• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3



  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,783,472 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 10,171 other followers

Fitnah DiJauhi Umat DiBerkati


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fajr :

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ

Maksudnya : Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil;

Kita kini berada minggu terakhir bulan Zulkaedah di mana beberapa hari lagi kita bakal menemui bulan Zulhijjah yang mempunyai keistimewaan yang mesti sama-sama kita rebut dalam menambahkan lagi bekalan akhirat disamping memohon keampunan atas dosa-dosa kita terhadap Allah. Sebelum menyambut kedatangannya marilah kita sama-sama  mengingati tentang kelebihan awal Zulhijjah sebagaimana yang disebut oleh Allah pada awal surah al-Fajr di mana Ibnu Abbas dan Mujahid menyatakan bahawa malam sepuluh yang dimaksudkan ialah 1 hingga 10 Zulhijjah di mana pendapat ini dikuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a:

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ قَالُوا وَلَا الْجِهَادُ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ” – رواه البخاري

Maksudnya : Tiada hari-hari yang amalan soleh dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama Zulhijjah). Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan Allah?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).”

Al-Hafiz Ibn Hajar memperjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat (secara serentak) pada bulan-bulan lain.

Bagi kita yang mahu melakukan ibadat korban pada hari raya dan tasyriq nanti maka sunat tidak memotong kuku, rambut atau sebarang bulu di tubuh bermula pada 1 Zulhijjah hingga ibadah korban dilakukan.

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ  فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا  – رواه مسلم

Maksudnya : Apabila masuknya 10 (hari awal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kalian mahu melakukan korban. Janganlah dia memotong rambutnya dan bulu badannya

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 26-27 surah al-Ahzab :

وَأَنزَلَ الَّذِينَ ظَاهَرُوهُم مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِن صَيَاصِيهِمْ وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَ فَرِيقًا تَقْتُلُونَ وَتَأْسِرُونَ فَرِيقًا ﴿٢٦﴾ وَأَوْرَثَكُمْ أَرْضَهُمْ وَدِيَارَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ وَأَرْضًا لَّمْ تَطَئُوهَا ۚ وَكَانَ اللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرًا ﴿٢٧

Maksudnya : Dan Dia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.  Dan Dia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sempena berada pada saki baki bulan Zulkaedah juga  maka tidak terlewat untuk kita mengambil pengajaran daripada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini antaranya Peperangan Bani Quraizah yang meletus sebaik sahaja selesai Peperangan Ahzab tahun 5 Hijrah. Rasulullah s.a.w yang baru pulang daripada Peperangan Ahzab didatangi oleh Malaikat Jibril yang menyeru supaya nabi mesti segera memerangi yahudi Bani Quraizah lalu baginda bersama dengan 3 ribu orang tentera terus menuju ke tempat tersebut di mana yahudi Bani Quraizah tidak menentang lalu tentera Islam mengepung musuh itu selama 25 malam sehingga musuh akhirnya menyerah diri. Akibat kejahatan yahudi Bani Quraizah itu yang bukan sahaja mengkhianati janji dengan bersekongkol bersama tentera Ahzab kuffar tetapi turut merancang untuk membunuh seluruh umat Islam dengan menyimpan begitu banyak senjata untuk tujuan itu maka kaum lelaki dijatuhkan hukuman bunuh manakala kaum wanita dan kanak-kanak dijadikan tawanan. Hukuman bunuh ini dijalankan dengan yahudi Bani Quraizah itu ditahan di kampung Bani Najjar lalu di gali parit-parit di kawasan pasir di Madinah dan kemudiannya dibawa sekumpulan demi kumpulan yahudi itu untuk dipancung leher mereka yang menyaksikan antara 6 hingga 7 ratus yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh. Terdapat juga dikalangan yahudi itu yang memeluk Islam. Antara pengajaran penting daripada peristiwa ini ialah bagaimana bantuan Allah akan datang kepada umat yang tunduk patuh kepada ajaran Islam secara menyeluruh. Manakala punca hilangnya rasa gerun daripada hati musuh Islam terhadap umat Islam akibat beberapa faktor antaranya :

[1] Tidak taat kepada Allah dan rasulNya sehingga adanya umat Islam yang mempertikai system Islam samada berkaitan politik, social, ekonomi seperti memperlekehkan hukum hudud, menularnya fahaman Liberal yang menghalalkan budaya songsang, halal zina dan wujudnya anak muda yang menyertai program anjuran golongan anti Tuhan atau tidak beragama.

[2] Umat Islam bergaduh sesama sendiri yang menyebabkan setengah negara berlakunya peperangan saudara sehingga musuh Islam mengaut keuntungan atas perniagaan menjual senjata dalam membunuh saudara seagama

Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :

وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖوَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦

Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

[3] Sebahagian umat Islam ditimpa penyakit wahnu iaitu terlalu cinta kepada dunia dan benci kepada mati sehingga tiada erti halal haram, dosa pahala, syurga neraka dalam mengejar harta, pangkat. Akhirnya ramai terlibat rasuah, pecah amanah, riba

Sayidina Umar Al Khattab r.a berpesan kepada tentera Islam dengan katanya,”Aku lebih takut pada dosa-dosa kamu daripada musuh-musuhmu. Kerana apabila kamu melakukan dosa, Allah tidak lagi akan menolong kamu. Maka terbiarlah kamu pada musuh-musuhmu.” Begitu juga Panglima Saad Abi Waqqas dan Salman Al Farisi ketika sedang mengharungi air sungai Dajlah untuk menawan Parsi pernah mengungkapkan, “Demi sesungguhnya Allah akan memusnahkan musuh-musuhnya selama tidak ada di dalam tentera kita orang yang zalim dan berbuat dosa.”

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujuraat :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Peristiwa besar yang lain yang pernah berlaku pada bulan Zulkaedah ialah pengepungan puak pemberontak khawarij pimpinan Abdullah bin Saba’ terhadap Khalifah Sayyidina Uthman b Affan di Madinah bermula 8 Zulkaedah tahun 35 Hijrah sehinggalah membawa kepada syahidnya beliau sebelum Maghrib Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah iaitu hari ke 40 daripada kepungan itu. Sayyidina Uthman mati syahid dalam keadaan berpuasa dan membaca al-Quran  di mana ketika dipukul sehingga darah yang mengalir dari muka Sayyidina Uthman terkena ayat 137 surah al-Baqarah yang berbunyi:

………… ۖ فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّـهُ ۚ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿١٣٧

Maksudnya : Maka cukuplah Allah bagi kamu daripada kejahatan mereka dan Dialah Tuhan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Pembunuhan kejam ini dimulai dengan api fitnah dan berita bohong yang meluas. Fitnah terbesar ialah apabila rombongan penduduk Mesir sekitar seribu orang disamping rombongan dari Kufah dan Basrah yang datang ke Madinah bertujuan meminta Sayyidina Uthman supaya menukar gabenor Mesir lalu beliau bersetuju untuk melantik Muhammad bin Abu Bakar. Ketika pulang kira-kira 3 hari perjalanan dari Madinah maka rombongan dari Mesir terlihat seorang budak suruhan berkulit hitam melintasi mereka dalam keadaan tergesa-gesa lalu mereka meminta agar budak itu berhenti untuk disoal. Budak itu menjelaskan segala tujuannya untuk ke Mesir bagi menyampaikan surat yang didakwa daripada khalifah Sayyidina Uthman. Apabila surat yang mempunyai cop mohor Sayyidina Uthman itu dibaca oleh Muhammad bin Abu Bakar lalu rombongan ini terkejut besar apabila melihat isi surat itu di mana antara lainnya meminta agar gabenor Mesir sebelum ini mesti terus menjadi gabenor serta mesti membunuh Muhammad bin Abu Bakar dan rombongan bersamanya serta membatalkan surat perlantikan Muhammad bin Abu Bakar sebagai gabenor yang baru. Fitnah ini dijadikan alasan untuk membunuh Sayyidina Uthman atas kesalahan yang dirancang rapi oleh pemberontak.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 112 surah an-Nisa’ :

وَمَن يَكْسِبْ خَطِيئَةً أَوْ إِثْمًا ثُمَّ يَرْمِ بِهِ بَرِيئًا فَقَدِ احْتَمَلَ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا ﴿١١٢

Maksudnya : Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata.

Menyedari tentang bahayanya budaya fitnah dan penyebaran berita palsu maka kita wajib bentengkan diri kita dengan beberapa perkara berikut :

[1]Banyak berdoa kepada Allah agar dijauhi fitnah dan memfitnah

[2]  Ilmu kerana ia mampu melenyapkan segala kejahilan dan melapangkan jalan kebenaran bagi setiap generasi ummah. Ilmu juga mengukuhkan pendirian seseorang daripada segala bentuk kesamaran dan keraguan yang timbul serta membinasakan segala bentuk kejahatan yang muncul.

[3] Ibadah dan amalan kebajikan dengan keyakinan bahawa segala urusan itu diserahkan kepada Allah, berusaha menyelesaikannya dengan kemampuan yang ada dan bertawakal kepada Allah

[4]  Iman sejati yang diperoleh dengan mengagungkan perintah Allah, berdampingan dengan-Nya dan menjaga ketakwaan dalam diri sepanjang hari. Iman yang ikhlas kepada Allah akan mencambahkan nilai kasih sayang, mengharapkan reda dalam setiap perkara dan mengutamakannya pada setiap amalan.

[5] Bergabung dengan Jemaah Islam dan mengelakkan diri daripada perpecahan. Sesungguhnya perpecahan itu adalah suatu keburukan yang tercela, sedangkan penyatuan pula rahmat yang akan menghasilkan kesatuan, kekuatan ikatan dan ketinggian wibawa dalam kalangan kaum Muslimin seluruhnya.

Bersatulah atas dasar Islam nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: