• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Audio 133 – Syawal Menjana Syarat Kemenangan

Syawal Menjana Syarat Kemenangan

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 9-10 surah al-Syamsu :

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Kini telah 2 minggu kita berada di bulan Syawal di mana kehangatan sambutan hari raya masih terasa. Kenikmatan sebenar berhari raya tidak mampu dirasai kecuali oleh golongan yang benar-benar berjaya menunaikan kewajipan yang diperintah oleh Allah disamping berjaya mengawal diri daripada segala laranganNya bukan sahaja pada bulan Ramadhan yang baru lalu malah pada 11 bulan selepasnya.  Betapa beruntungnya orang-orang yang telah menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal, begitu juga yang sedang menunaikannya. Bagi yang belum memulakannya atau tak pernah menunaikannya sebelum ini maka marilah kita sama-sama merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ – رواه مسلم

Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita sentiasa berusaha dan berdoa kepada Allah agar termasuk dalam kalangan hambaNya yang sentiasa istiqamah dalam mengerjakan amalan soleh dan menjauhi dosa maksiat dalam kehidupan seharian. Inilah antara tanda kemenangan yang kita capai hasil tarbiah Ramadhan di mana ia mampu dilihat dan dirasai dengan beberapa perubahan antaranya :

[1] Kemurahan Hati  Kita yang Mengalahkan Sifat Kikir dan Tamak di mana sifat tamak dan kikir adalah sifat mazmumah atau tercela yang mendatangkan mudharat dalam keluarga, masyarakat dan Negara.

[2] Keikhlasan Kita yang Mengalahkan Sifat Riya’ di mana Puasa mengajarkan kita tentang bagaimana sebuah amal yang kita kerjakan hanya diketahui oleh Allah yang menjadi rahsia antara kita dengan Allah semata-mata sehingga dapat membersihkan hati kita daripada sifat riya’, ujub dan sum’ah. Riya’ menjadi penyebab rosaknya amal seseorang hingga tidak bernilai sama sekali di sisi Allah.

  1. Pengendalian Diri Kita yang Mengalahkan Sifat Menuruti Hawa Nafsu di mana puasa memberikan latihan berharga terhadap seluruh unsur dalam diri kita termasuk fikrah, jasad, ruh, hati dan harta kita untuk di arahkan menuju kemaslahatan bagi diri kita dan orang lain. Ketabahan dan kesungguhan kita dalam menjalankan ibadah puasa maka kita dapat mengendalikan keinginan hawa nafsu itu melalui seluruh pancaindera iaitu mulut, kaki, tangan, telinga, mata termasuk hati untuk tunduk patuh kepada Allah.

Firman Allah dalam ayat 24 surah n-Nuur :

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٢٤

Maksudnya : Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :

إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْ‌حٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْ‌حٌ مِّثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (musyrik) itu juga telah (tercedera dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Keberadaan kita pada bulan Syawal turut mengetuk hati untuk kita sama-sama mengambil iktibar daripada beberapa peristiwa besar yang telah tercatat dalam sirah nabi s.a.w antaranya peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah,  Peperangan Ahzab bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh di mana ia berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah dan Peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Ketika berdepan dengan musuh Islam maka tentera Islam menerima keputusan yang berbeza antara menang dan kalah. Contohnya tentera Islam diberi kemenangan dalam peperangan Badar pada bulan Ramadhan, meskipun jumlah mereka terlalu kecil. Tetapi oleh kerana jiwa mereka suci dan hati mereka bersih untuk tunduk mengabdikan diri kepada Allah semata- mata, maka mereka telah dianugerahkan dengan kekuatan dan kemenangan. Tidak ada kebendaan yang dicari dan tidak ada pengaruh duniawi yang menjadi matlamat dan tujuan dalam perjuangan mereka. Sebaliknya, di dalam peperangan Uhud, apabila hanya ada segelintir sahaja daripada jamaah Islam itu yang tidak mengikut arahan Rasulullah S.A.W mereka telah diajar dengan percikan darah yang menitis keluar daripada tubuh umat Islam, sehingga gigi Rasulullah S.A.W sendiri patah dan pipinya berdarah. Justeru kerana sedikit daripada mereka meninggalkan bukit strategi untuk mengejar ghanimah perang dan kebendaan, mereka telah diajar oleh Allah melalui syuhada’ yang bergelimpangan. Dan bagaimana mereka diuji sekali lagi secara jama’ah di dalam peristiwa peperangan Hunain tatkala mereka berbangga dengan jumlah mereka yang ramai. Mereka merasakan bahawa mereka tidak mungkin dapat dikalahkan sehingga diuji dengan kekalahan pada peringkat awal peperangan dengan serangan hendap daripada musuh

Peristiwa ini menjadi dalil yang kuat untuk membuktikan bahawa kejayaan dan kemenangan umat Islam, kegemilangan generasi Islam bukanlah bikinan manusia, tetapi ia adalah kurniaan daripada Allah. Pertolongan dan kurniaan daripada Allah itu tidak akan datang secara percuma, walaupun Islam ini adalah agama yang diturunkan oleh Allah. Sebagaimana ungkapan seorang Ulama’ :,  “Meskipun Allah boleh memberi kemenangan kepada umat Islam sebagaimana turunnya hujan dari langit, tetapi oleh kerana Islam itu diturunkan kepada manusia, maka kejayaan dan kegemilangan Islam ini hendaklah berjalan melalui proses kemanusiaan itu sendiri. Melalui sifat-sifat yang ada pada manusia, yang dibentuk melalui cara kehidupan manusia serta melalui tekanan dari penindasan yang dihadapi oleh mereka. Oleh kerana itulah Allah melatih dan membentuk mereka melalui wahyu secara individu dan jamaah, membentangkan di hadapan mereka ribuan tribulasi yang nyata dan praktikal. Sentuhan wahyu yang menggarap sikap dan semangat untuk memikul amanah Islam sehingga lahirnya individu-individu dalam rangkaian suatu jamaah yang padu dan kuat. Lahirnya jamaah Islam yang dapat melaksanakan perintah Allah tanpa syarat. Suatu jamaah yang tidak pernah menyimpang walau di saat wafatnya Rasulullah S.A.W. Mereka tidak mungkin dapat digugat, sebagaimana mereka tidak dapat digugat di zaman Rasulullah S.A.W.”

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 32 surah at-Taubah :

يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّـهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٣٢

Maksudnya : Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Pertembungan antara Islam dan jahiliah terus berlangsung, pertentangan antara iman dan kufur terus berlaku, perlawananan antara hak dan batil terus berjalan. Musuh Islam sentiasa berusaha siang dan malam dengan seluruh kekuatan melalui pelbagai cara untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Oleh itu sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya wajib bangkit dan bangun dalam berdepan dengan pelbagai taktik jahat musuh agar kita ditulis oleh Allah sebagai pejuang Islam bukannya orang yang berlepas tangan daripada kewajipan. Kita yakin bahawa cahaya Allah tidak mampu dipadamkan antaranya disebabkan 3 faktor utama sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 32 surah at-Taubah iaitu :

Pertama, Islam itu kukuh kerana adanya petunjuk Al Qur’an selama diamalkan oleh umat Islam. Mulia dan hinanya kita bergantung kepada sejauh mana kita memahami dan mengamalkan system al-Quran yang meliputi ibadat, ekonomi, politik, sosial dan pelbagai system hidup.

Kedua, Islam adalah Agama yang benar bukan rekaan iaitu Tauhid diikuti ‘amal soleh yang berguna di dunia dan akhirat. Islam akan tetap kukuh selagi ada umatnya yang berlumba menjaga aqidah dan beramal soleh

Ketiga, Allah sendiri yang menjaga kesucian Islam sampai cahaya kebenarannya betul-betul sempurna. Allah lah yang menjamin kemenangan Islam, dan kita wajib meyakini hal tersebut, dengan tidak hanya berpeluk tubuh dengan dalih bahwa Islam pasti dimenangkan Allah. Tugas kita adalah terus berikhtiar dengan jerih payah dan usaha yang terbaik yang kita miliki untuk menjadi saham kemenangan Islam.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang mulia, bulan Syawal yang mulia dan di masjid yang mulia ini maka tidak lupa untuk kita sebagai umat Islam yang bermaruah untuk sama-sama bangkit membantah dan mengutuk di atas kekejaman ke atas umat Islam Rohingya terutama 120,000 orang di kem-kem pelarian tidak diberikan perhatian; 800,000 orang ‘dikurung’ di Rakhine disekat ketat daripada mendapatkan mendapat pendidikan, kesihatan dan pekerjaan; manakala sejak 2012, seramai 140,000 orang terpaksa melarikan diri melalui perairan – sama ada mati dalam perjalanan atau menjadi mangsa penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Kita menyeru negara-negara anggota Asean dan OIC serta PBB agar memberikan perhatian yang serius dan mengatur langkah yang berkesan bagi menangani krisis kemanusiaan dan memulihkan keamanan di Myanmar, khususnya di Rakhine.  Semua negara dan pertubuhan ini perlu tegas memberikan tekanan dan mendesak Myanmar untuk:

(i) Menamatkan semua penindasan, sekatan dan serangan ke atas warga Rohingya dan memberi hak sama rata bagi mendapatkan pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.
(ii) Memberikan hak kerakyatan kepada warga Rohingya dan membenarkan mereka untuk mendapatkan kerakyatan dan membuktikan kerakyatan mereka.
(iii) Menempatkan semula warga Rohingya di penempatan asal mereka dengan mengembalikan semula tanah mereka yang telah dirampas dan membangunkan semula kediaman mereka yang telah dimusnahkan

Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :

إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠

Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 132 – Khutbah Aidil Fitri 1437H

Khutbah Aidil Fitri 1437H – Edisi Pdf

Khutbah Aidilfitri 1437H

خطبة عيدالفطري1437

Khutbah Aidilfitri 1437H

 

KHUTBAH PERTAMA

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 3  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 2  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا  . الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ . وَجَعَلَ هذَا اليَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الُمتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ  .وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  . أَمَّا بَعْدُ …. فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Firman Allah dalam ayat 186 surah al-Baqarah :

….يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥

Maksudnya : …… (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Selamat hari raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kita baru sahaja melalui tarbiah Ramadhan yang merupakan suatu proses dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa yang berjaya memerdekakan diri kita daripada 2 penjahan besar iaitu penjajahan Syaitan penggoda dan penjajahan hawa nafsu. Aidilfitri merupakan anugerah Allah maka kita wajib isikannya dengan amalan soleh, jangan dikotorkan dengan perkara maksiat. Islam telah menggariskan adab yang terbaik dalam menyambut hari raya bukannya dibiarkan kita sesuka hati mengisikannya mengikut hawa nafsu. Malah kita diminta untuk memperbanyakkan laungan takbir pada malam dan hari raya bukannya dibiarkan kita mencemarkan hari raya dengan lagu yang bercanggah dengan agama. Sebagaimana banyak ibadat khusus yang lain termasuk solat begitu juga laungan azan dimulai dengan takbir serta tidak ketinggalan takbir hari raya di mana di sana mempunyai hikmat yang penting iaitu kita wajib meyakini bahawa Allah Maha Besar dan mesti didahului daripada perkara lain disamping memastikan kita tidak membesarkan kehendak hawa nafsu mengatasi kehendak Allah samada dalam ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebarang urusan dunia kita.

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Firman Allah dalam ayat 5 surah al-Fatihah :

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ﴿٥

Maksudnya : Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Setiap amalan soleh yang kita tunaikan termasuk solat, puasa, zakat bertujuan melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Malah kita ucapkan sekurang-kurangnya 17 kali sehari ketika membaca surah Fatihah bahawa pengakuan bahawa kita hanya menjadi hamba Allah bukan hamba kepada syaitan, hawa nafsu dan dunia. Malangnya penghayatan terhadap kalimah kehambaan yang disebut hanya setakat terhenti dimulut tidak meresap ke dalam sanubari sehingga ramai di kalangan umat Islam hanya mampu membuat amalan hamba seperti solat, puasa, zakat tetapi solatnya tidak mampu mencegahnya daripada mendedah aurat, puasanya tidak mampu mencegah lidah, tangan, telinga dan pancaindera yang lain daripada melakukan maksiat, zakatnya tidak mampu mencegahnya daripada makan perkara haram seperti riba dan rasuah. Agak mudah melaksanakan amalan hamba tetapi begitu susah untuk menghayati sifat hamba dalam kehidupan seharian. Inilah yang membezakan kita umat akhir zaman dengan umat Islam pada zaman kegemilangan Islam di mana keindahan Islam mudah dilihat kerana penghayatan sifat hamba dalam kehidupan seharian salafussoleh sedangkan orang bukan Islam pada hari ini gagal melihat keindahan Islam akibat sikap dan perangai umat Islam sendiri yang gagal menghayati sifat hamba dalam kehidupan seharian. Perkara ini terjadi akibat kecuaian umat Islam sendiri yang meninggal budaya ilmu dan amal Islami daripada kehidupan sehingga mereka gagal membezakan antara hak dan batil, Islam dan jahiliah. Sayyidina Umar bin Khattab RH pernah menyatakan: ‘Kalau engkau hendak menghindari jahiliyah, kenalilah jahiliyah itu sendiri’.

Nabi s.a.w pernah menyatakan bagaimana ada amalan jahiliah yang masih diteruskan oleh segelintir umat Islam akibat lebih suka menjadi hamba hawa nafsu dan juga akibat kejahilan tentang haramnya perkara tersebut

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَرْبَعٌ فِي أُمَّتِي مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ لَا يَتْرُكُونَهُنَّ الْفَخْرُ فِي الْأَحْسَابِ وَالطَّعْنُ فِي الْأَنْسَابِ وَالْاسْتِسْقَاءُ بِالنُّجُومِ وَالنِّيَاحَةُ وَقَالَ النَّائِحَةُ إِذَا لَمْ تَتُبْ قَبْلَ مَوْتِهَا تُقَامُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَعَلَيْهَا سِرْبَالٌ مِنْ قَطِرَانٍ وَدِرْعٌ مِنْ جَرَبٍ – رواه مسلم

Maksudnya : 4 perkara pada umatku daripada perkara jahiliyah yang mereka tidak meninggalkannya, iaitu: membanggakan darjat keturunan, mencela keturunan, meminta hujan dengan bintang dan meratapi mayat. Dan baginda s.a.w menyatakan: Wanita yang meratapi mayat sekiranya tidak bertaubat sebelum meninggal dunia maka kelak di hari kiamat dia akan dipakaikan dengan pakaian daripada minyak tar dan pakaian dari kudis.

 

Muslimin dan muslimat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 63-65 surah al-Furqan :

وَعِبَادُ الرَّحْمَـٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا﴿٦٣﴾ وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا ﴿٦٤﴾ وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا ﴿٦٥

Maksudnya : Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata nesta kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;  Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,  Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan

Kehangatan menyambut Aidilfitri tidak melalaikan kita untuk sama-sama bermusabah tentang hasil tarbiah Ramadhan yang baru berlalu. Sekiranya kerja-kerja duniawi kita sentiasa tertanya-tanya hasilnya seperti pokok yang ditanam telah berbuah atau belum, perniagaan yang dijalankan dapat untung atau rugi, rumah yang dibina sudah siap atau terbengkalai. Begitulah juga dengan tarbiah Ramadhan mesti kita tanya samada berjaya untuk melahirkan kita sebagai hamba Tuhan atau hanya setakat menjadi hamba Ramadhan sahaja.

Antara kejayaan tarbiah Ramadhan ialah membolehkan kita memiliki 15 sifat hamba Allah yang disayangi sebagaimana yang disebut dalam ayat 63 – 77 surah al-Furqan. Sifat itu ialah [1] Berjalan di muka bumi dengan rendah diri di mana orang yang sombong dibenci oleh Allah dan RasulNya, tidak dipedulikan oleh Allah, menjadi makhluk yang hina, hatinya terkunci daripada menerima kebenaran, dijauhi sesama manusia, menjadi pengikut Iblis seterusnya menjadi penghuni Neraka jika tidak bertaubat. [2] Bila dicerca oleh orang yang jahil akan dibalas dengan ucapan yang lemah lembut kepada mereka dengan tidak membalas dengan keburukan. [3] Pada waktu malam sentiasa melaksanakan solat tahajjud. [4] Sentiasa berdoa kepada Allah supaya dijauhi seksaan Neraka Jahanam. Antaranya sentiasa mengamalkan suatu doa nabi s.a.w iaitu memohon berlindung daripada 4 perkara besar

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ – رواه مُسْلِم

Maksudnya :  Ya Allah! aku berlindung dengan Mu daripada seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur dan aku berlindung dengan Mu daripada fitnah dajjal dan aku berlindung dengan Mu daripada fitnah hidup dan mati

 

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 67 surah al-Furqan :

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

Maksudnya : Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua sikap (boros dan bakhil) itu.

Sifat hamba Allah yang disayangi lagi  ialah [5] Sentiasa membelanjakan hartanya dengan berhati-hati tidak membazir dan tidak kedekut. Jika pada bulan Ramadhan yang lepas sepatutnya menjadi bulan jimat cermat tetapi  dijadikan bulan membazir akibat terlalu mengikut hawa nafsu. Apatah lagi dalam menyambut hari raya di mana suatu Kajian Tingkahlaku Perbelanjaan Musim Perayaan yang dibuat oleh Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan orang ramai, terutamanya wanita di negara ini berbelanja kira-kira 81.1 peratus atau melebihi 2 kali ganda untuk menyediakan pelbagai kelengkapan menyambut Aidilfitri berbanding bulan biasa.

Firman Allah dalam ayat 68 surah al-Furqan :

﴿٦٧﴾ وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّـهِ إِلَـٰهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّـهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا ﴿٦٨

Maksudnya : Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya

Sifat ke-[6] Tidak mempersekutukan  Allah dengan makhluk-Nya  iaitu menjauhkan diri daripada perbuatan syirik. Pada hari ini kita dapat melihat semakin berkembang pemikiran bebas termasuk Islam Liberal yang bergerak dengan agenda tersembunyi iaitu : A: Untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya daripada masyarakat iaitu memisahkan agama daripada pendidikan, menjauhkan syariat Islam daripada kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan ekonomi di atas dasar riba. B: Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia daripada setiap yang mempunyai kaitan dengan ruh, wahyu dan alam ghaib dan daripada segala ikatan dengan akhlak, akidah dan keimanan kepada Allah. C: Untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan, dan ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu (ilhad) dalam setiap urusan kehidupan dan menjadikan Islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan hidup bermasyarakat. Malah sampai suatu peringkat golongan ini menghalalkan murtad, budaya songsang (LGBT), mahu menghapuskan badan agama.

Sifat – [7] Tidak membunuh manusia melainkan apa yang dibenarkan oleh syarak. [8] Tidak berzina. Bila kita melihat kepada statistik kes bunuh, penzinaan dan merebaknya kes buang bayi dalam Negara maka semua ini menuntut kepada pemerkasaan undang-undang syariah. Kedatangan penjajah telah membahagikan kuasa Mahkamah Sivil yang lebih tinggi berbanding Mahkamah Syariah. Contohnya setakat ini bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah paling tinggi di Malaysia hanya boleh menghukum setakat maksimum 3 tahun penjara, denda maksimum RM5,000 dan sebatan tidak lebih 6 kali atau kombinasi antaranya. Ianya lebih rendah dari mahkamah majistret. Oleh itu usaha dalam memperkasakan kuasa Mahkamah Syariah mesti dilakukan segera dan wajib disokong oleh semua ahli Parlimen beragama Islam agar masalah kerosakan aqidah, keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah di kalangan umat Islam sendiri dapat ditangani berasaskan agama bukannya hawa nafsu.

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Firman Allah dalam ayat 71-73 surah al-Furqan :

وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَإِنَّهُ يَتُوبُ إِلَى اللَّـهِ مَتَابًا ﴿٧١﴾ وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا ﴿٧٢﴾ وَالَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَمْ يَخِرُّوا عَلَيْهَا صُمًّا وَعُمْيَانًا ﴿٧٣﴾ وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا ﴿٧٤

Maksudnya : Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;  Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Sifat hamba Allah yang disayangi seterusnya ialah [9] Sentiasa bertaubat kepada Allah. [10] Sentiasa mengerjakan amal soleh. [11] Tidak menjadi saksi palsu [12] Bila bertemu orang yang suka membuat perbuatan tidak berfaedah, tidak dilayaninya untuk menjaga kehormatan diri termasuk tidak terlibat dengan majlis maksiat. [13] Sentiasa menerima peringatan dan arahan Allah SWT dengan hati yang terbuka tanpa ragu-ragu. [14] Sentiasa berdoa supaya dikurniakan isteri dan anak-anak yang menyenangkan hati. [15] Sentiasa berdoa supaya menjadi pemimpin untuk kepada orang-orang yang bertakwa kerana pemimpin bertaqwa yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegrit dan takutkan Allah dalam melaksanakan tugas-tugasnya sehingga menjauhi rasuah, pecah amanah. Kegagalan memiliki sifat taqwa menyebabkan rakyat akan tertindas demi menanggung kemewahan hidup pemimpin. Ketika rakyat terpaksa memikul bebanan GST ditambah pula kenaikan harga minyak seminggu sebelum raya sepastinya menambahkan lagi bebanan kos sara hidup. Pembaziran terus berlaku ketika Negara menambahkan lagi bebanan hutang yang bakal meletakkan Negara dalam jurang muflis. Ingatlah suatu ungkapan Khalifah Umar bin Abdul Aziz : Sekiranya pemimpin miskin maka rakyat akan merasai nikmat kekayaan tetapi bila pemimpin tenggelam dalam kekayaan maka rakyat akan menderita dengan kemiskinan

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat103:

وَلَوْ أَنَّهُمْ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَمَثُوبَةٌ مِّنْ عِندِ اللَّـهِ خَيْرٌ ۖ لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ ﴿١٠٣

Maksudnya : “Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, seandainya mereka mengetahuinya”.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

KHUTBAH KEDUA

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3  كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .أَمَّا بَعْدُ..فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ

Firman Allah dalam ayat 60  surah al-Anfal :

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّـهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّـهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠

Maksudnya : “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.”

 

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah

Ketika kita sama-sama melaungkan kalimah kemenangan dalam takbir hari raya marilah kita sama-sama memenuhi syarat kemenangan supaya ia dapat dicapai. Marilah kita sama-sama membina kekuatan umat Islam agar tidak lagi dipermain dan diperkotak-katikkan oleh musuh Islam. Antara sumber kekuatan yang boleh disebutkan di sini ialah [1] mengikhlaskan niat dalam segala tindak tanduk. Keikhlasan akan memberi kekuatan dan memudahkan kita melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. [2] menafikan semua kekuatan selain dari kekuatan Allah. Inilah yang sering dilafazkan oleh seorang mukmin dengan zikirnya: لا حول ولا قوة إلا بالله

[3]  melengkapkan dengan ilmu Islam yang membantu kita membangunkan sumber insan dan menguruskan kehidupan dunia. [4] melakukan amalan soleh sama ada dalam bentuk ibadat atau memberi khidmat kepada masyarakat, atau menunaikan kewajipan terhadap Allah, diri sendiri dan juga kepada orang lain. [5]  tidak merasa lemah dalam menghadapi apa-apa keadaan. [6]  mencari sumber rezeki yang halal supaya tidak bergantung dengan orang lain, menghindarkan diri dari meminta-minta dan meraih simpati daripada orang lain. Selain itu, kita dapat meneyelamatkan diri kita dari harta yang tidak halal kerana itu akan menjejaskan hubungan kita dengan Allah yang Maha kuat dan Perkasa, tempat kembali segala kekuatan dan tiada kekuatan yang sebenarnya melainkan kekuatan-Nya.

 

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Kekuatan yang dibina akan membantu kita untuk mengembalikan semula kesatuan dan kebangkitan umat Islam yang begitu lama tertindas. Dunia menyaksikan satu demi satu Negara Islam dimusnahkan oleh musuh Islam termasuk melalui tangan umat Islam sendiri sebagaimana di Syria, Yaman, Iraq, Afghanistan disamping penderitaan saudara seagama di Myanmar dan beberapa Negara lain. Tidak ketinggalan dengan perampasan tanah wakaf Palestin sejengkal demi sejengkal oleh zionis Yahudi terutama dalam merealisasikan pembinaan Israel Raya yang diidamkan yang meliputi Wilayah Mesir dari Sungai Nil, sebahagian Wilayah Arab Saudi, seluruh Wilayah Lubnan, sebahagian Wilayah Syria, seluruh Wilayah Jordan, sebahagian Wilayah Turki dan sebahagian wilayah Iraq di Perbatasan Sungai Furat. Di Mesir menyaksikan bagaimana kerajaan boneka yahudi telah menghalau rakyat yang berada sekitar Sungai Nil atas alasan mahu membina perumahan moden yang akhirnya akan dijual kepada yahudi. Manakala kebanyakan Negara sekitar Palestin dicetuskan peperangan saudara seperti Iraq, Lubnan, Syria di mana ia dibiarkan terus berlaku tanpa usaha bersungguh untuk menghentikannya bagi memastikan kerja jahat zionis Yahudi dalam membina Israel Raya tidak tergendala. Begitu juga beberapa siri pengeboman di Turki di mana bagi mencetus huru-hara supaya tiada sebuah Negara Islam pun aman dan kuat yang boleh merencatkan perancangan jahat zionis Yahudi. Oleh itu umat Islam wajib kembali bersatu atas dasar Islam agar tidak terus menjadi buah catur kepada musuh Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

 

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Selamat hari raya Aidil Fitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Banyakkan bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira dan ziarahilah sanak saudara pada hari yang mulia ini bagi merapatkan lagi tali persaudaraan. Rebutlah peluang untuk menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ          ( رواه مسلم )

Maksudnya  : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيْ الحَاجَاتِ  وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ  وَلا يَرْحَمُنَا, اللّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا المُسْلِمِيْنَ فِى عِرَاق وَفِى فَلَسْطِين وَفِى Myanmar وَفِى جَنُوْبِ بِلِيِبين وَفِى إينْدُوْنِيْسِيَا وَفِى تَايْلَنْدِ وَفِى بَلَدِنَا ماليزيا اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِي سَبِيْلِكَ فِي كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ. اللّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِاليَهُوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالنَّصَارَى وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالهُنَوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالأمِيرِكَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالِبرِيطَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَحْزَابِ المُشْرِكِيْنَ الطَّاغِيْنَ الظَّالِمِيْنَ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ دَمِّرْهُمْ تَدْمِيْرًا وَ تَبِّرْهُمْ تَتْبِيْرًا وَاجْعَلْهُمْ هَبَاءً مَنْثُوْرًا  اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ . اللَّهُمَّ إِنِّا نعُوذُبِكَ مِنْ البَرَصِ، وَالجُنُونِ، وَالجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَامِ تَحَصَّنَّا بِذِى الْعزَّةِ وَالْجَبَرُوْتِ وَاعَتَصَمْنَا بِرَبِّ الْمَلَكُوْتِ وَتَوَكَّلْنَا عَلَى الْحَيِّ الَّذِى لاَ يَمُوْتُ اللّهُمَّ اصْرِفْ عَنَّا هَذا الْوَبَاءَ وَقِنَا شَرَّ الرَّدَى وَنَجِّنَا مِنَ الطَّعْنِ والطَّاعُوْنِ وَالْبَلاَءِ بِلُطْفِكَ يَا لَطِيفُ يَا خَبِيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَزَكَاتَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ