• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Audio 100 – Islam DiLaksana Negara Sejahtera Rakyat Sentosa

Islam DiLaksana Negara Sejahtera Rakyat Sentosa

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 107-108 surah an-Nahlu :

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمُ اسْتَحَبُّوا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَأَنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ﴿١٠٧﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّـهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ ۖوَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ﴿١٠٨

Maksudnya : (Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah petunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di akhirat). Mereka itulah orang-orang yang telah dimeterikan Allah hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang lalai.

Pertembungan antara Islam dan jahiliah terus berlangsung. Perlawanan antara iman dan kufur terus berlaku. Pemisah antara ibadat dan maksiat sentiasa jelas. Perbezaan antara halal dan haram sentiasa terang. Percanggahan pahala dan dosa begitu ketara. Kesedaran yang tinggi dan perasaan ambil cakno berkenaan dengan perkara ini amat penting dalam melahirkan umat Islam yang mempunyai jatidiri yang tahan daripada pelbagai ujian keimanan yang sentiasa datang silih berganti. Umat Islam wajib diisi dengan ilmu agama yang mampu memastikan hati kita sentiasa hidup dan berhati-hati dalam menguruskan urusan dunia berdasarkan panduan agama. Hati mati menyebabkan umat Islam mudah terpedaya dengan tipuan dunia dan dijajah oleh musuh Islam di tanahair mereka sendiri. Sheikh Ibni Athoillah As-Sakandari dalam kalam hikmahnya menukilkan : Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan disamping tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Antara sebab hati mati adalah kerana 3 perkara iaitu : [1] Hubbul dunia iaitu terlalu kasihkan dunia dan melupai akhirat. pahala dan dosa. [2] Lalai daripada zikirullah iaitu mengingati Allah sehingga nikmat yang diberi tidak disyukuri, musibah yang diuji tidak diambil pengajaran dalam menginsafkan diri.  [3] Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu :

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖتَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ﴿٢٩

Maksudnya : Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud. Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar

Penyakit hati mati akibat kurang ilmu dan pengamalan system Islam dalam kehidupan seharian, hanyut dalam hiburan melalaikan, kecelaruan budaya dan identity akibat memisahkan kehidupan dunia daripada agama menyebabkan umat Islam hidup dihimpit seribu macam penindasan, penghinaan daripada musuh Islam. Kita dapat saksikan bagaimana 3 kesan buruk yang utama akibat kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki pada tahun 1924 iaitu : [1] Mengecutnya pengaruh umat Islam termasuk penguasaan Islam di bumi Eropah hilang apabila satu demi satu Negara yang dikuasai oleh umat Islam dirampas kembali. [2] Orang Yahudi Berjaya mendapat Negara di Palestin manakala Kristian berjaya menjajah Negara Arab dan Negara umat Islam yang lain dengan dasar pecah perintah. [3] Hilangnya system Khilafah yang menyatu dan menjaga keselamatan umat Islam sehingga musuh Islam kini tanpa rasa takut dan gerun terus membunuh, menindas dan menghina umat Islam di tanahair kita sendiri tanpa ada kuasa yang kuat dalam mencegahnya.

Antara penghinaan yang terbaru ialah sekali lagi majalah Charlie Hebdo yang berpusat di Paris, Perancis menghina nabi Muhammad s.a.w selepas 2 minggu syarikat mereka diserang. Negara penjenayah dan penyembelih umat Islam yang utama iaitu Amerika Syarikat dan Israel cuba menonjolkan kepada dunia bahawa mereka bencikan keganasan sedangkan merekalah yang rakus membaham dan meratah tubuh umat Islam di Afghanistan, Iraq, Palestin dan lain-lain. Malah tindakan biadap majalah Perancis tersebut tidak lebih dalam mewujudkan kebencian terhadap Islam dan umatnya bagi menyekat kemasukan rakyat Eropah ke dalam Islam yang terus meningkat dari hari ke hari. Oleh itu kita wajib bersatu atas dasar Islam dalam mengembalikan semula kekuatan dan kemuliaan umat Islam.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soof :

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨

Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)

Kita turut merasa kecewa dengan sikap sebahagian umat Islam sendiri yang mudah terpengaruh dan menari mengikut rentak musuh Islam dalam menyerang umat Islam. Sebagai contohnya selepas serangan 11September, kuasa besar Barat melalui pelbagai agensi sekuritinya seperti CIA, MI 5 dan MOSSAD telah melihat madrasah, pondok dan pesanteran sebagai sebahgian daripada program “memerangi keganasan” dengan itu musuh Islam mendesak semua kerajaan negara Islam di seluruh dunia memantau madrasah tradisional. Pada hakikatnya madrasah dan pondok bukan sumber kepada kewujudan kumpulan radikal. Malah pemikiran yang mempengaruhi pelbagai kelompok untuk memisahkan masyarakat Islam kepada label ekstrimis, moderate dan terrrorist itulah yang sebenarnya punca kepada ketegangan. Malah ketidakseimbangan darjat sosio-ekonomi serta ketidakadilan sosial yang berlaku dalam proses pembangunan negara dan dunia turut menyemarakkan konflik dalam masyarakat. Begitu juga pendidikan arus perdana yang lebih diutamakan serta segala kemudahan yang diberi kepada institusi yang ditaja oleh kerajaan dan syarikat itulah yang telah menyisih institusi pondok dan madrasah dan akibatnya ini telah melahirkan rasa terpinggir oleh para pendidik dan pelajar madrasah dan pondok. Harus diingat sumbangan berdekad-dekad pondok dan madrasah yang wujud dinegara inilah yang telah dapat mempertahankan jati diri negara ini sebagai negara umat Islam. Sistem pendidikan arus perdana sehingga kini masih belum menjamin keutuhan aqidah dan penghayatan Islam di kalangan penuntut untuk melahirkan masyarakat Islam yang boleh dicontohi. Kita yakin musuh Islam begitu takut kepada pusat pengajian Islam yang mampu melahirkan umat yang cintakan Islam yang sanggup menentang sebarang penjajahan kerana ia mampu menggugat kuasa dan kezaliman musuh Islam. Oleh itu marilah kita bersama bermula daripada kerajaan sehingga rakyat jelata bukan sahaja mempertahankan pusat pengajian Islam malah memperkasakannya agar Islam berdaulat, system Islam mampu dinobat, penjajahan dapat disekat.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ- رَوَاهُ أَبُو دَاوُدبِإِسْنَادٍ حَسَنٍ

Maksudnya : Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia 7 tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).

Islam adalah agama yang lengkap dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat dengan memberi tunjuk ajar yang terbaik dalam menguruskan kehidupan manusia. Tidak terkecuali dalam mendidik anak-anak di mana ada cara yang khusus diajar oleh Islam termasuk cara merotan supaya ia tidak menyebabkan berlaku penderaan dan penganiayaan kepada anak-anak. Sebab itu apabila adanya cadangan untuk membentangkan di Dewan Rakyat selewatnya Julai nanti  rang undang-undang baru termasuk menjadikan rotan anak sebagai suatu jenayah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Kerajaan digesa meneliti kandungan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) sebelum menjatuhkan merotan sebagai suatu jenayah kerana terdapat kelonggaran di dalam CRC yang membolehkan hukuman dibuat berdasarkan budaya tempatan. Kita tidak mahu cetakan 100 peratus daripada undang-undang Barat akan menyebabkan kegagalan dalam melahirkan anak soleh disamping bakal menimbulkan masalah yang lain. Sebagai contoh di Sweden yang pernah menyaksikan pasangan Malaysia yang dipisahkan daripada anak-anak akibat undang-undang ini tahun lepas di mana ia turut mendapat bantahan oleh masyarakat Sweden sendiri. Hasil kajian di Sweden mendapati bahawa sejak undang-undang itu diperkenalkan pada 1979, sudah lebih 300 ribu kanak-kanak dipisahkan dengan ibubapa kandung mereka dan terpaksa hidup dengan keluarga angkat termasuk berlainan agama sehingga berusia 18 tahun. Undang-undang ini amatlah menyeksa jiwa anak-anak dan ibubapa kandung berkenaan. Beberapa pihak di Sweden juga mendedahkan betapa undang-undang ini dimanipulasi untuk mengaut keuntungan dengan wujudnya ‘industri anak angkat’, di mana pemberi maklumat dan ibubapa angkat diberi bayaran sehingga RM4,300 sebulan. Oleh itu kita mahu setiap undang-undang yang mahu diluluskan terutama yang melibatkan pendidikan mesti selaras dengan kehendak agama agar tidak mengorbankan masa depan anak-anak. Kita mahu pengajian berkaitan tarbiah anak-anak termasuk cara dan adab merotan dimasukkan dalam sukatan pengajian peringkat sekolah hingga Univerisiti serta dalam kursus nikah kahwin dan kursus lain yang sesuai.  Islam mementingkan kasih sayang kerana itu rotan adalah jalan terakhir untuk mendidik bukan untuk mendera apatah lagi mencederakan. Oleh itu Islamkan cara merotan bukan mencegahnya. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 99 – Nikmat Allah DiSyukuri Syariat Rasulullah s.a.w diIkuti

Nikmat Allah DiSyukuri Syariat Rasulullah s.a.w DiIkuti

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 128-129 surah at-Taubah :

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَ‌سُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِ‌يصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَ‌ءُوفٌ رَّ‌حِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَ‌بُّ الْعَرْ‌شِ الْعَظِيمِ ﴿١٢٩

Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang agong.”

Kini kita berada diminggu terakhir bulan Rabiul Awwal bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Pengutusan nabi Muhammad s.a.w sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam dapat dirasa di mana dalam rumahtangga Rasulullah s.a.w adalah suami dan bapa yang bukan sahaja memelihara kebajikan kebendaan yang sementara bahkan  membelai dan menyubur jiwa dan ruh ahli keluarga agar berjaya di dunia dan akhirat. Sebagai pemimpin maka nabi s.a.w bukan sahaja mahu melihat rakyat maju di dunia malah meraih kebahagiaan di akhirat dengan memastikan setiap tamadun kebendaan dan rohani berjalan serentak. Kasih sayang baginda kepadanya umatnya begitu mendalam sehingga sanggup mati dalam mengembangkan system Islam agar seramai mungkin umatnya memasuki Syurga dan terselamat daripada Neraka Allah. Ini tergambar dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud : Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Perasaan kasih dan cinta yang tinggi kepada junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w tidak mampu terhasil melainkan melalui ilmu. Oleh itu betapa pentingnya system pendidikan Negara dirangka dalam melahirkan rakyat yang benar-benar mengenali seterusnya mencintai dan meneladani cara hidup nabi Muhammad s.a.w yang lengkap. Begitu juga suasana di rumah dan sekitar mesti menjadi perangsang kepada minat mendalam dalam diri anak-anak untuk mengenali nabi Muhammad s.a.w seterusnya menjadikan baginda sebagai contoh teladan terbaik dalam kehidupan. Amat malang jika umat Islam sendiri tidak mengenali nabi apatah lagi untuk mencontohinya dalam setiap aspek kehidupan. Kita perlu rasa bimbang berkenaan suatu Kaji selidik yang dilakukan oleh Adecco Malaysia menunjukkan 12 peratus kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun di Malaysia mahu menjadi pelakon apabila dewasa sebagai pilihan utama kerana ingin mencipta nama dalam industri hiburan. Hiburan melalaikan yang terus disajikan sehingga artis didewakan menyebabkan suatu yang menjatuhkan maruah dianggap biasa termasuk yang terbaru isu adanya gadis Melayu yang bertudung sanggup dipeluk oleh artis K-Pop Korea Selatan tanpa segan silu. Begitu juga Kajian Institut Integriti Malaysia (IIM) menunjukkan sebanyak 31 peratus pelajar sekolah sanggup menerima rasuah seandainya ada kuasa dan peluang melakukannya. Ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diberikan perhatian kerana tidak mustahil jumlah peratusan tersebut akan meningkat pada masa hadapan yang boleh menghancurkan Negara. Rosaknya generasi muda bakal menyaksikan kerosakan Negara kerana golongan ini merupakan pelapis kepimpinan yang ada.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 19-27 surah al-Ma’arij :

إِنَّ الْإِنسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا ﴿١٩﴾ إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا ﴿٢٠﴾ وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا ﴿٢١﴾ إِلَّا الْمُصَلِّينَ ﴿٢٢﴾ الَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ ﴿٢٣﴾ وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ ﴿٢٤﴾لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ ﴿٢٥﴾ وَالَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوْمِ الدِّينِ ﴿٢٦﴾وَالَّذِينَ هُم مِّنْ عَذَابِ رَبِّهِم مُّشْفِقُونَ ﴿٢٧

Maksudnya : Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisahDan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;  Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;  Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya);  Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya, –

Pada tahun ini kita menyambut kehadiran Rabiul Awwal dalam suasana banjir besar. Musibah banjir ini banyak mengajar kita untuk mengenal dan bersyukur atas segala nikmat Allah disamping sentiasa bertaubat atas segala dosa maksiat. Secara umum dibahagikan nikmat Allah kepada 5 iaitu Nikmat [1], nikmat asas seperti udara yang disedut, air yang digunapakai. Bayangkan jika setiap udara yang disedut itu perlu dibayar setiap bulan, sudah pasti kita tidak mampu membayarnya. Nikmat ke-[2],  yang Allah kurniakan ialah ‘nikmat akliah’ iaitu nikmat akal atau kefahaman. Ada orang yang Allah berikan kepadanya nikmat mampu memahami sesuatu, mampu merancang dan berfikir dengan baik.Ada antara kita yang nikmat akliah ditarik balik sedikit demi sedikit seperti orang tua yang sudah nyanyuk atau orang gila.

Nikmat ke-[3],  ialah ‘nikmat badaniah’ iaitu kesihatan tubuh badan. Tentu kita semua pernah ditimpa penyakit dan bayangkan perasaan kita ketika sakit. Harapan kita supaya sakit itu cepat hilang. Ke-[4],  ialah ‘nikmat qalbiah’ iaitu nikmat yang menyenangkan hati. Memiliki keluarga, kereta, rumah, adalah contoh nikmat yang menyenangkan hati kita. Banyak perkara yang kita suka dan kita peroleh menjadi nikmat kurniaan Allah SWT.  Nikmat ke[5],  ialah ‘nikmat imaniah’, nikmat paling tinggi diberikan kepada hamba-Nya. Mereka yang diberikan nikmat iman sahajalah yang benar-benar boleh merasakan ketenangan dan kedamaian hati. Rugi bagi mereka yang tidak merasakan iman sehingga tidak syukur dengan apa yang ada dan sentiasa mengeluh dengan apa yang tiada.

Oleh itulah contohilah nabi s.a.w dalam menghadapi sebarang musibah iaitu redha dengan ketentuan Allah, bersabar atas ujian serta mengambil iktibar untuk lebih mendekati Allah. Musibah banjir yang menimpa juga membuka peluang yang luas kepada kita untuk membantu mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah, musnah barang keperluan. Yakinlah kita bahawa Allah akan menggantikan dengan ganjaran yang lebih hebat dan kekal atas sumbangan yang kita hulurkan.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا مُسْلِمٍ كَسَا مُسْلِمًا ثَوْبًا عَلَى عُرْيٍ كَسَاهُ اللَّهُ مِنْ خُضْرِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ أَطْعَمَ مُسْلِمًا عَلَى جُوعٍ أَطْعَمَهُ اللَّهُ مِنْ ثِمَارِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ سَقَى مُسْلِمًا عَلَى ظَمَإٍ سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ الرَّحِيقِ الْمَخْتُومِ. (رواه أبو داود)

Maksudnya : Mana-mana orang Islam yang memberi pakaian kepada seorang Islam yang sedang terdedah anggotanya yang sepatutnya tertutup, Allah akan memakaikan penderma itu dengan pakaian (penduduk) syurga yang (serba indah dan) berwarna hijau. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi makan kepada seorang Islam yang sedang lapar,  Allah akan memberi makan kepada penderma itu dari buah-buahan syurga.  Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi minum kepada seorang Islam yang sedang dahaga,  Allah akan memberi minum kepada penderma itu dengan sejenis minuman syurga yang (serba lazat dan) termeterai bekasnya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 64 :

وَقَالَتِ الْيَهُودُ يَدُ اللَّـهِ مَغْلُولَةٌ ۚ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُوا بِمَا قَالُوا ۘ بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيْفَ يَشَاءُ ۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم مَّا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ طُغْيَانًا وَكُفْرًا ۚ وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ ۚ كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِّلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّـهُ ۚ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا ۚوَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ ﴿٦٤

Maksudnya : Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil – kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). Ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Ia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan

Kedatangan Rabiul Awwal tahun ini juga dikejutkan dengan serangan terhadap pejabat akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo yang mengorbankan 12 nyawa. Akhbar ini pernah menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW  pada 2011. Malangnya selepas serangan berdarah ini, akhbar ini sekali lagi bertindak biadap membuat provokasi dengan lukisan terbaru menghina nabi Muhammad s.a.w yang telah mencetuskan kebencian serta mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia. Kita melihat serangan ini seperti serangan 11 September dalam membangkitkan Islamphobia terutama ketika masyarakat Eropah berbondong-bondong memeluk Islam walau pun pelbagai gambaran buruk dilemparkan kepada Islam dan umatnya. Kita wajib menangkis tuduhan jahat musuh Islam ini dengan menyatakan bahawa umat Islam diwajibkan beriman kepada semua para Rasul, dilarang memaki Tuhan yang dilantik oleh penganut berbagai agama, walaupun tidak percaya kepada tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Sangat berbeza dengan pihak lain yang boleh memaki hamun dan menghina Allah dan Rasulullah S.A.W.  Islam mewajibkan berperang terhadap musuh yang melampau, namun diharamkan melampau dan membalas dendam, serta wajib berlaku adil walaupun terhadap musuh yang paling kejam.  Maka kedatangan Islam disambut oleh penduduk negeri yang zalim terhadap rakyatnya, sehingga kedatangan Islam dinamakan Futhuhaat (membuka negeri) kepada kebebasan yang sebenar. Ianya sangat berbeza dengan perkataan “penjajahan” yang mengabdikan rakyat, merompak dan mencuri hasil negerinya. Islam sangat menghormati para ilmuan dan orang yang bijak, walaupun tidak menganut Islam. Islam berjaya menghapuskan perhambaan manusia secara damai. Berbeza dengan negara yang membunuh orang yang bijak dan ilmuan kerana dianggap membahayakan takhta kerajaan.  Oleh itu kita wajib mempertahankan kesucian Islam dan kemuliaan nabi Muhammad s.a.w dengan cara penuh hikmat agar Islam terus merajai hati umat Islam dan bukan Islam. Islam dijulang Kemuliaan nabi dipertahankan. Biar bermandi darah namun kebiadapan musuh Islam wajib disanggah

Firman Allah dalam ayat 35 surah Muhammad :

فَلَا تَهِنُوا وَتَدْعُوا إِلَى السَّلْمِ وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ وَاللَّـهُ مَعَكُمْ وَلَن يَتِرَكُمْ أَعْمَالَكُمْ ﴿٣٥

Maksudnya : (Apabila kamu telah mengetahui bahawa orang-orang kafir itu dihampakan amalnya dan diseksa oleh Allah) maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang beriman) merasa lemah dan mengajak (musuh yang menceroboh) untuk berdamai, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan), dan Ia tidak sekali-kali akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ