• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Kem Kitab 2018 untuk Lepasan SPM dan Dewasa Lelaki

Khutbah Audio 165 – Islam DiJulang Guru DiSayang Al-Quds DiPertahan

Islam DiJulang Guru DiSayang Al-Quds DiPertahan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 65-70 surah al-Kahfi :

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا ﴿٦٥﴾ قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا ﴿٦٦﴾ قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا ﴿٦٧﴾ وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا﴿٦٨﴾ قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا ﴿٦٩﴾ قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا ﴿٧٠

Maksudnya :  Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” Dia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?  Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, In sya Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. Dia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”

Setiap kali berada berada pada hari Jumaat maka kita disunatkan untuk membaca surah al-Kahfi di mana antara tujuannya selain mendapat fadhilat atas pembacaannya maka yang paling penting untuk kita sama-sama memahami seterusnya menghayati begitu banyak pengajaran terutama melalui kisah-kisah teladan yang terkandung dalam surah al-Kahfi ini. Antaranya berkenaan kisah Nabi Musa a.s yang belajar dengan nabi Khidir a.s di mana kita di minta supaya menjaga tertib dan adab menuntut ilmu dengan sebaiknya yang membolehkan kita mendapat keberkatan. Akhlak seseorang murid yang barangkali dirinya itu lebih mulia dan lebih soleh daripada seorang guru, tetapi itu tidak melayakkan seseorang murid untuk membantah atau tidak menghormati gurunya. Dengan kata lain, seseorang yang bergelar guru bukan sahaja wajar mendapat penghormatan daripada anak muridnya, tetapi seseorang anak murid itu harus memuliakan gurunya. Seorang murid perlu bersabar dengan tindakan gurunya, tidak terlalu gopoh menghukum atau menilai perlakuan gurunya sedangkan dia tidak mempunyai pemahaman mendalam mengenai apa yang dilakukan. Walaupun anak murid mempunyai pandangan bercanggah atau tidak senang dengan guru, tetapi berasaskan rasa hormat, anak murid tidak wajar menegur guru secara melulu. Seseorang Muslim ditegah mencerca guru kerana keberkatan ilmu bergantung kepada sejauh mana guru redha terhadap ilmu dicurahkan kepada seseorang. Muslim yang baik juga tidak boleh sombong atau bangga diri dengan gurunya walaupun barangkali jawatan disandang lebih tinggi daripada gurunya kerana Islam sangat menitikberatkan untuk menghormati ilmu yang ada pada diri seseorang supaya ilmu itu tidak menjadi barang dagangan yang diperlekehkan. Begitu juga dalam kita mencari dan menuntut ilmu, setiap ilmu yang diperolehi hendaklah diamalkan kerana berapa banyak ilmu yang kita ada bukan ukuran mendekatkan diri dengan Allah, tetapi sejauh mana kita beramal dengan ilmu yang dipelajari. Keberkatan ilmu juga bergantung kepada amalan kerana jika hanya menuntut, tetapi tidak beramal boleh menghilangkan keberkatan ilmu.

Selain itu, perkara pokok yang menjadi tunjang utama dalam adab menuntut ilmu adalah adanya rasa keikhlasan hanya kepada Allah SWT, bukan bertujuan untuk mendapat gelaran dan pangkat. Sebaiknya ilmu dimanfaatkan untuk agama Allah, bukan sekadar perhiasan dunia. Justeru, tetapkan niat yang betul serta berdoa kepada Allah supaya diberi hidayah untuk bersama memanfaatkan ilmu dipelajari. Inilah juga cara kita mendekatkan diri di sisi Allah. Tanpa jasa guru yang sabar serta setia mencurah bakti mengajar dan mendidik, siapalah kita hari ini. Oleh itu, tinggalkan pangkat dan darjat yang membaluti, tinggalkan kemuliaan yang menyelimuti diri dan bersabarlah berhadapan guru kerana kesabaran dan rasa hormat itulah datangnya keberkatan ilmu.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 13-14 surah al-Kahfi :

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤

Maksudnya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.  Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Surah al-Kahfi turut menyentuh berkenaan kehebatan pemuda al-Kahfi dalam mempertahankan keimanan mereka ketika berada dalam suasana jahiliah. Inilah usaha dan peranan kita bersama untuk mencontohi sifat mereka dan memastikan golongan remaja yang merupakan pelapis kepimpinan pada masa akan datang. Antara sifat generasi kemenangan yang mesti dimiliki ialah :

[1] Generasi yang patuh dan taat kepada syiar agama Islam, generasi yang tidak asing kepada amalan membaca dan mempelajari Al Quran Al Karim serta Sunnah Nabawiyah dalam kehidupan seharian.

[2] Generasi yang berdasarkan kepada realiti dan keilmuan serta berlepas diri daripada golongan yang bersikap menjauhi suluhan agama.

[3] Generasi yang bekerja dalam satu jemaah dan tidak membiarkan ahlinya berada dalam keadaan selesa atau berseronok dengan keagungan perkara-perkara lalu. Sebaliknya begitu bersemangat dalam mengulangi kembali kemenangan yang pernah dicapai atas dasar Islam

[4] Generasi rabbani dan ikhlas  yang hidup di dunia dengan jiwa ahli akhirat.

[5] Generasi yang bersandar kepada Islam dan beriman dengan pemahaman yang cukup jelas dan meninggalkan jahiliyah yang bercanggah dengan Islam.

[6] Generasi dakwah dan jihad yang mana agama Islam terlalu agung buat mereka lantas masalah dunia ini menjadi perkara remeh kepada mereka dalam mengharungi jalan agama.

[7] Generasi yang merasakan aqidah mereka terlalu mahal harganya untuk ditukar ganti dengam urusan dunia.

[8] Generasi yang hidup dalam zaman moden namun pemikiran dan perasaan mereka persis para sahabat di kurun pertama hijrah.

[9] Generasi yang kuat dan mulia yang menjadikan Islam sebagai cara hidup dalam setiap aspek kehidupan samada ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya

[10] Generasi yang seimbang dan sederhana yang tidak tenggelam di dalam material dan tidak pula hanyut dalam spiritual, mereka mengetahui tanggungjawab mereka kepada Allah, diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Oleh itu mereka menunaikan tanggungjawab kepada setiap yang berhak dengan penuh tanggungjawab

[11] Generasi yang selalu bertaubat dan menjaga diri daripada melakukan maksiat

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur :

رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ﴿٣٧

Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

Yakinlah kita bahawa janji kemuliaan dan kemenangan daripada Allah pasti tiba bila kita mampu melaksana segala syarat kemenangan antaranya [1] kembali semula kepada asas pegangan umat Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, kerana di situ terdapat segala asas pembentukkan jati diri umat Islam dan juga terdapat asas pembentukkan sebuah negara yang berdaulat serta jauh dari anasir-anasir luar yang jelas merosakkan umat Islam [2] Penuhkan dada-dada umat Islam dengan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Iman, Islam dan Ehsan, kerana ketiga-tiga ini akan membuatkan umat Islam itu sentiasa mempunyai pedoman hidup [3] Kembalikan rasa persaudaraan sesama Islam walaupun berlainan keturunan, bangsa dan warna kulit, selagimana ia berada di bawah aqidah yang sama, maka selagi itulah dia bersaudara dengan kita walaupun berbeza Negara, [4] Buang jauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri, orang yang mementingkan diri sendiri ini adalah orang yang rugi dan orang yang tidak bertamadun. Masyarakat Islam tidak boleh maju dan tidak boleh bersatu akibat kepentingan perut lebih penting dari kepentingan pembangunan ummah. Sebenarnya inilah senjata musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan Islam, mereka yakin selagimana umat Islam bersikap individual, maka selagi itulah umat Islam menjadi lemah. Kuatnya Islam adalah berjemaah kerana bersatu dalam jemaah itulah senjata kekuatan umat Islam dan ia tidak mudah untuk ditumpaskan oleh musuh-musuh Islam.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :

إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠

Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri

Sempena kita berada pada hari Jumaat yang mulia, di masjid yang mulia maka marilah kita sama-sama tanam azam dan tekad dalam membela nasib saudara seagama yang sedang ditindas di Myanmar, Filiphina, Iraq, Syria, Yaman dan selainnya. Kita juga wajib mempertahankan bumi Palestin dan Masjid Aqsa yang memasuki fasa yang lebih teruk apabila Presiden Amerika Syarikat dan sekutu zionis yahudi yang mengistiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Yahudi pada 6 Disember lalu walau pun pada 21 Disember suatu perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengistiharkan tindakan bacul itu batal dan tidak sah. Bumi Palestin milik umat Islam, Al Quds milik kita. Allah dengan segala kekuatannya bersama kita.  Buktikan kebersamaan kita dengan pejuang Palestin. Hulurkan bantuan kewangan dan yang paling penting ialah doakan keselamatan dan kejayaan pejuang Islam. Boikot barangan zionis yahudi dan sekutunya semampu yang mungkin terutama kaki rokok. Kalau tidak mampu membantu saudara seagama jangan pula membantu musuh dalam membunuh saudara seagama. Pemimpin Negara umat Islam mesti lebih berani bertindak bukan setakat bercakap kosong. Penuhi masjid dengan solat Jemaah dan majlis ilmu agar kekuatan Islam dapat dikobarkan. Biar bermandi darah namun  pejuang Islam tidak akan berundur walaupun selangkah. Biar nyawa melayang namun Al-Aqsa tetap dipertahankan. Berambus wahai Yahudi atau kamu bakal ditimbus. Berundur wahai Yahudi atau kamu bakal dikuburkan. Jatuhkan bendera kezaliman zinois Yahudi dan sekutu kuffar, Kibarkan bendera kemenangan Islam

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

Khutbah Audio 164 – Zikrullah DiTingkat Kejahatan Zionis Yahudi DiSekat

Zikrullah DiTingkat Kejahatan Zionis Yahudi DiSekat

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 28 surah al-Kahfi :

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا ﴿٢٨

Maksudnya : Dan bersabarlah kamu bersama dengan golongan yang menyeru Tuhannya pagi dan senja dengan mengharap keredhaanNya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas

Pengutusan nabi Muhammad s.a.w adalah suatu rahmat Allah yang begitu berharga yang membolehkan kita merasai bagaimana pentingnya peranan agama dalam memacu kebahagiaan hidup di dunia dan yang lebih penting kebahagiaan di akhirat nanti. Hidup beragama adalah fitrah yang melekat pada diri manusia dan terbawa sejak kelahirannya. Agama adalah fitrah atau sesuai dengan jati diri, maka ia pasti dianuti oleh manusia, kalaupun bukan sejak muda, namun menjelang akhir usianya. Firaun yang derhaka dan merasakan dirinya sebagai Tuhan pun pada akhirnya ingin bertaubat dan beragama tetapi sayang kerana sudah terlambat. Oleh itu manusia tidak dapat melepaskan diri daripada agama. Tuhan menciptakan demikian kerana agama merupakan keperluan hidup. Memang manusia dapat menangguhkannya sedemikian lama, barangkali hingga menjelang kematiannya. Tetapi pada akhirnya, sebelum ruh meninggalkan jasad, dia akan berasa betapa pentingnya keperluan itu. Keperluan manusia terhadap air dapat ditangguhkan lebih lama jika dibandingkan dengan keperluan udara. Begitu juga keperluan manusia terhadap makanan jauh lebih singkat dibandingkan dengan keperluan manusia untuk menyalurkan naluri seksual. Demikian juga keperluan manusia terhadap agama dapat ditangguhkan tetapi tidak untuk selama-lamanya.

Selama manusia masih memiliki naluri cemas, bimbang mengharap, selama itu pula dia beragama. Itulah sebabnya mengapa perasaan takut merupakan salah satu dorongan yang terbesar untuk beragama. Banyak fungsi dan peranan agama dalam kehidupan ini tidak mampu dimainkan oleh ilmu dan teknologi. Ilmu mempercepatkan kita kepada tujuan. Agama menentukan arah yang dituju. Ilmu menyesuaikan manusia dengan lingkungannya dan agama menyesuaikan dengan jati dirinya. Ilmu adalah hiasan lahir dan agama hiasan batinnya. Ilmu memberikan kekuatan dan menerangi jalan, manakala agama memberi harapan dan dorongan bagi jiwa. Ilmu selalu mengeruhkan fikiran pemiliknya sedangkan agama selalu menenangkan jiwa pemeluknya yang tulus.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 212 surah al-Baqarah :

زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُ‌وا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُ‌ونَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا ۘ وَالَّذِينَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ وَاللَّـهُ يَرْ‌زُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ‌ حِسَابٍ

Maksudnya :Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira

Islam menunjuk jalan kepada kita bagaimana cara terbaik dalam mencari redha Allah dan kebahagian hakiki di dunia dan akhirat antaranya tidak terpedaya dengan godaan hawa nafsu. Hawa nafsu adalah keinginan negatif yang memesong manusia menuju kerosakan sebagaimana peringatan al-Quran antaranya :

[1]  Mengikuti hawa nafsu menjadikan manusia lalai.

وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ      (Surah al-Kahf : Ayat 28)

Maksudnya : Janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami Lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti keinginan (hawa nafsu)nya.

[2] Mengikuti hawa nafsu adalah sumber kekafiran dan kebinasaan.

فَلاَ يَصُدَّنَّكَ عَنْهَا مَنْ لاَ يُؤْمِنُ بِهَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَتَرْدَى (Surah Thaha:Ayat 16)

Maksudnya : Maka janganlah engkau dipalingkan dari (Kiamat itu) oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan oleh orang yang mengikuti keinginan (hawa nafsu)nya, yang menyebabkan engkau binasa

[3] Mengikuti hawa nafsu adalah kesesatan yang terburuk.

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ(Surah al-Qosas:Ayat 50)

Maksudnya : Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti keinginan (hawa nafsu)nya.”

[4] Mengikuti hawa nafsu menghalangi seseorang untuk berlaku adil.

فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى (Surah Shad:Ayat 26)

Maksudnya : Berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu

[5]Mengikuti hawa nafsu adalah sumber kerosakan.

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ(Surah al-Mukminun:Ayat 71)

Maksudnya : Dan seandainya kebenaran itu menuruti keinginan mereka, pasti binasalah langit dan bumi, dan semua yang ada di dalamnya.

Semoga kita termasuk orang-orang yang mampu menghadapi hawa nafsu dan mengarahkan keinginan kita di jalan yang diredhai Allah swt.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 7-8 surah Yunus :

إِنَّ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا وَرَضُوا بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاطْمَأَنُّوا بِهَا وَالَّذِينَ هُمْ عَنْ آيَاتِنَا غَافِلُونَ ﴿٧﴾ أُولَـٰئِكَ مَأْوَاهُمُ النَّارُ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٨

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan (tidak percaya akan) pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami. Mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan.

Punca utama umat Islam sendiri suka menurut hawa nafsu ialah akibat lalai daripada peringatan Allah dan rasulNya. Makna al-Ghaflah ialah hilangnya sesuatu dari benak seorang insan dan tidak teringat akan perkara tersebut. Kalimah ini boleh juga di gunakan bagi seseorang yang meninggalkan perkara kerana meremehkan atau berpaling darinya. Antara sebab lupanya kita kepada Allah ialah :

[1] Perbuatan maksiat yang dilakukan dan tidak segera bertaubat

[2] Jarang datang ke masjid atau surau Allah dan meninggalkan solat berjema’ah. Sebab itulah ketika timbul isu adanya pihak sekolah yang meminta agar pelajarnya solat berjemaah zohor sebelum pulang maka ia wajib disokong dan diperluaskan lagi. Manakala pihak yang membantahnya mesti di ‘sekolah’kan semula

[3] Jarang atau tidak membaca al-Quran dan berzikir

[4] Sibuk dengan urusan dunia, kesenangan serta kelazatannya sehingga melupakan bekalan akhirat. Malah terlalu banyak makan dan tidur apatah lagi asyik dengan hiburan yang melalaikan antara punca lupa kepada Allah

[5] Liat atau menjauhi majlis ilmu dan lebih suka berkawan dengan orang yang rosak akhlak berbanding mendampingi orang soleh yang takutkan Allah

[6] Terlalu lama meninggalkan ziarah kubur, mengingat kematian serta akhirat.

Oleh itulah bersungguhlah kita dalam memastikan hati kita daripada terhindar daripada sifat lalai. Oleh itu bersungguh pula kita dalam beramal ibadat supaya mencapai kelebihan orang yang sentiasa ingat kepada Allah antaranya :

[1] Mengingat  nikmat Allah membuat kita sedar untuk bersyukur.

[2] Mengingat kekuasaan Allah menguatkan hati kita untuk bertawakal.

[3] Mengingat kasih sayang Allah mendorong kita untuk lebih mencintai Allah.

[4] Mengingat murka Allah menjadikan kita takut kepada-Nya.

[5] Mengingat keagungan Allah membuat kita tunduk pada-Nya.

[6] Mengingat ilmu Allah yang mencakup sesuatu yang tampak maupun yang tersembunyi membuat kita malu kepada-Nya.

[7] Mengingat keampunan dan kemurahan Allah menjadikan hati kita penuh dengan harapan dan terpacu untuk bertaubat.

[8] Mengingat keadilan Allah melatih diri kita untuk menjadi hamba yang bertakwa

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

اعْدُدْ سِتًّا بَيْنَ يَدَيْ السَّاعَةِ مَوْتِي ثُمَّ فَتْحُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ ثُمَّ مُوْتَانٌ يَأْخُذُ فِيكُمْ كَقُعَاصِ الْغَنَمِ ثُمَّ اسْتِفَاضَةُ الْمَالِ حَتَّى يُعْطَى الرَّجُلُ مِائَةَ دِينَارٍ فَيَظَلُّ سَاخِطًا ثُمَّ فِتْنَةٌ لَا يَبْقَى بَيْتٌ مِنْ الْعَرَبِ إِلَّا دَخَلَتْهُ ثُمَّ هُدْنَةٌ تَكُونُ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ بَنِي الْأَصْفَرِ فَيَغْدِرُونَ فَيَأْتُونَكُمْ تَحْتَ ثَمَانِينَ غَايَةً تَحْتَ كُلِّ غَايَةٍ اثْنَا عَشَرَ أَلْفًا  – رواه البخاري

Maksudnya : Ada 6 tanda hari kiamat. Kematianku, dibukanya Baitul Maqdis, 2 kematian yang menimpa kalian seperti kambing, melimpah ruahnya harta, sehingga seorang yang diberi 100 dinar masih tidak cukup, fitnah yang masuk setiap rumah masyarakat Arab, perdamaian antara kalian dengan bangsa kulit Kuning (Romawi) kemudian mereka ingkari dan mendatangi kamu dari 80 arah, dan setiap arah terdapat 12 000 sasaran

Sempena kita berada pada hari Jumaat yang mulia, di masjid yang mulia, di bulan kelahiran nabi yang mulia ini maka kita mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat dan sekutu zionis yahudi yang mengistiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Yahudi minggu lepas. Tindakan bacul ini mengingatkan kita kepada banyak hadis nabi s.a.w berkaitan Baitul Maqdis antaranya hadis berkenaan 6 tanda Qiamat iaitu kewafatan nabi s.a.w diikuti dengan pembukaan Baitul Maqdis pada zaman Sayyidina Umar al-Khottab, kematian akibat wabak taun juga pada zaman Sayyidina Umar. Manakala tafsiran berkenaan harta yang banyak antaranya harta zakat yang tidak dapat diagihkan pada zaman Sayyidina Umar bin Abdul Aziz kerana nikmat yang begitu banyak, ada tafsiran bayaran jizyah tidak lagi dapat diagih pada zaman turunnya nabi Isa a.s ketika hampirnya Qiamat dan juga tafsiran mengatakan perebutan kekayaan harta dunia sehingga tidak mengira halal haram sebagaimana yang kita rasai pada zaman kita ini. Tafsiran pada fitnah ialah peperangan saudara bermulanya zaman Sayyidina Uthman al-Affan dan sehingga hari ini lebih banyak peperangan saudara termasuk di Iraq, Yaman, Syria dan sebagainya. Apa yang paling besar ialah peperangan dengan zionis Yahudi dan pengganas Kristian termasuk di Palestin. Oleh itu dalam memerdekakan bumi Palestin maka kita wajib hidupkan solat berjemaah. Ketika saudara seagama ditembak mati kerana mahu solat di masjid Aqsa sedangkan ramai umat Islam di sini mati hatinya sehingga tak sampai-sampai ke masjid akibat terkena peluru syaitan dan hawa nafsu. Baca dan hayatilah al-Quran dalam kehidupan daripada asyik melayan whatsap, facebook, tv. Banyakkan zikrullah daripada asyik dengan lagu yang melalaikan. Penuhilah majlis ilmu sebagaimana berebut saksi bola dan konsert hiburan. Banyakkan amal ibadat jauhi maksiat Perangilah riba. Boikot barangan yang memberi bantuan secara langsung kepada zionis yahudi terutama rokok. Apa yang paling penting doa bantuan dan kemenangan daripada Allah. Musuh tidak gerun kepada umat Islam yang ramai tetapi jauh daripada agama. Islamlah nescaya kita selamat dan mulia dunia akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 163 – Agama DiJulang Al-Quds DiMerdekakan

Agama DiJulang al-Quds DiMerdekakan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya

Keberadaan kita pada bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w nabi akhir zaman pembawa rahmat kepada seluruh alam. Hadirnya bersama misi dan visi yang besar iaitu memastikan umat manusia yang tenggelam dalam cara hidup jahiliah terutama syirik kepada kembali MengEsakan Allah, daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk kepada suluhan wahyu, daripada sikap kebinatangan kepada akhlak yang mulia. Kita sebagai umat yang beriman begitu yakin bahawa pada diri Rasulullah s.a.w mempunyai contoh teladan yang terbaik dari pelbagai aspek kehidupan samada cara berkeluarga, cara berekonomi, cara bersosial, cara berpolitik, cara bernegara dan sebagainya. Bila kita benar-benar beriman kepada Allah dan rasulNya maka setiap tindak tanduk kita akan membawa kebaikan bukan sahaja pada diri sendiri malah mampu menyebar luaskan kebaikan kepada sekitar. Hanya umat yang meyakini bahawa perlunya kita kepada pengutusan nabi untuk membimbing umat manusia dalam mengurus kehidupan dunia berteraskan agama bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan yang paling penting di akhirat nanti. Islam melarang kita mendewakan nabi sehingga dianggap sebagai Tuhan sebagaimana sesatnya Kristian yang mempertuhankan nabi Isa a.s .

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 23-24 surah al-Jaathiyah :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّـهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّـهِ ۚأَفَلَا تَذَكَّرُونَ ﴿٢٣﴾ وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ ۚ وَمَا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

Maksudnya : Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?  Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata

Keperluan kita kepada pengutusan nabi Muhammad s.a.w bersama wahyu al-Quran begitu penting dan wajib disyukuri kerana ini semua menjadi antara asbab dalam  melahirkan kita sebagai seorang Islam. Kita begitu yakin bahawa nikmat agama adalah jauh lebih penting berbanding nikmat duniawi yang lain termasuk nikmat udara untuk bernafas, nikmat makan minum, nikmat tempat tinggal dan sebagainya. Agama dalam bahasa Arab disebut ad-Din. Selain bererti agama, ad-Din juga bererti yakin dengan “kekuasaan”, “ketundukan”, “kepatuhan”, “balasan”, peraturan” dan “nasihat”. Agama memang mengandung peraturan dan hukum yang harus dipatuhi manusia. Agama mempunyai kekuasaan yang membuat manusia tunduk dan patuh kepada Tuhan. Orang yang tunduk dan patuh kepada Tuhan akan mendapat balasan baik daripada Tuhan, sementara yang tidak patuh akan mendapat balasan buruk daripada Tuhan. Meskipun kini ilmu pengetahuan dan teknologi berkembang dengan pesat, manusia tetap memerlukan agama. Ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat memberi jawapan atas pertanyaan mengenai makna dan tujuan hidup manusia, yang hanya boleh dijawab oleh agama.

5 sebab utama manusia perlu kepada agama ialah :

[1] Keterbatasan akal terhadap pengetahuan mengenai hakikat sebenar kehidupan. Betapapun cerdasnya manusia, betapa maju teknologi tetapi tidak mampu menjawab banyak persoalan terutama berkaitan alam ghaib. Oleh itu manusia perlu kepada agama untuk menunjuk hakikat kehidupan dunia yang berkait dengan akhirat

[2] Keperluan fitrah manusia di mana semua bangsa percaya terhadap dzat yang dianggap Agung. Sedangkan orang-orang yang mengaku tidak percaya terhadap Tuhan, itu sebenarnya adalah hanya sebuah pelarian dari rasa kecewa terhadap agama yang mereka lihat. Padahal ia salah faham terhadap agama itu dan sama sekali itu tidak membuktikan bahawa Tuhan tidak ada. Oleh itu kita begitu bimbang apabila adanya anak-anak Melayu yang terlibat dengan golongan anti Tuhan. Perkara ini wajib dicegah daripada merebak dengan undang-undang dan pendidikan agar rasa perlu kepada agama ditingkatkan dalam jiwa umat Islam

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 59 surah Maryam :

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا ﴿٥٩

Maksudnya : Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),

Sebab ke- [3] perlunya manusia kepada agama kerana manusia perlu kesihatan jiwa dan kekuatan rohani. Pelbagai keadaan dalam hidup seperti susah senang, sihat sakit, kaya miskin, kuat lemah menjadikan manusia perlu kepada kekuatan untuk mengawal emosinya. Keyakinan dan keimanan terhadap agamalah sumber kekuatan itu. Sebab hanya agamalah yang mengajarkan tentang kepercayaan terhadap takdir, tawakkal, kesabaran, pahala dan siksa. Dengan kepercayaan semacam itulah jiwa akan menjadi sehat dan rohani akan menjadi kuat. Antara cara menguatkan jiwa ialah melalui amalan solat 5 waktu terutama secara berjemaah. Oleh itu ketika melihat ramai umat Islam meninggalkan solat yang menyebabkan pelbagai masalah sosial dan jenayah meningkat maka perlu ketika suatu usaha dalam memastikan umat Islam bersungguh dalam menjaga solat. Kita menyokong penuh usaha pihak satu sekolah di Pahang yang meminta agar pelajar terlebih dahulu solat Zohor berjemaah sebelum pulang. Inilah adalah suatu usaha baik yang mesti dicontohi ketika statistic menunjukkan peratusan umat Islam termasuk pelajar sekolah yang meninggal solat begitu tinggi. Kita juga meminta agar pihak yang membantah usaha murni ini agar di’sekolah’kan semula supaya mereka lebih takut kepada Allah.

[4] Keperluan masyarakat terhadap motivasi dan disiplin akhlak.

Hukum dan peraturan semata-mata tidak mampu mendidik manusia untuk melaksanakan kebaikan, menunaikan kewajiban dan meninggalkan larangan. Manusia perlu kepada motivasi dalaman iaitu hati nurani. Dengan membina hati nurani inilah seorang manusia akan termotivasi untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan dengan sukarela walaupun tanpa ada pengawasan dari manusia dan tekanan dari hukum dan peraturan. Peranan ini hanya mampu dimainkan oleh agama. Apalagi agama juga mengajarkan adanya “pengawasan melekat” oleh Tuhan terhadap seluruh perbuatan manusia dan menanamkan keimanan bahawa kehidupan dunia berhubung dengan balasan akhirat

[5]  Keperluan masyarakat kepada hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Ikatan aqidah mampu meruntuhkan sikap perkauman sempit sehingga manusia mampu hidup saling bantu membantu tanpa mengira bangsa, keturunan, pangkat dan harta. Hubungan atas dasar iman akan menolak sebarang bentuk penindasan dan kezaliman sebaliknya menyuburkan lagi rasa hormat dan kasih sayang dalam diri masyarakat.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan :

فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢

Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

Sempena kita berada pada hari Jumaat yang mulia, di masjid yang mulia maka kita mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat dan sekutu zionis yahudi yang mengistiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Yahudi. Bumi Palestin milik umat Islam, Al Quds milik kita. Allah dengan segala kekuatannya bersama kita. Walau musuh berhimpun dengan segala kekuatan mereka untuk mengalahkan Islam, mereka tak akan dapat melakukannya. Donald Trump memilih untuk bermain api dengan dunia Islam. Nanti dia bakal rasa bagaimana panasnya kobaran api jihad yang menyala lantaran tindakan bacul ini. Tentunya Trump dan anak emasnya Israel akan terpaksa membayar harga yang mahal kerana apa yang mereka jual akan bakal dibeli oleh pejuang Islam. Al Quds kiblat pertama ummat Islam. Di sini tersematnya maruah dan harga diri umat Islam. Saudara kita di Palestin telah mempertahankannya dengan darah dan nyawa. Mungkin kita tak seberani mereka untuk berdepan dengan kereta kebal Israel dengan hanya bersenjatakan batu-batu di tangan. Tapi tetap perlu ada bahagian kita dari kemuliaan jihad ini walau kita dipisahkan dengan luasnya lautan dan jarak yang jauh. Isu Palestin adalah isu kita bersama. Isu semua manusia yang cintakan keamanan dan kedamaian. Isu manusia yang cintakan keadilan dan mempertahankan hak orang lain dari dicabuli. Zionis Yahudi adalah pengganas dunia dan inilah musuh sebenar kita. Di belakang mereka juga negara pengganas yang mendakwa sebagai polis dunia. Siapa yang lebih ganas daripada mereka yang merampas bumi milik orang lain lalu bermaharajalela membunuh dan menindas. Pengganas ini tak kenal bahasa diplomasi. Kerana itu tentera Allah di bumi Palestin telah mengajar mereka dengan bahasa peluru dan darah. Jihad ini akan berterusan sampai hari kiamat

Buktikan kebersamaan kita dengan pejuang Palestin. Hulurkan bantuan kewangan dan yang paling penting ialah doakan keselamatan dan kejayaan pejuang Islam. Boikot barangan zionis yahudi dan sekutunya semampu yang mungkin terutama kaki rokok. Kalau tidak mampu membantu saudara seagama jangan pula membantu musuh dalam membunuh saudara seagama. Bangkitlah wahai umat Islam. Saudara seagama sedang menderita ketika kita riang gembira, mereka bermandi darah ketika kita hidup mewah, mereka berlagukan tangisan ketika kita hidup penuh hiburan. Bersama kita merdekakan bumi wakaf milik umat seluruh umat Islam Palestin. Kibarkan bendera Islam, jatuhkan bendera kezaliman

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ