• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,989,233 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,643 other followers

  • Advertisements

Islamkan sambutan raya raih kehidupan mulia

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Mu’minun :
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya,
Suasana sambutan hari raya masih begitu terasa dengan pelbagai cara sambutannya termasuk rumah terbuka silih berganti bagi meraikan anugerah hari raya yang dianugerahkan oleh Allah setelah sebulan melalui ujian hawa nafsu dalam tarbiah Ramadhan. Jika menyambut kedatangan Ramadhan kita boleh mengikut lunas-lunas Islam dalam menghidupkannya maka mengapa ketika menyambut kedatangan Syawal begitu banyak pelanggaran terhadap syariat Islam seolah-olah syaitan dibebaskan bersama dengan dosa pahala pun tidak lagi dipedulikan oleh Allah dalam bulan Syawal. Cara berpakaian yang mendedah aurat, cara pergaulan bebas yang melampaui batas syarak, cara berhibur yang keterlaluan mencemari kemuliaan Syawal sehingga tarbiah Ramadhan sudah tidak diendah lagi. Tidak malukah kita dengan para sahabat nabi dan pejuang Islam sebelum kita yang terpaksa berdepan dengan musuh Islam seperti dalam peperangan Ahzab atau Khandak, peperangan Hunain dan peperangan Uhud ketika suasana Syawal demi menjulang agama Allah sedangkan ramai di kalangan umat Islam hari ini tersungkur di kaki syaitan dan hawa nafsu ketika menyambut Syawal. Tidak malukah kita melaung takbir kemenangan ketika kalah melawan hawa nafsu sedangkan pejuang Islam dulu melaungkan takbir kemenangan ketika meraikan kemenangan mengalahkan musuh Islam. Inilah suasana masyarakat hari ini yang tidak lagi mengenal erti kemenangan yang sebenar dan bagaimana mahu menghayatinya kerana apa yang ada dalam otak mereka ialah berhibur sampai lupa Allah samada ketika sambut hari raya, tahun baru, hari merdeka dan lain-lain perayaan. Renungilah kata pujangga :
لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ لَبِسَ الجَدِيْد، إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ طَاعَتُهُ تَزِيْد. لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ تَجَمَّل بِاللِّبَاسِ وَالمَرْكُوْب، إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ غُفِرَتْ لَهُ الذُّنُوْب. لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ حَازَ الدِّرْهَم وَالدِّيْنَار إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ أَطَاعَ العَزِيْزَ الغَفَّار
Maksudnya : Bukanlah hari raya itu bagi orang yang hanya berpakaian baru nan indah sebaliknya hari raya itu bagi orang yang ketaatannya terus bertambah. Bukanlah hari raya itu bagi yang berhias dengan pakaian anggun dan kenderaan bersusun sebaliknya hari raya itu bagi orang yang dosa-dosanya diampun. Bukanlah hari raya itu bagi yang memperolehi wang dinar juga dirham yang bertimbun sebaliknya raya itu bagi orang yang mentaati Allah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Setiap graduan yang telah berjaya dalam pengajiannya wajib membuktikan kejayaannya dengan mencurah khidmat mengikut bidang yang diceburi barulah diiktiraf sebagai graduan yang benar-benar berjaya bukan setakat membawa sijil ke hulu-hilir tanpa menunjukkan hasilnya. Begitulah juga dengan graduan universiti Ramadhan bukan setakat berbangga kerana dapat berpuasa sebulan sebaliknya kesan daripada tarbiah Ramadhan dengan mengekalkan amalan soleh, sifat terpuji dalam diri serta ketaatan kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan pada 11 bulan yang lain dapat dilihat jelas dalam kehidupan seharian. Betapa beruntungnya orang-orang yang telah menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal, begitu juga yang sedang menunaikannya. Bagi yang belum memulakannya atau tak pernah menunaikannya sebelum ini maka marilah kita sama-sama membuktikan bahawa tarbiah Ramadhan lepas telah berjaya mengubah kita ke arah menjadi hamba Allah bukan setakat hamba Ramadhan yang hanya baik pada bukan Ramadhan sahaja manakala pada bulan lain kembali menjadi pengikut setia kepada hawa nafsu. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ ) رواه مسلم(
Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika berseronok menyambut hari raya jangan kita lupa kepada keadaan yang berlaku sekeliling kita. Kita dihimpit dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah besar yang semakin membarah terutama penyakit 5M iaitu mencuri, menyuburkan zina, mabuk dadah atau arak, main judi dan membunuh. Begitu juga bala Allah berbentuk bunuh diri di mana suatu kajian pakar pada tahun 2007 menyatakan gejala bunuh diri dijangka menjadi faktor kedua tertinggi menyumbang kepada jumlah bilangan kematian di negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan purata 6 orang bunuh diri setiap hari , 2500 orang setiap tahun dan 50,000 kes cuba bunuh diri setiap tahun. Ditambah lagi dengan laporan seramai 3 juta daripada 26 juta penduduk termasuk kanak-kanak di negara ini disahkan menghidap masalah gangguan mental atau emosi yang menyaksikan penyembelihan kejam terhadap ibu bapa, isteri dan anak sendiri yang begitu mengerikan seolah-olah menonton drama tv sahaja. Kes bunuh terhadap seorang jutawan wanita serta 3 lelaki bersama yang bukan sahaja dibunuh dengan kejam malah dibakar begitu menggemparkan negara ketika kehangatan menyambut raya. Bila manusia gila harta maka segala kejahatan menjadi halal pada pegangan mereka. Akhirnya apa yang kita dapat hasil jauh daripada petunjuk al-Quran melainkan kehancuran. Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (( لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ ، وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ ، وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ ، حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ))
Maksudnya : Tidak berlakunya kiamat sehingga ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan yang melimpah ruah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 108 surah al-An’am :
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya : Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan
Ketika kehangatan menyambut hari raya namun tidak melupakan kita kepada perancangan jahat seorang paderi sebuah gereja di Florida, Amerika bernama Terry Jones yang disifatkan oleh anak perempuannya sebagai seorang yang sakit otak selepas disingkirkan oleh kumpulan gerejanya sendiri di Jerman di mana dia menjadi perancang utama untuk membakar 200 naskhah al-Quran sempena memperingati serangan 11 September terutama bantahan terhadap rancangan umat Islam untuk membina pusat Islam dan masjid berhampiran bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang ranap dalam peristiwa 11 September 2001. Walau pun paderi tersebut menarik balik perancangan yang tidak bertamadun itu namun ada seorang peguam Australia telah membakar al-Quran dan Bible dengan penuh rasa bangga menyatakan bahawa dia mahu membuktikan antara al-Quran dan Bible mana yang lebih cepat terbakar. Begitu juga sebuah televisyen Amerika menyiarkan tindakan sekumpulan aktivis mengoyakkan naskah kitab al-Quran di hadapan White House sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam sedunia sehingga ada yang mati dalam tunjuk perasaan demi mempertahankan kesucian al-Quran. Sebagai golongan terpelajar sepatutnya perbuatan terkutuk ini tidak berlaku. Islam tidak pernah pernah menyuruh umatnya membakar Bible kristian, Talmud yahudi dan kitab agama lain walau pun jelas sesat sebagaimana Islam melarang daripada mengganggu rumah ibadat agama lain. Inilah kehebatan Islam ketika berdepan dengan kerakusan nafsu serakah golongan pelampau. Kalau kita di sini begitu sibuk dengan hari raya sehingga tak sempat nak ambil tahu tentang peristiwa pembakaran al-Quran ini maka tanyalah diri sendiri samada kita layak berhari raya yang merupakan anugerah Allah sedangkan dalam masa yang sama kita tidak mempedulikan al-Quran yang diturunkan oleh Allah daripada dikhianati oleh musuh Islam. Adakah masih ada cahaya iman dalam diri orang yang tenggelam dalam melayan hawa nafsu sehingga tidak menghiraukan panduan kehidupan utama iaitu al-Quram dipermainkan oleh musuh Islam. Tepuklah dada dan tanyalah iman kita
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

107. Ketetapan Kalah dan Menang dalam Perjuangan

 

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :

إن يمسسكم قرح فقد مس القوم قرح مثله وتلك الأيام نداولها بين الناس وليعلم الله الذين ءامنوا ويتخذ منكم شهداء والله لايحب الظــلمين

Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum kafir itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa kejayaan dan kekalahan itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran). Dan agar Allah membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya gugur sebagai syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim

            Umat Islam pada hari ini masih merasakan kehangatan sambutan eidil fitri yang merupakan suatu anugerah Allah kepada hambaNya yang dapat menunaikan ibadat puasa sebulan Ramadhan yang baru lalu dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah. Hidupkanlah kemeriahan Syawal ini dengan perkara yang dikira ibadat disisi Allah bukannya menjadi ahli maksiat yang mencemari kesucian hari raya dengan amalan yang bercanggah dengan syarak. Sambutan hari raya yang merupakan hari kemenangan buat umat Islam janganlah melupakan kita untuk meneruskan proses tarbiah Ramadhan iaitu dengan sama-sama menunaikan ibadat puasa 6 hari di bulan Syawal yang dinyatakan oleh nabi di mana kelebihannya seperti orang berpuasa sepanjang tahun. Galakan berpuasa 6  hari ini yang datang ketika kemeriahan hari raya bagaikan suatu isyarat bahawa pemergian Ramadhan bukan bererti terhentinya proses dalam mendidik diri serta mengawal nafsu termasuk dengan puasa sunat, terus membaca serta mengamalkan al-Quran, jinak dengan masjid dan sebagainya.  Orang yang paling bijak ialah orang yang bersiap menyediakan bekalan untuk hari akhiratnya sedangkan orang yang dungu ialah orang yang sibuk dengan habuan dunianya yang pasti ditinggalkan bila-bila masa sahaja.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Kedatangan Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketika menyentuh tentang peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah di mana tentera Islam terpaksa berdepan dengan bala tentera musuh seramai 3000 orang. Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan  tetapi pada peringkat kedua  tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Namun pada peringkat ketiga tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas. Kekalahan pada peringkat kedua dalam peperangan Uhud ini akibat melanggar perintah nabi s.a.w selaku pemimpin serta rasa terlalu seronok dengan harta rampasan perang sehingga kurangnya pertautan hati dengan Allah.

            Seterusnya Peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah di mana setiap kali tibanya hari raya, kita sentiasa laungkan kalimah  وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab. Peperangan Ahzab yang bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh. Peperangan ini berlaku selepas penghalauan Yahudi Bani Nadhir oleh Rasulullah s.a.w dari Madinah setelah mereka cuba membunuh nabi. Tentera Islam seramai 3 ribu orang sahaja terpaksa berdepan dengan tentera bersekutu kuffar seramai 10 ribu orang di mana tiada pertempuran sengit yang berlaku sehinggalah Allah mendatangkan kemenangan kepada tentera Islam yang begitu patuh pada arahan Rasulullah s.a.w disamping kuat ikatan diri mereka dengan Allah melalui ribut pasir dan juga kacau bilau di kalangan musuh.

Firman Allah dalam ayat 22 surah Ahzab :

ولما رءا المؤمنون الأحزاب قالوا هذا ما وعدنا الله ورسوله وصدق الله ورسوله ومازادهم إلا إيمــنا وتسليما

Maksudnya : Manakala ketika orang-orang yang beriman melihat pasukan Ahzab maka mereka berkata : “ Inilah ia yang telah dijanjikan oleh Allah dan rasulNya kepada kita. Dan benarlah Allah dan rasulNya”. Dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan ketundukan.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Peperangan yang berikutnya ialah Peperangan Hunain yang berlaku padabulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Bilangan tentera musuh antara 20 hingga 30 ribu orang manakala tentera Islam pimpinan Rasulullah s.a.w  berjumlah 12 ribu orang. Pada peringkat pertama tentera Islam hampir kalah akibat diserang dari pelbagai penjuru oleh musuh ditambah dengan serangan saraf bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Ketika suasana yang kacau bilau ini lalu Rasulullah s.a.w melaung suara bagi membangkitkan kembali semangat jihad tentera Islam sehingga baginda bersama 200 tentera yang terus berjuang bukan sahaja berjaya mengalahkan tentera musuh yang ramai malah berjaya mengepung musuh di Taif. Melalui ketiga-tiga peperangan ini kita dapati pelbagai pengajaran penting yang mesti diambil antaranya ialah bahawa proses menang dan kalah merupakan suatu ketentuan Allah bukannya datang secara kebetulan dan bergantung kepada nasib semata-mata. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun.  Sayyidina Ali Karramallahu wajhah pernah mengingatkan kita : “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Oleh itu bermula dengan suasana kita yang baru keluar daripada universiti Ramadhan dan telah diberikan ijazah kemenangan dengan anugerah hari raya maka sepatutnya semakin kuat semangat jihad dalam diri dengan bersungguh-sungguh membaca serta mengamal serta melaksanakan seluruh sistem al-Quran sehingga mampu memenuhi syarat umat kemenangan dan kemuliaan yang dijanjikan olehAllah. Sempena bulan dan hari yang baik ini juga tidak lupa untuk kita terus mendesak agar kerajaan membebaskan mangsa ISA atau bicarakan mereka dengan saluran yang betul supaya anak dan isteri mangsa tidak terus menderita dihari raya. Kita juga menyeru agar Kerajaan Indonesia tidak terus menekan pusat pengajian pondok terutama selepas serangan di Bali sebagaimana tindakan kejam Thailand ke atas guru agama dan pondok-pondok di sana. Tiada untungnya kita  tunduk kepada telunjuk musuh. Lihatlah bagaimana Pakistan yang bertindak kejam menutup madrasah dan menghalau keluar pelajar agama dari luar negaranya tetapi apabila ditimpa gempa bumi maka bantuan daripada Amerika Syarikat dan kuasa besar lain agak lewat. Begitu juga dengan pembunuhan di Palestin terus meningkat terutama Amerika Syarikat baru menambahkan bekalan senjata canggih kepada yahudi Israel dalam membunuh umat Islam. Kita mesti ingat kata-kata pemimpin yahudi pada tahun 1967 selepas kejatuhan Baitul Maqdis ke tangan yahudi : ” Terlepasnya Baitul Maqdis daripada penguasaan Islam adalah impian bersama antara Yahudi dan Kristian. Kegembiraan Kristian adalah tidak kurang daripada kegembiraan yahudi. Sesungguhnya Baitul Maqdis telah terlepas daripada tangan muslimin. Ia tidak akan kembali ke tangan muslimin melalui mana-mana perundingan di antara yahudi dan muslimin di masa hadapan”.

Ketika musuh menutup rapat pintu perdamaian maka adakah kita terus mengharapkan simpati daripada musuh yang saban hari menunggu masa untuk menghancurkan umat Islam. Antara cara terbaik dalam berdepan dengan kejahatan zionis yahudi adalah sebagaimana dinyatakan oleh Presiden baru Iran iaitu kita mesti membuang Israel daripada peta dunia barulah kejahatan mereka dapat disekat. Jadilah umat Islam yang bermaruah yang tidak tunduk kepada musuh walau apa pun yang berlaku. Biar pelbagai halangan, cabaran, ujian yang mendatang namun Islam mesti didaulatkan. Biar bermandi darah namun kita tidak akan berundur walaupun selangkah. Biar bercerai nyawa daripada badan namun kesucian Islam tetap dipertahankan. Tidak barat dan tidak timur tetapi Islamlah menjadi asas kemajuan dan kemuliaan kita. Bila menang kita bersyukur, bila diuji dengan kekalahan kita bersabar, jika mati kita doakan kita gugur syahid namun untuk berhenti daripada perjuangan Islam tidak sama sekali.

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :

وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير  فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين

Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ