• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,989,233 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,643 other followers

  • Advertisements

Syarat DiPenuhi Kemenangan Dunia Akhirat DiRai

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :

وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَ‌سُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِ‌يحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُ‌وا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Kini kita berada pada saki baki bulan Syawal yang disebut sebagai bulan kemenangan  di mana hakikat kemenangan tidak dapat dirasai melainkan bagi orang yang benar-benar berjuang sebagaimana laungan kemenangan yang terus diingat dan disebut-sebut oleh seluruh umat Islam setiap kali tibanya hari raya dengan launganوأعز جنده وهزم الأحزاب وحده  yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab) pada bulan Syawal tahun ke-5H. Laungan kemenangan ini diulang-ulang saban tahun untuk membangkitkan semangat kita dalam memperjuangkan Islam yang merupakan satu-satunya agama atau cara hidup yang sempurna dan benar. Begitu juga rakyat negara ini masih merasai bahang sambutan kemerdekaan kali ke-55 di mana nikmat kemenangan dan kemerdekaan bukannya datang dengan jalan yang senang malah memerlukan kepada nyawa yang melayang, ia bukan dapat dengan cara yang mudah sebaliknya menuntut kepada tumpahnya darah. Usah bercakap tentang menang dan merdeka jika takut untuk berjuang dan berkorban.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Menyedari tentang betapa susahnya mencapai kemenangan dan kemerdekaan maka kita wajib memenuhi syarat-syaratnya barulah kedua-dua hasil yang begitu bermakna dapat dicapai. Antara syarat utama kemenangan ialah berpegang teguh kepada sistem al-Quran dan ajaran nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan samada ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Sesuai dengan kebangkitan dan tersebarnya Islam atas dasar ilmu bagi melawan jahiliah maka kita wajib memperkasakan budaya ilmu dalam kehidupan bukan terhad pada usia, kerjaya dan tempat tertentu sahaja. Malangnya jika ramai umat Islam dihanyut dengan hiburan melalaikan setiap hari dengan hanya asyik menonton tv, berbual kosong, membaca majalah hiburan, melayari internet dalam perkara yang tidak bermanfaat sehingga banyak umur kita dihabiskan dengan melayan propaganda musuh bukannya menambah ilmu seterusnya bersiap siaga dalam mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Nabi s.a.w pernah memberi contoh berkenaan sikap 3 golongan apabila berada dalam suatu majlis ilmu yang bermanfaat

عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِe بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ فِي الْمَسْجِدِ وَالنَّاسُ مَعَهُ ، إِذْ أَقْبَلَ نَفَرٌ ثَلَاثَةٌ ، فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ eوَذَهَبَ وَاحِدٌ ، قَالَ : فَوَقَفَا عَلَى رَسُولُ اللَّهِ e، فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَرَأَى فُرْجَةً فِي الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ فِيهَا ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ ، وَأَمَّا الثَّالِثُ فَأَدْبَرَ ذَاهِبًا ، فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ e قَالَ : ” أَلَا أُخْبِرُكُمْ عَنِ النَّفْرِ الثَّلَاثَةِ ؟ أَمَّا أَحَدُهُمْ فآَوَى إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فَآوَاهُ اللَّهُ ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَى فَاسْتَحْيَى اللَّهُ مِنْهُ ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ  – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Rasulullah s.a.w. sedang duduk di masjid bersama orang ramai ketika menyampaikan ceramahnya, tiba-tiba datang 3 orang lelaki. 2 daripada mereka mendatangi Nabi s.a.w sedangkan yang seorang lagi terus pergi begitu saja. Seorang daripada mereka berdua pula mencari-cari ruang yang kosong dalam majlis itu, lalu dia duduk di situ. Dan yang seorang lagi terus duduk di belakang. Setelah Rasulullah s.a.w. selesai memberikan pengajian, Baginda bersabda : Perhatikanlah, aku beritahukan kepada kamu sekalian tentang orang yang bertiga itu. Seorang antaranya mencari tempat di sisi Allah, maka Allah melapangkan tempat baginya. Orang kedua pula malu-malu maka Allah malu pula padanya. Dan orang yang ketiga jelas berpaling , maka Allah berpaling pula daripadanya.”

Kita bimbang akibat jahil tentang agama menyebabkan suburnya budaya tidak beradab dan kadang-kadang boleh merosakkan agama seperti kes terbaru berkenaan tindakan setengah kumpulan yang mengganggu majlis tazkirah di sebuah masjid di Kedah bukan sahaja dengan suara malah dilempar kasut. Mengapa perlu diikut budaya jahiliah dalam memperkosa masjid bukan memperkasakannya.

Firman Allah dalam ayat 26 surah al-Fussilat :

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لَا تَسْمَعُوا لِهَـٰذَا الْقُرْ‌آنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Maksudnya : Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Syarat kedua dalam mencapai kemenangan dan kemerdekaan ialah mesti ikhlas dalam memperjuangkan seluruh sistem al-Quran bukan terlalu mengejar harta dan takhta dunia. Betapa malangnya bila pejuang kemerdekaan sanggup bermandi darah dan melayang nyawa kerana menghalau penjajah yang merosakkan agama, merompak hasil negara sehingga digelar penderhaka namun apabila negara merdeka maka anak didik penjajah pula melabelkan penderhaka kepada rakyat yang bangkit menegur kemungkaran dan penyelewengan dalam menjaga kesucian agama dan mengurus harta negara. Jika penjajah boleh kita halau keluar dari negara kerana mengkhianati agama dan negara maka tidak menjadi suatu kesalahan untuk menukar kepimpinan walau pun sebangsa jika yang diberi amanah tanpa segan silu merosakkan amanah malah menzalimi rakyat dengan menjadikan hasil mahsul negara seperti harta rampasan perang yang diagihkan sesama sendiri dengan membiarkan rakyat bawahan terus menderita dengan kenaikan harga barang dan hutang keliling pinggang dalam semua perkara termasuk pendidikan, rumah, kenderaan dan lebih malang terlibat dengan sistem riba yang menjadi jenayah besar dalam agama. Oleh itu perubahan kepimpinan agar kita benar-benar merdeka daripada penjajahan baru yang terus menjulang tinggi sistem penjajah hanya dapat dicapai dengan berjuang penuh keikhlasan kepada Allah bukan untuk mendapat habuan dunia

Firman Allah dalam ayat  145 surah Ali ‘Imran :

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ كِتَابًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَن يُرِ‌دْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَن يُرِ‌دْ ثَوَابَ الْآخِرَ‌ةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِ‌ينَ

Maksudnya : Tiada suatu jiwa pun akan mati melainkan dengan izin Allah melalui suatu suratan yang telah ditetapkan. Sesiapa yang mahu habuan dunia maka Kami akan berikan kepadanya. Dan sesiapa yang inginkan pahala akhirat maka Kami juga akan anugerahkan kepadanya. Kami akan berikan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِ‌بِّيُّونَ كَثِيرٌ‌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الصَّابِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.

Syarat ketiga dalam mencapai kemenangan ialah mesti bertaqwa kepada Allah sehingga menjauhi segala perbuatan atau sifat yang dicela oleh Allah. Pejuang Islam mesti takut kepada Allah bukannya mengecut kepada musuh serta jauh daripada penyakit al-Wahnu iaitu terlalu cinta kepada dunia dan takut kepada kematian. Syarat keempat pula ialah sabar dalam berdepan dengan pelbagai ujian samada berbentuk kesenangan yang berupa tawaran pangkat dan kekayaan atau pun kekerasan seperti penjara malah dibunuh. Tanpa memiliki syarat-syarat ini maka ramai yang rebah di tengah perjalanan dan cepat putus asa dalam perjuangan. Renungilah jawapan ulama’ untuk menjadikan kita manusia yang tidak tamak haloba kepada dunia sebaliknya akhirat menjadi matlamat utama

“[1] siapakah orang yang sempurna akal? Mereka menjawab: Orang yang tidak menyintai dunia (mengambil dunia sekadar yang diperlukan). “[2]  siapakah orang yang cerdik? Mereka menjawab: Orang yang tidak tertipu oleh dunia. “[3]  siapakah orang yang kaya? Mereka menjawab: Orang yang reda menerima bahagiannya daripada Allah. “[4]  siapakah orang yang mengerti agama? Mereka menjawab: Orang yang tidak meminta berlebih-lebihan dan “[5]  siapakah orang yang bakhil? Mereka menjawab: Orang yang tidak mengeluarkan hak Allah dalam hartanya.”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Syarat kelima kita wajib berserah diri kepada Allah di mana jangan sama sekali kita lupa kepada Allah dalam apa juga keadaan dan situasi. Bersyukur bila dianugerahkan dengan kemenangan dan bersabar bila diuji dengan kekalahan. Tidak mudah putus asa kerana yakin perjuangan dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini bukan suatu yang sia-sia malah dijanjikan dengan kemenangan yang besar terutama di akhirat nanti. Kita bukan mencari kemenangan untuk menunjukkan bahawa kita ini hebat, bijak sebaliknya untuk membuktikan bahawa kita sebagai hamba Allah yang sentiasa bersungguh dan bersemangat dalam memperjuangkan Islam. Kita mahu mencapai keberkatan dunia dan kebahagiaan akhirat terutama dengan melaksanakan suatu pesanan berharga yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW: “[1] Takutilah apa-apa yang haram, nescaya engkau orang yang paling banyak menunjukkan ibadahnya di antara manusia. [2] Reda dan tidak mengeluh terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah, nescaya engkau menjadi orang yang terkaya di kalangan manusia. [3] Bersikap baiklah kepada tetanggamu, nescaya engkau menjadi seorang mukmin. [4] Sayangilah manusia seolah-olah kamu menyayangi diri kamu sendiri, nescaya kamu menjadi seorang Muslim. [5] Jangan banyak ketawa di dalam kehidupanmu, kerana orang banyak ketawa itu, hatinya akan mati.” (Riwayat Imam Ahmad)

Firman Allah dalam ayat 104 surah an-Nisa’ :

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْ‌جُونَ مِنَ اللَّـهِ مَا لَا يَرْ‌جُونَ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya : Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

Islamkan Sambutan Merdeka Rayakan Kenikmatan Syurga

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fathu :

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا ﴿١﴾ لِّيَغْفِرَ‌ لَكَ اللَّـهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ‌ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَ‌اطًا مُّسْتَقِيمًا ﴿٢﴾ وَيَنصُرَ‌كَ اللَّـهُ نَصْرً‌ا عَزِيزًا

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)

Kini kita berada dipertengahan bulan Syawal di mana kehangatan sambutan hari raya masih dirasai dengan pelbagai program termasuk rumah terbuka yang silih berganti. Sambutan hari raya lebih bermakna bila disambut mengikut suluhan wahyu dengan mengekang hawa nafsu supaya tarbiah Ramadhan yang dijanjikan dengan pengampunan dosa tidak kembali dicemari dengan kekotoran noda dosa pada bulan Syawal. Peluang kedatangan Syawal juga akan lebih bererti bila proses tarbiah Ramadhan diteruskan dengan sama-sama berpuasa 6 hari di bulan Syawal bagi menyahut seruan nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ  ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ          ( رواه مسلم )

Maksudnya  : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Selain kehangatan sambutan raya, hari ini kita berada pada 31 Ogos di mana bermula malam tadi dengan sambutan ambang merdeka dan pagi tadi pelbagai acara dalam menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia seronok kerana dapat menyambut hari kemerdekaan Negara kali ke-55. Sebagaimana laungan kemenangan ketika sambutan raya yang sepatutnya memberi motivasi dan semangat yang tinggi untuk kita sama-sama menjulang wahyu, mengekang hawa nafsu sehingga musuh Islam tidak lagi berani memperkuda dan mempermainkan Islam namun apa yang berlaku adalah sebaliknya akibat umat Islam dihidapi penyakit al-Wahnu iaitu terlalu cinta kepada dunia dan terlalu takut kepada mati sehingga takbir raya bukan sahaja lesu tak bermaya malah tidak membawa perubahan ke arah kebaikan. Begitulah juga sambutan merdeka yang tidak dapat lari daripada unsur hiburan melampau yang menunjukkan bahawa mulut sahaja seronok melaungkan merdeka tetapi jiwa dan cara hidup terus berqiblatkan penjajah. Akhirnya penjajah tersenyum simpul melihat gelagat lucu rakyat di negara bekas jajahannya yang mulutnya berkata merdeka tetapi cara hidupnya terus menjulang system penjajah. Malah system Islam yang dikuburkan oleh penjajah termasuk hukum Hudud begitu ditakuti oleh umat Islam sendiri kerana telah lama memuja system penjajah. Seronokkah kita bila hanya melaungkan merdeka sedangkan selepas merdeka peratus orang Islam ada 82% tetapi setelah 55 tahun merdeka peratus orang Islam tinggal 50% sahaja. Itu belum dikira dengan penghapusan tulisan jawi yang membawa kepada semakin ramai umat Islam buta al-Quran dan agama. Penukaran cuti hari Jumaat kepada Ahad yang tidak pernah berani dibuat oleh penjajah tetapi dilakukan oleh anak didik penjajah. Malah pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sehingga bahasa Malaysia dikuburkan menjadi lambang besar bagaimana penjajahan pemikiran dan cara hidup lebih bahaya daripada penjajahan bangsa dan warna kulit. Benarlah kata Ibnu Khaldun bahawa bangsa yang paling bangsat ialah bangsa yang terpaksa menggunakan bahasa penjajahnya untuk mencari kemajuan.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Ertinya : Ratu Balqis berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Menyedari betapa pentingnya erti sebuah kemerdekaan dari segi pengisian dan seterusnya menjaganya maka kita umat Islam telah diberi garis panduan berguna bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah dalam perkara ini termasuk pengajaran besar daripada Kemerdekaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun 8H bukan sahaja membersihkan kembali Ka’abah daripada berhala dan amalan syirik yang selama ini mengotorkan kesucian bumi Mekah malah memudahkan lagi umat Islam untuk mengerjakan ibadat umrah dan haji. Bahkan bermula daripada kemerdekaan Kota Mekah telah membolehkan Islam menyebar luaskan lagi dakwah dan sistemnya bukan sahaja dalam Semenanjung Tanah Arab tetapi turut keluar daripada kawasan itu. Kemerdekaan ini diminta oleh Allah agar didahulukan dengan bertasbih dan bertahmid atas nikmat Allah yang telah menjadikan umat Islam sebagai pemegang amanah dan pembela agama Islam dan juga atas rahmat Allah yang mengurniakan kemenangan serta penyertaan umat manusia yang begitu ramai memeluk Islam selepas kemerdekaan bumi Mekah. Allah turut menyuruh agar beristighfar atas pelbagai perasaan bangga dan sombong yang berkecamuk dalam hati di saat kemenangan serta perasaan tidak sabar, terkilan, gentar kerana merasakan begitu lama kemenangan yang dijanjikan Allah ini untuk diraih. Arahan ini sebagaimana diungkapkan oleh Allah dalam ayat 3 surah an-Nasru  :

 فَسَبِّحْ ِبحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

Maksudnya : Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah keampunanNya. Sesungguhnya Allah Amat Menerima taubat hambaNya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,

Ia jauh berbeza dengan sambutaan kemerdekaan kita yang dipenuhi dengan hiburan melampau sehinga ramai yang terlibat dengan arak, zina yang melahirkan anak luar nikah beberapa bulan selepas sambutan merdeka dan kesan buruk yang lain. Cara sambutan kemerdekaan ini bukan sahaja tidak berterima kasih kepada pejuang kemerdekaan yang sanggup mati untuk menghalau penjajah malah tidak bersyukur kepada Allah dengan melakukan maksiat. Akhirnya laungan merdeka menjadi nyanyian yang melalaikan ketika sistem penjajah terus menguasai jiwa dan negara yang menyaksikan bukan sahaja jenayah bertambah ganas dan parah malah maruah Islam dan umatnya semakin tercalar. Ketika bercakap isu murtad maka tiada undang-undang tegas berdasarkan Islam yang digubalkan. Malah apa yang lebih malang kedudukan Mahkamah Syariah yang dianggap kelas kedua berbanding mahkamah sivil telah meletakkan hak muallaf bagaikan terumbang-ambing tanpa pembelaan sewajarnya. Apa yang lebih teruk apabila undang-undang tukar agama yang diluluskan kabinet pada tahun 2009 yang membenarkan seorang anak kekal dalam agama asalnya iaitu bukan Islam apabila ibubapanya masuk Islam menambahkan penghinaan terhadap Islam. Sempena menyambut kemerdekaan kali ke-55 marilah sama-sama kita berdoa dan membantu seorang Muallaf iaitu Muhammad Riduan bin Abdullah yang memerlukan kos guaman sebanyak RM 60 ribu bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memberi hak penjagaan anak-anaknya yang telah diIslamkan kepada isterinya yang bukan Islam walau pun sebelum itu Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memutuskan hak penjagaan 3 anaknya itu kepada Muhamamd Riduan. Jangan pula akibat pemikiran kita pun telah dijajah menyebabkan kita memandang isu agama anak sebagai suatu yang murah berbanding baju raya dan bendera jalur gemilang. Jangan jadi menang sorak kampung tergadai. Buat pekak walau pun agama dijual

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sempena menyambut kemerdekaan juga marilah kita hayatilah erti sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ غَيْرِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ”

Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”

Tarbiah Ramadhan banyak mengajar kita bahawa kita bukan sahaja akan berasa gembira ketika berbuka puasa malah apa yang paling diidamkan ialah bahagia apabila berjumpa dengan Allah di akhirat kelak. Begitu juga tarbiah Ramadhan akan memerdekakan kita daripada api neraka yang merupakan antara kemuncak kepada kelebihan Ramadhan bagi hamba Allah yang Berjaya menghayati tarbiah Ramadhan. Maka suasana sambutan merdeka juga mesti disambut mengikut acuan agama agar jiwa dan cara hidup kita dimerdekakan daripada penjajahan system penjajah samada dari segi pemerintahan, politik, sosial, ekonomi dan lainnya supaya kita bukan sahaja benar-benar merdeka di dunia malah yang lebih penting ialah merdeka daripada api neraka Allah seterusnya meraih Syurga di akhirat nanti.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

158. BAHAYA SILAP PILIH 3 PANGKAT

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :

إن يمسسكم قرح فقد مس القوم قرح مثله وتلك الأيام نداولها بين الناس وليعلم الله الذين ءامنوا ويتخذ منكم شهداء والله لايحب الظــلمين

Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum kafir itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa kejayaan dan kekalahan itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran). Dan agar Allah membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya gugur sebagai syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim

            Kita buat sekian kalinya bakal meninggal bulan Syawal yang telah banyak meninggalkan kesan manis dan pahit dalam diari hidup kita. Setiap kali tibanya bulan Syawal maka ia mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah diikuti dengan Peperangan Ahzab atau Khandak yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah. Bulan Syawal juga menyaksikan bagaimana berlakunya Peperangan Hunain pada tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Peperangan besar ini menyedarkan kita bagaimana api permusuhan kuffar terhadap Islam tidak mengenal tempat dan masa. Jika Rasulullah s.a.w bersama para pejuang Islam terpaksa berdepan dengan musuh yang nyata pada bulan Syawal sedangkan kita pada hari ini ramai yang kecundang dengan nafsu syahwat dan syaitan pada bulan Syawal setelah berpenat lelah mengawal nafsu sepanjang Ramadhan lalu. Kata pepatah arab berkenaan hakikat hari raya yang sepatutnya kita sambut iaitu :

لَيْسَ العِيْد لِمَنْ لَبِسَ الجَدِيْدَوَلَكِنَّ العِيْد ِلمَنْ تَقْوَاهُ يَزِيْدُ

Maksudnya : Bukanlah hari raya itu bagi mereka yang sekadar memakai pakaian baru sebaliknya hari raya yang sebenarnya ialah bagi mereka yang taqwanya bertambah

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Firman Allah dalam surah Ghaafir  ayat 23 – 24

ولقد أرسلنا موسى بئايـتنا وسلطن مبين إلى فرعون وهـمـن وقـرون فقالوا سـحر كذاب

Maksudnya : Sesungguhnya telah Kami utuskan nabi  Musa dengan membawa keterangan Kami dan dalil yang nyata kepada Firaun, Haman dan Qarun lalu mereka berkata : “ Ini ahli sihir lagi pendusta”.

            Umat yang terbaik di sisi Allah ialah umat yang menjalankan amanah Allah dalam kehidupan seharian ketika senang dan susah, kaya dan papa, tua dan muda. Perjuangan dalam meninggikan syiar Islam di muka bumi ini tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Segala rintangan dan cabaran ini tidak boleh dianggap sebagai batu penghalang yang membantutkan perjuangan sebaliknya ia mestilah dianggap sebagai penambah kepada semangat juang yang sedia ada. Semakin kuat cabaran maka semakin tinggi semangat juang sehingga akhirnya kebenaran pasti mendapat kemenangan manakala kebatilan pasti dapat dikalahkan. Tidak mudah untuk menang tetapi bukan susah untuk kalah. Contohnya ketika kita merenung perjuangan nabi Musa a.s yang terpaksa berdepan dengan tiga jenis manusia yang berbeza dari segi pangkat, tugas dan peranan tetapi matlamatnya sama iaitu memastikan umat manusia terus menyembah sesama manusia serta kufur kepada Allah. Manusia pertama bernama Firaun yang berjawatan sebagai raja pemerintah yang menjadikan kuasa sebagai hak milik mutlak bukannya menjadikan kuasa itu sebagai suatu amanah daripada Allah sehingga dia sanggup melawan Allah tanpa rasa takut dan bersalah. Firaun telah lama mati lemas dengan penuh kehinaan tetapi pemimpin-pemimpin yang bersikap sepertinya terus ada setiap zaman dan tempat. Pemimpin jenis ini tidak pernah takut untuk mempersendakan Islam dan mengenepikan agama dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Akhirnya pemimpin jenis ini menjadikan dirinya sebagai penguasa yang tidak boleh disanggah sehingga yang kuat dan kaya sentiasa menang manakala yang lemah dan miskin menjadi mangsa kezaliman yang sentiasa kalah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Manusia jenis kedua bernama Haman yang berperanan sebagai menteri atau pegawai yang berusaha siang dan malam dalam memastikan rakyat jelata sentiasa tunduk kepada pemimpin yang sesat dan zalim secara membabi buta. Haman juga telah mati tetapi menteri dan pegawai yang bersikap sebagaimana Haman terus muncul sehingga rakyat terus keliru hasil kepetahan bicara manusia jenis ini yang bijak menutup kesesatan dan kezaliman pemimpin. Apa yang lebih malang apabila ada yang faham agama tetapi sanggup menjual agama demi dunia sehingga timbulnya pendapat bahawa dalam mendidik manusia hanya perlu kepada amar makruf sahaja tanpa perlu kepada nahi mungkar kerana bila telah banyak program kebaikan maka manusia akan jadi baik dengan sendiri tanpa perlu kepada pencegahan sedangkan bila kita lihat dalam negara lebih banyak program yang merosakkan berbanding program mendidik sehingga meningkatnya jenayah, pecah amanah dan sebagainya. Jika rakyat terus terpesona dengan tipuan ini maka rosaklah kita. Bila rakyat hanyut dengan hiburan maka negara dijajah dengan kejahatan, bila rakyat boleh dijual beli maka system negara terus rosak binasa. Ingatlah suatu pesanan Rasulullah s.a.w

قال الرسول e  : مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِى أُمَّةٍ قَبْلِي إِلا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّوْنَ وَأَصْحَاب يَأْخُذُوْنَ بِسُنَّتِهِ ويََقْتَدُوْنَ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بِعْدِهِمْ خُلُوْفُ يَقُوْلُوْنَ مَالا يَفْعَلُوْنَ وَيفْعَلُوْنَ مَالا يُؤْمَرُوْنَ فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ لَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الإيمْاَنِ حَبَّةَ خَرْدَلٍ –-  رواه مسلم

Maksudnya : Tiada seorang nabi pun yang Allah utus kepada umat sebelum aku melainkan terdapat pada umatnya itu penolong dan para sahabat yang melaksanakan sunnahnya dan mengikut perintahnya. Setelah generasi mereka, datanglah generasi yang hanya pandai bercakap apa yang tidak dibuat. Mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak pernah diperintahkan kepada mereka. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan tangannya maka dia seorang yang beriman. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidahnya maka dia seorang yang beriman. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hatinya maka dia juga seorang yang beriman. Tiada lagi keimanan selepas itu walaupun sebesar sawi

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Manusia jenis ketiga pula bernama Qarun yang merupakan hartawan yang sanggup membantu pemimpin dan menteri melalui harta kekayaannya dengan syarat dia mendapat balasan yang berganda hasil pelaburannya dalam menyesatkan rakyat dan menutup kesalahan pemimpin. Qarun juga telah lama mati ditelan bumi bersama harta kekayaannya tetapi hartawan yang bersikap sebagaimana Qarun terus wujud di mana-mana. Bahayanya hartawan jenis ini ialah dia mampu mengawal system pemerintahan, perundangan, ekonomi, sosial dalam sesebuah negara kerana berjaya membeli negara dengan harta kekayaannya. Jadi tidak pelik apabila wujudnya negara yang dikawal oleh tauke dadah, tauke judi, tauke arak, kongsi gelap dan sebagainya. Jangan terkejut bila penjenayah yang paling merbahaya dalam negara boleh lepas bebas bila perundangan boleh dipermainkan oleh kongsi gelap. Benar kata cerdik pandai : Bila wang bercakap maka perundangan akan senyap. Menyedari perkara ini maka kita sebagai rakyat yang bermaruah mestilah memastikan bahawa pemimpin, menteri, pegawai dan hartawan yang berada di atas kita daripada golongan yang bertaqwa dan bertanggungjawab bukannya yang hanya pandai menyeru rakyat supaya berjimat cermat tetapi dia hidup dalam mahligai indah, melancong dengan kapal terbang mewah. Jangan gadaikan maruah diri dan negara kerana sedikit habuan wang, baja, saham sedangkan kita semakin dibebankan dengan kenaikan harga barang yang tidak terkawal. Jangan jadi manusia setaraf binatang yang boleh di jual beli dengan wang. Untungnya sedikit ruginya banyak, senangnya sebentar deritanya lama. Lahirlah kita sebagai rakyat yang sentiasa peka dengan keadaan semasa antaranya jika kita tidak dapat turut serta dalam perhimpunan 100 ribu rakyat di Kuala Lumpur esok maka sama-samalah kita solat hajat dan berdoa agar perhimpunan ini berlangsung dengan baik tanpa gangguan mana-mana pihak disamping ia mencapai matlamatnya yang suci dalam memastikan system dalam negara kembali bersih daripada rasuah, pecah amanah dan unsur-unsur khianat yang lain. Bukan daripada golongan yang beriman golongan yang tidak menghiraukan keadaan umat Islam lain yang menderita dan ditindas

فرمان الله تعالى دالم أية    51   سورة النور :

إنما كان قول المؤمنين إذا دعوا إلى الله ورسوله ليحكم بينهم أن يقولوا سمعنا وأطعنا  وأولئك هم المفلحون

Maksudnya : Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah agar mereka berhukum dengannya di kalangan mereka lalu mereka berkata : “ Kami dengar dan kami patuh”.  Dan mereka itulah golongan yang beroleh kejayaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ