• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,675,833 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

Ramadhan DiRai, al-Quran DiHayati, Umat DiRahmati


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :

شَهْرُ‌ رَ‌مَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْ‌آنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْ‌قَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ‌ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِ‌يضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ‌ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ ۗ يُرِ‌يدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ‌ وَلَا يُرِ‌يدُ بِكُمُ الْعُسْرَ‌ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُ‌وا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُ‌ونَ ﴿١٨٥

Maksudnya: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur

Kini kita telah berada pada  hari yang ke-16 daripada bulan Ramadhan 1436H yang mengingatkan kita bahawa Ramadhan tahun ini telah memasuki separuh yang kedua di mana kita wajib bermusabah menghitung amalan soleh yang telah kita lakukan dari awal Ramadhan hingga kini samada telah ditunaikan dengan sebaiknya atau sambil lewa sahaja. Perbanyakkan doa agar segala amalan kita dimaqbul dan dosa kita diampunkan supaya kita tidak menjadi golongan yang rugi dan jauh daripada rahmat Allah iaitu golongan yang meninggalkan Ramadhan dalam keadaan dosanya belum diampunkan oleh Allah akibat kealpaan dan kelalaian diri sendiri yang gagal menggunakan sebaiknya kedatangan Ramadhan untuk meningkatkan amalan soleh dan memperbanyakkan istighfar dan taubat kepada Allah. Hati mereka sakit sehingga tidak merasakan betapa berharga dan pentingnya bulan Ramadhan untuk dijadikan mesin pencuci kepada dosa mereka dan mesin pencetak kepada menggandakan pahala amalan soleh mereka.

 

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضي اللّهُ عَنْهُ أَنّ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: “إِذَا جَاءَ رَمَضَانَ فُتّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنّةِ، وَغُلّقَتْ أَبْوابُ النّارِ، وَصُفّدَتِ الشّيَاطِينُ”.   رواه مسلم

Maksudnya : Ketika datang (bulan) Ramadan, pintu-pintu surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan setan-setan dibelenggu

Ulama’ dalam menafsirkan hadis ini menyatakan betapa besarnya kelebihan Ramadhan sehingga Allah membantu hambanya yang benar-benar hidup hatinya dengan memberi jalan dan kemudahan seluas mungkin dalam mengerjakan amalan ahli Syurga dan menutup nafsu keinginan untuk melakukan maksiat penderhakaan kepada Allah disamping mengawal nafsu daripada terus dihasut oleh Syaitan dalam melakukan kejahatan. Jika dengan 3 bantuan utama daripada Allah itu ada lagi umat yang gagal menggunakan kesempatan kedatangan Ramadhan untuk meningkatkan amalan soleh disamping menundukkan hawa nafsu mengikut kehendak syarak bererti dia telah menjadi hamba nafsu. Oleh itu marilah kita berdoa agar kita menjadi golongan yang berjaya dengan tarbiah Ramadhan sehingga mampu mengawal seluruh anggota termasuk mata, telinga, tangan, kaki, perut, lidah daripada melakukan maksiat. Jika pada bulan Ramadhan tidak mampu berubah kepada hamba Allah yang soleh maka betapa pada bulan yang lain. Jangan kita menjadi syaitan manusia pada bulan dirantai syaitan penggoda. Betapa malunya kita apabila Ramadhan sentiasa mencatatkan jumlah makanan yang dibuang ke dalam tong sampah lebih tinggi daripada bulan lain. Malah kes penderaan terhadap kanak-kanak sentiasa meningkat dalam negara kita akibat daripada kegagalan menjaga nafsu marah. Anugerah Ramadhan sepatutnya menambahkan lagi nilai kasih sayang sehingga fakir miskin dan asnaf yang lain merasakan betapa seronoknya bila tibanya Ramadhan kerana pada bulan ini terbukanya tangan-tangan saudara seagama dalam membantu mereka. Malah tarbiah Ramadhan sepatutya menginsafkan pemimpin agar simpati kepada rakyat bawahan yang semakin tertekan dengan GST ditambah lagi dengan kenaikan harga minyak setiap awal bulan ketika harga minyak di pasaran dunia sentiasa turun menjunam. Atas apa alasan sahaja yang memualkan tidak menyelesaikan masalah sebaliknya bila hilangnya sifat amanah dan kasih sayang menyebabkan yang kaya semakin kaya, yang miskin papa kedana kerana isu penyelewengan bilion ringgit silih berganti termasuk isu hutang 1MDB ditambah skandal MARA dipandang sebelah mata ketika rakyat disuruh berjimat cermat. Semoga kita tidak menjadi hamba Allah yang muflis pada hari akhirat akibat kegagalan menghayati dengan sebaiknya ibadat yang ditunaikan sehingga bukan semakin tunduk patuh kepada Allah sebaliknya semakin jauh daripada Allah. Perbaiki amalan kita dan ikhlaskanlah niat kita

عَنْ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏، عَنْ النَّبِيِّ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ : هَلْ تَدْرُونَ مَنْ ‏الْمُفْلِسُ ؟ قَالُوا ‏: الْمُفْلِسُ فِينَا ، يَا رَسُولَ اللَّهِ ، مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ . قَالَ ‏: ‏إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصِيَامٍ وَصَلَاةٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا ، وَقَذَفَ هَذَا ، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا ، فَيُقْعَدُ ‏، ‏فَيَقْتَصُّ ‏‏هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يَقْضِيَ مَا عَلَيْهِ مِنْ الْخَطَايَا أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Maksudnya : “Tahukah kamu siapakah dia orang muflis?” Sahabat Baginda menjawab: “Orang muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.” Nabi SAW bersabda: “Sebenarnya orang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang. Maka akan diambil daripada amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan orang yang dianiayakannya serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam neraka.”

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Tiap kali menyambut Ramadhan maka ia tidak lengkap tanpa mengaitkannya dengan penurunan al-Quran. Ia memberi peringatan kepada kita bahawa amalan semata-mata tanpa ilmu akan menjadi sia-sia dan tidak sempurna. Malah ibadat yang dilakukan tanpa ilmu gagal memberi kesan yang baik kerana ia tidak mampu mendidik jiwa dan anggota untuk patuh kepada Allah kerana ibadat dibuat seperti hanya melepas batu ditangga dan tiada ruh penghayatannya. Malah suatu penyelidikan menyatakan bahawa jika bahasa Arab dialunkan dalam bentuk lagu boleh memberi kesan kepada jiwa ke tahap 30 peratus. Tetapi al-Quran jika dibaca boleh memberi kesan sehingga 70 peratus.

Ingatlah pesan Saidina Ali bin Abi Talib: “Bukanlah suatu kebaikan jika milikmu hanyalah anak dan harta saja, tetapi kebaikan yang sebenarnya ialah banyak ilmu pengetahuan.”Pesan beliau lagi: “Orang berilmu lebih utama daripada orang selalu berpuasa, bersolat dan berjihad. Apabila mati orang berilmu maka terjadi suatu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain oleh penggantinya (yang berilmu juga).” Tidak lupa pesanan Imam Syafie : “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan nabi, rasul dan orang soleh.”

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”

Al-Quran telah membawa kepada kita banyak kisah terutama berkaitan kisah nabi-nabi di mana umat yang bersama mukjizat nabi akan berjaya manakala golongan yang menentang nabi akan hancur musnah. Contohnya umat yang beriman kepada nabi Nuh a.s diselamatkan dalam bahtera daripada banjir besar yang menggelamkan golongan yang menentangnya, bani Israel diselamatkan dengan mukjizat tongkat nabi Musa a.s yang membelah Laut Merah ketika Firaun dan bala tenteranya hancur tenggelam mati lemas. Begitulah umat nabi Muhammad s.a.w yang mengikut mukjzat al-Quran pasti akan dberikan kemenangan dan kejayaan dunia akhirat sedangkan golongan yang menentang al-Quran pasti dikalahkan walau pun memiliki kekuatan harta dan tentera yang hebat.

Oleh itu marilah sama-sama memperbanyakkan membaca dan tadabbur al-Quran terutama pada bulan Ramadhan bulan diturunkan al-Quran itu sendiri. Hayatilah isi kandungan al-Quran dalam setiap aspek kehidupan seharian samada politik, ekonomi, sosial dan selainnya dalam mengembalikan semula kehebatan dan kekuatan Islam. Semoga penderitaan saudara seagama di sebuah negeri di China yang dilarang berpuasa akan berakhir, semoga pembunuhan etnik Rohingya di Myamnar akan berlalu, Semoga bumi Palestin dapat dimerdekakan daripada cengkaman zionis Yahudi, kekejaman boneka zionis yahudi di Mesir dalam membunuh ahli Ikhawanul Muslimin dapat dihentikan, Semoga seluruh bumi umat Islam kembali aman dengan semua kita kembali berpayung di bawah khilafah Islamiah yang hilang hampir 100 tahun lalu dihancur oleh penjajah. Kembalilah kepada al-Quran nescaya kita selamat dan berjaya  dunia akhirat.

Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan :

فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢

Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: