiasa bertaqwa dalam memerintah negara dengan menjauhi penyalahgunaankuasa yang menyebabkan kerajaan mereka bukan sahaja dijatuhkan di dunia malah di akhirat kelak akan diseksa dalam api neraka Allah yang dahsyat bakarannya. Allah pernah memberi kerajaan kepada nabi Sulaiman dan nabi Muhammad s.a.w di mana baginda berdua memerintah negara dengan taqwa dan adil sehingga keadilan dan keselamatan dirasai bukan sahaja oleh manusia malah makhluk yang lain. Begitu juga Allah pernah menyerahkan kerajaan kepada Namrud dan Firaun namun mereka melakukan kezaliman dan kerosakan dengan kekuasaan yang ada sehingga kerajaan mereka dijatuhkan dengan penuh kehinaan.

Oleh itu kepemimpinan atau jawatan merupakan amanah bukannya suatu  anugerah untuk mencapai kepentingan peribadi atau memperkaya diri dan keluarga.  Jawatan kepimpinan bukan pula jenis pekerjaan untuk mendatangkan keuntungan bagi pemegangnya. Sebaliknya kepemimpinan apapun akan diminta untuk  dipertanggungjawab oleh Allah di akhirat kelak,

يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا

Maksudnya : “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau itu lemah.  Sesungguhnya jawatan itu merupakan suatu amanah .  Jawatan itu nanti pada hari qiamat merupakan suatu kehinaan dan penyesalan kecuali bagi pemimpin yang dapat memanfaatkan haknya dan menunaikan kewajibannya dengan sebaik-baiknya” (HR. Muslim).

إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الْإِمَارَةِ وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ – رواه البخاري

Maksudnya : “Sesungguhnya kamu sekalian akan berebut untuk dapat memegang suatu jawatan, tetapi nanti pada hari qiamat jawatan itu merupakan suatu penyesalan”

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 278-279 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٢٧٨﴾ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ ﴿٢٧٩

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Kepimpinan yang dipilih daripada kalangan yang bersungguh menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah. Contohnya seperti memerangi riba dengan menyimpan dana negeri atau Negara dalam akaun yang berasaskan bank Islam sehingga pemimpin dan rakyat terselamat daripada riba yang merupakan suatu dosa besar. Begitu juga pinjaman kakitangan kerajaan dipastikan dengan system Islam. Tidak terus membiarkan simpanan pekerja KWSP terus terlibat dengan pelaburan haram jauh melebihi pelaburan patuh syariah. Pelajar sepatutya mendapat pendidikan percuma sehingga ke menara gading dengan pengurusan ekonomi yang cekap dan elak ketirisan yang melampau. Kita begitu bimbang bila Malaysia merosot dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 berada di tangga 62 iaitu jauh lebih teruk dari tahun 2016 pada tangga 55 daripada 176 buah Negara. Oleh itu kita perlu kepada sebuah kerajaan yang telus untuk menyiasat isu penyelewengan 1MDB dan isu kepimpinan yang sebelum itu dalam isu Perwaja, skandal BMF, Forex yang melibatkan billion duit Negara dan juga pembunuhan kejam di Memali.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١٩

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:

Kita pastikan Pilihanraya ke-14 ini adalah gelombang kebangkitan Islam dalam memilih pemimpin yang lebih bersungguh dan Ikhlas dalam memperkasakan system Islam termasuk kuasa mahkamah Syariah agar kes murtad dapat ditangani. Kita haram bersekongkol dengan golongan yang memperjuangkan halal murtad, zina, budaya songsang LGBT. Kita juga mahu kerajaan yang lebih mendidik rakyat bukan sanggup melihat akhlak rakyat rosak asalkan Negara mampu mengutip cukai judi sehingga lebih 2 bilion setahun dan jualan arak tanpa had. Kita juga mahu GST dihapuskan bagi memastikan rakyat miskin terus ditindas sehingga yang kaya semakin kaya yang miskin papa kedana. Pastikan undi kita mendatang manfaat dunia akhirat. Jangan tertipu dengan habuan pilihanraya yang sedikit menyebabkan kita menderita menahan sakit. Jadikan Islam sebagai neraca dalam mengundi bukannya ikut nafsu yang merugikan.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Suasana masa kini terutama dalam suasana pilihanraya maka begitu banyak bertebarannya berita dan tuduhan palsu termasuk melalui Facebook, whatsap dan sebagainya. Di dalam Islam, sesuatu dakwaan atau tuduhan terikat dengan kaedah:

الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Bukti perlu dikemukakan oleh pendakwa, dan sumpah bagi yang mengingkari.

لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ وَلَكِنَّ الْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ  الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ . رواه البيهقي

Maksudnya : Jika setiap orang diberikan sahaja setiap tuntutan dakwaanya, nescaya akan ramailah orang yang menuntut hak terhadap harta dan darah orang lain. Tetapi, bukti perlu dikemukakan oleh pendakwa, dan sumpah bagi yang mengingkari.

Jika terdapat sebarang pendakwaan, maka pendakwa perlu mengemukakan bukti. Sekiranya bukti mencukupi, pemerintah akan mengambil tindakan. Jika bukti tidak kuat, pemerintah boleh meminta yang didakwa atau yang mengingkari sesuatu tuntuntan untuk bersumpah. Jika sesuatu dakwaan atau tuntutan itu tidak disertakan dengan pembuktian, maka ia tidak perlu dilayan. Boleh saja dianggap satu pembohongan. Yang dituduh tanpa bukti boleh memilih untuk menafikan atau berdiam diri sahaja, kecuali jika diminta oleh pemerintah untuk bersumpah. Diam tidak boleh dianggap sebagai membenarkan dakwaan ke atas dirinya. Jika kita berpegang dengan kaedah ini, maka kita perlu menolak sahaja sebarang berita yang tidak disertakan dengan bukti. Lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, zaman yang penuh dengan fitnah, zaman yang disebutkan oleh Nabi s.a.w sebagai zaman tersebarnya pembohongan ke seluruh ufuk dunia.

 

Perlu disedari, di dalam dunia ini terdapat orang yang kerjanya hanyalah menyebarkan pembohongan. Pada suatu hari Rasulullah SAW bermimpi melihat beberapa keadaan golongan yang diseksa di dalam neraka. Baginda SAW bertanya kepada malaikat yang mengiringinya di dalam mimpi itu, lalu malaikat tersebut menjawab:

الرَّجُلُ الَّذِي أتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ ، ومِنْخَرُهُ إِلَى قَفَاهُ ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ ، فإنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الكِذْبَةَ تَبْلُغُ الآفاقَ .(رواه البخاري(

Maksudnya: Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia”

Oleh itu kita jangan terjebak dengan golongan yang kewarasannya sudah terbalik iaitu orang yang berpegang bahawa orang yang dituduh yang mesti mengemukakan bukti. Jika tidak, maka tuduhan itu dianggap benar, walau tanpa sebarang bukti sekalipun. Pastikan kita tidak terlibat dengan berita bohong samada penyebar atau yang mudah percaya tanpa selidik. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 172 – Isra’ Mikraj Hebatkan Dakwah Tegakkan Daulah

Isra’ Mikraj Hebatkan Dakwah Tegakkan Daulah

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Mukjizat Isra’ Mikraj ini berlaku setelah tentangan terhadap dakwah Islam semakin memuncak di mana dakwah nabi mendapat tentangan yang hebat daripada masyarakat Mekah sendiri ditambah dengan penolakan oleh masyarakat Taif. Ini dapat digambarkan dalam suatu doa nabi s.a.w

اللّهُمّ إلَيْك أَشْكُو ضَعْفَ قُوّتِي ، وَقِلّةَ حِيلَتِي ، وَهَوَانِي عَلَى النّاسِ، يَا أَرْحَمَ الرّاحِمِينَ ! أَنْتَ رَبّ الْمُسْتَضْعَفِينَ وَأَنْتَ رَبّي ، إلَى مَنْ تَكِلُنِي ؟ إلَى بَعِيدٍ يَتَجَهّمُنِي ؟ أَمْ إلَى عَدُوّ مَلّكْتَهُ أَمْرِي ؟ إنْ لَمْ يَكُنْ بِك عَلَيّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي ، وَلَكِنّ عَافِيَتَك هِيَ أَوْسَعُ لِي ، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِك الّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظّلُمَاتُ وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَك ، أَوْ يَحِلّ عَلَيّ سُخْطُكَ، لَك الْعُتْبَى حَتّى تَرْضَى ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوّةَ إلّا بِك – رواه الطبراني

Maksudnya : Ya Tuhanku, kepada Engkaulah aku mengadu kelemahan kekuatanku, dan sedikitnya daya upayaku dan tidak ada dayaku di hadapan manusia. Ya Tuhan yang Lebih Pengasih dari segala yang pengasih, Engkaulah Tuhan dari segala yang lemah dan Engkaulah Tuhanku, kepada siapakah aku akan Engkau serahkan, kepada orang yang jauh yang membenciku, atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Jika Engkau tidak murka kepadaku, tidaklah aku peduli, tetapi kemaafan daripada Engkau adalah lebih lapang buatku. Aku berlindung dengan cahayaMu, Dikaulah yang menerangi kegelapan, dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik, aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurkaanMu, atau terturun kemarahanMu, bagi Engkau jua tempat kembalinya hingga tercapai keredhaanMu, tiada daya dan upaya kecuali denganMu Ya Tuhanku.

Walau pun tentangan yang begitu hebat namun kesabaran nabi s.a.w dan kasih sayang kepada umatnya begitu tinggi di mana ketika ditawarkan oleh malaikat penjaga bukit untuk menghempap bukit atas penduduk Taif namun ditolak oleh nabi s.a.w dengan sabdanya :

أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلابِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ لا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا-رواه مسلم

Maksudnya :  Bahkan aku berharap semoga Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka (penduduk Taif) keturunan yang akan menyembah Allah semata-mata, tidak mempersekutuiNya dengan sesuatu apa pun

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran:

قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ﴿٢٦

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kesungguhan nabi Muhammad s.a.w dalam menyebarkan dakwah Islam tidak terhenti malah pergantungan diri dengan Allah semakin kuat sehingga berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj yang menyaksikan nabi menjadi tetamu Kerajaan Allah untuk menyaksikan alam nyata dan ghaib, alam bumi dan langit yang membuktikan Kekuasaan Allah. Peristiwa ini mengajar bahawa tiada kerajaan yang lebih kuat dan hebat mengatasi Kerajaan Allah. Tidak ada kerajaan yang kekal memerintah kecuali Kerajaan Allah. Oleh itu setiap kerajaan yang ada mesti tunduk patuh kepada Kerajaan Allah jika mahu selamat dan berjaya dunia dan akhirat. Usah sombong takabbur bila diberi amanah untuk memegang kuasa kerana ia boleh ditarik bila-bila masa oleh Allah. Jangan hilang rasa pergantungan diri kepada Allah setiap masa dan tempat supaya bantuan dan pertolongan daripada Allah sentiasa bersama kita

Peristiwa Isra’ Mikraj juga merupakan suatu motivasi dalam membina keyakinan dan semangat yang lebih tinggi dalam diri nabi s.a.w dalam menyebarkan dakwah sehingga berlakunya peristiwa hijrah tidak lama selepas itu yang menyaksikan tertegaknya Daulah Islamiah di Madinah Munawwarah yang bukan sahaja Berjaya meruntuhkan jahiliah sekitar tanah arab malah akhirnya menumbang 2 kuasa besar pada masa itu iaitu Rom Kristian dan Parsi Majusi seterusnya menukar Empayar China Budha dan India Hindu di sebelah timur kepada Islam.

Perjuangan Islam pasti berdepan dengan pelbagai ujian, cabaran, halangan sebelum menjulang kemenangan dengan syarat pergantungan dengan Allah dekat, cara untuk mencapai kemenangan bertepatan dengan syarak serta istiqamah dalam perjuangan tidak mudah rasa letih dan mudah putus asa. Antara halangan perjuangan Islam ialah : [1] Perang Saraf musuh Dalam usaha untuk melumpuhkan daya juang dengan memburukkan imej Islam, menghina system Islam dan sebagainya. [2] Peperangan dalam menghalang usaha yang menuntut para pejuang Islam untuk menggadaikan nyawa dan harta benda dalam meneruskan perjuangan bagi memastikan kelangsungan dakwah Islam. [3] Halangan-halangan Terhadap Kerja Dakwah Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam di mana pendakwah sendiri jika tidak mempunyai aqidah yang teguh, budi pekerti yang luhur, kesungguhan yang kental, tidak bersungguh-sungguh memuhasabah diri, lali dari mengingati dan bertawakal kepada Allah serta tidak wara’ daripada mengerjakan perkara-perkara yang meragukan, begitu juga kalau mereka ini tidak bersungguh-sungguh dalam mengerjakan amal ibadah maka sudah pastilah mereka ini juga akan dijangkiti penyakit jahiliyah moden yang sedang merebak ke dalam masyarakat Islam.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 90 surah al-Maidah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٩٠

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Imam Muslim dalam meriwayatkan suatu hadis sohih berkaitan peristiwa Isra Mikraj di mana setelah selesai solat 2 rakaat di Masjid Aqsa maka baginda ditunjuk 2 bekas berisi susu dan arak lalu nabi s.a.w memilih susu yang bererti fitrah atau Islam. Ini memberi pengajaran berharga kepada kita terutama dalam suasana hampir dengan Pilihanraya Umum ke-14 ini supaya setiap undi kita berasaskan panduan agama bukan mengikut hawa nafsu. Pemilihan yang tepat berdasarkan neraca agama pasti akan membawa Negara kepada keberkatan manakala sikap mengenepikan agama dalam memilih pemimpin akan membawa kerosakan dan penderitaan bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Sebagai umat Islam bermaruah maka sudah pasti kita akan berusaha dalam memastikan pilihanraya ini sebagai titik kebangkitan umat Islam yang akan mengubah Negara kepada pelaksanaan system Islam yang lebih baik dan bersungguh. Ketika desakan golongan anti-Islam dalam menghalalkan murtad, menghalalkan zina dan budaya songsang LGBT maka kita sebagai pengundi Islam yang beriman kepada Allah dan akhirat mesti memiliki keberanian dalam menghalang perkara tersebut daripada berlaku dalam Negara tercinta ini dengan memilih pemimpin yang mempunyai keberanian dan kesungguhan dalam melaksanakan system Islam dalam Negara

Kita tidak mahu walau pun Negara kita dianugerahkan oleh Allah dengan bumi yang subur dan hasil mahsul termasuk minyak tetapi masih bergantung kepada cukai arak dan judi dengan cukai berbilion setahun sehingga terhutang budi dengan tauke arak dan judi yang menyukarkan untuk perlaksanaan system Islam yang menyeluruh. Kita malu jika minuman halal terpaksa diimport sedangkan arak boleh dieksport. Ayam, lembu dan kambing kena import sedangkan babi boleh dieksport ke luar Negara.  Kita juga mesti bersungguh dalam memastikan system pengagihan kekayaan Negara dapat dirasai oleh seluruh lapisan rakyat bukannya meneruskan cukai GST yang mengambil cukai daripada rakyat miskin untuk lebih mengayakan golongan yang telah kaya sehingga jurang antara miskin dan kaya semakin ketara. Rakyat miskin hanya merasa pemberian tahunan yang tidak seberapa sedangkan cukai yang mereka terpaksa bayar melalui GST adalah jauh lebih banyak daripada apa yang mereka kecapi. Kita juga perlu mengelak daripada memilih pemimpin rasuah

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ Mikraj juga maka tidak ketinggalan untuk kita mendoakan kemerdekaan bumi Isra’ Palestin daripada cengkaman Yahudi. Kita pernah menyaksikan bagaimana kejayaan Salehuddin al-Ayyubi dalam memerdekakan Masjid Aqsa daripada tentera Salib dengan memastikan angkatan tenteranya daripada kalangan mereka yang menjaga solat malam. Maka kita pada hari ini wajib memastikan Negara kita merdeka daripada system yang bercanggah daripada Islam dan seterusnya memerdekakan bumi Palestin dengan melahirkan generasi yang sentiasa menjaga solat. Mari kita berusaha dalam memenuhkan ruang masjid dan surau dengan solat berjemaah dan majlis ilmu terutama dari kalangan anak-anak muda bagi memastikan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah semakin dekat dan hampir. Inilah sumber kekuatan kita di mana jika mencari dengan cara lain yang bercanggah dengan Islam maka selagi itulah kita dihinakan dengan kekalahan di dunia akhirat. Jagalah solat dalam menjana kemenangan. Jagalah solat dalam meraih kejayaan

Kita juga wajib mengambil berat tentang penderitaan saudara seagama yang sedang berdepan dengan perang saudara seperti di Syria, Yaman dan juga yang berdepan dengan pembunuhan etnik seperti Rohingya di Myanmar. Suburkan kasih sayang dan rasa kebersamaan kita dengan saudara segama yang lain sebagai lambang kesempurnaan iman. Di mana bumi dipijak di situ Islam dijunjung, Takkan Islam hilang di dunia

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ