• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

     

     

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Semak arah Qiblat guna kedudukan matahari atas Ka’abah petang esok

Oleh Hazirah Che Sab


Kaedah melihat matahari terbenam tidak tepatSUDAH semestinya umat Islam perlu menghadap Kaabah yang menjadi kiblat apabila mendirikan solat dan ketika dikebumikan selepas meninggal dunia.Walaupun dengan kedudukan Kaabah di Makkah menjangkau ratusan ribu kilometer, menetapkan arah kiblat sebenarnya tidak menjadi persoalan kerana ilmuwan Islam benar-benar menguasai ilmu falak untuk menyelesaikan masalah itu sekadar berpandukan kedudukan cakerawala seperti bintang dan matahari.

Bagaimanapun, kekurangan orang Islam yang benar-benar memahami ilmu falak ketika ini menimbulkan persoalan bagaimana untuk menentukan arah kiblat yang tepat.

Ini kerana, ada umat Islam masih menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah matahari terbenam, sedangkan cara itu tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada arah matahari terbenam.

Menyedari kesilapan itu, sewajarnya umat Islam di seluruh dunia tidak lagi menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam. Malaysia sudah tidak lagi menggunakan kaedah ini, sebaliknya berpandukan ilmu falak syarie seperti yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dengan kepesatan teknologi, perkara sebegini tidak sepatutnya menjadi masalah sehingga membawa kepada timbulnya pertelingkahan kerana sudah ada pelbagai peralatan canggih yang boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penyelidikan Jakim, Che Alias Che Ismail, berkata penentuan arah kiblat yang tepat amat penting terutama dalam pembinaan masjid atau surau bagi memastikan ia tidak tersasar.

Beliau menegaskan, ketepatan arah kiblat bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana biarpun cuma satu darjah terpesong ia bersamaan kira-kira 125 kilometer tersasar dari arah Kaabah.

Bagaimanapun, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan had berpaling yang dibenarkan tidak melebihi tiga darjah dan ia tidak perlu difatwakan tetapi boleh dijadikan garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baru.

Che Alias menunjukkan cara untuk mencari kiblat dengan menggunakan Ushikata.

Katanya, dua alat digunakan untuk menentukan arah kiblat iaitu kompas Ushikata dan Teodolite tetapi ia juga berpandukan kepada keadaan tertentu seperti diletakkan di tanah rata untuk mendapatkan ukuran tepat.

“Peralatan itu selalunya digunakan untuk menentu arah kiblat untuk tujuan pembinaan masjid atau surau. Bagi orang perseorangan atau ingin menentukan arah kiblat di rumah, cara tradisional masih boleh digunakan.

“Setiap tahun, ada dua keadaan yang boleh digunakan umat Islam menentukan arah kiblat iaitu ketika matahari berada betul-betul di atas Kaabah. Ia berlaku pada 28 Mei jam 5.16 petang dan sekali lagi pada 17 Julai jam 5.28 petang.

“Caranya dengan meletakkan tiang atau sesuatu yang lurus di tanah lapang pada waktu berkenaan dan perhatikan bayang objek itu. Oleh kerana di Malaysia ia berlaku pada waktu petang, arah kiblat diukur dari hujung bayang hingga ke pangkal tiang ,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata falak ialah disiplin ilmu astronomi Islam yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu falak takwim membabitkan pengiraan hari, bulan bagi menentukan puasa dan hari raya.

“Kedua ialah falak waktu solat iaitu menentukan masuknya waktu solat berdasarkan kedudukan matahari dan ketiga, yang paling besar dan penting falak penentuan arah kiblat.

“Arah kiblat diukur menggunakan kompas Ushikata atau Teodolite. Caranya tidak banyak berbeza tetapi penggunaan Teodolite lebih tepat kerana kadang-kadang bacaan kompas dipengaruhi unsur lain seperti besi dan sebagainya,” katanya.

Zamihan berkata, cara tradisi masih boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat dengan berpandukan arah matahari yang membabitkan dua hitungan.

“Pertama, berdasarkan kedudukan matahari di atas Kaabah yang berlaku pada Mei dan Julai setiap tahun. Seluruh dunia boleh menyemak kedudukan kiblat berdasarkan fenomena itu.

“Cara kedua ialah dengan menghitung waktu matahari setiap hari. Kaedah kedua banyak risiko kerana kedudukan matahari berubah setiap hari terutama di kalangan mereka yang tidak mahir dalam ilmu falak. Cuma pakar falak yang dapat berbuat demikian kerana ia membabitkan kaedah separa hitungan,” katanya.

Beliau berkata, masalah yang timbul sekarang ialah umat Islam tidak menguasai ilmu falak sepenuhnya dan pada masa sama masih tidak terlatih menggunakan teknologi moden.

“Justeru, ILIM berperanan melatih pegawai Islam untuk menggunakan alat ukur ini dengan mahir dan menjemput pakar dari universiti tempatan bagi tujuan itu,” katanya.

Penentuan arah kiblat boleh dicari dari pelbagai sudut dalam kehidupan serba canggih ini dan ia bergantung kepada ‘mahu atau tidak’ berusaha mencari ketepatan yang menjadi syarat sah solat, seterusnya membentuk peribadi menjadi Muslim sejati.

Rujuk Jabatan Mufti untuk panduan

SELANGOR mendahului negeri lain dalam memastikan setiap bangunan mengandungi surau atau ruang solat yang bakal didirikan mempunyai arah kiblat betul menerusi jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kontraktor.

Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor, Rizal Ramli, berkata pihaknya mengambil tindakan pencegahan dengan mencadangkan kepada PBT di seluruh negeri supaya meletakkan syarat tambahan kepada sebarang pelan pembangunan dirujuk terlebih dulu kepada jabatan mufti untuk mendapatkan arah kiblat yang tepat sebelum kerja pembinaan dijalankan.

“Langkah ini bertujuan mencegah kesilapan dalam menentukan arah kiblat. Dalam hal ini, PBT akan merujuk kepada Jabatan Mufti untuk mendapatkan arah kiblat yang tepat. Kita tidak mewajibkan pembinaan bangunan menghadap kiblat, memadai surau atau ruang solat mempunyai arah kiblat yang betul.

“Ia meliputi bangunan perumahan, pejabat, kilang, kompleks beli belah, stesen minyak, hotel, hospital dan pelbagai lagi. Namun bangunan masjid dan surau keseluruhannya perlu menghadap kiblat,” katanya.

Beliau menegaskan langkah itu mendapat sambutan baik dan kontraktor sendiri yang memahami keperluan itu, malah ada kontraktor yang mengunjungi pejabat mufti dengan membawa pelan bangunan untuk dirujuk bagi mendapatkan arah kiblat yang tepat.

Rizal berkata, Selangor juga mengambil inisiatif membuat ketetapan supaya semua tanah perkuburan di seluruh negeri mempunyai replika tanda arah kiblat bagi memudahkan urusan penggalian kubur.

“Dengan adanya replika itu, ia memudahkan kerja penggali kubur dan memastikan tidak timbul lagi sebarang kekeliruan mengenai arah kiblat.

“Bagi memudahkan orang ramai, jabatan mufti melancarkan permohonan menentukan arah kiblat secara online yang boleh didapati di laman web http://www.muftiselangor.gov.my. Maklum balas yang diterima amat menggalakkan dan sehingga September lalu, 45 permohonan diterima.

“Khidmat diberikan secara percuma dan ia dilakukan dalam tempoh tidak lebih 12 hari dari tarikh permohonan diterima. Ia bertujuan memberikan kemudahan kepada orang ramai,” katanya sambil setakat ini tiada aduan diterima mengenai arah kiblat salah di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya selalu menerima permohonan daripada ahli jawatankuasa masjid dan surau yang meminta mereka menyemak semula arah kiblat dan selepas mendapatkan arah yang tepat, jemaah akan mengikut arah baru dengan sekadar mengubah permaidani atau sejadah.

INFO: Cara mengukur arah kiblat

  • Hanya boleh menggunakan kaedah matahari terbenam pada 28 Mei jam 5.16 petang dan 16 Julai jam 5.28 petang setiap tahun
  • Dirikan objek lurus seperti tiang di tanah lapang dan rata
  • Pastikan ia tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakan tiang, letakkan tali yang diikat pemberat pada hujung tiang
  • Tempat yang dipilih tidak terlindung sinaran matahari
  • Semakan perlu dibuat tepat mengikut waktu yang ditetapkan Sirim seperti waktu televisyen dan radio. Oleh kerana fenomena itu berlaku pada waktu petang di Malaysia, bayang tiang akan jatuh ke arah timur. Dengan itu, arah kiblat ialah yang menghadap barat.

Khutbah Audio 106 – Isra’ dan Mikraj DiHayati Maruah Umat DiJulang Tinggi

Isra’ dan Mikraj DiHayati Maruah Umat DiJulang Tinggi

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Peristiwa yang menyaksikan nabi menjadi tetamu Kerajaan Allah untuk menyaksikan dunia dan akhirat, alam nyata dan ghaib, alam bumi dan langit, alam manusia dan malaikat dalam masa satu malam sahaja. Peristiwa ini mengajar bahawa semua kerajaan yang ada di dunia ini begitu kecil dan halus yang boleh ditukar ganti dengan begitu mudah oleh kerajaan Allah yang kuat dan kekal. Manakala Islam yang dibawa melalui nabi s.a.w pasti akan berkembang dan tidak sama sekali mampu dipadamkan walau pun pelbagai usaha dilakukan oleh musuh Islam siang dan malam.

Malah perjalanan nabi s.a.w dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang mengikut kiraan akal manusia memakan masa berbilion tahun tetapi boleh berlaku dalam masa satu malam sahaja yang membuktikan kekuasaan Allah yang boleh menghapuskan jarak dan masa lama kerana keduanya adalah antara makhluk Allah. Bila keimanan kepada Allah tidak berbelah bahagi maka sepastinya sebarang perkara yang datangnya daripada Allah tidak kita sangkal walau pun ia berada di luar jangkauan akal manusia termasuk berkaitan Isra’ dan Mikraj ini

Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Isra’:

…..وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ ………

Maksudnya : …..dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia…..

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 88-89 surah as-Syu’ara’:

يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ ﴿٨٨﴾ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّـهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ ﴿٨٩

Maksudnya : “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,  Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);

Sebelum dibawa dalam suatu perjalanan yang hebat maka dada nabi Muhammad s.a.w telah dibelah untuk dibersihkan hati baginda yang mulia. Ia mengajar kita bagaimana pentingnya pembersihan hati daripada sebarang unsur syirik dan sifat mazmumah atau tercela daripada hati kita. Hati ibarat cermin. Jika tidak dirawat dan dibersihkan, ia mudah kotor dan berdebu. Ada Ulama’ membahagikan hati manusia terbahagi kepada 3 jenis;

[1] Hati yang sakit (Qalbun Maridh), ia sentiasa dipenuhi penyakit sifat mazmumah tercela seperti Riya’, Hasad dengki, takabbur, tamak dan sebagainya. Orang yang hati  sakit susah menilai secara jujur apapun yang nampak di depannya. Melihat orang senang timbul iri dengki, Mendapat kawan beroleh nikmat timbul resah dan benci. Hati jenis ini jika dirawat dengan segera maka ia mampu kembali menurut kepada kebaikan

[2] Hati yang mati (Qalbun Mayyit). Hati ini sepenuhnya di bawah kekuasaan hawa nafsu, sehingga ia terhijab dari mengenail Allah. Hari-harinya adalah hari-hari penuh kesombongan terhadap Allah, sama sekali ia tidak mahu beribadah dan tunduk patuh kepada Allah. Hati jenisl ini berada dan berjalan bersama hawa nafsu dan keinginan-nya walaupun sebenarya hal itu dibenci dan dimurkai Allah. Begitu pula apabila ia menolak, mencegah, membenci sesuatu juga karena hawa nafsu bukan kerana Allah

[3] Hati yang baik dan sihat disebut Qalbun Salim. Inilah hatinya orang beriman. Hati ini adalah hati yang hidup, bersih, penuh ketaatan dan jiwanya tenang. Bisikan kebaikan sentiasa menyusup ke dalam hatinya untuk sentiasa berbuat kebaikan

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 153 surah al-An’am:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٥٣

Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (selain Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa

Ketika perjalanan Isra’ Mikraj maka nabi s.a.w dilatih dengan sifat istiqamah dengan Islam dan tidak tergoda dengan pelbagai panggilan berbentuk iblis, dunia, yahudi, Kristian. Kejayaan kita dalam tunduk patuh kepada Allah ke arah meninggikan kalimah Allah bukan sahaja dalam diri, keluarga malah pelaksanaan seluruh system Islam dalam Negara bergantung kepada sifat istiqamah kita yang tidak terpesona dengan habuan dunia, tidak tertipu dengan godaan syaitan serta tidak terpedaya dengan propaganda yahudi dan Kristian. Begitu juga bila kita ingat dengan pemilihan susu berbanding hidangan arak yang ditawarkan kepada nabi s.a.w semasa Isra’ dan Mikraj yang menunjukkan bagaimana bahayanya pengaruh perkara memabukkan dalam kehidupan kita terutama arak, dadah dan sebagainya.

Ketika menyebut tentang arak maka Malaysia sepatutnya malu kepada Singapura yang baru sahaja menguatkuasa berkenaan jualan dan minum arak di tempat awam yang dihadkan masa dan juga zon kawalan arak kerana masalah rusuhan, kecederaan dan pembunuhan akibat arak. Sedangkan Negara kita yang menjadi pengguna arak 10 tertinggi di dunia masih gagal mengawal arak termasuk dalam kapal terbang MAS walau pun menghadapi 2 peristiwa hitam dengan kehilangan MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh tahun lepas dan yang terbaru MH179 dalam perjalanan ke Colombo, Sri Lanka terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berikutan gangguan yang ditimbulkan seorang penumpang yang mabuk. Malangnya bila Negara dan syarikat terpaksa bergantung kepada perkara yang merbahayakan nyawa dan akhlak untuk mengaut keuntungan.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 72 surah al-Ahzab:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

Semasa Isra’ dan Mikraj juga bagaimana nabi s.a.w ditunjukkan bagaimana betapa besarnya seksa bagi mereka yang gagal menunaikan amanah yang dipikul apatah lagi jika menggunakan jawatan bagi menindas rakyat dan melakukan penipuan bagi mengaut keuntungan dunia. Sepatutnya dengan setiap kali mengisahkan tentang peristiwa Isra’ Mikraj saban tahun mampu melahirkan pemimpin dan rakyat yang beriman dan bertqwa kepada Allah sehingga mampu melahirkan hamba Allah yang mampu melaksanakan amanah yang dipikul sebaiknya serta menjauhi penyelewengan. Kita melihat dengan suasana yang semakin menekan rakyat yang bukan dipaksa berjimat cermat malah terpaksa menanggung pelbagai bebanan termasuk GST bagi menanggung kemewahan dan pembaziran yang dilakukan oleh pemimpin. Malah dalam isu cuba menutup hutang 1MDB menggunakan wang Tabung Haji merupakan suatu penyelewengan yang boleh menjejaskan matlamat sebenar Tabung Haji dalam memberi kemudahan untuk menunaikan ibadat Haji. Begitu juga penggunaan wang Syarikat Takaful Malaysia Bhd untuk tujuan yang sama. Akhirnya kesuburan bumi Negara yang bukan sahaja menghasilkan pelbagai tanaman malah penuh dengan bahan galian termasuk minyak tetapi akibat salah urus dan pembaziran yang melampau menyebabkan Negara menanggung hutang tinggi dan kebajikan rakyat diketepi

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ dan Mikraj juga maka tidak ketinggalan untuk kita mendoakan dan berusaha dengan pelbagai cara ke arah mencapai kemerdekaan bumi Isra’ Palestin daripada cengkaman Yahudi. Ketika nabi s.a.w Isra’ Mikraj maka baginda telah menjadi imam kepada para nabi yang menunjukkan bagaimana agama nabi-nabi adalah satu iaitu Islam bukannya Yahudi atau Kristian. Oleh itu bumi Isra’ Mikraj juga adalah milik umat Islam yang wajib dibebas dan dijaga. Terutama pada hari ini 15 Mei merupakan hari Nakbah Palestin atau memperingati hari Malapetaka yang menimpa bumi Palestin. Kita begitu kecewa bila kesatuan Arab boleh menyerang Yaman serta merta dengan apa saja alasan tetapi begitu takut untuk membebaskan bumi Aqsa daripada musuh yang jelas iaitu zionis Yahudi. Semoga peringatan Isra’ Mikraj bukan sahaja setakat masuk telinga tetapi perlu kepada gerak kerja yang kemas dalam menyatukan umat Islam atas dasar Islam dalam menjulang system Islam dan menghancurkan keganasan musuh termasuk terhadap saudara kita bangsa Ronghiya yang dibunuh kejam di sempadan Thailand dan ramai yang datang mencari perlindungan di Negara kita akibat penghapusan etnik dan agama. Sami Budha sendiri di Myanmar menjadi dalang dalam pembunuhan kejam ini dengan laungan jangan ulangi kesilapan Budha dan Hindu yang pernah menguasai Indonesia akhirnya hilang dengan datangnya Islam. Oleh itu Islam wajib dihapuskan di Myanmar. Semoga laungan jahat ini mampu kita padamkan dalam membantu umat Islam yang sedang ditindas dan dibunuh saban hari dengan mengembalikan kekuatan Islam. Bersempena berada pada hari Jumaat yang mulia, atas masjid yang mulia maka kita mendesak pimpinan Negara yang baru menjadi pengerusi ASEAN untuk menekan Myanmar agar memberhentikan tindakan kejam terhadap umat Islam. Islamlah nescaya kita selamat bahagia dunia akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 105 – Islam DiNobat Rakyat Selamat Negara Berkat

Islam DiNobat Rakyat Selamat Negara Berkat

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Kita sekarang berada pada minggu kedua terakhir daripada bulan Rejab yang merupakan antara bulan Haram di mana sewajarnya kita menjadikannya sebagai bulan persiapan dalam memantapkan fizikal dan mental kerana kita bakal menyambut kedatangan bulan Sya’aban sebelum memasuki penghulu segala bulan iaitu Ramadhan tidak lama lagi. Sesuatu perkara yang penting apatah lagi berkaitan dengan bekalan akhirat, mesti diutamakan dalam agenda harian, mingguan atau pun tahunan kita agar kita termasuk dalam golongan yang bijak iaitu sentiasa ingat kepada hari akhirat dan bersiap sedia dengan bekalan terbaik untuk menuju ke sana. Kedatangan bulan Rejab juga mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w termasuk peristiwa peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan menjadi pendakwah di sana. Peperangan ini juga meletus setelah pihak Rom Timur dilihat bersiap sedia dalam melakukan serangan terhadap pusat pemerintahan Islam Madinah dan kawasan yang berada di bawah penguasaan Islam sekitarnya. Akhirnya dalam masa yang singkat nabi s.a.w berjaya mengumpul 30 ribu tentera bagi berdepan dengan 100 ribu tentera musuh disamping mengumpul sumbangan kewangan, makanan, kenderaan dan bekalan senjata mengikut kemampuan sehingga ada kalangan sahabat yang menangis kerana tidak ada sesuatu yang mampu mereka sumbangkan akibat kemiskinan. Setelah berada di Tabuk yang terletak 800 kilometer dari Madinah yang memakan masa 20 hari perjalanan. Namun setelah 10 hari berada di Tabuk tiada sebarang peperangan meletus kerana pihak musuh merasa gerun dan takut kepada tentera Islam lalu lari daripada bertempur. Rasulullah s.a.w mengambil kesempatan itu untuk menyampaikan risalah Islam kepada kabilah yang berada sekitar Tabuk. Ini antara ketegasan  kepimpinan Islam sehingga kedaulatan Negara Islam dijaga, darah umat Islam dibela, dakwah Islam disebar merata dunia. Malangnya pada hari ini senjata dihalakan sesama umat Islam sehingga musuh Islam mengaut untuk dengan jualan senjata, bergembira atas kehancuran satu demi satu Negara umat Islam yang berperang sesama sendiri.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 111 surah at-Taubah :

إِنَّ اللَّـهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚيُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّـهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١١١

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar

Bulan Rejab turut mencatatkan kemenangan Islam yang gemilang apabila bulan Rejab  tahun 583 H (1187 M), Solahudin Al-Ayyubi  memimpin tentera Islam berangkat ke Baitul Maqdis untuk membebaskannya daripada cengkeraman tentera salib yang menguasainya selama hampir satu abad. Kemenangan Solahudin al-Ayyubi sangatlah istimewa kerana berjaya mengembalikan bumi Isra’ Mikraj dan Qiblat pertama kaum Muslimin ke pangkuan Islam. Semangat juang yang tinggi ini wajib kita contohi agar kebebasan dan kemerdekaan Masjid Aqsa dan bumi Palestin daripada cengkaman zinois Yahudi berjaya dicapai agar kekejaman musuh Islam dapat dihentikan. Kemenangan Islam tidak mampu diraih dengan mudah, bukan dengan setakat angan-angan tetapi bakal menjadi kenyataan dengan syarat umat Islam kembali memenuhi syarat kemenangan iaitu berpegang dengan agama Allah dengan menolak sebarang ideology yang bercanggah daripada Islam, bersatu atas dasar Islam bukan kebendaan atau kebangsaan sempit, mengutamakan akhirat daripada dunia. Bumi Aqsa yang menjadi rebutan 3 agama terbesar di dunia iaitu Islam, Yahudi dan Kristian semenjak dari dahulu lagi mempunyai keistimewaan yang tersendiri malah Allah mengiktirafkannya sebagai bumi yang penuh keberkatan. Kejayaan menguasai bumi Aqsa bakal menjanjikan penguasaan terhadap dunia keseluruhannya. Oleh itu tugas dalam memerdekakan bumi Palestin bukan tugas rakyat Palestin sahaja malah tugas umat Islam seluruh dunia dalam membebaskan tanah wakaf milik seluruh umat Islam itu daripada cengkaman zionis Yahudi

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى  – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit

Tidak ketinggalan bagaimana bulan Rejab pernah meninggalkan sejarah hitam buat umat Islam apabila pada 28 Rejab 1342 Hijrah (3 Mac 1924M), Khilafah Uthmaniah Turki dikuburkan secara rasmi oleh Mustafa Kamal At-Tarturk dengan dokongan Britain dan Perancis.  Mulai dari saat itu juga bumi Palestin dijajah oleh zionis Yahudi. Di saat kerajaan Uthmaniah tamat,  umat kehilangan asas kepimpinan. Tiada lagi institusi yang mampu melindungi umat secara kolektif dan global. Syariah tidak lagi dijadikan asas negara dan ideologi sekular dan kapitalisme ditanam ke dalam jiwa umat dengan penjajahan terancang. Kerajaan besar Uthmaniah dipecahkan kepada lebih 40 negara kecil dengan berpaksikan kaum, wilayah dan semangat kebangsaan yang merosakkan. Akibatnya, umat Islam terus berkelahi, merebut wilayah dan kekuasaan dan dipisahkan antara negara kaya dan miskin.

Akibat daripada penjajahan dan perpecahan umat Islam dengan kehilangan suatu kuasa Khilafah yang menaungi umat Islam menyebabkan penderitaan dan penindasan umat Islam terus berlaku silih berganti tanpa ada pembelaan sewajarnya walau pun jumlah umat Islam begitu ramai di seluruh dunia. 3 kekuatan utama yang dianugerahkan oleh Allah gagal digunakan sebaiknya iaitu kekuatan Aqidah, jumlah umat yang ramai dan bumi yang subur. Malah antara penghinaan terbaru terhadap Islam dengan penganjuran pertandingan melukis karikartur nabi Muhammad s.a.w di Amerika Syarikat atas alasan kebebasan bersuara yang mendapat kecaman umat Islam. Oleh itu kita wajib mengembalikan kemuliaan umat Islam dengan berjuang atas dasar Islam serta takut kepada Allah lebih daripada takut kepada musuh Islam

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Menyedari betapa bahayanya bila umat Islam kehilangan system Khilafah maka kita wajib kembali bersatu dalam mengembalikan semula system pemerintahan dan perundangan Islam dalam mewujudkan Negara aman dan berkat walau pun kita yakin bahawa ia bukan suatu jalan yang mudah malah perlu menghadapi pelbagai halangan dan tentangan. Mengapa kita begitu mudah menyerah kalah sedangkan golongan anti Islam begitu bersungguh dalam memperjuangkan kebebasan murtad, seks bebas, kecelaruan jantina dan menghilangkan keistimewaan Islam dalam Negara samada melalui tuntutan IFC atau Comango dan selainnya. Oleh itu kita wajib bersungguh dan yakin dengan janji kemenangan daripada Allah dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam Negara. Dalam mengurus kewangan dan ekonomi Negara perlu kembali kepada Islam agar kebajikan rakyat diutamakan bukannya rakyat ditekan seperti dengan GST yang mengutip anggaran 42 juta sehari dari barangan import sahaja belum lagi dari sumber lain sedangkan masalah pecah amanah dan pembaziran tidak ditangani secara serius. Kebimbangan berkenaan hutang 1MDB berbillion ringgit kini mula melarat kepada penggunaan ratus juta duit Tabung Haji yang bakal menjejaskan umat Islam untuk mengerjakan haji. Dasar ekonomi yang tidak amanah menyebabkan jurang antara kaya dan miskin semakin tinggi ketika masalah hutang isi rumah dalam Negara kita mencecah sehingga 80 peratus berbanding Indonesia hanya 16 peratus. Ini menambah masalah bebanan hutang Negara yang mencecah 700 bilion

Begitu juga tahap jenayah dan masalah sosial yang semakin teruk memerlukan usaha bersungguh dalam mengembalikan pelaksanaan undang-undang Islam dalam Negara. Malah bila berlakunya kes kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Klang baru-baru ini yang mengorbankan  sepasang suami isteri dan bayi kecil maka sekali lagi disyorkan agar undang-undang Islam dilaksanakan kerana mengikut perundangan Islam sebarang jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja (Shibhu ‘amd) tanpa niat, diwajibkan kepada penjenayah untuk membayar diyaat (ganti rugi) kepada keluarga mangsa bukannya kerajaan. Bayangkan seorang yang terbunuh 100 ekor unta yang dikenakan dengan nilai hampir RM1 juta maka jika 3 orang kena bayar kepada waris mangsa hampir RM3 juta. Pelaksanaan hukum ini bukan sahaja membela nasib ahli keluarga terutama anak yatim yang ditinggalkan oleh mangsa malah menggerunkan masyarakat untuk melakukan kesalahan. Sedangkan hukuman Sivil pada hari ini denda menjadi milik Negara sedangkan keluarga mangsa tidak mendapat apa-apa. Oleh itu yakinlah kita kepada system Islam dan bersungguhlah kita dalam mengembalikan semula system Islam yang telah dikuburkan oleh penjajah untuk kembali dilaksana dalam Negara. Islamlah nescaya rakyat selamat, Negara berkat

Firman Allah dalam ayat 22 surah az-Zumaar :

أَفَمَن شَرَحَ اللَّـهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّـهِ ۚ أُولَـٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢٢

Maksudnya : Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ