• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,677,030 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

23.TIGA ASAS TERBINA SELEPAS HIJRAH


 

السلام عليكم

 

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :

والذين ءامنوا وهاجروا وجــهدوا فى سبيل الله والذين ءاووا ونصروا  أولئك هم المؤمنون حقا  لهم مغفرة ورزق كريم

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Kini kita berada di permulaan bulan Muharram tahun baru 1422 Hijrah. Beberapa hari lagi lagi kita akan bertemu dengan hari Asyura iaitu hari kesepuluh Muharram di mana kita digalakkan berpuasa pada hari tersebut. Pada hari Asyura telah berlaku suatu peristiwa yang penting iaitu terselamatnya nabi Musa daripada dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya.

                Kedatangan tahun baru hijrah bersama dengan meningkatnya usia kita memberi peringatan kepada kita agar sentiasa memastikan bahawa perlu adanya perubahan kepada diri kita ke arah yang terbaik bukannya semakin buruk. Semoga kedatangan tahun baru hijrah ini juga akan memberi ruang kepada seluruh umat Islam agar dapat berhijrah daripada tersepit dan terhimpit dengan kegelapan sistem jahiliah kepada keluasan dan pembelaan keadilan sistem Islam. Terkeluar daripada kehinaan kerana meninggalkan Islam kepada kemuliaan dengan meninggikan syariat Islam.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Setelah berlangsungnya penghijrahan yang bersejarah maka Rasulullah s.a.w telah mempunyai syarat yang cukup bagi menegakkan sebuah negara berasaskan Islam iaitu :

1. Bumi atau tempat untuk mendirikan negara iaitu Madinah

2. Rakyat iaitu para sahabat daripada kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang bukan Islam yang bersedia untuk menjadi rakyat. Bagi orang-orang yang tidak bersedia maka mereka boleh keluar dari bumi Madinah

3. Pemimpin iaitu Rasulullah s.a.w sendiri yang dipilih oleh Allah

4. Perlembagaam iaitu al-Quran dan al-Hadith di mana ianya merupakan bahan rujukan yang kaya dan lebih daripada keperluan sebuah perlembagaan

5. Kedaulatan atau keperibadian sebagai sebuah negara wujud dengan ketinggian Islam itu sendiri

Bagi melaksanakan penubuhan Negara Islam yang unggul maka Rasulullah s.a.w telah membina tapak yang kukuh dengan mewujudkan 3 bentuk hubungan yang penting iaitu :

 

Pertama dengan mewujudkan hubungan manusia dengan Allah iaitu dengan membina masjid. Ia bertujuan merapatkan hubungan umat manusia dengan Allah di mana masjid merupakan syiar penting bagi Islam. Masjid menjadi asas kukuh kepada pembinaan masyarakat dan negara Islam kerana keteguhan masyarakat Islam berteraskan kepada ikatan ‘aqidah yang kuat kepada ajaran Islam Rasulullah s.a.w tidak menjadikan agenda pertamanya untuk membina kekuatan tentera terlebih dahulu walau pun baginda tahu bahawa musuh sedang bersiap untuk menyerang mereka.. Sebaliknya masjid lebih dahulu dibina bagi memastikan ikatan perhambaan kepada Allah sentiasa kukuh sehingga memberi kemampuan bagi menghadapi sebarang serangan musuh samada secara senjata atau pun serangan pemikiran. Dalam memperjuangkan Islam tidak cukup semata-mata dibina atas kekuatan semangat dan senjata sahaja tetapi mesti berteraskan aqidah dan ilmu yang kukuh serta ikatan perhambaan kita dengan Allah.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kedua Rasulullah s.a.w telah menjalinkan hubungan sesama umat Islam. Ia merupakan tunjang utama dalam memastikan keamanan dan kestabilan serta keutuhan negara Islam yang dibina. Jika sebelum Hijrah dan memeluk Islam suku Aus dan Khazraj saling bermusuhan sesama mereka tetapi dengan  datangnya Islam mereka bukan sahaja menamatkan permusuhan mereka tetapi turut menerima orang Muhajirin sebagai saudara mereka.Persaudaraan yang melampaui  hubungan kekeluargaan, keturunan, warna kulit, tanah air dan bangsa dengan berdasarkan taqwa dan maruah kemanusiaan ini telah berjaya merubah segala-galanya. Perpaduan yang kuat ini membolehkan umat Islam yang jumlahnya merupakan minoriti iaitu beberapa ribu sahaja berjaya menguasai kaum yahudi dan musyrikin yang lain yang merupakan kaum majoriti yang berjumlah puluhan ribu di Madinah ketika itu.

            Inilah perpaduan yang wajar dicontohi oleh kita semua bagi memastikan keamanan terjaga dan keadilan terbela. Tanpa perpaduan yang kukuh menyebabkan umat Islam mudah diserang dan ditindas oleh musuh. Janganlah disebabkan jumlah umat Islam majoriti menyebabkan kita merasakan bahawa kita terus berkuasa dan orang bukan Islam selamanya akan tunduk kepada kita jika kita terus mencari jalan selain daripada Islam sebagai asas perpaduan. Ingatlah peristiwa sedih yang berlaku di Kubrus Cina di mana umat Islam yang merupakan golongan majoriti dengan jumlah mereka 20 juta orang  telah dibunuh dan dihancurkan oleh orang bukan Islam yang hanya berjumlah 12 juta orang disebabkan umat Islam meninggalkan Islam sebagai ad-Din. Walau pun pada awalnya bangsa di Kubrus itu merupakan kaum yang ditindas oleh kerajaan Kristian Itali yang menyebabkan mereka meminta pertolongan dan perlindungan daripada Khilafah Uthmaniah Turki. Bantuan yang diberikan menyebabkan Islam mudah tersebar dan membolehkan perlembagaan Islam tertegak di situ. Tetapi akhirnya umat Islam yang merupakan golongan majoriti telah dihancurkan kerana meninggalkan Islam sebagai cara hidup. Begitulah juga yang berlaku di Bosnia, Kosovo, Kashmir, Lubnan, Palestin dan sebagainya pada hari ini.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Hubungan yang ketiga yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ialah hubungan umat Islam dengan orang bukan Islam dan negara bukan Islam dalam rangka menyampaikan risalah Islam serta menentukan sikap mereka terhadap Islam. Ia berjaya dilaksanakan dengan terbentuknya piagam atau perlembagaan Madinah yang mengandungi 23 fasal menyentuh tentang hubungan antara Muhajirin dan Ansor. Manakala 24 fasal lagi merupakan peruntukan yang berhubung dengan hak dan kewajipan orang-orang yahudi. Perlembagaan Madinah ini telah membawa perubahan yang besar dengan memperuntukkan sebuah kerajaan Pusat bagi menjamin keadilan dan keamanan tanpa menghilangkan kuasa dan keistimewaan golongan tertentu. Kota Madinah telah dibahagikan kepada beberapa jajahan bagi beberapa suku kaum yang berlainan di mana setiap jajahan mempunyai ketua atau naqib, beberapa timbalan ketua atau ‘arif dan sebuah tempat perjumpaan atau Saqifah. Ini adalah susunan pentadbiran jajahan yang lengkap yang diawasi oleh Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w sendiri.

            Jika dilihat secara teliti perlembagaan Madinah ini dengan perlembagaan negara kita maka di sana adanya perbezaan yang begitu ketara. Contohnya Islam dalam perlembagaan Madinah meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat, sosial, ekonomi, perundangan dan sebagainya sedangkan Islam yang ada dalam perlembagaan negara kita berdasarkan Lord Reid hanya berkisar kepada ibadat dan adat sahaja bukannya meliputi seluruh aspek kehidupan sehingga usaha dalam memartabatkan penggunaan sepenuhnya taqwim hijrah termasuk dalam pembayaran gaji di negeri ini tidak dapat dilaksanakan kerana bercanggah dengan perlembagaan negara. Itu belum dikira lagi dengan pelaksanaan hukum hudud yang sememangnya bercanggah dengan perlembagaan negara ini yang lebih membesarkan penjajah daripada Allah. Oleh itu cadangan untuk membincangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan untuk umat Islam jika hanya berkisar tentang Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh penjajah. Ia hanya  akan terhasil jika perbincangan itu melibatkan perkara untuk membebaskan Islam daripada dikurung bagi memastikan ia mampu dilaksanakan dalam seluruh aspek kehidupan.

            Benarkah para pemimpin mahu melaksanakan Islam sebagaimana piagam Madinah atau sebaliknya maka bolehlah dilihat melalui usaha mereka samada ke arah melaksana atau lebih banyak kepada menentang pelaksanaan Islam termasuk usaha dalam menghapuskan nama Islam di mana buat masa ini ia belum dapat dilaksana. Tetapi usaha ini akan terus berjalan dan akan dilaksana jika kita lalai dan  berlembut dengan segala helah mereka.

Firman Allah dalam ayat 218 surah al-Baqarah :

إن الذين ءامنوا والذين هاجروا وجــهدوا فى سبيل الله أولئك يرجون رحمت الله  والله غفور رحيم

Maksudnya : Sesungguhnya mereka yang beriman dan mereka yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah maka mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Satu Respons

  1. […] 23.TIGA ASAS TERBINA SELEPAS HIJRAH […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: