• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,676,525 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

Sabar Hadapi Ujian Syukur Merai Kebahagiaan


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  11   surah at-Taghabun :

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۗوَمَن يُؤْمِن بِاللَّـهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿١١﴾ ‌

Maksudnya : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Kehidupan dunia ini ibarat berada di dewan peperiksaan di mana kita diuji berdasarkan tahap keimanan kita kepada Allah sebagaimana pelajar menghadapi peperiksaan mengikut tahap mereka samada rendah, menengah mahu pun tinggi. Pelajar akan menjawab segala soalan yang diberi samada dengan baik atau pun sebaliknya mengikut kefahaman dan persiapan awal yang dilakukan sebelum memasuki dewan peperiksaan. Begitulah tiap diri kita telah dan akan berdepan dengan musibah atau ujian daripada Allah dengan baik atau tidak berdasarkan ilmu dan penghayatan kita kepada syariat Islam dalam kehidupan seharian. Kemampuan kita dalam menghayati syariat Islam pasti membuahkan hasil yang baik untuk dunia dan akhirat kita. Manakala  kegagalan dalam menghidupkan system Islam dalam kehidupan menyebabkan manusia mudah hanyut dengan godaan hawa nafsu dan syaitan yang akhirnya mengheretnya kepada kehancuran dan kebinasaan.

Ketika menyaksikan pengumuman keputusan UPSR semalam di mana peratus yang mendapat A dalam semua mata pelajaran merudum teruk di antara sebabnya pertukaran format. Begitulah keadaan umat manusia hari ini yang semakin ramai gagal dalam berdepan dengan ujian Allah akibat cabaran kepada hawa nafsu mereka yang semakin bercelaru terutama dengan ledakan teknologi maklumat yang semakin pesat tetapi ia gagal diambil manfaat sebaliknya lebih ramai yang menggunakannya pada jalan keburukan.  Dalam masa yang sama format untuk soalan alam barzakh tetap sama tetapi umat yang bakal berjaya menjawabnya semakin sedikit akibat kekurangan bekalan akhirat yang dibawa berbanding dosa maksiat yang dibangga. Ramai pelajar dan ibubapa begitu rungsing bila keputusan peperiksaan tidak cemerlang kerana ia bakal menjejaskan kerjaya masa depan. Mengapakah perkara yang sama tidak dihayati untuk bekalan akhirat di mana tiap diri kita perlu bimbang sekiranya gagal membina peribadi A pada akhlaknya, A pada amalan solehnya kerana kegagalan ini akan membawa penderitaan di alam barzakh seterusnya di alam akhirat tempat pembalasan yang kekal selamanya. Oleh itu kita wajib bersungguh dalam melahirkan generasi yang cemerlang dengan kehidupan dunia bertunjangkan Islam sebelum meraih kebahagian akhirat yang kekal abadi

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat  11  surah al-Hajj:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَعْبُدُ اللَّـهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ ﴿١١

Maksudnya : Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.

Ketika berdepan dengan suatu musibah atau ujian Allah maka tingkatan sikap manusia dalam menerima takdir Allah terbahagi kepada 4 tahap iaitu :

[1] Marah dengan takdir yang Allah samada dalam hatinya atau diucap dengan lidahnya di mana ini boleh menjejaskan imannya dan wajib dijauhi

[2] Sabar sebagaimana ungkapan syair arab : “Sabar itu memang seperti namanya (nama sejenis tumbuhan), yang rasanya pahit. Namun hasil dari kesabaran akan lebih manis dari madu”.  Ketika seseorang merasakan beratnya ujian dan tidak suka dengan ujian yang menimpanya, namun dia lebih memilih bersabar sehingga dia merasa ada atau tidaknya ujian sama saja. Meskipun dia tidak menyukainya, namun keimanannya menghalanginya untuk marah. Bersabar ketika menghadapi ujian hukumnya wajib, dan seseorang yang tidak bersabar ketika itu akan terjerumus dalam dosa. Dan sabar adalah tingkatan yang paling minima  yang dimiliki oleh seorang Muslim ketika menghadapi ujian. Adapun tingkatan yang lebih tinggi dari sabar, hukumnya sunnah dan lebih afdhal atau utama.

[3] Redha di mana dia menjadikan ujian dan nikmat yang menimpanya sama saja, iaitu sama-sama bahagian daripada takdir dan ketetapan Allah, meskipun musibah tersebut membuat hatinya sedih di mana perasaan ini terhasil  daripada keimanan kepada qadha dan qadar. Sehingga hal inilah yang menjadi pembeza antara sifat sabar dan redha.

[4]  Syukur di mana ia adalah tingkatan tertinggi dan yang paling utama dalam menghadapi ujian Allah kerana dia mampu bersyukur atas musibah yang menimpanya. Oleh karena itu, dia boleh menjadi hamba Allah yang penuh rasa syukur ketika dia melihat masih banyak orang lain yang lebih berat musibahnya dibandingkan dirinya. Musibah dalam hal dunia lebih ringan dibandingkan musibah dalam hal agama, karena musibah di dunia lebih ringan dibandingkan azab di akhirat. Pada hakikatnya, musibah adalah penghapus dosa dan akan menjadi tambahan kebaikan di sisi Allah ketika dia menjadi hamba yang bersyukur.

قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم  : مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ – رواه البخارى ومسلم

Maksudnya : Tak ada sesuatu pun yang menimpa seorang muslim berupa kelelahan, kesusahan, kesakitan, penganiayaan dan hal-hal yang dibenci, sehingga duri yang menyakitinya, kecuali Allah akan memberi keampunan terhadap dosa-dosanya oleh sebab hal-hal tersebut

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat  30  surah as-Syura:

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ ﴿٣٠

Maksudnya : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Ketika kita berasa rungsing dengan keputusan peperiksaan samada yang telah selesai atau yang sedang berlangsung maka kita juga perlu merasa bimbang dengan ujian terhadap akhlak kepada generasi muda pada hari ini. Contohnya kebimbangan berkenaan statistik kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah yang semakin meningkat saban tahun. Kebimbangan ini berasas sebagaimana dilaporkan media massa, bahawa hampir setengah juta anak tidak sah taraf telah didaftarkan dalam tempoh 2005-2015.  Secara purata, boleh disimpulkan sebanyak hampir 4,435 anak luar nikah dilahirkan setiap tahun dalam tempoh tersebut. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa dalam tempoh yang sama, sebanyak 526 kes pembuangan bayi telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia.

Realiti dunia masa kini, golongan remaja dan belia khususnya wanita tidak terlepas daripada belenggu hedonisme dan hiburan yang tidak terkawal. Oleh itu pihak berkuasa wajib memantau program hiburan dengan menetapkan garis panduan yang lebih ketat bagi mengelakkan pergaulan yang terlampau bebas antara lelaki dan perempuan dalam setiap acara yang dijalankan. Begitu juga lambakan drama dan filem berunsur percintaan berserta adegan yang tidak sepatutnya di tv mampu mempengaruhi pemikiran remaja dan turut menyumbang keterlibatan remaja dalam perkara yang dapat menjurus kepada hubungan sebelum berkahwin. Kerajaan melalui Lembaga Penapisan Filem diseru agar lebih tegas dalam menapis kandungan filem yang ingin ditayangkan tanpa mengenepikan realiti masyarakat timur yang terkenal dengan tatasusila dan batas pergaulan yang sosial. Pengusaha industri filem pula diseru agar tidak terlampau obses mengejar keuntungan hingga mengenepikan nilai moral dan etika kemasyarakatan dalam pembikinan filem. Sepatutnya filem digunakan untuk membina akhlak bukan merosakkan akhlak. Kerajaan juga wajib bersungguh dalam melaksanakan hukum Islam bagi memastikan kerosakan akhlak dapat ditangani segera dan berkesan.  Selain itu bermula daripada ibubapa dan masyarakat sekitar mesti bersungguh-sungguh dalam membentuk suasana dalam rumahtangga dan sekitar yang sihat termasuk penjagaan aurat, banteras pergaulan bebas, mengawal penggunaan internet dan telefon pintar agar diguna pada perkara manfaat bukan sebaliknya. Perkasakan kerja amar makruf, nasihat menasihati, tegur menegur dalam rumahtangga dan masyarakat agar suasana yang patuh syarak dapat diwujudkan sehingga turunnya keberkatan daripada Allah.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat  60  surah al-Anfal:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Umat Islam yang Berjaya juga wajib peka terhadap isu semasa bukan sahaja dalam Negara malah antarabangsa terutama yang melibatkan kesan kepada cara hidup umat Islam. Contohnya bila dunia sedang membicarakan proses pertukaran Presiden baru AS yang turut memberi kesan kepada umat Islam maka kita wajib menghayati apa yang disarankan oleh al-Quran antaranya :

[1] Persediaan untuk menghadapi apa sahaja cabaran dan ujian. Bukannya hanya sebagai pemerhati atau penonton, lalu membuat rumusan yang tidak berpijak dalam realiti sebenar.

[2]  Persediaan dengan “segala jenis kekuatan” adalah puncak tertinggi bagi satu-satu persiapan dengan sepenuh kemampuan, bukannya ala kadar. Antara yang terpenting, sudah tentu ilmu, akhlak, ibadah, kerukunan rumahtangga, pegangan hidup.

Kita tidak mahu umat Islam terus menjadi buah catur setiap kali berlakunya perubahan kepada pemimpin Negara besar sebaliknya kita wajib bersungguh dalam memperkasakan system Islam dalam kehidupan samada ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial serta bersatu di bawah panji Islam sehingga kemerdekaan bumi Palestin semakin dekat, penderitaan umat Islam di Syria, Yaman, Iraq, Afghanistan, Myanmar dapat diubat, kekejaman zionis Yahudi dan cita-cita besar pembunuh dunia ini untuk mewujudkan Israel Raya dapat disekat. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: