• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus esok 31 Mac di Pondok Pasir Tumboh

Poster Azhar Idrus

Khutbah Audio 126 – Sifat Ahli Syurga DiMiliki Sifat Ahli Neraka DiHindari

Sifat Ahli Syurga DiMiliki Sifat Ahli Neraka DiHindari

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  97-99  surah al-A’raf:

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَ‌ىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَ‌ىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ ﴿٩٨﴾ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ‌ اللَّـهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ‌ اللَّـهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُ‌ونَ ﴿٩٩

Maksudnya: Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?. Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?. Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

Peringatan demi peringatan daripada Allah kepada umat manusia terutama melalui musibah keadaan cuaca di mana pada tahun 2014 kita diuji dengan banjir besar di Pantai Timur Negara, tahun 2015 diuji dengan jerebu sehinga banyak negeri terpaksa diistihar darurat disamping gempa bumi di Sabah. Kini kita berdepan dengan fenomena El Nino yang menyebabkan ancaman gelombang haba apabila beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dikenal pasti telah mencapai paras ambang gelombang haba melebihi 35 darjah Celsius.  Cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan strok haba akibat gangguan saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kepada kematian. Kita diminta minum air secukupnya dengan mengamalkan minum air masak sebanyak 8 gelas sehari. Kurangkan aktiviti luar sama ada kerana tujuan kerja atau bersukan

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam Surah ar-Ruum ayat 41:

ظَهَرَ‌ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ‌ وَالْبَحْرِ‌ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْ‌جِعُونَ

Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Ketika berbicara tentang cuaca panas yang melampau ini  maka mimbar Jumaat pada hari ini menyeru agar semua pihak bermula daripada pemimpin hingga rakyat di bawah supaya bersungguh-sungguh menjauhi dosa maksiat. Jagalah keselamatan alam daripada dimusnahkan sesuka hati. Kita tidak mahu menjadi manusia yang hanya melihat apa yang berlaku sekadar fenomena alam sebaliknya kita sebagai orang beriman meyakini bahawa setiap apa yang berlaku merupakan antara tanda kekuasaan Allah. Jika Allah boleh datangkan kepanasan maka Allah juga boleh mendatangkan suasana sejuk dan hujan. Oleh itu perbanyakkan istighfar, bertaubat kepada Allah, bersungguh dalam menjauhi dosa maksiat serta berdoa kepada Allah agar diangkat musibah ini dengan segera oleh Allah. Ingatlah kepada suatu peringatan nabi s.a.w antara sebab berlakunya cuaca panas dan kemarau sebagaimana  sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah ibnu Umar:

….وَلَمْ يَنْقُصُوْا المِكْيَالَ وَالِمْيزَانَ إِلا أُخِذُوْا بِالسِّنِيْنَ وَشِدَّةِ المُؤْنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوْا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلا مُنِعُوْا القَطْرَ مِنَ السَّمَآءِ وَلَوْ لا البَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوْا…….

Maksudnya : …..Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka. Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T. ……..

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat  13-14  surah as-Sajadah:

وَلَوْ شِئْنَا لَآتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَاهَا وَلَـٰكِنْ حَقَّ الْقَوْلُ مِنِّي لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ ﴿١٣﴾ فَذُوقُوا بِمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَـٰذَا إِنَّا نَسِينَاكُمْ ۖ وَذُوقُوا عَذَابَ الْخُلْدِ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٤

Maksudnya: Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: `Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)”. (Lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

Ketika menghadapi cuaca terlalu panas ini maka marilah cuba bayangkan bagaimana dahsyatnya kepanasan padang Mahsyar nanti dan api Neraka yang jauh lebih panas dan azab lagi. Oleh itu insaflah kita dengan sama-sama mempertingkatkan lagi kauntiti dan kualiti amal soleh kita disamping menjauhi dosa maksiat kerana Syurga ada ahlinya dan Neraka ada penghuninya. Ingatlah suatu peringatan nabi s.a.w dalam suatu khutbahnya :

أَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلاثَةٌ: ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ, وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ, وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ, قَالَ: وَأَهْلُ النَّارِ خَمْسَةٌ: الضَّعِيفُ الَّذِي لا زَبْرَ لَهُ, الَّذِينَ هُمْ فِيكُمْ تَبَعًا لا يَبْتَغُونَ أَهْلاً وَلا مَالاً, وَالْخَائِنُ الَّذِي لا يَخْفَى لَهُ طَمَعٌ وَإِنْ دَقَّ إِلَّا خَانَهُ, وَرَجُلٌ لا يُصْبِحُ وَلا يُمْسِي إِلَّا وَهُوَ يُخَادِعُكَ عَنْ أَهْلِكَ وَمَالِكَ, وَذَكَرَ الْبُخْلَ أَوِ الْكَذِبَ, وَالشِّنْظِيرُ الْفَحَّاشُ). . أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ فِي الصَّحِيحِ(

Maksudnya : Ahli Syurga ada 3 golongan iatu [1] Penguasa yang adil, bersedekah, dan berlaku jujur. [2] Orang muslim yang menaruh belas kasihan dan lemah lembut kepada setiap kerabat dekat. [3] Orang yang hidup dalam kekurangan harta benda dan banyak anaknya, akan tetapi ia selalu menjaga kesucian diri dari dosa.

Sementara penghuni neraka itu ada 5 golongan: [1] Orang lemah yang tidak mempunyai amal kebajikan. [2] Orang yang ikut-ikutan, tidak mahu mencari nafkah, dan tidak peduli kepada keluarganya. [3] Pengkhianat yang tidak ada hal-hal sekecil apapun melainkan ia akan berkhianat terhadapnya. [4] Orang yang sentiasa berbuat perancangan untuk mengganggu keluarga dan harta orang lain. (Selain itu baginda s.a.w juga menuturkan kekikiran dan kedustaan sebagai penyebab seseorang masuk neraka0. [5] Orang yang bermulut kotor dan selalu berbuat keji.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  72 surah al-Ahzab :

إِنَّا عَرَ‌ضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

Melalui khutbah nabi s.a.w itu kita dapati bagaimana antara perkara besar ialah menunaikan amanah dalam kehidupan kita terhadap diri sendiri, ahli keluarga, masyarakat dan Negara. Kejayaan menunaikan amanah akan membawa kita ke Syurga manakala pengkhianatan terhadap tanggungjawab akan membawa kepada kesengsaraan dalam Neraka yang dahsyat. Ingatlah kita ketika amanah yang merupakan pelaksanaan syariat dan hukum-hakam Allah di mana kejayaan melaksanakannya akan membawa kepada kebahagiaan sebaliknya sekiranya melanggar hukum Allah akan membawa kepada kemurkaan Allah dan NerakaNya telah menyebabkan langit, bumi dan gunung-ganang bergoncang ketakutan dan tidak sanggup memikul amanah ini

Oleh itu rakyat terus merasa bimbang dengan kadar rasuah dan pecah amanah yang terus meningkat. Ketika penyimpan Tabung Haji diugut akan kehilangan giliran menunaikan ibadat haji sehingga 70 tahun jika yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka sedangkan pemimpin perlu menumpukan untuk menangani masalah salahguna wang Tabung Haji dan juga keperitan hidup rakyat yang tersepit dengan kenaikan kos sara hidup ketika pemimpin terus hidup mewah. Begitu juga isi rasuah dan penyelewengan dalam Kementerian Belia dan Sukan melibatkan lebih RM100 juta menambahkan senarai penyelewengan wang rakyat yang sedia ada. Ingatlah kita kepada suatu amaran nabi s.a.w bagaimana antara tanda qiamat bila disia-siakan amanah akibat diserahkannya kepada bukan ahlinya. Malah pakar pentadbiran barat turut mengakui bahawa orang amanah lebih selamat diberi tanggungjawab berbanding orang yang hanya bijak mengurus dan orang yang hanya memiliki kekuatan melaksanakan tugas tanpa sifat amanah

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar Jumaat pada hari ini juga menyatakan kesedihan atas pengeboman yang berlaku di Turki dan terbaru di Belgium. Kita tidak mahu ia menambahkan lagi tuduhan bahawa ia dilakukan oleh umat Islam untuk memberi gambaran buruk kepada dunia bahawa Islam adalah agama pengganas.

Kita juga mengambil peduli terhadap saudara seagama kita terutama di Syria, Iraq dan selainnya yang menderita akibat pepereangan. Begitu juga  umat di Palestin merayu untuk kita mendoakan kejayaan mereka dalam memerdekakan bumi Palestin disamping bantuan material dan yang penting untuk bersatu memboikot barangan dan syarikat yang banyak membantu kezaliman dan kejahatan zionis Yahudi. Sebagai contoh mudah adakah kita sanggup makan McDonald’s, KFC, Pizza Hut, Coca cola jika kita tahu duit belian kita akan digunakan untuk menembak mati anak, ibu, ayah, isteri, adik beradik kita. Sepastinya kita semua akan menjawab kita tidak sanggup menjadi pembunuh tetapi adakah kita mampu laksanakannya dalam kehidupan seharian. Tepuk dada tanyalah iman kita

Firman Allah dalam ayat 63 surah al-Ahzab:

يَسْأَلُكَ النَّاسُ عَنِ السَّاعَةِ ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّـهِ ۚ وَمَا يُدْرِ‌يكَ لَعَلَّ السَّاعَةَ تَكُونُ قَرِ‌يبًا ﴿٦٣

Maksudnya: Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. ” Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? – boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Gerhana bulan di Indonesia malam esok

Gerhana Bulan Penumbra 23 Mac2016
Setelah pada 9 Maret/Mac 2016 lalu terjadi Gerhana Matahari Total, maka malam esok akan terjadi Gerhana Bulan Penumbra. Apa itu Gerhana Bulan Penumbra? Gerhana Bulan Penumbra berbeda dengan gerhana Bulan total atau sebagian. Pada gerhana Bulan total dan sebagian, manusia dengan mudah mengamati perbedaan muka Bulan, di mana satelit Bumi itu tampak merah. Pada gerhana Bulan penumbra, perbedaan sukar diamati.
Saat gerhana Bulan total dan sebagian, Bumi, Bulan, dan Matahari nyaris terletak pada satu garius lurus. Bumi berada di antara Bulan dan Matahari. Bumi berada dalam bayang-bayang Bulan. Pada gerhana Bulan penumbra, Bumi berada dalam perpanjangan bayang-bayang Bulan.
Untuk bisa menyadari adanya gerhana saat gerhana Bulan penumbra, teleskop dibutuhkan. Tapi, walaupun melakukan pengamatan dengan teleskop, tak semua tahapan gerhana malam ini dapat disaksikan. Gerhana Bulan Penumbra ini dapat disaksikan di Indonesia Barat dan Indonesia Tengah, terjadi ketika Bulan Purnama baru saja terbit.
Gerhana Bulan Penumbra 23 Maret 2016 ini akan berlangsung 4 jam 15 menit 22 detik, dengan kontak pertama gerhana pada pukul 16:39 WIB, puncak gerhana pukul 18:47 WIB dan kontak terakhir gerhana pukul 20:54 WIB.

Khutbah Audio 125 – Khilafah DiJulang Umat Gemilang

Khilafah Kembali DiJulang Ummah Gemilang

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  120 surah al-Baqarah :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Beberapa hari yang lepas kita dapat menyaksikan kejadian Gerhana Matahari separa yang melanda Negara kita. Gerhananya matahari telah berlalu dengan meninggalkan pelbagai iktibar yang berguna terutama dalam menghayati kehebatan dan kekuasaan Allah. Pada hari ini marilah kita sama-sama merenung tentang gerhana yang begitu lama yang berlaku kepada dunia umat Islam iaitu pada tanggal 3 Mac 1924M bersamaan 27 Rejab 1342H diisytiharkan sebagai tamatnya Khilafah Uthmaniyyah, Turki yang menaungi umat Islam selama ini sebagai penerus kepada ketuanan Islam di atas muka bumi ini. Tarikh ini terus dilupai oleh masyarakat bahkan semakin hambar semangat umat Islam untuk mengembalikan sistem khilafah ini. Bukan itu sahaja, bahkan sekadar menamakan sesebuah itu sebagai Negara Islam pun umat Islam masih malu dan takut untuk menyebutnya. Apatah lagi dengan usaha musuh Islam yang menggambarkan sikap suatu gerakan atas nama Islamic State (IS) dengan keganasan dalam menakut-nakutkan masyarakat dunia dengan Islam. Sedangkan kita yakin hanya dengan penubuhan Negara dan seterusnya khilafah Islam sahaja , seluruh peraturan kehidupan Islam dapat disempurnakan.

Sedihnya umat Islam semakin lupa bahawa perjuangan hidupnya mestilah berakhir dengan cita-cita melihat sistem Islam dapat terlaksana di atas bumi Allah ini. Umat Islam semakin selesa dengan sistem yang ada . Jika kita meneliti sejarah kita dapati usaha menggagalkan pemerintahan Islam adalah usaha yang sangat konsisten sejak zaman Nabi dahulu lagi. Usaha menghalang Islam muncul sebagai sebuah Negara berlaku semenjak sebelum hijrah dan di awal penubuhan Daulah Islam Madinah lagi. Sebelum ini peneraju kepada khilafah Islamiah silih berganti dari suatu bangsa kepada bangsa yang lain dan berakhir dengan Khilafah Uthmaniah Turki .

Cuma persoalannya kenapa apabila khilafah jatuh di zaman Uthmaniah umat Islam tidak mampu bangun sampai sekarang iaitu setelah berlalunya 92 tahun tidak seperti sebelum ini? Umat Islam bagaikan sudah hilang kekuatan dan taring yang menggigit dan kuku yang mencengkam akibat penyakit al-Wahnu iaitu terlalu cintakan dunia dan takut kepada kematian. Oleh itu bangkitlah kita dengan mengubati penyakit berbahaya ini sebelum kita dapat mengembalikan semula system Islam yang menjamin kejayaan dunia akhirat

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfaal :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ ﴿٣٦

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.

Ketika menyoroti kejatuhan Khilafah Uthamiah, Turki maka dapat dilihat antara factor luarannya ialah sikap Yahudi zionis dari dulu sampai sekarang memainkan peranan sangat konsisten dalam melemahkan umat Islam. Sebelum kejatuhan Khilafah Uthmaniah, Yahudi dan sekutunya telah menjatuh dan menghancurkan satu persatu Negara –negara Islam sejak kurun ke 16 lagi dengan dasar pecah perintah dengan tiupan api assobiyyah perkauman sempit untuk memisahkan diri daripada berada bawah naungan Khilafah Uthmaniah termasuk Revolusi Negara Arab dengan laungan Khilafah Uthmaniah untuk Turki bukan untuk orang Arab. Negara umat Islam telah dirosakkan struktur bernegara mereka dan dirosakkan juga pemikiran umat Islam . Episod ini hampir ke kemuncak apabila berlaku persidangan Yahudi Antarabangsa pada 1897 untuk merampas Palestin namun batu penghalangnya ialah Kerajaan Uthmaniah terutamanya Sultan Abdul Hamid II. Pada mulanya yahudi meminta untuk diberikan secara percuma bumi Palestin untuk menjadi Negara yahudi namun ditolak. Akhirnya setelah ditubuh Kesatuan Zionis Sedunia maka sekali lagi yahudi menemui Sultan Abdul Hamid II dengan cara mahu membayar sebanyak 150 juta pound sterling emas disamping melangsai hutang Khilafah Uthamniah namun tetap ditolak dengan katanya: “Seandainya kalian membayar dengan seluruh isi bumi ini, aku tidak akan menyerah walau sejengkal bumi Palestin yang merupakan tanah wakaf milik seluruh umat Islam”.

Akhirnya yahudi dengan bantuan Mustafa Kamal Atartuk telah berpakat menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II dan menaikkan boneka Sultan Abdul Majid untuk memudahkan laluan penjajahan Palestin. Mustafa Kamal Atartuk sendiri naik menjadi Presiden Turki dan telah melakukan banyak reformasi dan antara yang terbesar ialah mengisytihar Turki sebagai Negara sekuler. Bermula detik hitam ini, dunia Islam bagaikan anak ayam kehilangan ibu dalam mencari-cari suatu pemerintahan yang dapat menyatukan semula seluruh umat Islam di bawah satu payung Khilafah dengan system Islam agar penindasan demi penindasan daripada musuh Islam dapat disekat. Malah penjajahan bumi Palestin sehingga hari ini terus berlaku di mana kebangkitan demi kebangkitan saudara seagama di bumi Palestin berdepan dengan senjata zionis Yahudi di mana yang terkini Intifadhah 3 menyaksikan hampir 200 yang dibunuh kejam manakala ribuan yang lain cedera tanpa bantuan rawatan yang sepatutnya akibat kepungan zinois yahudi. Saudara seagama di Palestin merayu untuk kita mendoakan kejayaan mereka dalam memerdekakan bumi Palestin disamping bantuan material dan yang penting untuk bersatu memboikot barangan dan syarikat yang banyak membantu kezaliman dan kejahatan zionis Yahudi. Sebagai contoh mudah adakah kita sanggup makan McDonald’s, KFC, Pizza Hut, Coca cola jika kita tahu duit belian kita akan digunakan untuk menembak mati anak, ibu, ayah, isteri, adik beradik kita. Sepastinya kita semua akan menjawab kita tidak sanggup menjadi pembunuh tetapi adakah kita mampu laksanakannya dalam kehidupan seharian. Tepuk dada tanyalah iman kita

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Maksudnya : Raja perempuan itu ( Ratu Balqis) berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan

Mengimbas kembali kejatuhan Khilafah Uthmaniah, Turki maka faktor hutang dengan bank Eropah terutama Perancis dan Britain telah meletakkan sebuah kerajaan yang dulunya hebat akhirnya jatuh sebagaimana istilah Ibnu Khaldun dengan ‘teori kitaran’ di mana sesebuah kerajaan ada jatuh bangunnya, naik dan turunnya, waktu di atas dan di bawah. Oleh itu kita terlalu bimbang dengan dasar hutang Negara kita yang begitu tinggi semakin meletakkan Negara kepada penjajahan baru disamping perjanjian TPPA yang dilihat akan semakin mencengkam kehidupan rakyat.

Apa yang paling penting juga ialah tentang usaha musuh melalui serangan pemikiran termasuk fahaman sekuler dan liberal yang menyebabkan umat Islam dijauhkan daripada kehidupan beragama. Masyarakat yang hanya merasakan agama hanya berada di masjid bukan di pejabat apatah lagi dalam mengurus Negara. Tiada dosa pahala syurga neraka dalam urusan harian, tiada halal haram dalam ekonomi dan politik dann sebagainya.  Akhirnya rasuah jadi keperluan, pecah amanah jadi biasa, riba jadi amalan. Begitu juga lahirnya masyarakat hari ini yang memaksa agama mengikut pemikiran akal mereka yang lemah bukannya memastikan akal mereka tunduk kepada agama. Kita sendiri dapat melihat bagaimana pihak Kristian meletakkan syarat mahu menjadi paderi mesti ada kelulusan dalam bidang Sains kerana masyarakat hari ini lebih mudah menerima hujah apabila sesuai dengan logiK akal mereka terutama adanya sokongan kajian sains. Oleh itu Sains dan banyak ilmu yang lain perlu diIslamkan agar lahirnya manusia yang hebat mengkaji tentang ciptaan Allah akan semakin dekat kepada Allah bukan semakin jauh daripada meyakini bahawa Allah sebagai pengatur kepada sekalian alam. Perkara ini mesti dipandang serius agar anak cucu kita nanti tidak hanyut menjadi manusia yang memuja akal sehingga mengenepikan kewajipan agama sehingga mereka menolak perkara ghaib seperti adanya malaikat, alam kubur dan balasan akhirat. Kembalikan Khilafah untuk menjulang tinggi system Islam dan mempertahankan nyawa dan maruah umat Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan :

فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢

Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 124 – Khutbah Gerhana Matahari

Solat Gerhana Matahari pagi Rabu 9 Mac 2016 ini

Poster Solat Sunat Gerhana

Gerhana Matahari Separa pada Rabu 9 Mac 2016 ini

FENOMENA GERHANA MATAHARI SEPARA PADA 9 MAC 2016
JIKA ANDA TERLEPAS ANDA KENA TUNGGU PADA 26 DISEMBER 2019

Pada 9 Mac 2016 nanti, bermula sebaik sahaja matahari terbit, seluruh Malaysia akan dapat menyaksikan Fenomena Gerhana Matahari Separa.

Fenomena Gerhana Matahari umumnya boleh berlaku apabila 3 jasad besar di angkasa lepas, Bumi, Bulan dan Matahari berada di dalam kedudukan selari.

Hasil daripada kedudukan yang unik ini, jasad Bulan akan berupaya menutupi jasad Matahari, lalu akan mengakibatkan bentuk matahari di langit menjadi tidak bulat seperti biasa, dan akan kelihatan seolah-olah hilang sebahagiannya.

Pada lokasi-lokasi tertentu, jasad matahari akan hilang keseluruhannya, lalu terjadilah fenomena Gerhana Matahari Penuh. Pada 9 Mac nanti, hanya negara Indonesia sahaja yang bernasib baik dapat melihat fenomena ini. InsyaAllah saya sendiri akan ke sana untuk cuba merakam fenomena tersebut.

Bagi anda di Malaysia, anda akan dapat melihat sebahagian besar matahari tertutup (bukan sepenuhnya). Fenomena yang ini dikenali sebagai fenomena Gerhana Matahari Separa.

Kali terakhir penduduk Malaysia dapat melihat fenomena Gerhana Matahari Separa ialah pada bulan Januari 2010.

Waktu Kejadian
—————
Gerhana Matahari Separa yang akan berlaku pada 9 Mac 2016 ini bermula sebaik sahaja matahari terbit di ufuk timur.

Bagi penduduk di Utara Malaysia, anda akan dapat melihat matahari sudahpun kelihatan ‘hilang’ sedikit sebahagian daripada sisinya ketika matahari terbit.

Bagi penduduk ke arah Selatan Malaysia, anda akan dapat lihat matahari dalam keadaan sempurna bulat ketika ia terbit, dan berpeluang melihat Sentuhan Pertama (First Contact), iaitu saat jasad Bulan kali pertama mula kelihatan di salah satu sisi matahari, lebih kurang 5-6 minit selepas terbitnya matahari.

Kemuncak Gerhana Matahari Separa ini berlaku sekitar jam 8.23 pagi. Namun, ia bergantung juga kepada kawasan dan lokasi.Selain itu peratusan matahari tertutup juga bergantung kepada lokasi. Semakin ke selatan, semakin banyak peratusan matahari akan tertutup.

Jadual dan rajah di bawah boleh digunakan sebagai panduan asas untuk waktu puncak gerhana serta peratusan matahari tertutup.

Semenanjung Malaysia

Kangar – 8.25 pagi (67%)
Kuah – 8.25 pagi (67%)
Alor Setar – 8.25 pagi (68%)
Georgetown – 8.25 pagi (70%)
Ipoh – 8.24 pagi (73%)
Kuala Lumpur – 8.24 pagi (79%)
Shah Alam – 8.24 pagi (79%)
Putrajaya – 8.24 pagi (80%)
Seremban – 8.24 pagi (81%)
Melaka – 8.23 pagi (83%)
Johor Bharu – 8.24 pagi (86%)
Kuantan – 8.25 pagi (77%)
Kuala Terengganu – 8.26 pagi (71%)
Kota Bharu – 8.26 pagi (68%)

Sabah & Sarawak

Kuching – 8.29 pagi (87%)
Sibu – 8.31 pagi (85%)
Bintulu – 8.33 pagi (82%)
Miri – 8.36 pagi (78%)
Kota Kinabalu – 8.40 pagi (73%)
Sandakan – 8.42 pagi (75%)
Tawau – 8.41 pagi (81%)

Secara umumnya, Gerhana Matahari Separa di Malaysia akan tamat lebih kurang 1 jam 5 minit SELEPAS waktu puncak di atas.

Jika anda terlepas peluang menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa ini, anda perlu menunggu hingga 26 Disember 2019. Pada tarikh tersebut, sebahagian kecil di selatan Sememanjung Malaysia akan berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Cincin, manakala kawasan lain di Malaysia dapat menyaksikan Gerhana Matahari Separa.

AMARAN! JANGAN SEKALI-KALI MELIHAT MATAHARI, SAMA ADA MENGGUNAKAN MATA MAHUPUN PERALATAN ASTRONOMI, TANPA MENGGUNAKAN SEBARANG PENAPIS KHAS MATAHARI. IA BOLEH MENGAKIBATKAN MATA ANDA BUTA!

Amalan sunat semasa gerhana

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

Solat dan berdoa. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.

Berzikir dan beristighfar. Abu Musa berkata: “Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.

Berlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: “Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”

Bersedekah. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah.”

Memerdekakan hamba. Asma’ ra berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. “Dalam satu riwayat: “Gerhana bulan.”

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita SAW kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tinggalkanlah sunnah ahli bidaah kerana inilah jalan yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.