• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 2,008,488 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 42,867 other followers

22. Syarat Penubuhan Daulah Islamiah

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُاللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ…أَمَّا بَعْدُ ….

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَحَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Sayamenyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalianagarkitasama-samameningkatkanketaqwaankitakepadaAllahdenganmelakukansegalasuruhanNyadanmenjauhisegalayangditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat74 surah al-Anfal :

والذين ءامنوا وهاجروا وجــهدوا فى سبيل الله والذين ءاووا ونصرواأولئك هم امؤمنون حقالهم مغفرة ورزق كريم

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Beberapa hari lagi kita pasti akan meninggalkan bulan Zulhijjah bagi menyambut ketibaan tahun baru Hijrah 1422. Berlalunya tahun demi tahun bersama meningkatnya usia kita disamping bertambah dekatnya kita kepada hari mati. Oleh itu hitungkanlah keadaan diri dan amalan kita samada bertambah baik atau sebaliknya sebelum datangnya Izrail untuk menjemput kita bertemu dengan Allah. Beradanya kita pada penghujung tahun 1421 juga mengingatkan kita kepada pelbagai peristiwa samada manis atau pedih yang berlaku ke atas umat Islam seluruh dunia. Semoga kedatangan tahun baru hijrah nanti akan memberi sinar kebahagian kepada seluruh umat Islam.

Pada hari ini kita akan menyentuh mengenai keadaan Yathrib atau Madinah sebelum berlangsungnya hijraturrasul s.a.w. Penduduk Madinah terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama di mana kaum yang paling besar ialah Yahudi dan Arab.Kaum Yahudi memiliki beberapa kubu dan benteng serta kampung di mana mereka hidup berasingan dan berkelompok yang menyebabkan mereka tidak mampu mendirikan pemerintahan Yahudi sebaliknya terpaksa membayar ufti setiap tahun kepada ketua-ketua beberapa qabilan Arab sebagai perlindungan daripada pencerobohan Arab badwi. Bangsa Yahudi menyifatkan diri mereka sebagai suatu bangsa yang ahli dalam pengetahuan agama dan syariat di mana mereka mempunyai pusat pengajian sendiri untuk perkara tersebut disamping belajar mengenai sejarah lampau mereka khususnya berkenaan rasul dan nabi mereka. Mereka juga mempunyai tempat khas untuk beribadat di mana disitulah mereka berkumpul untuk berbincang mengenai agama dan keduniaan mereka. Mereka juga mempunyai perundangan dan tatacara hidup tersendiri yang sebahagiannya diambil daripada kitab suci mereka dan sebahagian lagi dibuat oleh pendeta mereka.

Hasil pendapatan mereka yang terbesar ialah mengambil keuntungan daripada gadaian barang dan riba. Keadaan Madinah sebagai kawasan pertanian memberi peluang kepada mereka bergiat dengan riba terutama daripada petani yang mendapatkan wang sementara menunggu musim menuai. Penggadaian bukan sahaja melibatkan wang atau mata benda sahaja tetapi wanita dan anak-anak juga dijadikan cagaran gadaian.Kaum Yahudi dapat menguasai ekonomi Madinah dan seterusnya dengan ekonomi yang kukuh mereka menguasai pasar-pasar tanpa bertimbang rasa, mereka menyorok barangan keperluan untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda sehingga mereka dibenci oleh masyarakat Arab setempat. Demi kepentingan ekonomi mereka membuat hubungan dengan kaum Aus dan Khazraj dengan mereka melaga-lagakan antara keduanya yang menyebabkan bangsa Arab lemah dan kaum Yahudi terus menguasai ekonomi Madinah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Manakala suku kaum Aus dan Khazraj merupakan penduduk berbangsa Arab yang mendiami Yathrib kemudian daripada kaum Yahudi. Kaum Aus tinggal di selatan dan timur iaitu bahagian tinggi Yathrib yang merupakan kawasan pertanian yang subur manakala Kaum Khazraj berada di tengah sebelah utara iaitu bahagian rendah bandar yang merupakan kawasan kurang subur. Bilangan mereka mengikut perkiraan yang berdasarkan penyertaan mereka dalam peperangan selepas hijrah iaitu semasa penaklukan Mekah ialah 4000 orang. Berpecahan kaum yahudi menyebabkan mereka tidak mampu menyaingi bangsa Arab terutama ada daripada mereka yang bersama kaum Aus dan ada pula bersama kaum Khazraj. Namun begitu bangsa Arab suku Aus dan Khazraj turut berperang sesama mereka di mana perang Samir merupakan peperangan pertama dan diakhiri dengan peperangan Bu’ath lima tahun sebelum hijrah. Kaum Yahudilah yang melaga-lagakan mereka dan mendesak agar mereka berpecah dengan menanamkan semangat dengki. Akhirnya mereka tidak mampu menghadapi kaum Yahudi.Namun demikian, perancangan yahudi disedari oleh bangsa Arab di mana mereka menggelarkan kaum Yahudi sebagai ‘musang’.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Antara sebab kaum Aus dan Khazraj mudah menerima Islam kerana perkara berikut :

Pertama : Suku Aus dan Khazraj dikurniakan Allah dengan fitrah lemah lembut dan tidak terlalu angkuh, tidak keterlaluan menolak kebenaran. Sifat ini adalah pusaka turun temurun daripada nenek moyang mereka yang berasal dari Yaman. Ini pernah dibayangkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang bermaksud :

“Sudah tiba kepada kamu penduduk Yaman yang berhati dan berperasaan amat lembut”

Kedua : Suku Aus dan Khazraj telah kehilangan tenaga kerana peperangan sesama mereka terutama dalam peperangan terakhir antara mereka iaitu peperangan Bu’ath. Keadaan ini mereka telah gambarkan dalam ucapan mereka kepada Rasulullah s.a.w:

“ Sesungguhnya telah kami tinggalkan kaum kami, suatu kaum yang paling ketat permusuhan sesama sendiri. Semoga Allah menyatukan mereka melalui engkau Wahai Rasulullah!. Sekiranya mereka disatukan kembali oleh Allah maka tiada orang yang lebih mulia daripada engkau Wahai Rasulullah!”.

Ketiga: Suku Aus dan Khazraj selalu mendengar orang-orang Yahudi berbicara tentang kenabian dan para nabi dan mereka juga mendengan orang Yahudi membaca lembaran Taurat dan tafsirannya malah orang Yahudi sentiasa mengugut mereka dengan mengatakan : “ Sesungguhnya akan dibangkitkan seorang nabi pada akhir zaman nanti. Kami akan memusnahkan kamu bersama nabi itu. Kamu akan musnah sama seperti musnahnya kaum ‘Aad dan Iram”.

Perkara ini agak berbeza dengan kaum Quraisy Mekah dan seluruh bangsa Arab yang telah terputus sekian lama daripada kenabian dan para nabi yang menyebabkan mereka tidak tahu tentang kenabian dan para nabi. Mereka hanya menumpukan kepada berhala dan mereka juga terpencil daripada umat-umat yang ada hubungan dengan para nabi dan mempunyai kitab samawi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Secara ringkasnya selepas berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj maka nabi mula menyebarkan dakwah melalui pertemuan dengan qabilah-qabilah yang datang ke Mekah. Ketika tibanya bulan Zulhijjah iaitu musim haji, Rasulullah s.a.w seperti biasa keluar bertemu dengan qabilah yang datang menunaikan haji. Semasa berada di ‘Aqabah, baginda telah bertemu dengan satu rombongan daripada suku Khazraj dari Yathrib. Rasulullah s.a.w memperkenal dan menerangkan kepada mereka tentang Islam dan diperdengarkan al-Quran. Suku Khazraj yang merupakan jiran kepada kaum Yahudi di Madinah sebelum ini sentiasa mendengar orang Yahudi memberitahu bahawa sudah hampir masanya dibangkitkan seorang nabi. Lalu di antara mereka berkata : “ Wahai kaumku sekalian! Ketahuilah bahawa Demi Allah inilah nabi yang telah dijanjikan oleh kaum Yahudi kepadakamu maka kita harus biarkan mereka mendahului kita mendapat peluang ini”. Lantas mereka menyahut dan menerima seruan nabi s.a.w itu di mana bilangan mereka ialah 7 orang daripada suku Khazraj.

Apabila mereka pulang ke Madinah dalam keadaan telah beriman dan memeluk Islam lalu mereka memberitahu tentang Rasulullah s.a.w kepada saudara mara yang lain dan mengajak mereka kepada Islam. Maka tersebarlah Islam di kalangan mereka sehingga tiada rumah orang Ansar yang tidak bercakap tentang Rasulullah s.a.w. Begitulah dia penerimaan awal kepada Islam dan keadilannya sebelum berlangsungnya 2 bai’ah Aqabah atau perjanjian antara wakil warga Madinah dengan Rasulullah s.a.w di ‘Aqabah. 2 bai’ah atau perjanjian yang dibuat ini menjadi suatu perkara yang penting sebelum terdirinya negara Islam pertama di Madinah.

Pada tahun 621 M iaitu setahun selepas peristiwa pengislaman 7 orangdaripada suku Khazraj tersebut maka telah datang 12 orang dari Yathrib daripada suku Aus dan Khazraj bagi menunaikan haji dan juga mengadakan pertemuan rahsia dengan Rasulullah s.a.w. di ‘Aqabah. Bai’ah ini dikenali sebagai Bai’ah ‘AqabahPertama atau Bai’ah an-Nisa’ memandangkan tiada penekanan terhadap masalah peperangan dan jihad dalam perjanjian ini sebagaimana yang biasa dilakukan terhadap wanita ketika berbai’ah.

Ubadah bin as-Somit telah memberitahu tentang perjanjian ini di mana katanya :Sesungguhnya kami berjumlah 12 orang lelaki maka Rasulullah s.a.w berkata kepada kepada kami:” Marilah kamu semua untuk memberi bai’ah kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak mengengkariku pada perkara kebaikan. Sesiapa di kalangan kamu yang menepati bai’ah ini maka Allah akan mengganjarinya dan sesiapa yang melanggarnya dan Allah membalasnya di dunia maka ia merupakan kaffarah kepadanya. Sesiapa yang melanggarinya dan Allah menutupnya maka urusannya terserah kepada Allah samada Dia membalasnya di akhirat atau pun memaafkannya”. Ubadah bin as-Somit menambah lagi bahawa selepas itu mereka semua memberi bai’ah kepada Rasululullah s.a.w.

Sebelum merekabertolak pulang ke Madinah, Rasulullah s.a.w telah mengirim bersama mereka Mus’aib bin ‘Umair bagi mengajar al-Quran dan menerangkan tentang Islam di nama beliau dikenali sebagai Muqri’ ertinya pembaca al-Quran. Ketika berada di Madinah beliau tinggal bersama dengan Sa’ad bin Zararah. Inilah usaha dan suasana sambutan awal kepada penerimaan Islam oleh penduduk Madinah hasil kegigihan dan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Bai’ah Aqabah kedua terjadi pada tempat yang sama pada malam 12 Zulhijjah tahun 13 kenabian juga dalam keadaan rahsia. Bilangan wakil penduduk Madinah terdiri daripada 73 orang lelaki dan 2 perempuan yang diketuai oleh Al-Barra’ bin Makrur. Ucapan Bai’ah mereka hampir sama dengan yang pertama tetapi ada tambahan dalam masalah jihad dan peperangan. Ia turut dihadiri oleh bapa saudara baginda Abbas bin Abdul Muttalib. Dalam bai’ah ini kaum Khazraj memohon agar nabi s.a.w rela berhijrah ke Madinah di mana mereka sanggup menjaga keselamatan baginda sebagaimana mereka menjaga keluarga sendiri.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Dan supaya kamu sekalian akan membantuku dan mejaga keselamatanku ketika berhijrah ke sana nanti sebagaimana kamu menjaga diri dan keluargamu dan bagi kamu balasan Syurga daripada Allah”

Bai’ah ini yang juga dipanggil Bai’ah Aqabah Kubra ditutup dengan doa yang diucapkan oleh Abbas bin AbdulMuttalib yang mana antara kandungannya ialah memohon kepada Allah tentang keselamatan Rasulullah s.a.w dan kesungguhan janji daripada orang-orang Yathrib itu. Ini merupakan kejayaan besar yang membuka dan memudahkan jalan dakwah dan seterusnya tertegak Daulah Islamiah yangpertama di Madinah.

Firman Allah dalam ayat 218 surah al-Baqarah :

إن الذين ءامنوا والذين هاجروا وجــهدوا فى سبيل الله أولئك يرجون رحمت اللهوالله غفور رحيم

Maksudnya : Sesungguhnya mereka yang beriman dan mereka yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah maka mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

152. LIMA LANGKAH BINA DAULAH

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُاللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ…أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَحَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Sayamenyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalianagarkitasama-samameningkatkanketaqwaankitakepadaAllahdenganmelakukansegalasuruhanNyadanmenjauhisegalayangditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat40 surah at-Taubah :

إلا تنصروه فقد نصره الله إذ أخرجه الذين كفروا ثانى اثنين إذ هما فى الغار إذ يقول لصــحبه لاتحزن إن الله معنافأنزل الله سكينته عليه وأيده بجنود لم تروها وجعل كلمة الذين كفروا السفلى وكلمة الله هى العليا والله عزيز حكيم

Maksudnya : Jika kamu tidak menolong nabi Muhammad s.a.w maka sesungguhnya Allah S.W.Ttelah menolongnya ketika orang-orang kafir mengeluarkannya dari Mekah. Sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika kedua-duanya berada di dalam gua di waktu dia berkata kepada sahabatnya : “ Janganlah engkau berdukacita sesungguhnya Allah S.W.Tbersama dengan kita”. Maka Allah S.W.T menurunkan ketenangan kepada nabi Muhammad s.a.w dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan Allah S.W.T menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah dan kalimah Allah S.W.Titulah yang tertinggi. Allah S.W.T Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana

Tahun 1425 Hijrah baru sahaja berlalu meninggalkan kita bersama dengan pelbagai catatan sejarah dan peristiwa yang mampu dijadikan pengajaran penting terutama ke arah melahirkan diri kita sebagai umat yang terbaik yang tidak dipatuk di tempat yang sama sebanyak dua kali disamping mampu membina diri kita sebagai insan yang sentiasa melakukan hijrah ke arah terbaik di mana hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Kita baru sahaja menyambut tahun baru 1426 Hijrah yang semestinya dihayati dengan sebaiknya bermula dengan azam diikuti dengan tindakan yang berperancangan ke arah menjadi insan yang bertaqwa dan rapat hubungannya dengan Allah S.W.T sehingga mampu menjadi umat yang beroleh kejayaan di dunia dan kebahagian di akhirat. Sambutan kepada kehadiran tahun baru hijrah tidaklah sehebat menyambut tahun baru Masihi sehingga kebanyakan umat Islam sendiri tidak merasai keistimewaan kepada taqwim hijrah akibat terlalu biasa dengan kalendar masihi dalam kegunaan seharian termasuk ketika menyambut hari lahir. Inilah antara kesan penjajahan yang terus bersemadi dalam diri umat Islam sehingga sukar untuk dikikis.

Ketika menyambut kedatangan tahun baru hijrah maka kita tidak lupa untuk mengimbas kembali kepada sejarah bermulanya penggunaan taqwim hijrah di mana ia diperkenalkan oleh Sayyidina Umar al-Khattob pada tahun 17 Hijrah bersamaan 638 Masihi. Ia mula ditimbulkan setelah surat yang dihantar oleh Sayyidina Umar selaku khalifah pada masa itu kepada Abu Musa al-Asy’ari di Basrah yang tertulis hanya bulan Sya’aban tanpa tahun yang menimbulkan kekeliruan samada bulan Sya’aban yang sedang mereka berada atau Sya’aban yang telah lalu. Tanpa melengahkan masa maka Sayyidina Umar terus membuat suatu mesyuarat bagi memperkenalkan taqwim khas untuk kegunaan umat Islam di mana pelbagai pandangan dan cadangan telah dikemukakan antaranya taqwim dibina mengikut tarikh lahir nabi Muhammad s.a.w, tarikh turunnya wahyu, tarikh kenabian dan juga tarikh hijrah nabi. Setelah itu maka dibuat suatu kata sepakat supaya taqwim Islam dibina berdasarkan tarikh hijrah nabi Muhammad s.a.w agar umat Islam dapat mengambil iktibar dan pengajaran yang berguna daripada peristiwa Hijrah terutama dari segi peranan, tugas dan strategi dalam membina Daulah Islamiah yang gemilang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Hijrahnya nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah ke Madinah Munawwarah yang asalnya bernama Yathrib bukanlah suatu tindakan yang berlaku secara spontan dan bertujuan untuk lari daripada penindasan yang dilakukan oleh kuffar Quraisy terhadap baginda selama ini. Jika untuk lari daripada penindasan semata-mata nescaya nabi merupakan orang paling awal berhijrah ke Habsyah. Kita perlu faham bahawa peristiwa hijrah ini merupakan suatu tindakan yang berasaskan arahan Allah S.W.T yang dilaksanakan dengan perancangan yang rapi dalam mencapai matlamatnya yang tinggi iaitu mendirikan sebuah Daulah Islamiah yang mampu mengubah keadaan umat Islam daripada umat yang lemah menjadi gagah, umat tertindas kepada cergas, umat yang melarat kepada umat berdaulat. Melalui peristiwa hijrah yang bersejarah ini maka kita dapat mengambil 5 langkah penting yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat sehingga tertegaknya sebuah daulah yang berjaya bukan sahaja untuk menjaga rakyat Madinah malah mampu menguasai kuasa besar dunia pada masa itu terutama Rom Kristian dan Parsi Majusi. Bermula dari Madinah jugalah maka kekuatan dan kekuasaan pemerintahan Islam mampu menguasai dunia.

Langkah pertama ialah penerimaan serta tunduk patuh umat Islam terhadap seorang pemimpin yang terbaik dikalangan mereka itu Rasulullah s.a.w. Langkah kedua bergeraknya gerakan dakwah yang bermula secara sembunyi diikuti secara terang-terangan sehingga ia mendapat sambutan walau pun terpaksa menghadapi pelbagai tekanan dan cabaran daripada musuh Islam. Langkah ketiga ialah proses tarbiah dengan pelbagai persediaan telah didedahkan kepada umat yang telah memeluk Islam agar mereka tahu kewajipan yang mesti dilaksanakan serta bersedia menghadapi sebarang tentangan daripada musuh. Langkah keempat ialah usaha ke arah melahirkan lebih ramai pendokong Islam yang mampu memainkan peranan penting dalam usaha dakwah dan perjuangan Islam samada dari dalam Mekah atau luarnya terutama dengan berlangsungnya Bai’ah Aqabah pertama diikuti Bai’ah Aqabah kedua dengan penduduk Madinah. Janji taat setia tidak terhenti di Mina sahaja malah disusuli dengan penghantaran naqib dalam mengembangkan dakwah dan melaksanakan proses tarbiah kepada penduduk Madinah sehingga mereka lebih bersedia untuk menyambut ketibaan nabi dan mempertahankan baginda apabila tiba saat hijrah nanti. Langkah kelima ialah nabi Muhammad s.a.w menunggu arahan daripada Allah S.W.T tentang saat dan waktu yang sesuai untuk berhijrah di mana ini berlaku setelah penduduk Madinah telah benar-benar bersedia disamping umat Islam dari Mekah telah berhijrah terlebih dahulu ke Madinah. Nabi melaksanakan segala perancangan hijrah ini menggunakan kemampuan yang mampu diikuti oleh kita bukannya menggunakan kekuatan mukjizat sebagaimana Isra’ dan Mikraj. Ini semua bagi mengajar kita agar bersungguh dalam mengikut jejak langkah baginda sehingga berdirinya Daulah Islamiah yang gemilang bukannya mencari pelbagai alasan dan dalih untuk lari daripada menunaikan tanggungjawab dan amanah besar ini.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 114 surah al-Baqarah :

ومن أظلم ممن منع مساجد الله أن يذكر فيها اسمه وسعى فى خرابها ,أولئكما كان لهم أن يدخلوها إلا خائفين،لهم فى الدنيا خزيولهمفي الآخرة عذاب عظيم .

Maksudnya : Dan siapakah yang lebih zalim daripada mereka yang menyekat penggunaan masjid-masjid Allah S.W.T untuk menyebut nama Allah S.W.T dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu. Orang-orang demikian tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjiditu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah S.W.T. Bagi mereka kehinaan di dunia dan di akhirat nanti mereka akan mendapat siksa yang amat besar.

Dalam peristiwa hijrah ini juga kita dapat lihat bagaimana antara perkara penting yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w setelah tiba di Madinah ialah mendirikan masjid bukannya membentuk atau melatih pasukan tentera bagi menyekat kemaraan musuh. Ini menunjukkan kepada kita bahawa masjid merupakan tunjang kepada kehidupan seharian bukannya hanya sebagai tempat untuk beribadat semata-mata. Malah ketika kita dikejutkan dengan peristiwa gempa bumi dan tsunami baru-baru ini pun maka Allah menyelamatkan masjid-masjid sebagai isyarat yang jelas agar umat Islam kembali rapat dengan Allah terutama dengan menghidupkan masjid-masjid. Tanyalah diri kita tentang berapa kali dalam seminggu kita hadir ke masjid. Tidakkah kita merasa malu untuk bertanya kepada Allah tentang kemenangan dan kemuliaan jika kita sendiri liar dan jauh daripada masjid. Berhijrahlah kita kepada menghampiri diri kepada Allah terutama dengan menghidupkan masjid. Masyarakat perlu dididik agar merasa bimbang apabila semakin kurang orang ke masjid bukannya ditakutkan dengan tindakan tegas Jabatan Agama terhadap umat Islam yang mengunjungi kelab malam. Umat Islam sepatutnya merasa marah apabila peranan dan kebebasan masjid dikongkong bukannya diajar agar mempertikaikan perundangan yang melarang umat Islam ke kelab malam.

Firman Allah dalam ayat74 surah al-Anfal :

والذين ءامنوا وهاجروا وجــهدوا فى سبيل الله والذين ءاووا ونصرواأولئك هم المؤمنون حقالهم مغفرة ورزق كريم

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

142. SYAHID SAYYIDINA UTHMAN BIN ‘AFFAN

 

السلام عليكم ورحمة الله

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ……..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam  ayat 8 surah as-Sof:

يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم نوره ولو كره الكــفرون

Maksudnya : Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membenci.
 
 

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Sayyidina Uthman merupakan khalifah yang ketiga di mana beliau memerintah selama kurang 12 hari untuk mencukupi 12 tahun. Pemerintahannya berlangsung dengan aman sehinggalah apabila memasuki tahun ketujuh iaitu tahun 30 Hijrah maka bermulanya zaman fitnah. Kebanyakan fitnah ini dimainkan oleh golongan Khawarij dan pengikut Abdullah bin Saba’ iaitu seorang yahudi dari Yaman yang memeluk Islam tetapi berperanan dalam melawan Islam dari dalam di mana dia telah memainkan peranan dalam mencari pengaruh dengan cuba menguasai dan menghasut penduduk di 3 negeri utama iaitu Basrah dan Kufah di Iraq serta penduduk Mesir. Banyak fitnah dan pengkhianatan yang dilakukan dengan matlamat yang besar iaitu menghancurkan Islam itu sendiri daripada terus berkuasa walau pun mereka bergerak atas alasan untuk memastikan gabenor yang dilantik oleh Sayyidina Uthman mesti berlaku adil. Beberapa pertukaran gabenor selari dengan kehendak penduduk terpaksa dilakukan oleh Sayyidina Uthman hasil desakan penduduk tempatan yang termakan dengan racun fitnah yang dilakukan oleh Ibnu Saba’ itu. Sayyidina Uthman melakukannya bukanlah kerana beliau takut atau terlalu berlembut dengan permintaan pemberontak itu tetapi bertujuan untuk memastikan keamanan negara tidak terjejas dan cubaan untuk membunuhnya dapat dilambatkan. Ini adalah kerana Sayyidina Uthman begitu yakin dengan 2 hadis Rasulullah s.a.w di mana yang pertama menyatakan bahawa beliau antara dua sahabat yang paling hampir dengan nabi akan mati syahid dan hadis kedua nabi meminta agar beliau menjaga amanah pemerintahan dengan baik dan jangan sekali-kali mematuhi tuntutan munafik yang cuba melucutkan amanah tersebut.

Kemuncak kepada fitnah itu berlaku apabila masuknya tahun 35 Hijrah sehingga Sayyidina Uthman sendiri memberitahu kepada para muslimin tentang perancangan jahat golongan Khawarij dan pengikut Abdullah bin Saba’. Para sahabat meminta agar mereka dibunuh kerana memberontak terhadap khalifah tetapi Sayyidina Uthman melarangnya kerana mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w yang menegah daripada membunuh golongan munafik di mana dibimbangi musuh Islam akan menuduh orang Islam membunuh sahabatnya sendiri. Fitnah terbesar ialah apabila serombongan penduduk Mesir sekitar seribu orang disamping rombongan dari Kufah dan Basrah yang datang ke Madinah bertujuan meminta Sayyidina Uthman supaya menukar gabenor Mesir lalu beliau bersetuju untuk melantik Muhammad bin Abu Bakar. Ketika pulang kira-kira tiga hari perjalanan dari Madinah maka rombongan dari Mesir terlihat seorang budak suruhan berkulit hitam melintasi mereka dalam keadaan tergesa-gesa lalu mereka meminta agar budak itu berhenti untuk disoal. Budak itu menjelaskan segala tujuannya untuk ke Mesir bagi menyampaikan surat yang didakwa daripada khalifah Sayyidina Uthman. Apabila surat yang mempunyai cop mohor Sayyidina Uthman itu dibaca oleh Muhammad bin Abu Bakar lalu rombongan ini terkejut besar apabila melihat isi surat itu di mana antara lainnya meminta agar gabenor Mesir sebelum ini mesti terus menjadi gabenor serta mesti membunuh Muhammad bin Abu Bakar dan rombongan bersamanya serta membatalkan surat perlantikan Muhammad bin Abu Bakar sebagai gabenor yang baru.

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

            Selepas itu rombongan dari Mesir ini dengan perasaan yang begitu marah terhadap Sayyidina  Uthman berdasarkan kepada isi kandungan surat tersebut lalu mereka kembali semula ke Madinah. Setelah menerangkan tentang surat tersebut maka Sayyidina Ali dan beberapa orang sahabat terus menemui Sayyidina Uthman di mana beliau bersumpah serta menafikan penulisan surat tersebut dan ia merupakan antara usaha jahat pihak Ibnu Saba’ dan Khawarij dengan menggunakan khadam dan cop mohornya. Sayyidina Ali dan para sahabat mengakui kebenaran Sayyidina Uthman ditambah lagi kedatangan rombongan dari Mesir disusuli pula oleh ketibaan Khawarij dari Kufah dan Basrah sedangkan mereka telah berpisah dan sudah pasti tidak akan mengetahui isi surat tersebut melainkan perkara ini telah dirancang terlebih dahulu sebelum mereka pulang dari Madinah sebelum ini. Surat layang ini digunakan sepenuhnya dalam menjatuhkan Sayyidina Uthman terutama keadaan Madinah yang sememangnya pada waktu itu begitu kurang penduduknya terutama golongan lelaki kerana ramai di kalangan mereka sedang keluar berperang, ada juga pergi berdakwah dan tidak kurang yang ke Mekah menunaikan haji. Jumlah yang ada begitu sedikit berbanding puak Khawarij seramai 3 ribu orang.

            Setelah melihat keadaan Madinah yang begitu tegang maka Sayyidina Uthman telah mengutuskan surat bagi meminta bantuan para muslimin terutama di Mesir, Kufah dan Basrah untuk datang ke Madinah bagi mengusir puak Khawarij. Para muslimin begitu bersemangat dan bersedia untuk membantu Sayyidina Uthman yang kini dikepung di Madinah bermula 8 Zulkaedah tahun 35 Hijrah. Pada hari Jumaat pertama selepas pengepungan Madinah oleh Khawarij maka Sayyidina Uthman bangun membaca khutbah di masjid yang turut dihadiri oleh puak pemberontak Khawarij di mana dalamnya beliau telah melaknat puak yang memberontak itu. Puak Khawarij begitu marah lalu mereka menghalau para muslimin dari masjid dengan melontar batu sehingga Sayyidina Uthman sendiri terpaksa dipapah ke rumahnya kerana terkena lontaran batu itu. Sayyidina Uthman yang tahu tentang muslimin bersedia berperang dengan pemberontak lalu mengutuskan utusan untuk menegah para muslimin daripada berperang. Malah semasa dikepung Sayyidina Uthman yang ditemani oleh hampir 700 orang sahabat tetap menegah para sahabat daripada berperang dengan pemberontak.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

       Pertemuan terakhir Sayyidina Uthman dengan para muslimin ialah seminggu selepas bermulanya kepungan di mana beliau menyeru agar mereka bersabar. Selepas itu Sayyidina Uthman terus terkepung di dalam rumahnya sehingga keputusan air. Ketika Sayyidina Ali  dan isteri nabi Ummu Habibah meminta kebenaran daripada pemberontak untuk memberi air kepada Sayyidina Uthman maka ia ditolak mentah-mentah oleh pemberontak

            Pemberontak Khawarij memulakan tindakan seterusnya selepas 30 hari membuat kepungan terhadap Sayyidina Uthman terutama mereka bimbang tibanya bantuan tentera muslimin. Serangan awal mereka ialah dengan membakar pintu dan atap rumah Sayyidina Uthman di mana beberapa orang yang berada dalam rumah itu berusaha memadamkan api sedangkan Sayyidina Uthman sedang sembahyang. Para muslimin yang bertindak mengawal rumah Sayyidina Uthman mula bertempur dengan pemberontak di mana 2 orang muslimin gugur syahid iaitu Mughirah dan Aslami. Melihat perkara itu lalu Sayyidina Uthman memerintahkan semua yang bertindak mengawalnya agar pulang ke rumah masing-masing. Para muslimin akur dengar perintah khalifah tersebut. Akhirnya tibalah hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah yang merupakan hari terakhir bagi kehidupan dunia Sayyidina Uthman iaitu hari ke 40 daripada kepungan itu. Beliau yakin telah tibanya hari ajalnya lalu berpuasa dan banyak membaca al-Quran agar beliau mati syahid dalam keadaan berpuasa dan membaca al-Quran. Pemberontak meminta agar 3 orang daripada kalangan mereka untuk masuk membunuh Sayyidina Uthman secara bergilir tetapi ketiga-tiganya keluar dari rumah khalifah tanpa membunuhnya apabila mendengar nasihat Sayyidina Uthman antaranya bahawa mereka bertiga merupakan antara orang yang pernah didoakan oleh Rasulullah s.a.w dan mereka bukanlah pembunuhnya.

            Selepas itu 3 pimpinan Khawarij masuk di mana Ghafiqi telah memukul Sayyidina Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya. Al-Quran itu terus terbuka dan tetap berada di tangan Sayyidina Uthman sehingga darah yang mengalir dari muka Sayyidina Uthman terkena ayat 137 surah al-Baqarahyang berbunyi:

………….فسيكفيكهم الله وهو السميع العليم

Maksudnya :Maka cukuplah Allah bagi kamu daripada kejahatan mereka dan Dialah Tuhan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Kemudian datang pula Sudan lalu dilibas pedangnya ke arah Sayyidina Uthman tetapi isterinya Nailah menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jari isteri Sayyidina Uthman itu. Sudan yang hilang peri kemanusian terus menetak Sayyidina Uthman beberapa kali sehingga beliau gugur syahid. 2 anak Sayyidina Uthman iaitu Najih dan Sobih turut gugur syahid dibunuh ketika membunuh pembunuh ayah mereka. Kewafatan Sayyidina Uthman sebelum Maghrib hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah dalam usia 83 tahun. Jasad enam orang termasuk jenazah Sayyidina Uthman dituntut daripada pemberontak pada malam tersebut manakala 3 mayat pemberontak pula dibuang di dalam kebun sehingga dimakan oleh anjing. Para muslimin begitu sedih dengan kewafatan Sayyidina Uthman dan para sahabat melaknat para pemberontak yang melakukan kekacauan dan pembunuhan kejam itu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Video Khutbah Aidil Adha 1434H Pondok Pasir Tumboh

7. PERJANJIAN HUDAIBIAH

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  Janganlah  kita  hanya  tahu  mendengar  sahaja  perkataan  taqwa  serta  menyebutnya  sedangkan  ia  tidak  menyerap  ke dalam  sanubari  kita . Hitunglah  diri kita  setiap  masa  samada  semakin  hampir  kepada  Allah atau  sebaliknya.  Adakah  amalan  soleh  kita  semakin  meningkat  atau pun  menurun….

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 18 surah al-Fathu

لقدرضي الله عن المؤمنين إذ يبايعونك تحت الشجرة فعلم ما في قلوبهم فأنزل الله السكينة عليهم وأثبهم فتحا قريبا

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang mukmin ketika mereka berbai’ah (janji setia) kepada engkau di bawah pohon. Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balas kepada mereka kemenangan yang dekat waktunya.

Kini kita sudah berada di permulaan bulan Zulhijjah yang merupakan bulan terakhir mengikut kalendar hijrah. Disamping kita semakin dekat dengan kedatangan 10 Zulhijjah untuk sama-sama merayakan eidul Adha, kita juga semakin hampir meninggalkan tahun 1420 hijrah yang sudah pasti meninggalkan pelbagai kenangan indah dan pahit. Inilah dia kehidupan dunia di mana masa sentiasa berlalu tanpa menghiraukan penghuninya samada bertambah ketaatan kepada Allah atau pun sebaliknya. Beruntunglah bagi mereka yang sentiasa beramal soleh dan bertaubat atas dosa yang dilakukan dan rugilah bagi mereka yang terus hanyut dengan godaan dunia.

Sempena kedatangan bulan Zulhijjah yang mempunyai kelebihannya tersendiri seperti kelebihan apabila melakukan puasa sunat hari Arafah iaitu hari kesembilan Zulhijjah di mana akan dikaffarahkan(ampun) segala dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang, maka marilah kita sama-sama mengimbas kembali satu peristiwa penting yang telah terjadi kepada diri Rasulullah s.a.w dalam perjanjian Hudaibiah tahun keenam Hijrah. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w telah bermimpi memasuki kota Mekah bersama para sahabat yang lain, mengambil kunci Ka’abah, bertawaf dan berumrah. Rasulullah s.a.w telah memberitahu para sahabat mengenai mimpinya itu maka mereka begitu gembira kerana sudah lama menunggu saat untuk pergi ke Mekah bagi menunaikan haji dan umrah. Rasulullah s.a.w bersama dengan 1400 orang dan setengah ulama’ mengatakan 1500 orang telah keluar menuju ke Mekah . Mereka keluar dengan tidak membawa senjata perang sebaliknya membawa senjata biasa  yang diletakkan dalam sarungnya untuk tujuan keselamatan. Mereka berihram untuk mengerjakan umrah dan mengistiharkan tujuannya bukan untuk berperang. Apabila tiba di ‘Asfan, mereka  diberitahu bahawa orang musyrikin Mekah berusaha untuk menghalang mereka daripada menunaikan ibadat di Tanah Haram Mekah walau pun dengan menggunakan jalan kekerasan. Mereka juga mendapat tahu melalui daripada pengintip yang dilantik bahawa pemimpjn kafir Quraisy telah pun mengatur beberapa cara bagi menghalang Rasulullah s.a.w dan para muslimin yang lain daripada memasuki Mekah termasuklah memerintah 200 orang tentera berkuda bawah pimpin Khalid ibnu Walid yang ditugaskan menghalang perjalanan para muslimin. Walau bagaimana pun cubaan itu gagal kerana terlebih dahulu diketahui oleh rombongan muslimin. Tentera berkuda musuh cuba menyerang rombongan muslimin apabila mereka rukuk dan sujud dalam solat Asar tetapi pada ketika itu juga telah turun ayat mengenai hukum dan cara-cara solat khauf iaiatu sembahyang ketika perang atau kecemasan. Selepas itu rombongan muslimin telah menggunakan jalan lain untuk menuju ke Mekah sehinggalah mereka tiba di suatu tempat yang bernama Hudaibiah di mana di kawasan itu hanya terdapat takungan air yang sedikit yang menyebabkan bekalan air kehabisan. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini lalu baginda mencabut sebilah anak panahnya dan diberikan kepada mereka agar dipanahkan ke dalam tempat air itu. Tiba-tiba air pun bertambah dan mereka dapat sama-sama menggunakannya.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Dalam perjalanan itu rombongan itu telah didatangi oleh seorang di mana dia ingin mengetahui tujuan sebenar kedatangan rombongan muslimin. Lalu Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa kedatangan mereka bertujuan untuk beribadat bukannya untuk berperang. Mendengar penjelasan itu lalu dia menuju ke Mekah untuk memberitahu tentang tujuan sebenar rombongan muslimin keopada pemimpin kafir Quraisy. Ada di kalangan pemimpj Quraisy yang tidak mengendah apa yang diberitahu dan ada yang mengambil tahu tentang perkara itu lalu diutuskan seorang wakil mereka bernama Mikraz bin Hafs. Ketika melihat kedatangan Mikraz bin hafs lalu Rasulullah s.a.w bersabda : Ini ialah seorang yang tidak boleh dipercayai”. Sebagaimana pertanyaan yang diajukan sebelum ini begitulah juga yang ditanya dan dijawab oleh Rasulullah s.a.w mengenai kedatangan rombongan muslimin ke Mekah. Lalu Mikraz pulang dan memberitahu tentang perkara itu kepada pemimpin quraisy, Selepas itu mereka menghantar pula ‘Urwah bin Ath-Thaqafi yang dianggap lebih pintar dan mampu berunding untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Setelah mendengar jawapan yang sama daripada Rasulullah s.a.w lalu ‘Urwah mengatakan : Hai Muhammad! Apakah katamu kalaulah berlaku kamu membinasakan kaummu sendiri? Adakah kamu mendengar pernah berlaku di kalangan bangsa Arab ini orang yang membinasakan keluarganya sendiri? Kalau inilah yang berlaku nescaya orang ramai akan lari daripadamu”. Melihat dan mendengar kebiadapan ‘Urwah itu lalu Abu Bakar mengeluarkan kata-kata yang agak kasar antaranya :أمصص بظر اللات !  أنحن نفر منه ؟ .   yang bermaksud : Jilatlah kemaluan tuhan engkau al-Lata, Adakah kami juga akan lari daripadanya?. Kemudian ‘Urwah menyambung lagi percakapannya sambil memegang janggut Rasulullah s.a.w. Al-Mughirah bin Syu’bah yang berada berdekatan dengan Rasulullah s.a.w terus memukul tangan ‘Urwah dengan sarung pedangnya setiap kali ‘Urwah cuba memegang janggut Rasululullah s.a.w. Selepas itu ‘Urwah pulang dalam keadaan kecewa dan memberitahu pemimpin Quraisy : Demi Allah! Aku pernah menemui raja-raja Rom, Farsi dan Habsyah. Demi Allah! Aku tidak pernah melihat raja itu disanjung dengan membesarkannya seperti para sahabat Muhammad melakukannya kepada Muhammad. Demi Allah! Jika dia mengeluarkan kahak nescaya ia akan jatuh ke atas tangan salah seorang daripada mereka lalu disapukan dikulit dan mukanya. Apabila dia menyuruh sesuatu maka mereka akan berlumba-lumba untuk menunaikan suruhannya. Apabila dia berwudhu’, mereka seperti mahu berperang kerana berebut-rebut untuk mengambil air wudhu’nya. Kalau dia bercakap maka semuanya diam dan jika mereka bercakap akan direndahkan suara kerana menghormatinya. Mereka tidak merenung tajam kepadanya kerana menghormatinya. Dia telah mengemukakan suatu rancangan yang baik untuk kamu maka terimalah”. Tetapi pemimpin musyrikin terus berkeras. Seterusnya sepasukan pemuda Quraisy membuat perancangan untuk menyerang di waktu malam bagi menghalang sebarang usaha damai. Malangnya apabila mereka hampir ke tempat perkemahan rombongan muslimin 70 hingga 80 orang daripada mereka telah ditawan oleh pasukan yang ditugaskan untuk berkawal. Mereka akhirnya dibebaskan atas perintah daripada Rasululullah s.a.w.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

            Selepas itu Rasulullah s.a.w telah melantik Sayyidina Uthman bin ‘Affan sebagai utusan yang akan menemui pemimpin musyrikin Quraisy bagi menjelaskan tujuan sebenar kedatangan rombongan muslimin ke Kota Mekah iaitu untuk mengerjakan ibadat bukannya berperang. Kedatangan Sayyidina Uthman disambut oleh Abban bin Sa’id bin al-‘As dengan mempersilakan Sayyidina Uthman untuk menaiki kudanya dan seterusnya mengiringinya sehingga tiba di Mekah. Dia terus menemyui pimpinan musyrikin Quraisy dan memberitahu tujuaannya. Pemimpin musyrikin mempersilakan Sayyidina Uthman untuk mengerjakan tawaf tetapi dengan tegas dia memberitahu : “ Aku tidak akan tawaf sehingga Rasulullah s.a.w tawaf terlebih dahulu”.

            Sayyidina Uthman berada agak lama di Mekah kerana perbincangan antara kedua pihak belum mendapat apa-apa keputusan yang diharapkan. Lewatnya kepulangan Sayyidina Uthman begitu merisaukan rombongan muslimin sehingga tersebar berita bahawa Sayyidina Uthman telah dibunuh. Apabila mendengar berita itu lalu Rasulullah s.a.w bersabda : Kita tidak akan pulang ke Madinah sehingga kita menentang mereka.Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabat agar membuat janji taat setia untuk tidak berundur di medan perang dan ada pula beberapa orang sahabat yang berbai’ah untuk mati. Rassulullah s.a.w memegang tangannya sendiri dan bersabda inilah dia tangan Uthman. Setelah selesai berbai’ah tiba-tiba Sayyidina Uthman datang dan dia turut serta untuk sama-sama berbai’ah sehingga kesemua rombongan muslimin berbai’ah di bawah sepohon kayu kecuali seorang munafik yang bernama Jad bin Qis. Inilah yang dikenali sebagai Bai’ah Ridhwan.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Para kafir Quraisy begitu bimbang apabila mendengar mengenai bai’ah tersebut sehingga mereka mengambil keputusan untuk menghantar Suhail bin ‘Amru bagi membuat satu perjanjian dengan pihak muslimin. Perjanjian itu adalah bagi menghalang rombongan muslimin daripada memasuki Mekah pada tahun itu. Apabila melihat kedatangan Suhail bin ‘Amru lalu Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya dimudahkan kepada kamu perkara yang menjadi masalah kepada kamu”. Selepas itu terjadilah perjanjian Hudaibiah yang terkenal itu dengan mengemukakan perkara-perkara berikut :

  1. Rasulullah s.a.w dan para muslimin tidak boleh masuk ke Mekah tahun ini dan dibenarkan untuk dating ke Mekah pada tahun depan dengan syarat membawa senjata untuk tujuan musafir sahaja.
  2. Gencatan senjata daripada sebarang peperangan antara kedua belah pihak selama 10 tahun.
  3. Mana-mana pihak yang mahu membuat perjanjian dengan antara salah satu daripada 2 puak itu sama muslimin atau kuffar boleh berbuat demikian dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
  4. Sesiapa dikalangan Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa izin walinya hendaklah dihantar pulang dan sesiapa sahaja dari pihak Muhammad yang melarikan diri kepada pihak Quraisy tidak akan dikembalikan semula.

Berlangsunglah perjanjian ini walau pun ada beberapa orang sahabat  tidak begitu bersetuju dengan syarat-syarat ini memandangkan kepada apa yang tersurat di mana memberi keuntungan kepada pihak musyrikin. Tetapi akhirnya perkara yang tersirat telah memberi keuntungan dan kejayaan yang besar kepada perjuangan Islam iaitu apabila perjanjian  ini telah menjadi pintu kepada kemenangan yang gemilang dalam peristiwa Pembukaan Kota Mekah selepas itu.

Selepas itu Rasulullah s.a.w bersabda : “ Bangunlah  kamu semua dan sembelihlah binatang yang disediakan itu”. Seorang pun daripada para sahabat tidak bangun walau pun nabi telah bersabda sebanyak tiga kali. Mereka bukan engkar dengan perintah nabi tetapi mereka terlalu kasih dan merasakan perjanjian itu telah menghina Allah dan rasulNya. Akhirnya Rasulullah s.a.w telah masuk ke khemah isterinya ummul mukminin Salamah dan memberitahu tentang perkara itu lalu Ummu Salamah meminta agar nabi sendiri yang melakukannya tanpa berucap apa-apa. Rasulullah s.a.w terus keluar daripada khemah lalu bertahallul. Melihat perkara itu lalu para sahabat terus bertahallul dengan bercukur kepala dan menyembelih dam.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  24 dan 25 surah al-Fathu

وهو الذى كف أيديهم عنكم وأيديكم عنهم ببطن مكة من بعد أن أظفركم عليهم وكان الله بما تعملون بصيرا هم الذين كفروا وصدوكم عن المسجد الحرام والهدى معكوفا أن يبلغ محله

Maksudnya : Dan Dialah yang menahan tangan mereka daripada membinasakan kamu dan menahan tangan kamu daripada membinasakan mereka di tengah Kota Mekah sesudah Allah memenangkan kamu ke atas mereka. Dan adalah Allah itu amat Melihat apa yang kamu kerjakan. Merekalah orang-orang kafir yang menghalangi kamu daripada memasuki Masjidil Haram dan menghalangi binatang korban sampai ke tempat penyembelihan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Video Sejarah Pondok Pasir Tumboh

Video Khutbah Jumaat