• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,989,233 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,643 other followers

  • Advertisements

Kem Pengajian Kitab 2013 (Istimewa lepasan SPM/STPM/STAM/IPT dan Umum)

Istimewa bagi lepasan SPM/STAM/STPM dan umum (50 orang peserta lelaki sahaja)

Tarikh : 21 Disember 2013 – 4 Januari 2014 ( 2 minggu )

Tarikh tutup pendaftaran bila peserta telah mencukupi had iaitu 50 orang.

Tempah dan sahkan pendaftaran melalui telefon/ sms

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki berumur 16 tahun ke atas  (terhad 50 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

 

Tarikh & Masa Daftar Diri

21 Disember 2013  (Sabtu) jam 2.30  – 3.15 petang

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan Hidayah Sibyan (Tauhid, Feqah dan Tasawwuf)
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Kitab adab dalam Islam
  • Kelas al-Quran & Tajwid
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (kain pelikat, baju Melayu atau kemaja lengan panjang)  & pakaian solat (diwajibkan bawa jubah dan serban), bantal , selimut, cadar tilam , gayung, baldi, alat tulis, salinan fotostat kad pengenalan dan gambar berukuran passport sekeping

Sila hubungi :

019- 9388902(Ust. Shairazi )

Blog : albakriah.wordpress.com

Facebook : albakriah

Web : www.al-bakriah.com.my

Advertisements

Khutbah Audio 74 – Islam DiNobat Hidup Berkat Negara Selamat

Islam DiNobat Hidup Berkat Negara Selamat

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  6 surah at-Tahrim :

ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan

            Kini kita berada di penghujung bulan November 2013 di mana sekarang merupakan musim cuti sekolah. Kita yang mempunyai anak cucu yang masih bersekolah wajib menggunakan ruang cuti ini untuk mengisi jadual anak cucu kita dengan suatu perkara yang berfaedah untuk dunia dan akhirat mereka terutama mendalami ilmu agama, mempelajari dan memahami al-Quran seterusnya mencintai serta menghidupkan sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan seharian. Malah digalakkan anak cucu kita bersukan seperti memanah bagi melahirkan generasi yang sentiasa dapat memberi tumpuan dalam tugasan dan gerak kerja yang dilakukan. Begitu juga sukan berkuda dalam membentuk fizikal dan mental yang kuat. Jangan biarkan masa cuti anak cucu kita tidak dirancang dengan aktiviti berfaedah sehingga mereka terlibat dengan aktiviti tidak sihat yang merugikan anak itu sendiri, keluarga, masyarakat seterusnya Negara. Jadikanlah rumah kita sebagai pusat tarbiah dalam melahirkan pemimpin ummah pada masa akan datang. Justeru, Sayyidina Umar al-Khottab pernah menyatakan : “Sewaktu bergaul di rumah, seorang bapa perlulah menyesuaikan diri sebagai anak-anak dengan beramah mesra dan berlemah lembut. Beginilah pergaulan yang seharusnya dilakukan bersama anak cucu di rumah di mana akan muncullah tokoh yang hebat dalam sebuah keluarga itu”.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 15 surah al-Ahqaf :

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ ﴿١٥

Maksudnya : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”. 

            Menyedari bagaimana peri pentingnya pendidikan yang tidak terhad di pusat pengajian, masjid, surau sahaja tetapi meliputi di rumah itu sendiri seterusnya di pejabat dan mana sahaja. Jangan biarkan umur kita sahaja bertambah dengan pengedaran hari berganti minggu, minggu bertukar bulan seterusnya bulan berganti tahun sedangkan amalan soleh tidak bertambah ketika dosa pula bertimbun.  Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal kejahatannya, maka hendaklah dia bersiap-siap ke neraka.”

Imam asy-Syafi’e ketika mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syarak lazim bagiku. Diantara aku dan dia ada Allah.”

           

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 56 surah an-Nisa’ :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا ﴿٥٦

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.        

Kejayaan kita bukan setakat memiliki harta bertimbun, pangkat tinggi menggunung atau pengikut dan keturunan berduyun sebaliknya kejayaan kita bergantung kepada kejayaan untuk kita sendiri seterusnya ahli keluarga kita berperangai dengan perangai ahli Syurga dan menjauhi perangai ahli Neraka. Seorang ulama’ pernah member nasihat kepada isterinya yang sedang menyusu anak mereka dengan katanya : “Wahai isteriku tercinta! Susuilah anak kita bukan sekadar kerana rasa sayang kepadanya kerana jika semata-mata sayang maka binatang pun berbuat demikin juga ketika menyusu anak mereka. Sebaliknya niatkan supaya sifat mentauhidkan Allah turut mengalir bersama susumu ke dalam diri anak kita”.

Ingatlah begitu banyak ayat al-Quran yang menerangkan kepada kita tentang betapa dahsyat dan peritnya seksaan ahli Neraka. Malah seorang ahli saintis Thailand telah mengkaji tentang sebab Allah menyatakan kulit manusia akan diganti dengan kulit baru sepanjang dibakar dalam Neraka sehingga menemui hasil kajian bagaimana kulit manusia terdiri daripada 3 lapisan di mana lapisan di atas sekali paling sakit merasai sesuatu yang menyakitkan termasuk api berbanding kulit lapisan dalam. Kajian ini membawa beliau untuk memeluk Islam. Oleh itu bersamalah kita menyelamatkan diri kita seterusnya ahli keluarga daripada Neraka.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  269 surah al-Baqarah :

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٢٦٩

Maksudnya : Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

            Kita sedar bagaimana ilmu agama begitu penting dalam membezakan antara hak dan batil, halal dan haram, pahala dan dosa. Proses pembelajaran ilmu agama terus berjalan selagi nyawa dikandung badan. Akibat jahil menyebabkan umat Islam mudah terjerumus dengan ajaran sesat serta aktiviti tidak sihat termasuk dadah, mencuri, pecah amanah, rasuah, mendedah aurat, tinggal solat dan sebagainya. Malah wujudnya umat Islam yang tidak yakin kepada system Islam termasuk hukum hudud akibat kejahilan yang menguasai diri. Oleh itu kita terus mendesak agar pemimpin segera menjadikan matapelajaran agama Islam sebagai subjek teras yang wajib lulus dalam semua peringkat peperiksaan serta memasukkan matapelajaran agama di semua fakulti di Universiti awam dan swasta dalam memperkasakan ilmu dan penghayatan Islam dalam kehidupan.

Kita tidak mahu hanya Bahasa Inggeris yang diutamakan demi mengejar kemajuan di mana dasar terbaru Bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib lulus SPM tahun 2016. Kita tidak mahu anak bangsa kita menjadi mangsa dari dasar ini sebagaimana kegagalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang akhirnya dimansuhkan berkuat kuasa 2012 yang mampu menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM40 juta setahun. Begitu juga perlantikan mentor bahasa Inggeris yang menelan belanja RM 270 juta setahun tetapi hasilnya begitu mengecewakan bila prestasi pelajar merosot. Kajian menunjukkan bagaimana tidak ada satu negara pun di dunia ini yang mencapai status negara maju kerana menggunakan bahasa luar dan meninggalkan bahasa ibunda. Lihat sahaja Jepun, Korea, Taiwan, China, Russia, German, Perancis dan banyak lagi negara telah begitu maju dalam pelbagai bidang teknologi tanpa perlu bergantung kepada bahasa Inggeris. Juga, tiada satu negara pun yang mencapai status negara maju kerana menggunakan bahasa kedua mereka sama ada Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol atau lainnya. Bahkan, berdasarkan kajian Pertubugan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB), jika sesebuah negara itu ingin maju, mereka hendaklah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran. Kita tidak mahu setiap dasar yang diluluskan menjadikan pelajar sebagai bahan ujikaji sedangkan dalam masa sama ada pihak yang mengaut keuntungan daripada setiap dasar yang dilaksanakan. Ibnu Khaldun pernah berkata bahawa sesuatu bangsa yang paling teruk dan tidak bermaruah ialah apabila bangsanya dijajah dan dia pula terpaksa menggunakan bahasa penjajah untuk maju.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Akibat jahil juga menyebabkan kita mudah ditipu dalam apa jua perkara. Antara contohnya alasan bodoh kenaikan harga minyak dan gula yang kadang-kadang jauh terlalu tinggi daripada Negara lain diterima bulat-bulat. Kini cuba dipasakkan dalam benak rakyat bahawa cukai GST yang bakal dilaksanakan merupakan suatu yang paling baik dan tidak membebankan rakyat. Antara prinsip-prinsip percukaian islam adalah: [1] Cukai hanya boleh diambil di saat kerajaan benar-benar berhadapan situasi yang sangat memerlukan iaitu kewangan negara tidak cukup menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan negara. [2] Disyaratkan pula keperluan kewangan itu berlaku bukan kerana ketirisan dalam perbelanjaan atau pemborosan. [3] Apabila cukai dikenakan ia tidak boleh meliputi seluruh masyarakat tanpa membezakan kaya atau miskin. Kaedah cukai ialah diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan untuk kegunaan orang-orang miskin.

Antara ciri penting negara Islam ialah merupakan negara hidayah bukan negara jibayah (cukai).  Kita dapat lihat pada zaman Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah beliau berjaya memulihkan krisis kewangan negara dalam masa 2 tahun sahaja. Kesedaran rakyat yang kaya dibangkitkan sehingga mereka berlumba-lumba membayar zakat dan cukai negara.  Berbeza hari ini rakyat mencari jalan dan alasan meloloskan diri daripada cukai negara sehinggakan kerajaan kerugian cukai berjuta-juta ringgit. Jadikan Islam sebagai cara hidup barulah kita bahagia dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Pondok Intensif 2013 Sesi 2 (Sempena cuti sekolah/IPT)

Istimewa Musim Cuti Sekolah/IPT

 

Sesi Kedua

Tarikh : 14 – 23 Disember 2013

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan 120 orang

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki dan perempuan berumur 11 – 24 tahun (terhad 120 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

Tarikh & Masa Lapor Diri (setelah sah daftar melalui email atau sms)

Sesi kedua : 14 Disember 2013 (Sabtu) jam 2.30 – 3.15 ptg

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Kitab Pelita Penuntut
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Pengajian Fardhu ain
  • Program berkumpulan
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
  • Latihan khutbah dan azan
  • Cungkil bakat nasyid, ceramah, marhaban
  • Sukan

Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (wajib jubah dan tudung labuh bagi perempuan) & pakaian solat (wajib jubah dan serban bagi lelaki), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / Tuan Hj Mohamad Daud 0199815656 / Us Nasharudin 0199859887

Facebook : epondok

Blog : epondok.wordpress.com

Khutbah Audio 73 – Hijrah Julang Islam Hancurkan Jahiliah

Hijrah Julang Islam Hancurkan Jahiliah

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  5 surah Ibrahim :

وَلَقَدْ أَرْ‌سَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِ‌جْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ‌ وَذَكِّرْ‌هُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ‌ شَكُورٍ‌

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. “Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur

            Kita baru sahaja menyambut ketibaan bulan Muharram tahun 1435H yang mengetuk hati kita untuk sama-sama menghayati erti hijrah dalam kehidupan sesuai denga ianya merupakan bulan pertama dalam Taqwim Hijrah. Sewajarnya setiap kali meninggalkan tahun lama dan masuk kepada tahun baru maka kita perlu melakukan proses hijrah terutama pada diri kita sendiri ke arah tunduk patuh kepada segala arahan Allah dan menjauhi segala laranganNya dalam setiap aspek kehidupan. Kita wajib hijrah dengan meninggalkan segala perkara yang merugikan agama dan umat serta melakukan ketaatan maksimum kepada Allah SWT.

Kita juga digalakkan untuk banyak melakukan amalan puasa sunat terutama pada hari Kesembilan dan Kesepuluh daripada bulan Muharram atau hari ‘Asyura’

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ e: .. وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ”  – رواه مسلم

Maksudnya : … Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :

وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya

            Ketika menyingkap berkenaan matlamat hijrah nabi-nabi maka kita dapati antara 3 sebab  berlangsungnya hijrah iaitu [1] untuk menyeru manusia mentauhidkan Allah, [2] bagi mempertahankan keimanan pengikut daripada diganggu dan [3] membuka penempatan baru untuk kebaikan semua. Nabi Ibrahim berhijrah meninggalkan tanah kelahirannya kerana enggan tunduk kepada Raja Namrud yang menolak agama tauhid. Nabi Ibrahim juga berhijrah membawa isterinya Siti Hajar dan puteranya Nabi Ismail menuju ke sebuah lembah kering kontang untuk membuka penempatan baru, iaitu Makkah yang akhirnya menjadi pusat ibadat hingga kini. Nabi Musa pula berhijrah meninggalkan Mesir menuju ke Syam bersama pengikut setia bagi mengelak kekejaman dilakukan Firaun yang mengaku dirinya tuhan dan di sana diberi negeri untuk menguatkan lagi penyebaran Islam. Nabi Nuh pula berhijrah atas perintah Allah menaiki kapal ketika banjir besar bertujuan menyelamatkan sejumlah pengikut setia daripada terus diejek dan diganggu penduduk yang menolak seruan tauhid.

Penghijrahan nabi meninggalkan sesuatu tempat menuju tempat lain bukan bermakna mengaku kalah atau meninggalkan amanah menyebarkan agama tauhid. Hijrah satu strategi mendapat kekuatan dan keselamatan. Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah menjadi titik permulaan kejayaan umat Islam di mana Islam dapat disebarkan secara terbuka dan mendapat sambutan serta dapat melaksanakan system Islam yang lengkap dengan adanya kuasa pemerintahan. Menyedari Makkah tidak sesuai diteruskan dakwah, lalu Nabi Muhammad SAW mencari tempat lain difikirkan lebih selamat. Tempat pertama dipilih ialah Taif. Namun, keadaan tidak memihak kepada Rasulullah SAW. Tempat lain pernah dijadikan tempat hijrah ialah Habsyah. Walaupun mendapat layanan baik Raja Habsyah, terdapat beberapa keadaan menyebabkan Habsyah tidak menjadi destinasi hijrah Rasulullah SAW walau pun ramai sahabat terus tinggal di Habsyah untuk tempoh lama. Penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah tidak dilakukan secara terburu-buru sebaliknya Rasulullah SAW mengkaji latar belakang atau kesesuaian terlebih dahulu sebelum berhijrah. Rasulullah SAW menguji penerimaan penduduk Madinah dengan berdakwah kepada mereka yang datang ke Makkah mengerjakan haji sehingga berlangsungnya Perjanjian Aqabah yang menjadi perintis kepada hijrah. Tindakan bijak ini mesti diteladani dalam memperkasakan Islam agar umat Islam maju ke depan bukan mundur ke belakang, menjadi bangsa berdaulat bukan mangsa yang diinjak-injak oleh musuh Islam, menjadi model ikutan bukan ‘pak turut’ yang merugikan

           

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

عن عائشة رضي الله عنها قال: قال رسول الله e: (لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِوَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا) متفق عليه

Maksudnya: Tidak ada hijrah lagi setelah dibukanya kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad (berjuang di jalan Allah) dan niat untuk selalu berbuat baik. Oleh kerana itu, jika kalian diseru untuk berjuang, maka berangkatlah!”

                Sempena berada pada tahun baru hijrah marilah kita sama-sama menghayati roh hijrah untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam yang sudah lama hilang. Umat Islam mestilah memahatkan suatu kebanggaan dalam jiwa masing-masing bahawa Islam agama paling hebat. Sifat segan silu hendaklah dikikis daripada dada umat Islam bagi menzahirkan keindahan dan keagungan Islam dalam setiap aspek kehidupan samada politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Ketika masalah kerapuhan aqidah, kerosakan akhlak, peningkatan masalah jenayah yang berlaku dalam Negara diikuti dengan suasana keselamatan yang tergugat terutama kes pengawal keselamatan sendiri yang terlibat dengan jenayah bunuh dan rompak ditambah pula ramai warga asing yang diupah menjadi pengawal keselamatan. Kita harap jangan pula ada kes polis dan tentera pun daripada kalangan warga asing selepas ini.

            Oleh itu sudah sampai masanya Negara berhijrah kepada system perundangan Islam sebagaimana tindakan berani Kerajaan Brunei mewartakan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah yang merangkumi pelaksanaan hukum hudud mulai 22 Oktober 2013, dan akan mula berkuat kuasa enam bulan selepasnya secara berfasa. Undang-undang itu meliputi hukuman termasuk merejam hingga mati kerana muhsan yang berzina, memotong tangan kerana mencuri dan sebat kerana pelbagai kesalahan seperti pengguguran kandungan hingga kepada meminum arak. Kita menyokong penuh ucapan Sultan Brunei semasa mewartakan hukuman Islam ini dengan kata baginda : Undang-Undang Allah disyari’atkan bukanlah untuk kepentingan Allah sendiri kerana Allah sama sekali tidak mempunyai apa-apa hajat, kerana Dia sendiri adalah Tuhan yang Maha Sempurna. Yang berhajat itu ialah kita para hamba, termasuk hajat untuk dapat menikmati keadilan dan kesejahteraan.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

            Model Daulah yang agung yang dibina oleh nabi Muhammad s.a.w berdiri atas 3 asas utama iaitu [1] pembinaan masjid bagi membina ikatan manusia dengan Allah yang menjadi kekuatan utama kepada kesejahteraan dan keberkatan Negara. Apabila bermula daripada pemimpin hingga rakyat jelata takut kepada Allah maka masalah kezaliman, penindasan dapat dihakiskan. Kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang hanya mahu rakyat berjimat cermat sedangkan sikap boros dan membazir seperti kes ketirisan akibat pecah amanah, rasuah mengakibatkan RM6.5 bilion wang rakyat lebur tahun lepas melebihi subsidi minyak dan gula yang ditarik. Itu belum dikira dengan kos Kompleks Perdana Menteri  lebih RM2.2 juta untuk elektrik manakala lebih RM300,000 dibelanjakan untuk bil air iaitu RM 8 500 sehari untuk tahun lepas sahaja. Begitu juga penggunaan pesawat persendirian menelan kos RM14.95 juta untuk bahan api dan RM160.08 juta untuk penyelenggaraan dengan kos hampir RM 500 ribu untuk satu penerbangan

[2] Nabi s.a.w membina ikatan persaudaraan yang kuat antara golongan Muhajirin yang berhijrah dengan golongan Ansar yang merupakan anak watan Madinah sehingga hubungan kemanusiaan atas dasar iman ini banyak membantu membina Negara yang kuat. Oleh itu kita pada hari mestilah menghayati semangat persaudaraan Islam yang kuat dalam memastikan penjajahan Palestin dapat ditamatkan, pembunuhan di Syria dapat dihentikan, penderitaan bangsa Roghiya di Myanmar dapat pembelaan, nasib umat Islam yang tertindas di seluruh dunia dapat perhatian. Musuh Islam melalui dasar pecah perintah yang menjadi dasar penjajahan ke atas bumi Umat Islam telah menanam sikap Assobiyah atau kebangsaan sempit yang menyebabkan ramai umat Islam merasakan bagaimana nasib malang yang menimpa saudara seagama di Negara yang lain adalah masalah Negara masing-masing bukan masalah kita bersama. Buangkan sikap yang buruk ini untuk kembali menjadikan umat Islam seperti batu bata yang tersusun rapi dan ibarat sebatang tubuh di mana satu anggota merasa sakit menyebabkan anggota lain turut menderita

قال الرسول e  : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya

            Asas ke-[3] yang dibina selepas hijrah ialah membentuk Piagam Madinah yang merupakan asas pembinaan Negara yang pertama di dunia dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman di bawah satu system yang saksama. Keadilan dan kehebatan system Islam bukan sahaja dapat dirasai oleh umat Islam malah orang bukan Islam. Oleh itu gunakanlah peluang ketika orang Islam masih mempunyai kuasa poltik dalam Negara untuk memperkasakan system Islam. Kita tidak mahu Negara tunduk kepada suara seperti atas nama hak asasi manusia supaya dihalakan budaya songsang Lesbian, homoseksualiti (LGBT) , murtad, pemansuhan jenayah syariah. Kita tidak akan menjemput bala Allah dengan menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah. Bersama berhijrah dalam menjulang system Islam. Bersama berhijrah daripada terus dijajah oleh system ciptaan manusia. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Hijrah Martabat Islam Tolak Jahiliah

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :

وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya

Kita baru sahaja menyambut tahun baru 1434H di mana ia sepatutnya memberi makna yang besar dalam mengorak langkah kepada kehidupan yang lebih baik berasaskan Islam. Malangnya jika sambutan tahun baru hijrah terus disambut hambar tidak sebagaimana tahun baru Masihi. Kita sepatutnya berasa sedih bila penggunaan Taqwim Hijrah yang hanya untuk melihat waktu solat, tarikh puasa, hari raya dan beberapa perkara sahaja berbanding penggunaan Kalendar Masihi yang lebih menyeluruh. Oleh itu sempena tahun baru Hijrah marilah kita sama-sama dalam memperkasakan penggunaan Taqwim Hijrah agar umat Islam lebih dekat dengan agama dalam setiap perkara. Marilah kita berhijrah daripada penjajahan ini untuk mengembalikan kegemilangan Islam. Sempena berada pada bulan Muharram juga marilah kita sama-sama meningkat amalan soleh disamping memohon keampunan daripada Allah di mana kita digalakkan untuk banyak melakukan amalan puasa sunat terutama pada hari Kesembilan atau Tasua’ dan Kesepuluh atau hari ‘Asyura’ daripada bulan Muharram

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ”  – رواه مسلم

Maksudnya : Puasa 3 dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 24-25 surah As-Sajadah :

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِ‌نَا لَمَّا صَبَرُ‌وا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ ﴿٢٤﴾ إِنَّ رَ‌بَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Maksudnya : Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. (Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

Puasa hari ‘Asyura’ mengingatkan kita tentang suatu peristiwa besar di mana nabi Musa a.s bersama bani Israel diselamatkan daripada dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya. Begitu juga setiap kali berada pada awal tahun baru hijrah maka peristiwa hijrah nabi Muhammad s.a.w dan penubuhan daulah Islamiah di bumi Madinah sentiasa diperkatakan. 2 peristiwa besar yang berlaku kepada 2 orang nabi pada 2 zaman yang berbeza dan berdepan dengan 2 kepimpinan jahiliah yang berlainan telah banyak mengajar kita tentang betapa pentingnya kepimpinan dalam mencorak hidup samada dengan cara Islam yang diredhai oleh Allah atau cara jahiliah yang dimurkai oleh Allah. Cara kepimpinan yang pertama di bawah pimpinan nabi Musa a.s dan nabi Muhammad s.a.w ialah kepimpinan yang berteraskan kepada wahyu Allah di mana ia bukan sahaja menunjuk kepada umat manusia bagaimana menguruskan dunia berdasarkan agama malah menitikberatkan tentang kehidupan dunia berkait rapat dengan akhirat agar kepimpinan tidak tergelincir daripada garisan yang telah ditetapkan oleh syarak. Kepimpinan yang adil dan hebat ini memerlukan kepada kesabaran dan keyakinan yang tinggi dalam mencapainya seterusnya mempertahankannya kerana ia dibenci oleh manusia yang dihasut oleh hawa nafsu dan syaitan. Kepimpinan ini bukan sahaja memberi keamanan kepada rakyat jelata di dunia malah sentiasa bersungguh dalam menyelamatkan umat daripada azab bakaran api neraka di akhirat nanti.

Kepimpinan Islam akan sentiasa dicabar dan dimusuhi oleh manusia yang bertuhankan hawa nafsu dan syaitan yang mencorak cara pemerintahan kedua iaitu cara jahiliah seperti Firaun, Abu Lahab dan manusia bongkak yang lain. Kepimpinan jahiliah ini sepastinya hanya menjadi dunia sebagai matlamat utama dengan menolak keimanan terhadap balasan akhirat sehingga tidak mempedulikan lagi masalah sesat, zalim, dosa, khianat dalam kamus pemerintahan mereka. Inilah yang digambarkan oleh Allah dalam ayat 41-42 surah al-Qasas :

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ‌ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنصَرُ‌ونَ ﴿٤١﴾ وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُم مِّنَ الْمَقْبُوحِينَ

Maksudnya : Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

Ketika menyoroti tentang peristiwa hijrah nabi yang bersejarah maka ia bukan berlaku secara spontan sebaliknya penuh perancangan termasuk didahului dengan Bai’ah Aqabah pertama dan kedua bagi menjamin hijrah kepada berdirinya Daulah bukan setakat mendapat perlindungan daripada penindasan. Seterusnya ia menuntut kepada pengorbanan dan keyakinan yang tinggi di mana kita lihat bagaimana Sayyidina Abu Bakar begitu gembira bila dia dipilih untuk menemani nabi Muhammad s.a.w untuk berhijrah. Begitu juga Sayyidina Ali yang masih kecil sanggup mati untuk duduk di bawah selimut nabi dalam rumah yang sedang dikepung oleh pembunuh. Tidak ketinggalan peranan besar yang dimainkan oleh anak Sayyidina Abu Bakar iaitu Abdullah dan Asma’ dalam menjayakan misi hijrah. Tidak lupa pengorbanan para sahabat yang lain seperti Suhaib ar-Rumi dan Abdul Rahman bin ‘Auf yang sanggup meninggalkan seluruh kekayaan dan kemewahan asalkan dapat berhijrah bersama nabi. Kisah-kisah manusia hebat ini wajib dicontohi dan diteladani di mana dalam memperjuangkan Islam perlu melibatkan semua peringkat samada tua dan muda, miskin dan kaya, lelaki dan perempuan, berpangkat atau rakyat biasa

Proses hijrah kepimpinan dalam Negara tidak akan berlaku tanpa kesedaran dan pengorbanan. Musuh-musuh Islam sentiasa berusaha dalam menjauhkan umat Islam daripada al-Quran dan cara hidup Islam serta mencanangkan bagaimana pemerintahan bukan urusan agama. Akhirnya lahir golongan kaya yang kedekut untuk membelanjakan harta mereka untuk memperjuangkan Islam, ramai rakyat miskin pula lebih terpesona dengan habuan ratusan ringgit sehingga lupa kepada pecah amanah terhadap wang rakyat yang bukan sahaja ratusan juta malah billion ringgit, anak-anak muda hanyut dalam hiburan melampau, najis arak dan dadah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

قال الرسول  : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya

            Sempena berada pada tahun baru hijrah marilah kita sama-sama berhijrah daripada system jahiliah kepada melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan samada politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kita juga wajib menegur dan menutup mulut umat Islam sendiri dan orang bukan Islam daripada memperlekeh system Islam termasuk Hudud. Ambillah pengajaran daripada Allah antaranya taufan Sandy yang melanda New York, Amerika Syarikat yang menyaksikan banyak nyawa terkorban, banyak bangunan musnah yang dianggar kerugian lebih 30 bilion dalam masa sekejap sahaja di mana musibah ini datang lebih kurang 2 bulan selepas tersiarnya filem pendek yang menghina nabi Muhammad s.a.w di Amerika Syarikat. Kita tidak mahu bala yang dahsyat ini melanda Negara kita akibat membiarkan manusia bacul untuk menghina system Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Sempena berada pada tahun baru hijrah pada hari Jumaat yang mulia dan dalam rumah Allah yang mulia maka kami umat Islam bermaruah mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas yahudi Israel terhadap Gaza, Palestin buat sekian kalinya. Marilah kita sama-sama menadah tangan memohon kepada Allah agar menghancurkan musuh yang kejam ini. Ya Allah Tuhan yang Menurunkan al-Quran, Tuhan yang Menggerakkan awan, Tuhan yang menewaskan Tentera Ahzab menangkan kami dan kalahkan yahudi durjana. Hancurkan kesatuan mereka, gagalkan serangan mereka, patahkan perancangan jahat mereka, tumbangkan musuh Islam sehingga menyembam bumi buat selama-lamanya ya Allah.

Firman Allah dalam ayat 5-6 surah al-Faatir :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ وَعْدَ اللَّـهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّ‌نَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۖ وَلَا يَغُرَّ‌نَّكُم بِاللَّـهِ الْغَرُ‌ورُ‌ ﴿٥﴾ إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ‌

Maksudnya : Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka). (5) Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ