• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Audio 98 – Islam DiNobat Kehidupan Selamat Dunia Akhirat

Islam DiNobat Kehidupan Selamat Dunia Akhirat

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 19 surah Ali ‘Imran :
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ‌ بِآيَاتِ اللَّـهِ فَإِنَّ اللَّـهَ سَرِ‌يعُ الْحِسَابِ ﴿١٩﴾
Maksudnya : Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
Keindahan pada diri, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya terletak pada keindahan Islam. Oleh itu betapa peri pentingnya menegakkan keindahan Islam dan menghindar salah tanggap mengenai kemurnian agama Allah ini. Realiti semasa, Islam banyak disalah tafsir dan disalah faham bukan sekadar daripada orang bukan Islam, malah orang Islam sendiri. Sebab itu Islamophobia bukan hanya berlaku pada orang bukan Islam, malah turut membabitkan umat Islam yang tidak memahami Islam. Akibatnya, ketidakfahaman itu memberi kesan kepada perlakuan seterusnya memberi kesan kepada keadaan hidup umat Islam hari ini. Apabila berlaku salah faham, maka akan terjadi salah amal kerana kedua-duanya saling berkait antara ilmu dan amal. Ilmu itu adalah imam, manakala amal itu adalah makmumnya. Jika pemimpin tersalah, maka besar kebarangkalian pengikut di belakang juga turut tersasar. Sebab itu jika berlaku salah faham, ini akan melahirkan salah amal dan salah perjuangan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya misi Islam sebagai rahmat dan penyelamat bukan sahaja kepada umat Islam tetapi turut merangkumi yang belum beragama Islam. Al-Quran jelas menyatakan bagaimana pengutusan nabi Muhammad s.a.w sebagi rahmat kepada sekalian alam bukan khusus untuk bangsa dan tempat tertentu sahaja
Firman Allah dalam Surah al-Anbiya’, ayat 107 :
وَمَا أَرْ‌سَلْنَاكَ إِلَّا رَ‌حْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾
Maksudnya : “Dan tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”
Justeru, apabila Islam itu lemah, tidak kelihatan gagah dan hebatnya, maka yang rugi bukan sekadar umat Islam tetapi dunia seluruhnya akan kerugian, gelap serta malap. Hari ini, kegagahan dan keindahan Islam sudah tidak terserlah lagi dalam bentuk amalinya dan yang tinggal hanya teori, ilmu serta ilmiah semata, sedangkan manusia cenderung mempercayai mata berbanding telinga. Jika kita hanya mendengar mengenai keindahan Islam tetapi tidak dapat dizahirkan untuk tatapan dalam bentuk amalan, sikap serta tindakan, maka orang tidak akan mempercayai wujudnya keindahan sistem dalam Islam. Terlalu banyak perkara yang disalah tanggap dan disalahertikan mengenai Islam. Contohnya berkaitan hukum Hudud, jihad, riba, hubungan antara lelaki dan perempuan, aurat dan sebagainya
Oleh itu kita wajib menjadikan Ibadah sebagai teras dan asas yang menjadi tanggungjawab kita sepanjang hayat untuk mengabdikan diri kepada Allah. Tugas ibadah kepada Allah sepenuh masa, bukannya kerja sambilan, malah menuntut kita untuk kerja lebih masa demi membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Apabila kita bertindak selaras dengan tujuan hidup, barulah kita mampu memperolehi kejayaan, kebahagiaan dan ketenangan hidup sesuai dengan ikrar kita setiap kali solat yang mengakui untuk tunduk patuh kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan sebagaimana firman Allah dalam ayat 162 surah al- An’am :
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَ‌بِّ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٢﴾
Maksudnya : Katakanlah : “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur :
رِ‌جَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَ‌ةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ‌ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ‌ ﴿٣٧﴾
Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan
Keputusan UPSR baru sahaja diumumkan beberapa hari lepas dengan suasana berbeza antara suka duka, gembira sedih berdasarkan kepada tahap kecemerlangan. Yang cemerlang sepastinya mula memasang cita-cita untuk memasuki sekolah pilihan dan terbaik. Berjaya dan gagalnya dalam peperiksaan di peringkat sekolah telah mewujudkan jurang perbezaan hala tuju apatah lagi berjaya dan gagalnya kita dalam memahami dan menghayati Islam dalam kehidupan akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada kehidupan dunia malah di alam barzakh dan akhirat nanti. Oleh itu kita wajib bersungguh dalam mendidik dan mentarbiah diri kita sendiri seterusnya ahli keluarga terdekat diikuti masyarakat yang lebih luas bukan sahaja untuk berjaya yang cemerlang dalam peperiksaan di sekolah, universiti malah yang jauh lebih penting berjaya di alam kubur seterusnya atas timbangan Allah di padang Mahsyar nanti. Kita tidak mahu hanya setakat melahirkan anak-anak cemerlang akademik tetapi buta al-Quran, Solat jarang-jarang, akhlak tunggang langgang, aurat ditayang-tayang, maksiat jadi mainan
Kita merasa teruja dengan usaha kerajaan Turki merancang untuk membina sebuah masjid di setiap universiti iaitu lebih 80 buah seluruh Turki di mana ada yang siap diguna dan ada dalam proses pembinaan. Kita boleh bayangkan jika semua Universiti di Negara kita bukan sahaja memiliki masjid malah solat berjemaah menjadi amalan teras maka kita boleh lihat mahasiswa dalam semua bidang pengajian bergabung dalam rumah Allah untuk sama-sama meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini mengikut bidang masing-masing. Bila mahasiswa yang sudah terdidik dengan solat berjemaah ini bertebaran dengan kerjaya masing-masing nanti akan menghidupkan pula masjid, surau samada di Bandar, kampung, tempat kerja dan di mana sahaja kerana golongan inilah menjadi harapan kepada agama, bangsa dan Negara. Kita lihat pada hari ini suasana solat berjemaah menjadi teras itu hanya di pondok, sebahagian sekolah agama dan asrama penuh sahaja tidak diteruskan di peringkat Universiti. Sebab itu tidak pelik ramai siswa yang bukan sahaja tinggal solat malah terlibat dengan kerosakan akhlak sebagaimana nasib yang menimpa pengajian agama yang hanya ditekan peringkat sekolah tetapi bila masuk Universiti luar daripada bidang agama maka subjek agama tidak lagi diberikan perhatian khusus. Melalui sistem ini akan terus melahirkan Islam hanya pada nama bukan pada pengamalannya. Kegagalan untuk berhijrah kepada Islam menyebabkan kita semakin mundur bersama jahiliah

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Kegagalan memperkasakan pengajian agama telah melahirkan ramai di kalangan orang Islam menjadi pengguna terhadap tamadun barat yang terpisah daripada Aqidah di mana setengah daripadanya menjadi sekular dan liberal. Sekular bermakna sesuatu pegangan itu bersifat duniawi dan tidak terhubung dengan ukhrawi. Liberal bermakna usaha memisahkan agama dari kehidupan, agama dari ilmu dan agama dari pemikiran. Pemikiran yang merbahaya ini terus menjalar dalam jiwa ramai di kalangan umat Islam sehingga banyak arahan agama dipersenda dan cuba menafsirkan agama berdasarkan hawa nafsu sehingga tanpa segan silu mempertikaikan hukuman kepada orang murtad, tutup aurat, budaya songsang liwat disamping menolak hukum poligami, pembahagian pesaka dan sebagainya. Malah kita bimbang bila Mahkamah Sivil membebaskan 3 lelaki yang berpakaian wanita di Negeri Sembilan sebulan lalu atas alasan hukuman Mahkamah Syariah bercanggah dengan hak kebebasan yang diberi oleh perlembagaan negara dan merai kecenderungan individu. 3 tahun lepas ada seorang lelaki Islam di Terengganu yang telah menukar alat jantina memohon di mahkamah agar dibenarkan untuk dia menukar kepada nama perempuan. Malah beberapa hari lepas NGO Justice for Sisters (JFS)serta segelinti maknya membantah usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berusaha usaha mengembalikan golongan mak nyah kepada fitrah asal mereka menerusi Program Mukhayyam atas alasan yang dangkal. Kita bimbang bila budaya negatif ini bukan sahaja semakin membarah malah mendapat pembelaan daripada mahkmah sivil yang bakal menghancurkan Negara. Kita wajib sedar bahawa Pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki yang menyerupai wanita, iaitu mak nyah atau pondan sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah haram di sisi Islam
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنْ النِّسَاءِ – رواه الترمذي
Maksudnya : Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagai umat yang beriman kita yakin bahawa setiap rezeki mestilah daripada sumber yang halal dan dibelanjakan pula pada perkara yang halal. Oleh itu kita berasa begitu marah dan kecewa dengan pendedahan Timbalan Menteri Pengangkutan dalam Dewan Rakyat 17 November lepas yang mengesahkan bahawa setiap tiket yang dibeli oleh pelanggan adalah termasuk penyediaan hidangan yang disediakan dalam kapal terbang dan tidak menafikan hidangan tersebut termasuk minuman keras atau arak. Ini menunjukkan walaupun seseorang pelanggan Muslim tidak membeli arak secara langsung, namun sebahagian daripada kos pembelian tiket tersebut menyumbang kepada penyediaan dan penjualan arak oleh MAS. Tambahan pula ramai pekerja MAS beragama Islam turut terlibat secara langsung dalam perkara ini. Oleh yang demikian, kita mendesak pihak pengurusan MAS agar menghentikan serta merta penjualan dan penyediaan minuman keras atau arak dalam setiap operasi perniagaannya. Kita optimis bahawa tindakan drastik ini akan mendatangkan keberkatan daripada Allah SWT seiring dengan penstrukturan semula model perniagaan MAS yang baharu. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ‌ وَالْمَيْسِرِ‌ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ‌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ‌ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُ‌ونَ ﴿٢١٩﴾
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 97 – Hijrah DiHayati Jatidiri DiMiliki

Hijrah DiHayati Jatidiri DiMiliki

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

Kita baru memasuki minggu kedua bagi bulan Muharram tahun baru 1436H di mana kita sedia maklum walau pun Hijraturrasul s.a.w dari bumi Mekah ke bumi Madinah berlangsung pada bulan Rabiul Awwal tetapi sambutan atau peringatan hijrah kita buat pada bulan Muharram atas 3 sebab utama iaitu:

[1] Bulan Muharram merupakan bulan pertama bagi bulan-bulan yang lain dalam setahun mengikut perkiraan arab di mana telah berlaku pembaharuan dalam tarikh bermula pada bulan Muharram ini.

[2] Bai’ah Aqabah antara Rasulullah S.A.W dengan rombongan daripada Yathrib(Madinah) telah berlangsung pada bulan Zulhijjah. Selepas itu baginda S.A.W menyuruh muslimin berhijrah ke Madinah bagi mendapat pertolongan daripada saudara mereka yang digelar golongan Ansar di sana bermula bulan Muharram.

[3] Muharram merupakan bulan haram dan ia berada selepas bulan Zulhijjah di mana para haji pulang ke rumah masing-masing

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

3 syarat utama umat berhijrah yang berjaya yang digambarkan oleh al-Quran iaitu beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan Allah.  Syarat hijrah terus terbuka sehingga Mekah dikuasai oleh Islam, iaitu ketika bumi Arab itu tunduk kepada Islam dan kepimpinannya dan orang ramai bergabung di dalam masyarakatnya. Oleh sebab itu hijrah tidak ada lagi selepas pembukaan Kota Mekah dan yang masih kekal ialah jihad dan beramal sebagaimana telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.

قال الرسول e  : لاَ هِجْرَةَ  بَعْدَ  الفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ  – رواه البخاري

Maksudnya: Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah tetapi yang ada hijrah pada jihad dan niat

Semuanya itu berlaku dalam pusingan pertama kemunculan Islam, di mana ia dapat memerintah dunia ini selama kira-kira 1200 tahun dan meneruskan perlaksanaan syariat Islam pada masa itu tanpa putus-putus dan menegakkan kepimpinan Islamiah di atas landasan syariat Allah dan kekuasaan-Nya. Namun kini dunia telah kembali semula kepada jahiliah dan undang-undang Allah telah berangkat daripada kehidupan manusia di bumi manakala kuasa hakimiyah telah kembali kepada Toghut di seluruh dunia di mana manusia mulai tunduk kepada menyembah sesama manusia setelah Islam menyelamatkan mereka daripadanya sebelum ini. Kini Islam sedang memulakan satu pusingan yang baharu yang sama dengan pusingannya yang pertama, di mana ia mula mengaturkan peraturan-peraturan atau hukum-hukumnya yang berperingkat-peringkat sehingga kepada tahap menegakkan negara Islam kembali. Proses dalam mengubah masyarakat jahiliah moden kepada Islam memerlukan pengorbanan jihad yang tinggi yang dibina atas asas kesetiaan kepada akidah menggantikan kesetiaan kepada darah keturunan dalam segala bentuk dan rupanya serta menjadi hawa nafsu sebagai rujukan kepada mengikut lunas wahyu. Keyakinan kepada system Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi, sosial dan sebagainya mesti dipasak kukuh dalam diri umat Islam dengan mengikis sikap mendewa system ciptaan manusia

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 49 surah al-Maidah :

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ ﴿٤٩

Maksudnya : Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik

Sejarah mencatatkan beberapa perubahan zaman bermula dengan Zaman jahiliah atau zaman kegelapan memperlihatkan gelagat manusia yang tidak dipandu oleh akidah tauhid di mana manusia hidup bagaikan haiwan di mana yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin. Kemudian pada Zaman Rasulullah s.a.w di mana umat manusia mula dipandu untuk kembali kepada akidah tauhid sebagaimana yang pernah diseru oleh nabi-nabi sebelum ini berdasarkan wahyu daripada Allah yang jelas.  Begitu juga pada zaman sahabat Nabi dan tabien-tabien memberikan asas pengembangan terhadap tapak akidah, ibadah, muamalat dan syariat yang terbina kuat pada zaman Rasulullah. Zaman Baghdad iaitu di zaman Abasiyah, ilmu pengetahuan menjadi sumber penting kepada perubahan. Zaman Andalusia membawa erti penting dalam tamadun umat Islam, tidak sahaja subur dalam jiwa rohani umatnya tetapi berkembang hingga menghasilkan suatu tamadun contoh. Zaman berikutnya, Eropah menjadi maju hasil ambilan ilmu-ilmu Islam yang tersohor sehingga menyebabkan Eropah atau masyarakat Barat mengalami proses tamadun yang bersifat kebendaan semata-mata dengan membuang asas aqidah sehinggalah kini. Ternyata ramai di kalangan orang Islam menjadi pengguna terhadap tamadun ini dan sesetengah daripadanya menjadi sekular dan liberal. Sekular bermakna sesuatu pegangan itu bersifat duniawi dan tidak terhubung dengan ukhrawi. Liberal bermakna usaha memisahkan agama dari kehidupan, agama dari ilmu dan agama dari pemikiran. Pemikiran yang merbahaya ini terus menjalar dalam jiwa ramai di kalangan umat Islam sehingga banyak arahan agama dipersenda dan cuba menafsirkan agama berdasarkan hawa nafsu sehingga tanpa segan silu mempertikaikan hukuman kepada orang murtad, tutup aurat, budaya songsang liwat disamping menolak hukum poligami, pembahagian pesaka dan sebagainya. Malah kita bimbang bila Mahkamah Sivil membebaskan lelaki yang berpakaian wanita atas alasan hukuman Mahkamah Syariah bercanggah dengan hak kebebasan yang diberi oleh perlembagaan negara dan merai kecenderungan individu sedangkan Allah melaknat lelaki yang berpakaian seperti perempuan dan perempuan yang berpakaian seperti lelaki. Tidak cukup lagikah bala Allah yang menimpa negara maka kita mahu tambah lagi dengan kebiadapan dalam melawan hukum Allah.

 

Sidang Jumaat yang rahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 54 surah ar-Ruum :

اللَّـهُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ﴿٥٤

Maksudnya : “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah (bayi dan kanak-kanak), selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat (remaja dan belia). Selepas itu Dia menjadikan kamu lemah pula (tua) serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah juga yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.”

Ketika berlangsungnya Hijraturrasul s.a.w kita dapat melihat bagaimana nabi Muhammad s.a.w telah menggunakan peranan remaja dalam menjayakan misi hijrah yang gemilang seperti khidmat Sayyidina Ali RH disamping 2 orang anak Sayyidina Abu Bakar iaitu Abdul Rahman dan Asma’. Peranan penting yang dimainkan oleh mereka menunjukkan peri pentingnya kita membina generasi remaja yang bertaqwa sebagai pelapis kepada kepimpinan Negara yang berjaya. Kita mesti melahirkan generasi yang mempunyai jatidiri yang tinggi yang tidak mudah dipengaruhi dengan unsur negatif yang berlalu disekeliling mereka. Tidak menjadi golongan pak turut yang bersikap, “Aku bersama-sama orang ramai, kalau mereka baik maka baiklah aku dan kalau mereka tak baik, aku pun tak baik.” Sebaliknya hendaklah kamu cekalkan diri kamu dengan bersikap, “Jika orang ramai baik, aku akan menurut jejak langkah mereka dan jika mereka berlaku tak baik, aku akan menjauhi kejahatan mereka.”

Pengisian ilmu agama bermula dari kecil serta menghidupkan suasana beragama bermula dalam keluarga, masyarakat seterusnya ruang yang lebih luas. Golongan ini begitu ketagih kepada kasih sayang dan perhatian yang banyak daripada ibubapa disamping perlu diberi perhatian tentang rakan sebaya yang boleh memesongkan perjalan hidup mereka. Begitu juga pengaruh hiburan melampau daripada media cetak dan elektronik di mana banyak memusnahkan cara berfikir dan cara bertindak remaja Islam. Dulu penjajah perlu datang ke Negara kita untuk menjajah umat Islam tetapi kini kita sendiri menjemput budaya negatif untuk masuk ke rumah kita sebebas-bebasnya melalui TV dan internet untuk menjajah diri dan anak-anak kita. Umat Islam di Negara yang menghadapi peperangan terpaksa berdepan dengan peluru dan bom musuh yang merobek dan menghancurkan tubuh saudara seagama tetapi kita di sini ramai yang tubuhnya sihat tetapi pemikiran dan akhlaknya berjaya dirosakkan oleh musuh Islam terutama yahudi dan Kristian. Jenayah di kalangan remaja yang terus meningkat seperti kes buli yang kembali menggemparkan Negara perlu kepada perhatian yang serius.

قال الرسول e : لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ اَّلذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاٍع حَتَّى لَوْدَخَلُوْا فِى حُجْرِ ضَبٍّ لاتبَّعْتُمُوْهُمْ قُلْنَا : يارسولَ الله آليَهُوْدُ وَالنَّصَارَى؟. قَالَ : فَمَنْ ؟

Maksudnya: Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhob nescaya kamu pun akan turut mengikuti mereka. Para sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani?. Nabi bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka

Pastikan kita dapat membiasakan diri kita seterusnya ahli keluarga untuk mengisi masa hidup untuk 4 perkara, iaitu [1] masa bermunajat kepada Allah, [2] masa melakukan muhasabah dirinya sendiri, [3] masa berfikir kejadian Allah, [4] masa untuk tujuan kehidupan seharian seperti makan minum, bekerja mencari rezeki halal

 

Sidang Jumaat yang rahmati Allah,

Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, bulan Muharram yang dihormati dan tahun baru hijrah marilah kita sama-sama mengutuk tindakan jahat zionis Yahudi yang bertindak rakus merosakkan Masjid Aqsa dalam usaha berpanjangan untuk meruntuhkannya bagi menggantikan dengan gereja Yahudi. Biar bermandi darah, pencerobohan Masjid Aqsa tetap kita cegah. Biar nyawa melayang asalkan keutuhan Masjid Aqsa dapat dipertahankan

Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan :

فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢

Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ