• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,677,510 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

Kecintaan Kepada Rasulullah s.a.w Tinggi Umat DiBerkati


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya

Rabiul Awwal menjelang lagi bersama catatan sejarah gemilang dengan sama-sama mengingati kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w nabi akhir zaman yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan. Hadirnya bersama wahyu al-Quran mengubah keadaan alam yang dulunya diselubungi suasana jahiliah yang penuh dengan kesesatan dan penindasan. Pengutusannya sebagai penghulu segala nabi telah melenyapkan kebatilan dengan cahaya kebenaran Islam,  memadam kekufuran dengan siraman keimanan serta membanteras kezaliman dengan keadilan system Islam. Sekiranya umat Islam mahu mengubah semula keadaan daripada umat yang dijajah kepada umat yang memerintah, umat yang dipandang hina kepada umat mulia, umat yang lemah kepada umat yang gagah maka segala kebaikan dan tauladan yang ditunjukkan oleh nabi bukan setakat disebut tetapi diikut, bukan setakat dikata tetapi dikota, bukan setakat dilaung tetapi dijunjung, bukan setakat dicerita tetapi dilaksana dalam kehidupan seharian barulah segala yang diidamkan akan tercapai.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Mencintai nabi Muhammad saw merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Oleh itu wajib atas setiap muslim mengetahui bukti dan tanda kecintaan kepada Rasulullah saw dan mengamalkan serta merealisasikannya dalam kehidupan seharian mereka. Semakin banyak memiliki bukti dan tanda tersebut maka semakin tinggi dan sempurna kecintaannya kepada Rasulullah saw. Di antara bukti dan tanda-tanda kecintaan dan kasih kita kepada nabi s.a.w ialah :

[1] Mencontohi dan mengamalkan sunnah nabi saw di mana orang yang mencintai Rasulullah saw adalah orang yang sentiasa bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda. Ianya dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatannya. Menghidupkan sunnah dan mengikuti Rasulullah saw dalam setiap langkah kehidupannya adalah bukti kecintaan kepada Rasulullah saw sebagaimana juga menjadi bukti kecintaan kepada Allah. Berdasarkan hal ini, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya menuntut natijah mengamalkan hal-hal yang dicintai dan menjauhi yang dilarang dan dibenci oleh Baginda saw. Tidak mungkin ada orang yang mencintai Rasulnya sedangkan dia tidak mahu mengikuti sunnahnya apatah lagi melakukan perkara yang bercanggah dengan ajaran nabi dengan sengaja. Antara sunnah yang terbaik ialah meringankan bebanan orang lain terutama ketika bakal menyambut ketibaan tahun baru 2016 dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi terutama ketika subsidi minyak, elektrik, pengajian ditarik ketika hidup mewah dan pembaziran pemimpin terus berlaku. Begitu juga ketika mengimbau setahun banjir kuning yang melanda Kelantan di mana masih banyak bantuan yang masih perlu diberikan perhatian disamping kita banyak berdoa di mana kini telah masuk gelombang ke-5 hujan lebat supaya Allah menjauhkan kita semua daripada musibah yang besar

[2]  Banyak mengingati dan menyebut nama nabi Muhammad s.a.w, kerana orang yang mencintai sesuatu tentu akan sentiasa mengingat dan menyebutnya. Sentiasa ingat kepadanya merupakan tanda kesinambungan kecintaan  yang berterusan.

[3] Sentiasa mengucap selawat dan salam kepada nabi saw

عن أبي هريرة أن رسول الله قال: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً، صَلىَّ  اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْر ًا  ( رواه مسلم)

Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali

Ulama’ menyatakan faedah yang boleh didapati dari Selawat ke atas Nabi saw ialah: Seorang ketika banyak menyebut kekasihnya, mengingatinya dihati, mengingati kebaikan-kebaikan dan perkara-perkara yang boleh melahirkan perasaan cinta kepadanya maka semakin berlipat ganda kecintaannya kepada kekasihnya tersebut dan bertambah rindu kepadanya. Apabila dia tidak menyebutnya sama sekali, tidak mengingatinya dan kebaikannya, maka akan berkurangan rasa cinta dihatinya.

Apabila keadaan ini kuat dihatinya maka lisannya terus memuji dan menyebut kebaikan-kebaikannya. Bertambah dan berkurangnya keadaan ini sesuai dengan perasaan cinta dihatinya dan anggota menjadi saksi kebenaran itu dengan mengamalkan sunnah nabi dalam pelbagai aspek kehidupan.

[4] Menyebut keutamaan dan kemuliaan serta sifat, akhlak dan perilaku utama yang Allah berikan kepada nabi saw, juga mukjizat serta bukti kenabian untuk mengenal kedudukan dan martabat Baginda saw. Demikian juga untuk mengenalkan orang lain dan mengingatkan mereka tentang hal itu agar mereka semakin beriman dan bertambah kecintaan kepada Rasulullah saw.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 63 surah an-Nuur :

لا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُمْ بَعْضًا ۚ قَدْ يَعْلَمُ اللهُ الَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنْكُمْ لِوَاذًا ۚ فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya : Janganlah kamu jadikan panggilan (kepada) Rasulullah saw di antara kamu seperti panggilan sesama kamu. Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang menarik diri (dari majlis Nabi saw) di antara kamu secara berselindung dan bersembunyi, maka hendaklah orang-orang yang mengikari perintah-Nya beringat serta berjaga-jaga, jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab yang pedih.

Tanda Cinta kepada nabi s.a.w yang ke- [5] Bersopan santun dan beradab dengan nabi saw baik dalam menyebut nama atau memanggilnya. Kata ulama’: Adab yang tinggi terhadap Rasulullah saw adalah menerima sepenuhnya serta tunduk patuh kepada perintahnya. Menerima perkhabarannya dengan penuh penerimaan dan membenarkannya tanpa ada penentangan dengan pemikiran logik akal, syubhat, keraguan atau mendahulukan pendapat para intelektual dan pemikiran yang tidak betul kepada hanya berhukum dan menerima tunjuk ajar Baginda saw sahaja

[6] Berharap dan rindu untuk melihat dan berjumpa dengan Rasulullah saw walaupun terpaksa membayarnya dengan harta dan keluarga.

قال النبي : مِنْ أَشَدِّ أُمَّتِي لِي حُبًّا نَاسٌ يَكُونُونَ بَعْدِي يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ رَآنِي بِأَهْلِهِ وَمَالِه – رواه مسلم

Maksudnya : Di antara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang yang hidup selepasku, salah seorang dari mereka sangat ingin melihatku walaupun terpaksa menebus dengan keluarga dan harta.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Tanda Cinta kepada nabi s.a.w yang ke- [7] Menyampaikan Nasihat untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya dan Rasul-Nya.

قال النبي : الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: للهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ– رواه مسلم.

Maksudnya : Agama itu adalah nasihat.” Sahabat bertanya: Kepada siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan pemimpin kaum muslimin serta kaum muslimin seluruhnya.”

Maksud nasihat untuk Nabi dalam hadis ini ialah beriman kepadanya, mentaati perintahnya, mengikuti sunnahnya dan mencintainya.

[8] Belajar Al Quran, istiqamah membacanya dan memahami maknanya. Demikian juga belajar sunnahnya, mengajarkannya dan mencintai ahlinya (ahlu sunnah). Imam Al Qadhi Iyaad rahimahullahmenyatakan: Diantara tanda-tanda mencintai Rasulullah adalah mencintai Al-Quran yang diturunkan kepadanya dan Baginda saw mengambil petunjuk dan membimbing manusi dengan Quran serta berakhlak dengan Quran.

Ibnu Mas’ud ra berkata: “Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya kecuali Al-Quran, apabila ia mencintai Al-Quran maka ia mencintai Allah dan Rasul-Nya”.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tanda Cinta kepada nabi s.a.w yang ke- [9] Mencintai orang yang Rasulullah saw cintai, antaranya:

  1. Ahlul-baitnya (keluarga)

Imam Al Baihaqi rahimahullah berkata: “Termasuk dalam lingkungan mencintai Rasulullah saw adalah mencintai ahli bait. Ahlul bait Rasulullah saw memiliki hak-hak yang wajib dipelihara, kerana Allah menjadikan untuk mereka hak dalam Al-Khumus, Al fai’ (harta rampasan perang) dan memerintahkan berselawat untuk mereka bersama selawat untuk Rasulullah saw.

Ulama’ juga menyatakan: “Di antara kewajipan kita adalah mencintai ahli bait Rasulullah saw dan memberikan keutamaan kepada mereka serta menjaga wasiat Rasulullah saw tentang mereka.”

  1. Para isteri Baginda saw.

Menjaga keutamaan dan hak-hak mereka dan meyakini mereka tidak sama seperti para wanita lainnya. Menjadikan mereka sebagai ibu kaum mukminin  sehingga wajib bagi kita menjaga hak-hak mereka walaupun setelah mereka wafat, berselawat untuk mereka bersama Nabi saw dan memohon keampunan bagi mereka serta menzahirkan pujian dan keutamaan mereka.

  1. Para sahabat Baginda saw.

Imam Al-Baihaqi rahimahullah menyatakan: Termasuk dalam kecintaan kepada Nabi saw adalah cinta kepada para sahabat Baginda saw. Apabila para sahabat nabi telah mendapat kedudukan ini, maka mereka memiliki hak dari kaum muslimin untuk mencintai mereka dan dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan kecintaan kepada mereka. Ini kerana apabila Allah meredhai seseorang, maka Dia mencintainya dan wajib atas seorang hamba untuk mencintai orang yang Allah cintai.”

Umat Islam wajib mencintai sahabat, meredhai mereka dan mendoakan kebaikan untuk mereka.

))لا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَوَالَّذِي نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلا نَصِيفَهُ((

Maksudnya : Janganlah kamu sekelian mencela para sahabatku, demi Allah seandainya salah seorang dari kamu berinfaq emas sebesar bukit Uhud, tidak akan menyamai satu mud (cupak) mereka dan tidak juga separuhnya.” [HR: Al-Bukhari]

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Tanda Cinta kepada nabi s.a.w yang ke- [10] Membenci orang yang Allah dan Rasul-Nya benci, memusuhi orang yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi sunnahnya dan Syariah Islam, serta membenci semua perkara yang menyalahi Syariat sebagaimana Firman Allah ayat 22 surah al-Mujadilah :

لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ

Maksudnya : Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu ialah bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: