• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3








  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,722,080 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 9,897 other followers

Khutbah Audio 148 – Isra’ Mikraj DiHayati Jatidiri Umat DiMiliki

Isra’ Mikraj DiHayati Jatidiri Umat DiMiliki

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 81-82   surah al-Isra’ :

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا ﴿٨١﴾ وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا ﴿٨٢

Maksudnya : Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”. (81) Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Sekarang kita mula memasuki bulan Sya’aban dengan sama-sama meninggal bulan haram Rejab yang banyak mencatatkan peristiwa besar dalam sirah nabi s.a.w terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj. Apa yang terpenting dari peristiwa Israk dan Mikraj adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad SAW. Diperlihatkan kebesaran kerajaan Allah SWT supaya baginda sedar bahawa tugas kerasulannya kepada seluruh umat hingga ke hari kiamat, adalah terlalu kecil jika dibanding dengan kekuasaan Allah SWT.

Segala kuasa yang menentang Islam, termasuk kuasa besar yang ada pada hari ini, ibarat habuk yang halus sahaja di sisi kuasa Allah SWT. Kita menyaksikan, selepas kejatuhan Soviet Union, ratusan juta umat Islam diserang, ditindas, dibelasah, dijajah, diseksa, dan dibunuh oleh penjajah Timur dan Barat. Penjajah Barat ialah negara-negara Kapitalis, negara Eropah, negara Kristian. Timur pula adalah negara Komunisme. Negara umat Islam dipecah-pecahkan, dibahagi-bahagikan antara kuasa-kuasa besar. Umat Islam dihancur leburkan. Namun, kita juga menyaksikan cahaya Islam tidak padam. Agama ini bukan sahaja tidak berjaya disekat, malah ia terus berkembang dan berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Dalam keadaan umat Islam begitu lemah ini, Allah menunjukkan kekuasaan-Nya yang Maha Besar.

Di Amerika, dalam ratusan juta rakyatnya, puluhan juta daripadanya telah memeluk Islam. Di India, dalam bilion rakyatnya, ratusan juta memeluk Islam. Di China, ratusan juta umat Islam. Di Rusia, jutaan daripadanya adalah muslim. Allah menunjukkan, di negara-negara yang menjadi pusat untuk menentang Islam, rakyat mereka memeluk Islam dalam jumlah yang besar. Menurut suatu laporan, di London kini telah mempunyai 423 masjid baru, menggantikan 500 gereja yang telah ditutup.  Ini kekuasaan Allah yang boleh kita lihat pada hari ini.

Inilah antara bukti dari Israk dan Mikraj. Untuk menghiburkan hati Nabi SAW supaya tidak merasa lemah dan takut. Dan Nabi pernah menegaskan bahawa Allah akan pasti akan menyempurnakan urusan menyebarkan ajaran Islam ini. Nabi juga pernah menyatakan bahawa Islam akan sampai di mana sahaja sampainya siang dan malam. Oleh itu kita bersama Islam ini, jangan rasa takut dan hina. Walaupun umat Islam dalam keadaan lemah, jangan sekali-kali merasa takut dan lemah. Kerana agama kita adalah agama Allah. Sebab ramai orang Islam sekarang merasa hina, merasa takut nak mengaku Islam. Takut nak mengamalkan Islam. Merasa rendah diri dengan Islam. Sebagai seorang Islam kita hendaklah sedar, kita adalah mulia di sisi Allah selagi berpegang kepada Islam dan pasti dihina bila meminggirkan Islam

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Ketika menyoroti kisah Isra’ dan Mikraj maka kita dapati banyak cubaan dan panggilan yang cuba menghalangi perjalanan nabi s.a.w termasuk panggilan Yahudi dan Kristian. Ini menggambarkan bagaimana dakwah dan kebangkitan Islam akan berdepan dengan musuh yang sentiasa berusaha siang dan malam agar umat manusia bukan sahaja dijauhkan daripada Islam malah membenci Islam dengan pelbagai tuduhan dan gambaran buruk.  Antara 7 Strategi musuh dalam menghancurkan Umat Islam :

[1] Kemiskinan dengan memastikan negara umat Islam terus dicengkam dengan ekonomi yang tenat sehingga terpaksa meminjam dengan kuasa luar. Ekonomi negara dikuasai oleh orang bukan Islam termasuk dalam penghasilan makanan halal. Negara kita dianugerahkan oleh Allah dan tanah yang subur dan hasil mahsul termasuk minyak yang banyak. Negara kita dikelilingi laut tetapi harga ikan mahal. Tanah kita subur tapi kita import makanan dari luar sebanyak RM 22 bilion, tanah rumput menghijau tapi lembu kita import dari Thailand dan Kemboja. Harga makanan terus meningkat kerana kita bergantung kepada negara luar, imbangan dagang kita tidak seimbang. Food security kita tidak terjamin

[2] Musuh Umat Menguasai Aset Negara sehingga kekayaan negara dikuasai pihak asing.  Aset negara digadai  untuk bayar hutang akibat kegagalan mengurus dengan cekap dan bertanggungjawab. Malah  Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2016, kedudukan Malaysia terus merosot ke kedudukan yang ke 55 daripada 176 negara.

[3] Penguasaan Kekayaan Alam termasuk perniagaan, pengeluaran, pertanian, perikanan, perternakan dan selainnya oleh pihak Asing sehingga rakyat menjadi kuli di negara sendiri.

[4] Penguasaan musuh terhadap media massa sehingga menguasai cara hidup, berpakaian dan berfikir umat Islam ke arah berqiblatkan cara hidup yang bercanggah dengan agama melalui filem, berita dan maklumat yang diputar belit. Akhirnya umat sendiri begitu berbangga dengan fesyen yang mendedah aurat dan hidup bebas

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mu’minun :

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْ‌ضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِ‌هِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِ‌هِم مُّعْرِ‌ضُونَ

Maksudnya : Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

Cara musuh Islam yang ke-[5] Menguasai Sistem Politik dan sistem negara supaya terus berqiblatkan ideology sekuler, liberal, kapitalis, sosialis dan sebagainya. Akhirnya system Islam dianggap ketinggalan zaman dan mengancam cara hidup moden. Umat Islam sendiri ragu kepada system Islam malah lebih mendewakan system ciptaan manusia walau pun lemah dan zalim. Mereka mendewakan system riba yang dianggap penting dalam memajukan negara sedangkan orang yahudi sendiri mengharamkan riba sesama yahudi walau pun yahudi mempolopori system riba dengan selain yahudi. Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj nabi s.a.w diperlihatkan bagaimana azab kepada mereka yang terlibat dengan riba iaitu berenang dalam sungai darah dan dilemparkan batu

 [6] ialah menghancurkan akhlak umat Islam dengan perkara yang memabukkan terutama arak, dadah, bahan lucah. Ketika dibawa melawat Neraka maka nabi s.a.w diperlihatkan bagaimana dahsyatnya azab kepada peminum arak dan yang berzina. Negara menyaksikan bagaimana suatu  Statistik jumlah penagih dadah tahun 2016 ialah seramai 30,847 orang, kadar purata kes buang bayi 10 orang setiap bulan

[7] Menyebarkan ajaran sesat termasuk anti hadis, Islam Liberal dalam memastikan keadaan umat Islam semakin tenat

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 60 surah al-ِAnfal :

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّـهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّـهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠

Maksudnya : Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Menyedari tentang betapa bahaya dan bersungguhnya musuh Islam dalam menghancurkan umat Islam siang dan malam maka kita wajib bangkit menentang dengan membina jatidiri dalam diri kita, keluarga seterusnya masyarakat. Antara perkara yang mesti dititikberatkan dalam membina jatidiri ialah :

  1. Iman yang mendalam.
  2. Aqidah yang teguh.
  3. Amalan fardhu dan nawafil atau sunat yang istiqamah serta terjaga.
  4. Jauhi Maksiat banyakkan bertaubat kepada Allah
  5. Ketekunan dan kerja keras
  6. Ta’awun atau tolong menolong dalam urusan dunia dan akhirat
  7. Penguasan ilmu ukhrawi dan duniawi
  8. Mengambil manfaat dari semua pihak asal tidak bercanggah dengan syara’.
  9. Sentiasa kembali kepada Allah terhadap semua kejayaan

Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Munafiqun :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ‌ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُ‌ونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus di Pondok Pasir Tumboh 28 April ini

Khutbah Audio 147 – Suburkan Sistem Islam Kuburkan Sistem Jahiliah

Suburkan Sistem Islam Kuburkan Sistem Jahiliah

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu.Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Kini kita berada bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj dan Peperangan Tabuk tahun 9H.Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini.Pelbagai cabaran dan halangan pasti akan ditempuhi dalam menegakkan system Islam atas muka bumi ini di mana kita bukan sahaja dituntut untuk mengorbankan masa dan tenaga malah menuntut tumpahnya darah ke bumi dan melayangnya nyawa dari badan. Ketika menyoroti iktibar daripada Peperangan Tabuk maka kita dapat menyaksikan bagaimana golongan munafik bukan sahaja memberi pelbagai alasan untuk tidak menyertai Peperangan Tabuk malah bergerak untuk mempengaruhi tentera Islam yang lain agar menarik diri daripada keluar berjihad. Antara alasan golongan munafik untuk lari daripada berjihad sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran ialah : [1]Musim mengutip buah-buahan tamar yang sedang masak [2] Cuaca yang sangat panas dan terik;[3] Perjalanan jauh dan sukar;[4] Menghadapi tentera Rom yang besar dan gagah[5] Tidak mempunyai persediaan dari segi senjata dan kepandaian bertempur [6] Tidak mampu menahan godaan dengan kecantikan wanita Rom. Inilah alasan yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada agama, keuntungan duniawi berbanding ukhrawi yang menyebabkan manusia gugur dari perjuangan

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui

Begitulah juga keadaan kita pada hari ini ramai yang gugur daripada perjuangan Islam akibat beberapa punca utama antaranya :[1]Kurang ilmu dan kefahaman tentang Islam sehingga mudah terpengaruh dengan ideology sesat termasuk sekulerisme, liberal sehingga hilang semangat dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan. Dalam banyak keadaan timbul rasa sangsi dengan kehebatan system Islam sehingga mendewakan system kuffar walau pun jelas bertentangan dengan Islam [2]Lemah Tarbiyah sehingga gagal memahami tujuan dan matlamat perjuangan Islam. Akhirnya wujud golongan yang hanya berfikir cara untuk mencapai kemenangan tanpa menghirau halal haram malah sanggup mengenepikan prinsip Islam[3]Lemah Ruh Ukhuwwah persaudaraan Islam sehingga gagal bergerak dengan baik akibat perbalahan dan perpecahan sama sendiri. Hilangnya kasih sayang atas dasar iman menyebabkan banyak tugas dan gerak kerja terbantut [4]Mengutamakan kerjaya sehingga menjadikan tugas dakwah dan kerja menggerakkan perjuangan Islam sebagai kerja sampingan dan hanya dibuat sambil lewa sahaja[5]Ketidakjelasan Manhaj Taghyir atau cara merubah umat kepada Islam menyebabkan gagal menarik masyarakat untuk sama-sama bersemangat dalam melaksanakan system Islam dalam kehidupan[6]Himpitan dunia di mana tumpuan kepada gerak kerja Islam terbantut akibat semangat untuk berkorban semakin luntur kerana merasakan masa, harta yang digunakan untuk perjuangan Islam merugikan dan tiada pulangan duniawi. Malah tekanan hidup termasuk kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan tumpuan dalam gerak kerja Islam semakin kabur kerana lebih banyak memikirkan cara untuk memenuhi keperluan diri lebih utama daripada pengorbanan untuk Islam[7]Godaan dunia termasuk godaan harta dan pangkat sehingga bila berdepan dengan pilihan antara memilih harta dan pangkat dengan kerja-kerja Islam tanpa balasan setimpal maka orang yang lemah iman lebih memilih habuan dunia berbanding kerja Islam[8]Lemah Organisasi dan teman-teman seperjuangan di mana ia biasanya berlaku akibat meletakkan anggota jamaah di tempat yang tidak sesuai tanpa mengambil kira keupayaan, kecenderongan, kebolehan, kelemahan dan kekurangan anggota, tidak membahagikan kerja secara menyeluruh kepada anggota jamaah,  tidak mengambil berat kebajikan ahli samada berkaitan peribadi, keluarga, kewangan dan sebagainya. Kegagalan menyelesaikan masalah yang timbul dengan segera, akhirnya menjadi bertimbun, bercabang-cabang dan melahirkan pula masalah baru.Berlakunya pertikaian dalaman termasuk suka berebut jawatan dan Tidak iltizam dengan dasar dan keputusan jamaah. Oleh itu jauhilah perkara yang boleh menyebabkan kita gugur daripada sof perjuangan Islam

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Firman Allah dalam ayat 105 surah an-Nisa’ :

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّـهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا ﴿١٠٥

Maksudnya :Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat

Minggu ini telah mencatatkan suatu sejarah besar dalam Negara terutama melibatkan pertentangan yang jelas antara iman dan kufur, Islam dan jahiliah apabila Parlimen yang baru siap bersidang semalam menyaksikan 2 usul rang undang-undang dibentangkan iaitu RUU 164 yang dilihat bertentangan dengan Islam dan hukum syarak seperti yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-87 pada Jun 2009 iaitu apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa yang memeluk Islam, status agama anak-anak di bawah umur secara langsung adalah Islam dan ia diterima dalam Negara. Buat masa ini RUU 164 ditangguh akibat tekanan daripada golongan yang benar-benar cintakan Islam. Kita begitu bimbang jika undang-undang ini diteruskan buat masa akan datang akibat kesilapan kita sendiri dalam memilih ahli Parlimen yang tidak peka terhadap Islam dalam pilihanraya terdekat ini mengakibatkan apa yang diperjuangkan oleh Suruhanjaya Antara Agama (IFC) sebelum ini antaranya dalam menghalalkan murtad akan diluluskan. Jangan biarkan Islam terus dimandul seterusnya dikubur oleh musuh Islam di Negara tercinta

Usul terhangat yang diberikan kesempatan untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen semalam iaitu RUU 355  dalam memperkasakan Mahkamah Syariah. Sejarah sudah membuktikan bahawa sejak Akta 355 ini diluluskan 52 tahun yang lalu, belum pernah ada seorang bukan Islam yang didakwa kesalahannya di bawah mana-mana Mahkamah Syariah Negeri-Negeri, Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri-Negeri yang diwujudkan daripada Akta induk ini. Pada masa sekarang, bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah ialah sangat terbatas. Batas hukuman itu juga amat jauh ketinggalan berbanding hukuman kesalahan dalam Mahkamah Sivil.Sebagai contoh, bagi sesuatu kesalahan di bawah Akta Hidupan Liar, Undang-Undang Sivil boleh memperuntukkan denda sehingga 50,000 ringgit ke atas seorang yang didapati bersalah memelihara burung tertentu, sedangkan kesalahan Syariah seperti mengajak ajaran sesat yang berjaya menyelewengkan akidah atau memurtadkan sebegitu ramai pengikutnya yang beragama Islam di negara ini, jika disabitkan kesalahannya, hanya boleh didenda tidak lebih daripada 5,000 ringgit, apakah demikian rendahnya nilai harga sebuah akidah Muslim? Tergamakkah kita membiarkan agama Allah dimartabatkan sedemikian rendah di negara kita yang memperuntukkan agama Islam selaku agama negara

Begitu juga seorang suami Muslim yang tidak bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya, meninggalkan mereka bertahun-tahun lamanya berpoya-poya di luar tanpa memberi nafkah ke atas isteri dan anak-anaknya. Apabila didakwa oleh isteri dan disabitkan kesalahan di bawah Mahkamah Syariah, akan mudah membayar denda tidak melebihi 5,000 ringgit berbanding dengan puluhan ribu atau mungkin mencecah ratusan ribu ringgit berbanding kesalahan yang hampir sama keadaannya di Mahkamah Sivil. Di manakah kaum wanita Islam akan memperolehi keadilan dan pembelaan sewajarnya dalam sebuah negara yang diterajui oleh orang-orang Islam dalam keadaan mereka dianiayai begitu rupa kecualilah jika batas hukuman yang lebih tegas dikenakan di bawah Akta 355 sedia ada. Oleh itu kewajipan kita bersama untuk memastikan RUU 355 ini diluluskan pada masa terdekat antaranya memastikan ahli Parlimen yang dipilih nanti betul-betul bersungguh dalam melaksanakan system Islam bukannya yang takut dan tunduk kepada golongan Kuffar dan terpengaruh dengan ideology sesat sekulerisme, liberal dan selainnya. Di tangan kita adanya 2 pilihan samada julang atau benamkan sistem Islam, Subur atau kuburkan sistem al-Quran, tunduk akur kepada perintah Allah atau jatuh tersungkur di kaki musuh Allah.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 31 surah an-Nuur :

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖوَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ…….

Maksudnya :Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; …..

Sistem Islam juga wajib diperkasakan dalam memastikan amalan rasuah, pecah amanah, riba dapat dihapuskan. Begitu juga kes menghina kaum wanita termasuk isu terbaru apabila Syarikat Penerbangan Malindo Air, dalam satu temuduga telah meminta calon temuduga membuka pakaian, mengangkat skirt mereka atas alasan memastikan sama ada pemohon mempunyai parut, jerawat atau tatoo yang boleh dilihat melalui pakaian seragam. Kita telah lama meminta agar kerajaan lebih serius mengangkat martabat wanita termasuk mendesak agar syarikat penerbangan memastikan etika pakaian menutup aurat di kalangan pekerja Islam supaya kes ini tidak berulang pada masa akan datang. Mulianya kita kerana melaksanakan Islam, hinanya kita akibat mengenepikan cara hidup Islam dalam kehidupan. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ