• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,678,031 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,416 other followers

Islam Perkasa Negara Sejahtera Umat Sentosa


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Mulk :

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١﴾ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya : Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Kita baru sebulan memasuki tahun baru 1437H di mana penggunaan taqwim hijrah yang begitu terbatas dalam kehidupan harian akibat penjajahan menyebabkan suasana penghayatan Taqwim Hijrah begitu kurang sehingga ada di kalangan umat Islam sendiri tidak sedar dengan kedatangan tahun baru hijrah berbanding kedatangan tahun Masihi. Akhirnya taqwim hijrah hanya diambil berat ketika menyambut Ramadhan, raya puasa dan raya haji sahaja. Kegagalan dalam mengembalikan fungsi dan peranan taqwim hijrah pada tempat yang sepatutnya telah memberi kesan dalam kehidupan umat Islam terutama dalam menghayati peristiwa-peristiwa penting dalam sirah nabawiyyah untuk dilaksanakan dalam agenda kehidupan

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 5 surah al-Qosas :

وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ

Maksudnya : Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).

Antara penghayatan terhadap Taqwim Hijrah ialah penghayatan terhadap sirah nabawiyyah itu sendiri terutama Hijraturrasul s.a.w yang banyak mengajar kita bagaimana Islam bukan hanya melibatkan ibadat khusus malah merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Berdirinya Daulah Islamiah yang hebat dan kuat di Madinah Munawwarah banyak mengajar kita tentang usaha dalam memastikan Islam sebagai kuasa yang memerintah bukan suatu yang mudah dan bukan juga bukan suatu yang mustahil untuk dicapai kerana ia merupakan suatu arahan dan janji oleh Allah. Pembinaan umat yang jatidiri dengan aqidah yang kukuh di Mekah ditambah dengan penyediaan umat yang bersiap sedia untuk bersama mendirikan daulah di Madinah dengan berlangsungnya Bai’ah Aqabah pertama dan kedua denagn penduduk Madinah sebelum hijrah menjadi pemangkin yang kukuh sehingga berdirinya Daulah yang dianggap ‘kerajaan nyamuk’ yang lemah pada awalnya tetapi akhirnya berjaya menawan Empayar Rom Kristian dan Empayar Parsi Majusi seterusnya bergerak maju ke sebelah sini dengan menawan Empayar Hindu India dan Empayar Budha China.

Keyakinan yang tinggi dengan janji kemenangan daripada Allah disamping strategi yang kemas dengan organisasi yang teratur mampu mengembalikan semula kemenangan Islam bagi menyekat sebarang bentuk penjajahan baru, menghentikan penindasan dan kezaliman musuh yang tidak berperikemanusiaan. Kisah al-Quran yang menunjukkan bagaimana jatuhnya kerajaan Firaun sehingga nabi Musa a.s dan golongan bani Israel yang sebelum ini menjadi budak suruhan dan golongan tertindas akhirnya diberi kekuasaan dan Negara. Begitu juga keyakinan Suraqah bin Malik yang baru beriman setelah gagal membunuh nabi Muhammad s.a.w bahawa dia bakal dikalungkan dengan gelang kerajaan Parsi yang bakal tumbang suatu hari nanti sedangkan ketika janji nabi itu belum lagi berdirinya Daulah Islamiah. Tidak ketinggalan dengan keimanan dan kesungguhan Sayyidina Umar yang bukan sahaja berjaya menawan kerajaan Parsi malah berjaya membebaskan Masjid Aqsa dengan tumbangnya kerajaan Rom. Malah kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh dalam menawan Kota Istanbul bagi menyahut seruan nabi sewajarnya menjadi motivasi kepada kita semua bahawa kejayaan umat Islam hari ini bergantung kepada keimanan dan usaha dalam menggerakkan agenda al-Quran dan hadis nabi dalam kehidupan. Dekatnya kita dengan al-Quran maka dekatnya kita kepada janji kemenangan. Jauhnya kita daripada al-Quran maka jauhlah kita daripada rahmat Allah. Usah bercakap tentang kemenangan bila al-Quran disisihkan daripada kehidupan. Usah bercakap tentang kejayaan bila al-Quran dipinggirkan daripada memandu kehidupan

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Firman Allah dalam ayat  55 surah an-Nuur :

وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٥٥﴾‌

Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Negara yang Berjaya ialah Negara yang mempunyai pemimpin dan rakyat yang beraqidah dan berakhlak. Bila merujuk kepada Model Daulah yang agung yang dibina oleh nabi Muhammad s.a.w berdiri atas 3 asas utama iaitu [1] pembinaan masjid bagi membina ikatan manusia dengan Allah yang menjadi kekuatan utama kepada kesejahteraan dan keberkatan Negara.  Sesuai dengan maksud politik Islam iaitu tindakan yang menjadikan manusia lebih dekat dengan kebaikan dan lebih jauh daripada kerosakan. Membangunkan rakyat dalam sebuah negara tidaklah cukup hanya dengan memberi mereka teknologi, makanan, wang dan lain-lain. Tetapi pembangunan yang sebenar perlu melibatkan membangunkan jiwa-jiwa mereka, emosi mereka, akhlak serta kelakuan mereka agar terus berada pada tahap kemulian yang tertinggi. Tiada nilai sebuah negara yang mempunyai teknologi serta wang yang banyak namun tidak mempunyai akhlak yang mulia kerana kelak sifat buruk itu pasti menyumbang ke arah runtuhnya negara tersebut pada semua sudut. Inilah yang sedang kita saksikan di Amerika Syarikat dan banyak lagi negara Barat. Oleh itu kita berasa kecewa bila pemotongan RM1.4 bilion peruntukan untuk pengajian tinggi dalam Belanjawan Negara 2016 sedangkan dalam masa yang sama menambah  RM1 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri yang dibimbangi bukan sahaja mengurangkan jumlah kemasukan pelajar ke universiti awam malah banyak membantut proses dalam melahirkan generasi berilmu. Alangkah moleknya jika derma sebanyak RM2.6 bilion dapat menampung peruntukan untuk pendidikan. Betapa malangnya bila pemimpin hanya berbangga dengan kutipan cukai GST yang tinggi sedangkan pengaliran untuk bantuan rakyat semakin kurang. Belanjawan Negara menjadi cacat bila yang penting disisihkan, pembaziran pada benda lain diteruskan, ketirisan dibiarkan tanpa tindakan

Itu belum lagi dikira dengan usaha seolah menyokong usaha dalam mengembangkan tabiat menghisap Vape atau rokok elektronik sedangkan semua maklum ia merupakan budaya negatif yang merosakkan. Akhirnya saudara seagama di Negara peperangan mati bawah asap bom, kita di sini mati akibat asap rokok, Vape, dadah dan seumpamanya

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :

وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖوَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦

Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar

Asas ke-[2] Nabi s.a.w membina ikatan persaudaraan yang kuat antara golongan Muhajirin yang berhijrah dengan golongan Ansar yang merupakan anak watan Madinah sehingga hubungan kemanusiaan atas dasar iman ini banyak membantu membina Negara yang kuat. Perpecahan di kalangan umat Islam telah menyebabkan penderitaan dan penindasan terus berlaku tanpa henti dann kasihan belas daripada musuh Islam. Kita sedih melihat peperangan saudara di Syria bila kuasa besar Amerika Syarikat dan sekutunya menjual senjata kepada suatu puak manakala Rusia kepada puak yang lain akhirnya yang mati umat Islam, yang kaya raya musuh Islam. Begitu juga peningkatan keganasan zionis Yahudi selepas Intifadah atau kebangkitan umat Islam Palestin di mana Jabatan Kesihatan Palestin mengumumkan, sejak awal perjuangan pada 1 Oktober lalu, hingga hari Khamis kelmarin, jumlah para syuhada mencapai sehingga 76 orang dan 17 orang di antaranya adalah anak kecil. Ramai bertanya bilakah Islam mahu menang sedangkan kita tidak mahu kembali untuk bersatu atas dasar Islam. Ramai bertanya bilakah pertolongan akan datang daripada Allah sedangkan arahan Allah dipandang ringan, larangan Allah dijadikan mainan. Sedangkan zionis Israel pernah berkata bahawa jatuh bangunnya Negara haram zinois yahudi bukan bergantung kepada bilakah umat Islam berjaya membina senjata yang lebih canggih dan hebat daripada mereka sebaliknya bilakah umat Islam berjaya datang solat Subuh berjemaah di masjid sebagaimana ramainya mereka datang untuk solat Jumaat. Bila ikatan hati umat Islam dengan Allah kuat, ikatan persaudaraan atas dasar Islam bertambah erat maka janji kemenangan daripada Allah semakin dekat

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 214 surah al-Baqarah:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّـهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّـهِ قَرِيبٌ﴿٢١٤

Maksudnya : Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)

Manakala asas ke-[3] yang dibina selepas hijrah ialah membentuk Piagam Madinah yang merupakan asas pembinaan Negara yang pertama di dunia dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman di bawah satu system yang saksama.

Ibnu Khaldun menegaskan bahawa manusia itu masyarakat Madani mengikut fitrahnya dengan syarat dibangunkan insannya, sifat dan ciri manusianya dengan betul. Aspek jasad, roh, akal individu masyarakat sehingga mampu membina negara dalam segala aspeknya. Bukan sahaja politik yang paling banyak dicaturkan sehingga mencelarukan bahkan termasuk juga ekonomi, keamanan dan keselamatan di semua peringkat. Merangkumi semua aspek kejadian manusia dan urusan kehidupannya daripada individu, keluarga, kelompok yang kecil sehinggalah sebuah negara masyarakat majmuk dan masyarakat antarabangsa. Islam begitu bencikan penjajahan yang menyebabkan penindasan samada melalui senjata zahir mahu pun perjanjian berat sebelah termasuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) yang bakal menyebabkan lebih banyak pengangguran, peniaga tempatan bakal gulung tikar malah hasil Negara akan disedut tanpa batasan kerana kapitalis lebih berkuasa daripada undang-undang Negara malah boleh menggugat isu akhlak dan agama. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: