• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Audio 130 – Islam DiMartabat, Fitnah DiSekat, Umat Selamat

Pengajian Kitab Terbuka Umum Sempena Ramadhan 1437H

akademi

Islam DiMartabat, Fitnah DiSekat, Umat Selamat

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 7-8  surah al-Bayyinah:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ‌ الْبَرِ‌يَّةِ ﴿٧﴾ جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَ‌بِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِ‌ي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ‌ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّ‌ضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَ‌ضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَ‌بَّهُ ﴿٨

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Kini kita berada pada penghujung bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa.

Ibarat kata Ulama’ : “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.” Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada  segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling  baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Bulan Sya’aban yang sedang kita berada sekarang ini sarat dengan peristiwa yang besar yang pernah berlaku pada diri Rasulullah s.a.w dan para sahabat antaranya Peperangan Bani Mustaliq yang berlaku pada bulan Sya’aban tahun 6H . Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan nabi s.a.w itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Ini mengajar kita agar sentiasa bersiap sedia dengan kekuatan fizikal dan mental dari sudut ketenteraan dan keselamatan agar kedaulatan Negara terjamin dan perancangan jahat dapat dipatahkan dengan segera.

Apa yang lebih besar berlaku sepanjang peperangan ini ialah tersebarnya khabar ifk iaitu tuduhan zina terhadap Siti Aisyah RHA dengan Sofwan yang telah memberi kesan besar kepada Rasulullah s.a.w sendiri sehinggalah turunnya ayat al-Quran yang membersihkan Siti Aisyah RHA daripada tuduhan berat ini serta dijatuhkan hukuman qazaf terhadap mereka yang terlibat dalam menyebarkan tuduhan palsu ini. Ini semua mengajar kita bagaimana sekiranya zaman dahulu fitnah hanya disampaikan dari mulut ke mulut secara bisikan, namun sekarang ma­nu­sia tidak segan silu menjaja fitnah melalui kemudahan teknologi samada komputer mahupun telefon. Apatah lagi ia sangat mudah dilakukan. Dengan hanya menaip di papan kekunci, semua orang boleh membaca se­baran fitnah yang disasarkan. Dan mereka yang menjadi ba­han fitnah akan menanggung akibat yang mungkin me­ranapkan sebuah kehidupan. Fitnah juga merupakan tanda-tanda akhir zaman, di ma­na pada zaman ini amat sukar untuk membezakan antara hak dan batil, sebagaimana ingatan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Majah :

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خُدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ , وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ , وَيُخَوَّنُ فِيهَا الأَمِينُ , وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ ” . قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ : ” الرَّجُلُ التَّافِهُ يَنْطِقُ فِي أَمْرِ الْعَامَةِ ”

Maksudnya : Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur malah didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah justru dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.”

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِين

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Masyarakat negara kita dibentangkan dengan beberapa isu besar melalui media massa sama ada tv, radio, akhbar dan internet dengan menggunakan kaedah pemesongan pemikiran sehingga yang jahat dilihat baik, yang zalim dianggap adil, yang rosak didakwa berguna, yang hak dihukum batil, yang benar dipandang dusta.  Oleh itu dalam menghadapi berita fitnah dan tidak jelas maka ikutilah nasihat ulama’ besar iaitu Abu Laith al-Samarqandiy melalui 6 cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah dari fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang. Keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah disebarkan itu

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam  ayat 76 surah an-Nisa’:

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا

Maksudnya : Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Toghut, oleh itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah

Kini kita berada dipenghujung bulan Mei yang meningatkan kita semua tentang sejarah hitam bagi umat Islam setiap kali tibanya 15 Mei yang digelar dengan NAKBAH- hari malapetaka dalam sejarah umat Islam terutamanya di Palestin, dengan penubuhan negara haram Israel pada 1948. Sehingga kini penderitaan saudara seagama kita di Palestin terus berlangsung. Malah usaha jahat zinonis Yahudi dalam membina Israel Raya yang memanjang Israel Raya sebagaimana dicita-citakan iaitu memanjang dari Syria hingga ke Iraq dan Mesir berpusat di Palestin terus berjalan dan apa yang lebih malang ia dilaksanakan pula melalui tangan umat Islam sendiri yang menjadi boneka kepada musuh Islam seperti tindakan kerajaan Mesir yang menghalau penduduk miskin sepanjang Sungai Nil atas alasan mahu membina pembangunan moden yang sebenarnya akan dijual kepada Yahudi. Ini akan memudahkan lagi perancangan Yahudi untuk menguasai Sungai Nil sebagaimana yang diidamkan dengan cara lebih mudah tanpa susah payah menyerang Mesir. Begitu juga kehancuran yang berlaku di Syria dan Iraq yang merupakan antara bumi idaman zionis Yahudi dalam merealisasikan Israel Raya. Oleh itu bangkitkan kita sebagai umat Islam yang bermaruah untuk menggagalkan segala perncangan jahat musuh Islam ini dalam meraih kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Renungilah firman Allah dalam ayat 208  surah al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٢٠٨

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Bulan Mei juga mengingatkan kita kepada suatu lagi peristiwa bersejarah dalam kamus umat Islam iaitu pembukaan Istanbul oleh Sultan Muhammad al-Fateh iaitu pada 29 Mei 1453. Rakyat Turki yang diasak dengan fahaman sekulerisme yang begitu lama kini dibebaskan sedikit demi sedikit untuk kembali kepada system kehidupan Islam yang sempurna. Perjuangan dalam memerdekakan pemikiran dan cara hidup jahiliah kepada Islam bukan suatu perkara yang senang dan mudah tetapi perlu kepada pengorbanan dan mujahadah. Begitulah juga kita di Malaysia di mana sama-sama kita berdoa kepada Allah semoga dengan kejayaan membawa cadangan agar pindaan kuasa bidang Mahkamah Syariah untuk lebih diperkasakan di Parlimen petang semalam akan menjadi pintu ke arah pelaksanaan perundangan Islam yang lebih menyeluruh pada masa akan datang. Walau pun kita tahu bahawa untuk keluar daripada tempurung sekulerisme sehingga lahirnya umat Islam sendiri yang bukan sahaja tidak yakin dengan perundangan Islam malah boleh menyokong murtad, hubungan sejenis malah mahu menguburkan badan agama Islam. Tanpa kesungguhan, istiqamah dalam memperjuangkan system Islam akan terus meletakkan umat Islam sendiri dalam kehinaan. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 129 – Guru Bertaqwa Umat Berjaya Negara Sentosa

Guru Bertaqwa Umat Berjaya Negara Sentosa

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 65-70 surah al-Kahfi :

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا﴿٦٥﴾ قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا﴿٦٦﴾ قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا ﴿٦٧﴾ وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا ﴿٦٨﴾ قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا ﴿٦٩﴾ قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا ﴿٧٠

Maksudnya : Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”  Dia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.  Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi? Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. Dia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari di mana ia mempunyai banyak kelebihan dan ada amalan tertentu yang digalakkan untuk kita amalkan khusus pada hari Jumaat antaranya membaca surah al-Kahfi. Surah al-Kahfi banyak mengandungi kisah teladan antaranya yang menekankan beberapa adab pelajar dengan gurunya melalui kisah nabi Musa a.s dan Khidir. Sesuai dengan kita kini berada dibulan Mei di mana sambutan Hari Guru pada 16 Mei maka wajar kita tekankan tentang beberapa adab sebagai seorang pendidik untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja berjaya akademik malah yang paling penting memiliki akhlak yang terpuji. Pendidik yang bukan sahaja melahirkan pelajar yang mampu memiliki rumah mewah di dunia malah dapat meraih mahligai indah dalam Syurga Allah di akhirat nanti.  Pendidik yang bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang memiliki kenderaan berjenama hebat di dunia malah mampu menaiki kenderaan hebat di akhirat.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Jumuat :

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢

Maksudnya : Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Proses dalam melahirkan pelajar bertaqwa yang berjaya dunia dan akhirat hanya akan berjaya dengan menjadikan dasar pendidikan Negara mengikut acuan agama sebagaimana tugas nabi s.a.w yang disebut dalam ayat 2 surah al-Jumuat iaitu Dasar pendidikan pertama yang ditekankan oleh Allah ialah sesuatu ilmu yang diajar tidak boleh bebas daripada berpegang kepada aqidah Islam iaitu mestilah disertakan dengan ayat al-Quran dan hadis nabi. Melalui catatan sejarah maka kita dapati dasar pendidikan negara kita terutama selepas merdeka masih tidak mampu keluar daripada dasar yang telah digubal oleh penjajah. Banyak ilmu moden dijauhkan daripada pegangan aqidah yang menyebabkan umat Islam di negara kita terus terikut-ikut dengan cara hidup barat dengan menjadikan Islam sebagai agama peribadatan khusus dan adat semata-mata sebagaimana agama Kristian, Budha dan Hindu. Mereka lebih suka ulama’ Islam hanya mengajar bab ibadat khusus seperti solat, puasa, haji sahaja tanpa menyentuh ajaran Islam yang lain terutama yang melibatkan ekonomi, kemasyarakatan dan pemerintahan

Dasar pendidikan kedua yang ditekankan oleh Allah ialah pembersihan umat manusia daripada aqidah sesat. Penekanan ini adalah penting dalam melahirkan umat Islam yang benar-benar berpegang kepada seluruh ajaran Islam yang sempurna. Melalui dasar ini maka umat Islam mampu melahirkan pakar-pakar yang akan membina tamadun yang tinggi tanpa memisahkan antara agama dan dunia. Apabila seluruh umat Islam didedahkan secara lebih mendalam mengenai ilmu sains, ekonomi, politik, sosial berasaskan Islam maka tiada lagi erti pemisahan ilmu –ilmu tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh barat. Kita tidak mahu lahirnya masyarakat yang melihat setiap bencana alam berlaku seperti banjir, kemarau, tsunami hanya sebagai fenomena alam sebaliknya semakin mengimani bagaimana kehebatan Allah yang mengatur segalanya dan betapa lemahnya umat manusia dan makhluk lain

Dasar pendidikan ketiga yang mesti diterapkan ialah pengajaran kepada seluruh ajaran Islam yang merangkumi semua aspek kehidupan. Adalah amat malang bila umat Islam sendiri membenci undang-undang jenayah Islam, meragui kehebatan ekonomi Islam sehingga ramai terlibat dengan insuran dan pinjaman riba, memandang remeh terhadap sosial Islam sehingga dedah aurat jadi budaya, pergaulan bebas jadi biasa, politik tiada kaitan dengan dosa pahala sehingga rasuah merebak, pecah amanah semakin membarah.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 28 surah Fatir :

…..إِنَّمَا يَخْشَى اللَّـهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ ﴿٢٨

Maksudnya : …..Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Setelah kerajaan memberi kuasa penuh kepada Pengetua atau guru akan untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah bermula tahun 2017 setelah masalah jenayah juvana termasuk buli dan sebagainya semakin membimbangkan maka guru sebagai pendidik mesti memulakan daripada diri mereka terlebih dahulu untuk menghayati adab Islam supaya adab ini mampu mengalir kepada anak didik.

Antara adab yang diajar oleh imam Abu Hanifah kepada pendidik ialah : [1] Sentiasa mengambil peluang untuk belajar dan beristiqamah dalamnya di mana guru hendaklah sentiasa mengambil peluangmempertingkatkan ilmu dalam bidang yang diceburi,khasnya ilmu agama.  Semangat yangkental perlu ada pada seorang guru supaya halangan dalam belajar dapat diatasi. Imam Abu Hanifah berpesan: “… hendaklah kamu menjadi orang yang [mempunyai] semangat yang teguh kerana sesungguhnya sesiapa yang lemah semangatnya, nescaya rendahlah kedudukannya.” Usaha meningkatkan ilmu dan istiqamah dalam belajar ini penting kerana orang yang berpaling dan enggan daripada terus belajar seolah-olah mereka berpaling daripada mengingati Allāh yang menyebabkan kehidupan mereka terasa sempit dan tidak mendapat keberkatan daripada Allah.

[2] Berusaha untuk meningkatkan amalan yang berkualiti dan ikhlas yang juga antara tujuanpendidikan. Pendidik kena berusaha melakukan dan mempertingkatkan amali ibadat melebihi apa yang dilakukan oleh orang awam. Sekiranya guru tidak memberi perhatian terhadap amalan maka masyarakat akan berpandangan buruk terhadap guru itu sendiri; antaranya, masyarakat akan menganggap guru hanya mementingkan ilmu bukannya amalan; bahkan lebih teruk lagi, mereka akan menganggap bahawa ilmu para guru itu tidak memberi manfaat kerana tidak membuahkan amalan dan ibadat serta akhlak yang baik.  Kualiti amalan para guru akan memberi kesan kepada pelajar kerana mereka dapat belajar dan mencontohinya

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 37-41 surah an-Naazi’at :

فَأَمَّا مَن طَغَىٰ ﴿٣٧﴾ وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا ﴿٣٨﴾ فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٣٩﴾ وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٤١

Maksudnya : Maka adapun orang yang melampau batas, Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya.  Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.

Adab pendidik yang ke-[3] Sentiasa bercakap berkaitan ilmu dan adabnya di mana para guru hendaklah menjaga percakapan mereka dengan bercakap tentang perkara yang berkaitan dengan ilmu dan bukan tentang perkara yang sia-sia. Jauhkan diri daripada percakapan sia-sia kerana perbualan yang terlalu banyak dibimbangi akan membawa kepada keburukan dan dosa, sepertimengumpat dan fitnah. Selain itu, para gurus epatutnya melayan soalan yang dikemukakan kepadanya dengan jawapan bertepatan dengan soalan yang dikemukakan supaya tidak mengelirukan.  Begitu juga, jawapan mestilah secara langsung tentang apa yang ditanya,bukannya digabungkan dengan beberapa masalah lain

[4] Sentiasa memberi perhatian dan motivasi kepada pelajar  dengan menganggap para pelajar sebagai sebahagian daripada anak mereka. Sikap guru yang sedemikian akan meningkatkan motivasi para pelajar untuk terus mendalami ilmu pengetahuan. Hubungan guru-pelajar sebegini sepatutnya menjadi adab yang dihayati oleh para guru semasa mendidik para pelajar mereka. Dalam konteks ini guru bukan hanya bertindak sebagai pengajar ilmu semata-mata, bahkan pada masa yang sama turut berfungsi sebagai perunding dan pendorong yang langsungke atas muridnya. Dengan cara demikian, seseorang guru membimbing sekaligus mendidik muridnya dengan lebih sempurna, bukan sahaja dalam aspek intelektual dan ilmiah tetapi turut merangkum pembinaan keperibadian dan akhlak pelajar.

[5] Sentiasa mendoakan dan menziarahi para guru. Ini juga menjadi adab yang penting supaya para guru sentiasa mengingati dan mengenang jasa gurunya yang terdahulu yang berusaha mendidik mereka. Ha lini akan menimbulkan rasa hormat kepada guru dan wujud hubungan yang baik antara kedua-duanya. Antara cara-cara menunjukkan seseorang itu beradab terhadap gurunya adalah dengan sentiasa mendoakan keampunan buat mereka dan sentiasa menziarahi mereka. Sikap seseorang guru terhadap para gurunya ini amat penting diberi penekanan kerana kesannya yang besar dalam pendidikan. Seorang guru yang tidak menghormati gurunya secara tidak langsung telah mengajar muridnya supaya tidak menghormatinya kelak. Seseorang guru yang tidak menghormati gurunya adalah seorang yang bongkak dan sombong dan kedua-dua sifat ini adalah antara sifat-sifat tercela, apatah lagi bagi seorang ilmuwan.

Oleh itu adab pendidik ini mestilah dihayati dalam kehidupan kita walau pun kita bukan seorang guru kerana paling tidak kita adalah ayah dan ibu kepada anak-anak dan kita adalah penasihat kepada masyarakat dalam kerja amar makruf nahi mungkar. Selamat Hari Guru. Kenangi dan balaslah segala jasa guru termasuk guru pertama kita iaitu ibubapa kita. Doakan kebaikan kepada pendidik yang banyak berjasa dalam kehidupan kita. Siapalah kita tanpa asuhan dan didikan. Kemanakah kita tanpa panduan dan tunjuk ajar pendidik.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Himpunan Khutbah Bulan Sya’aban

Berqiblatkan Sistem Islam Merawat Penyakit Umat

Berqiblatkan Islam Menerajui Perubahan

Berqiblatkan Islam Meraih Kebahagiaan

Berqiblatkan Islam Membina Masa Depan Gemilang

Berqiblatkan Islam Menuju Kemenangan

Pengajaran Peperangan Bani Mustaliq 6H

Sistem Islam DiLaksana Kemuliaan DiRasa

Cemburu dan malu julangkan maruah umat

117. BERSUNGGUH MEMBINA JATIDIRI MUSLIM SEJATI

14. PERUBAHAN QIBLAT

94. BERSATU BERQIBLATKAN SISTEM ISLAM

32. KEMBALIKAN SEMUA SISTEM BERQIBLATKAN ISLAM