• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Audio 64 – Al-Quran DiJulang Umat Cemerlang

Lailatul Qadar DiHayati Kemenangan DiRai

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan tahukah engkau apakah itu Lailatul-Qadar?. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Kini kita telah berada pada 10 hari dan malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang dijanjikan Allah bahawa ada di antara malamnya suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Anugerah yang amat berharga ini telah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Qadr di mana antara sebab turunnya surah ini ialah sebagaimana disebut oleh Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya: Adalah pada umat bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat nabi Muhammad s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda bani Israel tadi
Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Adalah Rasulullah S.A.W telah beriktikaf pada malam-malam sepuluh terakhir daripada Ramadhan dan baginda S.A.W bersabda yang bermaksud : Carilah malam lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan
Antara hikmat disembunyikan Lailatul Qadar menurut Imam al-Razi seorang ahli tafsir terkenal ialah yang Pertama : Agar umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja. Kedua : Bimbang umat Islam tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat walau pun telah ditetapkan malam tertentu atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah kerana berbuat maksiat dalam keadaan tahu lebih besar dosanya. Ketiga : Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu. Keempat : Melahirkan umat yang menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Lailatul Qadar sehingga meningkat amal solehnya.
Amat malang jika orang lain menggunakan masa yang begitu istimewa ini untuk beriktikaf di masjid sedangkan kita asyik sibuk di Super Market. Amat rugi jika orang lain sibuk menggandakan amal soleh pada hari-hari terakhir Ramadhan sedangkan kita terlalu sibuk dengan persiapan hari raya. Amat kurang cerdik bila orang lain lebih mengejar tawaran istimewa daripada Allah sedangkan kita lebih seronok menyahut jualan murah di pasaraya. Amat kurang bijak bila orang lain berlumba menambah bekalan akhirat sedangkan kita terus asyik dengan dunia

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 123 surah Ali Imran :
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah
Ramadhan pernah menyaksikan kemenangan besar tentera Islam dalam peperangan Badar al-Kubra pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah dan pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 Hijrah menunjukkan kepada kita bagaimana lemahnya nafsu membolehkan semangat juang semakin kuat. Puasa bukan penghalang yang memadamkan semangat juang sebaliknya ia sebagai suatu tarbiah yang berharga dalam melahirkan umat yang hanya takut kepada Allah sehingga tidak akan tunduk kepada musuh walau apa pun yang berlaku.
Antara faktor utama kemenangan tentera Islam dalam mengalahkan musuh ialah [1] Teguh hati di mana tanpa keteguhan hati pasukan muslimin dan peneguhan Allah dengan malaikat-Nya, maka tidak akan wujud kemenangan untuk mereka. Keteguhan hati ini sangat penting kerana perjalanan dakwah adalah jalan sangat panjang dan banyak rintangannya. Dengan keteguhan hati inilah yang menyebabkan mereka mendapat kemenangan, kemuliaan dan pahala yang besar. Keteguhan dalam menyatakan kebenaran, tidak tergoda dengan takhta, harta dan wanita serta habuan dunia yang membolehkan kan pasukan muslimin mencapai kemenangan.
[2] Zikrullah iaitu dengan mengingati Allah sebanyak mungkin secara lisan dan hati. Ternyata syarat kemenangan berpihak kepada orang yang sentiasa ingat Allah dengan selalu berzikir, berdoa dan qiamulail. Mengingati Allah ketika berperang akan menyebabkan seseorang akan mencapai ketinggian ubudiah kehambaaan dan keimanan kepada Allah serta tawakkal kepada Allah. Keteguhan hati dan zikrullah adalah cara untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :
وَأَطِيعُوا اللهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar
Faktor yang seterusnya dalam meraih kemenangan ialah [3] Taat kepada Allah dan RasulNya di mana pertolongan dan bantuan daripada Allah hanya akan muncul bersama dengan ketaatan kepada Allah dan RasulNya. [4] Tiada perselisihan di mana keteguhan hati, zikrullah, dan taat kepada Allah dan RasulNya, apabila diikuti dengan berbantah-bantahan maka yang akan terjadi adalah kegagalan dan hilangnya kekuatan. Dalam perang Badar misalnya, Allah menjaga pasukan Muslimin daripada perselisihan dan berbantah-bantahan. [5] Sabar dalam menghadapi ujian dan kesusahan kerana sabar adalah senjata kekuatan sesuatu pasukan. Sabar dalam menghadapi pertempuran dan sabar dalam menghadapi musibah adalah jaminan bagi sempurnanya pertolongan yang akan diberikan Allah. Sabar bukan bererti pasif. Oleh hal yang demikian, sabar harus sentiasa diiringi dengan ikhtiar dan mujahadah.
[6] Ikhlas di mana kemenangan tidak boleh diraih dengan kesombongan dan riak. Allah pasti akan menolong orang-orang yang berperang di jalanNya dengan niat yang ikhlas. Dalam Islam, bilangan bukanlah faktor yang menentukan segala-galanya tetapi faktor kualiti adalah sesuatu yang perlu diutamakan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sempena berada dalam bulan Ramadhan yang merupakan bukan perjuangan dalam menewaskan musuh yang tersembunyi iaitu nafsu dan musuh daripada golongan kuffar yang sentiasa memerangi umat Islam maka ini semua menuntut agar kita memenuhi segala syarat kemenangan barulah Allah akan datangkan kemenangan yang dijanjikan. Renungilah nasib yang menimpa saudara seagama kita yang sedang ditindas di tanahair sendiri seperti di Selatan Thailand, Mindanao Filiphina, Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Chechnya dan lainnya di mana atas nama memerangi keganasan maka negara umat Islam yang menjadi mangsa keganasan. Begitu juga nasib yang menimpa saudara kita apabila Kerajaan Xinjiang, China kembali mengeluarkan peraturan yang tidak adil dan ‘tidak menghormati hak asasi manusia’ terhadap muslim Uighur yang diancam akan diberhentikan dari pekerjaannya jika diketahui tidak makan pada waktu makan siang. Kempen makan siang, teh, dan kopi diberi percuma sebagai taktik untuk mengetahui siapa yang berpuasa. Para pemilik restoran Muslim dipaksa menandatangani sebuah dokumen yang menyatakan bahawa restoran akan tetap dibuka dan menjual minuman beralkohol dibulan Ramadhan, jika tidak lesennya akan ditarik. Para imam masjid dipaksa untuk berceramah kepada yang lain bahawa puasa adalah aktiviti yang berbahaya bagi kesihatan. Jika tidak, kewarganegaraan mereka akan ditarik balik. Tiada guna merayu pada musuh, tiada manfaat mengadu kepada lawan. Apa yang diharapkan ialah bantuan daripada saudara seagama yang lebih takut kepada Allah daripada musuh durjana, saudara yang lebih pentingkan akhirat daripada dunia. Berubahlah hasil tarbiah Ramadhan agar kita berjaya dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Maidah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Lailatul Qadar DiGapai Kebahagiaan DiCapai

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan tahukah engkau apakah itu Lailatul-Qadar?. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Kini kita telah berada pada  hari yang ke-21 daripada bulan Ramadhan 1433H yang mengingatkan kita bahawa Ramadhan tahun ini telah memasuki fasa ketiga iaitu dijanjikan dengan kebebasan daripada api neraka bagi hamba Allah yang berjaya menghidupkan Ramadhan dengan amal soleh penuh keikhlasan kepada Allah. Beradanya kita pada 10 hari dan malam terakhir bulan Ramadhan ini juga memberi isyarat yang jelas supaya kita semakin bersemangat dalam menambahkan bekalan akhirat pada saat yang begitu berharga ini terutama salah suatu malamnya akan ada Lailatul Qadar yang beribadat padanya lebih baik daripada 1000 bulan atau 83 tahun 3 bulan. Sebahagian ulama berpendapat al-Qadar bermaksud pengagungan. Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya malaikat termasuk Jibril, melimpah rahmat dan keampunan serta pada malam itu Allah SWT menganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah kepadaNya. Banyak hadis nabi yang menyebut tentang kelebihan dan malam berlakunya Lailatul Qadar antaranya

قال الرسول : مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِإِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ -– رواه البخاري ومسلم.

Maksudnya : Sesiapa yang bangun beribadat pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka diampunkan baginya  dosa-dosanya yang telah lalu

قال الرسول : ”تحََرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فيِ العَْشِر الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ” – رواه البخاري ومسلم.

Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir daripada  Ramadhan
قال الرسول : “تحََرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فيِ الوِتْرِ مِنَ العَْشِر الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ” – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar pada bilangan ganjil pada 10 malam terakhir daripada  Ramadhan

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 133 surah Ali ‘Imran :

وَسَارِ‌عُوا إِلَىٰ مَغْفِرَ‌ةٍ مِّن رَّ‌بِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْ‌ضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْ‌ضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya : Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Antara amalan terbaik dalam menghidupkan 10 malam terkahir Ramadhan terutama dalammengejar Lailatul Qadar ialah mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruma. Para sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi’en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Memperbanyakkan solat sunat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Nabi s.a.w sendiri tidak akan melalui bacaan ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui bacaan ayat azab kecuali memohon perlindungan Allah daripada azab itu. Menjaga Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Banyak beriktikaf di masjid kerana nabi s.a.w beriktikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah di mana sunnah iktikaf diteruskan oleh para isterinya.  Kita turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa di mana doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Tidak ketinggalan dengan amalan mulia iaitu banyak bersedekah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Kita tidak mempunyai alasan untuk mensia-siakan kehadiran Ramadhan terutama untuk merebut kelebihan Lailatul Qadar. Gunakanlah Ramadhan sebagai saat keemasan dalam menambah kekuatan jiwa yang mampu mengawal hawa nafsu dalam diri. Renungilah keadaan saudara kita yang berada dalam kangcah peperangan seperti di bumi Palestin, Syria, bangsa Ronghiya di Myanmar dan beberapa negara lagi yang berdepan dengan senjata musuh yang menunggu masa untuk merobek dan memamah tubuh mereka ketika mahu menyempurnakan ibadat puasa apatah lagi untuk ke masjid. Begitu juga tekanan terhadap amalan berpuasa seperti kes pemecatan empat orang Muslim Perancis daripada pekerjaannya sebagai pengajar kem musim panas kerana melaksanakan ibadah puasa telah mencetuskan kemarahan umat Islam di Perancis. Hakim memutuskan amalan puasa menyebabkan tumpuan terhadap penjagaan pelajar terabai. Begitu juga penerusan kepada penderitaan umat Islam di sebuah negeri di China apabila para pegawai Islam dan pelajar di wilayah barat laut Xinjiang telah dilarang berpuasa selama bulan Ramadhan ini malah adanya larangan pelajar daripada memasuki masjid sepanjang Ramadhan. Itu belum dikira dengan beberapa sikap anti Islam yang lain seperti penentangan terhadap pembangunan masjid dan penerapan Syariah Islam di mahkamah menjadi bahan kempen untuk memenangi pilihan raya parlimen di sebuah negara di Amerika Syarikat. Apa yang lebih teruk apabila Jawatankuasa Kebangsaan Bahagian Urusan Agama Republik Azarbaijan memerintahkan kepada para khatib masjid di seluruh negara itu untuk melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu. Arahan itu dikeluarkan pada 30 Jun yang lalu. Alasan pemindahan tersebut kerana dinilai mengganggu jam kerja, di mana hari Jumaat di Azarbaijan adalah hari kerja rasmi negara itu di mana pemindahan solat Jumaat ke hari Sabtu diharapkan dapat mengurangkan beban para pegawai dan pekerja pemerintah. Republik Azarbaijan adalah negara kecil yang majoriti penduduknya beragama Islam. Dilaporkan, jumlah penduduk muslim di sana mencapai 90% dari jumlah keseluruhan penduduknya. Hubungan rapat regim yang berkuasa dengan Israel, menyebabkan dasar-dasar pemerintah cenderung anti Islam. Sehingga kini, warga muslim Azarbaijan masih memperjuangkan hak-hak kaum muslimah untuk memakai tudung di negara itu. Malangnya apa yang berlaku di Negara kita adalah sebaliknya apabila umat Islam bebas berpuasa tetapi ramai yang tidak berpuasa akibat tewas kepada hawa nafsu. Umat Islam bebas untuk solat Jumaat tetapi ramai mengabaikannya. Umat Islam bebas memakai tudung tetapi ramai yang memilih untuk mendedah aurat. Ingatlah amaran keras daripada Allah dan rasulNya kepada golongan yang tidak bersyukur atas nikmat Allah di mana Allah akan memberi nikmat yang banyak sehingga mereka lalai lalu didatangkan azab yang dahsyat dalam keadaan mengejut sehingga tidak guna lagi penyesalan

Firman Allah dalam ayat 44 surah al-An’am :

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُ‌وا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِ‌حُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

Maksudnya : Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Sempena berada pada bulan Ramadhan yang merupakan bulan diturunkan al-Quran maka marilah kita sama-sama memperbanyakkan untuk membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan kita. Kegagalan dalam melaksanakan sistem al-Quran menyebabkan banyak masalah jenayah, sosial yang berlaku. Kita jangan menjadi golongan yang hanya setakat membaca al-Quran tetapi tidak memahami apatah lagi menghayati sistem al-Quran dalam kehidupan seharian. Ingatlah kita kepada suatu amaran nabi yang bermaksud : “ Akan zahir di kalangan umatku di akhir zaman, orang yang membaca al-Quran tetapi al-Quran hanya sampai ke halkumnya sahaja tetapi tidak sampai ke dalam hati.”

Sempena berada pada bulan Ramadhan bulan turunnya al-Quran marilah kita sama-sama menghidupkan al-Quran dalam diri kita, keluarga kita seterusnya masyarakat sekeliling, negeri dan negara. Beruntunglah bagi orang yang menjadikan al-Quran sebagai teman hidup sehingga al-Quran mampu memberi ketenangan dalam kehidupan di dunia, membantunya ketika berada dalam alam kubur seterusnya padang mahsyar nanti. Betapa ruginya manusia yang menjauhi al-Quran sehingga hidupnya penuh kekosongan jiwa, dalam kubur melolong seorang diri mencari penolong dan di akhirat tercari-cari sesuatu yang mampu membantunya untuk lari daripada azab yang dahsyat

Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Al-Quran DiJulang Umat Cemerlang

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1 -5 surah al-‘Alaq :

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Maksudnya : Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Hari ini kita berada pada tanggal 17 Ramadhan yang mengingatkan kita tentang penurunan al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar bagi nabi Muhammad s.a.w yang kekal hingga hari qiamat. Al-Quran merupakan kitab yang diturunkan dari langit yang dijamin terpelihara oleh Allah daripada sebarang penyelewengan walau pun satu baris atau satu huruf  berbanding kitab-kitab yang lain seperti Taurat dan Injil yang diseleweng sesuka hati walau pun ketika nabi Musa a.s dan nabi Isa a.s masih ada. Malah menurut sesetengah pendapat bahawa kitab Taurat pernah hilang tetapi berjaya ditulis semula dengan isi hampir sama dengan yang asal melalui ingatan seorang yang bernama Uzair sehingga yahudi menganggap bahawa Uzair adalah anak Allah. Ini berbeza dengan mukjizat al-Quran yang terus terpelihara sehingga orientalis Barat sedaya upaya cuba memesongkan pegangan umat Islam dengan dakwaan al-Quran yang berada pada tangan umat Islam pada hari ini atas resam Uthmani adalah hasil rekaan Sayyidina Osman al-‘Affan bukannya al-Quran asal sebagaimana yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. Dakwaan yang karut ini sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran umat Islam yang cetek ilmu agama dan banyak menggunakan logik akal semata-mata dalam mencari kebenaran. Kehebatan mukjizat al-Quran jelas dapat dilihat bila nabi Muhammad s.a.w yang terkenal sebagai seorang ummi tidak tahu membaca dan menulis tetapi mampu mengingati al-Quran setiap kali ia diturunkan dengan baik. Sifat tidak tahu membaca dan menulis yang ada pada nabi Muhammad s.a.w bukan untuk melemah dan merendahkan martabat nabi sebaliknya sebagai bukti jelas bahawa al-Quran bukannya kitab rekaan dan hasil penulisan nabi sendiri sebagaimana yang didakwa oleh penentangnya. Begitu juga para huffaz dari kalangan sahabat nabi dapat mengingati al-Quran dengan baik tanpa berlaku percanggahan isi kandungan dan susunan al-Quran. Malah sebelum ini pernah tercatat dalam sejarah bagaimana musuh Islam cuba menukar baris al-Quran sehingga mengubah makna, begitu juga tindakan jahat yahudi yang mereka beberapa surah yang didakwa al-Quran di mana semuanya gagal kerana mudah diketahui oleh umat Islam yang peka terhadap al-Quran

Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Hijr’:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ‌ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Peristiwa bersejarah penerimaan wahyu yang pertama melalui malaikat Jibril ketika nabi Muhammad s.a.w sedang bermunajat di Gua Hira’ memberi kesedaran kepada kita semua bagaimana pentingnya proses pembelajaran ilmu agama melalui tunjuk ajar guru mursyid dengan bersemuka dengan mereka bukannya hanya belajar melalui pembacaan buku atau internet sahaja yang boleh terjebak dengan ajaran sesat dan fahaman yang terpesong daripada Islam

وفي صحيح مسلم عن محمد بن سيرين قال: ِإنَّ هَذَا العِلْمَ دِيْنٌ، فَانْظُرُوْا عَمَّنْ تَأْخُذُوْنَ دِيْنَكُمْ

Maksudnya : Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka kamu kena perhatikan daripada siapa kamu mengambil ilmu berkenaan agama kamu

            Begitu juga nasihat imam Syafie : Sekiranya ilmu agama diambil hanya melalui pembacaan kitab sahaja tanpa berguru nescaya akan berselerak segala hukum hakam agama

            Akibat kejahilan menyebabkan masih ada orang Melayu Islam  bukan sahaja terbabit dengan pertandingan ratu cantik malah mempertikai fatwa tentang pengharamannya. Dalam masa yang sama kita mendesak agar pemimpin serius dalam menghalang pertandingan ratu cantik disamping beberapa acara sukan terutama gimnastik, renang yang jelas menelanjangkan atlit sedangkan banyak jalan lain untuk memastikan pakaian lebih sopan serta diwujudkan stadium tertutup khusus untuk wanita. Sepatutnya kita berasa malu kepada pemain sukan professional di Barat yang sanggup memboikot pakaian sukan yang ditaja melalui system riba atau syarikat judi sehingga penajaan terpaksa ditukar. Begitu juga ada kerajaan di Barat membina surau di stadium bagi memudahkan pemain dan penyokong untuk solat sedangkan kita di sini ramai yang sanggup meninggal solat kerana nak bermain atau menonton acara sukan. Ahli sukan di barat berjaya berada di pentas antarabangsa dengan menjaga solat walau sibuk bersukan sedangkan kita yang masih jaguh kampung dah tinggal solat untuk melayan minat yang tidak berbaloi

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا 

Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”

Keberkesanan sesuatu ubat hanya dapat dilihat hasilnya bila ubat itu telah digunapakai. Begitulah kehebatan system al-Quran dalam menyelesaikan seluruh masalah umat tidak mampu dilihat hasilnya jika umat Islam sendiri tidak menggunapakai system al-Quran dalam kehidupan seharian mereka. Masalah umat Islam tidak akan berjaya diubati dan ditangani dengan baik bila system al-Quran diketepikan. Bila umat Islam sendiri memperlekeh hukum al-Quran menyebabkan orang bukan Islam mengambil peluang untuk turut menghina ajaran Islam sebagaimana penghinaan pasangan bukan Islam dengan gambar berbuka puasa dengan sesuatu yang terkenal dengan juadah yang haram. Itu belum dikira lagi dengan kes hidangan berbuka puasa samada di restoren atau hotel yang tidak sah dari segi pensijilan halal. Sepatutnya umat Islam mengambil berat perkara ini supaya kita mesti berbuka dengan makanan yang dihasilkan oleh orang yang menjaga solat, puasa dan menutup aurat dengan sempurna disamping wajib menjauhi makanan syubhat apatah lagi haram semasa berbuka. Jangan ikut selera nafsu masa berbuka sebaliknya ikutlah panduan wahyu agar kita bukan sahaja dapat berbuka puasa dengan makanan halal malah dapat pula merasai nikmat Syurga di akhirat nanti.

Kita juga wajib sepanjang masa serius dalam menangani masalah penghinaan terhadap Islam samada dari orang Islam sendiri atau orang bukan Islam. Kita tidak mahu bila rakyat di bawah sahaja diambil tindakan bila menghina system Islam sedangkan pemimpin atasan dibiarkan bebas untuk mencaci system Islam. Kita juga wajib menyebar luas kefahaman tentang keindahan Islam di mana kini mula ada suara daripada orang bukan Islam sendiri yang mencadangkan  agar di asingkan antara rumat urut lelaki dan perempuan bagi mengelak pelacuran. Begitu juga had jualan arak agar tidak terbuka kepada umum bagi menangani masalah ketagihan dan kesan bahaya daripada arak. Kita yakin system Islam itu adil dan cantik serta sesuai sepanjang zaman namun akibat kejahilan menyebabkan ia dimusuhi

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sempena kita berada di bulan Ramadhan yang merupakan penghulu segala bulan dan bulan al-Quran maka marilah kita sama-sama mengambil peluang yang ada dalam melahirkan diri kita sebagai umat yang bertaqwa. Antara sifat yang ada pada umat bertaqwa ialah menjiwai rasa kasih saying dan mengambil berat kepada penderitaan serta kesusahan saudara Islam yang lain. Kita mengutuk kekejaman kerajaan Syria yang terus membunuh rakyat yang tidak berdosa sehingga pada Ramadhan ini sahaja menjangkau 2000 orang. Kita juga mendoakan agar penderitaan saudara kita di bumi Palestin dapat dihentikan dengan kesatuan umat Islam atas dasar Islam dalam membebaskan bumi Palestin dan Masjid Aqsa. Kembalikan semula semangat Ramadhan yang pernah menyaksikan kemenangan gemilang tentera Islam dalam Peperangan badar al-Kubar, pembebasan Kota Mekah daripada cengkaman kerajaan jahiliah serta pembebasan Masjid Aqsa sebelum ini. Mimbar jumaat hari ini juga mengutuk tindakan tidak bertamadun tentera Mesir yang menggulingkan kerajaan sah pilihan rakyat serta perancangan jahat dalam mewujudkan perang saudara di Mesir dengan pelbagai cara yang keji. Musuh Islam terutama Amerika dan Zionis yahudi mengambil kesempatan ini dalam mencari keuntungan di atas perpecahan umat Islam. Semuanya memberi kesedaran yang tinggi agar kita sama-sama kembali bersatu atas landasan Islam untuk menggapai kemenangan di dunia dan akhirat. Semoga semangat Ramadhan dapat digunakan semaksima yang mungkin dalam menyatukan seluruh umat Islam atas satu wadah dan satu matlamat. Islamlah nescaya kita bahagia dan Berjaya dunia akhirat.

            Firman Allah dalam  ayat 153 surah al-An’am:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَ‌اطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّ‌قَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

81. IMAN KUAT KEMENANGAN DEKAT

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُفَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :

إنا أنزلنــه فى ليلة القدر . وما أدرئك ما ليلة القدر . ليلة القدر خير من ألف شهر . تنزل الملــئكة والروح فيها بإذن ربهم من كل أمر . سلــم هي حتى مطلع الفجر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan tahukah engkau apakah itu Lailatul-Qadar?. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan.  Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

                Sempena berada dalam bulan Ramadhan yang dijanjikan oleh Allah dengan penggandaan pahala dan pengampunan dosa maka kita wajib menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi umat Islam mula memasuki 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang dijanjikan Allah bahawa ada di antara malamnya suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Jadikanlah diri kita sebagai umat yang sentiasa berlumba dalam menambah amalan soleh bukannya sebagai umat yang berkarat hatinya dicemari maksiat sehingga tidak lagi merasai keinginan yang mendalam untuk merebut peluang yang datang dalam menambah amalan kebaikan sebagai bekalan hari akhirat yang bakal menjelang. Betapa ruginya manusia yang menolak peluang dan tawaran yang datang di hadapan mata. Inilah antara sifat manusia yang tidak bersyukur kepada Allah di mana dia sentiasa mengeluh tentang suatu yang tiada dalam miliknya sedangkan dalam masa yang sama dia jarang menggunakan sebaiknya peluang atau rezeki yang telah berada dalam genggamannya

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Adalah Rasulullah S.A.W telah beriktikaf pada malam-malam sepuluh terakhir daripada Ramadhan dan baginda S.A.W bersabda yang bermaksud : Carilah malam lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan

Antara sebab disembunyikan Lailatul Qadar menurut Imam al-Razi seorang ahli tafsir terkenal  ialah yang Pertama  : Agar umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja. Kedua    :  Bimbang umat Islam tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat walau pun telah ditetapkan malam tertentu atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah kerana berbuat maksiat dalam keadaan tahu lebih besar dosanya. Ketiga  :  Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu. Keempat  :  Melahirkan umat yang menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Lailatul Qadar sehingga meningkat amal solehnya.

            Amat malang jika orang lain menggunakan masa yang begitu istimewa ini untuk beriktikaf di masjid sedangkan kita asyik sibuk di Super Market. Amat rugi jika orang lain sibuk menggandakan amalan pada hari-hari terakhir Ramadhan sedangkan kita terlalu sibuk dengan persiapan hari raya. Oleh itu ubahkanlah diri ke arah menjadi umat bertaqwa hasil daripada tarbiah Ramadhan bukannya terus berada di takuk yang lama malah semakin teruk akibat tidak mampu melawan nafsu walau pun iblis dan syaitan telah pun dirantai pada bulan mulia ini.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Sebagaimana kita begitu yakin bahawa memang adanya Lailatul Qadar antara malam-malam Ramadhan ini sehingga kita begitu bersungguh dalam mengejarnya agar segala janji Allah dapat diraih maka begitulah juga kita mesti yakin tentang janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah kepada hambaNya yang soleh sehingga kita semakin bersemangat dan istiqamah dalam memperjuangkan Islam walau pun ditentang dan dihalang oleh musuh dari pelbagai sudut. Jika Lailatul qadar disembunyikan agar kita dapat menambahkan amalan serta berusaha mencarinya maka begitulah juga dengan janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah turut disembunyikan agar kita terus berjuang sehingga datangnya ketentuan daripada Allah samada dianugerahkan kemenangan bersama keredhaanNya atau pun ditimpa dengan ujian kekalahan. Ingatlah bahawa Allah akan bertanya apakah usaha kita dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini bukannya ditanya apakah hasil perjuangan kita selama ini. Kita juga perlu ingat bahawa bukan dengan semata-mata kita berada dalam agama Islam maka kita mesti menang dengan mudah ke atas musuh. Lihatlah perjuangan para nabi dan rasul termasuk nabi Muhammad s.a.w dan para pejuang Islam yang terdahulu di mana mereka diuji dengan begitu teruk sehingga nyawa bagaikan berada dihalkum yang membuatkan hubungan mereka dengan Allah semakin rapat barulah datangnya kemenangan gemilang yang dijanjikan oleh Allah. Oleh itu marilah kita muhasabah diri samada sudah cukupkah syarat sebagai umat yang dijanjikan kemenangan termasuk hubungan kita dengan Allah adakah semakin rapat atau jauh.

Kita terlalu bimbang jika umat Islam terus ketinggalan dalam semua perkara berbanding musuh termasuk hubungan kita dengan Allah yang begitu jauh serta bergelumangnya kita dengan dosa sebagaimana musuh maka usah ditanya lagi mengapakah Allah belum datangkan kemenangan kepada umat Islam pada hari ini. Sebaliknya tanyalah diri kita sendiri bilakah lagi masa yang paling sesuai untuk merapatkan diri kepada Allah dan bilakah lagi masa yang terbaik untuk menjauhi sebarang dosa jika bukan pada bulan Ramadhan ini sehingga diri kita mampu lahir antara umat yang dijanjikan kemenangan oleh Allah. Ujian kekalahan ke atas umat Islam yang tidak mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar adalah lebih baik daripada anugerah kemenangan kerana ditakuti mereka lebih berani melawan Allah selepas itu atas alasan bahawa jika mereka tidak melaksanakan ajaran Islam pun boleh menang, jadi buat apa lagi perlunya mereka untuk kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh. Alangkah malangnya jika berlalunya Ramadhan sedangkan ketaqwaan dalam diri kita terus lemah. Sepatutnya kedatangan bulan Ramadhan bukan bererti melemahkan umat Islam kerana terpaksa berpuasa sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad dalam melawan musuh dalam diri iaitu nafsu dan musuh zahir dari kalangan munafik dan kuffar. Ramadhan bukan menjanjikan kemenangan dalam melawan nafsu sahaja sebaliknya apabila nafsu dapat dikalahkan maka keadaan diri umat Islam lebih dekat kepada Allah sehingga kita mampu untuk menghadapi musuh zahir dengan lebih yakin.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sudah menjadi sunnah ketetapan Allah bahawa bagi setiap tugas pejuang Islam dalam mememelihara kesucian agama Allah mesti adanya musuh yang sentiasa menghalangnya dengan pelbagai cara sehingga ada yang gugur dan ada yang meneruskan perjuangan dan tidak kurang mereka yang lari daripada perjuangan akibat tidak tahan dengan ujian.

Firman Allah dalam  ayat 123 surah al-An’am:

وكذلك جعلنا فى كل قرية أكــبر مجرميها ليمكروا فيها وما يمكرون إلا بأنفسهم وما يشعرون

Maksudnya : Dan demikianlah Kami jadikan dalam setiap negeri ketua penjenayah yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri  sedangkan mereka tidak menyedarinya

            Ingatlah kita bahawa dalam setiap umat adanya golongan yang soleh dan ada pula golongan jahat yang melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi ini. Ini semuanya berada di bawah perancangan dan pengetahuan Allah bagi menguji keimanan golongan yang mempertahankan iman mereka. Umat Islam hari ini turut berhadapan dengan penyangak dan penjahat besar dunia iaitu zionis yahudi yang berjaya memperkudakan Amerika dalam melakukan kezaliman dan penindasan. Umat Islam mesti berhadapan dengan musuh Allah ini bukan dengan kekuatan kebendaan semata-mata sebagaimana blok demokrasi melawan blok komunis sebelum ini tetapi apa yang paling penting ialah umat Islam mesti bersedia dalam semua bidang dan sistem berasaskan Islam serta melahirkan lebih ramai umat bertaqwa yang begitu hampir hubungan mereka dengan Allah barulah janji kemenangan akan menjelma. Malah kuasa komunis Soviet Union tidak tumbang disebabkan kekuatan blok demokrasi sebaliknya mereka jatuh menyembah bumi hasil perjuangan mujahidin Afghanistan yang sentiasa berkobar semangat jihad mereka. Dunia Islam turut menyaksikan bagaimana peperangan antara negara-negara Arab ke atas yahudi Israel tahun 1967 di mana walau pun mempunyai kekuatan senjata dan tentera sehingga Presiden Mesir pada waktu itu, Jamal Abdul Nasser menyatakan dengan penuh yakin bahawa serangan itu bakal menyaksikan sebelum Subuh lagi Israel akan jadi padang jarak padang tekukur. Apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila negara arab kalah teruk sehingga Sinai, Mesir dan Golan, Syria jatuh ke tangan musuh. Ini adalah kerana kekuatan senjata tidak mencukupi jika bergerak bukan atas dasar iman. Ini berbeza dengan hasil kepada suatu lagi peperangan antara tentera Mesir dan Syria dibantu oleh negara arab lain dalam melawan yahudi Israel dengan slogan Allahu Akbar ketika umat Islam sedang berpuasa Ramadan tahun 1393 Hijrah bersamaan Oktober 1973 Masihi di mana yahudi Israel tidak menyangka sekali mereka akan tewas teruk dalam masa sekejap sehingga ratusan pesawat hancur sebelum terbang dan kenderaan ranap sebelum sempat bergerak malah kubu yang dianggap terkuat di dunia berdekatan Terusan Suez turut hancur. Pada hari pertama sahaja yahudi Israel terpaksa meminta bantuan daripada barat dan jika tidak disebabkan bantuan Amerika maka sudah tentu yahudi telah terkubur pada waktu itu. Kemenangan ini boleh berulang jika umat Islam kembali bersatu atas dasar Islam dengan membuang ideologi sesat ciptaan manusia yang selama ini menjadikan kita umat yang tidak mampu berdikari.

Namun apa yang malangnya apabila umat Islam hari ini terus berpecah ketika berhadapan dengan yahudi dan Amerika sehingga kita mudah dikalahkan dan dijajah ditambah dengan tindakan pemimpin negara umat Islam sendiri yang lebih ganas dalam memusuhi rakyat demi menjaga hati Amerika daripada melihat musuh yang sebenar sebagai penjenayah yang sepatutnya dimusuhi. Peralihan pemimpin baru di negara kita serta kedatangan Ramadhan bagaikan tidak mengubah keadaan serta tidak mengetuk hati mereka yang sepatutnya lebih ke hadapan dalam membela rakyat apabila 13 orang pelajar negara ini dalam usia muda yang belajar di Pakistan ditangkap di bawah ISA atas alasan mereka adalah pelapis pengganas disaat umat Islam hampir menyambut hari raya. Jika kita melihat kepada perjalanan sejarah maka kita dapati bagaimana kebanyakan peralihan kuasa jika tidak atas dasar Islam maka ia biasanya akan melahirkan pemimpin yang lebih bersikap kuku besi akibat penerusan kepada sistem ciptaan manusia demi mempertahankan takhta yang dipegang. Oleh itu kembalilah kita kepada dasar Islam agar keadilan dan kebenaran dapat dirasai serta kita diredhai oleh Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat  35 surah al-Maidah :

يــأيها الذين ءامنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجــهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya  dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

56. PENUHI SYARAT KEMENANGAN ISLAM

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 123-124 surah Ali ‘Imran :

ولقد نصركم الله ببدر وأنتم أذلة فاتقوا الله لعلكم تشكرون . إذ تقول للمؤمنين ألن يكفيكم أن يمدكم ربكم بثلــثة ءالــف من الملئكة مسومين

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu dalam keadaan lemah, Oleh itu bertaqwalah kepada Allah agar kamu mensyukuriNya. Ingatlah ketika kamu mengatakan kepada orang mukmin :” Apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantumu dengan 3 ribu para malaikat yang diturunkan dari langit?”.

            Kini kita telah berada di sepuluh hari dan malam-malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan pengampunan serta penggadaan pahala. Hari-hari dan malam-malam terakhir inilah yang akan menampakkkan sifat ketaatan dan istiqamah seseorang itu samada dalam menunaikan ibadat khusus kepada Allah atau usaha dalam mendekatkan diri kepada Allah sehingga lahir sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Ini boleh mengukur sejauh manakah seseorang itu berjuang untuk Islam dan berapa tinggikah pergantungan dan ikatan hatinya kepada Allah dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini. Ramai yang berjuang tetapi hanya sekerat jalan akibat tidak tahan dengan ujian yang datang dan ramai juga yang berjuang tetapi rasa keikhlasan dan pertautan hatinya dengan Allah agak kurang sehingga tidak datangnya kemenangan. Begitulah apa yang kita lihat dalam masalah menghidupkan bulan Ramadhan bulan tarbiah di mana pada awal Ramadhan didapati masjid dan surau begitu penuh melimpah tetapi pada hari-hari terakhirnya tempat ibadat itu semakin sepi dan lengang kerana ramai yang lebih seronok memenuhi pasaraya untuk persiapan hari raya sedangkan pada malam 10 terkahir inilah akan berlakunya lailatul Qadar yang disifatkan oleh Allah bahawa ia merupakan suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan yang lain sebagaimana  firman Allah dalam ayat 3 surah al-Qadar :

ليلة القدر خير من ألف شهر

Maksudnya : Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

            Tidak salah bersiap untuk hari raya tetapi janganlah sehingga kurang masanya untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Tuhan yang menganugerahkan hari raya itu untuk kita semua. Jadilah umat Islam yang berjaya di mana dia mampu membahagi masa dengan baik di mana ada waktu untuk bermunajat kepada Allah dan ada waktu pula untuk menguruskan kerja dunia tetapi tidak terkeluar daripada apa yang dikehendaki oleh agama. Godaan nafsu pada hari terakhir Ramadhan begitu kuat kerana nafsu bagaikan tidak mahu melihat kita mendapat kelebihan lailatul Qadar. Tetapi itulah budaya yang ditunjukkan oleh media di mana bulan Ramadhan lebih banyak ditunjukkan suasana orang makan daripada ditayangkan orang yang sedang kelaparan dan apabila hampir berakhirnya Ramadhan pula lebih banyak ditunjukkan orang yang sedang berhari raya daripada menayangkan orang yang sedang berpuasa.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Ramadhan bulan meningkatkan ketaqwaan dan menambahkan amalan dalam mendekatkan diri kepada Allah. Ini adalah penting  kepada kita yang mengaku sebagai pejuang Islam. Ramadhan telah membuktikan bahawa Islam mampu beroleh kemenangan gemilang dengan pertolongan daripada Allah sebagaimana kemenangan dalam peperangan Badar al-Kubra, Pembukaan Kota Mekah, pembukaan Baitul Maqdis oleh Solehudin al-Ayyubi. Ini menunjukkan kepada kita bahawa semakin lemahnya nafsu dunia maka semakin maraknya cinta kepada Allah yang membolehkan kita berhadapan dengan musuh tanpa rasa takut dan gentar dengan hilangnya perasaan terlalu cintakan dunia. Semakin hampirnya kita kepada Allah dan semakin kuatnya pertautan hati kita kepada Allah maka semakin dekatlah pertolongan dan kemenangan daripada Allah. Oleh itu gunakanlah sepenuhnya kedatangan Ramadhan kali ini untuk lebih menjinakkan nafsu kita sehingga membolehkan kita mendekatkan diri kepada Allah. Hilangkan dua penyakit merbahaya dalam diri iaitu terlalu cintakan dunia dan takutkan kematian sehingga umat Islam kembali mulia dan seterusnya dianugerahkan kemenangan oleh Allah.

            Jika dalam peperangan Badar al-Kubra ketika Rasulullah s.a.w dan tentera Islam berada dalam kepungan musuh yang tiga kali ganda lebih ramai dan kuat sedangkan nabi dan tentera Islam sebejnarnya bukanlah keluar dengan niat berperang maka Allah datangkan kemenangan kerana pertautan hati mereka dengan Allah begitu kuat. Oleh itu kita umat Islam hari ini dengan jumlah yang ramai mestilah lebih yakin kepada janji kemenangan daripada Allah dengan syarat kita kembali bersatu di bawah panji Islam bukannya terus berpecah mengikut bangsa dan negara sebagaimana yang dilakukan oleh penjajah. Umat Islam mesti mendalami ilmu agama sehingga benar-benar mantap dan menerokai ilmu baru yang bermanfaat sehingga kukuh aqidahnya di mana dengan kekuatan aqidahlah maka seluruh ujian yang mendatang dapat dilalui dengan baik.

Kata seorang barat (Uskup) dalam bukunya Gereja dan Islam : “ Sesungguhnya rahsia kekuatan luar biasa yang berjaya dizahirkan oleh Islam berpandu kepada kejayaan agama ini mengesani kewujudan Allah dan kehendak iradatNya yang Maha Tinggi. Kekuasaan Allah yang mutlak ke atas alam ini yang tersembunyi dalam WahdaniyyahNya. Keimanan jenis inilah yang menyerapkan kepada orang-orang Islam roh ketundukan dan kecintaan kepada mati yang tidak pernah kami ketahui terdapat pada mana-mana sistem selain Islam. Ini ditambah lagi aqidah Islam bersih daripada sebarang kekusutan dan kecelaruan. Malah aqidah Islam berada dalam lingkungan yang mudah difahami oleh orang awam. Sesungguhnya aqidah Islam adalah suatu kekuatan yang menakjubkan yang berjaya meresap ke dalam hati-hati manusia dengan mudah”

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Umat Islam hari ini begitu di hina dan diperlakukan sesuka hati oleh musuh Islam bukanlah kerana tiada kekuatan ekonomi tetapi akibat tidak menghidupkan budaya ilmu dalam kehidupan. Umat Islam sendiri jahil tentang Islam sehingga kadang-kadang membawa kepada mempertikaikan kebanyakan sistem yang ada dalam Islam. Apabila umat Islam ditimpa dengan kejahilan maka aqidahnya pun menjadi lemah sehingga membawa kepada kurang keyakinan terhadap Islam dan mereka berpecah mengikut apa yang dikehendaki oleh penjajah. Inilah yang menyebabkan negara-negara umat Islam yang dianugerahkan pelbagai hasil mahsul negara yang tidak dapat dimanfaatkan untuk keseluruhan rakyat jelata kerana kurangnya kepakaran daripada kalangan umat Islam sendiri akibat budaya malas dan lebih suka tunduk kepada penjajah. Akhirnya banyak hasil bumi negara umat Islam disedut dan diambil untuk manfaat kuffar. Kuffar begitu gerun jika umat Islam kembali bersatu atas dasar iman. Oleh itu kuffar terus berusaha agar umat Islam dan negara masing-masing terus berpecah yang menyebabkan umat Islam terus menjadi lemah. Umat Islam mesti menyedari hakikat bahawa ilmu dan aqidah mesti kuat sebelum boleh bergerak dengan kekuatan ekonomi kerana jika ekonomi sahaja yang kuat sedangkan aqidah umat Islam lemah maka kekuatan ekonomi itu tidak akan digunakan untuk Islam sebaliknya lebih banyak digunakan untuk kepentingan diri sehingga hilangnya semangat jihad dan semakin lemahnya aqidah kerana dihanyutkan dengan cinta dunia.

            Ingatlah sabda Rasulullah sa.w :

فَوَاللهِ  مَا الفَقْرَ  أَخْشَى  عَلَيْكُمْ  وَلَكِنِّي  أَخْشَى    أَنْ  تُبْسَطَ  عَلَيْكُمُ  الدُّنْيَا  كَمَا  بُسِطَتْ  عَلَى  مَنْ  كَانَ  قَبْلَكُمْ  فَتَنَافَسُوْهَا  كَمَا  تَنَافَسُوْهَا فَتُهْلِكَكُمْ  كَمَا  أَهْلَكَتْهُمْ  .

Maksudnya  :  Demi  Allah!  Aku tidak bimbang  kefakiran yang menimpa kamu tetapi  apa yang aku bimbang  ialah  apabila dibentangkan kemewahan  dunia  sebagaimana  yang  telah  dibentangkan  kepada umat sebelum kamu lalu mereka merebut kemewahan dunia itu  maka kamu juga akan berebut sebagaimana mereka maka kamu  akan dibinasakan  sebagaimana  binasanya umat sebelum kamu

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Musuh Islam terus menekan dan menyerang umat Islam seluruh dunia kerana Islam yang bergerak atas asas wahyu dan menawan hati manusia merupakan suatu kuasa yang paling merbahaya kepada kuffar yang bergerak atas dasar kejahilan dan paksaan ke atas tubuh manusia. Islam diperangi secara fizikal dan mental. Umat Islam di Palestin terus dibunuh dan disiksa setiap hari. Begitu juga umat Islam di beberapa tempat yang lain di mana kuffar yang telah memulakan perang Salib terbaru terhadap Islam tidak akan merasa tenang selagi adanya umat Islam di atas muka bumi Allah ini. Selain serangan fizikal kuffar turut menghina Islam agar dibenci oleh seluruh umat dunia bagi menyekat kemasukan rakyat negara-negara barat terutama Amerika ke dalam Islam yang kini peratusnya begitu tinggi sejak serangan 11 September. Apa yang terbaru ialah penghinaan seorang wartawan yang menuduh jika Nabi Muhammad s.a.w masih hidup maka sudah pasti baginda akan memilih salah seorang ratu cantik yang datang bertanding di Nigeria yang menyebabkan lebih 200 orang mati akibat pertempuran antara umat Islam dan Kristian di Nigeria. Umat Islam di Nigeria sanggup mati apabila nabi Muhammad dihina sedangkan di negara kita pemimpin yang menghina hukum Allah dan mencaci nabi terus dapat memimpin apatah lagi penulis murahan yang berbuat demikian.

            Negara kita tidak terkecuali daripada ditekan oleh barat dan kuffar walau pun pemimpin yang jahil dan mengkhianati umat Islam telah banyak membodek dan mengampu kuffar. Semakin ramai rakyat yang tidak bersalah di tahan di bawah ISA maka semakin kuat tuduhan barat bahawa pemimpin dan negara ini juga merupakan pengganas. Negara ini didakwa oleh kebanyakan negara barat tidak selamat untuk dilawati serta membayangkan akan berlakunya letupan bom sebagai yang telah berlaku di Bali, Indonesia. Malah Perdana Menteri Singapura turut menjelaskan bahawa politik Islam merupakan suatu yang bakal memberi cabaran yang begitu besar kepada kuffar termasuk di rantau Asia Tenggara. Pertembungan ini akan mewujudkan keganasan kerana masing-masing tidak akan tunduk kepada salah satu daripadanya.

            Apa yang pasti Islam akan dimenangkan oleh Allah. Cuma waktu dan saat kemenangan itu adalah terletak kepada persediaan dan usaha umat Islam untuk melaksanakannya. Islam tidak diberi kemenangan mudah sebaliknya perlu mengalami keperitan dan kesusahan sebelum datangnya kemenangan dan kemanisan. Jangan lupa tunaikanlah zakat fitrah antara jihad kita dalam membantu saudara Islam yang lain.

Firman Allah dalam  ayat 139 surah Ali ‘Imran:

ولاتهنوا ولاتحزنوا وأنتم الأعلون إن كنتم مؤمنين

Maksudnya : Janganlah kamu berputus asa dan janganlah pula kamu bersedih hati sedangkan kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 َ

124. 5 SIKAP UMAT JAUHI AL-QURAN

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu :

ونزلنا عليك الكتب تبيـنا لكل شيء وهدى ورحمة وبشرى للمسلمين

Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman.

Sempena kita berada pada bulan Ramadhan yang dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan maka kita mestilah mengambil  peluang sebaik mungkin dalam menghidupkan Ramadhan dengan amal ibadat seperti bersedekah, menjamu orang berbuka puasa, tadarrus al-Quran, solat terawih, qiamullail dan sebagainya. Sempena berada pada bulan Ramadhan yang dibuka seluasnya pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka, diganda pahala, diampunkan dosa, dimakbul doa, dirantai  segala syaitan derhaka ditambah pula dengan ada pada salah suatu malamnya  laillatul qadar di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut dimulut tanpa berusaha menghidupkannya. Raikanlah kehadiran Ramadhan kali ini untuk menambah amal ibadat untuk menjadi hamba yang bertaqwa.  Antara hikmat puasa ialah sihat tubuh badan bila alat penghadam direhatkan tetapi jika Ramadhan dijadikan bulan pesta makanan lazat maka kesihatan bukan sahaja tidak terjaga malah berat badan dan penyakit pula makin bertambah.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:

وقال  الرسول يــرب إن قومي اتخذوا هذا القرءان مهجورا

Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”

            Sempena berada pada bulan Ramadhan, bulan  turunnya al-Quran maka kita bukan sahaja mesti bersungguh dalam membaca al-Quran tetapi apa yang paling penting ialah mengamal dan melaksanakan segala ajaran al-Quran. Kita mestilah berusaha menghindari sikap golongan yang  menjauhi al-Quran di mana seorang ulama’ mengatakan bahawa 5 orang yang dianggap berhijrah atau menjauhi al-Quran ialah apabila :  [1] dia tidak mahu mendengar dan beriman kepada al-Quran  [2] dia hanya beriman dan membaca al-Quran sahaja tetapi tidak mengamalkan isi kandungannya [3] dia tidak mahu mendalami dan memahami maksud al-Quran [4] dia tidak menjadikan al-Quran sebagi ubat penyembuh terhadap pelbagai penyakit hati [5]dia tidak mahu menggunakan hukum al-Quran dalam kehidupan seharian

            Kita mesti ingat bahawa musuh Islam sentiasa berusaha siang dan malam dalam menjauhkan umat Islam daripada al-Quran. Lihatlah apa yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini di mana betapa ramai umat Islam yang buta al-Quran dan agama. Ketika ramai umat Islam yang tidak pandai membaca al-Quran maka pihak Kristian mengambil peluang dengan menyebar terjemahan Bible dalam Bahasa Melayu dan Al-kitab dalam Bahasa Arab  bukan sahaja melalui internet malah secara luaran. Jika sebelum ini, Kristian telah lama meletakkan Bible di bilik-bilik hotel dalam menyebar ajaran mereka. Begitu juga dengan penyebaran secara percuma komik bertajuk ‘Kisah Paling Menarik Yang Pernah Diceritakan’ yang memuatkan kisah yang bertentangan dengan kepercayaan orang Islam di beberapa tempat tertentu. Apabila musuh Islam sedang giat bergerak adakah kita hanya mampu melihat. Bangkitlah umat Islam!. Cegah sebelum parah, sekat sebelum merebak

Firman Allah dalam ayat 26 surah al-Fussilat :

وقال الذين كفروا لا تسمعوا لهذا القرءان والغوا فيه لعلكم تغلبون

Maksudnya : Dan berkatalah orang-orang kafir itu : “ Janganlah kamu mendengar al-Quran itu dengan bersungguh-sungguh. Buatlah hiruk pikuk terhadapnya agar kalian dapat mengalahkan orang-orang yang beriman”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Rasulullah s.a.w telah berpesan tentang cara terbaik bagi menyelamatlkan diri daripada kekacauan dan bala bencana yang besar iaitu berpegang teguh dengan al-Quran. Baginda turut menyatakan keistimewaan al-Quran antaranya ialah [1] al-Quran menjadi pemutus antara yang hak dan batil bukannya keterangan yang olok-olok  [2] Golongan sombong dan angkuh yang meninggalkan al-Quran akan dibinasakan dan sesiapa yang mencari petunjuk selain al-Quran akan disesatkan oleh Allah [3]Al-Quran merupakan tali Allah yang teguh kukuh dan jalan yang lurus di mana berpegang teguh kepada ajarannya maka hawa nafsu tidak akan menyeleweng atau terpesong [4]Kalimah-kalimah al-Quran tidak akan bercampur aduk atau kesamaran dengan kata-kata makhluk sehingga para ulama’ tidak merasa jemu daripada mengkaji isi kandungannya [5]Keindahan, kemanisan dan kelazatan membaca al-Quran tidak akan susut dan hilang sekalipun ia dibaca berulangkali [6]Kandungannya yang menakjubkan tidak berkesudahan [7]sesiapa yang memperkatakan sesuatu berdasarkan al-Quran maka benarlah perkataannya. [8]Sesiapa yang beramal dengan ajaran al-Quran maka dianugerahkan pahala. [9]Sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hakam al-Quran maka adillah keputusannya. [10]Sesiapa yang berdakwah supaya orang  ramai menuruti ajaran al-Quran sudah tentu dia dan mereka akan beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus.

Kita mesti ingat bahawa kita sekarang ini berada zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian terhadap iman kita. Oleh itu rapatkan diri kita dengan al-Quran  dari segi pembacaan dan pengamalannya. Tiada ubat yang paling mujarab dalam mengubati hati dan anggota zahir melainkan al-Quran. Umat Islam punah aqidahnya dan musnah akhlaknya bila jauh daripada ajaran al-Quran. Musuh Islam telah lama sedar dan tahu bahawa bila umat Islam menjauhi al-Quran maka penjajahan terhadap pemikiran dan system kehidupan umat Islam akan terus berlangsung dengan mudah. Sebaliknya jika umat Islam kembali sedar seterusnya berusaha bersungguh-sungguh dalam mengembalikan pelaksanaan al-Quran dalam kehidupan maka sebarang system yang bercanggah dengan Islam akan terhapus serta umat Islam kembali memiliki jatidiri sebagai umat yang memperolehi kemerdekaan yang hakiki. Bila hati jauh daripada siraman al-Quran menyebabkan umat Islam mencari perkara yang bercanggah daripada Islam bagi menenangkan hati yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam terlibat dengan najis dadah, arak serta hiburan yang merupakan antara senjata musuh Islam dalam merosakkan umat Islam.

 

 

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Musuh Islam juga terus berusaha dalam menjauhkan umat Islam daripada masjid serta mengurangkan peranan masjid sebagaimana gereja. Musuh Islam tahu bahawa jika umat Islam semakin jinak dengan masjid dan pelbagai program berjaya disusun dalam menghidupkan kembali peranan masjid maka akan melahirkan umat yang akan melaksanakan al-Quran serta mengenepikan segala system ciptaan kuffar. Jika ini berlaku bermakna penguasaan kuffar ke atas umat Islam semakin lama semakin lemah dan akhirnya umat Islam akan kembali menguasai dunia sebagaimana yang pernah dicapai dan dikecapi oleh beberapa generasi umat Islam sebelum ini.

Umat Islam adalah golongan majority tetapi kebanyakan kita terjajah dan mundur dalam negara sendiri dari segi pembangunan kebendaan dan modal insan. Umat Islam lemah bukan sahaja kerana malas dan tidak tahu membaca al-Quran tetapi juga kerana tidak mengamalkan saranan dan arahan yang telah ditunjukkan oleh Allah melalui al-Quran. Umat Islam tidak menghasilkan ilmu, gagal menyebar dan memanfaatkan ilmu sehingga kita gagal menguasai pendidikan. Menurut suatu data kajian menunjukkan perbezaan yang jelas berkenaan kadar celik huruf antara umat Islam dengan Kristian. Kadar celik huruf dalam dunia Kristian berada hampir 90 peratus dengan 15 buah negara yang majority penduduknya Kristian memiliki kadar celik huruf sebanyak 100 peratus. Sedangkan negara yang majority Islam hanya memiliki kadar celik huruf sebanyak 40 peratus sahaja dengan tiada langsung data yang mencatatkan kadar celik huruf 100 peratus. Mundurnya umat Islam bila lemah ulama’nya dan masyarakatnya ditimpa penyakit jahil serta malas yang merbahaya. Ubahlah diri kita kerana Allah tidak akan mengubah kedudukan sesuatu bangsa sehingga mereka sendiri bangun mengubahnya.

            Firman Allah dalam  ayat 71 surah al-Mukminun:

ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السموت والأرض ومن فيهن بل أتينـهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون

Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

37. KEMBALILAH KEPADA AJARAN AL-QURAN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    81-82    سورةالإسراء :

وقل جاء الحق وزهق الباطل إن البطل كان زهوقا وننزل من القرءان ما هو شفاء ورحمة للمؤمنين ولايزيد الظـلمين إلا خسارا

Maksudnya : Dan katakanlah : “ Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”. Sesungguhnya kebatilan itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. Dan Kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi ubat penawar bagi orang-orang beriman. Dan a-Quran itu tidaklah menambah kepada mereka yang zalim selain daripada kerugian.

 

            Kini kita berada di dalam sepuluh terakhir Ramadhan di mana melalui beberapa hadis nabi s.a.w telah memberitahu kita bagaimana pada salah satu malamnya akan dianugerahkan malam al-Qadar yang mempunyai keistimewaan besar yang melebihi seribu bulan yang lain. Peluang dan tawaran yang terbuka luas ini hendaklah direbut bagi menunjukkan bahawa kita merupakan hamba Allah yang sentiasa berlumba-lumba dalam menambah bekalan akhirat. Marilah kita sama-sama menghidupkan malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan ini dengan melipat-gandakan segala amalan soleh seperti berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, iktikaf, qiamullail dan sebagainya disamping meninggalkan sebarang perbuatan maksiat. Gunakanlah peluang yang masih ada dalam memperbaiki kadar dan mutu ibadat sehingga kita mampu lahir sebagai hamba yang bertaqwa yang sentiasa berlumba-lumba menambahkan bekalan akhirat. Jangan biarkan masjid dan surau bertambah kurang bilangan ahli jemaahnya apabila masuknya sepuluh terakhir Ramadhan kerana masing-masing terlalu sibuk dengan aktiviti membeli-belah dan persiapan menyambut hari raya. Sepatutnya kita mesti semakin memperbanyakkan lagi amalan sunat setelah masuknya sepuluh malam terakhir Ramadhan agar kita tergolong dalam golongan yang dicintai oleh Allah kerana sentiasa mencari-cari Lailatul qadar yang merupakan suatu malam yang berlipat ganda pahala di mana ia tidak pernah dianugerahkan kepada umat yang lain.

            Siti ‘Aisyah telah berkata : Adalah nabi S.A.W apabila telah masuk sepuluh malam terakhir akan bertambah kerap baginda S.A.W menjauhi isteri, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Sesuai dengan kedatangan Ramadhan yang mengingatkan kita bagaimana pada bulan inilah wahyu pertama daripada Allah telah diturunkan kepada Rasulullah s.a.w melalui malaikat Jibril ketika baginda sedang bermunajat di gua Hira’. Oleh itu gunakanlah hari-hari terakhir Ramadhan ini untuk lebih memperbanyakkan lagi bacaan al-Quran. Disamping kita membaca al-Quran untuk mendapatkan fadhilat dan pahala yang dijanjikan oleh Allah maka kita juga mesti  cuba memahami isi kandungan ayat al-Quran bagi sama-sama diamalkan dalam kehidupan seharian. Al-Quran yang disifatkan sebagai ubat penawar yang mampu mengubati kekosongan jiwa disamping ia mampu mengubati segala masalah manusia apabila kita mampu menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup yang diamalkan segala sistem yang telah diberitahu oleh al-Quran. Penurunan al-Quran bukanlah semata-mata untuk dibaca tetapi menuntut kepada pengamalan terhadap segala isi kandungannya sehingga dunia ini mampu ditadbir dengan sebaiknya berasaskan wahyu bukannya mengikut hawa nafsu yang sudah pastinya akan menggugat keamanan dunia.

            Wahyu pertama yang diturunkan melalui surah al-‘Alaq menekankan kepada kita bagaimana pentingnya ilmu pengetahuan. Al-Quran turut menekankan bagaimana ilmu yang diperolehi mestilah diamalkan bagi menjamin proses ibadat khusus dan pengurusan pentadbiran kepada kehidupan seharian dapat berjalan dengan baik. Umat Islam pernah mencapai zaman kegemilangannya apabila seluruh pergerakan dan pengamalan mereka berdasarkan ilmu yang disuluhi dengan cahaya wahyu sedangkan pada waktu itu dunia barat masih berada dalam kegelapan ilmu pengetahuan. Kemasukan Islam ke barat terutama dengan penawanan Sepanyol di bawah tentera Islam yang diketuai oleh Toriq bin Ziyad telah membolehkan dunia barat turut berkembang maju berasaskan ilmu. Cuma setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniah 1924 yang berpusat di Turki disebabkan perpecahan di kalangan umat Islam sendiri yang termakan racun yang ditaburkan oleh musuh Islam telah menyebabkan dunia Islam semakin ketinggalan dari segi kemajuan material dan kadang-kadang pembangunan insan turut tergugat disebabkan umat Islam meninggalkan ajaran al-Quran yang menyeluruh.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Jika pada zaman kegemilangan Islam kita dapat lihat bagaimana Islam menjadi tempat bergantung dan rujukan kepada perkembangan tamadun lain tetapi kini umat Islam sendiri terpaksa memohon belas ihsan daripada barat untuk turut membangunan tamadun mereka yang kebanyakannya mengikut hampir seratus peratus cara barat yang menyebabkan kita terus ketinggalan malah terpaksa menjadi kuli kepada teknologi mereka. Akhirnya negara umat Islam tidak mampu berdikari dan terpaksa tunduk kepada barat. Ini semua membawa kepada kerugian yang begitu besar kerana barat mampu menguasai seluruh negara umat Islam yang tidak mempunyai pakar yang mampu menggerakkan kemajuan teknologi yang mereka cedok dari barat. Malah negara umat Islam turut menghadapi masalah sosial yang begitu berat kerana turut terikut dengan gaya hidup bebas yang diamalkan di barat sehingga pembangunan insan yang sepatutnya ditekankan mula terabai. Akhirnya umat Islam menjadi umat yang ketinggalan dari sudut kemajuan material dan turut gagal dari segi pembangunan insan.

            Kita lihat bagaimana barat telah mengambil hampir kesemua ilmu pengetahuan yang asalnya telah dihidupkan oleh umat Islam silam untuk membangunkan tamadun mereka. Tetapi sayangnya ilmu pengetahuan yang diambil telah dibuang roh Islamnya sehingga kemajuan material yang dibina oleh barat tidak dapat membantu mereka untuk turut membina pembangunan insan yang bersepadu. Akhirnya kemajuan tekonologi barat digunakan sewenang-wenangnya untuk pengekalan kuasa dan mencari harta kekayaan daripada negara-negara yang lemah. Ini menyebabkan dunia hari ini dapat melihat penindasanan kezaliman berleluasa di mana-mana. Perasaan kemanusiaan telah lama hilang ditelan oleh nafsu buas yang tidak pernah puas menghisap darah dan keringat manusia yang lemah. Oleh itu di dalam mengembalikan semula keamanan dunia serta mengembalikan tamadun yang selari antara material dan kemanusiaan maka umat Islam mesti kembali kepada al-Quran. Kita mesti memastikan keseluruhan ajaran al-Quran dapat dilaksanakan dibumi yang nyata sehingga kita mampu kembali menjadi umat yang mulia dan maju.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Umat Islam bagaikan anak ayam kehilangan ibu apabila hilangnya sistem khilafah. Umat Islam bagaikan kehilangan tempat bergantung untuk mengadu segala masalah yang dihadapi. Kita merayu kepada kuffar musuh yang sentiasa berusaha membaham kita sedangkan dalam masa yang sama kita gagal untuk mendapat bantuan daripada negara-negara umat Islam sendiri yang berpecah dan lemah kerana meninggalkan ajaran al-Quran yang menyeluruh. Kita dapat lihat pada hari ini bagaimana penderitaan umat Islam di Palestin terus berlaku malah tekanan yahudi pada akhir-akhir ini semakin jelas dan nyata. Dunia barat sentiasa membisu malah membantu usaha yahudi untuk menakluki bumi Palestin untuk dijadikan pusat pentadbiran Zionis Dunia. Masjid al-Aqsa terus menjadi sasaran utama untuk dirobohkan bagi diganti dengan Haikal Sulaiman yang didakwa milik yahudi sedangkan itu semua merupakan milik umat Islam yang mesti dipertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir. Perjanjian damai yang dibuat tidak lebih daripada usaha untuk memudahkan penyerahan bumi Palestin kepada yahudi dan juga untuk memberi kebenaran kepada yahudi untuk menyembelih umat Islam sesuka hati. Begitu juga penderitaan umat Islam di Afghanistan yang terus berlaku di mana barat menggunakan kemajuan teknologi yang ada untuk meratah tubuh umat yang tidak bersalah. Malah perjanjian di dalam membentuk kerajaan sementara di Afghanistan yang telah dibuat di Bonn, Jerman akan menambahkan lagi penghinaan terhadap umat Islam. Barat akan cuba menyedut sebanyak mungkin hasil minyak dan galian lain di Afghanistan untuk kepentingan mereka terutama dalam membayar kos bom dan senjata yang dijatuhkan di Afghanistan dalam serangan yang tidak bermaruah. Di sini kita dapat saksikan bagaimana umat Islam dihina begitu rupa di mana tanahair mereka dicerobohi, rakyat dibunuh kini mereka terpaksa pula membayar balik kos kekejaman itu dengan hasil dari negara mereka sendiri. Oleh itu kembalikan semula kemuliaan umat Islam dengan sama-sama kita kembali kepada seluruh ajaran al-Quran. Islamlah nescaya kita akan selamat dan mulia di dunia dan akhirat.

Renungilah Firman Allah dalam surah al-Qadar:

إنا أنزلنـه في ليلة القدر وما أدرئك ما ليلة القدر ليلة القدر خير من ألف شهر تنزل الملئكة والروح فيها بإذن ربهم من كل أمر سلم هي حتى مطلع الفجر

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah lailatul Qadar itu? . Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbitnya fajar

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ

80. RAMADHAN MENJULANG UMAT BERTAQWA

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُفَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

يأيهاالذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Kehadiran bulan Ramadhan yang merupakan suatu bulan yang dijanjikan Allah dengan penggandaan pahala bersama terbuka luasnya pintu pengampunan dosa sewajarnya digunakan sebaik mungkin terutama dalam melahirkan diri kita sebagai umat yang bertaqwa sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Kita mesti menghidupkan bulan Ramadhan yang di dalamnya terkumpul hampir kesemua rukun Islam bermula solat lima waktu, puasa itu sendiri dan zakat fitrah. Kita mesti raikan Ramadhan dengan melipat gandakan ibadat disamping berusaha bersungguh-sungguh dalam menjauhi maksiat. Jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang sentiasa merindui tarbiah Ramadhan sebagai suatu proses mendidik diri ke arah memiliki peribadi mulia bukannya sebagai seorang derhaka yang menganggap bahawa ketibaan Ramadhan adalah suatu hukuman dan penyeksaan yang diharapkan cepat berlalu.

Ibadat puasa dapat melahirkan umat bertaqwa dengan cara melemahkan nafsu sehingga diri lebih mudah untuk mengerjakan ibadat serta menjauhi maksiat. Walau pun iblis dan syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan namun sahabat karib kepada syaitan terus wujud dalam diri kita iaitu nafsu. Kita mesti ingat bahawa dalam diri manusia adanya dua perkara yang tidak pernah tua walau pun seseorang itu telah lanjut usianya iaitu nafsu dan angan-angan.

عن صفية : قال النبي e : إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَجْرِيْ مِنِ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ فَضَيِّقُوْا مَجَارِيَهُ بِالجُوْعِ  –  رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Sesungguhnya syaitan itu berjalan dari anak Adam pada tempat jalan darahnya maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Antara ciri orang bertaqwa ialah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian daripada Allah sehingga imannya semakin kuat. Oleh itu ibadat puasa merupakan antara proses dalam menanam kukuh sifat sabar dalam diri umat Islam.

عن أبي هريرة: قال النبي e : الصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ-  رواه  ابن ماجه

Maksudnya : Puasa itu sebahagian daripada sabar

                Sabar pula sebahagian daripada iman sebagaimana sabda nabi dalam sebuah hadis

عن ابن مسعود: قال النبي e : الصَّبْرُ  نِصْفُ  الإْيمَانِ-  رواه  أبو نعيم

Maksudnya : Sabar itu sebahagian daripada iman

            Semoga kita dapat gunakan peluang keemasan ini dengan kedatangan Ramadhan untuk melatih diri ke arah menjadi umat yang lebih baik daripada tahun sebelum ini bukan sebaliknya.  Kita merasa begitu gembira dan bersemangat melihat bagaimana suasana umat Islam dalam menghidupkan Ramadhan terutama pada waktu malam apabila begitu ramai yang memenuhi masjid dan surau. Kita mengharapkan suasana ini terus berlangsung bukan sahaja sehingga ke penghujung bulan Ramadhan ini malah ia dapat diteruskan pada bulan yang lain bagi menunjukkan perubahan bahawa kita umat Islam sudah benar-benar kembali kepada kehidupan sebenar sebagai umat yang semakin dekat ikatan perhubungannya dengan Allah sehingga janji kemenangan dan kemuliaan dapat diraih dengan seberapa segera. Jangan hanya bersemangat pada awal Ramadhan sedangkan apabila Ramadhan sudah hampir berlalu terutama pada malam-malam terakhir yang dijanjikan antara malamnya ada lailatul Qadar maka masjid dan surau kembali sunyi apatah lagi apabila berlalunya Ramadhan. Jika suasana hanya bersemangat dan rajin pada awal bulan sahaja terus berlangsung maka lambat lagilah janji kemenangan oleh Allah yang hanya diturunkan kepada umat yang bertaqwa dan sentiasa istiqamah dalam beribadat dan berjuang dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini.  Ingatlah bahawa janji kemenangan dan kemuliaan hakiki hanya dianugerahkan kepada umat yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah setelah segala usaha yang lain telah dilaksanakan dengan baik.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Kita mengharapkan agar tarbiah Ramadhan dapat menambahkan lagi keyakinan kita terhadap segala kandungan al-Quran yang sentiasa dibaca pada bulan ini yang merupakan bulan mula turunnya al-Quran kepada nabi Muhammad s.a.w. Janganlah kita hanya tahu membaca al-Quran sedangkan segala sistem yang dianjurkannya untuk dilaksanakan tidak mahu dibuat dengan pelbagai alasan. Kita begitu kecewa kerana adanya umat Islam pada bulan Ramadhan yang mulia ini tanpa segan silu mencabar enakmen hudud dan qisas Terengganu atas alasan bercanggah dengan perlembagaan negara bukannya disebabkan bercanggah dengan apa yang digariskan oleh agama. Sepatutnya semakin banyak berpuasa dan berterawih serta membaca al-Quran maka semakin banyak sistem Islam termasuk perundangan dapat dilaksanakan bukan semakin kuat menentangnya. Inilah suatu tindakan yang memalukan umat Islam sedangkan orang bukan Islam pun tidak berbuat demikian. Oleh itu sempena bulan Ramadhan yang terus berjalan ini maka kita seluruh umat Islam yang benar-benar tunduk dan patuh kepada perintah Allah mendesak agar orang yang terbabit menarik balik tindakannya serta bertaubat kepada Allah. Ketika Allah menutup pintu neraka dengan membuka seluas pintu syurga sempena ketibaan Ramadhan maka kita jangan sekali-kali cuba mengetuk pintu neraka dengan melawan sistem Islam. Jika mahu bercakap tentang hak dan keselamatan awam maka lebih baik kita berbincang tentang ISA bukannya tentang hukum Allah.

Firman Allah dalam  ayat 49 surah an-Maidah:

وأن احكم بينهم بمآ أنزل الله ولا تتبع أهواءهم واحذرهم أن يفتنوك عن بعض مآ أنزل الله  إليك فإن تولوا فاعلم أنما يريد الله أن يصيبهم ببعض ذنوبهم وإن كثيرا من الناس لفـــسقون

Maksudnya : Dan hendaklah engkau memutuskan perkara antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah. Dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah engkau terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan engkau daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Jika mereka berpaling maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang fasik.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian

            Kedatangan bulan Ramadhan bukan bererti melemahkan umat Islam kerana terpaksa berpuasa sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad dalam melawan musuh dalam diri iaitu nafsu dan musuh zahir. Kita yang hidup dalam keadaan aman sepatutnya bersyukur kepada Allah dengan memperbanyakkan ibadat bukannya bertambah liat apatah lagi terus bergelumang dengan maksiat. Renungilah nasib yang sedang dihadapi oleh kebanyakan saudara kita yang lain terutama di Palestin, Iraq dan sebagainya di mana mereka bukan setakat melawan nafsu tetapi turut berhadapan dengan musuh kuffar. Bilakah penderitaan saudara seagama itu akan berakhir dan adakah kuffar yang diketuai oleh Amerika dan didalangi oleh tangan jahat yahudi akan terus menjadi raja untuk melakukan kezaliman di atas muka bumi ini. Jawapannya terletak di atas bahu setiap diri umat Islam di mana adakah kita sudah mahu kembali kepada Islam yang menyeluruh atau terus mahu berpecah mengikut ideologi ciptaan kuffar.

Ingatlah bahawa semua kuasa besar yang zalim akan hancur melainkan mereka kembali kepada Islam. Sejarah pernah mencatatkan bagaimana tentera Monggol yang begitu ganas sehingga mampu menguasai hampir keseluruhan wilayah umat Islam termasuk Baghdad, Halab dan Damsyik di mana umat Islam pada masa itu bagaikan tiada lagi harapan untuk menang apatah lagi untuk terus berkuasa. Sebaliknya Allah mendatangkan pertolongan kepada hambaNya yang ikhlas berjuang di mana suatu ketika, Holako selaku panglima tentera Monggol telah menghantar ugutan kepada Saifuddin Qutuz, Sultan Mamalik di Mesir sebagai ancaman keras kepadanya setelah baginda menghalang tentera Monggol daripada memasuki Mesir. Sultan Saifuddin Qutuz bukan sahaja tidak gentar dengan ugutan Monggol itu malah baginda terus membentuk angkatan tentera Mesir Mamalik yang kuat lengkap dengan kesemua peralatan perang. Seterusnya baginda membawa tentera tersebut sehinggalah bertemu dengan angkatan tentera Monggol di ‘Ain Jalut di sebelah tenggara Haifa, Palestin. Di dalam pertempuran ini umat Islam berjaya mengalahkan tentera Monggol dengan kekalahan yang teruk pada 25 Ramadan tahun 658 Hijrah. Tentera Monggol yang masih hidup lari ke timur dari ‘Ain Jalut. Kemudian Tentera Monggol itu dikejar oleh Sultan Saifuddin Qutuz dan pembantunya, Az-Zahir Bibers dan mereka juga berjaya dikalahkan sekali lagi. Setelah itu . Sultan Saifuddin Qutuz terus memasuki Syria sehingga kesemua kawasan di sana menjadi tenang. Tentera Islam bukan sahaja menang besar dalam peperangan yang berlaku pada bulan Ramadhan ini malah tidak lama selepas itu pemimpin dan tentera  Monggol yang terkenal dengan keganasannya telah memeluk Islam dan sikap mereka berubah menjadi baik dan adil. Inilah kuasa dan pertolongan Allah di mana tidak akan kekal sesuatu kuasa besar di atas muka bumi ini melainkan kuasa Allah. Yakinlah kita bahawa tentera sekutu Kuffar yang diketuai oleh Amerika yang diperkuda oleh yahudi akan kalah dan hancur dan Islam akan kembali merajai dunia dengan keadilan.

Firman Allah dalam ayat  26 surah Ali ‘Imran :

قل اللهم مــلك الملك تؤتى الملك من تشاء وتنزع الملك ممن تشاء وتعز من تشاء وتذل من تشاء بيدك الخير  إنك على كل شيء قدير

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Nuzul al-Quran DiHayati Tamadun Islam Diraih Kembali

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1 -5 surah al-‘Alaq :
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Maksudnya : Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Hari ini kita berada pada tanggal 17 Ramadhan yang merupakan tarikh keramat yang pernah menyaksikan turunnya wahyu pertama kepada nabi Muhammad s.a.w ketika sedang berkhalwat munajat kepada Allah di gua Hira’. Penurunan wahyu ini sebagai tanda pengiktirafan nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul yang akan mengermbangkan dakwah Islam ke seluruh alam. Al-Quran merupakan mukjizat terbesar untuk nabi Muhammad s.a.w yang kekal hingga hari qiamat di mana ia memperlihatkan bagaimana kehebatan dan kebijaksanaan nabi Muhammad s.a.w yang terkenal sebagai seorang ummi tidak tahu membaca dan menulis tetapi mampu mengingati al-Quran setiap kali ia diturunkan dengan baik. Sifat tidak tahu membaca dan menulis yang ada pada nabi Muhammad s.a.w bukan untuk melemah dan merendahkan martabat nabi sebaliknya sebagai bukti jelas bahawa al-Quran bukannya kitab rekaan dan hasil penulisan nabi sendiri sebagaimana yang didakwa oleh penentangnya. Malah pada zaman jahiliah setiap penyair hebat akan menyembunyikan tentang status pembelajarannya bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa kehebatannya menulis syair adalah kerana kepintarannya sendiri bukan disebabkan dia belajar dari mana-mana guru sebelum ini. Mukjizat al-Quran akan lebih terserlah kehebatannya apabila umat Islam kembali membacanya serta menjadikannya sebagai rujukan utama dalam kehidupan seharian.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
Umat Islam hari ini kian ketinggalan dalam serba-serbi khususnya aspek ilmu pengetahuan sedangkan umat Islam dulu yang menjadi pelopor dan peneroka menggali pelbagai ilmu sehingga mencetuskan era keemasan dunia Islam. Seruan iqra sudah longgar daripada penghayatan sanubari Mukmin. Yang tinggal hanya semangat mengejar ilmu ketika di bangku sekolah atau di universiti. Penekanan pula berlegar kepada hendak lulus peperiksaan dan mendapat segulung ijazah sahaja. Jika melihat kembali sejarah tamadun Islam peringkat awal, aktiviti mencari ilmu sama ada melalui pembacaan buku atau penyelidikan menjadi sebati dan satu kemestian. Masa banyak dijuruskan kepada bagaimana merungkai sesuatu permasalahan hidup sehingga menemui ilmu pengetahuan baru sekali gus menerbitkan semangat mengkaji yang tinggi. Keupayaan daya kreativiti dan amalan budaya inovasi juga adalah senario umat Islam terdahulu. Kini, minda umat Islam seakan-akan lumpuh. Mereka tidak berupaya bangun menggilap kembali semangat mencari ilmu pengetahuan. Generasi muda Islam hari ini lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti tidak bermanfaat. Ramai hanyut dengan anasir hiburan melampau, aktiviti merempit sehingga merimaskan masyarakat awam, penyalahgunaan dadah terlarang dan pelbagai gejala buruk lain. Keadaan ini akan merencatkan pembangunan minda umat Islam. Tidak mustahil kita akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan moden dunia. Kadar pembacaan yang rendah akan membeku tahap pemikiran untuk membina suatu umat perkasa daripada segi kehebatan tamadun. Malah statistik kadar celik huruf dan buta huruf di negara umat Islam masih begitu menyedihkan tidak setanding dengan negara bukan Islam. Kelemahan ini kadang-kadang membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk menuduh negara Islam adalah lambang kemunduran, tempat membiak masalah sosial yang banyak dan pelbagai tuduhan liar yang lain. Sempena berada pada bulan Ramadhan bulan turunnya al-Quran maka marilah kita sama-sama kembali memperkasakan budaya ilmu di dalam mengembalikan semula tamadun rohani dan kebendaan yang pernah diraih oleh generasi emas sebelum ini. Ingatlah pesan Saidina Ali bin Abi Talib: “Bukanlah suatu kebaikan jika milikmu hanyalah anak dan harta saja, tetapi kebaikan yang sebenarnya ialah banyak ilmu pengetahuan.”Pesan beliau lagi: “Orang berilmu lebih utama daripada orang selalu berpuasa, bersolat dan berjihad. Apabila mati orang berilmu maka terjadi suatu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain oleh penggantinya (yang berilmu juga).” Tidak lupa pesanan Imam Syafie : “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan nabi, rasul dan orang soleh.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”
Selagi sistem al-Quran disisih daripada menjadi ubat mujarab yang menyembuh masalah kronik dalam masyarakat maka selama itulah masalah semakin bertambah parah. Masalah pembuangan bayi misalnya yang terus meningkat akibat pintu zina yang terbuka luas terutama mendapat lesen dan kebenaran daripada kerajaan sendiri seperti kelab malam, program hiburan melampau, majalah dan rancangan tv perosak akhlak. Malah banyak hari sambutan peristiwa besar seperti malam merdeka, tahun baru, hari kekasih seolah-olah menjadi ‘malam mengawan’ untuk melahirkan anak luar nikah 9 bulan selepas itu. Malah program Latihan Khidmat Negara yang dikatakan mula menerapkan cara menjauhi masalah sosial belum tentu akan berjaya sekiranya masalah pergaulan bebas antara peserta terus berlaku malah digalakkan lagi. Akhirnya anak-anak remaja yang selama ini terjaga akhlaknya dirosakkan pemikiran dan cara pergaulan dalam masa 3 bulan sahaja. Kita bimbang sekiranya sebelum ini tumbuhnya universiti sama naik dengan terpaksa dibina pusat serenti akibat dadah. Selepas ini dibina sekolah pelajar hamil sama banyak dengan kelab malam yang berlesen sekiranya ia digubal berdasarkan fahaman sekuler yang memisahkan antara agama dan kehidupan. Bila punca masalah dibiar berlaku, hanya penyakit yang telah parah sahaja yang cuba dirawat maka ia tidak menyelesaikan masalah. Bila jenayah zina dianggap tidak salah sebaliknya mengandung hasil zina barulah dikira salah maka masalah semakin bertambah. Sebelum ini telah wujud pusat penjagaan perempuan yang bermasalah ini di mana jumlahnya semakin bertambah bukan berkurang. Kita tidak mahu menjadi sebagaimana negara barat di mana anak-anak zina ini dijaga oleh kerajaan kemudian kebanyakan mereka diserapkan sebagai tentera bila dewasa. Akhirnya masalah zina bertambah, anak luar nikah bercambah, kewangan negara terpaksa dihabiskan untuk merawat penyakit yang tidak kebah-kebah. Mengapa wang negara lebih banyak dihabiskan untuk merawat penyakit yang telah parah berbanding digunakan untuk membina nilai kemanusiaan dan menutup pintu zina. Oleh itu kembalilah kepada panduan al-Quran di mana jika orang bukan Islam tidak faham malah menentang hukum al-Quran bukan suatu yang pelik. Apa yang pelik dan menyedihkan ialah apabila umat Islam sendiri jahil tentang hukum Islam dan bangkit menentang pelaksanaannya. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Jahiliah bukan ubat sebaliknya racun berbisa yang merbahaya

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Tarbiah Ramadhan yang sedang kita lalui sepatutnya melahirkan kita sebagai umat yang begitu yakin dengan sistem al-Quran. Tarbiah Ramadhan sepatutnya menyuburkan lagi perasaan mengambil berat tentang penderitaan saudara segama yang lain terutama di Palestin, Iraq, Afghanistan, Selatan Thailand yang dilanda peperangan dan Pakistan yang dilanda banjir besar di samping negara-negara yang lain. Ketika berdepan dengan kekejaman musuh terutama Yahudi maka umat Islam mesti bergerak bersama dalam setiap sudut termasuk ekonomi. Kita wajib menyokong usaha murni Kerajaan Negeri Kelantan yang melangkah yakin memperkenalkan mata wang syariah dinar dan dirham yang sepastinya suatu yang disuruh oleh al-Quran. Yahudi terus dapat menjajah dan memperbodohkan kita sekiranya kita terus yakin dan menggunakan wang kertas ciptaan mereka. Ramai pakar ekonomi dunia berhujah sistem kewangan dunia berasaskan wang kertas berlandaskan riba telah membawa kepada banyak kerosakan termasuk kemiskinan, kerosakan alam sekitar, monopoli pengeluaran, pengangguran, jenayah, maksiat dan kejatuhan moral. Kapitalis begitu bimbang sekiranya dunia kembali kepada Dinar Emas yang stabil berbanding duit kertas yang kita simpan akan menyusut dengan teruk pada suatu ketika nanti sehingga nilai seribu ringgit selepas ini mungkin tidak dapat membeli apa-apa lagi. Inilah kehebatan sistem al-Quran yang bertujuan untuk kebaikan manusia sedangkan sistem Yahudi dari dulu lagi diperkenalkan untuk memeras dan menindas manusia. Pilihlah sama ada cara hidup Islam yang hendak diguna atau terus berseronok untuk menjadi hamba abdi Yahudi seumur hidup. Islam membawa kebahagiaan dunia akhirat manakala cara lain tidak mampu memberi sesuatu kepada kita melainkan kerugian dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ
Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ